Khamis, 26 Januari 2012

CERPEN:TIRAMISU


CERPEN: TIRAMISU
Oleh Melati Shafika

DING! Dong! Loceng berbunyi ketika daun pintu kaca itu ditolak seseorang. Kelihatan seorang gadis berambut panjang memakai cekak berwarna putih sedang melangkah masuk. Pantas saja dia bergerak terus ke rak kaca yang mempamerkan bermacam jenis kek pelbagai perisa. Blackforest, Orange Sponge, Oreo Cheese, Carrot Walnut, sebut sahaja yang mana nak, semuanya kelihatan menarik dan enak-enak belaka.
Pemilik kedai kek tersebut melemparkan senyuman ke arah gadis yang sedang tercari-cari kek idamannya.
 “Kak, nak Tiramisu satu?” pinta si gadis bila sudah menemui kek pilihan hati.
“Saya pun nak satu.” Tiba-tiba kedengaran satu suara mencelah.
Si gadis segera berpaling, melihat empunya suara yang biasa didengarnya. Aduh! Si rambut pacak ni lagi. Macam mana dia boleh ada kat sini? Kenapa aku boleh tak perasan dia ada kat sini, pula? Ish!!
“Tapi, Tiramisu ni tinggal sepotong aje,” bagitahu kakak yang sedang melayan mereka.

“Macam itu, bagi ajelah kat cik adik ni,” ujar si rambut pacak.
Si gadis mengerutkan dahinya. Eeh! Tak payah kasihankan akulah. Walaupun aku nak sangat makan kek itu, aku...
Si gadis meneguk air liur. “Tak apalah kak, bagilah kat dia,” balasnya sedikit mengeluh.
“Kek lain ada, nak tak? Coffee delight ni pun sedap juga,” cadang kakak yang bernama Raina itu sambil mengunjukkan salah satu kek yang dipamerkan di rak berdinding kaca tersebut.
“Saya memang teringin nak makan Tiramisu,” kata si gadis bernada sedih.
“Tak apalah kak, saya datang lain kali ajelah. Bukan rezeki saya hari ini.” Si rambut pacak pula mengalah. 
Kakak yang juga pemilik kedai itu sudah jadi serba-salah. “Why don’t both of you makan kat sini dan share?”
Si gadis pandang si rambut pacak dengan kening terangkat sebelah. Dengan dia ni? Euww! Aku memang kepingin sangat nak makan kek tu tapi, kongsi dengan dia? Huhu, tak mungkin!
Si rambut pacak membalas pandangan si gadis dengan wajah selamba sebelum melontarkan suara. “Awak tak kisah, kan? Atau awak takut nak duduk semeja dengan saya?”
“Siapa kata saya takut?” balas si gadis dengan mata terkelip-kelip.
“Kitorang bagi ice-cream free for couple, just for today sebab today is our first anniversary.” Kakak itu mencelah lagi.


“Well, how? Macam menarik jer?” Si rambut pacak memandang si gadis yang tingginya kurang sejengkal dari dirinya.
“Tapi, kita bukan couple?”
“Apa salahnya, untuk hari ini kita jadi couple? Bukannya luak pun.”
Si gadis mencerlungkan matanya. Hebat sangatlah idea tu.  
“Okey, korang duduk kat meja kosong ni. Kejap lagi akak bawakan keknya dengan ice-cream okey?” Kak Raina segera membawa mereka ke sebuah meja kosong berhampiran dinding kaca kedai tersebut.
Si rambut pacak sudah pun melabuhkan punggung ke atas kerusi. Gadis itu pula masih lagi berdiri tegak di hadapan meja, menatap wajah pemuda itu silih berganti dengan meja kecil yang comel itu.
“Sofini Baida? Silakan duduk. Apasal tercegat kat situ? Takkan nak lari dari saya kut?”
Tersentak si gadis yang tadi sedang  merenung jauh. “Tak ada siapa yang nak larilah!”
Si rambut pacak segera mengukirkan senyuman bila gadis itu mengambil tempat di hadapannya.
Masing-masing senyap sementara menunggu hidangan yang dipesan sampai. Sofini Baida melontarkan pandangan ke luar kedai kek tersebut. Si rambut pacak mengambil kesempatan itu untuk meneliti gadis yang agak mahal dengan senyuman itu. Masalahnya, senyuman itu mahal untuk dirinya sahaja. Dengan orang lain, tidak pula begitu. Dia nak sangat dekat dengan Sofini Baida, tapi gadis itu selalu mengelak dan melarikan diri daripadanya seolah-olah benci pada dirinya. Dia tidak faham.
“Kenapa awak selalu marah-marah bila terserempak dengan saya?”
Sofini Baida segera berpaling menatap wajah si rambut pacak.
“Amir Kushairi, saya bukan marah kat awak.”
“Habis tu, awak benci kat saya?”
“Taklah.”
Amir Kushairi mengerutkan dahi. “Mahal betul suara awak, ek?”
“Huh?”
“Kenapa bila saya terserempak dengan awak, awak macam nak lari dari saya?”
“Saya buat macam tu ke?”
Amir Kushairi mengangguk.
“Entahlah, mungkin sebab saya rasa geram kat awak, kut.”
“Kenapa? Apa yang saya dah buat pada awak?”
Sofini Baida tidak ada jawapan untuk soalan tersebut. Dia sendiri tidak faham kenapa dia rasa rimas dengan kehadiran lelaki tersebut.
Dia selalu mendengar cerita tentang lelaki tersebut dari teman-teman kolejnya. Betapa kacaknya Amir Kushairi. Betapa bijak dan popularnya Amir Kushairi. Itu, ini, semuanya tentang Amir Kushairi. Dia jadi bosan dimomokkan dengan cerita-cerita tentang kehebatan lelaki itu.
“Keluarga saya baru aje berpindah ke sini. Rumah saya kat hujung jalan tu jer,” beritahu Amir Kushairi.
“Oh?” Jadi kita berjiranlah? Alamak! Dahlah kat kolej dia bersusah payah mengelak lelaki itu, alih-alih tinggal berdekatan pula.
“Ini kek dan aiskrimnya.” Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran Kak Raina dengan hidangan yang dipesan mereka.
“Terima kasih kak,” balas Amir Kushairi.
Kakak yang menghantar segera mengukirkan senyuman sambil mengenyitkan mata pada Amir Kushairi.
“Jemputlah makan.” Amir Kushairi segera menghulurkan sebatang sudu pada Sofini Baida.
Sofini Baida kelihatan teragak-agak.
“Nak saya suapkan ker?”
“Eh tak…tak..” Segera dia mengambil sudu tersebut.
“Tak ada orang marahkan?”
Sofini Baida menggeleng. Siapa yang nak marah pun?
“Manalah tahu tiba-tiba ada pemuda macho datang serang saya sebab menggangggu teman wanitanya.”
Sofini Baida menggeleng lagi.
“Awak tak ada teman lelaki?”
Sofini Baida mengangguk.
“Ada?”
“Eh..tak ada! Bukan, maksudnya saya tak ada teman lelaki,” balas Sofini Baida sedikit gugup.
Amir Kushairi tersenyum.
“Macam itu, bolehlah saya jadi teman lelaki awak.”
Sofini Baida mengangguk.
“Boleh?” ulang Amir Kushairi.
“Boleh apa?”
“Awak berkhayal yer? Awak baru saja bersetuju untuk jadi teman wanita saya.”
“Mengarut ajelah awak ni.”
“Kenapa? Tak boleh?”
“Apa-apalah.”
“I take it as a yes.”
“Huh!”
Suasana jadi senyap seketika. Masing-masing sedang menikmati keenakan kek Tiramisu yang dihidangkan.
“Tau tak apa maksud Tiramisu?”
“Erm?”
“Percaya tak maksudnya ‘pick me up’, ada jugak yang menterjemahkannya sebagai ‘cheer me up’.”
Sesuai sungguh dengan Tiramisu itu. Memang menggembirakan aku. Fikir Sofini Baida.
“Tak susah pun bukan?” ujar Amir Kushairi.
Sofini Baida angkat kening tidak faham.
“Duduk semeja dengan saya,” sambung Amir Kushairi dengan senyuman tersungging di bibir.
Tak letih ker asyik tersenyum? Fikir Sofini Baida pula.

***

“Saya belanja,” pantas Amir Kushairi menolak wang yang dihulurkan Sofini Baida kepada juruwang.
“Saya mampu.”
“Saya tahu,” balas Amir Kushairi dan debat itu berakhir bila juruwang mengambil not kertas yang dihulur oleh pemuda itu.
“Awak, terima kasih!”
“Untuk apa?” bukan aku yang sepatutnya berterima kasih, fikir si gadis.
Amir Kushairi tidak menjawab. Dia membukakan pintu mempersilakan Sofini Baida melangkah keluar terlebih dahulu.  
“Sofini Baida, awak nak tahu sesuatu tak? Sebenarnya hari ini hari lahir saya. Saya sungguh gembira kerana dapat menyambutnya bersama awak.” Amir Kushairi memecahkan rahsianya.
Sofini Baida terkedu seketika.
“Saya akan mengingati detik ini setiap kali saya menyambut hari lahir saya. And today, you have made my day.” Senyuman ikhlas disertakan dengan renungan mesra yang terpancar di mata Amir Kushairi membuatkan Sofini Baida sedikit terpana.
Pandangan yang bertaut itu membuatkan hati si gadis bergetar. Segera dia memalingkan wajah, cuba menghilangkan perasaan itu jauh-jauh.
“Saya ada satu permintaan, boleh tak awak senyum untuk saya sekali? Susah betul nak tengok awak senyum.”
Sofini Baida terdiam. Dia menatap wajah Amir Kushairi dengan mata terkelip-kelip.
“Please? Sekali sahaja,” rayu Amir Kushairi sambil menunjukkan muka kasihan.
“Mana boleh paksa-paksa orang,” balas Sofini Baida sedikit ralat.
“Nak saya buat lawak dulu ker?” tingkah Amir Kushairi pula. Matanya dibesarkan lagak seorang badut.
“Atau awak nak saya tunjuk skil menari saya?” Amir Kushairi sudah mula terloncat-loncat sebelum berpusing dan berhenti dengan kedua belah tangan didepangkan. Tadaa!!
Sofini Baida menelengkan kepalanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sedikit geli hati, tanpa sedar dia mengukirkan senyuman pada Amir Kushairi. Senyuman yang buat Amir Kushairi memusingkan kepalanya sekali lagi.
“Terima kasih Sofini, awak memang buat jantung saya berdebar.”  

***


Sekotak coklat dan sebuah patung beruang dihias riben merah diunjukkan pada Sofini Baida.
Sofini Baida buat endah tak endah.
“Susah betul nak ambil hati awak, kan?”
Sofini Baida mendengus kasar. Malas betul dia hendak melayan Amir Kushairi. Baru sebentar tadi dia mendengar Liyana dan Sumie sedang bercerita tentang Amir Kushairi yang sedang bercanda dengan gadis lain.
“Awak tak percaya pada saya ker?”
“Saya tak kisah awak nak keluar dengan siapa pun, tapi boleh tak awak jangan canangkan pada semua orang yang saya ni teman wanita awak.”
“Tapi, saya tak keluar dengan sesiapapun selain awak.” Memang dia tak pernah keluar berdua dengan mana-mana gadis lain pun. Yang ada cuma khabar-khabar angin sahaja.
“Apa-apalah, saya nak balik.”
“Saya hantar awak.”
“Tak perlu, saya boleh balik sendiri.”
Amir Kushairi jadi buntu seketika. “Sofini Baida, apa lagi yang harus saya lakukan agar awak percaya pada saya?”
Sofini Baida menapak pergi dengan sebelah tangan di angkat tinggi. Lelaki! Memang tak boleh dipercayai!

***

Sofini Baida sedang membetulkan langsir biliknya yang terletak di tingkat atas rumah bila sebuah kereta berwarna perak berhenti betul-betul di hadapan perkarangan rumahnya. Sepasang suami isteri keluar dari kenderaan tersebut. Kawan ayah kut? Sofini Baida kembali semula ke meja belajarnya.
“Nini?” Pintu bilik diketuk, kedengaran suara ibunya memanggil.
“Ya, ibu.” Sofini Baida menyahut sebelum pintu bilik dibuka.
“Cepat bersiap, ada orang nak bertemu dengan kamu.”
“Siapa bu?”
“Dia kata dia kawan kamu.”
Kata-kata ibunya itu membuatkan dia tertanya-tanya. Kawan? Kawan yang mana?
“Pakai elok sikit.”
“Macam ni tak elok ke?” Dia menilik dirinya yang ketika itu mengenakan T-Shirt dengan seluar track.
 Si ibu menjegilkan mata.
“Okey, Nini tukar,” balas Sofini Baida faham.
Seketika kemudian Sofini Baida turun dengan memakai blaus lengan panjang dengan seluar slack. Nampak feminin sedikit dari yang biasa.
Ketika dia tiba di ruang tamu, kelihatan pasangan suami isteri tadi sudah berada di sana bersama dengan seorang anak muda.
Amir Kushairi! Berpusing kepala Sofini Baida memandang lelaki itu. Apa dia buat di sini?
“Nini, mari sini duduk sebelah ibu.” Ibunya segera menggamit Sofini Baida yang kelihatan terkejut dengan kehadiran Amir Kushairi sekeluarga.
“Salam pakcik dan makcik.”
Sofini Baida menurut sahaja perintah ibunya. Ibu dan ayah Amir Kushairi kelihatan begitu senang dengan perlakuan gadis itu.
Sofini Baida memandang wajah Amir Kushairi bila dia sudah mengambil tempat di sebelah ibunya. Mindanya masih ligat berfikir akan tujuan Amir Kushairi datang ke rumahnya.
 “Makcik, Pakcik, seperti yang telah mak dan ayah saya khabarkan tadi, kami datang dengan hajat.” Amir Kushairi memulakan bicara sambil menatap wajah Sofini Baida.
 Sofini Baida meneguk air liur. Kepalanya sudah tegak. Apa yang berlaku sebenarnya?
“Saya datang ni nak bagitahu pada pakcik dan makcik saya dah lama jatuh hati pada anak pakcik dan makcik, Sofini Baida.”
Bagai nak jatuh rahang Sofini Baida mendengar pengakuan berani Amir Kushairi itu.
“Saya nak bagitahu yang saya berjanji akan menjaga dia sebaik-baik mungkin.” Amir Kushairi berjeda.
Mata Sofini Baida beralih memandang ibu dan ayah Amir Kushairi. Mereka kelihatan mengangguk mengiyakan kata-kata anak mereka.
Ayah Sofini Baida berdehem beberapa kali membuatkan semua mata-mata berpaling ke arahnya.  
“Pakcik dan makcik sukakan kamu, Amir Kushairi. Tidak ada halangan dari pihak pakcik juga makcik tapi kenalah tanya yang empunya badan sama ada dia bersetuju dengan hasrat anak itu ataupun tidak,” begitu tutur Encik Khamis membuatkan mulut Sofini Baida ternganga.
Sofini Baida sudah tidak senang duduk. Mahu sahaja dia lari dari situ.
“Macam mana? Sudi tak terima anak makcik?” tanya ibu kepada Amir Kushairi membuatkan Sofini Baida terkedu.
Semua mata kini tertumpu pada Sofini Baida.
“Aa…mmm..” macam mana nak jawab ni? Sofini Baida menggenggam tangan sendiri. Dipandangnya wajah Amir Kushairi yang kelihatan penuh mengharap.
Sedetik, dua detik, Sofini Baida meneguk air liur. Akhirnya Sofini Baida mengangguk malu-malu.
“Alhamdulillah.” Semua yang hadir segera mengucap syukur. Lebih-lebih lagi Amir Kushairi yang betul-betul kelihatan lega.
Ketika kedua-dua ibu-bapa masing-masing sibuk membincangkan perihal anak mereka, Amir Kushairi menggamit Sofini Baida memberi isyarat padanya agar berjumpa di luar rumah.
“Sekarang, awak percaya pada saya tak?”
“Amir Kushairi, awak buat saya malu.”
“Tapi, sekarang awak percaya pada saya kan?”
“Yelah, tapi awak tak patut buat macam ni. Awal sangat kan?”
“Betul, tapi saya nak ikat awak dulu. Lepas tamat belajar dan dapat kerja nanti baru kita kahwin.”
“Berapa lama tu?”
“Tiga-empat tahun lagi.”
“Ye-lah.”
“Lupa pula!” Buru-buru Amir Kushairi berlari membuka pintu kereta untuk mengambil sesuatu.
“Nah, ini untuk awak.”
“Apa ni?”
“Kek kegemaran awak.”
“Tiramisu?!”
Amir Kushairi mengangguk.
“Salah tu!”
“Salah?”
“Bukan kek kegemaran saya seorang tapi…”
“Kek kegemaran kita berdua,” sambung Amir Kushairi.
Mereka tergelak bersama. 
***
Nyum! Nyum! Suapan yang terakhir masuk ke dalam mulut.
“Tiramisu lagi?”
Sofini Baida menoleh sambil tersengih pada suaminya yang baru balik kerja.
“Bukan Nini yang nak, yang dalam perut ni haa…”
Amir Kushairi mengangkat kening. “Ye lah tu…”
Dia menjenguk ke dalam bekas. “Hai, tak tinggal sikit pun kat abang?”
“Ngee…” Si isteri tersengih lagi.
“Hmm, sayang abang ni kalau dah jumpa kek idaman terus lupa kat abang.”
“Taklah.” Sofini Baida bangun dengan perut boyot melangkah menuju peti sejuk. Dia mengeluarkan sesuatu.
“Mana boleh lupa kat abang, bila nampak Tiramisu jer muka abang pun terbayang sekali.” Perlahan dia melangkah kembali ke arah suaminya itu.

“Nah, untuk abang yang tersayang. You also a Tiramisu to me.”
Amir Kushairi pandang wajah Sofini Baida. “You always a Tiramisu to me.”
Always.




Ahad, 22 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 3


KETIKA memberhentikan motor Kawasaki ER6 600cc berwarna kuning dan hitam di tempat meletakkan kenderaan yang disediakan, Kay dihampiri sekumpulan tiga orang lelaki yang wajah mereka masing-masing kelihatan seperti ahli kumpulan gangster.
Kay buat endah tidak endah. Setelah mengunci motor dia berjalan sambil lewa dengan membawa topi keledar yang dipakainya tadi menggunakan tangan sebelah kirinya.
“Awak Ahmad Khairul Zariq?”
Langkah Kay terhenti apabila salah seorang daripada mereka bersuara. Dia memandang wajah-wajah yang tidak dikenali itu silih berganti sambil mengerutkan dahi.
“Saya bagi amaran kepada awak, sila jauhkan diri awak daripada Azryn Zafira!” Salah seorang daripada mereka bersuara agak lantang dan melengking.
“Huh?” Kening Kay terjongket, dia mengusap dagunya lalu menyambung. “Kenapa? Ada masalah ke?”
“Awaklah masalahnya!” Salah seorang daripada mereka sudah mula mengepalkan penumbuk dan bersedia untuk melangkah dan menyerang Kay.
Terlebih dahulu membaca gerakan pihak lawan, Kay pantas menepis serangan demi serangan tanpa gagal. Cubaan demi cubaan yang dilakukan penyerang pertama tidak berjaya lansung menyentuh walau seinci tubuh Kay menyebabkan si penyerang menjadi bertambah berang. Topi keledar yang dibawa bersama tadi dijadikan Kay sebagai alat untuk mempertahankan diri.
Melihat kelesuan yang mula menguasai penyerang pertama yang berkulit agak gelap itu, penyerang kedua pun mengambil alih selepas mendapat isyarat daripada orang ketiga yang cuma menjadi pemerhati.

Ketika penyerang kedua baru hendak memulakan serangan, Kay dengan pantas membaling topi keledar tepat pada badan si penyerang sebelum mengenggam kedua-dua belah tangan dengan sekuat hati lalu menumbuk bertubi-tubi pada muka penyerang tersebut. Pergerakan lawan kedua itu dengan mudah dapat dipintas oleh Kay dan akhirnya terkulai layu, rebah jatuh ke bumi. Samseng konon! Nah! Rasakan kau!
Tatkala melihat rakannya jatuh menyembah bumi, penyerang pertama yang sudah kehilangan tenaga itu bangkit cuba menyerang melulu Kay yang ternyata lebih bersedia. Tumbukan lawan ditepis serentak dengan serangan pada perut menyebabkan si penyerang mengaduh kesakitan. Dia yang tidak mahu mengalah bangun semula cuba mengintai sasaran yang lebih tepat. Malangnya, bukaan kaki pihak lawan yang luas dengan mudah memberi peluang kepada Kay untuk menyepak dan menjatuhkannya semula.
Sudah lama dia buka langkah seribu kalau benar ilmu di dadanya itu kosong. Inilah masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Ternyata penyerang-penyerang itu tersilap menilai kemampuan dirinya. Kay melepaskan nafas sedas sambil menggelengkan kepala. Nampaknya cik puan Azryn Zafira itu amat berharga sehingga ada orang sanggup mengupah kaki pukul agar dia menjauhkan diri daripada gadis tersebut. Huh!
Malang tidak berbau! Tanpa tidak disangka-sangka orang ketiga yang sejak dari awal cuma jadi pemerhati tiba-tiba menerpa Kay sambil menghunus sebilah pisau lalu menikam Kay di bahagian perut.
“Apa yang kau buat ini?” Agak terkejut penyerang kedua itu bila melihat perbuatan si pemerhati ke atas Kay.
“Tuan Izuddin tak mengupah kita untuk membunuh …” Penyerang pertama pula bersuara cemas melihat Kay yang sedang memegang perutnya yang sedang berlumuran darah.
“Senyaplah kau berdua! Mari kita pergi sebelum orang datang,” balas si pemerhati sebelum menarik semula pisau yang melekat pada perut Kay dan bersedia untuk melarikan diri.
Kay memegang perutnya sambil mengerang kesakitan sebelum akhirnya jatuh rebah  dengan badan yang berlumuran darah.
“Hoi! Apa yang korang buat tu hah?” Tiba-tiba ada suara yang datang menyergah. Kelihatan sekumpulan lelaki yang muncul entah dari arah mana sedang menuju ke kawasan meletakkan kenderaan tersebut.
“Cepat! Cepat lari, ada orang datang!” Kelam kabut penyerang-penyerang tersebut melarikan diri meninggalkan Kay yang sudah tersadai lemah dan tidak mampu bergerak.
“Ada orang cedera!” Dua tiga daripada mereka yang datang segera bergegas menghampiri Kay, cuba membantunya.
“Cepat telefon ambulan,” gesa lelaki yang terlebih dahulu tiba di tempat Kay sebelum salah seorang daripada rakannya mengeluarkan telefon bimbit dan mendail pihak ambulan.
Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi siren menandakan ketibaan ambulan di tempat kejadian lalu bergegas membawa Kay pergi untuk mendapatkan rawatan kecemasan di salah sebuah hospital berhampiran.   

****

“Maafkan saya Kay. Saya tidak sangka yang mereka sanggup melakukan semua ini.” Suara Azryn Zafira kedengaran sayu. Apatah lagi melihat keadaan Kay yang lemah dengan bahagian perutnya dibaluti kain kasa serta terdapat beberapa kesan lebam pada lengan dan tubuh badan akibat daripada tindakan mempertahankan diri.   
Azryn Zafira tidak dapat menyangkal yang Tengku Izuddin sebenarnya ada kaitan dengan serangan itu apatah lagi bila Kay memberitahu yang dia telah diberi amaran untuk menjauhkan diri daripadanya. Siapa lagi yang sanggup melakukan perkara di luar batasan seperti itu dan yang bermain di kotak fikiran cuma sebaris nama itu.
Azryn Zafira merasa sungguh-sungguh kesal dengan kejadian yang menimpa Kay. Semua ini berpunca daripada dirinya. Bertambah-tambah rasa bersalah dia terhadap Kay kerana terpaksa menanggung kesakitan yang sepatutnya tidak berlaku kalau dia tidak melibatkan Kay. Dia tidak akan mampu memaafkan dirinya seandainya Kay tidak terselamat dalam serangan tersebut.
“Saya betul-betul minta maaf, Kay.” Setitis airmatanya tumpah. Kalau boleh dia tidak mahu menyakiti sesiapapun.
Kay sedikit tersentak melihat Azryn Zafira yang tidak semena-mena mengalirkan airmata. Seumur hidupnya, tidak pernah ada sesiapapun yang menitiskan airmata untuk dirinya melainkan mak dia seorang sahaja. 
“Tak apa! Tak apa! Bukannya sakit sangat pun.” Sekadar menyedapkan hati Azryn Zafira walhal untuk bergerak sedikit pun rasa tidak mampu. Risau dia menyaksikan wajah sedih yang terpancar pada Azryn Zafira. Tidak pula dia menyangka Azryn Zafira yang kelihatan tegas itu punya hati yang sensitif. Terkelu lidahnya. Hendak memujuk dia tidak tahu bagaimana. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
Fesol yang memerhatikan mereka berdua sejak dari tadi, cuma mampu berdiam diri tak faham apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku. Bila pula member aku ni couple dengan minah cun ni?
Ketika dia mengangkat telefon bimbit milik Kay yang tidak berhenti-henti berbunyi sejak pagi, suara Azryn Zafira yang menyapa pendengaran. 
“Kay? Kenapa tak jawab telefon saya?” Cemas sahaja bunyinya.
“Aa…err…saya bukan Kay.”
Azryn Zafira tersentak.
“Ini bukan handphone Kay ke?” Dia bertanya cuba mendapatkan kepastian.
“Betul…”
“Habis tu, dia di mana?”
“Dia di hospital.”
Hospital? Kemalangan atau melawat orang sakit? Berdebar-debar hatinya. Kalau sekadar melawat orang sakit tak mungkinlah telefon bimbit tersebut berada dalam tangan orang lain. “Hah? Kenapa?”
“Dia cedera.”
“Cedera?” Bertambah-tambah cemas suara Azryn Zafira jadinya. Akhirnya, dia tiba di hospital setelah mendapat maklumat selanjutnya daripada Fesol.
Ketika Azryn Zafira tiba tadi, Kay sudah pun bangun dari tidur. Nasib baiklah luka akibat tusukan pisau itu tidak terlalu dalam atau terkena pada mana-mana organ penting Kay. Kalau tidak mahu jadi arwah dia malam itu.

Memandangkan Kay sedang terlantar di hospital, Azryn Zafira faham sekiranya Kay ingin menarik diri daripada meneruskan rancangan yang ditawarkan olehnya. Siapa yang mahu melibatkan diri kalau sudah menerima ugutan sebegitu rupa? Walaupun ratusan ribu menjadi habuan, tidak berbaloi untuk menggadai nyawa yang tiada galang-gantinya.
“Cik Zafira tak perlu susah hati, saya bersetuju untuk meneruskan rancangan yang berikutnya.”
“Hah?” Terkejut Azryn Zafira mendengarnya. Benarkah begitu? Dia tak serik? Liur diteguk. Wajah Kay ditatap memohon kepastian.
Kay yang sedang bersandar pada kepala katil membalas pandangan itu. Kening dijongketkan.
“Are you sure?” ulang Azryn Zafira ragu-ragu dan Kay mengangguk seraya tersenyum.
Rancangan? Rancangan apa? Fesol yang menjadi pemerhati tertanya-tanya. Dia jadi makin tak faham dan keliru. Kay cuma memberi isyarat mata kepadanya, mungkin cuba memberitahu Fesol yang dia akan bercerita lanjut padanya kemudian.
Kenapa harus melepaskan sesuatu yang berharga setelah sanggup bergadai nyawa begini? Tidak, tidak mungkin aku akan menarik diri. Makin berkobar dia untuk turut serta dalam permainan anak-anak orang kaya itu. Begitu desis hati Kay ketika memberi persetujuan kepada Azryn Zafira tadi.
Perlahan dia membetulkan badan dan membaringkan diri. Bisa tusukan itu masih dirasainya tapi dia sudah berazam dan bertekad dalam hati untuk menang dalam permainan itu walau dalam apa jua cara sekalipun.
   


Sabtu, 14 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 2


TATKALA mendengar ura-ura dia hendak disatukan dengan Tengku Izuddin semalam, Azryn Zafira diserbu rasa marah. Bukanlah dia hendak mengenepikan hak kedua-dua orang tuanya tapi kenapa Tengku Izuddin? Mendengar nama itu pun sudah cukup untuk membuahkan rasa benci apatah lagi untuk hidup sebumbung dengannya?
Dia bukan tidak kenal siapa Tengku Izuddin yang pernah suatu ketika dulu bertakhta dihatinya. Tapi itu sejarah silam, sejarah yang dia tidak ingin mengulangi walau diberi peluang seribu kali. Cukuplah hanya sekali itu, kalau boleh dia mahu kisah itu terus berkubur begitu saja.
Bagaimanapun untuk mengelak dan membuang Tengku Izuddin terus dari hidupnya, mungkin bukan sesuatu yang mustahil cuma agak sukar. Memandangkan ayahnya Datuk Ma’asud dan ayahnya Tengku Izuddin, Tengku Iksham itu sudah lama bersahabat baik. Jadi, mahu tidak mahu dia terpaksa berhadapan juga dengan lelaki yang terkenal dengan sikap womanizer - nya itu.
Semalaman dia berfikir, berusaha mencari ikhtiar dan jalan agar usul jodoh itu dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya dapat dihalang daripada terus menjadi kenyataan. Peluang yang dicari-cari akhirnya tiba ketika sesusuk tubuh yang menarik perhatiannya pagi itu, mengingatkan dia pada jalan keluar untuk masalah jodoh yang mengganggu benaknya dari semalam. Tiba-tiba idea drastik yang logiknya tidak ada menerpa menguasai akal fikiran.
Mungkin dia orang yang sesuai untuk peranan tersebut. Tubuh badan agak sasa dengan ketinggian yang sesuai serta rupa paras yang agak menarik. Cuma perlu memperbaiki penampilannya sedikit. Ah! Masa sudah suntuk untuk dia mencari idea yang lebih bernas, buat masa ini itu sahaja yang terbaik boleh difikirkannya. Tawaran RM2 ribu itu untuk ujian pertama.
Pada mulanya dia agak cuak jika lelaki tersebut menolak tawaran tersebut. Jika lelaki itu menolak hancur punahlah segala rancangan yang dibina. Dia bernasib baik kerana lelaki itu bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sekaligus melegakan hatinya yang gundah sejak semalam lagi. Dia ingin dan perlu bertindak lebih pantas mendahului rancangan orang tuanya dan keluarga Tengku Izuddin.
Seandainya lelaki itu berjaya melepasi ujian tersebut, dia sudah berkira-kira untuk menawarkan kontrak dengan upah yang lebih lumayan. Menurut firasatnya, kisah itu tidak mungkin akan berakhir di bilik conference sahaja dan dia mahu bersedia untuk segala kemungkinan yang bakal berlaku.
“Maaf, cik Zafira… Saya ingatkan setakat ini saja urusan kita. Bukankah ini cuma one time offer sahaja?” Kay jadi sedikit bimbang setelah mengetahui perempuan itu sebenarnya merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan agak terkenal di kota metropolitan itu. Bukannya bimbang akan status perempuan tersebut tapi bimbangkan penglibatannya itu bakal mendedahkan dirinya kepada umum yang secara tidak langsung membawanya kepada perkara yang selama ini cuba dielakkan.
Terkejut juga Kay ketika diperkenalkan kepada lelaki yang digelar Babah oleh Azryn Zafira tadi. Rupa-rupanya ayah Azryn Zafira merupakan seseorang yang amat dikenali dalam bidang perniagaan.
Sangka Kay, Azryn Zafira cuma ingin menggunakannya untuk mengusir lelaki hidung belang yang mengganggu hidup cik puan yang bertubuh kurus melidi persis model itu cuma ketinggiannya agak terbatas berbanding dengan model-model yang sedia ada. Kalau dari segi rupa-paras, Azryn Zafira boleh dikategorikan seorang yang berwajah menarik, manis dan memikat.
“Kontrak?” Terangkat kening Kay ketika ditujukan tawaran kedua sebaik sahaja mendapat imbuhan untuk tawaran yang pertama.
“Enam bulan sebagai kekasih awak?” Dari sehari dipanjangkan menjadi enam bulan pula. Masalah apalah yang sedang kau jebakkan diri kau, Kay?
“Awak percaya dengan kontrak ini, awak boleh selesaikan masalah awak?” Dia bertanya kepada Azryn Zafira yang sedang menyisip air mineral setelah menuangkannya ke dalam gelas kaca.
“Sekurang-kurangnya saya mencuba,” balas Azryn Zafira bersahaja.
“Sebelum saya bersetuju, saya rasa saya berhak untuk mengetahui sebab dan puncanya awak perlu melakukan semua ini. Selain daripada jawapan yang ini semua ada kaitan dengan hidup dan mati awak.”
Pelbagai soalan yang perlukan penjelasan sedang berlumba-lumba mencari tempat di mindanya. Pada hemat Kay, sekiranya dia mahu turut serta dalam permainan yang dicipta Azryn Zafira itu sekurang-kurangnya sedikit info perlu untuk dia mendapat sedikit gambaran akan hala tuju dan arah permainan tersebut. 
“Sekiranya saya membuka rahsia itu, adakah awak akan bersetuju?”
“Hmm, saya akan fikirkan itu kemudian.” Kay menarik nafas perlahan.
Akhirnya Azryn Zafira menceritakan segala kemushykilan yang bermain di minda secara ringkas. Dia tidak mahu terlalu transparent kepada Kay yang baru dikenali tidak sampai sehari itu.
“Kenapa tidak awak berterus terang kepada ayah awak, bukankah itu lebih mudah?”
Azryn Zafira menggeleng-gelengkan kepala. Kalaulah semudah itu.
“Awak belum kenal ayah saya lagi. Dia seorang yang amat komited dengan perniagaannya dan sangat mementingkan tali persahabatan. Lagipun ayah tak tahu yang saya sudah terlebih dahulu mengesan rancangan mereka untuk menjodohkan saya dengan Izuddin.”
“Apa masalah awak dengan Tengku Izuddin sebenarnya?” Terbayangkan kembali wajah berang Tengku Izuddin ketika dia diperkenalkan kepada mereka tadi.
Bagi Kay, Tengku Izuddin tidak ada apa yang kurang. Segak, ada rupa ada gaya, berkedudukan dan berharta. Mungkin sikap dan attitude yang agak menjengkelkan itulah kelemahan utamanya.
Azryn Zafira terdiam seketika, agak keberatan untuk membicarakan isu tersebut kepada Kay. “Cukuplah kalau saya katakan yang dia adalah manusia yang paling jijik yang pernah saya kenal selama hidup saya.”
Kay segera melirik ke arah Azryn Zafira.
“Saya tidak mahu dia jadi jodoh saya walaupun dalam dunia ini sudah tidak ada lelaki lain selain dari dia. Tidak dalam sejuta tahun pun.”
Huh?! Nampaknya ada sejarah di antara mereka berdua, fikir Kay.
“Baiklah, tapi bagi saya masa sehari untuk memikirkan tawaran awak,” ujar Kay sambil melurut rambutnya ke belakang. Segera dia bangun dari duduk. Sudah tiba masa untuk dia beredar.
“Saya hantar awak balik.”
“Tak apalah cik Zafira, saya datang naik motor.”
“Ooh!”
“Kalau ada apa-apa, cik Zafira boleh hubungi saya. Ini nombor telefon saya.” Kay menulis nombor telefon bimbitnya pada sehelai kertas kecil sebelum menyerahkannya kepada Azryn Zafira.


“Kalau tidak apa-apa lagi, biarlah saya beransur dulu.” Kay sudah bangun dari duduk.
Azryn Zafira terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Kay.
“Nice knowing you, saya harap lepas ini hubungan kita tidak akan terputus begitu sahaja.” Azryn Zafira berkata sambil mengukir senyuman manis.
“Walaupun, saya mungkin menolak tawaran awak?”
“Ya, tapi awak belum lagi memberikan keputusan yang muktamad tentangnya ‘kan?”
Kay diam sejenak sebelum mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata Azryn Zafira.
“Lagi satu saya nak tanya awak.”
 Tombol pintu tidak jadi dipulas Kay. Dia menanti.
“Awak memang bekerja dengan syarikat penghantaran express ke?”


   

Sabtu, 7 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 1


AZRYN Zafira mengetuk pintu bilik mesyuarat sebelum memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalamnya. Kelihatan ayahnya sedang leka membincangkan sesuatu bersama beberapa ahli korporat yang lain. Mungkin tentang projek baru atau strategi terkini pemasaran.


Bila mereka kelihatan seperti tidak sedar akan kehadirannya, Azryn Zafira sengaja berdehem dan batuk-batuk kecil. Cuba untuk menarik perhatian.
“Assalamualaikum, Babah.” Azryn Zafira senyap seketika sebelum menyambung. ”Kenalkan ini teman lelaki Azryn, Ahmad Khairul Zariq.”
Datuk Ma’asud yang sedang bersembang segera berpaling ke arah suara lunak milik Azryn Zafira anak tunggal perempuannya. Rakan-rakan sembangnya juga turut menoleh sama. Pandangan masing-masing tertumpu pada lelaki yang sedang berdiri di samping Azryn Zafira. Lelaki yang memakai kacamata hitam, berkemeja-t putih serta berseluar jeans dengan fesyen rambut ala-ala pelakon korea Jung Ji-Hoon (Rain) dalam drama bersiri ‘A Love to Kill’.
“Mana you dapat mamat sengkek ni?” Tengku Izuddin seraya berpaling memandang sinis lelaki yang hadir bersama Azryn Zafira. “Berapa dia bayar awak untuk menyamar jadi teman lelaki dia?”
Azryn Zafira menjeling dingin Tengku Izuddin, seolah-olah tahu yang lelaki tersebut akan melontarkan kata-kata sarkastik itu.
“Hey, bro! Watch your mouth, you could end up bleeding with broken ribs all over.” Tenang saja suara lelaki yang ditujukan soalan itu menjawab.
Azryn segera memaut lengan lelaki itu, tanpa segan silu. Hati Tengku Izuddin yang memandang seakan membengkak dengan adegan itu. Baru sahaja dia ingin bangun dari sofa, cepat-cepat Tengku Ikhsham menghalang sambil memandang tajam ke arahnya.
“Iz, behave.” Tengku Ikhsham, ayah kepada Tengku Izuddin segera mengawal situasi. Dia tidak mahu suasana di bilik conference milik syarikat Datuk Ma’asud itu bertukar menjadi keruh. Dia faham sangat dengan kerenah anaknya yang cepat baran itu.
“Babah, Azryn beredar dulu. Nampaknya Azryn tersilap memilih hari untuk memperkenalkan ‘buah hati’ Azryn pada Babah.” Azryn sengaja menekan perkataan buah hati sambil matanya melirik ke arah Tengku Izuddin yang sedang menahan rasa amarah. 
Tengku Izzudin bukan tidak tahu yang Azryn Zafira memang sengaja mengundang kemarahannya, sengaja membakar dan mengapi-api tapi dia tidak mampu mengawal perasaannya.
“Baiklah, nanti kita bincang di rumah. Hmm, siapa nama awak tadi?”  Datuk Ma’asud mengalihkan perhatian kepada lelaki yang berada di sisi anaknya itu.
“Ahmad Khairul Zariq.” Belum sempat lelaki itu menjawab, Azryn sudah mendahuluinya.
Datuk Ma’asud sekadar mengangguk.
“Selamat berkenalan, Datuk.” Lelaki itu segera menghulurkan tangan bersalaman dengan pemilik syarikat Ma’asud Holdings itu tanda hormat.
Kemudian dia menghampiri Tengku Iksham dan anaknya Tengku Izuddin pula. Tengku Izuddin segera memalingkan muka, cuma ayahnya saja yang sudi menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
“Okeylah, Kay mari kita pergi.” Azryn segera menarik lengan Kay sebelum beredar keluar dari bilik tersebut. Suara dan lenggoknya sengaja dimanjakan. Kay menurut saja langkah Azryn.

*****

Kay membuntuti Azryn Zafira yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Bahang drama yang berlaku dalam bilik conference tadi masih terasa.
Azryn Zafira menarik kerusi mempersilakan Kay menyelesakan diri sebelum dia sendiri duduk berhadapan dengan lelaki tersebut. Dia menghembus nafas panjang sebelum menarik laci meja sisi untuk mengambil sesuatu. Kay sekadar memerhati.
“Awak memang macam ni ke?” tanya Azryn Zafira.
“Macam ni?” Apa maksudnya? Pelik sedikit Kay mendengar soalan tersebut.
Azryn Zafira pandang wajah Kay. Orangnya agak senyap, tak banyak cakap. Agak berbeza dengan penampilan. Ingin sahaja dia meluahkan begitu tapi didiamkan sahaja. Terlalu awal untuk aku menilai, fikir Azryn Zafira.
“Nah! Ini upah awak.” Azryn Zafira menyerahkan sampul berisi not RM100.00 sebanyak 20 keping kepada Kay.
“Kiralah, mana tahu terkurang terlebih?” Azryn Zafira duduk santai di atas kerusi pejabat yang berwarna biru gelap itu.

Ruang pejabat yang sederhana besarnya itu dihiasi dengan cat kuning cair dengan blind warna senada pada tingkap cermin sebesar dinding di sebelah kiri mejanya. Sebuah pasu dengan pokok hiasan diletakkan di salah satu sudut agar ruang tidak kelihatan kosong.
“Tak perlu, saya percayakan Cik Zafira.” Kay membetulkan duduknya sambil menatap wajah Azryn Zafira..
Bila Azryn Zafira senyap, Kay segera menyimpan sampul tersebut di dalam beg sandang yang dibawanya bersama. Mungkin sudah tiba masanya untuk beredar. Dia tidak faham mengapa anak kepada tuan punya bangunan itu memilih dirinya untuk berlakon jadi kekasih. Tapi apa sekali pun tujuannya, dia tidak mahu ambil tahu. Biar orang yang memberikan imbuhan yang agak lumayan itu simpan ceritanya.
Ketika menghantar bungkusan yang dialamatkan kepada Azryn Zafira pagi tadi, Kay tidak menyangka akan ditawarkan dengan upah yang sebegitu banyak untuk lakonan yang mengambil masa kurang dari setengah jam dengan dialog yang tidak banyak. Mungkin inilah yang dikatakan ‘rezeki terpijak’.
Tujuan Kay ke bangunan tersebut pun sekadar ingin menolong Fesol, rakan serumahnya yang tiba-tiba diserang sakit ketika ingin melunaskan penghantaran yang terakhir. Tugas rakan serumahnya itu yang membawanya ke bangunan tersebut. Dia sebenarnya tidak ada kena mengena pun dengan syarikat penghantaran express yang bertanggung jawab ke atas bungkusan yang dibawanya tadi.
Terbayang kembali peristiwa sebelum babak-babak lakonan terancang yang berlaku di bilik conference sebentar tadi.
“Azryn Zafira Binti Ma’asud?” Dia bertanya pada seorang gadis yang berada di meja yang terletak berhadapan dengan pejabat milik orang yang dimaksudkan.
Sudah menjadi tugas gadis tersebut sebagai P.A untuk mengambil sebarang surat-menyurat, bungkusan, kurier dan sebagainya bagi pihak Azryn Zafira tapi kebetulan ketika itu majikannya itu sedang melangkah menuju ke arahnya dari sebuah pejabat milik salah seorang kakitangan syarikat yang sama. Dia memandang lelaki itu dari jauh dan bila tiba di meja Suhana, dia bertanya.
“Kenapa?”
“Tak ada apa cik puan, dia cuma nak hantar bungkusan.”
“Tak apa, biar dia masuk ke pejabat saya. Saya ada hal nak cakap dengan dia.”
“Mari, ikut saya. Awak minum kopi?”
Lelaki itu mengangguk, dengan hati yang cuak.
“Suhana, awak bawakan secawan kopi untuk lelaki ini dan air mineral untuk saya. Nanti hantar ke pejabat saya,” arah Azryn Zafira kepada pembantunya itu.
Suhana yang sedang berdiri segera mengangguk sebelum berlalu pergi.
“Silakan duduk.”
“Terima kasih.” Lelaki itu mengibas seluar yang dipakai sebelum duduk berhadapan dengan Azryn Zafira.
“Siapa nama awak?”
“Nama penuh, Ahmad Khairul Zariq bin Ahmad Shah. Kawan-kawan panggil Kay.” Pelik juga dia bila cik puan ini bertanya.
Kay memandang wanita yang pada firasatnya berumur lebih muda darinya, mungkin dalam lingkungan 25 – 26 tahun. Apa yang dihendakkannya daripada aku siap kena masuk ke dalam pejabatnya?
Azryn Zafira bermain-main dengan pena yang dipegangnya. Nafas dihela dan dilepas perlahan sementara matanya masih menilik lelaki di hadapan.


Kay pandang keliling, sebelum matanya jatuh pada seraut wajah milik Azryn Zafira. Mesti awek ni berpangkat besar, kalau tidak masakan dia disediakan sebuah ruang pejabat oleh pihak syarikat. “Kenapa cik nak jumpa saya?”
“Kalau saya tawarkan RM2 ribu untuk berlakon jadi kekasih saya untuk sehari ini, awak terima?”
Hah?! Jatuh rahang Kay mendengar tawaran yang tidak disangka itu. Pelik? Dia sebenarnya tak hairan pun dengan wang sebanyak RM2 ribu itu. Tapi daripada dia duduk merewang sahaja, bagus juga terima tawaran tersebut lepas itu layan drama sebabak yang bakal pecah panggung realiti. Kay tergelak dalam hati.
Bukankah tindakan aku ini seperti menempah bala sahaja, buatnya aku terjebak masalah yang sukar untuk diselesaikan bagaimana? Fikir Kay semula dalam keadaan berbelah bagi tapi sedetik cuma. Hmm, bukankah hidup aku memang hidup yang penuh dengan risiko? Akulah risiko, risiko itulah aku. Jadi, apa salahnya menambahkan satu lagi risiko ke dalam hidup aku?
Azryn Zafira batuk-batuk kecil membuatkan Kay tersedar semula dari lamunan. Dia meneliti empunya diri yang diberi nama Azryn Zafira itu. Hendak digelar wanita, nampak muda sangat, hendak digelar gadis, tak sesuai dengan usia pula. Perempuan, dara, si genit, perawan, si jelita, si manis? Hmm…
“Kay?”
“Juita…” Itu yang terpacul keluar dari bibir Kay membuatkan Azryn Zafira terpinga-pinga.
Juita ‘kan itu maksudnya buah hati? Kekasih? Sesuai ke? Tapi juita juga maksudnya cantik ‘kan? Lupa pulak. dia ‘kan pegang watak sebagai kekasih aku dalam drama sebabak tadi. Mungkin heroin lebih sesuai kut?
“Kay?” Sekali lagi Azryn Zafira bersuara membuatkan Kay tersentak.
Segera dia meraup wajahnya.
“Maaf, saya beredar dulu Cik Zafira. Terima kasih.” Pantas dia bangun dari duduk sebelum melangkah pergi.
“Kay?”
Kay yang sedang memulas tombol pintu menoleh. Secebis senyuman dilemparkan kepadanya. Nampak ikhlas.
“Tunggu dulu,” pinta Azryn Zafira.
Ada lagi? Berkerut dahi Kay.