Memaparkan catatan dengan label Demi Cinta - Juita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Demi Cinta - Juita. Papar semua catatan

Selasa, 31 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 5


AZRYN Zafira dan Kay berjalan beriringan menuju ke sebuah restoran yang menyediakan masakan ala Thai yang terletak di dalam Capsquare. Ketika tiba di hadapan restoran tersebut Kay membukakan daun pintu kaca itu terlebih dahulu sebelum membiarkan Azryn Zafira melangkah masuk.   
“Sesuai ke tempat ni Cik Zafira?” tanya Kay setelah berjaya mendapatkan tempat untuk mereka berdua di dalam restoran tersebut.
“Kita order makanan dulu, later we discuss about the terms.” Azryn Zafira tidak menjawab soalan Kay malah sebaliknya menggamit salah seorang pekerja restoran yang berada tidak jauh di hadapan mereka. Segera pekerja tersebut datang dengan membawa dua helai kertas kad bod berbingkai kayu mengandungi senarai menu yang ditawarkan oleh restoran tersebut.
“So, awak nak makan apa?” Azryn Zafira memandang Kay yang duduk berhadapan dengannya.
“Saya tak kisah asalkan halal.” Kay melurutkan rambutnya kebelakang.
“Semua makanan di sini memang sudah disahkan halal.” Kata-kata Azryn Zafira membuatkan Kay terseringai.
“Macamana dengan laksa?” Azryn Zafira memberikan cadangan sambil menatap wajah segar Kay.
“Okey. Saya pun dah lama tak makan laksa.” Kay nampaknya bersetuju dengan cadangan itu.
Tidak cerewet, Azryn Zafira menilai.
“Dua pinggan laksa.” Azryn Zafira talakan pandangan ke arah pelayan restoran yang sedang menunggu. Pantas sahaja lelaki itu mencatat pesanan seperti yang diminta.
“Air?” Pekerja tersebut memandang mereka silih berganti. Bermula dengan Kay kemudian Azryn Zafira. 
“Saya nak Orange Juice. Kay?” Azryn Zafira menyapu bersih wajah Kay.  
“Me too,” jawab Kay membalas pandangan Azryn Zafira.
“Saya ulang sekali lagi pesanan. Dua laksa, dua orange juice.”
Azryn Zafira mengalihkan pandangan kembali kepada pelayan restoran tersebut seraya mengangguk mengiyakan pesanan tersebut.
Setelah mengambil semula kad menu, pelayan restoran yang memakai pakaian seragam berwarna hitam dan merah darah itu segera berlalu pergi.
Kay dan Azryn Zafira berbalas-balas pandang. Masing-masing membisu buat seketika.
“Cik Zafira, sebelum kita meneruskan rancangan ini. Saya juga berhak mengemukakan syarat-syarat bukan?” Kay bersuara memecahkan suasana hening itu sementara menanti pesanan dihantar.
“Sudah tentu.” Azryn Zafira menjawab tenang.
“Cik Zafira juga ada meletakkan apa-apa syarat? Sudah tentu ada bukan?” Kay menjawab kembali soalan yang dilontarkan.
Azryn Zafira sekadar tersenyum. Manis, di mata Kay.
“Siapa yang hendak mulakan?” tanya Azryn Zafira kemudiannya.
“Cik Zafira yang offer, cik lah mulakan dulu. Bak kata orang, ladies first.”
“Baiklah.” Azryn Zafira mengambil nafas sebelum meneruskan. Kacau juga jiwanya memikirkan syarat-syarat yang sepatutnya atau perlu ada dalam kontrak yang dimaksudkan.
“Syarat yang pertama, tolong buang panggilan cik itu bila awak ingin berbual dengan saya. Lagipun kita ‘kan sedang berlakon sebagai sepasang kekasih. Cukuplah sekadar nama pendek  Nampak lebih mesra, orang pun akan lebih mudah percaya.”
“All right, that makes sense. Well, I kinda like Zafira or Ryn. Hmm…” Kay mengurut dagunya dengan menggunakan jari sebelah kiri sementara jari jemari tangan kanannya pula mengetuk meja seolah-olah memikirkan sesuatu.  
“Which one do you prefer?” Kay meminta pandangan daripada tuan empunya nama.
“Dunno. Mana-mana pun okey. Maybe Zafira? Tak pernah ada orang panggil saya dengan nama itu. Sound nice also.” Azryn Zafira memberikan pendapatnya.
“Kalau macam itu, Zafira it is.” Kata sepakat sudah dicapai untuk syarat yang pertama.


Perbualan mereka tergendala sebentar apabila pekerja yang melayan mereka tadi tiba dengan membawa pesanan. Laksa ala Thai.  Aromanya sudah menusuk rongga pernafasan lalu menggoda deria rasa masing-masing.
“Mari kita menjamu selera,” pelawa Zafira. Masing-masing sudah tidak sabar mahu merasa laksa yang terhidang di depan mata. Kelihatan sungguh menyelerakan.
“Yeah, can hardly wait. Yummy!” Kay menggosok-gosokkan kedua belah telapak tangan sebelum mengambil sudu dan garpu yang disediakan.
“This is so delicious.” Terbaik. Azryn Zafira memuji hidangan tersebut. Kay mengangguk setuju.
“Mmm, so syarat pertama setuju ya?” Azryn Zafira menyisip jus oren sambil memerhatikan Kay.
“Setuju. Tak ada masalah. Bagaimana dengan syarat kedua?”
“Syarat kedua, saya nak ubah penampilan awak sedikit? Are you okey with that?”
“Kenapa? Saya tak cukup handsome?” Kay berhenti seketika sambil mengundurkan diri ke belakang cuba meneliti diri sendiri.
Zafira turut sama berhenti memerhatikan tingkah laku Kay yang agak kelakar baginya. “Bukan macam itu, you are as handsome as you are. Cuma nak buat make-over sikit. Hair style and the way you dress?”
Satu-satu ayat Zafira keluar, bimbang kalau-kalau Kay terasa hati.
“Apa orang kata, upgrade? Up sikit?” sambungnya lagi.
“Oh! Okey, as you wish, ma’am.”
“Tak kecil hati, ‘kan?”
“Tak.” Kay tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia kembali menyambung semula menikmati hidangan yang tergendala tadi.
“Syarat ketiga?” Kay pula yang melontarkan soalan.
“Ermm… arr… Bila-bila masa saya perlukan awak, awak kena ada.” Kata-kata Zafira membuatkan dahi Kay berkerut seribu.
“Itu general sangat, kena bagi more specific. Rasanya susah hendak saya tunaikan sebab… Saya ada waktu-waktu yang tidak boleh dan tidak mahu diganggu,” terang Kay.
“Kiranya itu syarat pertama awaklah ya? Hmm…tell me.” Zafira segera membuat andaian. Memang syaratnya itu agak luas dan patut dihuraikan dengan lebih terperinci.
            “Ahad, Isnin dan Jumaat. Hari-hari yang saya tidak boleh diganggu. You can call me but I won’t promise that I will be there for you, for any task. Any day other than the days that I mentioned is fine with me.”
Zafira sekadar mengangguk-anggukkan kepala mendengar patah-patah bicara Kay. Ahad, Isnin dan Jumaat. Ulang Zafira dalam hati. Ada apa dengan hari-hari itu ya? Terlintas juga di fikiran Zafira tapi tidak diluahkan dalam bentuk pertanyaan. 
“Lagi?” Zafira meneruskan suapan sambil menanti jawapan dari Kay.
“Erm… yang kedua, saya seboleh-bolehnya tidak mahu terlibat dalam mana-mana acara yang melibatkan media, press, dan yang sewaktu dengannya.”
“Kenapa?”
Kay menggelengkan kepalanya sambil menghabiskan suapan yang terakhir. Sudu dan garpu diletakkan. Dia mengambil sehelai tisu lalu mengesat bibirnya.
“Soalan awak tu ada kena-mengena dengan syarat ketiga saya, hak peribadi dan yang berkaitan tidak boleh disentuh termasuk soal jawab tentang latar belakang diri dan keluarga saya.”
Panjang jawapan yang diberikan. Nampaknya Kay seperti sudah memikirkan semuanya. Zafira berhenti dari meneruskan suapannya sambil memerhatikan Kay yang sudah menghabiskan makanannya dan sekarang sedang menghirup jus oren.
“Baiklah syarat yang ketiga itu apply to me as well. Tapi syarat kedua susah sikit nak follow... kalau ada dinner dengan keluarga, majlis-majlis amal yang saya kena hadir macam mana?”
“As long as it doesn’t involve media and press should be fine.”
“Awak dah ada tiga syarat, saya pun sama. Nope, mine is four because your third one is considered applied to the both of us. Do you still have any?”
“Last one, yang nombor empat mana-mana satu syarat yang telah saya katakan tadi jika tidak dipatuhi atau dilanggar secara sengaja, maka kontrak ini akan serta-merta terbatal.” Kay berhenti sejenak sebelum menyambung.
“Zafira pula macamana, ada lagi tak syarat-syarat yang perlu saya tahu?”
“Hmm….tak terfikir pula.” Zafira terhenti sejenak.
“Bagaimana kalau syarat yang terakhir, akan ditentukan bila bersesuaian dengan keperluan?” sambung Zafira semula.
“Okey juga, saya pun nak guna syarat yang terakhir itu.” Kay juga tidak keberatan.
“Apa kata kita gabungkan semua syarat-syarat tersebut? So, tak perlu buat senarai berbeza untuk saya dan untuk awak?”
“Terpulang, selagi kita tahu mana batas masing-masing, tidak ada masalah bagi saya.”
“Awak tak mahu bertanya tentang bayaran?”
“Tentang itu saya serahkan kepada Zafira.”
Semuanya terserah kepada saya? Zafira agak ralat dengan jawapan itu tapi dia tidak pula membantah.
“Semua syarat dipersetujui? Tiada bangkangan?” tanya Zafira meminta kepastian. Kay mengangguk.
“Deal?” Tangan dihulurkan untuk berjabat.
“Deal.” Sepatah Kay menjawab menyambut huluran tangan Zafira.
“Perlu didokumentasikan tak?” tanya Zafira lagi setelah jabatan dilepaskan.
“It is up to you.”
Oh! Lagi? Terpulang, terserah. Sekarang it’s up to you? Zafira sudah mula terasa bosan dengan ayat tersebut. Kay ini jenis yang macam mana? Adakalanya seperti bijak membuat keputusan sendiri tapi ada juga masa kelihatan seperti tidak tahu membuat keputusan.
“Tapi, bagi saya selagi kita jujur dan amanah, serta percaya, tidak ada masalah sama ada perlu atau tidak surat atau dokumen perjanjian tersebut. Tapi untuk rekod masing-masing, perlu kut?” Tiba-tiba Kay menyambung ayatnya tadi.
Mati terus andaian Zafira tentang pendirian Kay. Mungkin aku terlalu cepat menilai dirinya, bisik hati kecil Zafira.
“Kalau begitu, nanti saya buatkan drafnya. Bila dah siap, saya akan jumpa awak semula?”
“Okey.”
“Macamana dengan laksa tu?”
“Sedap, sesuai dengan citarasa saya.”
“This time, saya belanja.”
“Tak apa, saya boleh bayar.” Kay menolak lalu mengeluarkan dompet dari saku belakang seluar jeans yang dipakainya.
“Saya tak kata awak tak boleh bayar. Tapi, saya yang ajak awak keluar…”
“Ini kira first date, so saya akan bayar.”
Ada ke fikir macam itu? Zafira sudah mula tergelak. 
“Ini kira first date ke? Awak ni kelakarlah Kay. Ini tak boleh dikira sebagai date lah, this is unofficial meeting.”
Kay sedikit terhibur mendengar tawa Zafira. Dia turut sama tersenyum.
“Anyway, I will settle the bill,” kata Zafira seketika kemudian.
“Baiklah. As you wish ma’am.” Akhirnya Kay mengalah.
“Next time, when it’s really a date baru awak belanja saya okey?” Zafira sambil mengukirkan senyuman manis di bibir membuatkan Kay terbuai seketika.
Mana-mana lelaki pun akan tergoda dengan senyuman yang terukir di bibir kecil mungil milik gadis itu. Sudah pasti ada ramai lelaki yang sudi berada di sisinya tanpa perlukan sebarang kontrak yang mengikat hubungan sementara seperti yang sedang berlaku sekarang. Soalnya kenapa? Adakah kerana dia sudah hilang kepercayaan kepada kaum lelaki? Mungkinkah juga dia terdesak? Kay mengangguk sendirian memikirkan andaian-andaian yang muncul dimindanya.
Dia menatap semula wajah Zafira. Lama dia meneliti. Baru dia sedar akan kelembutan dan wajah keanak-anakan yang cuba disembunyikan Zafira dengan bersikap tegas dan kaku.


Zafira yang tidak sedar diperhatikan berpaling semula mengadap Kay setelah menjelaskan bayaran kepada pelayan yang datang membawa bil. Tersentak Kay dibuatnya. 
“Shall we go?” Zafira segera mengukirkan senyuman ketika Kay sedang terpinga-pinga.
“Kenapa?” tanya Zafira bila dia sudah bangun dari duduk, perasan Kay yang masih belum berganjak.

“Tak ada apa-apa.” Kay segera mengukir senyum menutup rasa malu yang singgah tiba-tiba. 

Ahad, 29 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 4


SENYAP sunyi keadaan wad yang menempatkan empat buah katil pesakit itu. Dua tiga hari yang lepas masih penuh lagi. Semalam dua orang daripada mereka sudah pun dibenarkan balik.
“Bagaimana dengan keadaan luka saya, doktor?” Begitu tanya Kay pada Doktor Marissa ketika beliau sedang melakukan pemeriksaan dari wad ke wad pagi itu.
Kay memerhatikan saja kelakuan Doktor Marissa yang kelihatan masih muda pada pandangannya. Muda-muda lagi sudah jadi doktor, fikirnya. Doktor yang memakai kot putih dengan dress hitam berpotongan V rendah di dalamnya itu nampak seksi di matanya. Kalau macam inilah wajah dan gaya doktor yang merawat selalu, mau para pesakit menolak untuk dihantar pulang tak pun datang berulang-kali sebab sakitnya tak kebah-kebah. Kay tersenyum sendiri memikirkannya.
“Sudah beransur pulih. You are recovering very fast.” Doktor Marissa mengambil giliran untuk bertugas pada pagi itu menggantikan Doktor Ilham. Dia menjawab soalan Kay sambil meneliti kad pesakit yang diberi oleh seorang jururawat pengiring.
“Jadi, hari ini saya boleh balik doktor?” Kay kelihatan agak gembira mendengarnya.
Sudah beberapa hari dia terlantar di situ. Dia sudah jemu dengan makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Asyik menu yang sama dan tidak ada rasa. Tawar. 
“Ya, saya rasa tidak ada masalah. Sebentar lagi, saya akan minta nurse untuk cuci luka dan ganti balutan awak. Preskripsi ubat yang diperlukan akan saya maklumkan kepadanya. Awak boleh ambil di kaunter masa discharge petang nanti.”


“Terima kasih doktor.” 
“Terlupa saya.” Tiba-tiba Doktor Marissa yang baru hendak melangkah pergi menoleh dan kembali memandang wajah Kay.
“Saya akan berikan awak salinan perubatan untuk report polis. Nanti, saya minta nurse berikannya sekali kepada awak.” Dia mengangkat kedua-dua kening di sebalik cermin matanya.
“Err…” Kay sendiri terlupa akan perkara itu.
“Awak akan buat laporan polis bukan?” Soalnya semula bila Kay kelihatan teragak-agak.
“Nampaknya begitulah, doktor.”
Setelah Doktor Marissa berlalu pergi, jururawat yang memakai tanda nama Raeleen itu membawanya ke dressing room seperti yang diarahkan.
Terseringai Kay menahan kesakitan ketika lukanya dicuci. Sebentar kemudian dia keluar dengan pembalut yang baru. Setelah selesai, dia kembali semula ke wad di mana dia ditempatkan tadi.  
Lama dia baring merehatkan diri, memikirkan kembali babak-babak serangan yang mengakibatkan dirnya terlantar untuk beberapa hari di sini. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dia mengangkatnya, bimbang bunyi deringan tersebut mengganggu ketenteraman pesakit yang lain.
“Assalamualaikum?” lunak suara di seberang talian.
“Waalaikumusalam.”
“Macam mana, sihat hari ni?”
“Alhamdulillah.”
“Bila boleh keluar?”
Ketika soalan itu ditujukan barulah dia teringat untuk menelefon Fesol. “Petang nanti.”
“Oh?” Agak terkejut si pemanggil mendengarkan berita itu.
“Tapi, saya kat Penang. Macam mana saya hendak jemput awak?” Azryn Zafira bersuara sedikit bimbang.
“Tak perlu menyusahkan diri cik Zafira. Tidak mengapa, saya akan minta kawan saya untuk datang menjemput saya.”
“Rasa bersalah pula.”
“Tak apa. It’s okey.”
“Maafkan saya, ek? Bila saya balik dari Penang, saya akan cari awak.”
“Okey.” Kay menjawab sambil tersenyum.
“Jaga diri.” Klik! Talian dimatikan.
Seketika kemudian Kay menekan nombor Fesol.
“Fesol?”
“Ya?”
“Kau boleh tolong ambil aku hari ini? Aku dah boleh balik.”
“Okey. Lepas habis kerja nanti aku datang.”

***
Fesol tiba ketika masa melawat sudah hampir tamat. Nasib baiklah pihak hospital membenarkan dia masuk ke dalam wad memandangkan dia yang akan membawa Kay pulang.  
“Apasal kau lambat?”
“Biasalah, traffic.”
Kay sekadar mengangguk.
“Engkau boleh naik motor ke?” tanya Fesol pula.
“Boleh. Tak ada masalah.”
Ketika sampai di kawasan meletakkan kenderaan, Fesol membuka mangga yang dikuncikan pada rantai motor.
“Kau nak makan dulu atau nak straight balik rumah?” Dia menyerahkan sepasang topi keledar kepada Kay.
“Aku tak kisah, singgah mana-mana gerai tepi jalan pun boleh. Aku dah lama juga tak pekena teh tarik Che Din.”
“Okey, cantik!” Terus sahaja Fesol bersetuju.

Ketika tiba di persimpangan kawasan perumahan Jalan Cemara, Fesol memberhentikan motorsikalnya lalu diletakkan di bahu jalan berhadapan dengan sebuah bank. Terdapat beberapa deret rumah kedai di kawasan tersebut. 
Manakala di bahu jalan utama pula, dipenuhi dengan beberapa buah gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Macam-macam ada dari roti canai, nasi campur hinggalah makanan yang digoreng, rebus dan sebagainya. Lebih menarik apabila tiba bulan puasa kerana terdapat gerai yang dibuka sehingga waktu sahur sebelum ditutup semula bagi menghormati bulan Ramadan.
“Minum dik?” tanya seorang wanita separuh baya sebaik sahaja mereka berdua melabuhkan punggung pada bangku yang disediakan di salah gerai yang deretannya agak panjang hingga ke penghujung jalan.

“Teh tarik dua, kaw punya.”
“Makan?”
“Nanti sekejap baru kami order, kak ye?” 
 Segera wanita itu berlalu sebelum kembali semula sambil menatang dulang yang berisikan minuman yang dipesan tadi.
“Mana awek engkau tu?”
“Awek mana?”
“Awek mana lagi. Awek yang datang hari-hari kat hospital melawat engkau itulah.”
“Itu bukan awek akulah.”
“Habis tu?”
“Hari ini dia tak ada, dia ke Pulau Pinang.” Malas Kay hendak bersoal jawab dengan Fesol.
“Mana kau cekau awek tu?”
“Bukan aku yang cekau dia, dia yang cekau aku.”
Gelak sakan Fesol mendengarnya.
“Kau dengan dia apa kes?” Fesol masih ingin mengambil tahu. Dia faham sangat akan Kay yang tidak mungkin akan berselindung lama-lama dengannya.
“Dia minta aku berlakon.”
“Dia penerbit filem ke?” Bibirnya terjuih, keningnya terjongket. Hebat kawan aku ni.
“Tak.”
“Habis tu?”
“In real life, jadi teman lelaki dia.” Akhirnya persoalan yang bermain di minda Fesol terjawab.
 “Serius?”
 Kay mengangguk.
“Habis tu, kau setuju?”
 Mengangguk lagi.
“Berapa lama?”
“Enam bulan.”
“Enam bulan?”
Kay mengangkat kedua-dua keningnya, mengiyakan.
“Aku rasa lebih baik kau tarik diri.”
“Aku dah berjanji. Kau tahu aku jenis yang macam mana, kan? Aku tak suka mungkir.” Kay menghirup perlahan teh tarik yang masih panas itu.
“Kalau kau jatuh cinta dengan dia macam mana?” Fesol dengan andaiannya.
“Mustahil kut.” Kay menggelengkan kepala. Ada kemungkinankah kalau hatinya sudah jadi milik orang lain?
“Jangan kata tak mungkin. Segala-galanya tidak mustahil.”
“Kalau macam tu apa salahnya kalau kami bercinta.” Tiba-tiba ayat itu yang meluncur keluar. Fikir Kay, mungkin itu yang Fesol nak dengar.
“Kau dah jatuh cinta dengan dia ke?” Musykil Fesol jadinya.
“Tak adalah. Aku cuma kata apa salahnya.”
“Delaila Asyikin macamana pula?” Sekali lagi Fesol melontarkan soalan.
 Delaila Asyikin. Segera fikiran Kay melayang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Pertama kali dia bertemu dengan Delaila Asyikin. Sepasang mata bening yang menghias seraut wajah mulus milik gadis yang kini mungkin sudah mencecah usia 25 tahun. Sepasang mata bening yang menambat hati lelakinya.  
“Still on. Aku tak pernah sekalipun melupakan dia.” Mana mungkin dia melupakan gadis yang sedang dan masih bertakhta di hatinya. Mana mungkin?


Ahad, 22 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 3


KETIKA memberhentikan motor Kawasaki ER6 600cc berwarna kuning dan hitam di tempat meletakkan kenderaan yang disediakan, Kay dihampiri sekumpulan tiga orang lelaki yang wajah mereka masing-masing kelihatan seperti ahli kumpulan gangster.
Kay buat endah tidak endah. Setelah mengunci motor dia berjalan sambil lewa dengan membawa topi keledar yang dipakainya tadi menggunakan tangan sebelah kirinya.
“Awak Ahmad Khairul Zariq?”
Langkah Kay terhenti apabila salah seorang daripada mereka bersuara. Dia memandang wajah-wajah yang tidak dikenali itu silih berganti sambil mengerutkan dahi.
“Saya bagi amaran kepada awak, sila jauhkan diri awak daripada Azryn Zafira!” Salah seorang daripada mereka bersuara agak lantang dan melengking.
“Huh?” Kening Kay terjongket, dia mengusap dagunya lalu menyambung. “Kenapa? Ada masalah ke?”
“Awaklah masalahnya!” Salah seorang daripada mereka sudah mula mengepalkan penumbuk dan bersedia untuk melangkah dan menyerang Kay.
Terlebih dahulu membaca gerakan pihak lawan, Kay pantas menepis serangan demi serangan tanpa gagal. Cubaan demi cubaan yang dilakukan penyerang pertama tidak berjaya lansung menyentuh walau seinci tubuh Kay menyebabkan si penyerang menjadi bertambah berang. Topi keledar yang dibawa bersama tadi dijadikan Kay sebagai alat untuk mempertahankan diri.
Melihat kelesuan yang mula menguasai penyerang pertama yang berkulit agak gelap itu, penyerang kedua pun mengambil alih selepas mendapat isyarat daripada orang ketiga yang cuma menjadi pemerhati.

Ketika penyerang kedua baru hendak memulakan serangan, Kay dengan pantas membaling topi keledar tepat pada badan si penyerang sebelum mengenggam kedua-dua belah tangan dengan sekuat hati lalu menumbuk bertubi-tubi pada muka penyerang tersebut. Pergerakan lawan kedua itu dengan mudah dapat dipintas oleh Kay dan akhirnya terkulai layu, rebah jatuh ke bumi. Samseng konon! Nah! Rasakan kau!
Tatkala melihat rakannya jatuh menyembah bumi, penyerang pertama yang sudah kehilangan tenaga itu bangkit cuba menyerang melulu Kay yang ternyata lebih bersedia. Tumbukan lawan ditepis serentak dengan serangan pada perut menyebabkan si penyerang mengaduh kesakitan. Dia yang tidak mahu mengalah bangun semula cuba mengintai sasaran yang lebih tepat. Malangnya, bukaan kaki pihak lawan yang luas dengan mudah memberi peluang kepada Kay untuk menyepak dan menjatuhkannya semula.
Sudah lama dia buka langkah seribu kalau benar ilmu di dadanya itu kosong. Inilah masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Ternyata penyerang-penyerang itu tersilap menilai kemampuan dirinya. Kay melepaskan nafas sedas sambil menggelengkan kepala. Nampaknya cik puan Azryn Zafira itu amat berharga sehingga ada orang sanggup mengupah kaki pukul agar dia menjauhkan diri daripada gadis tersebut. Huh!
Malang tidak berbau! Tanpa tidak disangka-sangka orang ketiga yang sejak dari awal cuma jadi pemerhati tiba-tiba menerpa Kay sambil menghunus sebilah pisau lalu menikam Kay di bahagian perut.
“Apa yang kau buat ini?” Agak terkejut penyerang kedua itu bila melihat perbuatan si pemerhati ke atas Kay.
“Tuan Izuddin tak mengupah kita untuk membunuh …” Penyerang pertama pula bersuara cemas melihat Kay yang sedang memegang perutnya yang sedang berlumuran darah.
“Senyaplah kau berdua! Mari kita pergi sebelum orang datang,” balas si pemerhati sebelum menarik semula pisau yang melekat pada perut Kay dan bersedia untuk melarikan diri.
Kay memegang perutnya sambil mengerang kesakitan sebelum akhirnya jatuh rebah  dengan badan yang berlumuran darah.
“Hoi! Apa yang korang buat tu hah?” Tiba-tiba ada suara yang datang menyergah. Kelihatan sekumpulan lelaki yang muncul entah dari arah mana sedang menuju ke kawasan meletakkan kenderaan tersebut.
“Cepat! Cepat lari, ada orang datang!” Kelam kabut penyerang-penyerang tersebut melarikan diri meninggalkan Kay yang sudah tersadai lemah dan tidak mampu bergerak.
“Ada orang cedera!” Dua tiga daripada mereka yang datang segera bergegas menghampiri Kay, cuba membantunya.
“Cepat telefon ambulan,” gesa lelaki yang terlebih dahulu tiba di tempat Kay sebelum salah seorang daripada rakannya mengeluarkan telefon bimbit dan mendail pihak ambulan.
Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi siren menandakan ketibaan ambulan di tempat kejadian lalu bergegas membawa Kay pergi untuk mendapatkan rawatan kecemasan di salah sebuah hospital berhampiran.   

****

“Maafkan saya Kay. Saya tidak sangka yang mereka sanggup melakukan semua ini.” Suara Azryn Zafira kedengaran sayu. Apatah lagi melihat keadaan Kay yang lemah dengan bahagian perutnya dibaluti kain kasa serta terdapat beberapa kesan lebam pada lengan dan tubuh badan akibat daripada tindakan mempertahankan diri.   
Azryn Zafira tidak dapat menyangkal yang Tengku Izuddin sebenarnya ada kaitan dengan serangan itu apatah lagi bila Kay memberitahu yang dia telah diberi amaran untuk menjauhkan diri daripadanya. Siapa lagi yang sanggup melakukan perkara di luar batasan seperti itu dan yang bermain di kotak fikiran cuma sebaris nama itu.
Azryn Zafira merasa sungguh-sungguh kesal dengan kejadian yang menimpa Kay. Semua ini berpunca daripada dirinya. Bertambah-tambah rasa bersalah dia terhadap Kay kerana terpaksa menanggung kesakitan yang sepatutnya tidak berlaku kalau dia tidak melibatkan Kay. Dia tidak akan mampu memaafkan dirinya seandainya Kay tidak terselamat dalam serangan tersebut.
“Saya betul-betul minta maaf, Kay.” Setitis airmatanya tumpah. Kalau boleh dia tidak mahu menyakiti sesiapapun.
Kay sedikit tersentak melihat Azryn Zafira yang tidak semena-mena mengalirkan airmata. Seumur hidupnya, tidak pernah ada sesiapapun yang menitiskan airmata untuk dirinya melainkan mak dia seorang sahaja. 
“Tak apa! Tak apa! Bukannya sakit sangat pun.” Sekadar menyedapkan hati Azryn Zafira walhal untuk bergerak sedikit pun rasa tidak mampu. Risau dia menyaksikan wajah sedih yang terpancar pada Azryn Zafira. Tidak pula dia menyangka Azryn Zafira yang kelihatan tegas itu punya hati yang sensitif. Terkelu lidahnya. Hendak memujuk dia tidak tahu bagaimana. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
Fesol yang memerhatikan mereka berdua sejak dari tadi, cuma mampu berdiam diri tak faham apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku. Bila pula member aku ni couple dengan minah cun ni?
Ketika dia mengangkat telefon bimbit milik Kay yang tidak berhenti-henti berbunyi sejak pagi, suara Azryn Zafira yang menyapa pendengaran. 
“Kay? Kenapa tak jawab telefon saya?” Cemas sahaja bunyinya.
“Aa…err…saya bukan Kay.”
Azryn Zafira tersentak.
“Ini bukan handphone Kay ke?” Dia bertanya cuba mendapatkan kepastian.
“Betul…”
“Habis tu, dia di mana?”
“Dia di hospital.”
Hospital? Kemalangan atau melawat orang sakit? Berdebar-debar hatinya. Kalau sekadar melawat orang sakit tak mungkinlah telefon bimbit tersebut berada dalam tangan orang lain. “Hah? Kenapa?”
“Dia cedera.”
“Cedera?” Bertambah-tambah cemas suara Azryn Zafira jadinya. Akhirnya, dia tiba di hospital setelah mendapat maklumat selanjutnya daripada Fesol.
Ketika Azryn Zafira tiba tadi, Kay sudah pun bangun dari tidur. Nasib baiklah luka akibat tusukan pisau itu tidak terlalu dalam atau terkena pada mana-mana organ penting Kay. Kalau tidak mahu jadi arwah dia malam itu.

Memandangkan Kay sedang terlantar di hospital, Azryn Zafira faham sekiranya Kay ingin menarik diri daripada meneruskan rancangan yang ditawarkan olehnya. Siapa yang mahu melibatkan diri kalau sudah menerima ugutan sebegitu rupa? Walaupun ratusan ribu menjadi habuan, tidak berbaloi untuk menggadai nyawa yang tiada galang-gantinya.
“Cik Zafira tak perlu susah hati, saya bersetuju untuk meneruskan rancangan yang berikutnya.”
“Hah?” Terkejut Azryn Zafira mendengarnya. Benarkah begitu? Dia tak serik? Liur diteguk. Wajah Kay ditatap memohon kepastian.
Kay yang sedang bersandar pada kepala katil membalas pandangan itu. Kening dijongketkan.
“Are you sure?” ulang Azryn Zafira ragu-ragu dan Kay mengangguk seraya tersenyum.
Rancangan? Rancangan apa? Fesol yang menjadi pemerhati tertanya-tanya. Dia jadi makin tak faham dan keliru. Kay cuma memberi isyarat mata kepadanya, mungkin cuba memberitahu Fesol yang dia akan bercerita lanjut padanya kemudian.
Kenapa harus melepaskan sesuatu yang berharga setelah sanggup bergadai nyawa begini? Tidak, tidak mungkin aku akan menarik diri. Makin berkobar dia untuk turut serta dalam permainan anak-anak orang kaya itu. Begitu desis hati Kay ketika memberi persetujuan kepada Azryn Zafira tadi.
Perlahan dia membetulkan badan dan membaringkan diri. Bisa tusukan itu masih dirasainya tapi dia sudah berazam dan bertekad dalam hati untuk menang dalam permainan itu walau dalam apa jua cara sekalipun.
   


Sabtu, 14 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 2


TATKALA mendengar ura-ura dia hendak disatukan dengan Tengku Izuddin semalam, Azryn Zafira diserbu rasa marah. Bukanlah dia hendak mengenepikan hak kedua-dua orang tuanya tapi kenapa Tengku Izuddin? Mendengar nama itu pun sudah cukup untuk membuahkan rasa benci apatah lagi untuk hidup sebumbung dengannya?
Dia bukan tidak kenal siapa Tengku Izuddin yang pernah suatu ketika dulu bertakhta dihatinya. Tapi itu sejarah silam, sejarah yang dia tidak ingin mengulangi walau diberi peluang seribu kali. Cukuplah hanya sekali itu, kalau boleh dia mahu kisah itu terus berkubur begitu saja.
Bagaimanapun untuk mengelak dan membuang Tengku Izuddin terus dari hidupnya, mungkin bukan sesuatu yang mustahil cuma agak sukar. Memandangkan ayahnya Datuk Ma’asud dan ayahnya Tengku Izuddin, Tengku Iksham itu sudah lama bersahabat baik. Jadi, mahu tidak mahu dia terpaksa berhadapan juga dengan lelaki yang terkenal dengan sikap womanizer - nya itu.
Semalaman dia berfikir, berusaha mencari ikhtiar dan jalan agar usul jodoh itu dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya dapat dihalang daripada terus menjadi kenyataan. Peluang yang dicari-cari akhirnya tiba ketika sesusuk tubuh yang menarik perhatiannya pagi itu, mengingatkan dia pada jalan keluar untuk masalah jodoh yang mengganggu benaknya dari semalam. Tiba-tiba idea drastik yang logiknya tidak ada menerpa menguasai akal fikiran.
Mungkin dia orang yang sesuai untuk peranan tersebut. Tubuh badan agak sasa dengan ketinggian yang sesuai serta rupa paras yang agak menarik. Cuma perlu memperbaiki penampilannya sedikit. Ah! Masa sudah suntuk untuk dia mencari idea yang lebih bernas, buat masa ini itu sahaja yang terbaik boleh difikirkannya. Tawaran RM2 ribu itu untuk ujian pertama.
Pada mulanya dia agak cuak jika lelaki tersebut menolak tawaran tersebut. Jika lelaki itu menolak hancur punahlah segala rancangan yang dibina. Dia bernasib baik kerana lelaki itu bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sekaligus melegakan hatinya yang gundah sejak semalam lagi. Dia ingin dan perlu bertindak lebih pantas mendahului rancangan orang tuanya dan keluarga Tengku Izuddin.
Seandainya lelaki itu berjaya melepasi ujian tersebut, dia sudah berkira-kira untuk menawarkan kontrak dengan upah yang lebih lumayan. Menurut firasatnya, kisah itu tidak mungkin akan berakhir di bilik conference sahaja dan dia mahu bersedia untuk segala kemungkinan yang bakal berlaku.
“Maaf, cik Zafira… Saya ingatkan setakat ini saja urusan kita. Bukankah ini cuma one time offer sahaja?” Kay jadi sedikit bimbang setelah mengetahui perempuan itu sebenarnya merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan agak terkenal di kota metropolitan itu. Bukannya bimbang akan status perempuan tersebut tapi bimbangkan penglibatannya itu bakal mendedahkan dirinya kepada umum yang secara tidak langsung membawanya kepada perkara yang selama ini cuba dielakkan.
Terkejut juga Kay ketika diperkenalkan kepada lelaki yang digelar Babah oleh Azryn Zafira tadi. Rupa-rupanya ayah Azryn Zafira merupakan seseorang yang amat dikenali dalam bidang perniagaan.
Sangka Kay, Azryn Zafira cuma ingin menggunakannya untuk mengusir lelaki hidung belang yang mengganggu hidup cik puan yang bertubuh kurus melidi persis model itu cuma ketinggiannya agak terbatas berbanding dengan model-model yang sedia ada. Kalau dari segi rupa-paras, Azryn Zafira boleh dikategorikan seorang yang berwajah menarik, manis dan memikat.
“Kontrak?” Terangkat kening Kay ketika ditujukan tawaran kedua sebaik sahaja mendapat imbuhan untuk tawaran yang pertama.
“Enam bulan sebagai kekasih awak?” Dari sehari dipanjangkan menjadi enam bulan pula. Masalah apalah yang sedang kau jebakkan diri kau, Kay?
“Awak percaya dengan kontrak ini, awak boleh selesaikan masalah awak?” Dia bertanya kepada Azryn Zafira yang sedang menyisip air mineral setelah menuangkannya ke dalam gelas kaca.
“Sekurang-kurangnya saya mencuba,” balas Azryn Zafira bersahaja.
“Sebelum saya bersetuju, saya rasa saya berhak untuk mengetahui sebab dan puncanya awak perlu melakukan semua ini. Selain daripada jawapan yang ini semua ada kaitan dengan hidup dan mati awak.”
Pelbagai soalan yang perlukan penjelasan sedang berlumba-lumba mencari tempat di mindanya. Pada hemat Kay, sekiranya dia mahu turut serta dalam permainan yang dicipta Azryn Zafira itu sekurang-kurangnya sedikit info perlu untuk dia mendapat sedikit gambaran akan hala tuju dan arah permainan tersebut. 
“Sekiranya saya membuka rahsia itu, adakah awak akan bersetuju?”
“Hmm, saya akan fikirkan itu kemudian.” Kay menarik nafas perlahan.
Akhirnya Azryn Zafira menceritakan segala kemushykilan yang bermain di minda secara ringkas. Dia tidak mahu terlalu transparent kepada Kay yang baru dikenali tidak sampai sehari itu.
“Kenapa tidak awak berterus terang kepada ayah awak, bukankah itu lebih mudah?”
Azryn Zafira menggeleng-gelengkan kepala. Kalaulah semudah itu.
“Awak belum kenal ayah saya lagi. Dia seorang yang amat komited dengan perniagaannya dan sangat mementingkan tali persahabatan. Lagipun ayah tak tahu yang saya sudah terlebih dahulu mengesan rancangan mereka untuk menjodohkan saya dengan Izuddin.”
“Apa masalah awak dengan Tengku Izuddin sebenarnya?” Terbayangkan kembali wajah berang Tengku Izuddin ketika dia diperkenalkan kepada mereka tadi.
Bagi Kay, Tengku Izuddin tidak ada apa yang kurang. Segak, ada rupa ada gaya, berkedudukan dan berharta. Mungkin sikap dan attitude yang agak menjengkelkan itulah kelemahan utamanya.
Azryn Zafira terdiam seketika, agak keberatan untuk membicarakan isu tersebut kepada Kay. “Cukuplah kalau saya katakan yang dia adalah manusia yang paling jijik yang pernah saya kenal selama hidup saya.”
Kay segera melirik ke arah Azryn Zafira.
“Saya tidak mahu dia jadi jodoh saya walaupun dalam dunia ini sudah tidak ada lelaki lain selain dari dia. Tidak dalam sejuta tahun pun.”
Huh?! Nampaknya ada sejarah di antara mereka berdua, fikir Kay.
“Baiklah, tapi bagi saya masa sehari untuk memikirkan tawaran awak,” ujar Kay sambil melurut rambutnya ke belakang. Segera dia bangun dari duduk. Sudah tiba masa untuk dia beredar.
“Saya hantar awak balik.”
“Tak apalah cik Zafira, saya datang naik motor.”
“Ooh!”
“Kalau ada apa-apa, cik Zafira boleh hubungi saya. Ini nombor telefon saya.” Kay menulis nombor telefon bimbitnya pada sehelai kertas kecil sebelum menyerahkannya kepada Azryn Zafira.


“Kalau tidak apa-apa lagi, biarlah saya beransur dulu.” Kay sudah bangun dari duduk.
Azryn Zafira terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Kay.
“Nice knowing you, saya harap lepas ini hubungan kita tidak akan terputus begitu sahaja.” Azryn Zafira berkata sambil mengukir senyuman manis.
“Walaupun, saya mungkin menolak tawaran awak?”
“Ya, tapi awak belum lagi memberikan keputusan yang muktamad tentangnya ‘kan?”
Kay diam sejenak sebelum mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata Azryn Zafira.
“Lagi satu saya nak tanya awak.”
 Tombol pintu tidak jadi dipulas Kay. Dia menanti.
“Awak memang bekerja dengan syarikat penghantaran express ke?”


   

Sabtu, 7 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 1


AZRYN Zafira mengetuk pintu bilik mesyuarat sebelum memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalamnya. Kelihatan ayahnya sedang leka membincangkan sesuatu bersama beberapa ahli korporat yang lain. Mungkin tentang projek baru atau strategi terkini pemasaran.


Bila mereka kelihatan seperti tidak sedar akan kehadirannya, Azryn Zafira sengaja berdehem dan batuk-batuk kecil. Cuba untuk menarik perhatian.
“Assalamualaikum, Babah.” Azryn Zafira senyap seketika sebelum menyambung. ”Kenalkan ini teman lelaki Azryn, Ahmad Khairul Zariq.”
Datuk Ma’asud yang sedang bersembang segera berpaling ke arah suara lunak milik Azryn Zafira anak tunggal perempuannya. Rakan-rakan sembangnya juga turut menoleh sama. Pandangan masing-masing tertumpu pada lelaki yang sedang berdiri di samping Azryn Zafira. Lelaki yang memakai kacamata hitam, berkemeja-t putih serta berseluar jeans dengan fesyen rambut ala-ala pelakon korea Jung Ji-Hoon (Rain) dalam drama bersiri ‘A Love to Kill’.
“Mana you dapat mamat sengkek ni?” Tengku Izuddin seraya berpaling memandang sinis lelaki yang hadir bersama Azryn Zafira. “Berapa dia bayar awak untuk menyamar jadi teman lelaki dia?”
Azryn Zafira menjeling dingin Tengku Izuddin, seolah-olah tahu yang lelaki tersebut akan melontarkan kata-kata sarkastik itu.
“Hey, bro! Watch your mouth, you could end up bleeding with broken ribs all over.” Tenang saja suara lelaki yang ditujukan soalan itu menjawab.
Azryn segera memaut lengan lelaki itu, tanpa segan silu. Hati Tengku Izuddin yang memandang seakan membengkak dengan adegan itu. Baru sahaja dia ingin bangun dari sofa, cepat-cepat Tengku Ikhsham menghalang sambil memandang tajam ke arahnya.
“Iz, behave.” Tengku Ikhsham, ayah kepada Tengku Izuddin segera mengawal situasi. Dia tidak mahu suasana di bilik conference milik syarikat Datuk Ma’asud itu bertukar menjadi keruh. Dia faham sangat dengan kerenah anaknya yang cepat baran itu.
“Babah, Azryn beredar dulu. Nampaknya Azryn tersilap memilih hari untuk memperkenalkan ‘buah hati’ Azryn pada Babah.” Azryn sengaja menekan perkataan buah hati sambil matanya melirik ke arah Tengku Izuddin yang sedang menahan rasa amarah. 
Tengku Izzudin bukan tidak tahu yang Azryn Zafira memang sengaja mengundang kemarahannya, sengaja membakar dan mengapi-api tapi dia tidak mampu mengawal perasaannya.
“Baiklah, nanti kita bincang di rumah. Hmm, siapa nama awak tadi?”  Datuk Ma’asud mengalihkan perhatian kepada lelaki yang berada di sisi anaknya itu.
“Ahmad Khairul Zariq.” Belum sempat lelaki itu menjawab, Azryn sudah mendahuluinya.
Datuk Ma’asud sekadar mengangguk.
“Selamat berkenalan, Datuk.” Lelaki itu segera menghulurkan tangan bersalaman dengan pemilik syarikat Ma’asud Holdings itu tanda hormat.
Kemudian dia menghampiri Tengku Iksham dan anaknya Tengku Izuddin pula. Tengku Izuddin segera memalingkan muka, cuma ayahnya saja yang sudi menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
“Okeylah, Kay mari kita pergi.” Azryn segera menarik lengan Kay sebelum beredar keluar dari bilik tersebut. Suara dan lenggoknya sengaja dimanjakan. Kay menurut saja langkah Azryn.

*****

Kay membuntuti Azryn Zafira yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Bahang drama yang berlaku dalam bilik conference tadi masih terasa.
Azryn Zafira menarik kerusi mempersilakan Kay menyelesakan diri sebelum dia sendiri duduk berhadapan dengan lelaki tersebut. Dia menghembus nafas panjang sebelum menarik laci meja sisi untuk mengambil sesuatu. Kay sekadar memerhati.
“Awak memang macam ni ke?” tanya Azryn Zafira.
“Macam ni?” Apa maksudnya? Pelik sedikit Kay mendengar soalan tersebut.
Azryn Zafira pandang wajah Kay. Orangnya agak senyap, tak banyak cakap. Agak berbeza dengan penampilan. Ingin sahaja dia meluahkan begitu tapi didiamkan sahaja. Terlalu awal untuk aku menilai, fikir Azryn Zafira.
“Nah! Ini upah awak.” Azryn Zafira menyerahkan sampul berisi not RM100.00 sebanyak 20 keping kepada Kay.
“Kiralah, mana tahu terkurang terlebih?” Azryn Zafira duduk santai di atas kerusi pejabat yang berwarna biru gelap itu.

Ruang pejabat yang sederhana besarnya itu dihiasi dengan cat kuning cair dengan blind warna senada pada tingkap cermin sebesar dinding di sebelah kiri mejanya. Sebuah pasu dengan pokok hiasan diletakkan di salah satu sudut agar ruang tidak kelihatan kosong.
“Tak perlu, saya percayakan Cik Zafira.” Kay membetulkan duduknya sambil menatap wajah Azryn Zafira..
Bila Azryn Zafira senyap, Kay segera menyimpan sampul tersebut di dalam beg sandang yang dibawanya bersama. Mungkin sudah tiba masanya untuk beredar. Dia tidak faham mengapa anak kepada tuan punya bangunan itu memilih dirinya untuk berlakon jadi kekasih. Tapi apa sekali pun tujuannya, dia tidak mahu ambil tahu. Biar orang yang memberikan imbuhan yang agak lumayan itu simpan ceritanya.
Ketika menghantar bungkusan yang dialamatkan kepada Azryn Zafira pagi tadi, Kay tidak menyangka akan ditawarkan dengan upah yang sebegitu banyak untuk lakonan yang mengambil masa kurang dari setengah jam dengan dialog yang tidak banyak. Mungkin inilah yang dikatakan ‘rezeki terpijak’.
Tujuan Kay ke bangunan tersebut pun sekadar ingin menolong Fesol, rakan serumahnya yang tiba-tiba diserang sakit ketika ingin melunaskan penghantaran yang terakhir. Tugas rakan serumahnya itu yang membawanya ke bangunan tersebut. Dia sebenarnya tidak ada kena mengena pun dengan syarikat penghantaran express yang bertanggung jawab ke atas bungkusan yang dibawanya tadi.
Terbayang kembali peristiwa sebelum babak-babak lakonan terancang yang berlaku di bilik conference sebentar tadi.
“Azryn Zafira Binti Ma’asud?” Dia bertanya pada seorang gadis yang berada di meja yang terletak berhadapan dengan pejabat milik orang yang dimaksudkan.
Sudah menjadi tugas gadis tersebut sebagai P.A untuk mengambil sebarang surat-menyurat, bungkusan, kurier dan sebagainya bagi pihak Azryn Zafira tapi kebetulan ketika itu majikannya itu sedang melangkah menuju ke arahnya dari sebuah pejabat milik salah seorang kakitangan syarikat yang sama. Dia memandang lelaki itu dari jauh dan bila tiba di meja Suhana, dia bertanya.
“Kenapa?”
“Tak ada apa cik puan, dia cuma nak hantar bungkusan.”
“Tak apa, biar dia masuk ke pejabat saya. Saya ada hal nak cakap dengan dia.”
“Mari, ikut saya. Awak minum kopi?”
Lelaki itu mengangguk, dengan hati yang cuak.
“Suhana, awak bawakan secawan kopi untuk lelaki ini dan air mineral untuk saya. Nanti hantar ke pejabat saya,” arah Azryn Zafira kepada pembantunya itu.
Suhana yang sedang berdiri segera mengangguk sebelum berlalu pergi.
“Silakan duduk.”
“Terima kasih.” Lelaki itu mengibas seluar yang dipakai sebelum duduk berhadapan dengan Azryn Zafira.
“Siapa nama awak?”
“Nama penuh, Ahmad Khairul Zariq bin Ahmad Shah. Kawan-kawan panggil Kay.” Pelik juga dia bila cik puan ini bertanya.
Kay memandang wanita yang pada firasatnya berumur lebih muda darinya, mungkin dalam lingkungan 25 – 26 tahun. Apa yang dihendakkannya daripada aku siap kena masuk ke dalam pejabatnya?
Azryn Zafira bermain-main dengan pena yang dipegangnya. Nafas dihela dan dilepas perlahan sementara matanya masih menilik lelaki di hadapan.


Kay pandang keliling, sebelum matanya jatuh pada seraut wajah milik Azryn Zafira. Mesti awek ni berpangkat besar, kalau tidak masakan dia disediakan sebuah ruang pejabat oleh pihak syarikat. “Kenapa cik nak jumpa saya?”
“Kalau saya tawarkan RM2 ribu untuk berlakon jadi kekasih saya untuk sehari ini, awak terima?”
Hah?! Jatuh rahang Kay mendengar tawaran yang tidak disangka itu. Pelik? Dia sebenarnya tak hairan pun dengan wang sebanyak RM2 ribu itu. Tapi daripada dia duduk merewang sahaja, bagus juga terima tawaran tersebut lepas itu layan drama sebabak yang bakal pecah panggung realiti. Kay tergelak dalam hati.
Bukankah tindakan aku ini seperti menempah bala sahaja, buatnya aku terjebak masalah yang sukar untuk diselesaikan bagaimana? Fikir Kay semula dalam keadaan berbelah bagi tapi sedetik cuma. Hmm, bukankah hidup aku memang hidup yang penuh dengan risiko? Akulah risiko, risiko itulah aku. Jadi, apa salahnya menambahkan satu lagi risiko ke dalam hidup aku?
Azryn Zafira batuk-batuk kecil membuatkan Kay tersedar semula dari lamunan. Dia meneliti empunya diri yang diberi nama Azryn Zafira itu. Hendak digelar wanita, nampak muda sangat, hendak digelar gadis, tak sesuai dengan usia pula. Perempuan, dara, si genit, perawan, si jelita, si manis? Hmm…
“Kay?”
“Juita…” Itu yang terpacul keluar dari bibir Kay membuatkan Azryn Zafira terpinga-pinga.
Juita ‘kan itu maksudnya buah hati? Kekasih? Sesuai ke? Tapi juita juga maksudnya cantik ‘kan? Lupa pulak. dia ‘kan pegang watak sebagai kekasih aku dalam drama sebabak tadi. Mungkin heroin lebih sesuai kut?
“Kay?” Sekali lagi Azryn Zafira bersuara membuatkan Kay tersentak.
Segera dia meraup wajahnya.
“Maaf, saya beredar dulu Cik Zafira. Terima kasih.” Pantas dia bangun dari duduk sebelum melangkah pergi.
“Kay?”
Kay yang sedang memulas tombol pintu menoleh. Secebis senyuman dilemparkan kepadanya. Nampak ikhlas.
“Tunggu dulu,” pinta Azryn Zafira.
Ada lagi? Berkerut dahi Kay.