AZRYN Zafira mengetuk pintu bilik mesyuarat sebelum memulas
tombol pintu dan melangkah masuk ke dalamnya. Kelihatan ayahnya sedang leka
membincangkan sesuatu bersama beberapa ahli korporat yang lain. Mungkin tentang
projek baru atau strategi terkini pemasaran.
Bila mereka kelihatan seperti tidak
sedar akan kehadirannya, Azryn Zafira sengaja berdehem dan batuk-batuk kecil.
Cuba untuk menarik perhatian.
“Assalamualaikum, Babah.” Azryn
Zafira senyap seketika sebelum menyambung. ”Kenalkan ini teman lelaki Azryn,
Ahmad Khairul Zariq.”
Datuk Ma’asud yang sedang
bersembang segera berpaling ke arah suara lunak milik Azryn Zafira anak tunggal
perempuannya. Rakan-rakan sembangnya juga turut menoleh sama. Pandangan
masing-masing tertumpu pada lelaki yang sedang berdiri di samping Azryn Zafira.
Lelaki yang memakai kacamata hitam, berkemeja-t putih serta berseluar jeans
dengan fesyen rambut ala-ala pelakon korea Jung Ji-Hoon (Rain) dalam drama
bersiri ‘A Love to Kill’.
“Mana you dapat mamat sengkek ni?” Tengku
Izuddin seraya berpaling memandang sinis lelaki yang hadir bersama Azryn
Zafira. “Berapa dia bayar awak untuk menyamar jadi teman lelaki dia?”
Azryn Zafira menjeling dingin
Tengku Izuddin, seolah-olah tahu yang lelaki tersebut akan melontarkan
kata-kata sarkastik itu.
“Hey, bro! Watch your mouth, you
could end up bleeding with broken ribs all over.” Tenang saja suara lelaki yang
ditujukan soalan itu menjawab.
Azryn segera memaut lengan lelaki
itu, tanpa segan silu. Hati Tengku Izuddin yang memandang seakan membengkak dengan
adegan itu. Baru sahaja dia ingin bangun dari sofa, cepat-cepat Tengku Ikhsham
menghalang sambil memandang tajam ke arahnya.
“Iz, behave.” Tengku Ikhsham, ayah kepada Tengku Izuddin segera mengawal
situasi. Dia tidak mahu suasana di bilik conference milik syarikat Datuk Ma’asud itu
bertukar menjadi keruh. Dia faham sangat dengan kerenah anaknya yang cepat
baran itu.
“Babah, Azryn beredar dulu.
Nampaknya Azryn tersilap memilih hari untuk memperkenalkan ‘buah hati’ Azryn
pada Babah.” Azryn sengaja menekan perkataan buah hati sambil matanya melirik
ke arah Tengku Izuddin yang sedang menahan rasa amarah.
Tengku Izzudin bukan tidak tahu
yang Azryn Zafira memang sengaja mengundang kemarahannya, sengaja membakar dan
mengapi-api tapi dia tidak mampu mengawal perasaannya.
“Baiklah, nanti kita bincang di
rumah. Hmm, siapa nama awak tadi?” Datuk Ma’asud mengalihkan perhatian
kepada lelaki yang berada di sisi anaknya itu.
“Ahmad Khairul Zariq.” Belum sempat
lelaki itu menjawab, Azryn sudah mendahuluinya.
Datuk Ma’asud sekadar mengangguk.
“Selamat berkenalan, Datuk.” Lelaki
itu segera menghulurkan tangan bersalaman dengan pemilik syarikat Ma’asud
Holdings itu tanda hormat.
Kemudian dia menghampiri Tengku
Iksham dan anaknya Tengku Izuddin pula. Tengku Izuddin segera memalingkan muka,
cuma ayahnya saja yang sudi menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
“Okeylah, Kay mari kita pergi.”
Azryn segera menarik lengan Kay sebelum beredar keluar dari bilik tersebut.
Suara dan lenggoknya sengaja dimanjakan. Kay menurut saja langkah Azryn.
*****
Kay membuntuti Azryn Zafira yang sedang melangkah masuk ke
dalam bilik pejabatnya. Bahang drama yang berlaku dalam bilik conference tadi masih terasa.
Azryn Zafira menarik kerusi
mempersilakan Kay menyelesakan diri sebelum dia sendiri duduk berhadapan dengan
lelaki tersebut. Dia menghembus nafas panjang sebelum menarik laci meja sisi
untuk mengambil sesuatu. Kay sekadar memerhati.
“Awak memang macam ni ke?” tanya
Azryn Zafira.
“Macam ni?” Apa maksudnya? Pelik
sedikit Kay mendengar soalan tersebut.
Azryn Zafira pandang wajah Kay.
Orangnya agak senyap, tak banyak cakap. Agak berbeza dengan penampilan. Ingin
sahaja dia meluahkan begitu tapi didiamkan sahaja. Terlalu awal untuk aku
menilai, fikir Azryn Zafira.
“Nah! Ini upah awak.” Azryn Zafira
menyerahkan sampul berisi not RM100.00 sebanyak 20 keping kepada Kay.
“Kiralah, mana tahu terkurang
terlebih?” Azryn Zafira duduk santai di atas kerusi pejabat yang berwarna biru
gelap itu.
Ruang pejabat yang sederhana
besarnya itu dihiasi dengan cat kuning cair dengan blind warna senada pada tingkap cermin
sebesar dinding di sebelah kiri mejanya. Sebuah pasu dengan pokok hiasan
diletakkan di salah satu sudut agar ruang tidak kelihatan kosong.
“Tak perlu, saya percayakan Cik
Zafira.” Kay membetulkan duduknya sambil menatap wajah Azryn Zafira..
Bila Azryn Zafira senyap, Kay
segera menyimpan sampul tersebut di dalam beg sandang yang dibawanya bersama.
Mungkin sudah tiba masanya untuk beredar. Dia tidak faham mengapa anak kepada
tuan punya bangunan itu memilih dirinya untuk berlakon jadi kekasih. Tapi apa
sekali pun tujuannya, dia tidak mahu ambil tahu. Biar orang yang memberikan
imbuhan yang agak lumayan itu simpan ceritanya.
Ketika menghantar bungkusan yang
dialamatkan kepada Azryn Zafira pagi tadi, Kay tidak menyangka akan ditawarkan
dengan upah yang sebegitu banyak untuk lakonan yang mengambil masa kurang dari
setengah jam dengan dialog yang tidak banyak. Mungkin inilah yang dikatakan
‘rezeki terpijak’.
Tujuan Kay ke bangunan tersebut pun
sekadar ingin menolong Fesol, rakan serumahnya yang tiba-tiba diserang sakit
ketika ingin melunaskan penghantaran yang terakhir. Tugas rakan serumahnya itu
yang membawanya ke bangunan tersebut. Dia sebenarnya tidak ada kena mengena pun
dengan syarikat penghantaran express yang bertanggung jawab ke atas bungkusan
yang dibawanya tadi.
Terbayang kembali peristiwa sebelum
babak-babak lakonan terancang yang berlaku di bilik conference sebentar tadi.
“Azryn Zafira Binti Ma’asud?” Dia
bertanya pada seorang gadis yang berada di meja yang terletak berhadapan dengan
pejabat milik orang yang dimaksudkan.
Sudah menjadi tugas gadis tersebut
sebagai P.A untuk mengambil sebarang surat-menyurat, bungkusan, kurier dan
sebagainya bagi pihak Azryn Zafira tapi kebetulan ketika itu majikannya itu
sedang melangkah menuju ke arahnya dari sebuah pejabat milik salah seorang
kakitangan syarikat yang sama. Dia memandang lelaki itu dari jauh dan bila tiba
di meja Suhana, dia bertanya.
“Kenapa?”
“Tak ada apa cik puan, dia cuma nak
hantar bungkusan.”
“Tak apa, biar dia masuk ke pejabat
saya. Saya ada hal nak cakap dengan dia.”
“Mari, ikut saya. Awak minum kopi?”
Lelaki itu mengangguk, dengan hati
yang cuak.
“Suhana, awak bawakan secawan kopi
untuk lelaki ini dan air mineral untuk saya. Nanti hantar ke pejabat saya,”
arah Azryn Zafira kepada pembantunya itu.
Suhana yang sedang berdiri segera
mengangguk sebelum berlalu pergi.
“Silakan duduk.”
“Terima kasih.” Lelaki itu mengibas
seluar yang dipakai sebelum duduk berhadapan dengan Azryn Zafira.
“Siapa nama awak?”
“Nama penuh, Ahmad Khairul Zariq
bin Ahmad Shah. Kawan-kawan panggil Kay.” Pelik juga dia bila cik puan ini
bertanya.
Kay memandang wanita yang pada
firasatnya berumur lebih muda darinya, mungkin dalam lingkungan 25 – 26 tahun.
Apa yang dihendakkannya daripada aku siap kena masuk ke dalam pejabatnya?
Azryn Zafira bermain-main dengan
pena yang dipegangnya. Nafas dihela dan dilepas perlahan sementara matanya
masih menilik lelaki di hadapan.
Kay pandang keliling, sebelum
matanya jatuh pada seraut wajah milik Azryn Zafira. Mesti awek ni berpangkat besar, kalau tidak
masakan dia disediakan sebuah ruang pejabat oleh pihak syarikat. “Kenapa cik
nak jumpa saya?”
“Kalau saya tawarkan RM2 ribu untuk
berlakon jadi kekasih saya untuk sehari ini, awak terima?”
Hah?! Jatuh rahang Kay mendengar
tawaran yang tidak disangka itu. Pelik? Dia sebenarnya tak hairan pun dengan
wang sebanyak RM2 ribu itu. Tapi daripada dia duduk merewang sahaja, bagus juga
terima tawaran tersebut lepas itu layan drama sebabak yang bakal pecah panggung
realiti. Kay tergelak dalam hati.
Bukankah tindakan aku ini seperti
menempah bala sahaja, buatnya aku terjebak masalah
yang sukar untuk diselesaikan bagaimana? Fikir Kay semula dalam keadaan
berbelah bagi tapi sedetik cuma. Hmm, bukankah hidup aku memang hidup yang
penuh dengan risiko? Akulah risiko, risiko itulah aku. Jadi, apa salahnya
menambahkan satu lagi risiko ke dalam hidup aku?
Azryn Zafira batuk-batuk kecil
membuatkan Kay tersedar semula dari lamunan. Dia meneliti empunya diri yang
diberi nama Azryn Zafira itu. Hendak digelar wanita, nampak muda sangat, hendak
digelar gadis, tak sesuai dengan usia pula. Perempuan, dara, si genit, perawan,
si jelita, si manis? Hmm…
“Kay?”
“Juita…” Itu yang terpacul keluar
dari bibir Kay membuatkan Azryn Zafira terpinga-pinga.
Juita ‘kan itu maksudnya buah hati?
Kekasih? Sesuai ke? Tapi juita juga maksudnya cantik ‘kan? Lupa pulak. dia ‘kan
pegang watak sebagai kekasih aku dalam drama sebabak tadi. Mungkin heroin lebih
sesuai kut?
“Kay?” Sekali lagi Azryn Zafira
bersuara membuatkan Kay tersentak.
Segera dia meraup wajahnya.
“Maaf, saya beredar dulu Cik
Zafira. Terima kasih.” Pantas dia bangun dari duduk sebelum melangkah pergi.
“Kay?”
Kay yang sedang memulas tombol
pintu menoleh. Secebis senyuman dilemparkan kepadanya. Nampak ikhlas.
“Tunggu dulu,” pinta Azryn Zafira.
Ada lagi? Berkerut dahi Kay.
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p