Rabu, 31 Oktober 2012

Kasih Yang Pulang




Ahmad Hardi duduk menghadap meja makan sambil memerhatikan isterinya menyediakan hidangan lewat malam itu. Anak-anak mereka sudah lama tidur. Cuma dia yang lewat balik.
“Ami, duduklah sebentar. Abang ada benda nak cakap dengan Ami.”
“Ye, abang. Kejap ek, biar Ami bancuh air panas ni dulu,”
Hati Ahmad Hardi sudah tidak keruan. Lagi lama dia menyimpan rahsia itu, lebih bersalah dia rasa untuk berhadapan dengan isterinya.
“Ami, abang nak kahwin lain.”
Naziffa Amira terdiam. Tangannya yang tadi lincah terhenti seketika. Nafasnya turun naik. Dia cuba mengatakan apa yang didengarnya itu tidak benar.
Ahmad Hardi masih menunggu reaksi isterinya. Rambutnya dikuak perlahan. Dia terbayangkan wajah Farah Adrianna. Wanita yang baru-baru ini muncul mencuri hatinya.
“Betulkah abang?” Naziffa Amira cuba bersuara seperti biasa walaupun hakikatnya hatinya ketika itu bagai ditusuk sembilu.
Ahmad Hardi tersentak. Wajah kekasih hatinya segera hilang dari ingatan. Dia menatap pula wajah isterinya yang jelas kelihatan cuba menyembunyikan rasa sedihnya.
“Abang nak kahwin lain?” tanya Amira semula sayu. Teh suam yang dibancuh untuk suaminya tadi diletakkan di atas meja.
Suaminya mengangguk mengiyakan.
Amira diam lagi, tidak tahu apa yang harus dikatakan pada suaminya. Dia meneguk air liur. Sesungguhnya dia hilang kata-kata. Berita itu agak sukar untuk dicernakan ke dalam mindanya.
“Nanti Amira fikirkan.” Akhirnya itu yang keluar dari dua ulas bibirnya.
“Ami..”
“Abang minumlah dulu, Ami nak tidur.” Segera Amira bangun menuju kamar tidur anaknya yang paling bongsu.
Amira baring di sebelah anaknya. Dia menghela nafas panjang. Tubuh kecil anaknya yang baru menjangkau dua tahun itu dipeluk. Rasa sebak tiba-tiba hadir menghuni seluruh jiwa. Tanpa disedari, air matanya mengalir laju. Dia menangis. Hatinya pilu. Hatinya sudah terhiris, tersayat dan hancur. Kenapa ini yang berlaku? Kenapa harus aku yang melalui semua ini? Selama ini aku cuma mendengar cerita-cerita sebegini. Kini, aku pula… Ya Allah, hebat betul ujian yang terpaksa aku tempuh ini. Kau tabahkanlah aku untuk menghadapi dugaan ini. Amira menghela nafas. Berat. Ya Allah, aku mohon padaMu berikanlah aku kekuatan agar aku mampu menempuh kesukaran ini.    

***

Ahmad Hardi sedang bersiap- siap untuk ke tempat kerja bila isterinya muncul dari dapur.
“Kenapa Ami tak siap lagi? Ami tak kerja hari ini?”
“Abang dah lupa? Bukan Ami dah bagitahu abang minggu lepas, Ami cuti. Eimran kan ada appointment dekat klinik hari ni?”
“Oh! Abang lupa.”
Macam manalah nak ingat, kalau tengah hangat bercinta. Ingin sahaja Naziffa Amira berkata begitu tapi dibiarkan sahaja kata-kata itu terngiang-ngiang di kotak mindanya.
“Ami boleh pergi seorang?”
Naziffa Amira mengangguk sebelum mencium tangan suaminya.
“Abang pergi dulu,” ujar Ahmad Hardi ketika mahu bertolak ke tempat kerja.
Naziffa Amira memandang sahaja suaminya yang kelihatan bersemangat. Mungkin kerana dia akan bertemu dengan kekasih hatinya hari ini. Naziffa Amira mengeluh dan air matanya menitis lagi.



***

Lama Naziffa Amira bermenung. Memikirkan kalau-kalau ada kekurangan dalam hubungan dia dan Ahmad Hardi. Hubungan yang bersatu atas dasar cinta dan restu kedua belah keluarga.
Bermasalahkah rumah tangga aku? Rasa macam tidak ada cacat-celanya hubungan mereka selama ini. Jarang ada pertelingkahan. Jadi di manakah silapnya?
Apa aku sudah tidak cukup menarikkah di mata suami aku? Di pandang wajah dan tubuh badannya di hadapan cermin. Teringat akan kata-kata teman sepejabatnya.
“Engkau dah ada anak dua. Umur dah masuk 35 tahun tapi masih macam anak dara. Aku yang sebaya dengan kau ni pula dah nampak macam makcik-makcik.”
Dia tertawa mendengar bicara Harlina itu. “Ada-ada je kau ni.”
“Betul..apa rahsia engkau? Petua ker? Kongsi-kongsilah.”
“Mana ada apa-apa rahsia pun.”
Naziffa Amira mengeluh. Hendak dikatakan zuriat puncanya, anaknya yang sulung kini sudah berumur 10 tahun. Perempuan. Yang kedua pula lelaki. Sepasang. Kalau Ahmad Hardi nak menambah lagi keturunannya, dia juga tidak pernah membantah. Tidak pernah pula suaminya itu mewar-warkan yang dia kepingin untuk menimang cahaya mata lagi.
Selama ini aku terlalu memintakah? Sehingga dia tidak mampu memenuhi segala permintaan aku. Seingat-ingat aku, jarang sekali aku meminta dibelikan harta benda. Perhiasan wanita mahupun aksesori. Barang kemas yang dipakai selama ini, adalah hadiah perkahwinannya. Tidak pernah dia menggantikannya. Tidak terlintas di hati.
Atau independent sangatkah aku sehingga dia merasa dirinya tidak diperlukan dalam hidup aku? Mungkinkah begitu? Independent sangatkah aku?
Ya, aku bekerja, aku ada duit gaji aku sendiri dan jarang mengharap hasil titik peluhnya. Aku bersyukur kalau dia memberi tapi selama ini dia tidak pernah menghulur duit gajinya pada aku melainkan kalau aku meminta. Malangnya, aku jarang sekali meminta. Tapi itu tidak bermakna aku mengetepikan dia. Tidak, cuma aku merasakan dia sebagai ketua keluarga, dia tahu tanggung-jawabnya. Aku tidak perlu mengingatkan dia.
Semuanya aku berkongsi dengan dia. Aku dengar pendapat dia. Aku pertimbangkan baik dan buruk sebelum membuat sebarang keputusan. Jadi di mana silapnya aku?
Sebelas tahun usia perkahwinan mereka. Sebelas tahun dia setia di sisi suami, di kala duka di kala suka. Ini yang dia dapat? Tidak cukupkah segala pengorbanan yang telah dia lakukan? Naziffa Amira sebak.
Argh! Mungkin sudah takdir dia jatuh cinta lagi. Masalahnya sanggupkah aku bermadu? Kalau tidak, sanggupkah aku berpisah? Bagaimana pula dengan anak-anak nanti? Akan mengikut aku atau mengikut ayah mereka. Kalau aku memilih untuk bermadu pula, relakah aku?
Tamakkah aku kalau aku menginginkan suami aku untuk diri aku sendiri. Ya Allah, kalau benar begitu jauhkanlah aku dari sikap yang sebegitu. Aku tidak pernah mahu berniat seperti itu.
Begitu banyak persoalan bermain di mindanya ketika itu. Naziffa Amira memicit dahinya.
Mungkin benar suami bukan hak mutlak isteri. Tapi, isteri hak mutlak suami? Tidak, aku tidak fikir begitu. Haish!
Mungkin aku yang tidak cukup sempurna. Mungkin aku yang gagal memberi kebahagiaan yang sepenuhnya kepadanya sehingga dia sanggup mencari kebahagian itu dari perempuan lain?
Kalau benar kenapa tidak berbincang sahaja? Bukannya sukar pun untuk berbincang dengan aku. Aku sedia sahaja untuk memperbaiki segala kekurangan aku.
Atau memang mungkin dia benar-benar sudah jatuh hati pada perempuan lain. Kalau sudah begitu, mungkin cintanya pada aku sudah pudar. Mungkin masanya bersama aku setakat ini sahaja. Masa dia untuk bahagia bersama aku sudah berakhir. Atau mungkin juga masa aku untuk dia sudah tamat tempohnya. Mungkin aku juga perlu mencari kebahagiaan lain?
Ya Allah, tunjukkanlah jalan kepadaku. Mudah-mudahan ada hikmah di sebalik semua ini. Naziffa Amira meraup wajahnya. Dia tidak mahu berfikir lagi. Kepalanya sakit, hatinya masih terluka. Hendak mengadu, suaminya sudah berpaling pada yang lain.  

***

“Sabar betul engkau ni Amira. Kalau aku, dah lama aku melenting,” terangkat-angkat kening Harlina menyuarakannya.
“Apapun aku bersyukur, dia memberitahu terlebih dahulu. Sia tidak menyembunyikan kebenaran itu dari aku,” Naziffa Amira tersenyum pahit.
Harlina pandang sahabatnya itu semacam. Boleh tersenyum lagi, fikirnya. Dia menggelengkan kepala. “Habis tu kau setuju dia kahwin lagi?”
“Entahlah aku tak tahu.Kalau aku tak setuju pun, mungkin dia akan cari jalan lain. Kahwin kat sempadan maybe?”
“Kau macam tak kisah je.”
“Dah kering air mata aku Lina. Kalau aku menangis air mata darah sekalipun, ianya mungkin tidak akan mengubah apa-apa.”
“Erkk…”
“Daripada aku meratapi nasib aku, lebih baik aku fikirkan yang terbaik untuk keluarga aku.”
“Amira, aku tak tahu nak kata apa tapi aku sungguh-sungguh bersimpati dengan engkau.”
Me too..” balas Amira perlahan.
“Aku tak tahu macam mana nak bantu engkau.”
“Kau sudah cukup membantu aku, Lina. You lend me your ears. You are a good listener and I am very grateful to have you as a friend.”
Harlina memeluk bahu Naziffa Amira. Kalau aku berada di tempat kau, tidak mungkin aku boleh jadi setabah engkau. Bisiknya dalam hati.

***

“Ami tak membantah.”
Terbata-bata Ahmad Hardi mendengar, mungkin kerana tidak percaya yang isterinya itu akan berkata begitu.
“Kalau abang nak kahwin lagi, Ami tidak ada halangan.”
“Betulkah ni? Betulkah sayang?”
Sayang? Naziffa Amira tersenyum lirih, masih ada lagikah rasa sayang itu? Kalau masih ada, kenapa mahu menikah lagi satu? Tapi kata-kata itu bagai tersekat di kerongkong. Ditahan air mata yang ingin tumpah.


“Sayang tak nak tanya kenapa?” Mata Ahmad Hardi tepat pada isterinya itu. Masih agak terkejut dengan kata-kata isterinya.
Naziffa Amira membalas pandangan itu begitu saja.
“Sayang tak nak bagi abang syarat?” tanya suaminya lagi.
Untuk apa  bersyarat-syarat lagi kalau dalam hati sudah ada orang lain bertakhta di hati. Naziffa Amira menggeleng-gelengkan kepala. Dia ingin berlalu dari situ secepat yang boleh. Dia takut dia tidak mampu menghadapinya. Dalam keadaan teragak-agak dia bersuara.
“Terlanjur abang bertanya, Ami tiada sebarang syarat, Cuma kalau sudah tidak ada rasa kasih abang pada Ami, lepaskan Ami secara baik.” Dia tahu permintaan itu sesuatu yang dimurkai yang maha Esa tapi rasanya dia tidak rela menanggung hati yang mungkin terdera dengan rasa terseksa kelak.
“Ami…” hanya itu yang keluar dari dua ulas bibir Ahmad Hardi. Agak terkedu dengan permintaan isterinya.
Pantas Naziffa Amira berlalu pergi, hatinya sedih. Sedih yang amat. Dia mahu menangis tapi bukan di hadapan orang yang sudah tidak mencintainya lagi.

***

Hari-hari yang berlalu dijalani seperti biasa. Ahmad Hardi pandang isterinya yang sedang tekun menyediakan makan malam. Isterinya masih melayannya seperti biasa.
Aku sepatutnya gembira kerana dia sudah bagi green light tapi kenapa aku tidak rasa begitu?
“Abang, Ami nak balik kampung. Seminggu.”
Ahmad Hardi tersentak. “Ok. Bila?”
“Esok. Ami dah ambil cuti.”
“Esok? Abang ikut sekali?”
“Tak apa, Ami nak balik seorang. Abang tolong jaga anak-anak.”
“Betul ni? Sayang okey tak?”
Naziffa Amira tergelak. Apa yang suaminya sedang fikirkan? “Takkanlah abang tak kenal Ami. Ami tak akan buat perkara-perkara yang macam itulah.”
Ahmad Hardi tersenyum malu.
“Abang?”
“Hmm?”
“Siapa nama dia?”
“Siapa?”
“Nama perempuan yang menggantikan tempat Ami di hati abang?”
Ahmad Hardi teguk air liur. Serba-salah. “Err..”
“Tak apalah, kalau abang tak mahu bagitahu. Saja Ami bertanya.”
“Farah. Farah Adrianna.”
Naziffa Amira diam sejenak. “Cantik namanya. Ami pasti orangnya juga secantik namanya.”
Ahmad Hardi tersenyum pahit. Agak kelu untuk bersuara.
“Dia tahu abang sudah berkahwin?”
Ahmad Hardi mengangguk. Memang dia ada memberitahu Farah Adrianna yang dia sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak.
“Patutkah Ami bertemu dengan dia?”
Wajah Ahmad Hardi bertukar riak. Ingin sahaja dia bertanya, apa perlunya? Tapi Amira terlebih dahulu bersuara.
“Ami fikir, tidak perlulah. Lagipun, kita akan berpisah jua akhirnya. Sebaiknya abang jagalah dia lebih baik dari abang jaga Ami.”
Ahmad Hardi senyap dan hatinya mula gusar. Berpisah?

***

Wajah isterinya yang sedang tidur nyenyak ditatap. Wajah itu masih kelihatan manis seperti dulu. Dia tersenyum bila teringatkan detik pertama perkenalan mereka. Betapa susahnya dia hendak memiliki Naziffa Amira. Kini dengan mudahnya dia ingin melepaskan.
“Ami tak minta apa pun, cukuplah abang jaga hati Ami dengan sebaiknya. Ami tak nak harta kekayaan itu semua. Ami bersyukur kalau abang sudi menerima Ami seadanya.”
Teringat dia akan janjinya pada Naziffa Amira. “Abang tak ada harta nak offer kat Ami, cuma kasih sayang sahaja yang mampu abang berikan.”
“Ami..” bisiknya perlahan.
Naziffa Amira yang bagai terdengar suaminya menyebut namanya membuka kelopak mata. Dalam keadaan yang masih mamai dia bersuara. “Kenapa ni bang? Abang tak tidur lagi?”
“Maafkan abang, sayang.” Dahi isterinya dikucup.
“Abang?”
“Abang cintakan sayang. Cuma abang terleka seketika. Sayang maafkan abang kan?”
Naziffa Amira tersenyum dalam keadaan separuh sedar. Apalah suami aku merepek ni? “Abang tak ada salah pada Ami pun. Tidurlah..”
Ahmad Hardi melepaskan sebuah keluhan. Dia baring di sebelah isterinya. Dipeluknya tubuh isterinya itu. Hatinya masih gusar. Wajarkah dia melepaskan isterinya itu sedangkan dia masih lagi mencintainya? Bagaimana pula dengan Farah Adrianna?



***

Seorang wanita melangkah masuk ke pejabat Naziffa Amira diriingi oleh penyambut tetamu.
“Awak siapa?” tanya Naziffa Amira.
“Saya Farah Adrianna.”
Dahi Naziffa Amira berkerut bila mendengar nama itu. Inilah perempuan itu. Perempuan yang berada di sisi suamiku.
“Silakan duduk Cik Farah.”
Lama mereka terdiam.
“Kenapa awak nak bertemu dengan saya?” Akhirnya Naziffa Amira membuka mulut terlebih dahulu.
Just out of curious,” balas Farah Adrianna sambil memandang Naziffa Amira yang kelihatan tenang-tenang sahaja.
Curious?” Bukan sepatutnya aku yang berfikiran begitu?
“Awak tak pernah terfikir nak bertemu dengan saya ke?” soal Farah Adrianna.
“Bohonglah kalau saya katakan tidak terdetik di hati saya untuk mengetahui siapa perempuan itu, yang bakal hidup di samping suami saya.” Hendak dikatakan perempuan perampas, tidak sampai pula hati Naziffa Amira. Mungkin sahaja perempuan itu tidak bermaksud untuk merampas suaminya.
“Kenapa awak benarkan suami awak berkahwin lagi?”
“Kalau suami saya bakal beroleh kebahagiaan dengan berkahwin dengan awak, kenapa saya harus menghalang? Lagipun, apa kesudahannya kalau saya menghalang? Mungkinkah ia akan jadi lebih baik untuk saya?” Naziffa Amira pandang wajah perempuan itu. Nampak macam orang baik-baik sahaja. Mungkin dia boleh jaga suami aku lebih baik daripada aku.
“Tapi, awak tidak ingin bersama dengan dia lagi lepas dia menikah dengan saya.”
Naziffa Amira tersenyum. “Saya tidak mahu dia berbelah bagi. Saya tidak mahu kelak saya bakal menjadikan dia seorang suami yang tidak berlaku adil, seandainya saya masih lagi menjadi isterinya ketika itu.”
“Awak meragui dia?”
“Bukan begitu. Saya meragui diri sendiri. Saya tidak fikir saya mampu.menghadapi kehidupan begitu. Saya mungkin tidak kuat melawan rasa cemburu yang lahir. Saya mungkin akan jatuh berdosa kalau kelak saya tidak mampu menerima kenyataan yang suami saya mempunyai seorang lagi isteri yang harus dijaga makan-minumnya. Yang harus ditunaikan hak nafkah zahir dan batinnya. Saya tidak juga mahu kelak saya jadi madu yang menyekat kebahagiaan dan kenikmatan hidup berkeluarga suami dan isterinya yang baru.”
Naziffa Amira berhenti sejenak sebelum meneruskan. “Saya tidak berharap awak faham. Tapi, sepertimana saya menghormati keinginannya untuk mendirikan rumah tangga dengan awak, seperti itu jugalah saya mohon agar dia menghormati pilihan saya untuk tidak terus bersama dengan dia. Mungkin itulah jalan yang terbaik untuk kita semua.”
Farah Adrianna tertunduk. Hatinya terusik mendengar penjelasan Naziffa Amira. Wajah Naziffa Amira dipandang. Memang dia ingin bertemu dengan wanita itu. Dia mahu tahu kenapa Ahmad Hardi membatalkan hasrat untuk meneruskan pernikahan mereka. Dia mahu tahu apa hebatnya wanita itu berbanding dirinya.
“Awak hebat.”
“Apa maksud awak?”
Just to let you know, we are not getting married. Me and your husband, is not going to happen.” Ada air mata bergenang kelihatan.
“Maafkan saya,” balas Naziffa Amira agak terkejut dengan perkembangan itu. Di kala dia betul-betul pasrah dengan ketentuan itu, di kala dia sudah bersedia menerima suratan yang tertulis akhirnya kejutan itu yang diperolehinya.
No, maafkan saya. I have should know better than to mess with other people life. Specially, the one that already married.” Farah Adrianna tersenyum pahit.
Naziffa Amira tidak terkata. Ada rasa sedih yang lahir buat Farah Adrianna, mungkin perempuan itu benar-benar ikhlas mencintai suaminya. Tapi pada yang masa jauh di sudut hati dia rasa bersyukur kerana perkahwinannya masih mampu diselamatkan.
I learnt my lesson.” Ucap Farah Adrianna sebelum melangkah pergi.
Me too, jawab Naziffa Amira dalam hati.
Mungkin dugaan yang hadir itu bukan bertujuan untuk melumpuhkan diri tapi untuk menguji tahap kesabaran dan cara terbaik menanganinya. Mungkin ia perlu untuk mengingatkan diri supaya sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang terburuk dan bersyukur dengan apa yang kita ada selagi masih ada waktu. Renung Naziffa Amira ketika mengimbas kembali apa yang telah berlaku.   

***

Sejambak bunga dihulurkan pada Naziffa Amira. Tidak pernah-pernah suaminya itu memberi bunga kepadanya selama mereka berkahwin.


“Untuk Ami?”
“Untuk Ami. Tanda abang minta maaf.”
“Abang? Kenapalah membazir beli semua ini.”
“Abang tahu tapi untuk Ami, abang rasa ini sangat sedikit kalau dibandingkan dengan apa yang telah Ami lakukan untuk abang, untuk keluarga. Sepatutnya abang buat lebih.”
Naziffa Amira sedikit tersentuh.
“Abang hampir kehilangan Ami. Sepatutnya abang lebih tahu yang cinta Ami tidak berbaloi untuk dikorbankan untuk apa-apa pun di dunia ini. Abang buta menilainya.”
Ahmad Hardi memeluk isterinya seperti tidak mahu dilepaskan apatah lagi bila isterinya membalas pelukan itu. Terasa seperti sudah lama tidak merasa kehangatan itu. “Terima kasih kerana masih mahu menerima abang. Abang akan cuba jadi yang terbaik untuk Ami dan anak-anak kita.”


Sabtu, 13 Oktober 2012

Cerpen : Seluruh Nafasku






Berubah seluruh wajah Iyyad tatkala melihat foto yang diunjukkan oleh lelaki separuh abad yang bergelar Datuk itu. Hatinya jadi gusar. Kenapa? Kenapa mesti dia?
“Kenapa?”
Suara yang kedengaran separuh berbisik itu sampai juga ke telinga Datuk Kausar.  Berkerut sedikit dahinya. “Itu engkau tak perlu tahu, yang penting jalankan tugas kau dan tutup jejaknya sebaik mungkin.”
            Iyyad meneguk air liur. Tidak menyangka yang suara hatinya itu boleh terlepas keluar dari dua ulas bibirnya.
            “Nah, ini pendahuluan. Bakinya selepas tugas selesai.”
Sampul yang berisi wang tunai itu bertukar tangan. Iyyad menyarungkan hud semula sebelum bergegas meninggalkan tempat pertemuan. Datuk Kausar dan pemandunya turut melakukan perkara yang sama.

***

Lama Iyyad memerhatikan foto itu. Foto gadis yang amat dikenalinya. Gadis itulah yang diselamatkannya dari sebuah kemalangan ngeri yang berlaku lima tahun lepas. Masih teringat akan dia detik pertemuan pertamanya dengan gadis itu.
            “Tolong, tolong selamatkan anak saya,” suara lemah seorang lelaki tuan kedengaran memohon.
Iyyad antara orang pertama tiba di tempat kejadian. Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga beranak itu bergesel dengan sebuah treler yang dipandu laju, mengakibatkan kenderaan itu terbabas lalu terbalik.
Si ibu yang duduk di sebelah pemandu meninggal serta-merta. Si ayah pula dalam keadaan separuh nyawa sedangkan anak gadis mereka yang berada di bahagian belakang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Tolong..nak.”
Iyyad segera menuju ke arah pemilik suara itu. Dia cuba membuka pintu bersebelahan pemandu tetapi pintu itu remuk begitu teruk menyebabkan ia sukar untuk dibuka.
“Nak, rasanya pakcik tidak sempat. Huk… huk.. huk..”
Iyyad jadi serba salah. Pandangan mata seorang ayah begitu meruntun kalbunya.
“Tolong sampaikan padanya..” matanya beralih pada sekujur tubuh yang berada di belakang. “Kami sayang padanya. ” Pautan si ayah yang pada awalnya kuat pada lengan Iyyad,semakin lama semakin lemah.
“Mengucap pakcik, mengucap.” Itu sahaja yang mampu Iyyad katakan melihat keadaan orang tua yang sedang nazak itu.
“Tolong pakcik… tolong jaga anak pakcik.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan sebelum orang tua itu menghembuskan nafas terakhir.
Bau petrol dari tong minyak yang pecah agak kuat segera menyedarkan Iyyad. Mengingatkan kebocoran seperti itu boleh mengakibatkan letupan, Iyyad pantas cuba mengeluarkan anak gadis dari kenderaan tersebut.
Kebakaran kecil tiba-tiba tercetus, disertai dengan satu letupan.  Orang yang semakin ramai mula menjerit melihat kejadian itu. Asap kelihatan berkepul-kepul di ruang udara. Nasib baik Iyyad sempat menarik gadis itu supaya berada jauh dari kenderaan.   
Iyyad meraup wajahnya. Seakan baru semalam peristiwa itu berlaku, seakan baru semalam orang tua itu meninggalkan pesan kepadanya.
Kini, dia terpaksa melakukan sesuatu yang amat berat baginya. Walaupun ini mungkin bukan yang pertama, tapi kerana mangsa itu adalah Azuratul Hana, dia jadi buntu.  

***

“Siapa ni babah?”
Orang yang dimaksudkan itu segera berpaling menyembunyikan wajah. Topi yang dipakai diturunkan sedikit ke hadapan melitupi sebahagian besar dahinya. Kalau boleh dia tidak mahu bertentang mata dengan gadis tersebut.
“Mulai hari ini dia akan jadi pemandu kamu,” balas Datuk Kausar kepada anak saudaranya itu. Setelah kematian kedua ibu-bapa Azuratul Hana, dia yang mengambil alih hak penjagaan ke atas gadis tersebut.
“Pak Rahman mana?”
“Dia dah berhenti.”
Berkerut dahi Hana mendengarnya. Pelik? Pak Rahman tak kata apa pun. Tak ada ucap selamat tinggal pun? Namun tidak pula terniat di hati hendak bertanya lebih lanjut.
“Okey, babah. Hana nak ke kolej.” Segera Hana memeluk Datuk Kausar yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.
Datuk Kausar membalas pelukan itu tanpa rasa bersalah. Dia mengerling ke arah Iyyad, memberi isyarat mata. Seakan faham, Iyyad mengangguk walaupun hatinya masih berbelah bahagi.

***

Hana berlari sekuat hati. Semak samun itu diredah walaupun hanya dengan berkaki ayam. Dadanya turun naik. Nafasnya laju. Degup jantungnya bagai terdengar-dengar di udara. Sungguh dia terkejut mendengar pengakuan yang keluar dari mulut pemandu barunya itu.
“Kenapa kita berhenti di sini?” Hana pandang keliling. Sebuah kawasan hutan. Hatinya sudah tidak sedap. Dipandangnya wajah pemandu baru itu yang pada masa yang sama sedang menoleh ke arahnya yang duduk di belakang.
“Cik Hana? Kamu masih ingat pada saya?”
Hana menggeleng. Ketakutan yang mula bersarang di hati menghalang mindanya dari berfikir seperti biasa. Badannya sudah seram sejuk.
“Cik Hana, saya ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana yang mendengar jadi menggeletar seluruh tubuh badan. Dia meneguk air liur berkali-kali. Wajah Iyyad dipandang dengan rasa terkejut yang amat. Sepantas itu juga dia membuka pintu kereta dan terus berlari sekuat hatinya.
Hana berhenti seketika setelah pasti lelaki itu tidak mengejarnya. Dia masih tercungap-cungap. Dia tunduk sambil memegang lutut. Penatnya belum hilang tapi hatinya masih risau. Risau kalau tiba-tiba lelaki itu muncul dan berjaya … argh! Kalau boleh dia tidak mahu memikirkan kemungkinan itu.





Hutan itu bukan asing bagi Iyyad. Dia sudah arif akan selok-beloknya. Jadi dengan mudah sahaja dia dapat menjejaki Hana. Tidak sampai sejam, dia sudah sampai di tempat gadis itu berada.
Gadis itu, yang baru berhajat mengambil nafas segera menoleh ketika derapan kaki serta bunyi ranting patah yang kedengaran begitu hampir mengejutkannya. Tidak sempat dia berehat dia terpaksa bangun semula meneruskan larian.
Aku mesti lari, aku tidak mahu mati. Desis hatinya.
Setelah berada agak jauh, Hana bersembunyi di sebalik sebuah pokok kayu yang besar. Hampir tiga saiz pemeluk. Dia teringatkan kata-kata lelaki itu.
“Saya ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana memejamkan mata. Siapalah agaknya memberikan arahan tersebut. Seingat Hana, dia tidak bermusuh dengan sesiapapun. Musuh ayahnya kah? Tapi semua ahli keluarganya sudah meninggal. Cuma ada keluarga pakciknya sahaja, Datuk Kausar.
Prak!! Bunyi ranting patah, mematikan ingatan Hana. Dia membatukan diri. Jantungnya berdegup kencang. Sangat kencang, serasa ingin mati sahaja dia ketika itu.
Bila keadaan jadi hening semula, Hana meninjau keadaan sekeliling. Cuba memastikan keadaan selamat untuk dia melarikan diri. Namun, ketika dia berpaling, mulutnya dicekup dan lengannya ditarik kasar. Tapi Hana tidak berputus asa. Digigitnya telapak tangan yang menekup mulutnya itu sebelum dia memijak kaki lelaki itu dengan sekuat hatinya. Dia terus memecut, berlari tanpa arah yang pasti.
Buat seketika dia berjaya melepaskan diri tapi tidak lama. Lelaki itu sudah terlebih dahulu membaca gerakannya. Hana jatuh tersungkur dan berjaya ditangkap. Aku bukan lawan dia. Setitis air matanya jatuh ke bumi.

***

You are such a fighter.” Begitu kata lelaki itu ketika mengikat kedua belah tangan Hana.
Hana meronta-ronta cuba melonggarkan ikatan. Lelaki itu menggeleng-geleng kepala memerhatikan kelakuan Hana.
“Tolonglah, tindakan kamu itu akan cuma membuatkan ikatan di tangan kamu itu semakin ketat.”
Hana mengeluh. Dia sudah cuba berlari sekuat dan sejauh yang dia mampu tapi lelaki itu lebih pakar dari dirinya. Dia sudah cuba tapi masih gagal. Akhirnya dia mengalah. Adakah hidup aku berakhir begini? Hatinya sebak. Air matanya mengalir lagi.

***

Wajah Iyyad dipandang.
“Saya sukakan kamu, you fight like a man. Till the end, I suppose.
Hana senyap. Pujiankah itu? Detik hatinya, tapi dia tidak ada sebab hendak melayan kata-kata lelaki itu. Untuk apa?
Iyyad menghela nafas berat lalu bergerak mendekati gadis itu. “Saya tidak akan mengapa-apakan kamu tapi kamu harus patuh pada arahan saya.”
“Kenapa saya harus percaya pada kamu?” Dingin sekali pandangan mata Hana.
Iyyad tidak menjawab sebaliknya dia berkata. “Saya akan buka ikatan ini, tapi tolong jangan cuba sesuatu yang bodoh…  seperti melarikan diri.”
Selepas sahaja ikatan dibuka, Hana terus buka langkah seribu. Seperti sudah menjangka, Iyyad pantas mengejar dan meraih gadis itu ke dalam pelukan. Hana meronta-ronta sebelum menggigit lengan Iyyad. Iyyad membiarkan sahaja gadis itu menggigit lengannya sehingga berbekas. Ditahan sahaja rasa sakit berbisa itu sambil memeluk gadis itu dengan lebih kejap. Akhirnya Hana mengalah lalu menangis teresak-esak dalam pelukan Iyyad.
“Shhh…percayalah saya tidak mahu mengapa-apakan kamu.” Iyyad mengemaskan pelukannya, dia bimbang gadis itu akan cuba melarikan diri lagi.
“Tolong jangan cuba lari lagi. Saya bimbang Datuk Kausar dapat tahu dan dia akan menghantar orang lain untuk melangsaikan tugas yang sepatutnya saya lakukan.”
Datuk Kausar? Bagai dipanah halilintar, Hana terkesima. “Babah? Ini semua atas arahan dia?”
“Saya minta maaf.” Iyyad tahu sukar untuk Hana mempercayainya.
“Tapi kenapa? Apa salah Hana?”
“Saya tidak tahu, Cik Hana. Tapi, saya betul-betul minta maaf.”
Hati Hana jadi hancur. Sampai hati babah buat begitu.
Iyyad melonggarkan pelukan, dia tahu Hana tidak akan cuba melarikan diri. Dia tahu Hana betul-betul terluka setelah mendapat tahu akan kebenaran itu.
Hana menangis lalu jatuh terjelepok ke atas lantai.  Sungguh kebenaran itu amat sukar untuk ditelan kepahitannya. Dia tidak mahu menerima tapi apa dayanya. Dia mahu berlari tapi ke mana lagi harus dituju bila satu-satunya ahli keluarga yang tinggal turut mengkhianatinya.
“Kamu letih. Sekarang tidurlah, esok kita fikirkan apa yang sepatutnya kita lakukan.”

***

Iyyad meninjau keadaan di luar rumah papan yang kelihatan usang itu. Cuaca di luar panas terik. Sudah lebih seminggu sejak Hana hilang tapi tiada sebarang laporan dibuat. Tidak di media mahupun alam maya. Seolah-olah Hana memang tidak wujud.
“Kenapa awak engkar arahan babah saya?” Hana bertanya. Akhbar yang dibawa Iyyad tadi diletakkan di tepi serambi. 
“Kamu masih menganggap dia sebagai babah kamu?” Iyyad bertanya sinis.
“Dia masih penjaga saya,” balas Hana sebelum menyambung. “Awak masih tidak menjawab pertanyaan saya.”
Bagaimana harus dia nyatakan. Iyyad menghembus nafas berat. “Entahlah, saya tidak ada jawapan untuk soalan kamu itu.”
“Saya nak jumpa babah saya. Saya nak tahu kenapa?”
Isn’t it obvious? Kamu tahu kan, kamu menempah maut kalau kamu buat begitu.”
“Saya tahu,tapi...”
Iyyad mengeluh.

***

Kring! Kring! Datuk Kausar mengangkat gagang.
“Babah, sampai hati babah buat Hana begini.”
Datuk Kausar terkejut bila mendengar suara itu. Sudah lebih dua bulan berlalu. Sangkanya, anak saudaranya itu sudah meninggal dunia. Hatinya sudah mula gusar. Nampaknya orang yang diupahnya itu tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Patutlah dia tidak pernah kembali mendapatkan baki upahnya.
“Hana? Babah risau sangat. Hana kat mana, nak?”
“Anak? Beginikah seorang babah melayan seorang anak.”
“Bukan begitu Hana…babah..”
“Kenapa babah? Kenapa? Kerana harta kah babah?”
“Hana…”
“Kalau babah minta, Hana dengan rela beri semua harta dan saham peninggalan arwah ayah pada babah. Babah tidak perlu buat semua ini.”
Datuk Kausar memejamkan mata lalu melepaskan sebuah keluhan. Nampaknya Hana sudah tahu segala-galanya. “Maafkan babah, Hana. Kembalilah semula nak.”
“Hana sudah tidak percayakan babah.”
“Hana…”
“Hana sudah letakkan surat pindahmilik kuasa pada pejabat peguam. Hana sudah pindahkan semua harta dan saham milik Hana ke atas nama babah. Harap babah puas hati dan Hana minta selepas ini hubungan kita diputuskan dan tolonglah jangan cari Hana lagi. Itu sahaja permintaan Hana.”
“Babah boleh ke pejabat peguam dan berjumpa dengan Encik Rahim, dia yang menguruskan segalanya bagi pihak Hana. Maafkan Hana, halalkan segala yang termakan dan terminum. Hana pergi dulu.”
Klik. Talian dimatikan. Datuk Kausar bungkam seketika.

***

“Datuk Kausar, selamat bertemu. Silakan duduk.”
“Saya datang kerana surat pindah milik itu.”
“Saya tahu, saya memang menantikan kedatangan Datuk.” En Rahim tersenyum sinis. Kerana harta orang memang boleh jadi buta hati, fikirnya.
“Saya akan bacakan bahagian yang penting sahaja. Bahagian yang lain, Datuk boleh baca sendiri.”
Datuk Kausar segera mengangguk. 
“Segala harta dan saham yang selama ini menjadi milik Azuratul Hana Binti Karim akan diserahkan kepada pemilik baru Datuk Kausar Bin Akhbar berkuat kuasa serta-merta. Tertakluk kepada syarat-syarat berikut. Sila dengar betul-betul.”
“Pertama, tiada sebarang hubungan dalam apa jua cara sekalipun, dalam apa jua keadaan berlaku di antara Cik Azuratul Hana Binti Karim dan Datuk Kausar Bin Akhbar. Kedua, sebanyak 30 peratus hasil pendapatan yang diperolehi daripada milikan harta yang diserahkan oleh Cik Azuratul Hana Binti Karim hendaklah disedekahkan kepada pusat kebajikan dan rumah anak-anak yatim yang terpilih. Perkara ini haruslah berterusan sehingga ke akhir hayat. Seandainya salah satu daripada perkara tersebut tidak dipatuhi atau dilanggar, maka segala milikan secara automatik disedekahkan kepada pusat kebajikan kanak-kanak dan rumah anak-anak yatim.”

***

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup membelai wajah Hana. Cahaya redup dari matahari yang hampir terbenam membelah senja di pantai itu. Dia yang sedang menyusur pantai berhenti seketika menikmati suasana. Alangkah indahnya! Lama dia berdiri.
Iyyad yang sejak dari tadi memerhatikan Hana dari kejauhan tiba-tiba datang menghampiri. Dia berdiri di samping Hana. Hana melemparkan secebis senyuman.
“Sudah setahun lebih, kenapa awak masih mahu berada bersama saya? Babah saya tidak akan mengganggu saya lagi.” Sandal yang tadi berada dalam pegangan dibiarkan jatuh. Seketika kemudian dia tunduk sambil menguis pasir pantai.
“Betul, tapi saya terasa seperti bertanggung jawab ke atas diri kamu.” Iyyad melepaskan pandangan ke laut.
Hana masih leka bermain pasir pantai.
“Saya sudah berjanji.” Tiba-tiba Iyyad mencapai lengan Hana.
 “Berjanji?” Hana pandang wajah Iyyad. Rasa gerun dan takut pada Iyyad sudah lama hilang. Sejak dia mengenal hati budi dan siapa diri Iyyad sebenar. Dia tahu Iyyad bukan seperti Iyyad yang ditonjolkan.
“Saya tahu saya bukan lelaki pilihan, tapi saya berjanji saya akan menjaga kamu sebaik-baiknya.”
Mata bertentang mata. Ada getar meresap ke seluruh jiwa.
“Kalau kamu izinkan, saya akan bertanggung-jawab sepenuhnya ke atas kamu. Dengan seluruh nafas yang saya ada.”
Jantung Hana berdegup kencang. Sungguh dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Hendak ketawa, dia tidak fikir Iyyad sedang bergurau. Hendak menangis? Apa perlukah dia berbuat begitu? Hana mengeluh. Dia tidak bencikan Iyyad. Malah dia sedar, jauh di sudut hatinya dia tidak pernah menolak kehadiran Iyyad di sisi.
 Iyyad pandang wajah Hana yang seakan hilang kata-kata. “Hana? Kamu marah?”
Hana tersentak lalu menggeleng.
“Kalau kamu tidak sudi, saya faham.” Pegangan dilepaskan dan Iyyad mula menapak pergi.
“Iyyad!” panggil Hana membuatkan langkah Iyyad terhenti.
“Saya sudi.” Ucap Hana dengan segaris senyuman.
Iyyad terkaku sebentar, tidak percaya.
“Saya sudi, dengan seluruh nafas yang saya ada, saya sudi jadi teman hidup kamu hingga ke akhir hayat.”
Iyyad memejamkan mata sejenak sebelum merangkul tubuh Hana dengan sekejap yang boleh.
“Terima kasih Hana, saya cintakan kamu.” Bisiknya dengan penuh rasa terharu.



***


Ahad, 16 September 2012

Cerpen: Tak Ingin Pergi


“Masa macam ni lah motor ni nak buat hal!”
Sekali lagi Juhaida cuba menghidupkan motor, tapi masih tidak berhasil. Haish! Rasa macam nak tendang jer motorsikal cabuk itu. Dia memandang jam tangan. Sudah pukul 8.30 pagi.
Pukul berapalah agaknya aku akan sampai kat pejabat. Keluh Juhaida sambil mengembalikan tongkat motor ke tempat asal. Dia mula melangkah perlahan sambil menolak motorsikal tersebut.
Pin! Pin! Bunyi hon kereta menyapa. Juhaida buat pekak.
Tak pernah nampak perempuan tolak motor ker? Marah Juhaida dalam hati melihat kelibat kenderaan yang membunyikan hon tadi. Bergerak melepasinya.
Jauh lagi ker bengkel motor ni? Juhaida mengesat peluh yang mula menitik. Rasa macam dah sejam dia mengheret motorsikal itu padahal jarak dia dari tempat tadi tidak sampai 10 meter pun lagi.
Pon! Pon! Sekali lagi bunyi hon kenderaan menerpa gegendang telinga. Kali ini sebuah lori. Lelaki yang duduk di sebelah pemandu melontarkan segumpal kertas ke arah Juhaida. Sempat lagi lelaki itu buat isyarat telefon kepadanya.
Adus!! Takkanlah mamat tu campak kertas yang bertuliskan nombor telefon? Agak-agak le pun kalau nak mengorat. Juhaida buat muka. Nak saja dia tunjuk jari kalau tidak memikirkan tata susila diri sebagai seorang yang berhemah.
Cheh! Berhemahlah sangat! Kutuk Juhaida pada diri sendiri.
Juhaida berhenti seketika ketika dia tiba di sebuah lereng bukit berhampiran dengan tapak pembinaan sebuah kawasan perumahan baru. Melepaskan lelah. Kelihatan sebuah kereta mewah tersadai di tepi jalan. Dia seperti pernah melihatnya tapi di mana, ya? Hmm… Entah siapa pemiliknya. Terdetik juga di hati Juhaida untuk mengetahuinya.
Juhaida meneruskan semula perjalanan. Dia meninjau kereta mewah tadi ketika melewatinya. Tidak kelihatan pula sesiapa berada di dalam kenderaan tersebut. Hmm…mungkin pergi membuang hajat kut? Atau mungkinkah dia seorang pembunuh bersiri yang sedang menunggu mangsa di sebalik semak samun berdekatan. Juhaida pandang keliling. Memang kawasan itu kelihatan sunyi sedikit. Hati Juhaida jadi cuak sedikit.
Kenapalah minda ini suka sangat berfikir yang buruk-buruk. Cepat-cepat Juhaida menolak motor yang dirasanya itu semakin lama semakin berat.
Pin! Pin! Pon! Pon!
Haish! Ada lagi! Kalau berhajat hendak membantu tak apalah juga! Juhaida julingkan mata sambil menyingsing lengan baju kurung yang dipakainya.
Pin! Pin! Lagi sekali kenderaan itu membunyikan hon.
Juhaida berhenti seketika. Berfikir sama ada dia patut menoleh atau sebaliknya. Pilihan? Sebaliknya, dia teruskan juga melangkah.
Tidak sampai sepuluh langkah, kenderaan yang membunyikan hon tadi memotong Juhaida dan berhenti betul-betul di hadapan gadis tersebut.
“Opocot! Mak engkau!” Sempat lagi Juhaida melatah terkejut.
Seorang pemuda berkaca mata hitam keluar dari bahagian duduk pemandu. T-shirt putih dan seluar jeans lusuh membaluti tubuh badannya yang agak sasa.
Apahal?! Nak culik aku kah? Juhaida berundur sedikit ke belakang.


“Motor rosak?” tanya pemuda itu bila dia tiba di hadapan Juhaida.
“Tak! Saya memang saja suka-suka tolak motor ni.”
Pemuda itu tersengih. “Boleh saya bantu?”
“Awak pomen ker? Kerja kat bengkel motor?” Juhaida kerling kenderaan yang dibawa pemuda itu. Oh! Baru dia perasan yang kenderaan itulah yang tersadai di tepi jalan tadi. Jadi dia pemilik kereta mewah itu?
“Tak! Tapi saya kenal orang yang boleh repair motor awak ni.”
Boleh caya ker mamat ni? Juhaida pandang atas bawah. Dahinya berkerut seketika. Macam pernah nampak, tapi di mana ya?
“Kenapa?” Pemuda itu menggaru dagunya.
Juhaida menggeleng, tidak menjawab.
“Saya call orang saya, biar mereka angkat dan bawa motor awak ke bengkel.”
“Habis saya macam mana?”
“Awak naiklah kereta saya.”
Kening Juhaida terjungkit sebelah. Boleh percaya ke mamat ni? Sekali lagi dia mengerling kenderaan yang dipandu pemuda itu. Kali ini pandangannya difokuskan pada nombor pendaftaran kenderaan tersebut. Plat dua angka?

***

Kereta itu meluncur laju. Lagu Bruno Mars kedengaran berkumandang dari pemain cakera padat. Sekali-sekala kedengaran suara pemuda itu turut sama mendendangkan lagu berjudul ‘Lighters’ itu.

This one’s for you and me, living out our dreams
We’re all right where we should be
Lift my arms out wide I open my eyes
And now all I wanna see
Is a sky full of lighters
A sky full of lighters

Juhaida menoleh ke arah lori kecil yang sedang mengekori kereta mewah itu. Motorsikal miliknya berada di atas belakang lori kecil tersebut.
“Motor awak selamat,” tegur pemuda bernama Faiz Daniel itu sambil melirik ke arah Juhaida.
Juhaida pandang ke depan semula. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu mula mendail.
Call siapa?”
“Bos saya,” beritahu Juhaida jujur.
“Ok.” Faiz Daniel segera mengecilkan volume pemain cakera padat tersebut. Dia tidak mahu mengganggu perbualan antara seorang pekerja dan majikannya.
Beberapa ketika kemudian telefon bimbit dimatikan.
Mr. Saw kata apa?”
“Hah?”
“Bos awak? Mr. Saw ‘kan?”
Berubah sedikit riak di wajah Juhaida. “Macam mana awak tahu?”
Pemuda itu tersenyum cuma, tidak menjawab. Mungkin selama ini gadis itu tidak pernah perasan akan kehadiran dirinya. Haruskah aku berbuat sesuatu? Nay, let the things flows naturally. If it is meant to be, it’s meant to be.

**

Faiz Daniel pandang keliling bengkel motorsikal tersebut. Menunggu tuan punya kedai. Sudah setengah jam lebih dia berada di situ tapi batang hidung pemilik bengkel tersebut belum juga kelihatan.
Sabar Daniel, sabar! Tidak berapa lama kemudian seorang pemuda berbangsa cina terkocoh-kocoh mendapatkan Faiz Daniel.
“Lama tunggu bos?”
“Siapa bos ni?”
“Bos lah, siapa lagi?”
“Alex. Janganlah panggil saya bos. You yang jadi tauke, you lah bos.”
You pun bos maa…”
 Faiz Daniel ketawa sambil menggelengkan kepala.
“Nah.” Sejumlah wang diserahkan kepada pemilik bengkel motor tersebut. “You biar motor amoi ni lama sikit kat sini.”
Lebar benar senyuman Alex ketika menerima wang tersebut. Siapa tak suka dapat wang berganda, satu dari pemilik motorsikal yang ingin motorsikal miliknya dibaiki dan satu lagi dari pemuda yang mahu motorsikal itu lebih lama berada di bengkel tersebut.
Pelik! Pelik! Fikirnya. Tapi itulah bila sudah jatuh cinta, apa-apa pun boleh. Cinta mautlah katakan.
Petang itu.
“Tauke! Motor wa sudah siapkah?” sudah dua hari motornya itu berada di bengkel. Rasa macam patah kaki pula.
“Motor lu sudah manyak lama, susah sikit mau bikin.”
“Apa yang rosak tauke?”
“Nanti, bila sudah siap, wa call sama lu,” balas Alex tanpa menjawab soalan yang dikemukakan Juhaida.
“Aisey, banyak lama lagi kah? Saya mau pergi kerja macam mana?”
“Lu angkat motor baru lah moi, suruh you punya pakto beli untuk lu.”
“Saya mana ada pakto.”
“Lu carilah satu.”
“Banyaklah lu.”
“Itu bukan you pakto ka?”
Juhaida segera menoleh. Kereta yang dipandu Faiz Daniel berhenti di hadapan bengkel.
“Hi Alex!” Faiz Daniel angkat tangan sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta.
“Cik Juhaida? ‘Kan saya dah minta Cik Juhaida tunggu saya. Biar saya bawa Cik Juhaida.” Pemuda itu melurut rambutnya ke belakang.
Juhaida diam sahaja.
“Alex? Motor ok?” Faiz Daniel pura-pura bertanya.
“Belumlah bos!”
“Berapa lama lagi baru boleh siap?”
“Kena tunggu spare-part lo..satu minggu jugalah.”
“Satu minggu?” Juhaida teguk air liur.
“Takpe, jangan susah hati. Mari saya hantar awak balik.”
“Tapi?”
“Tak ada tapi-tapi. Biar Alex baiki motor awak, bila dah siap nanti kita datang ambil. Lagipun seminggu jer kan?”
Dengan hati yang berat Juhaida menapak menuju ke arah kereta Faiz Daniel. Sebaik sahaja Juhaida masuk ke dalam perut kereta, Faiz Daniel mengenyitkan mata pada Alex.


**

Jari-jemari Juhaida menggeletar ketika mengira wang yang diberikan oleh pelanggan bank itu. Selalunya dia tidak begitu. Tapi entah kenapa, pelanggan yang seorang itu sejak akhir-akhir ini sering membuatkannya jadi gemuruh.
Wang itu dibilang sekali lagi.
“Kenapa Cik Juhaida? Kurang ker?”
Juhaida menggeleng kepala sambil cuba mengukirkan senyuman. Mata milik pemuda itu bertembung dengan matanya membuatkan jantungnya berdegup kencang. Bahaya ni! Bisik hati Juhaida tidak keruan. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya lalu meletakkan wang tadi ke dalam mesin pengira automatik.
“Saya tunggu Cik Juhaida petang nanti.” Faiz Daniel mengenyitkan mata ketika Juhaida menyerahkan resit deposit kepadanya.
“Aa..”
“Jangan buat-buat lupa.” Belum sempat Juhaida berkata sesuatu, Faiz Daniel sudah berlalu meninggalkan kaunter.
Juhaida mengeluh.

***

Kereta yang berhenti di belakang garisan kuning itu sengaja mengagah-agah Juhaida yang hendak melintas jalan. Tidak ada pejalan kaki lain ketika itu cuma dia seorang. Juhaida gigit bibir. Dia boleh melihat kelibat seorang perempuan yang sedang memarahi si pemandu yang sedang mengacahnya tadi.
Lampu untuk pejalan kaki masih lagi hijau. Cepat-cepat dia menapak, bukan untuk ke seberang jalan. Tapi ke arah kereta yang suka-suka mempermainkan dirinya.
Tok! Tok! Tok! Juhaida mengetuk cermin tingkap yang ditinted sedikit gelap itu. Cermin tingkap diturunkan. Wajah seorang pemuda yang berkaca mata hitam terjengul di sebaliknya. Senyuman terukir di bibir.
“Kau apahal?”
“Maafkan dia kak, dia memang…” Wanita yang duduk di sebelah pemandu yang menjawab.
Lelaki yang masih lagi tersenyum mengusik itu menanggalkan kaca matanya. Hampir tersembul biji mata Juhaida memandang si pemilik wajah itu.
“Apa khabar Cik Juhaida?”
“Faiz Daniel?”

***

Juhaida menghirup air teh yang baru dihantar oleh pekerja restoran. Dia menyambung semula suapan yang terhenti.
            “Awak tak nak makan ker?” Juhaida bertanya bila nasi yang berada di dalam pinggan Faiz Daniel masih tidak terusik.
            Faiz Daniel tidak menjawab. Dia masih leka memandang Juhaida.
“Encik Hamdan tu siapa dengan awak?” tanya Juhaida.
“Hah?”
“Encik Hamdan?”
“Encik Hamdan tu aa…err..saya sebenarnya pekerja dia.”
“Tapi, selalu Encik Khairul yang buat kerja bank-in duit dan print statement kalau Encik Hamdan tak ada.”
“Encik Khairul dah tak keluar office dah. Saya menggantikan tempat dia.”
“Ooh! Tapi kereta mewah yang awak bawa tu, bukan kereta Encik Hamdan ker?”
“Memang pun, saya ni kira macam driver cum PA.
Juhaida mengangguk kecil.
“Habis, awak bawa-bawa kereta  tu bos awak tak marah ker?”
“Saya kan tengah buat kerja.”
“Tapi, sekarang kan dah habis office hour. Bukan awak kena pulangkan balik kereta ni ker?”
“Err…”
“Lain kali kalau awak nak ajak saya keluar, janganlah guna kereta bos awak. Saya seganlah. Nanti kalau bos awak terserempak dengan kita macam mana?”
“Ok.  Lain kali saya bawa kereta lain.”

**

Telefon di meja chief cashier berdering-dering tak berhenti sejak dari tadi. Lepas satu, satu. Kalau tak tahan, memang boleh naik pressure jadinya.
            “Juhaida, your call.” Laung Mr Saw dari belakang kaunter.
            Juhaida bangun dan mengambil gagang telefon dari Mr Saw.
“Juhaida speaking.”
“Juhaida, I miss you.
Berderau darah Juhaida mendengarnya. Wajah Mr Saw dipandangnya. Bimbang kalau-kalau suara si pemanggil boleh sampai ke pendengaran ketuanya itu. Lebih bimbang kalau kata-kata yang disampaikan itu menjadi bahan di kemudian hari.
“Daniel jangan main-main. Saya tengah bekerja ni.” Suara Juhaida kedengaran separuh berbisik.
Hmm.. sexy whispers.”
“Daniel?”
Meet me this evening?”
“Tak boleh janji.”
“Saya akan tunggu.”
“Daniel, saya tengah bekerja ni.”
Promise me, you are going to meet me today. Kalau tak, I tak nak letak phone ni.”
“Haish! Yelah! Ok, bye!” Juhaida meletakkan gagang.
Sebentar kemudian telefon berdering lagi.
“Juhaida, your call.
Juhaida pandang Mr Saw yang sedang mengajukan gagang telefon. Dahinya sudah berkerut tidak senang.
“Hello?”
“Aida, promise?”
“Daniel?”
You will keep your promise?”
Okay… Promise!

**

Bayu senja berhembus lembut. Suasana di tepi pantai agak suram. Pengunjung semakin berkurangan. Mungkin kerana waktu siang sudah tiba ke penghujungnya.
“Aida, I have something to tell you.”
“Apa dia?” tanya Juhaida sambil kakinya menguis pasir yang memutih itu.
I have a secret. The truth about who I am.
“So? Kita bukan ada apa-apa pun kan? Kalau awak nak simpan, simpanlah rahsia tu. Saya tak kisah.”
“Tapi, saya kisah.”
Juhaida mengerutkan dahi.
“Betul.” Faiz Daniel mencapai jemari Juhaida.

Juhaida pandang jari-jemarinya yang berada dalam genggaman Faiz Daniel. Dia meneguk air liur. Hatinya berkocakan, kenapa dengan pemuda itu?
“Aida, I think I am falling for you.
Juhaida angkat muka. Dia menatap wajah Faiz Daniel cuba mencari kejujuran di sebalik kata-kata pemuda itu sebentar tadi. Dia meneguk air liur lagi. Serius? Dengan perempuan macam aku?
I am falling for you, and I can't bear this feeling anymore,” semakin lama semakin kuat Faiz Daniel menggenggam jari-jemari Juhaida. “I want you badly. Really bad that I don’t want this secret that I kept from you will make us apart.”
            Hati Juhaida bergetar hebat. Tapi untuk membenarkan hatinya leka dengan pengakuan pemuda itu, dia sedikit ralat. Dia tidak mahu pemuda itu menyimpan harapan. Apahal pulak ni? Awak dah buat salah dengan saya ker?”
Kinda.”
“Okey? Then, spill it out.”
“But, you have to promise me that it won’t affect our relationship whatever this relationship means to you.”

**

Sejak mengetahui Faiz Daniel itu sebenarnya anak kepada Encik Hamdan dan bukan seorang pemandu cum pembantu peribadi seperti yang diwar-warkan kepadanya sebelum ini, Juhaida seboleh-bolehnya mengelak dari terus bertemu dengan pemuda itu.
Manalah pantas untuk dia berteman dengan anak pemilik syarikat yang agak besar dan tinggi reputasinya. Ibarat enggang dan pipit. Lagipun siapalah dia? Entah-entah cuma salah seorang spare-part dari berpuluh-puluh, mungkin juga lebih antara gadis-gadis yang pernah keluar dengan pemuda itu. Orang-orang berada dan berkocek penuh ‘kan selalunya begitu.
Sungguhpun begitu, jauh di sudut hati dia sebenarnya merindui pemuda itu. Rindu pada perhatian yang diberikan pemuda itu kepadanya. Rindukan kehadiran pemuda itu di sisinya. Pada tawa dan lawak jenaka pemuda itu. Pada senyuman dan lirikan matanya. Segala-galanya tentang Faiz Daniel.


Tanpa sedar dia mendail nombor telefon bimbit milik lelaki tersebut.
“Hello, siapa ni?”
Suara Juhaida bagai tersekat di kerongkong tatkala mendengar suara itu. Segera dia mematikan talian. Matanya dipejamkan sejenak. Menghapus segala resah yang bertandang.
Seketika kemudian telefon bimbitnya pula yang berbunyi. Dia menekan punat hijau tanpa memandang paparan skrin.
“Juhaida?”
Berderau darahnya mendengar suara itu. Segera dia mematikan talian. Kali ini dia menutup suisnya sekali. Dia menghela nafas panjang. Sungguh dia rindu tapi apakan daya.
Dia bukan jodoh aku. Begitu juga aku bukan jodoh untuk dia. Walau pun aku tak ingin pergi dari cintanya tapi aku harus melepaskannya. Itu takdir cinta aku. Itu takdir cinta aku. Juhaida menyeka air mata yang mengalir.

**

Faiz Daniel meraup wajahnya. Dia pasti panggilan yang diterimanya sebentar tadi tidak lain dan tidak bukan adalah dari gadis yang dirinduinya selama beberapa bulan ini.


Juhaida. Ke mana awak menghilang? Tahukah awak betapa saya terseksa? Betapa saya merindu. Betapa diri ini ingin sekali menatap wajahmu. Melihat senyumanmu. Mendengar suaramu. Mendengar patah-patah bicara yang keluar dari dua ulas bibirmu.
Juhaida, sampainya hati awak. Tidakkah ada sekelumit pun rasa belas pada diri ini? Pemuda itu memandang langit malam. Hatinya masih lagi sarat dengan rasa cinta dan rindu walaupun sudah lapan bulan gadis itu menghilangkan diri.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Faiz Daniel segera menekan butang hijau bila melihat nombor yang tertera pada paparan skrin.
“Dah jumpa bos.”
“Ok. SMSkan alamatnya pada saya.” Setelah berkata begitu, dia mematikan talian. Faiz Daniel menghela nafas panjang. Nafas lega sebenarnya.
Syukur, Alhamdulillah. Akhirnya. Mudah-mudahan pencarian ini tidak sia-sia. Aku mohon padaMu. Aamiin.

**

Bagai nak luruh jantungnya bila lelaki itu berada di hadapan pintu rumahnya. Bagaimana dia boleh menjejak aku? Peluh dingin sudah merecik di dahi.
“Siapa tu Aida?” suara ibu Juhaida kedengaran dari dapur.
“Tak nak jemput saya masuk ker?”
“Aa…err..” ingin sahaja Juhaida menangis bila melihat wajah itu yang kini dihiasi dengan jambang halus. Ada rasa sebak hadir menyerang kalbu.
“Aida?” panggil ibunya lagi.
“Kawan Aida, mak,” balas Juhaida.
“Kenapa biar dia kat luar, jemputlah dia masuk. Hujan kat luar tu.”
Juhaida masih memegang daun pintu ketika ibunya memunculkan diri.
“Kawan Aida?”
Faiz Daniel mengangguk lalu bersalaman dengan ibunya Juhaida.
“Jemputlah masuk.”
“Anak, minum kopi?”

**

Kopi yang dihidangkan dibiarkan di atas meja. Matanya masih lagi melekat pada seraut wajah milik gadis yang membawa pergi hatinya. Meninggalkan lara.
“Kenapa lari dari saya?”
“Siapa yang lari dari awak?”
“Kalau bukan, kenapa minta tukar ke cawangan lain?”
“Itu, atas permintaan pihak atasan.”
“Hmm…habis tu kenapa tukar tempat tinggal pula.”
“Saya nak duduk dekat dengan mak.”
“Nombor handphone?
Handphone lama hilang, terpaksa tukar baru.”
“Betul ni?” Pandangan mata Faiz Daniel begitu menusuk kalbu. Lambat-lambat Juhaida mengangguk.
“Betul ni? Betul semua ini bukan kerana awak ingin melarikan diri dari saya?” sekali lagi Faiz Daniel bertanya sedikit lirih.
Juhaida pejamkan mata. Hendak memandang wajah pemuda itu lebih lama rasa tidak sanggup.
“Kenapa? Bukankah awak juga mempunyai perasaan yang sama seperti saya?”
Juhaida diam.
“Awak yang selalu buat miss call tu kan?”
“Awak hendak menidakkannya? Awak nak saya call nombor ni?” diunjukkannya nombor telefon tersebut.
Juhaida menunduk. Dia rasa tidak mampu lagi menahan sesak di dada. Selama ini dia sebenarnya sudah kalah pada perasaan dirinya sendiri.
Faiz Daniel berjeda. Dia menarik nafas dalam-dalam.
“Juhaida, saya tak ingin pergi dari awak. Saya juga tak ingin awak pergi dari saya. Saya harap pencarian saya ini berakhir di sini. Saya tidak mahu awak lari dari saya dan yang penting dari perasaan awak sendiri.”
I am asking you, forget my family. Forget where I come from. Just think of me. Think of this person that sitting right in front of you. This person, who is missing you very much.. Who is madly in love with you..
Faiz Daniel berjeda lagi sebelum meneruskan dengan suara yang separuh berbisik. “Honestly, do you love me too? Like I do?
Mata Juhaida sudah berkaca-kaca. Rasanya air mata yang bergenang itu, menunggu masa untuk tumpah sahaja.  
“Juhaida, please tell me. Dengan tulus ikhlas, dari hati awak katakanlah yang sebenar-benarnya.”
Juhaida pandang wajah Faiz Daniel yang kelihatan begitu sedih dan sebak. Air matanya terus jatuh menitis. Dia tidak mampu membohongi kata hatinya yang sebenar.
“Saya..”
Mereka bertentang mata. Ada rasa getar mengalir mengusik jiwa, berkongsi segenap rasa cinta dan rindu yang terpendam.
“Saya.. saya tak boleh lupakan awak, Faiz Daniel.”
Faiz Daniel meraup wajahnya sebelum menghembus nafas yang panjang. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia memeluk gadis itu ketika itu juga tapi dia sedar akan batasan agama yang perlu dipatuhi. Sebentar kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit untuk membuat panggilan. Satu panggilan penting.
“Pa, I found my missing bride already. I am ready to get married.”
Juhaida pandang wajah Faiz Daniel yang sudah bertukar sedikit ceria. Ibu Juhaida yang sedari tadi tidak ikut sama dalam perbincangan tiba-tiba muncul dari dapur dengan sepinggan kuih keria.
“Makanlah nak, kuih ni, Ini saja yang mampu makcik sediakan,” pelawa ibu Juhaida.
“Makcik, Ahad ni makcik sekeluarga ada apa-apa hal tak?”
“Tak ada rasanya. Kenapa ya?”
“Kalau begitu, saya akan hantar rombongan meminang anak makcik hari Ahad ni.”
“Hah?” terlopong ibu Juhaida mendengarnya.
“Daniel?” Juhaida sendiri ternganga.
I am dead serious. Awaklah insan itu yang membuatkan saya tak ingin pergi.”