Jumaat, 28 Februari 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 1




JANJI hendak bertemu tepat pukul enam di perkarangan lobi. Sudah setengah jam aku berdiri di sini. Lenguh kaki aku bertahan namun tuan empunya badan yang ditunggu masih belum memunculkan diri lagi. Hati aku yang tadinya sejuk sebab kononnya hari ini dapat balik sedikit awal daripada yang biasa, sudai mulai berbahang.
Aku sebenarnya sudah dua hari tidak dapat menonton drama kegemaran aku tu, ‘Officially Milik Dia’ yang bersiaran tepat jam 7 malam setiap hari Isnin hingga Khamis. Nasib baiklah emak sudi menolong aku merakamkan dua episod yang aku ketinggalan. Cadangnya malam ni aku hendak menonton drama tersebut secara marathon, tiga episod sekaligus.


Jam yang melilit di pergelangan tangan aku teleng. Hati membara-bara, penat, letih, lapar, semua rasa bercampur-baur. Aduh. Aku sebenarnya malas hendak melayan hati yang sudah mula goyah disapa api kemarahan.
Aku bukan lupa, cuma ada ketikanya aku alpa. Adakalanya tanpa kita sedar, tahap kesabaran kita itu diuji dengan cara sebegini. Benar, sabar itu separuh daripada iman. Seringkali aku ingatkan diri sendiri tentang itu. Tapi, itulah bila iman senipis bawang, faham-faham sahajalah. Kadang-kadang emosi kita sukar hendak dikawal.
“Mana dia ni?” keluh aku.
Berdiri macam mana gaya rupa pun sudah tak betul. Lutut lenguh tapi takkan hendak bersila di atas lantai simen ni pula. Orang yang tengah lalu lalang tu dok perhati.
Sebenarnya bukan tak biasa terkena begini. Bila ditanya, jawapan yang diterima kadang menjengkelkan. Katanya sedang dalam perjalanan tapi sebenarnya belum bergerak pun. Bila ditanya pukul berapa hendak bertemu, dijawab pukul enam petang tapi pukul enam itulah sebenarnya orang yang berkenaan baru hendak beransur. Bila sudah terlambat, mulalah seribu satu alasan diberi. Lumrah. Diri sendiri pun sama sahaja sebenarnya cuma kita alpa dengan kesalahan sendiri.  
Argh! Aku tak tahu berapa lama lagi aku terpaksa menunggu. Benar, penantian itu satu penyiksaan. Aku sedang tersiksa, bukan setakat menanti kemunculan orang yang dinanti. Tapi juga jodoh aku, jodoh yang tidak kunjung tiba. Lari daripada topik sebentar. Heh!
Jadinya, sementara menunggu, cepat-cepat aku buka aplikasi Wattpadd di telefon. Lebih baiklah aku habiskan masa dengan membaca daripada melayan hati yang selalu rapuh ini. Di alam maya ramai sahaja jodoh-jodoh impian yang boleh mengisi masa aku yang sedang kosong sekarang ini. Ya, hero-hero dalam enovel itu melambak-lambak. Itu sahajalah yang mampu.  


Lama juga aku membelek skrin. Akhirnya, aku terjumpa sebuah kisah yang agak menarik untuk terus dibaca. Kisahnya agak kelakar. Tersengih-sengih aku membacanya. Memang aku jenis yang begitu, mudah terhibur. Jenis yang mudah tersentuh hati juga.
Tubuh aku sandarkan pada dinding bersebelahan dengan lif yang menuju ke basement. Lenguh terasa kaki dan sendi-sendi aku walaupun setakat berdiri. Seketika kemudian aku dongakkan kepala, memandang ke arah kumpulan manusia yang berbondong keluar meninggalkan pejabat. Namun, kelibat yang dinanti masih belum kelihatan. Sabar lahai!
Kak Roha ada masalah ke? Kependekan nama penuh orang yang ditunggu,  Rohaini Binti Razman. Hurm… kalau betul ada masalah, khabarkanlah kepada aku supaya aku tidak bersyak-wasangka.
Andai kata tidak dapat menepati masa, sila maklumkan agar tidak menyusahkan orang yang menunggu. Tapi itulah, nama pun pangkat kakak, agak susah juga hendak berpesan-pesan begitu. Bimbang akan terasa. Adat menumpang, jadi aku diamkan sahaja.
Ye, aku menumpang Kak Roha balik hari ini sebab ayah aku nak gunakan kereta. Hendak ke mana entah. Kalau tak silap aku, katanya hendak ke Bangunan KWSP, menguruskan duit pencen. Ayah dah pencen, emak pun sama.      
Tiba-tiba mata aku terpandang sosok tubuh seorang pemuda yang sedang melangkah ke arah aku. Makin lama makin mendekat. Aku perhatikan pakaian yang dipakai. Kemeja berwarana hijau turqoise gelap dipasangkan dengan t-shirt berwarna putih di dalam. Lengan baju digulung hingga melepasi siku. Seluar jenis khakis berwarna coklat cair.
Badan lelaki itu sedang-sedang, tak tegap sangat tapi nampak fit. Mungkin jenis yang bersukan dan menjaga penampilan. Penampilan yang menarik. Kalau tak, tak adalah perhatian aku teralih sekejap. Hendak ke mana agaknya?


Aku kalihkan pandangan ke arah escalator, melihat kalau-kalau orang yang aku tunggu sudah tiba. Tapi, orang lain pula yang muncul. Atif Lutfi. Crush aku. Bersinar-sinar mata aku bak kejora tatkala terpandang lelaki tersebut. Spontan aku membetulkan postur badan.  
Tiba-tiba terfikir hendak ke sana, ke arah escalator. Mungkin dia akan perasan akan kehadiran aku. Cepat-cepat aku masukkan telefon bimbit lalu membetulkan keadaan pakaian aku. Namun, belum sempat aku memulakan langkah aku, aku disapa seseorang.
“Awak?”
Aku sedikit terkejut. Lelaki berbaju hijau turqoise tadi sudah tiba di hadapan aku. Dahi aku berkerut. Wajahnya kelihatan seperti seseorang yang pernah aku jumpa tapi aku gagal mengimbas andai benar dia pernah berada dalam lipatan memori.
Mata aku kembali melingas ke hujung escalator. Ati Lutfi sudah menjejak lobi dan terus laju menghilang di celah-celah orang ramai. Pergi bersama peluang aku yang tidak kesampaian. Aku pandang lelaki di depan mata dengan perasaan sedikit jengkel. Sebab engkaulah, aku terlepas peluang.  
“Ye?”
Aku mendongak sedikit sebab lelaki itu sejengkal lebih tinggi daripada aku. Eh! Aku terpegun seketika dengan keindahan ciptaan Tuhan. Nafas kutahan sejenak. Baru perasan wajahnya sedikit berjambang. Jambang yang agak kemas. Kulit pula tak gelap dan tak cerah sangat.
Sedikit kacak kalau hendak dibandingkan dengan Atif Lutfi. Kacak memang kacak. Tapi … tapi … tapi, Atif Lutfi tetap tersemat di hati. Tiada siapa boleh mengalahkan crush aku walaupun yang hadir itu kacaknya hampir setaraf dengan Shafiq Kyle ataupun Zul Arifin.
“Lif yang dekat belakang awak ni, boleh sampai ke tingkat 19 ke?”
Tak boleh, lif ini cuma boleh menuju ke hati awak. Aku sengih sendirian mendengar jawapan yang berlegar di minda. Aipp! Mana boleh fikirkan orang lain selain Atif Lutfi. Atif Lutfi, crush tak guna yang tak pernah perasan kehadiran aku itu juga yang aku menangkan.
Ternampak bungkusan makanan yang dibawa bersama. Dia bekerja dengan pusat penghantaran makanan ke? Okay, mungkin GrabFood berwarna hijau, tapi mereka memang diwajibkan memakai baju seragam ke? Aku tak perasan sangat. Memang banyak pekerja Grabfood selalu datang singgah ke bangunan ni. Tapi baju yang dipakai tak serupa pakaian seragam pun.
“Ehem.” Lelaki itu berdehem, memandang aku dengan kening terjongket.
Owh, lepa sejenak tadi. Spontan aku pandang lif di belakang aku. Jelas tertera pada papan tanda yang melekat pada dinding bersebelahan lif tersebut yang menyatakan lif tersebut cuma ke kawasan basement dan parkir sahaja. Takkan tak perasan kot, tak kecil manapun papan tanda tersebut.
“Lif ni?” Aku sengetkan kepala sedikit sambil kening kuangkat dua kali. Sebenarnya aku nak bagi hint dekat dia, bukankah ada papan tanda tertera di situ. Tapi, lelaki itu macam tak fahamlah pula. Aku hembus nafas.
“Lif ini?” Aku ulang sekali lagi.
Lelaki itu mengangguk, dan aku mengalah. Lagipun, muka dia tak ada ekspresi langsung walaupun boleh dikatakan mempunyai rupa yang agak menawan. Letih juga aku menahan nafas tadi bila kedudukan dia berdiri tu agak hampir dengan aku. Bau haruman yang dipakai menusuk deria. Wangi… Kalau tak kerana malu, nak juga aku bertanya haruman jenis apa yang dia gunakan.
Lelaki itu berdehem lagi menyedarkan aku yang terleka sekali lagi. Dahsyat betul wangian yang dipakai dia sampai boleh membuat aku menjadi khayal seketika. Atau sebenarnya aura dia memang memikat.
“Tak.” Cepat-cepat aku menggeleng sebelum menyambung. Terbit sedikit rasa malu. Aku teguk air liur sebelum menyambung.
“Tak boleh. Awak kena naik escalator depan tu. Sampai di atas minta pas dekat kaunter customer service, lepas tu awak belok kanan, lif yang ada dekat situ boleh bawa awak sampai ke tingkat 19.”
Dah lewat petang ni. Pukul enam lebih baru nak hantar makanan. Ye, aku perasan dalam plastik yang dijinjing itu ada bekas polisterin. Kalau bukan berisikan makanan, apa lagi isinya?
Eh, tingkat 19. Bukankah itu tempat aku bekerja. Tapi, masa aku keluar tadi, pekerja-pekerja lain pun pakat keluar sama. Siapa lagi yang tinggal? Seingat-ingat aku, tak ada siapa melainkan majikan aku dengan beberapa orang klien syarikat. Boss aku minta delivery food? Tak mungkin, boss aku hari-hari bawa bekal, untuk tengah hari dan malam bila dia nak balik lambat.
“Awak?”  
Tanpa mengucapkan terima kasih, lelaki itu berlalu begitu sahaja. Aiii! Elok-elok aku bagi sepuluh markah untuk rupa dan penampilan yang menawan. Sudahnya, aku tolak lima markah, sebab moral value tak cukup. Huh. Hampeh. Aku baru hendak bertanyakan sesuatu.
“Terima kasih,” laungku. Lebih kepada memerli sebenarnya.
Lelaki itu tak menoleh pun. Memang hampeh. Tolak lagi lima markah sebab tak prihatin. Susah betul hendak berjumpa dengan orang yang berbudi bahasa dan menjaga peradaban zaman sekarang. Haa, ‘kan dah dapat kosong.   
“Marah kat akak ke?” Kebetulan pula orang yang aku tunggu dah sampai.
“Eh, taklah, ada lelaki tu,” balasku sambil tertinjau-tinjau laluan escalator. Kak Rohaini turut tertinjau sama. Tapi, kelibat lelaki itu sudah menghilang. Sudah sampai ke atas kot.
“Tak apalah kak, jom.” Dah lambat dah ni. Tak perlulah nak diusha lelaki yang entah siapa-siapa itu. Lebih baiklah aku dan Kak Rohaini segera menyahkan diri dari tempat ini. Aku dah pening dengan bau pejabat.   



Novel in the making


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Assalamualaikum wr wb & salam sejahtera semua.

Lama gila tak singgah, teruk sawang dengan habuk rumah kita ni.
Kita tengah menukang cerita di atas. Hopefully, siap before end of March 2020.
Insya Allah. 😊

Tajuk asal, My Annoying Ms Wifey tapi kita tukar kepada My Not So Adorable Ms Wifey atas sebab kita terbaca another story dengan tajuk yang hampir serupa. Lama dah cop tajuk ni since 2018... huhuhu... bukan rezeki. 

Progress?
Sekarang dah cecah 62k pp dengan jumlah Bab 51. Target 70k pp.

Nanti kita update beberapa bab ye. Sudi-sudikanlah baca. 😊