Khamis, 13 Oktober 2011

CERPEN: SEBENING CINTA DI MATAMU


“Kenapa dia pandang kau semacam aje?” Amimah berbisik sambil menyigung siku aku.
“Siapa?” Tanya aku yang masih khusyuk menulis nota. 
“Siapa lagi, yang ada depan engkau ni lah.” Aku pandang wajah orang yang dimaksudkan Amimah. Bagai nak luruh jantung aku bila mata aku bertembung dengan pemilik mata lelaki itu. Hadif Iqbal. Tiba-tiba aje tekak aku jadi perit dan sakit. Terbatuk-batuk aku dibuatnya.
“Tadi elok jer, kau demam ker?” Sebentar kemudian Hadif Iqbal pun terbatuk-batuk sama.
“Korang berjanji ker?” Tanya Amimah sambil memandang Hadif Iqbal yang duduk berseorangan di meja bertentangan dengan meja kami.  
“Zahra, aku rasa dia sukakan engkaulah.” Iyalah tu. Suka-suka aje Amimah ni buat andaian. Entah-entah si Hadif tu pandang orang yang duduk kat belakang aku. Tapi, serius memang renungan mata bening milik Hadif Iqbal itu betul-betul buat hati aku berdebar-debar. Perlahan aku menoleh ke belakang, memerhatikan kalau-kalau ada orang lain selain dari kami bertiga di bahagian perpustakaan tersebut. Memang tidak ada.
“Tak mungkinlah.” Aku berbisik perlahan menidakkan.
“Tapi, cara dia pandang kau lain macamlah.”    

*****

Hujung minggu itu aku, Amimah, Sabarudin dan beberapa orang rakan seperjuangan yang lain keluar ke bandar untuk meluangkan masa bersama-sama. Kami singgah di sebuah restoran yang agak terkenal di bandar tersebut untuk makan tengahari. Makanan yang kami pesan sedang dihantar oleh pelayan restoran tersebut.
“Kita ada seorang lagi tetamu.” Kata Sabarudin ketika kami semua sedang bersedia untuk menjamu selera.
“Siapa?” Tanya Amimah.
“Tu. Dah sampai pun dia.” Sabarudin mengangkat tangan pada tetamu yang dinantikan, menggamitnya agar datang ke meja kami. Ketika aku menoleh ke arah orang yang dimaksudkan Sabarudin, hati aku jadi tidak keruan. Dia? Macamana dia boleh ada di sini. Terasa darah menyerbu ke muka dan wajah aku mula merona hangat. Nasib baiklah restoran itu jenis yang berhawa dingin, jadi tidak ada yang perasan sangat akan perubahan pada wajah aku.
“Boleh saya duduk sini?” Tanya Hadif Iqbal pada Amimah. Nasib baik bukan sebelah aku. Huh. Lega sedikit hati aku.
“Boleh. Silalah.” Balas Amimah sambil menganjakkan kerusinya  ke kiri untuk memberi ruang kepada Hadif Iqbal. Pantas dia mengambil kerusi kosong yang terletak di meja bersebelahan. Kini dia menggantikan tempat Amimah yang tadi berhadapan dengan aku. Hati aku jadi kucar-kacir semula. Sambil meneguk air liur, aku berdoa dalam hati agar aku mampu mengharungi masa yang berlalu tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.  Risau aku. Aku kan kadang-kadang clumsy sikit.
Tapi apa yang aku minta itu tidak berlaku. Beberapa kali tangan aku terketar-ketar ketika memegang sudu dan garpu. Macamana aku hendak menyuap makanan ke dalam mulut, kalau makanan itu asyik jatuh dan tumpah ke dalam pinggan? Beberapa kali juga sudu dan garpu itu jatuh ke lantai. Hish, apasal aku jadi sebegini menggelabah?
Kali pertama sudu aku jatuh ke lantai, aku minta pelayan tukarkan. Kali kedua jatuh, Amimah yang panggilkan pelayan minta gantikan sudu tersebut dengan yang lain. Kali ketiga jatuh, aku buat keputusan untuk tidak meneruskan hajat aku untuk menjamu selera. Aduhai!
Beberapa kali juga aku meneguk air liur menahan rasa dahaga, rasa tidak mampu untuk minum kerana bimbang air dalam gelas itu pula yang tumpah. Sepanjang masa itu, aku lebih banyak menunduk dan cuma sesekali mengangkat muka. Aku cuba seboleh-bolehnya tidak memandang wajah Hadif Iqbal. Takut untuk bertentang mata dengannya.   

*****

“Iqbal! Iqbal!” Panggil Amimah ketika terlihat kelibat Hadif Iqbal yang sedang menapak menuju pintu keluar dewan tersebut
        “Boleh kita ambil gambar bersama?” Tanya Amimah.
        “Boleh apa salahnya.” Balas Hadif Iqbal.
“Zahra, tolong?” Pinta Amimah, aku sekadar mengangguk setuju dengan rasa berat hati.
Cepat-cepat Amimah menarik lengan baju yang dipakai Hadif Iqbal lalu berdiri di hadapan pentas yang sudah dihias cantik sempena malam kebudayaan dan kesenian sekolah.
        Mereka sedang membetulkan duduk pakaian ketika aku mengangkat kamera bersedia untuk menangkap gambar.
Ready?” Tanya aku. Amimah mengangguk sambil tersenyum. Tiba-tiba aku terhenti seketika ketika hendak menekan butang kamera.
Jantung aku bagai berhenti berdegup bila terlihat akan pandangan mata Hadif Iqbal yang sendu itu. Betul-betul menikam kalbu. Tersentak sedikit aku. Kenapa dia pandang aku begitu? Tidak pernah hati aku jadi begini gemuruh. Tangan aku jadi sedikit menggeletar. Sabar! Sabar! Itu perasaan kau saja! Nasib baik aku mampu menahan gelodak yang menguasai hati dan perasaan aku ketika ini. Kalau tidak, habislah kamera milik Amimah itu jatuh berkecaian.
 “Korang tak nak tangkap gambar bersama ke?” Tanya Amimah. Hadif Iqbal pandang aku. Hati aku kembali berkocakan hebat dengan pandangan lembut dari mata beningnya yang memukau. Aku senyap, tidak mampu bersuara.    
“Boleh.” Hadif Iqbal memberi persetujuan tanpa menunggu jawapan dari aku.

*****
   
Aku menangis teresak-esak di riba Mira, rakan sebilik aku. Ketika itu kami sedang menghadapi peperiksaan STPM. 
“Inilah pertama kali aku lihat orang menangis sebab dia dah jatuh suka kat seseorang.” Kata Mira sambil membelai rambut aku.
“Aku nak buat macamana ni Mira? Aku suka sangat-sangat kat dia.” Dalam sedu-sedan aku mengadu.
“Siapa orangnya? Macamana kau boleh suka kat dia?” Bagaimana harus aku jawab pertanyaan itu? Aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh jadi begini. Mungkin kerana renungan mata bening itu. Seolah-olah ada yang tersirat di sebaliknya pandangan matanya itu. Membuatkan aku ingin tahu. Sangat-sangat ingin tahu.
               “Aduhai, kawan aku. Kita sedang ambil exam ni. Kalau kau fail exam 
       ni, aku akan cari mamat yang buat kau macam ni hingga ke lubang cacing.”
“Dia tak de buat apa pun, dia tak tahu pun aku suka kat dia.” Jawab aku sambil mengesat air mata yang belum mahu berhenti mengalir. 
“Habis yang kau menangis bagai nak rak ni kenapa?”
“Sebab aku rasa cinta aku ini tidak akan sampai ke mana.”
“Kenapa?” Soalan Mira itu aku biarkan tidak berjawab kerana aku sendiri tidak tahu mengapa aku berkata begitu.

*****

Hari ini adalah hari pertama peperiksaan STPM. Oleh kerana esok cuma ada kertas Sastera dan ianya bukan salah satu subjek yang aku ambil maka aku bercadang untuk menelefon Hadif Iqbal. Walaupun Hadif Iqbal bukan rakan sekelas aku, aku tahu dia juga sama seperti aku tidak mengambil mata pelajaran Sastera.
Malam itu aku singgah ke pondok telefon awam berdekatan dengan dewan makan. Nasib baik tidak ada sesiapa yang sedang menggunakan telefon awan tersebut ketika itu. Segera aku keluarkan kertas kecil yang tertulis nombor telefon rumah Hadif Iqbal yang aku perolehi dari buku autograph milik salah seorang rakan sebilik aku. Kebetulan aku terjumpa ketika menyelak helaian buku tersebut untuk mencari ruang kosong bagi aku mencatatkan kata-kata dan menurunkan tanda-tangan.
“Siapa ni?” Suara Hadif Iqbal menyapa membuatkan aku jadi gementar.
“Aa…” Aku tidak mampu berkata-kata. Rasa macam nak letak aje gagang telefon ketika itu.
“Hello? Kalau awak tak bercakap, saya akan letak telefon ni.” Suara Hadif Iqbal kedengaran begitu lembut.
“Saya…”
Ada pun. Siapa yang bercakap ni?”
“Rasanya tak perlulah awak tahu siapa.”
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Aa..” Aku hilang kata-kata lagi.
“Kalau tak nak bagitahu tak mengapa. Tapi, kenapa awak telefon saya?”
“Hmm.. saya…saya… nak awak tolong saya.”
“Tolong awak? Tolong awak macamana?”
“Hmm..” Nak cakap ke tak nak cakap?
“Ya?”
“Saya nak awak tolong saya lupakan awak.” Akhirnya dengan sekali nafas jer ayat tersebut keluar dari mulut aku.
“Ha?” Hadif Iqbal kedengaran terkejut.
“Awak main-main ek?” Sambungnya sejurus kemudian.
“Tak. tak… saya tak main-main. Memang betul saya nak lupakan awak.”
“Kenapa awak hendak buat begitu?”
“Entahlah, saya tak pasti.” Aku mengeluh perlahan.
“Baiklah. Macam ni. Saya nak tolong awak tapi kalau awak tak bagitahu saya siapa awak yang sebenar, macamana saya nak tolong?”
“Saya pun tak tahu, tapi esok saya akan telefon awak lagi.”
“Nantilah dulu, siapa awak sebenarnya?”
“Awak kenal saya.”
“Ya, tapi siapa?”
“Saya masih belum bersedia untuk itu.”

*****
Malam yang berikutnya.
“Mana awak dapat nombor telefon saya?”
“Adalah.”
“Siapa yang bagi?”
“Tak ada siapa yang bagi. Ada dalam buku autograph.”
“Ooh…”
“Macamana exam tadi?” 
Okey. Tak susah sangat.”
“Awak dah ada girlfriend?” Tanya aku tak berselindung.
“Tak ada.” Jawabnya ringkas.
“Tapi, tentu awak ada sukakan seseorang kan?”
“Kenapa awak nak tahu?” Kerana aku tidak mahu berterusan mengingati awak, Hadif Iqbal. Aku mahudia hilang dari minda. Kalau dia sudah berpunya, mungkin itu lebih mudah bagi aku.
“Saja…”
“Awak kata awak nakkan pertolongan saya?”
“Lebih kurang.”
“Awak kata saya kenal siapa awak?”
“Ya…"
"Adakah maksudnya kita bersekolah di sekolah yang sama?”
“Awak, syiling saya dah habis. Esok saya call awak.” Dan airmata aku bercucuran lagi.

****
“Awak?” Nampaknya dia dah cam suara aku.
“Awak marah saya telefon?” Tanya aku bimbang.
“Tak.”
“Saya menganggu awak?”
“Tak. Awak sihat hari ini?”
“Hmm…sihat.”
“Masih tak boleh lupakan saya?”
“Aa…Nampaknya, begitulah.” Kalau tidak mana mungkin aku boleh tahan berjam-jam menunggu giliran untuk menggunakan telefon awam yang disediakan untuk penghuni asrama itu. Itupun aku pilih jadi orang yang terakhir kerana aku tidak mahu orang lain mendengar perbualan kami.
“Saya tidak tahu macamana nak tolong awak.” Katanya kedengaran ikhlas. 
“Awak jawab aje soalan saya dengan ikhlas.”
“Boleh. Tapi, awak kena berjanji dengan saya yang awak akan bagitahu saya siapa awak yang sebenarnya.” Alamak! Terkedu aku seketika. Bagaimana aku mampu untuk berbuat begitu. Memperkenalkan diri sama seperti membuka pekung di dada. Aku malu. Tapi setelah berfikir-fikir, aku pun berkata.
“Saya akan bagitahu pada hari terakhir kertas exam.”

****

Aku sepatutnya menghubungi Hadif Iqbal hari ini untuk mendedahkan diri aku seperti yang telah aku janjikan. Tapi aku tidak berpeluang kerana pondok telefon yang cuma ada satu itu dipenuhi dengan para pelajar sejak tamat kertas akhir tadi.
Aku ingin memohon maaf kerana akhir-akhir ini aku sering mengganggu dia. Aku berharap sangat ianya tidak akan menjejaskan kertas peperiksaan yang diambilnya. Lagipun petang itu aku akan meninggalkan asrama dan alam persekolahan untuk selama-lamanya. Mungkin ini kali terakhir aku dapat berbual dengannya. Tiada siapa tahu dan menduga apa yang bakal terjadi di hari-hari yang mendatang.
Akhirnya setelah menunggu beberapa ketika, aku mendapat peluang untuk menggunakan telefon tersebut, tapi malangnya dia belum tiba di rumah lagi. Tidak mampu aku jelaskan betapa aku berasa sangat kecewa.
Sudah pukul lima petang. Ayah aku akan sampai sebentar lagi untuk menjemput aku pulang. Aku menunggu ayah di depan dewan bersama-sama beg pakaian dan barang-barang aku. Aku mencuba sekali lagi untuk menelefon Hadif Iqbal tapi tidak berjaya. Akhirnya meninggalkan asrama dengan hati yang pasrah. Boleh saja kalau aku ingin menelefon dia di tempat lain tapi mungkin tidak. Lagipun, rumah aku tidak ada kemudahan talian telefon. Keluarga aku tidak berhajat untuk menggunakannya.
Namun bila difikir-fikirkan, bukankah aku memang mahu ianya berakhir di sini? Bukankah tujuan aku menelefon dia, agar aku boleh melupakan dia kelak?

*****

Hari ini hari pertama aku bekerja di syarikat ini. Aku telah berjaya dalam temuduga yang aku hadiri sebulan yang lepas. Pihak syarikat memanggil aku semalam dan memberitahu yang aku boleh menjalankan tugas mulai hari ini.
“Awak ada kat sini?” Aku agak terkejut bila bertembung dengan Hadif Iqbal ketika memasuki ruang menunggu syarikat tersebut.
“Jadi, awaklah pekerja baru tu?” Tanya Hadif Iqbal. Aku mengangguk sedikit berdebar.
“Okey, nanti saya jumpa awak.” Katanya sebelum melangkah pergi dan meninggalkan aku seorang diri. Aku menghela nafas panjang sebab hati aku sudah mula kucar-kacir bila memikirkan yang aku akan bekerja dengan Hadif Iqbal dalam syarikat yang sama.
“Zahratul Ain, pengurus panggil awak masuk bilik.” Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara penyambut tetamu.
“Silakan. Mari ikut saya.” Murni nama gadis penyambut tetamu itu. Aku menurut saja langkah kakinya hingga tiba di bilik pejabat yang tertera perkataan pengurus pada muka pintunya. Murni mengetuk pintu.
“Masuk.”
“Silakan duduk.” Bagai nak luruh jantung aku bila melihat Hadif Iqbal yang berada dalam bilik tersebut.
“Zahratul Ain Mohamad Zain.” Dia menyebut nama penuh aku.
“Saya.” Aku berbalas pandang dengan Hadif Iqbal. Kecut sedikit hati aku bila bertentang mata dengannya. Segera aku menjatuhkan pandangan ke lantai cuba menghilangkan perasaan gelisah yang bertapak di hati.
“Mana awak menghilang?” Tergamam aku seketika bila mendengar pertanyaan tersebut.
“Kenapa awak…er…bos cakap macam tu?’ Tersasul-sasul aku bertanya.
“Takkan awak dah lupa?” Hadif Iqbal tersenyum dengan mata beningnya yang merenung tepat ke anak mata aku.
“Lupa?”   
“Dah lama awak tak call saya.”
“Aa?” Aku tersilap dengar ker?
“Saya tertunggu-tunggu panggilan awak. Saya rindu.” Mata aku sudah mula berkaca-kaca. Jadi, selama ini dia memang tahu?
“Macamana…macamana awak..awak..?”
“Mira baca diari awak.” Aku memejamkan mata. Oh! Mira.
“Selepas ini, awak tak akan cuba untuk melupakan saya, kan?” Aku menatap mata beningnya yang sarat dengan rasa cinta dan rindu yang terpendam.
“Sebab saya dah berjanji di saat saya bertemu semula dengan awak, saya tidak akan sekali-kali membenarkan diri saya hilang dari hati awak untuk selama-lamanya.” Luruh hati aku mendengarnya. Dan untuk kesekian kalinya aku beranikan diri aku hanyut dalam renungan mata beningnya yang sendu. Hadif Iqbal, aku juga berjanji tidak akan cuba melupakan kamu lagi. 

Isnin, 10 Oktober 2011

Salam Selasa

Sudah beberapa hari tidak menulis. Sibuk dengan event dan tugasan. Minda pula sedang sarat dengan pelbagai cerita minta dimuntahkan. Hehehe...