Ahad, 21 September 2014

Cerpen: Soneta Cinta Pertama


Rindu menyapa sanubari
Mimpi bersulam anganan
Bintang taburnya bergemerlapan
Teman jiwaku yang sepi

AKU pandang dia dari jauh sehinggalah dia mendekat. Tatkala mata kami bertembung, ada kilas dingin mengiringi ekor matanya. Hati yang debak-debuk buat aku jadi panasaran. Terdesak mencari penyelesaian, aku spontan mengangkat tangan.
Lambaian itu bukan untuk dia, tapi untuk jejaka yang berada di belakangnya. Sengaja. Memang aku teringin sebenarnya mahu melambai dia tapi untuk apa? Sudah pasti dia tidak mahu membalasnya, mendatangkan aib kepada diri sendiri sahaja kalau aku berani-berani berbuat begitu. Lebih-lebih lagi bila aku yakin dia tidak pernah mengingati aku sebagaimana aku mengingati dia selama ini.
“Kenapa?” tanya Naufal. Jejaka yang berada di belakangnya itulah. Terburu-buru dia mendahului Jon Snow mendapatkan aku sebaik sahaja aku menggamit dia.
“Saja,” balasku sambil melirik ke arah Jon Snow yang berlalu melewati kami. Aku mengetap bibir langsung. Memang beku mamat seorang ini. Aku merengus dalam hati, menyampah dengan kesombongan dia yang tidak berjaya mengusir rasa cinta yang hadir dalam diri.
“Siapa buat kau marah-marah?” Naufal pandang wajah aku yang sedang membahang ketika ini. Dia menoleh ke kiri, kanan dan kemudian ke belakang sebelum memandang wajah aku semula.
Aku tunduk menggelengkan kepala. Kenapa ya aku harus marah-marah? Itu yang aku tidak faham. Adakah kerana Jon Snow seperti tidak perasan akan kewujudan aku atau kerana aku tidak cukup hebat untuk membuat dia perasan ada seorang insan bernama Maya Arissa yang terhegeh-hegeh mahu menarik perhatian dia?
Geram memikirkan semua cara yang ada sudah kucuba dalam usaha membidik hati dia. Tiada satupun yang berkesan. Dia tidak pernah perasan akan kehadiran aku. Tidak pernah sekali. Terasa diri seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Haish! Kalau hendak dihitung rasa malu, sudah berbakul-bakul rasanya kubuang kerana mahu memikat hati dia.
“Anak dara tak elok masam-masam muka, hilang manisnya,” usik Naufal. “Jom aku belanja kau makan.”
Aku tahu Naufal perasan cara aku memandang Jon Snow cuma dia buat-buat tidak nampak sahaja. Senyum kuukir, segaris. Nasib kaulah Naufal, terpaksa melayan kerenah aku. Kalau kau tidak ada, agaknya aku sudah hilang kewarasan dek penangan cinta yang tidak kesampaian ini.  Harus kuakui, yang aku sangat-sangat berterima kasih untuk segala masa yang diluangkan untuk aku.   
***
Romeo dan Juliet. Uda dan Dara. Laila dan Majnun. Shah Jahan dan Mumtaz Mahal. Salim dan Anarkali. Jon Snow dan Maya Arissa.
Jon Snow dan Maya Arissa? Aku gelak sendirian. Mungkinkah akan ada kisah antara aku dan dia sebaris dengan legenda kisah cinta yang sedia ada? Argh! Jauh sungguh angan-angan aku ini. Haish! Meja kuketuk perlahan dengan pen sambil minda menerawang jauh.
Biarlah aku cipta kisah cinta aku itu sendiri. Kisah cinta antara Snow dan Epal. Snow, sebab wajah dia persis watak Jon Snow dalam karya David Benioff dan D.B Weiss, Games of Thrones yang sudah masuk siri ke empat itu. Bukan itu sahaja sebabnya, tapi juga kerana dia memang dingin orangnya. Sedingin salju dan sebeku ais batu.
Watak aku pula si Epal kerana orang kata bibir aku merah bak buah epal merah yang sedang masak ranum. Mahu saja aku gelarkan diri aku Phoenix, burung legenda, burung api yang membakar. Biar cair hati Jon Snow yang salju itu. Tapi aku tidaklah sehebat Phoenix, jadi aku tolak jauh-jauh gelaran Phoenix. Aku kira Epal lagi sesuai untuk aku.
Sepertimana legenda kisah cinta yang ada, aku andaikan kisah cinta aku dengan Jon Snow juga akan berakhir tragis. Walaupun aku berkehendakkan cinta pertama aku jadi kisah cinta yang paling indah dalam hidup aku tapi rasanya harapan itu bakal punah kerana peratusannya untuk menjadi agak sipi-sipi sahaja. Aku mahu berfikiran positif, malangnya aku sudah terlebih dahulu mencongak kebarangkaliannya. Hmm…apa lagi yang boleh aku katakan melainkan keputusan hipotesis yang tidak menyebelahi aku.
Aku pandang dia lagi. Lama-lama. Dia yang sedang duduk berseorangan selang dua meja di hadapan. Diam-diam aku mengagumi ciptaan Tuhan yang sempurna. Tidak puas rasanya meneroka wajah yang menggoda itu. Aku memang mahu dia jadi Prince Charming yang datang menyelamatkan aku seperti kisah dongeng yang pernah kubaca. Bolehkah begitu? Tapi, mana ada Cinderella mengejar Prince Charming seperti aku?  
 “Kau suka dia?” Naufal sudah perasan akan tingkah laku aku.  
Aku tersipu malu kerana tertangkap merenung Jon Snow begitu.
“Kau mahu aku beritahu dia?”
Aku kaget bila Naufal tiba-tiba berdiri. Hati aku sudah berdebar-debar. Takkanlah dia mahu…. Mata aku membuntang, nafasku turun naik.
Sebaik sahaja Naufal mula melangkah, aku bangun secara mendadak.
“Jangan!” Kerusi yang aku tarik jatuh ke belakang. Semua mata-mata yang ada segera memandang aku. Tapi tidak Jon Snow. Dia seolah-olah berada di dalam dunia dia sendiri, membuatkan aku bertambah-tambah sakit hati. Aku bergegas keluar dari situ dengan hati yang membengkak dan rasa malu yang mengulit diri.
“Maya!” laung Naufal tercungap-cungap mengejar aku.
Kenapa bukan Jon Snow yang mengejar aku? Bibir aku mengherot melihat kelibat Naufal. Tapi, aku berhenti juga menunggu Naufal tiba di hadapanku.
“Maaf!”
Berkerut dahi aku. Kenapa mahu meminta maaf bila dia tidak melakukan sebarang kesalahan pun terhadap aku?
“Maaf kerana gagal menghilangkan dia dari ingatan kau. Aku akan cuba sebaik mungkin pada masa hadapan.”
Hah? Persoalan muncul satu persatu memenuhi benak. Kenapa Naufal berkata begitu? Aku pandang Naufal dengan rasa keliru. Dia segera menyerahkan buku-buku milik aku yang tertinggal ketika bergegas keluar tadi. Senyuman terlakar di bibirnya.
“Jom, aku belanja kau makan pizza.”
Mata jadi sepet. Pelawaan itu segera mematikan persoalan yang tadi bermain sorok-sorok di minda. Sekaligus bertukar layarnya dengan kepingan-kepingan pizza yang menyelerakan.
***
Naufal menyisip jus epal yang sudah tinggal separuh. “Kenapa kau sukakan dia? Bukankah aku jauh lebih kacak berbanding dia?”
Hampir tersembur air yang kusedut mendengar soalan yang terlontar keluar dari bibir Naufal. Kacak? Kening aku terjongket. Naufal memang pandai berseloroh.
“Aku ada lesung pipit.” Pipi diunjuk. “Dia tak ada.”
Aku mencemik seraya menarik muka. Itukah ukuran untuk tahap kekacakan seseorang?
“Ada lagi. Wajah aku manis.” Kening Naufal terangkat dua kali sambil bibirnya  melakarkan senyuman.
Mahu tidak mahu gelagatnya buat aku tersenyum sama. Hilang duka aku bersama perut yang lapar tadi.
“Nampak, nampak tak? Aku boleh buat kau senyum.” Naufal sudah tersengih.
Yalah, Jon Snow cuma tahu buat aku sedih, marah dan galau. Tapi sebenarnya dia sudah melakukan lebih daripada itu. Dia juga buat aku rasa rindu, sayang dan asyik. Pendek kata dia buat aku terganggu mental dan emosi.
Naufal masih lagi memandang wajah aku sambil mulutnya mengunyah cebisan cendawan yang menghias kepingan pizza. Sedang mengira jerawat yang baru hendak naik di muka aku barangkali, fikirku bila pandangannya tidak berkalih.
“Mana kau tahu aku sukakan dia?”
Dia buat muka seolah-olah soalan yang aku ajukan itu merupakan soalan yang paling mudah pernah dikemukakan.
“Maya, cuba tenung mata aku,” pinta Naufal sebelum menyambung, “aku boleh lihat dia di dalam matamu.”
Matanya dikecil dan dibesarkan. Aku tergelak sebelum mengaku Jon Snow itu merupakan cinta pertama aku. Cinta yang hadir tanpa diundang. Cinta yang tiba-tiba datang mengetuk pintu hati aku. Cinta yang tiada alasan munasabah untuk singgah dan bertandang lama.
“Maknanya, aku terlepas peluang jadi yang pertama?”
“Naufal!” Spontan aku lepuk lengan dia dengan buku. Mengaduh Naufal kesakitan. Mulut aku memuncung, mataku mengecil. “Buat lawak lagi!”
“Maaf! Maaf!” Naufal tersengih sambil menggosok-gosok lengan. “Biar aku tolong kau.”
“Tolong?” Mindaku ligat berfikir. Pertolongan bagaimana yang dimaksudkan Naufal? Dia tersengih-sengih lagi membuat aku menggelengkan kepala. Kadang-kadang bakal jurutera muda ini buat aku bingung.    
“Kalau aku tak berjaya menyatukan kau dan dia, aku akan bantu kau melupakan dia.” Sungguh-sungguh Naufal menawarkan dan dahiku berkerut seribu.   
***
Mata beradu jantung bergetar
Resah melakar jiwa dan raga
Di perdu hati kusemai cinta
Tersayat luka relai bercalar

Aku tak tahu apa yang telah Naufal lakukan hingga Jon Snow mahu bersua muka dengan aku. Tapi, yang nyata aku gembira yang amat bila menerima perkhabaran tersebut. Tidak tidur semalam aku dibuatnya. Mahu tidak. Minda aku sarat dengan pelbagai isu dan perancangan. Mahu berbicara tentang apa? Mahu memulakan perbualan bagaimana? Sehingga apa yang hendak aku pakai ketika bertemu esok pun jadi masalah bagi aku.
“Saya hargai perasaan awak, Maya. Tapi, saya tidak boleh menerima cinta awak.” Ungkapan pendek yang buat hati aku jadi hancur berkeping-keping. Terus sahaja dia memberitahu tanpa berkias-kias.. Tiada mukadimah, tiada bunga-bunga, tiada kata-kata berselirat menyampaikan maksud yang tersirat. Aku yang sedang duduk rasa mahu menggelongsor baring ke atas lantai.


Aku kira masa yang dia ada bersama aku kurang dari lima minit. Malah aku tidak sempat menganga mulut mahu menyuarakan resah jiwa aku yang galau mengingati dia. Tidak sempat juga mahu berperi tentang betapa dalamnya cinta aku, betapa luasnya kasih yang mahu aku curahkan.
“Maafkan saya.” Wajah dia telus menyampaikan walaupun masih beku dan dingin pada pandangan aku. Seharusnya aku bersyukur kerana dia jujur. Tidak seperti lelaki lain yang mungkin akan mengambil kesempatan bila tahu ada perempuan terhegeh-hegeh hendakkan mereka.
Keluhan demi keluhan aku lepaskan. Mata masih terpaku pada pintu keluar restoran, meratap jejak yang ditinggalkan Jon Snow. Air liur aku teguk berkali-kali biarpun sudah lebih setengah jam dia pergi meninggalkan aku terkebil-kebil seorang diri. Aku jadi mati kutu. Hilang semangat, terbang menghilang entah ke mana.
Saat aku sedar yang aku sudah terlalu lemah mahu berlari, aku mula menggagau mencari telefon bimbit yang seakan menyorok di dalam beg yang aku bawa. Aku pejamkan mata sejenak. Demi mencari kekuatan yang menghilang itu, aku gagahkan diri mendail satu siri nombor yang sudah sekian lama terpahat di minda.  
“Naufal…” Suaraku mati begitu sahaja sebaik sahaja mendengar suara Naufal di hujung talian. Sebak tiba-tiba datang bertalu-talu tanpa sempat aku menepis.
“Macam mana?”
Soalan pertama Naufal membuatkan tangisan aku seakan mahu meledak. Tersedu-sedu aku menahan esak. Sakit hati aku bila mengetahui cinta aku ditolak mentah-mentah.
“Maya? Maya?” Suara cemas Naufal kedengaran. “Kau masih di sana? Tunggu aku datang.”
Ya! Aku masih di sini. Di dalam restoran makanan segera tempat aku bertemu empat mata dengan Jon Snow. Di mana hati aku yang satu terbelah jadi dua. Di sini, aku ditinggalkan dengan hati yang remuk redam. Hancur luluh di dalam dakapan lara.
“Dia tidak sukakan aku.” Aku memberitahu Naufal dengan mata aku yang merah-merah.
“Bukan jodoh kau dengan dia. Lepaskanlah dia.” Senang sahaja Naufal menyuarakan. Naufal tidak tahu betapa hampanya hati aku. Pedihnya hanya aku yang merasa, menelan kepahitan hingga ia lumat bersatu dalam jiwa. Nampak tak keperitannya?
“Mungkin jodoh kau dengan aku,” seloroh Naufal buat aku rasa mahu menghempuk dia biar jatuh terjelepok menyembah lantai.
“Kau ni dah kenapa? Aku tengah sedih ni!” marah aku bila Naufal main-main.
Wajah Naufal bertukar serius. Dia menghulurkan aku beberapa helai tisu. Mungkin terasa dengan kata-kata aku.
“Maya, aku pasti ada jodoh yang lebih baik buat kau di luar sana. Janganlah kejar dia lagi. Dia cuma cinta yang belum pasti membahagiakan kau.”
Aku tarik nafas, belum sempat aku berkata sesuatu Naufal bersuara semula.
“Cepat kesat air mata, nanti orang fikir aku yang buat kau menangis. Dah macam panda dah aku tengok.”
“Teruk sangatkah aku ni?” Tisu yang dihulurkan segera aku tekap pada mata. Mesti mekap aku dah cair sebab aku boleh lihat kesan maskara pada tisu yang aku tekap tadi.
“Dialah yang rugi sebab menolak cinta kau.”
“Betul?” Sejuk sedikit hati aku walaupun mungkin Naufal sekadar mahu memujuk.
“Percayalah. Mari aku hiburkan kau. Kau mahu ke mana? Aku bawakan. Aku jadi supir untuk kau sehari ini.”
Aku geleng. Hati aku yang terluka tidak mampu memikirkan apa-apa. Hanya ada minda yang kosong. Kosong dan kosong.
“Jom”. Naufal sudah berdiri. “Kita jalan-jalan.”
“Ke mana?”
“Kau akan tahu nanti.”
***
Kala kerusut merempuh diri
Merintih sendu merawan hati
Hadir kejora mengikat janji

“Nah, untuk kau.” Naufal petik sekuntum bunga raya berwarna putih lalu menghulurkannya kepada aku. Aku angkat kening. Biar betul Naufal ni? Jangan ada yang kena saman nanti. Suka-suka hati merosakkan harta benda awam.
“Ambil. Ikhlas ni.” Bunga yang dihulur sudah bertukar tangan. Langkahnya dipanjangkan ke sebuah kerusi batu yang disediakan untuk pengunjung taman tersebut. “Kau nak lagu apa?”


Naufal menggamit aku. Aku turutkan sahaja kehendak lelaki berkumis tipis itu. Dia mula memetik gitar sambil membetulkan nada senar dan duduk gitar tersebut.
“Baiklah, nak aku pilih lagu atau kau dah ada lagu yang ingin kau dengar sekarang ini?” Matanya tertuju tepat-tepat pada anak mataku.
Aku angkat bahu.
“Eeh…susah tahu nak dengar aku menyanyi.”
“Apa-apalah. Asalkan bukan lagu bernada kecewa.” Aku bimbang air mata aku jadi murah untuk kesekian kali. Lagipun, saat ini hati aku masih rapuh. Rapuh seperti daun kering yang berguguran di sekeliling kami.
“Baiklah. Kalau begitu, biar aku yang pilih lagu.” Naufal mengetuk badan gitar dengan jari sambil memikirkan sesuatu.
“Lagu ini untuk Maya Arissa, dengan ucapan jangan bersedih lagi.” Sebaik sahaja ayat itu dihabiskan, Naufal mula memetik gitar. Lagu asal dendangan Dmeisis berkumandang di udara, kini dalam versi Naufal. Kedengaran lebih merdu bila dia yang menyanyikannya.
Begitu asyik Naufal, nampak sungguh-sungguh mahu menghibur hati aku. Entah kenapa, aku tiba-tiba rasa tersentuh. Seperti bait-bait lagu itu, memang Naufal sedang menjaga aku sekarang. Menjaga hati aku dari terus lara.
***
Setelah beberapa ketika, aku dan Naufal umpama belangkas. Bagaikan semut dan gula. Di mana ada aku, Naufal pasti ada sekali. Hubungan kami pula bagaikan aur dengan tebing. Bagai isi dengan kuku, begitulah eratnya kami.
Sehinggalah pada suatu hari, Naufal berubah tanpa amaran. Dia tiba-tiba menghilangkan diri. Tiba-tiba membisu. Tiba-tiba mengelak dari bertegur sapa dengan aku.
Aku tidak mahu berfikir banyak tapi sedikit sebanyak aku terasa kehilangannya. Lebih dari itu, aku rindu dengan gelak tawa dia. Rindu dengan jenaka dan usik-usikan dia. Ya! Aku rindu akan kehadirannya.  
“Naufal, kau marahkan aku?”
Sebentar kemudian pesanan yang aku hantar berbalas. Pendek sahaja tapi cukup untuk buat aku merasa lega. Namun, belum mampu menghilangkan tanda-tanya yang berlegar di minda.
“Kalau tidak, kenapa kau mengelak daripada aku?”
“Kau salah faham.”
Salah faham? Aku baru mahu membalas pesanan itu bila tiba-tiba telefon bimbit milik aku berdering. Segera aku menekan butang hijau bila nama Naufal tertera pada skrin.
“Maya…”
Aku jadi kekok mendengar suaranya yang gemersik di telingaku. Lama kami berjeda. Seolah-olah kami berbicara dalam keadaan bisu.
“Maya…Maya.”
“Berapa kali nak ulang nama aku?”
“Er… Bila kau balik kampung?”
“Lagi seminggu.”
“Kertas terakhir?”
“Lusa.”
“Kita jumpa lusa.”
“Ba…ik.” Lambat-lambat aku menjawab sebab aku masih berfikir-fikir. Ada sesuatu yang berlakukah?
***
Kenapa ya pertemuan antara aku dengan Naufal terasa berlainan sekali? Tidak seperti kebiasaannya. Ada debar yang mengiringi setiap saat bila dia berdekatan. Adakah kerana rasa rindu yang tidak terluah itu?
“Kau masih teringatkan Fikri?” Wajah suram Naufal yang mengiringi pertanyaan itu, terasa menyentuh jauh ke dasar hati, sedang soalan yang diajukan berlalu bagai angin berhembus lembut.
“Siapa?” Aku lihat riak wajah dia berubah. Anak matanya bersinar bak kejora menghilangkan mendung yang tadinya bersulam pada wajah.
“Cinta pertama kau?”
Oh! Jon Snow rupanya. Aku lakarkan senyuman lalu menggeleng. Aku harus berterima kasih kepadamu Naufal. Bayang-bayang Jon Snow sudah lama tidak mengikut jejakku. Agak lamalah juga. Setahun? Atau mungkin lebih , entahlah, aku sudah lama berhenti menghitung hari.
“Baguslah kalau begitu.” Dia menghela nafas sebelum menghembus lega. Pandangan dilepas keluar. Ada sesuatu mengganggu fikiran, aku andaikan begitu bila dia masih kelihatan gelisah.
Lama kami berjeda. Aku perhatikan sahaja gelagatnya. Naufal memang tampak berlainan. Tiba-tiba dia mengalihkan pandangan semula kepadaku. Aku jadi tersipu-sipu kerana tertangkap menelek dia. Selalunya aku tidak begitu.   
Matanya tepat menikam anak mataku. Goyah sedikit jiwa aku ketika menatapnya. “Sudah bersedia untuk cinta kedua?”
“Err? Maksudnya?” Tergagap seketika kerana tidak menjangka soalan itu yang menjengah pendengaran.
“Aku tidak pernah ada cinta kedua. Tapi aku sudah bersedia. Kau juga sepatutnya sudah.” Dia seperti bermain dengan kata-kata.
Hati bergetar lagi. Renungan redup milik Naufal menyapa kalbu, terasa separuh diri cair. Apa yang kau mahu sebenarnya, Naufal? Dahi aku berkerut seribu, jantung semakin hilang rentaknya. Hai, sejak bila Naufal menggugat jiwa aku?
“Maaflah sejak kebelakangan ini aku tidak mendampingi kau. Aku mahu lihat sejauh mana peranan aku dalam hidup kau. Sebenarnya sejak dulu lagi aku sudah beristikharah. Sejak aku kenal kau.”
Pandangan kami bersatu lagi. Getarnya mengusik jiwa. Senyuman yang terukir terasa menggoda. Wajahku merona hangat.  
“Jawapan untuk jodoh aku tidak pernah berubah.” Dia berjeda, menumpukan seluruh perhatian kepadaku.
Aku teguk air liur. Sesungguhnya aku hilang kata-kata. Naufal tidak pernah sebegitu serius meluahkan sesuatu selama ini.
“Maya Arissa. Kalau kau sudi, biar aku jadi cinta kedua kau, yang terakhir dan untuk selamanya. Aku mahu mengikut kau balik ke kampung. Aku mahu melamar di hadapan kedua-dua orang tuamu,” lembut bicaranya membuat jantung aku bagai mahu terlucut jatuh ke bawah.
Aku ternganga, terpanar, dia tertawa lucu. Aku segan dan malu beribu-ribu kali.
“Kau tidak membantah bukan?” 
Aku angguk. Aku geleng. Aku serabut sebenarnya. Dalam aku mengejar cinta, rupanya Tuhan sudah sediakan jodoh untuk aku. Jodoh yang tidak pernah berada jauh. Aku pandang dia. Aku tahu dia tahu aku tidak akan membantah usul yang dia kemukakan tadi. Ya! Encik Naufal Hidayat, aku percaya kau jodoh yang terbaik untuk diri ini.
Kini cintaku jadi rapsodi
  Sejak azali tersimpul mati
Rupanya dia jodohku pasti


Sabtu, 15 Februari 2014

Virus oh Virus

Assalam semua
Lama x update n3. My blog diserang malware. Maaf pada pengunjung yang terkena tempias sekali, saya sendiri tidak tahu puncanya. Probably some coding error but I am unable to locate and remove it.
   
Setelah sehari suntuk cuba membuangnya dari blog tapi tidak berjaya, saya akhirnya terpaksa akur dan menukar blog template & design. So, this is my blog new look. :)

Buat yang bertanyakan kisah Yaya dan Fariq Hatta. Saya sedang menyiapkan manuskrip penuh untuk penilaian sebuah syarikat penerbitan yang sudah mengintai kisah tersebut. Harap bersabar, In Sha Allah kalau ada rezeki dan atas doa kalian semua mudah-mudahan ia berjaya ke versi cetak.

Love xoxo