letters. words. lines. paragraphs. stories.

-me being anonymous-

Selasa, 15 Mac 2016

Novel: Siluet Cinta - Bab 1


Assalam & Greetings, 
Lama x update blog kan? Hendak memperkenalkan e-novel saya yang bertajuk 'Siluet Cinta', sebenarnya dah lama buat cuma tak berkesempatan hendak menyiapkan kisahnya hingga kini. Actually, masih lagi on going. Hopefully, berjaya menyiapkannya dalam kadar segera. Dengan izin Allah. So, here goes .... Thaqif Ariffin and Dhea Zalia. Semoga terhibur. Love xoxo. :)  


BAB 1

DHEA menurut sahaja langkah kaki lelaki itu. Bila lelaki itu melangkah ke kanan, Dhea turut melangkah ke kanan. Bila lelaki itu melangkah ke kiri, diapun turut sama melangkah ke kiri. Sesekali lelaki itu menoleh ke belakang. Bila itu berlaku, cepat-cepat Dhea tundukkan wajahnya. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
Lelaki itu meneruskan langkah kakinya sebelum berhenti di hadapan sebuah bilik. Dhea masih lagi berada beberapa tapak di belakang. Menjinjing beg pakaian miliknya yang sederhana besar. Lelaki itu memandang Dhea yang terjingkit-jingkit membawa beg tersebut. Dia merengus sedikit kasar. Mendengar itu, Dhea cuba melangkah sepantas yang mungkin, tidak mahu lelaki itu menjadi bertambah marah. Sampai sahaja Dhea di sisi, lelaki itu memulas tombol pintu bilik tersebut.
“Mulai hari ini, awak akan tidur di dalam bilik ini.” Datar. Tiada nada.
Dhea mengangguk tanpa memandang wajah lelaki itu.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” Tegas lelaki tersebut.
Dhea meneguk air liur mendengar kata-kata yang lebih kepada amaran itu. Hendak mengangkat muka, dia tidak berani.
“Saya akan bertolak ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi. Setiap hari, Isnin sehingga Jumaat. Saya akan balik ke rumah sebelum waktu Isyak.” Lelaki itu berjeda, mungkin sedang berfikir tentang apa lagi yang patut Dhea tahu.
“Tugas awak dalam rumah ini, yang pertama dan paling penting sekali adalah menjauhi diri saya! Apa pun yang awak nak buat, saya tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, awak jaga maruah saya! Faham?!”
Air liur tersekat di rengkung. Tersentap jiwa raga namun Dhea hanya mampu mengangguk sahaja.
“Itu sahaja, awak boleh masuk, yang lain saya akan beritahu kemudian,” ujar lelaki itu sebelum menapak pergi.
Dhea masih berdiri di tempat yang sama. Tidak mahu berganjak sehinggalah kelibat lelaki itu menghilang dari pandangan. Matanya memerhatikan laluan. Bila pasti lelaki itu sudah tiada, Dhea melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat sebelum beg yang dijinjingnya tadi diletakkan di tepi almari.
Matanya meliar memandang keliling, memang bilik itu berbeza dengan keadaan biliknya sebelum ini. Berbeza sangat-sangat. Sesekali dia terasa diri bagai berada di alam mimpi.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” suara lelaki tadi bagai terngiang-ngiang di telinga Dhea. Dhea mengeluh sendirian. Bukan niat dia pun mahu merumitkan keadaan.



Langkah kaki diatur menuju ke sebuah katil bersaiz Queen yang memang disediakan di dalam bilik tersebut. Dhea melabuhkan punggung di birai katil. Dia tidak tahu bagaimana dan apa yang hendak difikirkan. Mindanya padat dan sesak. Akhirnya dia bangun lalu membuka pintu balkoni.
Dhea berdiri di koridor sambil memandang langit malam. Bulan berbentuk sabit dan beberapa butir bintang berkerlipan menghiasnya. Sesekali Dhea menguis helaian rambut yang mengganggu penglihatannya. Tiba-tiba pandangannya jatuh pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya.



Cincin yang diperbuat daripada emas putih itu ditenung lama. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati, kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu hati. Cantik. Dhea mengeluh. Keluhannya kedengaran lebih berat daripada yang tadi. Kalau cantik pun, tiada gunanya jika orang yang menyarungkan cincin tersebut ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap dirinya. Sungguhpun itu bermaksud dia sudah menjadi yang sah dan halal kepada insan tersebut.
Dhea pandang lagi langit malam. Dibiarkan sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh badan. Hatinya tiba-tiba terasa sebak dan pilu. Pakaian pengantin masih melekat di tubuhnya. Tiada niat mahu menanggalkannya walaupun majlis sudah lama berakhir. Biarlah pakaian itu tersarung hingga ke pagi, dia kepingin jadi bidadari biarpun sebentar cuma. Biarpun tiada yang sudi menganggapnya begitu.
“Biar pun sedetik cuma,” bisik Dhea sendirian. Air mata yang mengalir diseka perlahan.  
Dhea menarik nafas. Memang hari itu hari yang amat bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang tidak berhati-perut. Bersyukur kerana dia masih lagi berpeluang untuk hidup di atas bumi Tuhan. Sungguh!  
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang termampu Dhea lakukan.
“Aku terhutang nyawa padanya. Biarlah kehadiran aku ini tidak dihargai, aku rela. Aku reda,” tekadnya dalam hati.   
Thaqif Arifin Bin Azad Kamarul. Nama lelaki yang kini bergelar suami kepadanya.  Dhea tidak kenal lelaki itu. Dhea juga tidak tahu mengapa lelaki itu sanggup menikahi dirinya. Dipaksa, terpaksa atau keadaan memaksa? Sungguh Dhea tidak tahu. Mungkin lelaki itu tiada pilihan.
‘Hendak dipanggil apa ya, suami aku itu? Thaqif? Abang? Abang Thaqif? Layakkah aku memanggilnya begitu? Sudikah dia, sedangkan memandang aku pun dia tidak mahu.’ Dhea menggosok telapak tangan, sebelum meletakkannya pada kedua belah pipi. Menghangatkan diri sendiri yang kedinginan.
Dhea pandang bintang-bintang di angkasa. Adakah engkau salah satu daripada bintang-bintang yang berkerlipan itu, penyelamat diriku? Yang jatuh menyinari hidup aku? Atau akukah antara bintang-bintang itu yang hadir mewarnai hidupmu?





Malam sudah semakin larut. Dhea menopang dagu, masih mahu mengira bintang di langit. Badannya letih, mindanya juga letih. Mahu tidur tapi mata tidak mahu lelap. Fikirannya masih melayang, cuba merakam wajah suami yang belum sempat ditatap dengan jelas. Argh! Dhea, belum apa-apa sudah mula berangan.
Apapun, bagi Dhea dialah prince charming untuk dirinya. Seperti dalam cerita fairytales yang pernah dibaca dan didengarnya. Cuma pengakhiran kisahnya sahaja yang masih menjadi tanda-tanya. Apa mungkin hikayat hidupnya juga akan sama seperti kisah-kisah itu? Berakhir dengan kebahagiaan untuk selamanya?  
‘Mungkin prince charming itu cuma satu fantasi. Biarlah kalau begitu. Sesungguhnya kerana dia, maruah aku terselamat. Sesungguhnya kerana dia, aku bisa lari dari kehidupan silam aku. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu membalas jasanya.’  Air mata Dhea jatuh berlinang lagi. 
‘Thaqif Arifin. Biar apapun tanggapan kamu. Biar apapun perasaan kamu terhadap aku. Aku berjanji akan cuba menjadi yang terbaik untuk kamu. Itu janji Dhea.’
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.





Isnin, 22 Februari 2016

Cerpen : Crush 3 Hari - Finale (Almi)



RINDU itu datang bertamu, memalu jiwa menekan resah hingga ke puncak. Aku juga yang hilang arah menanti si pencuri hati memunculkan diri, meleraikan galau yang berputik di sanubari.
Aduhai, ke mana menghilang Cik Tantrum yang dirindu itu? Semalam dia tak datang ke pejabat. Hari ini pun sama jugakah? Hendak bertanya kepada rakan sepejabat dia, malu bertepek pula. Dia tak tahukah yang aku sedang menunggu bagai nak rak di sini? Aku meraup wajah sendiri, terbayangkan wajah dia yang seolah-olah muncul pada skrin komputer. Haish! Dah separuh angau dah kot aku ni?
Tiba-tiba muncul seseorang melintasi deretan kubikel di mana aku sedang berada sekarang ini. Aku toleh lagi sekali. Eh, itu macam kelibat Cik Tantrum. Dahi aku berkerut sebelum mata aku kerdipkan beberapa kali. Manalah tahu aku tersalah pandang. Dia melayangkan senyuman. Untuk akukah? Kelu lidah aku tiba-tiba bila dia duduk selang dua meja berhampiran. Apa yang harus aku lakukan?
Tapi, dia nampak seolah-olah sedang stress sahaja. Lupakah aku, nama pun Cik Tantrum ‘kan? Seriau juga tengok muka yang garang ala-ala comel tu. Kalau aku mulakan langkah, harus kena sedas ni. Masa berlalu. Tik Tok Tik Tok. Hurm... 
Ketika hati aku sedang libang libu memikirkan jalan untuk berhubung dengan Cik Tantrum, tiba-tiba aku dipanggil balik ke pejabat utama untuk urusan yang lebih penting. Sudah. Inikah kesudahannya? Beginikah pengakhirannya kisah kita, wahai Cik Tantrum? Aduhai.
Aku melangkah pergi dengan hati yang berat, membawa hati yang sarat, membawa cinta yang tidak kesampaian. Mahu berkata sesuatu kepada dia tapi bibir seolah-olah terkunci, sebaik sahaja terpandang wajah miliknya. Sebelum beredar, aku putuskan untuk menulis satu lagi nota. Nota terakhir itu aku titipkan, dengan iringan doa. Mudah-mudahan pesan rindu itu sampai ke hati dia dengan izin Allah.
Rindu ini akan bertamu, lebih lama dari yang terjangka, kutitip doa satukan kita, andai engkaulah tulang rusuk itu, moga cinta ini utuh dan mekar hingga kita bertemu semula   





LAMA juga aku tidak melayari laman muka buku. Selama beberapa bulan ini, aku tiada keinginan mahu berbuat begitu. Lagipun, aku bukannya ada momen yang luar biasa mahu dikongsi dengan mereka yang lain. Hidup aku biasa-biasa saja. Tapi, entah kenapa hari ini hati aku tergerak mahu membuka laman muka buku milik aku yang sudah bersawang ini. Hee...



            Ketika aku melayan post dan momen rakan-rakan di laman sosial facebook ini, aku perasan ikon mesej ditandakan dengan nombor. Eh, terasa pelik pula. Aku pun ada mendapat pesanan. Pesanan? Pesanan daripada siapa?
Aku klik butang pesanan tersebut. Bila ni? Hah? Dua bulan yang lepas? Macam mana boleh terlepas pandang ni? Dup dap dup dap.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku turut jejak rindu itu, mencari penawarnya 
Hati sudah berdebar-debar. Jantung dipalu tidak berhenti. Siapa yang menghantarnya? Dia kah? Naurah Abdullah? Eh, eh! Cik Tantrum? Biar betul? Aku tekan butang profail mahu memastikan yang si pengirimnya itu betul Cik Tantrum.
Ya Allah, Tuhan, Kau makbulkan doa aku. Ya Allah, kalau awak ada kat sini Cik Tantrum, rasa macam nak bawa awak jumpa mak kita sekarang juga.
Sekali hati ini disentuh, tidak pernah akan berubah pemiliknya, selain dikau yang menjadi dambaan, terima kasih Cik Tantrum kerana menjawab paluan rindu itu.
Malam itu juga, aku hantar pesanan ringkas kepada mak dengan hati berbunga-bunga. Ye lah, selama ini mak asyik bising sahaja. Bila nak bawa balik menantu? Bila nak kenalkan kepada mak orang tersayang? Kalau tak ada, nanti mak rekomenkan. Aduh, pening juga hendak menjawab semua itu. Sekarang dah tak payah pening-pening dah. Bawa sahaja Cik Tantrum ni jumpa mak.
“Mak, ingat tak perempuan yang adik cerita tempoh hari?” bibir aku tersenyum-senyum ketika mengungkapkannya. Kalau mak nampak keadaan aku ketika ini, mesti mak cop aku serupa perempuan gedik. Walaupun aku lelaki.
Sesaat kemudian aku hantarkan gambar Cik Tantrum yang kuculik dari laman muka buku milik dia. Maaflah Cik Naurah, aku teruja sangat sehingga tak terfikir mahu meminta kebenaran daripada awak. Halalkan sahaja ya.
“Mak inilah, perempuan yang adik cakap hari tu. Mak, adik nak pinang dia boleh mak?” Aku gelak sendiri membaca pesanan yang aku hantar kepada mak. Kalau berjaya, raya ini aku bakal membawa balik bakal menantu mak.
“Bawa jumpa mak dulu,” balas mak dengan emotikon tersenyum di penghujung pesanan.
“Insya Allah mak, raya ni adik bawa dia balik jumpa mak.”


Dan, berbekalkan lampu hijau yang mak bagi, juga doa yang aku pohon kepadaNya, membawa aku kepada hari ini. Hari aku mendapatkan cinta aku yang tertangguh. Lalu kumulakan dengan Bismillah, kemudian aku melangkah membawa sejambak bunga di genggaman, sekeping kad raya juga sekeping nota pelekat.
Aku cekalkan diri membawa harapan, ia masih belum terlewat untuk aku menggapai cinta pandang pertama aku. Senyum semakin melebar. Aku akan pastikan awak, Cik Tantrum tidak hilang dari genggaman. Akan aku pastikan awak menjadi yang halal di sisi aku. Aamiin.



TAMAT

Rabu, 25 November 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Part 2 (Almi)



BIBIR dia melakar senyum. Suka membaca apa yang tercoret pada sticky note itu agaknya? Aku turut sama tersenyum. Alahai, rasa yang datang ini buat aku mahu menjadi pujangga kepada Cik Tantrum sayang. Kalau boleh hari-hari aku mahu mengukir namanya di dalam baris puisi-puisi yang datang menggebu-gebu menyesak minda.
Uik, senyuman yang terlakar pada bibir Cik Tantrum tiba-tiba menghilang. Hadir untuk beberapa saat cuma? Sungguhlah dia ni. Terus senyumku mati. Tak cukup menusuk hati kot, ayat yang tertera pada sticky note itu?
Aku lihat dia berpusing 180 darjah dengan sticky note di hujung jari, cari apa ya? Tong sampah? Ada sahaja sedang elok terletak di tepi kubikel dia. Takkan dia tak perasankannya? Atau mungkin, bukan itu yang dicari. Dia mahu campak ke mana ya, sticky note yang aku tulis itu?
Turn saya ke?” Suara dia kedengaran bertanya kepada Raqib yang berhenti seketika di hadapan dia. Pantas saja jemarinya menarik laci meja, menghantar sticky notes tadi ke ruang persembunyian?
Segera aku mengangkat muka, memandang wajah Raqib yang sedang menghantar isyarat kepada aku. Sejurus kemudian mata ini terus mengekor dia yang sedang bergerak menuju ke mesin pendua yang terletak di penghujung koridor bersama dengan sebeban dokumen. Terkial-kial dia mengimbang dokumen itu menggunakan kudrat lengan yang tidak sebesar mana. Kasihan, mahu saja aku bangun membantu tapi dia lebih lincah dan pantas bergerak mengusaikan kerja. Terbiasa barangkali.
Lima belas minit kemudian, dia bergerak kembali ke tempat duduk. Derapan kaki yang seperti dipaksa melangkah itu membuatkan mata ini menoleh segera ke empunya badan. Kenapalah mahu mencempung dokumen sebegitu rupa? Senget separuh badan aku tengok.  
Namun saat itulah. Mata dia menyapa mata aku. Aku terkedu seribu bahasa. Hati bagai dipalu beribu-ribu kali. Aku terpukau. Terpesona. Sungguhlah bak kata orang, dari mata terus ke hati. Bergetar seluruh jiwa dibuatnya. Anehnya, dia sedikit pun tidak mengalihkan mata dia. Malah terus berbalas pandang hinggalah akhirnya dia tiba di hadapan meja milik dia. Tidak berkelip hatta sekali pun.
Tak boleh jadi ni. Aku harus berbuat sesuatu. Berbekalkan itu, aku cuba siapkan sepantas yang boleh komputer milik Kak Sarah, kalau boleh sebelum hari ini berakhir. Kalau tidak misi aku yang berakhir, dan punahlah peluang yang ingin aku ciptakan itu.
“Terima kasih, dik,” ucap Kak Sarah sebaik sahaja aku melangsaikan tugasan dan menunjukkan kepadanya cara membuka beberapa buah fail dan aplikasi baru.
Kotak-kotak yang berselerakan di laluan antara dua kubikel itu aku alihkan dan letakkannya di salah satu sudut ruang pejabat itu. Di mana letaknya segala komputer lama yang telah digantikan baru dihimpun sebelum dihantar ke stor. Mungkin untuk dimusnahkan atau dikitar semula, hanya pihak syarikat sahaja yang tahu. Tidak termasuk dalam deskripsi tugasan aku.


Tanpa berlengah aku segera menuju ke arah meja Cik Tantrum.
“Okey, turn awak,” kataku sedikit teruja, memerhatikan raut wajah dia yang merona merah disapa begitu. Terkejut barangkali dengan kemunculan aku yang tiba-tiba.
“Oh,” balas dia dengan mata terkebil-kebil.
Mungkin tidak menjangka aku yang akan mengendalikan proses penukaran komputer lama milik dia kepada yang baru. Perlahan dia menolak kerusi yang didudukinya ketika itu ke belakang lantas mengemas serba sedikit ruang di atas meja, sebelum berpindah sementara ke belakang dengan membawa beberapa buah fail untuk dia selesaikan. Mungkin kes-kes yang harus disegerakan.
“Lama ke?” Dia bertanya sebaik sahaja punggung dilabuhkan ke atas kerusi. Fail yang dibawa disusun kemas-kemas di atas meja.
“Taklah,” balas aku sambil menyapu bersih wajah milik dia, cuba mencari sesuatu di sebalik sinar mata bundar miliknya itu. Hampir sahaja suara aku tidak kedengaran ketika membalas pertanyaan yang diajukan.
 “Saya kena tunggu ke?” Dia mengerling jam dinding. Wajah dia tampak resah, mungkin ada janji dengan rakan sekerja untuk makan tengah hari.
Namun, aku tidak akan membiarkan itu yang berlaku.  Aku akan mengikat dia cukup-cukup. Ini sahaja masa yang aku ada, jika aku mahu bertindak pantas mencipta peluang untuk aku dan dia beramah mesra. 
“Bila saya dah selesai, awak kena ada. Ada few things yang saya kena terangkan.” Aku cuba menjelaskan keperluan dia berada di sini bersama aku.
“Ada changes ke?” Resah terpamer pada wajahnya yang merah-merah. Tampak seperti sedang membahang atau mungkin sedang melawan rasa malu yang bertandang. Adakah sebab cara aku merenung dia, melampau sangat? Atau memang hati dia juga sedang dipalu ketika ini?   
“Sikitlah.” Aku guna ibu jari dengan telunjuk untuk menunjukkan berapa banyak perubahan yang bakal lahir akibat daripada penukaran komputer.
“Tak susah mana. Tapi, still awak kena ada, kalau tak awak mungkin a bit lost,” sambung aku bila dia tidak memberi sebarang tindak balas. Kemudian, aku hadiahkan dia dengan secebis senyuman.
“Ok,” balas dia lambat-lambat, kepalanya terangguk sekali. Sejurus kemudian dia beredar dengan membawa beberapa buah fail klien lalu duduk di meja bahagian belakang.
Hati aku sedikit kecewa, kenapa pilih untuk duduk di bahagian belakang? Bukankah meja bersebelahan itu juga kosong? Huh, aku dengan fantasi aku. Tidak mengapa, biar aku uruskan dahulu penukaran komputer milik dia.
Sedang aku leka menyelenggara, tiba-tiba aku terasa ada sekujur tubuh berdiri di samping. Terasa rapat sehingga wangian tubuh itu menjengah deria. Berderau sedikit darah bila menyedari tubuh itu milik Cik Tantrum.
“Maaf,” ucap dia membuatkan aku berkalih sedikit. Berdegup jantung meneroka susuk tubuh milik dia. Cepat-cepat aku kalihkan mata memandang jemarinya yang sedang menarik laci meja sisi.
Rupa-rupanya dia mahu mengambil telefon bimbit miliknya dari dalam laci meja. Ketika itulah aku terpandangkan sticky notes yang aku tulis. Disematkan pada dinding bahagian dalam laci tersebut. Hati aku kembali berbunga-bunga harapan. Argh! Sayang juga rupanya dia pada sticky notes tersebut. Aku mahu andaikan begitu, kalau tidak dia tidak akan menyimpannya. Betul tak?
“Awak save dulu dokumen-dokumen yang awak nak.” Aku berpaling menghadap dia, membuatkan dia berpatah balik semula kepadaku.
Segera aku mengalihkan jemari dari papan kekunci sebelum beranjak sedikit memberi ruang kepada dia. Dia menarik papan kekunci tersebut lalu menekan aksara tertentu sebelum menekan butang sebelah kanan tetikus.
“Dah,” beritahu dia sambil menjeling ke arahku sekilas membuatkan darah aku berderau menyerbu ke muka untuk yang kali ke berapa entah. Kerlingan yang meruntuh jiwa, menangkap nurani aku hingga terperangkap di dalam rasa galau.
Senyuman aku lemparkan, mengharap balasan.
“Adik, nak buah limau tak?” Tiba-tiba Kak Sarah yang aku tukarkan komputernya tadi muncul berdiri di sebelah Cik Tantrum lalu menghulurkan kepada aku dua biji limau.
Aku menerima dengan senang hati. Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita pun berbahasalah.
“Adik, dia ni terer fasal sistem dan komputer. Kalau akak nak tanya apa-apa, mesti akak cari dia,” beritahu Kak Sarah membuatkan wajah Cik Tantrum bertukar rona. Membahang merah, nampak comel di mata aku.
“Jangan percaya sangat cakap Kak Sarah ni, dia saja buat cerita.” Cepat-cepat Cik Tantrum menidakkan. Nampak sangat orangnya itu pemalu dan tidak suka dipuji melangit. Baguslah, memang kena dengan selera aku. Baru usik sedikit, muka dah merah-merah macam biji saga.
“Betul dik.” Beria-ia Kak Sarah ketawa mengenakan Cik Tantrum sebelum berlalu pergi.
“Kak Sarah cuma bergurau,” kata Cik Tantrum sambil menggelengkan kepala. Wajahnya jelas kelihatan sedang menyembunyikan rasa malu.
Apa yang hendak dimalukan, tidaklah aku pasti tapi aku senang hati melihat dia begitu. Dalam keadaan tersipu-sipu. Dia kemudiannya bergerak menuju ke meja bersebelahan, melabuhkan punggung di atas kerusi milik Kak Sarah.
“Naurah, ‘kan?” Aku menyeru nama dia membuatkan dia berpaling menatap wajah aku. Sedap sekali sebaris nama itu. Naurah. “Password?
Dia segera bangun mampir. Buat kali ke berapa entah, aku berganjak sedikit memberi laluan kepadanya, memerhatikan susuk tubuh yang sesedap mata memandang itu.
Selepas mengisi ruang kosong yang tertera pada skrin komputer, dia kembali menjadi penghuni meja bersebelahan. Aku perasan matanya yang sekejap-sekejap ditala pada jam berbentuk segiempat tepat yang tersergam indah menghias dinding pejabat. Mungkin sedang membilang waktu yang sudah dihabiskan menunggu aku. Maaflah, kalau aku mendera kamu Cik Tantrum.   
“Awak memang tak ada access internet ye?” Aku bertanya memecah suasana sepi. Tidak ramai pekerja syarikat yang ada ketika itu. Mungkin sebab ramai yang sudah keluar mahu mengisi perut, maklumlah waktu makan tengah hari.
“Haah, company tak bagi.” Lembut suara Cik Tantrum menjengah pendengaran. Tidak ada pun tanda-tanda wild cat seperti yang digembur-gemburkan oleh Raqib. Elok sahaja berbicara dengan aku. Mungkin mood dia agak baik hari ini.
“Ada orang boleh ada orang tak boleh ye ...”
Dia mengangguk sebelum tiba-tiba menarik rapat kerusi yang beroda itu ke arah aku. Tersentak aku bila dia berbuat begitu, sungguh aku tidak menjangkakannya. Nampak seperti selesa dan mesra.
“Tapi, kan…” Jeda. “Awak boleh buat kan? Bagi saya laluan untuk access internet?” Mata bersinar-sinar mengiringi pertanyaan yang lebih kepada permintaan itu menerpa gegendang telinga.
Aku tertawa lucu melihat reaksi spontan itu. Buat aku tergoda. Dia mencebir lalu mengengsotkan kerusi semula ke tempat asal. Argh, Cik Naurah. Awak tahu tak awak sungguh menawan?
“Kalau main server dia dah block, memang tak bolehlah,” beritahu aku kemudian tidak mahu dia terasa hati. Tidak mahu dia salah sangka.
“Tapi, actually … ada cara lain kan?” Mata dia berkerdipan semula.
Aku cuma mampu tersenyum sambil angkat bahu. Tubuh aku sandarkan pada dinding kubikel, memerhatikan dia sambil memikirkan bagaimana mahu menawan hati dia. Sudahnya aku tersengih tidak sudah-sudah. 
 “Company tak bagi cuti sekerat hari ke?”
“Hari ni balik macam biasa kecuali yang celebrate CNY,” jawab dia.
 “Saya, lepas habis awak punya dah boleh balik,” beritahu aku walaupun dia tidak bertanya. Cubaan untuk melakukan sesuatu, mencetuskan sesuatu sebenarnya. 
“Oh, seronoklah … balik kampung ke?”
“Taklah. Kalau saya balik pun bukannya ada apa kat kampung.” Sengaja aku tekankan sedikit perkataan bukannya ada apa.
“Iye lah, lainlah kalau raya awak ‘kan? Mesti awak cuti sakan, kan?” Dia tertawa. Tawa yang mempesona. Tawa yang buat aku tergoda.
“Bukan jauh pun kampung saya. Naik motor tiga jam dah boleh sampai.” Aku sudah membuka hikayat tentang diri sendiri.
“Kampung awak letaknya di mana?” Itulah reaksi balas yang aku hendak.
“Batu Pahat. Kalau naik kereta, waktu perayaan macam ni, masaklah. Traffic teruk.” Aku jongket kening.
“Memanglah,” balas dia bersetuju dengan usul yang aku berikan.
“Lagipun, kalau saya balik. Tak ada apa pun untuk saya kat sana.” Aku ulang sekali lagi menanti reaksi daripada Cik Tantrum namun dia diam sahaja.

Mata dia berkelip dan riak yang sukar aku tafsirkan terlukis pada wajah. Sama ada dia tidak faham apa yang aku maksudkan atau sebaliknya. Sekurang-kurangnya kalau dia bertanya kenapa aku berkata begitu, mungkin boleh aku andaikan dia berminat ingin tahu lebih. Kalau begini reaksi dia, aku pun hilang jalan. Patutkah aku berundur sekarang?


Jumaat, 20 November 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Part 1 (Almi)



Almi aka si pengirim Sticky Notes

PANDANGAN aku labuhkan kepada seraut wajah milik perempuan yang sedang mencuka itu. Bibir mungil itu kelihatan berdecit-decit memecah hening pagi. Walaupun tidak kedengaran butir-butirnya dengan jelas tapi aku sudah boleh mengagak yang dia sedang meroyan tentang hal kerja.
Pagi Isnin, siapa yang tidak? Kecuali mereka yang benar-benar workaholic. Hinggakan masa cuti pun masih mahu meluangkan masa di pejabat. Tapi siapalah aku untuk menghakimi, mungkin sahaja mereka lebih suka menghabiskan masa di tempat kerja berbanding merewang tidak tentu hala.
Perempuan berkemeja biru gelap dan berlengan panjang itu memakai selendang berwarna senada cuma tonanya lebih lembut. Dia sedang merenung skrin komputer umpama hendak ditelannya monitor itu kalau mampu. Sesekali kedengaran merengus geram. Dia langsung tidak sedar yang aku sedang ralit memerhatikan tingkah laku dia. Comel saja melihat tingkah dia sejak semalam. Buat tangan aku gatal melekatkan sticky notes itu pada badan tetikus yang terdampar di atas meja milik dia.

Aku kerling sekilas Cik Tantrum yang sedang membaca nota yang aku tinggalkan. Dahinya kelihatan berkerut-kerut. Serius nampak comel. Aku tersenyum sedikit bila dia menoleh ke arah kiri dan kanan. Agaknya tertanya-tanya siapa punya onar. Sengaja aku buat-buat sibuk, menelaah komputer milik kakak yang sedang aku kendalikan sekarang ini.
Cinta pandang pertama ke? Entahlah. Tapi, sungguh. Ada sesuatu yang menarik tentang dia yang sukar untuk dijelaskan. Terasa seperti jiwa diseru mendekati dia. Kenapa ya? Mungkinkah dia yang aku cari selama ini? Yang Tuhan ciptakan untuk aku, yang bakal sempurnakan hidup aku? Yang tulang rusuknya milik aku?
“Siapa nama dia?” bicara terlepas dari bibir. Singgah pula di telinga rakan aku, Raqib yang berkaca mata itu. Kebetulan sedang melewati aku selepas menghantar sebuah kotak komputer ke sebuah meja yang terletak di bahagian belakang.
Who?” Spontan Raqib bertanya. Langkah dia terhenti lalu berdiri di belakang aku yang sedang duduk sambil memerhati skrin komputer yang sedang melayarkan laporan terkini proses muatnaik aplikasi dan sistem baru.
The girl yang ada tantrum pagi-pagi tu?” Aku perlahankan suara, bimbang perbualan ini sampai ke telinga perempuan itu. Maklumlah jarak antara kami cuma dipisahkan oleh sebuah laluan yang tidak sebesar mana.
“Dia?” Bibir Raqib memuncung mengunjuk ke arah perempuan yang tidak perasan dirinya sedang menjadi bahan bualan. “Hahaha, kenapa berminat ke?”
“Kau yang handle pc dia kan?” soalku inginkan kepastian, sebab aku pasti nama dia tidak termasuk dalam senarai tugasan yang diserahkan kepada aku.
Raqib mengangguk dengan kening terjongket.
“Kita tukar. Biar aku yang handle pc dia.” Mata terus ralit memandang dia, entah kenapa sukar untuk dilepaskan.

She’s all yours. Hati-hati, you are facing with a wild cat. Nanti kena cakar.” Entah kenapa Raqib berkata begitu, itu mesti dah kena dengan perempuan tu. Kalau tak, tak adalah menceceh seperti begitu. Aku angkat kening.
I’ll take my chances,” ujarku kemudian. Wild cat? Lagi aku suka, ada challenge.
“Bila jadual dia?” sambungku kemudian. Peluang harus dicipta, selagi ada ruang dan waktu.
Tomorrow morning, good luck.” balas Raqib dengan senyuman penuh bermakna. Terasa seperti senyuman mengejek pun ada. Mungkin dia fikir aku tidak mampu menundukkan seorang perempuan seperti dia.

Luck is all I need. Macam tak sabar pula, kalau komputer milik kakak yang sedang aku siapkan ini sudah selesai, bolehlah aku segerakan peluang itu. Namun, kalau dilihat pada hasil tugasan ketika ini, lambat lagi kot nak usainya. Tak apalah, kita jumpa esok sahaja Cik Tantrum. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Kalau sudah jodoh juga, raya ini aku pinang kamu. Aku tergelak dalam hati dengan angan-angan yang satu itu.



Sabtu, 7 November 2015

Cerpen : Crush 3 Hari - Bhg 4


BULAN pertama selepas dia menghilang dari mata. Minda masih terbayangkan wajah dan senyuman manis yang dia lemparkan. Suara lemak merdu milik dia bagai terngiang-ngiang di cuping telinga. Ada kalanya aku tertanya-tanya kenapa, mengapa? Hendak bercerita dengan kawan-kawan, rasa malu menerjah. Maklumlah terpikat dengan orang yang kita tak kenal. Hanya tahu nama dan tempat kerja sahaja. Okey kot, ada tu terpikay dengan insan yang nama pun tak tahu langsung.
            Terlintas juga mahu menghubungi dia di tempat kerja, kalau tidak silap ada sahaja nombor telefon pejabat tertera di dalam borang penilaian tempoh hari. Tapi, aku belum bersedia melakukan sesuatu yang sedrastik itu. Tunggulah, bila mood gila-gila itu datang. Mungkin sahaja aku mampu mengambil gagang dan menekan nombor yang ada. Bukannya susah pun, kan?
Anehnya, sebaik sahaja petugas-petugas dari syarikat yang mengendalikan penukaran komputer di jabatan aku itu selesai dengan tugasan mereka, si pengirim sticky notes turut sama menghilangkan diri. Mungkinkah, dia merupakan salah seorang daripada mereka? Bagaimana kalau pengirim nota itu Almi? Atau mungkin mamat berkaca mata yang hingga sekarang aku tidak tahu namanya itu? Haish, entahlah. Biar sahaja, perkara dah lepas pun. Cukuplah jadi kenang-kenangan.

Rindu ini datang bertamu, lebih lama dari yang terjangka, kutitip doa satukan kita, andai engkaulah pemilik tulang rusuk itu, moga cinta ini utuh dan mekar hingga kita bertemu semula   

Nota terakhir yang aku terima adalah pada hari terakhir mereka berada di tempat kerja aku. Benci aku memikirkannya. Ditinggalkan dalam teka-teki. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Tiada niat mahu mencari si pengirim misteri. Mungkin juga kerana petunjuk itu tidak ada, jadi menyukarkan aku mahu menjejaknya. Hurm. Minda aku segera beralih kepada Almi, entah kenapa kuat sungguh aura dia menyentuh jiwa aku.
Rasa-rasa aku tiga hari mengenali pemuda bernama Almi itu tidak cukup untuk aku terangaukan dia sampai menjadi stalker. Rupa-rupanya aku tersilap menilai diri sendiri, jari-jemari ini gatal juga mahu menaip nama penuh itu di ruangan yang disediakan oleh Encik Google. Argh! Kelakar pun ada, dari carian web ke carian imej. Tak popular rupanya si pencuri hati ini. Jadi, kecewalah aku kerana pencarian melalui Encik Google tidak berjaya. Itu baru bulan pertama, geleng kepala aku memikirkan betapa gigihnya aku mencari maklumat hampir setiap malam.


Tak cukup carian di Google. Aku luaskan pencarian ke laman Facebook pula. Huhu, ramai rupanya manusia yang memiliki sebaris nama yang sama dengan si pencuri hati. Masak aku kalau nak klik satu per satu. Banyak gila kot namun siapa sangka aku punya kegigihan yang jitu. Cari punya cari sampai lenguh jari, tapi apakan daya semangat aku lebih kuat jika hendak dibandingkan dengan rasa lenguh tersebut. Tergelak aku sendirian. Sehingga akhirnya, pencarian itu berakhir. Yes! Usaha membuahkan hasil. Masa itulah fikir berpuluh-puluh kali, nak hantar friend request atau tidak?
Dua tiga hari juga aku berfikir sama ada mahu meneruskan hasrat menjadikan dia rakan laman muka buku. Buatnya dia tidak ada respons? Aku juga yang kecewa, kan? Tapi dari tidak tahu, baiklah dapat tahu kesudahannya, ‘kan? Lagi cepat, lagi bagus. Atau sebenarnya, lagi cepat ditolak, lagi cepat untuk aku mencari yang lain. Huhu.
Sebelum aku menekan butang add, aku berkira-kira mahu menitipkan pesanan terlebih dahulu kepada dia. Penat aku memerah otak mengarang ayat puitis yang tidak berapa hendak puitis di telingaku. Berbunyi lebih kurang;

Kuketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Kuturut jejak rindu itu, mencari penawar yang menghilang, Apa betul ini laluannya? 

Dalam teragak-agak mahu menghantar atau tidak, aku tertekan butang send. Argh! Sudah. Boleh tarik balik ke? Aisey.... Apa nak jadi, jadilah. Begitu aku putuskan.
Malangnya, tunggu punya tunggu. Tiada balasan untuk pesanan yang aku hantar, boleh? Hari-hari aku buka laman facebook milik aku. Hari-hari aku skodeng momen dia. Yang paling last update pun tiga empat bulan lepas. Dia ni tak aktif ke, apa? Geram pun ada. Annoying tahu tak? Hendak sahaja aku hantar pesanan beribu-ribu kepada dia, biar penuh kotak mesej dia dengan pesanan daripada aku. Tapi, nampak macam tak masuk akal pula. Memang tak masuk akal pun bukan?
Tiba-tiba terasa bodoh pula melakukan semua benda-benda tak berfaedah itu. Tidak berfaedah bukan? Heh! Tapi, kalau tak buat macam tu, aku tak akan tahu kesudahannya ‘kan? Anehnya cinta itu, membuatkan jiwa dan hati memberontak tidak keruan. Anehnya cinta itu, hadirnya bisa membuat kita melakukan perkara yang kadang-kadang tidak terjangkau dek akal dan fikiran.
Akhirnya, selepas berminggu-minggu jadi pemerhati senyap. Selepas berminggu-minggu melayan hati yang rawan. Hati sudah redha dan boleh menerima. Aku lepaskan dia. Aku lepaskan hati yang menginginkan dia. Aku didik hati dan jiwa aku agar tidak mengejar dia mahupun bayang-bayang dia. Sukar? Mungkin, sedikit.   
Minggu sudah bertukar bulan. Tika aku sudah berhenti membilang hari. Tika aku sudah lupa resah hati yang minta disembuhkan. Tika aku sudah puas mengikis rindu yang menggunung menjadi dataran lembah. Tika harapan itu tidak lagi menjadi satu obsesi. Rasa itu muncul kembali, bersama kejutan yang tidak terjangka.


Sejambak bunga muncul di atas meja. Dengan sekeping kad ucapan hari raya diselitkan di celah-celah bunga itu. Aku ambil dan aku baca, ada sekeping nota pelekat di dalam kad tersebut.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku turut jejak rindu itu, mencari penawarnya, laluan terbentang di hadapan, teruskan langkahmu
Eh? Ini? Tersentap jiwa seketika. Lebih tersentap bila membaca apa yang tertulis di dalam kad tersebut. Jatuh rahang.
Kalau pesanan ini daripada awak, Cik Naurah. Sila angkat telefon di sisi awak yang bakal berdering dalam seminit dua lagi. Almi.
Beberapa saat kemudian, telefon di atas meja berdering. Hati mula dup dap dup dap. Gagang aku angkat.
“Assalam, Cik Naurah...” Suara lunak merdu itu. Luruh jantung aku. Rasa seperti jatuh cinta sekali lagi. Rasa wajah diserbu bahang yang hangat. Diri pula seperti mencair bak ais yang disentuh api yang membara.

Aduhai Cik Naurah. Bibir menguntum senyum tak sudah. Saat itu terlintas di fikiran, bila harapan diserap ke dalam doa. Bila harapan diserahkan pada yang maha Esa. Inikah jawapannya? Sungguh aku bersyukur, Amin Ya Rabb Alamin. Kuserahkan kepadaMu ya Allah, semoga ini permulaan langkah aku dan dia ke Jannah.

Sabtu, 17 Oktober 2015

Cerpen : Crush 3 Hari - Bhg 3


HATI sebenarnya melonjak-lonjak mahu ke tempat kerja hari ini. Sejak mendapat tahu yang Almi cuma ada masa selama tiga hari sahaja untuk melunaskan tugasan di tempat aku bekerja. Dua hari sudah berlalu, tinggal sehari sahaja untuk aku mewujudkan sesuatu antara kami berdua. Yup, aku kena buat satu Master Plan yang pasti dan mesti berjaya. Amboi! Hehehe...
Namun, alangkah malangnya nasib aku, boleh pula aku jatuh sakit hari ni. Hari terakhir Almi dan rakan sekerjanya bertugas untuk pihak syarikat. Aduh, dalam banyak-banyak hari, kenapa pilih hari ini? Nanarlah aku. Takkan nak paksa tubuh aku yang longlai ini melangkah ke pejabat hanya kerana menurut kata hati. Orang kata ikut hati, mati.
Aku pandang jam dinding yang berdenting dengan mata terkebil-kebil sambil mengesat peluh yang merenik di dahi. Tubuh badan terasa hangat, wajah membahang. Demamlah katakan. Hendak bermanja lebih-lebih, tidak tahu kepada siapa. Keluarga berada di kampung, aku jauh di perantauan.
Nasib baiklah rakan serumah aku baik hati orangnya, dialah yang bersusah payah menjaga aku, memaksa aku agar menelan ubat demam, memaksa aku agar memakan bubur nasi buat mengalas perut. Bersyukur aku mendapat rakan serumah seperti dia.
“Nak aku call pejabat tak?” Suria, rakan serumah aku itu bertanya. Pagi-pagi, ketika dia hendak beransur keluar.
Aku menggeleng. Aku masih larat lagi kalau sekadar mendail nombor telefon pejabat dan memberitahu yang aku tidak dapat hadir untuk bekerja hari ini.
“Kenapa nak baring kat sofa? Bukankah lebih selesa baring dalam bilik, atas katil?” Dia mempersoalkan tindakan aku yang mahu merehatkan diri di ruang tamu berbanding di dalam bilik.
“Malaslah, kalau kat sini, aku boleh layan tv.” Alasan yang aku berikan, walhal aku tahu sebaik sahaja televisyen terpasang suisnya, kurang sepuluh minit sahaja aku pasti sudah terlelap. Lebih-lebih lagi dalam keadaan begini.
Aku lihat Suria menggelengkan kepala buat aku tersengih lemah.
“Kau okey tak ni, tinggal sorang-sorang?” Dahi Suria berkerut, agaknya serba salah mahu meninggalkan aku.
“Okey, pergilah. Nanti lambat.”
“Aku gerak dulu tau, kalau ada apa-apa jangan lupa call aku.” Begitu pesan Suria dan aku hanya mengangguk sambil menghadiahkan dia secebis senyuman.


Sebaik sahaja Suria berlalu, aku mencapai alat kawalan jauh dengan niat mahu menonton rancangan di kaca televisyen. Wajah Almi tiba-tiba menjengah fikiran. Hurm... Puaslah sudah aku merancang semalaman. Situasi yang perlu dicipta agar boleh mencetuskan sesuatu dan menjadi kesinambungan yang berterusan. Aduhai! Alih-alih, aku terlantar di atas sofa dengan wajah mengadap kipas siling. Maka, punahlah harapan aku yang menggunung hendak menatap wajah dia buat kali terakhir.
Namun dalam keadaan aku begitu sempat lagi aku berdoa dalam hati. Andai dialah orangnya, andai dialah pemilik tulang rusuk ini, make it happen between the two of us. Amin ya rabbal alamin.
Aku membelek alat kawalan jauh dan mula menekan butang yang ada. Mencari siaran yang berkenan, mengisi kebosanan yang mula melanda. Juga mahu melayan mata yang terasa semakin layu. Badan yang makin terasa lesu. Aduhai, cepatlah kebah demam ini. Mana tahu esok Almi masih ada di pejabat, dan aku masih berkesempatan bertemu dengan dia. Mudah-mudahan tugasan mereka dilanjutkan untuk beberapa hari lagi.
Ketika aku masih lagi berada dalam keadaan mamai, terdengar ketukan bertalu-talu pada daun pintu. Alahai, siapalah agaknya? Pantang aku ada kat rumah, ada sahaja gangguan yang datang. Dalam keadaan payah, aku gagahkan juga untuk bangun. Menggeletar lutut aku setiap kali aku melangkah. Lemah terasa seluruh anggota, penangan ubat demam yang membuatkan aku rasa mengantuk dan mahu tidur sahaja.
Salam diberi beberapa kali, aku menjawab tapi mungkin suara aku terlalu perlahan untuk sampai ke telinga si pemberi salam.
“Naurah, awak okey ke?” Sayup-sayup kedengaran di sebalik daun pintu.
Nama aku yang diseru, buat aku terpinga seketika sebab suara itu seperti milik seseorang yang aku kenal. Siapa? Terdetik di hati aku. 
“Awak?” Buntang mata aku sebaik sahaja daun pintu terbuka.
Almi di muka pintu dengan sejambak bunga di tangan. Biar betul? Saat itu juga aku terjelepok jatuh.
Aduh! Sakitnya dahi yang menyembam lantai. Aku bangun sambil menggosok dahi dan siku. Isk! Aku mendongak ke atas tapi tiada wajah Almi di situ. Aku pandang keliling pula. Okey, aku bukan berada di depan pintu. Dahi yang sakit ni terkena bucu meja kopi yang terletak berhampiran dengan sofa. Baru aku sedar yang aku sebenarnya jatuh tergolek dari atas sofa. Haish, jadi aku bermimpi sebenarnya?





SENYUM awak merangsang hati,
menawan jiwa datang mendekat,
resah menggagau mencari dikau,
ke mana menghilang duhai kasih?

Ho ho. Pagi-pagi aku disambut dengan sticky note berwarna merah jambu, sekembalinya aku bekerja pada keesokkan harinya. Masih dilekatkan di tempat yang sama. Pada badan tetikus. Bukan satu tapi ada dua sticky notes.

Rindu, hadirnya tanpa diundang.
Menuntun hati ini kepadamu.

Jiwangnya. Luruh jantung aku membacanya. Tiba-tiba terasa hangat menyerbu ke wajah. Hish! Siapalah punya kerja ni? Namun, ketika itu tiada siapa yang berada di sekeliling. Rakan sekerja aku yang lain belum tiba lagi kalau mahu bertanya. Tapi, setahu aku tiada rakan sekerja lelaki aku yang masih bujang. Kalau ada pun, sudah berpunya.
Malaslah mahu memikirkan. Siapa gerangan yang bermain sorok-sorok dengan aku ni? Jadi secret admirer sangat? Kalau nak kat aku, cakap sahajalah terus terang. Aku tiada masa mahu bermain teka-teki. Sudahnya, sticky note itu jadi penghias dinding bahagian dalam laci aku. Sekali lagi. 
Ketika aku membetulkan postur badan, mata pantas menangkap kelibat seseorang. Tak silap lagi. Aku mendapati pemuda yang berkaca mata itu masih lagi ada menyelenggara komputer di pejabat aku. Bermaknanya, Almi itu juga sudah tentu masih lagi berada di sini. Hati kembali bersorak riang. Untuk kepastian, aku merisik daripada rakan sekerja yang lain, rupa-rupanya tugasan mereka itu dilanjutkan lagi sehari-dua? Bijak tak aku.
Kaki melangkah laju-laju. Sengaja tawaf jabatan, mencari dia. Dah rupa guru besar melawat kawasan sekolah. Mata melilau sana sini, macam bodoh pun ada. Tapi, aku pandai cover misi-misi mengarut macam ni. Haruslah, kalau tidak? Buat malu sahaja. Huh, sewel dah aku ini, agaknya.
Oh, okey dah jumpa. Langkah kaki automatik jadi perlahan. Dia sedang menyelenggara sebuah komputer milik salah seorang staf di bahagian proses entri. Nasib baik, sebab kadang-kadang kerja aku memang ada kena-mengena dengan unit tersebut. Jadi, minda aku sudah ligat memasang rancangan. Sebenarnya, sedang mencari jalan bagaimana mahu memberi dia peluang untuk mengenali aku. Cheh! Kalau dia tak faham dan tidak ada tindak balas. That’s it. Gone. Good bye to my mission. Peluang begini ‘kan hanya datang sekali?  
Setelah tahu mana duduknya target, aku kembali semula ke meja aku. Hendak menyiapkan rangka rancangan memikat dia. Aku tergelak sendiri memikirkan kepala yang serabut. Mahu tidak jadi serabut bila dia perasan kehadiran aku tadi. Siap angkat mata dan menghadiahkan aku sebuah senyuman meruntun jiwa. Memang runtuh jiwa aku, lemah lutut, nasib baik tak jatuh terjelepok menyembah lantai tadi. Tapi, elok juga kalau terpengsan, untung-untung dia yang jadi penyelamat aku. Cheh! Gedik sungguh engkau ni Naurah.
Mata aku beralih setiap kali ada kelibat yang muncul. Tapi, bukan pemuda yang aku harapkan. Sebaliknya, mamat berkaca mata itu yang muncul. Dua tiga kali. Aku tidak tahu sebabnya. Sekejap ke depan sekejap ke belakang melewati kubikelku. Mungkin ada kaitan dengan komputer bos, tidaklah aku ambil kisah sangat sebab aku mengharapkan kemunculan Almi. Namun, sampai saat ini dia masih tidak juga muncul-muncul, membuatkan aku mengambil keputusan untuk melaksanakan misi yang aku rancang. Misi desperate. Eee, benci aku nak sebut.
“Kak Sarah, ada entry tak nak post kat depan?” Aku sudah berdiri dengan membawa beberapa fail dan entri untuk diserahkan kepada staf yang berkenaan. Sengaja aku bertanyakan Kak Sarah jika dia mahu menumpangkan sebahagian tugasnya kepadaku. Jika ada, bolehlah aku berlama-lama di sana.
“Ada, tolong akak buat 3 entri ni ye...” Kak Sarah menyerahkan beberapa buah fail serta entri yang dimaksudkan dan aku menerima dengan senang hati. Sengih sampai ke telinga, terlebih baik aku hari ini.
Segera aku bergegas ke bahagian tersebut, mahu menyelesaikan tugasan juga mahu mencipta peluang. Kening aku terangkat melihat dia ada di sana, selang satu tempat duduk. Matanya memaku wajah aku ketika aku mengambil tempat di salah sebuah kerusi yang ada. Senyum yang menguntum buat hati berdetak suka. Aku membalas senyuman yang diberi. Semanis yang boleh. Kalau semut boleh rasa bibir aku ini, semut pun boleh mati agaknya. Control Naurah, control.
 Setelah beberapa ketika berada di sana, nampaknya, tiada apa yang lebih bermakna berlaku. Setakat berbalas senyum. Berbalas pandang. It will not bring anything. Jadi, begitulah kesudahannya. There goes my crush.
Kecewa? Mungkin sedikit. Memang dia bukan untuk aku. Aku bukan untuk dia. Tapi, kenapa hingga saat aku menulis ini. Wajah dia masih terpahat di minda? Passing fancy, mungkin?
Aku harus mengakui, it takes a minute to have a crush on someone, an hour to like someone, a day to love someone but a lifetime to forget someone. Namun sebab aku berpegang pada teori itu yang pernah aku terbaca. Based on psychologic study, a crush only last for a maximum of 4 months. So this is could only be temporary. So, I just let it be…


Namun, aku tidak lupa juga untuk menitipkan doa. Manalah tahu, kan?
Ya Allah Yang Maha Pemurah
Terima kasih, Engkau telah menciptakan dia dan mempertemukan aku dengannya
Terima kasih, untuk saat-saat indah yang telah kami nikmati bersama
Terima kasih, setiap pertemuan yang kami lalui bersama
Terima kasih, setiap saat-saat yang lalu
Aku datang bersujud pada-Mu
Sucikanlah hatiku ya Allah, agar dapat melaksanakan kehendak dan rencanaMu dalam hidupku
Ya Allah, jika dia bukan pemilik tulang rusuk ini, janganlah biarkan aku merindukan kehadirannya
Janganlah biarkan aku melabuhkan hatiku di hatinya
Kikislah pesonanya dari setiap pelusuk mataku
Dan usirlah dia dari relung hatiku
Gantilah damba kerinduan dan cinta yang bersemayam di dada ini dengan kasih dari dan kepada Mu yang tulus dan murni
Bantulah aku agar mengasihinya hanya sebagai seorang sahabat
Tetapi jika Engkau ciptakan dia untukku ya Allah,
Jika aku pun tercipta untuk dia
Dekatkanlah kami
Satukanlah hati kami
Tanamkanlah cinta dan kasih yang tulus dalam hati kami
Bantulah kami untuk saling mencintai, mengerti dan menerima seadanya
Amin