Ahad, 26 Ogos 2012

Cerpen: Siluet Cinta


CINCIN yang tersarung di jari manisnya itu ditenung. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati, kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu hati. Cantik. Dhea mengeluh. Kalau cantik pun, tak guna juga kalau orang yang menyarungkan cincin ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadapnya.
Dhea pandang langit malam. Dibiarkan sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh badan. Hatinya rasa sebak dan pilu. Pakaian pengantin masih melekat ditubuhnya. Tiada niat untuk menanggalkannya walaupun majlis sudah lama berakhir.
Memang hari itu hari yang amat bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang tidak berhati-perut.
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang Dhea mampu.
Sesungguhnya kerana dia, maruah aku terselamat. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu membalas jasanya. Air mata Dhea jatuh berlinang.
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.    
***

Hujan lebat turun mencurah-curah sejak tengahari. Duduk Dhea tidak senang. Sudah lama dia tidak bermain air. Hatinya melonjak-lonjak ingin menikmati air hujan yang mencurah-curah laju membasahi bumi. Dia memerhatikan rintik-rintik hujan yang kelihatan pada dinding kaca. Dia rindukan saat-saat itu, saat di mana dia masih bebas melakukan apa yang dia suka.


Nak pergi ke tak nak pergi? Dhea masih berkira-kira. Dia menggosok kedua belah lengan kedinginan.
Mata Dhea menatap bebunga dan dedaun yang berada di dalam taman kecil yang letaknya betul-betul di bahagian tengah rumah. Taman yang dibina di dalam rumah tersebut tidak berbumbung. Sengaja disiapkan begitu bagi membolehkan cahaya matahari terus menyimbahkan sinarnya ke dalam. Samalah keadaannya bila hujan turun.
Dhea memang suka sekali dengan taman mini tersebut. Di situlah tempat dia menghabiskan masanya sejak berkahwin dengan lelaki itu. Setiap kali bila ada kelapangan.
Jarinya menyentuh dinding kaca, mengikut aliran air hujan yang sedang menuruninya. Sambil duduk bersila di atas kerusi rotan, matanya terus dihalakan pada dinding kaca yang menampakkan sebahagian besar taman mini itu. Hatinya yang sunyi, sudah bermain lagu hujan.
Argh! Bukannya ada sesiapapun kalau aku ingin berlari keliling taman itu. Tanpa menunggu lebih lama dia terus membuka pintu lalu masuk ke dalam taman itu. Dhea mendepangkan tangan. Dibiarkan titis hujan itu menimpa dirinya. Dia tidak peduli dengan rasa dingin yang meresap ke dalam tubuh, yang penting dia ingin menikmati saat itu.
Thaqif yang baru balik dari kerja memerhatikan saja gadis itu menari-nari di dalam hujan. Langkah kaki yang tadinya sedang menapak menuju kamar tidurnya terhenti seketika. Terleka dia sejenak melihat wajah Dhea yang ceria. Semenjak gadis itu bergelar isteri kepadanya, dia tidak pernah melihat gadis itu seceria itu.
T-shirt yang basah melekap menampakkan susuk tubuh Dhea membuatkan naluri lelakinya tergugat sebentar. Pantas dia beristighafar. Pantas juga dia angkat kaki berlalu pergi. Bimbang untuk berlama-lama di situ. Bimbang hatinya akan jadi lemah. Dia tidak mahu perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi bila gadis itu bukannya pilihan hatinya. Sesungguhnya dia tidak rela hatinya dimiliki gadis itu. Biarlah hubungan itu sah di sisi undang-undang sahaja.  
***

Tiba-tiba sahaja seluruh rumah itu berada dalam keadaan gelap-gelita. Rupa-rupanya, bekalan elektrik terputus. Thaqif merengus kasar. Habis tergendala kerjanya. Dia bangun meninggalkan meja lalu berdiri di hadapan balkoni meregangkan badan.
Seketika kemudian dia bergerak menyingkap langsir lalu membuka pintu balkoni. Membiarkan angin malam masuk ke dalam biliknya. Lama dia berdiri di balkoni memerhatikan langit malam. Tiba-tiba dia teringatkan Dhea yang tidur di bilik bersebelahan. Dia menghela nafas panjang. Sudah tidurkah gadis itu? Bolehkah dia tidur dalam keadaan gelap-gelita dan berbahang? Huh? Kenapa aku boleh terfikirkan tentang gadis itu? Pandailah dia menjaga dirinya sendiri.
Thaqif mengerling jam tangan yang melingkar pergelangan tangan kirinya. Sudah menjejak jam 3 pagi. Hendak menyambung kerja yang tergendala sebentar tadi, bekalan elektrik masih terputus. Lantas dia mengambil keputusan untuk ke dapur mengambil air dan mencari lilin.
“Aduh!” Thaqif mengaduh kecil bila dia kakinya terlanggar sesuatu ketika membuka pintu bilik. Alangkah terkejutnya dia melihat sekujur tubuh terbaring di hadapan pintu biliknya.
“Dhea?” panggil Thaqif tapi gadis itu kelihatan tidak sedar. Pengsan ker?
Beberapa kali dia mencuit Dhea tapi gadis itu langsung tidak menunjukkan tindak balas. Thaqif menyapu bersih wajah Dhea dalam samar-samar. Ada bunyi dengkur halus kedengaran. Keletihan barangkali.
Tapi kenapa dia berada di sini? Fikir Thaqif.
Bila Dhea masih tidak mahu bangun, Thaqif mengambil keputusan untuk mengangkat dan meletakkan gadis itu di dalam biliknya. Setelah membaringkan Dhea ke atas katil, dia ke dapur. Hatinya masih tertanya-tanya. Apa gadis itu ketakutan hingga sanggup tidur di hadapan biliknya? Beberapa ketika kemudian dia kembali semula dengan sebatang lilin.
Dia kembali ke mejanya cuba menyambung semula kerjanya tapi kehadiran Dhea mengganggu konsentrasi. Beberapa kali dia seperti terdengar Dhea sedang meracau-racau dalam tidur. Sedang diganggu mimpi ngeri barangkali?
Thaqif bangun lalu mendapatkan Dhea. Apa sebenarnya yang telah berlaku pada gadis itu? Dia mahu tahu.


Dalam remang cahaya, wajah Dhea ditatap. Dhea bukan tidak cantik. Wajahnya lembut dan ayu. Thaqif menguis helaian rambut yang melitupi wajah Dhea. Hatinya sedikit bergetar bila terpandangkan bibir merah milik Dhea. Dia memejamkan mata.
“Dhea? Bangun Dhea. Awak sedang bermimpi.”  Thaqif menggoyang-goyangkan tubuh Dhea.
Bagai terkena renjatan, Dhea bangun dari tidur sedikit terkejut. Apatah lagi bila melihat Thaqif berada di hadapannya. Dia memandang sekeliling dan matanya terhenti pada wajah Thaqif yang penuh persoalan. Dhea segera bangun berdiri. Terlukis perasaan serba-salah pada wajahnya.
“Maafkan saya, tuan.”  Mohon Dhea tanpa memandang Thaqif. Ada rasa malu menyelinap di hati. Sepantas itu juga dia meninggalkan lelaki yang bergelar suami kepadanya itu.

***

Thaqif pandang Dhea yang sedang menyediakan sarapan pagi. Sejak mereka berkahwin, jarang sekali mereka untuk bertegur sapa. Apatah lagi untuk berbual. Boleh dibilang dengan jari. Sekali, semasa hari pernikahan mereka. Ketika itu Thaqif menunjukkan bilik di mana Dhea akan tidur serta memberitahu Dhea akan peraturan-peraturan rumah tersebut. Yang lain, bila Thaqif rasa perlu sahaja.
Dhea tidak pernah membuka mulut untuk memulakan bicara apatah lagi untuk meminta sesuatu. Bagi Dhea, hak itu tidak ada buat dirinya. Dia tahu di mana duduk dirinya, dia tahu dan faham. Dia sekadar menumpang.
“Dhea, duduk. Saya hendak bertanyakan sesuatu.”
Dhea yang kelihatan takut-takut mengambil tempat di hadapan Thaqif. Dia memandang Thaqif sekilas sebelum dia menundukkan wajahnya. Rasa bimbang kelihatan pada riak wajahnya. Bimbang jika dia ada melakukan sebarang kesalahan.
“Macamana awak boleh kenal dengan abang saya?”
“Dhea tak kenal abang tuan,” jawab Dhea perlahan.
“Habis tu, macam mana awak boleh berada di dalam bilik hotel bersama dengan dia?”
“Dhea dikurung di dalamnya.”
“Abang saya mengurung awak?”
“Tidak, abang tuan pengsan ketika cuba menyelamatkan Dhea. Bilik itu diserbu oleh pihak hotel dan pihak Jabatan Agama Islam ketika kami cuba melarikan diri.”
“Kenapa awak tak bercerita hal sebenar sebelum ini?”
“Bukan Dhea tak mahu bercerita, orang yang tak mahu percaya.”
Thaqif terdiam.
“Awak ada keluarga?” Thaqif bertanya bila teringatkan ketika majlis akad nikah tempohari, tiada ahli keluarga Dhea yang hadir.
Dhea menggeleng. Wajahnya kelihatan sugul, dia sendiri tidak tahu siapa ahli keluarganya yang sebenar. Selama ini dia dijaga oleh keluarga angkat.
Thaqif meraup wajahnya. Betullah seperti apa yang diceritakan abangnya. Cuma abangnya tidak sanggup berkahwin dengan gadis yang tidak diketahui asal-usulnya itu. Lagipun, abangnya sudah mempunyai kekasih hati. Atas alasan itu, abangnya melarikan diri ketika majlis akad nikah menyebabkan Thaqif dipaksa dan terpaksa menggantikan tempat abangnya. Hati Thaqif masih lagi sakit memikirkan hal itu.

***

Wajah sendu Dhea terbayang-bayang di mata Thaqif. Dia teringat bagaimana dia mencuri pandang wajah mulus Dhea setiap kali Dhea menyediakan makanan untuknya. Dhea yang jarang mengangkat muka, Dhea yang selalu mengelak dari menatap matanya. Dhea yang mahal suaranya. Dhea yang kadang-kadang membuatkan dia mati kutu bila berhadapan dengan gadis itu.
Terngiang di telinganya gelak tawa kecil milik Dhea tatkala gadis itu kelucuan membaca sesuatu yang kelakar. Secara tidak sengaja Thaqif terdengar ketika gadis itu membaca seorang diri di dalam taman. Sedikit sebanyak Thaqif sudah boleh membaca peribadi gadis yang bernama Dhea itu.
Thaqif meraup wajahnya. Kenapa ya? Kenapa aku tidak mampu mengelak dari memikirkan tentang gadis itu. Dia sudah cuba untuk bangun seawal yang mungkin agar dia tidak perlu bersemuka dengan Dhea. Malangnya, Dhea bangun lebih awal dari dirinya. Dhea bangun menyiapkan sarapan pagi untuknya. Selama ini dia bersarapan di luar. Kadang-kadang tidak bersarapan langsung. Bukan itu sahaja, malah Dhea sempat mengilatkan kasut kerjanya. Bukan sepasang, semua kasut yang ada dalam simpanannya, semua Dhea kilatkan.
Dia juga sudah mencuba untuk balik lewat dengan harapan bila dia tiba di rumah, Dhea sudah pun melelapkan mata. Tapi sebaliknya, gadis itu setia menunggunya. Bukan untuk buat apapun, cuma untuk memberikannya segelas air dan menjamu dia makan. Dhea juga sudah menyiapkan pakaiannya untuk bekerja keesokkan harinya. Bukan sepasang tapi semua pakaian yang Thaqif ada semua Dhea seterikakan.
Semakin dia cuba meluputkan Dhea dari ingatan, semakin kuat perasaan dia terikat pada Dhea. Thaqif buntu.
***

Thaqif mencari-cari kelibat Dhea ketika dia kembali dari pejabat. Selalunya Dhea akan menyambutnya di muka pintu. Dia ke dapur, tapi Dhea tidak ada di sana. Makan malam juga masih belum disediakan.
Mana dia? Melarikan dirikah? Kalau benar gadis itu berniat begitu, sudah lama dia akan berbuat demikian. Thaqif kembali semula ke ruang tamu. Mungkin Dhea berada di dalam bilik air, fikirnya.
Beg bimbit yang berisikan kertas-kertas kerja yang dibawa diletakkan di atas meja. Kemudian punggung dilabuhkan ke atas sofa. Remote control yang berada berhampiran diambil dan TV dipasangkan. Thaqif melelapkan matanya sejenak melepaskan lelah.
Hampir saja dia terlelap kalau tidak terdengar azan yang sedang berkumandang  di kaca TV. Matanya digosok-gosok. Dhea masih tidak muncul-muncul. Thaqif jadi sedikit geram. Dia bangun lalu menapak menuju ke biliknya.
Dia berhenti seketika di hadapan bilik Dhea.  Berfikir sama ada patut dia mengetuk pintu bilik itu atau sebaliknya. Mungkin Dhea sedang menunaikan solat, fikir Thaqif lalu masuk ke dalam biliknya.
Usai mandi dan solat Maghrib, Thaqif turun semula ke dapur. Melihat kalau-kalau Dhea sudah keluar dari bilik dan menyediakan makan malam. Malangnya, Dhea tidak ada di situ. Thaqif mula risau.
“Dhea?” Thaqif naik semula, kali ini kakinya pantas menuju ke bilik Dhea. Pintu diketuk berulangkali. “Dhea? Buka pintu, Dhea!”
Thaqif yang tidak sabar, terus memusingkan tombol lalu menolak daun pintu.Kelihatan Dhea terbaring di atas lantai, mengerang dengan buku lali yang kelihatan membengkak.
“Dhea?!”cepat-cepat Thaqif  memapah Dhea.
Dhea mengaduh kesakitan. “Maaf tuan, makan malam Dhea belum sempat sediakan.”
“Macam mana boleh jadi macam ni?”
“Dhea jatuh tergelincir.”
“Kenapa tak bagitahu saya?” soal Thaqif sambil memeriksa keadaan buku lali Dhea.
Dhea mengalihkan kakinya dari terus disentuh Thaqif. “Dhea tak mahu susahkan tuan.”
“Bila jadi macam ni, masih menyusahkan saya bukan?” marah Thaqif.
“Maafkan Dhea, tuan.” Air mata Dhea jatuh berjuraian.
Thaqif tidak jadi meneruskan marahnya. “Mari saya hantar awak ke klinik.”
“Dhea tak sakit, tuan.” Dhea kelihatan berat hati.
“Tidak sakit apa, kalau bengkak-bengkak begini?”
“Sungguh, tuan. Dhea masih mampu buat kerja. Sekejap lagi Dhea turun masak.” Air mata Dhea semakin lebat.
Thaqif jadi semakin pelik dengan kelakuan Dhea. Apa yang cuba gadis itu sembunyikan dari dirinya?
“Sini kaki awak, biar saya lihat.”
“Sikit saja tuan, tidak perlu sampai ke klinik.” Dhea cuba menyembunyikan kakinya.
Tapi tangan Thaqif lebih gagah memegang kaki Dhea, dan ketika itu juga kain batik yang dipakai Dhea terselak menampakkan betisnya. Mata Thaqif terbuka luas dengan rasa terperanjat yang amat.
“Ya Allah! Dhea?!” Thaqif mengucap. Sepantas itu juga dia menyelak T-Shirt yang dipakai Dhea.
“Siapa buat awak macam ni Dhea?” Pedih hati Thaqif melihat keadaan tubuh Dhea yang penuh dengan kesan lebam dan parut luka lama.
 Diperhatikannya kesan luka pada bahagian lengan Dhea. Kesan cucuhan puntung rokok pada belakang badan Dhea. Kesan berbirat bekas disebat dengan rotan memenuhi bahagian belakang tubuh gadis itu. Ya Allah, Dhea? Kasihannya gadis itu. Tergamaknya orang melakukan ini pada awak, Dhea?
Patutlah selama ini Dhea selalu memakai seluar track dan berbaju lengan panjang. Rupa-rupanya dia menyembunyikan kesan-kesan itu. Patutlah Dhea tidak pernah melawan. Seumur hidup gadis itu mungkin dibayangi ketakutan. Hati Thaqif jadi luluh seluluhnya. Air matanya sendiri mengalir melihat betapa tidak berperi-kemanusiaannya insan yang melakukan penderaan itu terhadap seorang manusia yang lain.
“Siapa yang sanggup melakukan semua ini?” suara Thaqif sedikit bergetar. Ada rasa marah terbit melihat kesan penderaan itu.
Dhea tidak menjawab, dia hanya mampu menangis.
“Kenapa Dhea biarkan mereka melakukan Dhea begini?”
Dhea masih menangis. Makin lama makin menjadi-jadi. Mungkin teringat akan kisah silam. Melihatkan keadaan Dhea, rasa simpati yang berputik serta rasa tanggungjawab mengambil alih sebahagian besar ego Thaqif. Dia memeluk gadis itu cuba mententeramkannya.
“Ssh.. Dhea berhenti menangis. Saya ada di sini.” Bahu Dhea digosok-gosok Thaqif.
Tangisan Dhea mulai reda.
Thaqif mengesat sisa airmata di pipi Dhea. Dia mencapai jemari Dhea lalu menggenggamnya erat. “Mulai hari ini saya akan jaga awak. Awak tak perlu risau.”
Dhea mengangguk.  Buat pertama kali dalam hidup Dhea, Dhea merasa dirinya disayangi. Buat pertama kali juga dalam hidup Thaqif, dia merasakan yang Dhea memang hadir untuk menyempurnakan hidupnya.


***TAMAT***
***Nantikan Siluet Cinta dalam bentuk Novel bersiri (sikit masa lagi)***





7 comments:

Tanpa Nama berkata...

nie sbnrnya novel ka cerpen? buat mini novel pon ok gak.. :)

chenta berkata...

bez cte ni..alhai..bla la da smbungannya plak ye..xsbar nk tau ksah yg strusnya..huhuhu

Mr Hijack berkata...

best... memang pantas untuk dijadikan e-novel. Gambatte Ne!

Rindu Lukisan berkata...

best sesangat...thumbs up ..

Tanpa Nama berkata...

Best

Tanpa Nama berkata...

best sangat...da sambungany lagi gk??
cpt sambung ea dah tak sbar nie....

Tanpa Nama berkata...

Assalam..novel ni dah ada ke dipasaran? Atau kat mana sambungannya?huhuhu..sy minat cerita ni.

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p