TATKALA mendengar ura-ura dia hendak disatukan dengan
Tengku Izuddin semalam, Azryn Zafira diserbu rasa marah. Bukanlah dia hendak
mengenepikan hak kedua-dua orang tuanya tapi kenapa Tengku Izuddin? Mendengar
nama itu pun sudah cukup untuk membuahkan rasa benci apatah lagi untuk hidup
sebumbung dengannya?
Dia bukan tidak kenal siapa Tengku
Izuddin yang pernah suatu ketika dulu bertakhta dihatinya. Tapi itu sejarah
silam, sejarah yang dia tidak ingin mengulangi walau diberi peluang seribu
kali. Cukuplah hanya sekali itu, kalau boleh dia mahu kisah itu terus berkubur
begitu saja.
Bagaimanapun untuk mengelak dan
membuang Tengku Izuddin terus dari hidupnya, mungkin bukan sesuatu yang
mustahil cuma agak sukar. Memandangkan ayahnya Datuk Ma’asud dan ayahnya Tengku
Izuddin, Tengku Iksham itu sudah lama bersahabat baik. Jadi, mahu tidak mahu
dia terpaksa berhadapan juga dengan lelaki yang terkenal dengan sikap womanizer
- nya itu.
Semalaman dia berfikir, berusaha
mencari ikhtiar dan jalan agar usul jodoh itu dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya
dapat dihalang daripada terus menjadi kenyataan. Peluang yang dicari-cari
akhirnya tiba ketika sesusuk tubuh yang menarik perhatiannya pagi itu,
mengingatkan dia pada jalan keluar untuk masalah jodoh yang mengganggu benaknya
dari semalam. Tiba-tiba idea drastik yang logiknya tidak ada menerpa menguasai
akal fikiran.
Mungkin dia orang yang sesuai untuk
peranan tersebut. Tubuh badan agak sasa dengan ketinggian yang sesuai serta
rupa paras yang agak menarik. Cuma perlu memperbaiki penampilannya sedikit. Ah!
Masa sudah suntuk untuk dia mencari idea yang lebih bernas, buat masa ini itu
sahaja yang terbaik boleh difikirkannya. Tawaran RM2 ribu itu untuk ujian
pertama.
Pada mulanya dia agak cuak jika
lelaki tersebut menolak tawaran tersebut. Jika lelaki itu menolak hancur
punahlah segala rancangan yang dibina. Dia bernasib baik kerana lelaki itu
bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sekaligus melegakan hatinya yang
gundah sejak semalam lagi. Dia ingin dan perlu bertindak lebih pantas mendahului
rancangan orang tuanya dan keluarga Tengku Izuddin.
Seandainya lelaki itu berjaya
melepasi ujian tersebut, dia sudah berkira-kira untuk menawarkan kontrak dengan
upah yang lebih lumayan. Menurut firasatnya, kisah itu tidak mungkin akan
berakhir di bilik conference sahaja dan dia mahu bersedia untuk
segala kemungkinan yang bakal berlaku.
“Maaf, cik Zafira… Saya ingatkan
setakat ini saja urusan kita. Bukankah ini cuma one time offer sahaja?” Kay jadi sedikit bimbang
setelah mengetahui perempuan itu sebenarnya merupakan anak kepada salah seorang
ahli perniagaan yang berjaya dan agak terkenal di kota metropolitan itu.
Bukannya bimbang akan status perempuan tersebut tapi bimbangkan penglibatannya
itu bakal mendedahkan dirinya kepada umum yang secara tidak langsung membawanya
kepada perkara yang selama ini cuba dielakkan.
Terkejut juga Kay ketika
diperkenalkan kepada lelaki yang digelar Babah oleh Azryn Zafira tadi.
Rupa-rupanya ayah Azryn Zafira merupakan seseorang yang amat dikenali dalam
bidang perniagaan.
Sangka Kay, Azryn Zafira cuma ingin
menggunakannya untuk mengusir lelaki hidung belang yang mengganggu hidup cik
puan yang bertubuh kurus melidi persis model itu cuma ketinggiannya agak
terbatas berbanding dengan model-model yang sedia ada. Kalau dari segi
rupa-paras, Azryn Zafira boleh dikategorikan seorang yang berwajah menarik,
manis dan memikat.
“Kontrak?” Terangkat kening Kay
ketika ditujukan tawaran kedua sebaik sahaja mendapat imbuhan untuk tawaran
yang pertama.
“Enam bulan sebagai kekasih awak?”
Dari sehari dipanjangkan menjadi enam bulan pula. Masalah apalah yang sedang
kau jebakkan diri kau, Kay?
“Awak percaya dengan kontrak ini,
awak boleh selesaikan masalah awak?” Dia bertanya kepada Azryn Zafira yang
sedang menyisip air mineral setelah menuangkannya ke dalam gelas kaca.
“Sekurang-kurangnya saya mencuba,” balas
Azryn Zafira bersahaja.
“Sebelum saya bersetuju, saya rasa
saya berhak untuk mengetahui sebab dan puncanya awak perlu melakukan semua ini.
Selain daripada jawapan yang ini semua ada kaitan dengan hidup dan mati awak.”
Pelbagai soalan yang perlukan
penjelasan sedang berlumba-lumba mencari tempat di mindanya. Pada hemat Kay,
sekiranya dia mahu turut serta dalam permainan yang dicipta Azryn Zafira itu
sekurang-kurangnya sedikit info perlu untuk dia mendapat sedikit gambaran akan
hala tuju dan arah permainan tersebut.
“Sekiranya saya membuka rahsia itu,
adakah awak akan bersetuju?”
“Hmm, saya akan fikirkan itu
kemudian.” Kay menarik nafas perlahan.
Akhirnya Azryn Zafira menceritakan
segala kemushykilan yang bermain di minda secara ringkas. Dia tidak mahu
terlalu transparent kepada Kay yang baru dikenali tidak
sampai sehari itu.
“Kenapa tidak awak berterus terang
kepada ayah awak, bukankah itu lebih mudah?”
Azryn Zafira menggeleng-gelengkan
kepala. Kalaulah semudah itu.
“Awak belum kenal ayah saya lagi.
Dia seorang yang amat komited dengan perniagaannya dan sangat mementingkan tali
persahabatan. Lagipun ayah tak tahu yang saya sudah terlebih dahulu mengesan
rancangan mereka untuk menjodohkan saya dengan Izuddin.”
“Apa masalah awak dengan Tengku
Izuddin sebenarnya?” Terbayangkan kembali wajah berang Tengku Izuddin ketika
dia diperkenalkan kepada mereka tadi.
Bagi Kay, Tengku Izuddin tidak ada
apa yang kurang. Segak, ada rupa ada gaya, berkedudukan dan berharta. Mungkin
sikap dan attitude yang agak menjengkelkan itulah
kelemahan utamanya.
Azryn Zafira terdiam seketika, agak
keberatan untuk membicarakan isu tersebut kepada Kay. “Cukuplah kalau saya
katakan yang dia adalah manusia yang paling jijik yang pernah saya kenal selama
hidup saya.”
Kay segera melirik ke arah Azryn
Zafira.
“Saya tidak mahu dia jadi jodoh
saya walaupun dalam dunia ini sudah tidak ada lelaki lain selain dari dia.
Tidak dalam sejuta tahun pun.”
Huh?! Nampaknya ada sejarah di antara
mereka berdua, fikir Kay.
“Baiklah, tapi bagi saya masa
sehari untuk memikirkan tawaran awak,” ujar Kay sambil melurut rambutnya ke
belakang. Segera dia bangun dari duduk. Sudah tiba masa untuk dia beredar.
“Saya hantar awak balik.”
“Tak apalah cik Zafira, saya datang
naik motor.”
“Ooh!”
“Kalau ada apa-apa, cik Zafira
boleh hubungi saya. Ini nombor telefon saya.” Kay menulis nombor telefon
bimbitnya pada sehelai kertas kecil sebelum menyerahkannya kepada Azryn Zafira.
“Kalau tidak apa-apa lagi, biarlah saya
beransur dulu.” Kay sudah bangun dari duduk.
Azryn Zafira terlebih dahulu
menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Kay.
“Nice knowing you, saya
harap lepas ini hubungan kita tidak akan terputus begitu sahaja.” Azryn Zafira
berkata sambil mengukir senyuman manis.
“Walaupun, saya mungkin menolak
tawaran awak?”
“Ya, tapi awak belum lagi
memberikan keputusan yang muktamad tentangnya ‘kan?”
Kay diam sejenak sebelum mengangguk
perlahan mengiyakan kata-kata Azryn Zafira.
“Lagi satu saya nak tanya awak.”
“Awak memang bekerja dengan
syarikat penghantaran express ke?”
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p