Ahad, 22 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 3


KETIKA memberhentikan motor Kawasaki ER6 600cc berwarna kuning dan hitam di tempat meletakkan kenderaan yang disediakan, Kay dihampiri sekumpulan tiga orang lelaki yang wajah mereka masing-masing kelihatan seperti ahli kumpulan gangster.
Kay buat endah tidak endah. Setelah mengunci motor dia berjalan sambil lewa dengan membawa topi keledar yang dipakainya tadi menggunakan tangan sebelah kirinya.
“Awak Ahmad Khairul Zariq?”
Langkah Kay terhenti apabila salah seorang daripada mereka bersuara. Dia memandang wajah-wajah yang tidak dikenali itu silih berganti sambil mengerutkan dahi.
“Saya bagi amaran kepada awak, sila jauhkan diri awak daripada Azryn Zafira!” Salah seorang daripada mereka bersuara agak lantang dan melengking.
“Huh?” Kening Kay terjongket, dia mengusap dagunya lalu menyambung. “Kenapa? Ada masalah ke?”
“Awaklah masalahnya!” Salah seorang daripada mereka sudah mula mengepalkan penumbuk dan bersedia untuk melangkah dan menyerang Kay.
Terlebih dahulu membaca gerakan pihak lawan, Kay pantas menepis serangan demi serangan tanpa gagal. Cubaan demi cubaan yang dilakukan penyerang pertama tidak berjaya lansung menyentuh walau seinci tubuh Kay menyebabkan si penyerang menjadi bertambah berang. Topi keledar yang dibawa bersama tadi dijadikan Kay sebagai alat untuk mempertahankan diri.
Melihat kelesuan yang mula menguasai penyerang pertama yang berkulit agak gelap itu, penyerang kedua pun mengambil alih selepas mendapat isyarat daripada orang ketiga yang cuma menjadi pemerhati.

Ketika penyerang kedua baru hendak memulakan serangan, Kay dengan pantas membaling topi keledar tepat pada badan si penyerang sebelum mengenggam kedua-dua belah tangan dengan sekuat hati lalu menumbuk bertubi-tubi pada muka penyerang tersebut. Pergerakan lawan kedua itu dengan mudah dapat dipintas oleh Kay dan akhirnya terkulai layu, rebah jatuh ke bumi. Samseng konon! Nah! Rasakan kau!
Tatkala melihat rakannya jatuh menyembah bumi, penyerang pertama yang sudah kehilangan tenaga itu bangkit cuba menyerang melulu Kay yang ternyata lebih bersedia. Tumbukan lawan ditepis serentak dengan serangan pada perut menyebabkan si penyerang mengaduh kesakitan. Dia yang tidak mahu mengalah bangun semula cuba mengintai sasaran yang lebih tepat. Malangnya, bukaan kaki pihak lawan yang luas dengan mudah memberi peluang kepada Kay untuk menyepak dan menjatuhkannya semula.
Sudah lama dia buka langkah seribu kalau benar ilmu di dadanya itu kosong. Inilah masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Ternyata penyerang-penyerang itu tersilap menilai kemampuan dirinya. Kay melepaskan nafas sedas sambil menggelengkan kepala. Nampaknya cik puan Azryn Zafira itu amat berharga sehingga ada orang sanggup mengupah kaki pukul agar dia menjauhkan diri daripada gadis tersebut. Huh!
Malang tidak berbau! Tanpa tidak disangka-sangka orang ketiga yang sejak dari awal cuma jadi pemerhati tiba-tiba menerpa Kay sambil menghunus sebilah pisau lalu menikam Kay di bahagian perut.
“Apa yang kau buat ini?” Agak terkejut penyerang kedua itu bila melihat perbuatan si pemerhati ke atas Kay.
“Tuan Izuddin tak mengupah kita untuk membunuh …” Penyerang pertama pula bersuara cemas melihat Kay yang sedang memegang perutnya yang sedang berlumuran darah.
“Senyaplah kau berdua! Mari kita pergi sebelum orang datang,” balas si pemerhati sebelum menarik semula pisau yang melekat pada perut Kay dan bersedia untuk melarikan diri.
Kay memegang perutnya sambil mengerang kesakitan sebelum akhirnya jatuh rebah  dengan badan yang berlumuran darah.
“Hoi! Apa yang korang buat tu hah?” Tiba-tiba ada suara yang datang menyergah. Kelihatan sekumpulan lelaki yang muncul entah dari arah mana sedang menuju ke kawasan meletakkan kenderaan tersebut.
“Cepat! Cepat lari, ada orang datang!” Kelam kabut penyerang-penyerang tersebut melarikan diri meninggalkan Kay yang sudah tersadai lemah dan tidak mampu bergerak.
“Ada orang cedera!” Dua tiga daripada mereka yang datang segera bergegas menghampiri Kay, cuba membantunya.
“Cepat telefon ambulan,” gesa lelaki yang terlebih dahulu tiba di tempat Kay sebelum salah seorang daripada rakannya mengeluarkan telefon bimbit dan mendail pihak ambulan.
Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi siren menandakan ketibaan ambulan di tempat kejadian lalu bergegas membawa Kay pergi untuk mendapatkan rawatan kecemasan di salah sebuah hospital berhampiran.   

****

“Maafkan saya Kay. Saya tidak sangka yang mereka sanggup melakukan semua ini.” Suara Azryn Zafira kedengaran sayu. Apatah lagi melihat keadaan Kay yang lemah dengan bahagian perutnya dibaluti kain kasa serta terdapat beberapa kesan lebam pada lengan dan tubuh badan akibat daripada tindakan mempertahankan diri.   
Azryn Zafira tidak dapat menyangkal yang Tengku Izuddin sebenarnya ada kaitan dengan serangan itu apatah lagi bila Kay memberitahu yang dia telah diberi amaran untuk menjauhkan diri daripadanya. Siapa lagi yang sanggup melakukan perkara di luar batasan seperti itu dan yang bermain di kotak fikiran cuma sebaris nama itu.
Azryn Zafira merasa sungguh-sungguh kesal dengan kejadian yang menimpa Kay. Semua ini berpunca daripada dirinya. Bertambah-tambah rasa bersalah dia terhadap Kay kerana terpaksa menanggung kesakitan yang sepatutnya tidak berlaku kalau dia tidak melibatkan Kay. Dia tidak akan mampu memaafkan dirinya seandainya Kay tidak terselamat dalam serangan tersebut.
“Saya betul-betul minta maaf, Kay.” Setitis airmatanya tumpah. Kalau boleh dia tidak mahu menyakiti sesiapapun.
Kay sedikit tersentak melihat Azryn Zafira yang tidak semena-mena mengalirkan airmata. Seumur hidupnya, tidak pernah ada sesiapapun yang menitiskan airmata untuk dirinya melainkan mak dia seorang sahaja. 
“Tak apa! Tak apa! Bukannya sakit sangat pun.” Sekadar menyedapkan hati Azryn Zafira walhal untuk bergerak sedikit pun rasa tidak mampu. Risau dia menyaksikan wajah sedih yang terpancar pada Azryn Zafira. Tidak pula dia menyangka Azryn Zafira yang kelihatan tegas itu punya hati yang sensitif. Terkelu lidahnya. Hendak memujuk dia tidak tahu bagaimana. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
Fesol yang memerhatikan mereka berdua sejak dari tadi, cuma mampu berdiam diri tak faham apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku. Bila pula member aku ni couple dengan minah cun ni?
Ketika dia mengangkat telefon bimbit milik Kay yang tidak berhenti-henti berbunyi sejak pagi, suara Azryn Zafira yang menyapa pendengaran. 
“Kay? Kenapa tak jawab telefon saya?” Cemas sahaja bunyinya.
“Aa…err…saya bukan Kay.”
Azryn Zafira tersentak.
“Ini bukan handphone Kay ke?” Dia bertanya cuba mendapatkan kepastian.
“Betul…”
“Habis tu, dia di mana?”
“Dia di hospital.”
Hospital? Kemalangan atau melawat orang sakit? Berdebar-debar hatinya. Kalau sekadar melawat orang sakit tak mungkinlah telefon bimbit tersebut berada dalam tangan orang lain. “Hah? Kenapa?”
“Dia cedera.”
“Cedera?” Bertambah-tambah cemas suara Azryn Zafira jadinya. Akhirnya, dia tiba di hospital setelah mendapat maklumat selanjutnya daripada Fesol.
Ketika Azryn Zafira tiba tadi, Kay sudah pun bangun dari tidur. Nasib baiklah luka akibat tusukan pisau itu tidak terlalu dalam atau terkena pada mana-mana organ penting Kay. Kalau tidak mahu jadi arwah dia malam itu.

Memandangkan Kay sedang terlantar di hospital, Azryn Zafira faham sekiranya Kay ingin menarik diri daripada meneruskan rancangan yang ditawarkan olehnya. Siapa yang mahu melibatkan diri kalau sudah menerima ugutan sebegitu rupa? Walaupun ratusan ribu menjadi habuan, tidak berbaloi untuk menggadai nyawa yang tiada galang-gantinya.
“Cik Zafira tak perlu susah hati, saya bersetuju untuk meneruskan rancangan yang berikutnya.”
“Hah?” Terkejut Azryn Zafira mendengarnya. Benarkah begitu? Dia tak serik? Liur diteguk. Wajah Kay ditatap memohon kepastian.
Kay yang sedang bersandar pada kepala katil membalas pandangan itu. Kening dijongketkan.
Are you sure?” ulang Azryn Zafira ragu-ragu dan Kay mengangguk seraya tersenyum.
Rancangan? Rancangan apa? Fesol yang menjadi pemerhati tertanya-tanya. Dia jadi makin tak faham dan keliru. Kay cuma memberi isyarat mata kepadanya, mungkin cuba memberitahu Fesol yang dia akan bercerita lanjut padanya kemudian.
Kenapa harus melepaskan sesuatu yang berharga setelah sanggup bergadai nyawa begini? Tidak, tidak mungkin aku akan menarik diri. Makin berkobar dia untuk turut serta dalam permainan anak-anak orang kaya itu. Begitu desis hati Kay ketika memberi persetujuan kepada Azryn Zafira tadi.
Perlahan dia membetulkan badan dan membaringkan diri. Bisa tusukan itu masih dirasainya tapi dia sudah berazam dan bertekad dalam hati untuk menang dalam permainan itu walau dalam apa jua cara sekalipun.
   


0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p