Ahad, 29 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 4


SENYAP sunyi keadaan wad yang menempatkan empat buah katil pesakit itu. Dua tiga hari yang lepas masih penuh lagi. Semalam dua orang daripada mereka sudah pun dibenarkan balik.
“Bagaimana dengan keadaan luka saya, doktor?” Begitu tanya Kay pada Doktor Marissa ketika beliau sedang melakukan pemeriksaan dari wad ke wad pagi itu.
Kay memerhatikan saja kelakuan Doktor Marissa yang kelihatan masih muda pada pandangannya. Muda-muda lagi sudah jadi doktor, fikirnya. Doktor yang memakai kot putih dengan dress hitam berpotongan V rendah di dalamnya itu nampak seksi di matanya. Kalau macam inilah wajah dan gaya doktor yang merawat selalu, mau para pesakit menolak untuk dihantar pulang tak pun datang berulang-kali sebab sakitnya tak kebah-kebah. Kay tersenyum sendiri memikirkannya.
“Sudah beransur pulih. You are recovering very fast.” Doktor Marissa mengambil giliran untuk bertugas pada pagi itu menggantikan Doktor Ilham. Dia menjawab soalan Kay sambil meneliti kad pesakit yang diberi oleh seorang jururawat pengiring.
“Jadi, hari ini saya boleh balik doktor?” Kay kelihatan agak gembira mendengarnya.
Sudah beberapa hari dia terlantar di situ. Dia sudah jemu dengan makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Asyik menu yang sama dan tidak ada rasa. Tawar. 
“Ya, saya rasa tidak ada masalah. Sebentar lagi, saya akan minta nurse untuk cuci luka dan ganti balutan awak. Preskripsi ubat yang diperlukan akan saya maklumkan kepadanya. Awak boleh ambil di kaunter masa discharge petang nanti.”


“Terima kasih doktor.” 
“Terlupa saya.” Tiba-tiba Doktor Marissa yang baru hendak melangkah pergi menoleh dan kembali memandang wajah Kay.
“Saya akan berikan awak salinan perubatan untuk report polis. Nanti, saya minta nurse berikannya sekali kepada awak.” Dia mengangkat kedua-dua kening di sebalik cermin matanya.
“Err…” Kay sendiri terlupa akan perkara itu.
“Awak akan buat laporan polis bukan?” Soalnya semula bila Kay kelihatan teragak-agak.
“Nampaknya begitulah, doktor.”
Setelah Doktor Marissa berlalu pergi, jururawat yang memakai tanda nama Raeleen itu membawanya ke dressing room seperti yang diarahkan.
Terseringai Kay menahan kesakitan ketika lukanya dicuci. Sebentar kemudian dia keluar dengan pembalut yang baru. Setelah selesai, dia kembali semula ke wad di mana dia ditempatkan tadi.  
Lama dia baring merehatkan diri, memikirkan kembali babak-babak serangan yang mengakibatkan dirnya terlantar untuk beberapa hari di sini. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dia mengangkatnya, bimbang bunyi deringan tersebut mengganggu ketenteraman pesakit yang lain.
“Assalamualaikum?” lunak suara di seberang talian.
“Waalaikumusalam.”
“Macam mana, sihat hari ni?”
“Alhamdulillah.”
“Bila boleh keluar?”
Ketika soalan itu ditujukan barulah dia teringat untuk menelefon Fesol. “Petang nanti.”
“Oh?” Agak terkejut si pemanggil mendengarkan berita itu.
“Tapi, saya kat Penang. Macam mana saya hendak jemput awak?” Azryn Zafira bersuara sedikit bimbang.
“Tak perlu menyusahkan diri cik Zafira. Tidak mengapa, saya akan minta kawan saya untuk datang menjemput saya.”
“Rasa bersalah pula.”
“Tak apa. It’s okey.”
“Maafkan saya, ek? Bila saya balik dari Penang, saya akan cari awak.”
“Okey.” Kay menjawab sambil tersenyum.
“Jaga diri.” Klik! Talian dimatikan.
Seketika kemudian Kay menekan nombor Fesol.
“Fesol?”
“Ya?”
“Kau boleh tolong ambil aku hari ini? Aku dah boleh balik.”
“Okey. Lepas habis kerja nanti aku datang.”

***
Fesol tiba ketika masa melawat sudah hampir tamat. Nasib baiklah pihak hospital membenarkan dia masuk ke dalam wad memandangkan dia yang akan membawa Kay pulang.  
“Apasal kau lambat?”
“Biasalah, traffic.”
Kay sekadar mengangguk.
“Engkau boleh naik motor ke?” tanya Fesol pula.
“Boleh. Tak ada masalah.”
Ketika sampai di kawasan meletakkan kenderaan, Fesol membuka mangga yang dikuncikan pada rantai motor.
“Kau nak makan dulu atau nak straight balik rumah?” Dia menyerahkan sepasang topi keledar kepada Kay.
“Aku tak kisah, singgah mana-mana gerai tepi jalan pun boleh. Aku dah lama juga tak pekena teh tarik Che Din.”
“Okey, cantik!” Terus sahaja Fesol bersetuju.

Ketika tiba di persimpangan kawasan perumahan Jalan Cemara, Fesol memberhentikan motorsikalnya lalu diletakkan di bahu jalan berhadapan dengan sebuah bank. Terdapat beberapa deret rumah kedai di kawasan tersebut. 
Manakala di bahu jalan utama pula, dipenuhi dengan beberapa buah gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Macam-macam ada dari roti canai, nasi campur hinggalah makanan yang digoreng, rebus dan sebagainya. Lebih menarik apabila tiba bulan puasa kerana terdapat gerai yang dibuka sehingga waktu sahur sebelum ditutup semula bagi menghormati bulan Ramadan.
“Minum dik?” tanya seorang wanita separuh baya sebaik sahaja mereka berdua melabuhkan punggung pada bangku yang disediakan di salah gerai yang deretannya agak panjang hingga ke penghujung jalan.

“Teh tarik dua, kaw punya.”
“Makan?”
“Nanti sekejap baru kami order, kak ye?” 
 Segera wanita itu berlalu sebelum kembali semula sambil menatang dulang yang berisikan minuman yang dipesan tadi.
“Mana awek engkau tu?”
“Awek mana?”
“Awek mana lagi. Awek yang datang hari-hari kat hospital melawat engkau itulah.”
“Itu bukan awek akulah.”
“Habis tu?”
“Hari ini dia tak ada, dia ke Pulau Pinang.” Malas Kay hendak bersoal jawab dengan Fesol.
“Mana kau cekau awek tu?”
“Bukan aku yang cekau dia, dia yang cekau aku.”
Gelak sakan Fesol mendengarnya.
“Kau dengan dia apa kes?” Fesol masih ingin mengambil tahu. Dia faham sangat akan Kay yang tidak mungkin akan berselindung lama-lama dengannya.
“Dia minta aku berlakon.”
“Dia penerbit filem ke?” Bibirnya terjuih, keningnya terjongket. Hebat kawan aku ni.
“Tak.”
“Habis tu?”
In real life, jadi teman lelaki dia.” Akhirnya persoalan yang bermain di minda Fesol terjawab.
 “Serius?”
 Kay mengangguk.
“Habis tu, kau setuju?”
 Mengangguk lagi.
“Berapa lama?”
“Enam bulan.”
“Enam bulan?”
Kay mengangkat kedua-dua keningnya, mengiyakan.
“Aku rasa lebih baik kau tarik diri.”
“Aku dah berjanji. Kau tahu aku jenis yang macam mana, kan? Aku tak suka mungkir.” Kay menghirup perlahan teh tarik yang masih panas itu.
“Kalau kau jatuh cinta dengan dia macam mana?” Fesol dengan andaiannya.
“Mustahil kut.” Kay menggelengkan kepala. Ada kemungkinankah kalau hatinya sudah jadi milik orang lain?
“Jangan kata tak mungkin. Segala-galanya tidak mustahil.”
“Kalau macam tu apa salahnya kalau kami bercinta.” Tiba-tiba ayat itu yang meluncur keluar. Fikir Kay, mungkin itu yang Fesol nak dengar.
“Kau dah jatuh cinta dengan dia ke?” Musykil Fesol jadinya.
“Tak adalah. Aku cuma kata apa salahnya.”
“Delaila Asyikin macamana pula?” Sekali lagi Fesol melontarkan soalan.
 Delaila Asyikin. Segera fikiran Kay melayang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Pertama kali dia bertemu dengan Delaila Asyikin. Sepasang mata bening yang menghias seraut wajah mulus milik gadis yang kini mungkin sudah mencecah usia 25 tahun. Sepasang mata bening yang menambat hati lelakinya.  
Still on. Aku tak pernah sekalipun melupakan dia.” Mana mungkin dia melupakan gadis yang sedang dan masih bertakhta di hatinya. Mana mungkin?


0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p