Selasa, 24 Mac 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 8



SUDAH lebih dua bulan aku dan Dayyan Waiz hidup begini. Bergilir tidur bermalam di rumah keluarga masing-masing. Rutinnya sama sahaja, setiap pagi keluar ke tempat kerja, petang habis sahaja masa bekerja bergegas balik ke rumah. Masing-masing ya. Sendiri-sendiri. Sebab masing-masing mempunyai kenderaan sendiri, makanya pergi ke tempat kerja pun sendiri-sendiri. Balik pun sendiri-sendiri.
Walhal sebenarnya laluan ke tempat kerja kami itu sama sahaja, keluar tol yang sama, masuk tol yang sama. Cuma tempat kerja sahaja yang berbeza. Tempat kerja Dayyan Waiz ke hadapan sedikit. Kiranya kalau kami bergerak serentak, aku akan sampai ke tempat kerja terlebih dahulu. Manakala tempat dia berkerja itu lima belas minit jaraknya daripada pejabat aku. Dekat sangat-sangat. Ye, aku baru tahu.
Kalau makan tengah hari, agaknya boleh terserempak di mana-mana kedai makan berhampiran. Tapi, itulah aku jenis yang jarang hendak keluar makan tengah hari. Biasanya, aku akan bungkus makanan yang dijual di gerai berdekatan, bawa balik dan makan di pejabat sahaja, sambil melihat drama-drama kegemaran aku secara dalam talian.
Terdetik juga di hati, kalau aku menumpang kereta dia ke tempat kerja, bolehlah aku berjimat duit minyak dan tol. Hurmm… Tapi itulah, kadang dia balik cepat, kadang aku yang balik cepat. Kadang tu lepas pukul sepuluh malam baru dia balik. Tak macam aku, selalu balik on time. Aku tak pernah lagi kerja lebih masa sampai kena balik malam-malam. Paling tidak pun pukul sembilan malam aku sudah selamat tiba di rumah, ke pangkuan mak ayah tercinta. Belum sampai tahap ke pangkuan ‘suami tercinta’ lagi.
Hurmmm …. macam mana ye? Aku urut dagu aku yang tidak berjanggut. Jimat banyak juga kalau aku menumpang si Dayyan tu. Patutkah aku bertanyakan hal ini kepada dia? Isk! Nanti dia fikir aku menggedik pula. Cepat-cepat aku lesapkan idea itu daripada kepala otak aku.  
Minggu ini giliran kami bermalam di rumah keluarga Dayyan Waiz. Kakak Nia dengan suaminya pun kebetulan bermalam di sini juga. Meriah rumah ini jadinya dengan kehadiran pasangan pengantin yang baru balik dari berbulan madu.
Ketika aku sampai tadi, Kak Nia sedang membantu emak mertua di dapur. Bukan main lagi aku tengok Kak Nia bersembang dengan mak si Dayyan. Elok je, tak kekok pun, bukan macam aku. Mungkin sebab Kak Nia sudah biasa menziarahi kediaman keluarga ini semasa dia menjadi tunangan Abang Naufal lagi. Dia pasti kenal dengan Siti Awasah. Nantilah aku selidik.
“Awal Kak Nia balik, Kak Nia dah nak mula bekerja ke?”
“Eh, belum lagi. Cuti Kak Nia masih banyak lagi.”
Owh! Masih dalam mood bercuti lagi rupanya. Kata Kak Nia, hujung minggu ini mereka akan ke Pulau Perhentian pula. Huh! Eloklah tu, semoga cepat mereka berdua dapat baby. Biar baby tu nanti jadi cucu pertama kepada keluarga Dayyan Waiz sebab gelaran menantu pertama, aku dah sapu.


“Unna, makanlah bubur kacang tu, sementara menunggu ibu siapkan makan malam,” pelawa emak mertua.
Belum sempat aku berkata apa, Kak Nia sudah sediakan dua mangkuk bubur kacang. Satu untuk aku, satu lagi untuk dirinya sendiri.
“Ibu tak makan ke?” tanya aku.
“Ibu dah makan dah tadi, makanlah.”
Aku menjemput diriku sendiri duduk di meja makan. Kak Nia sudah terlebih dahulu mengambil tempat.
“Unna, tak teringin ke pergi bercuti dengan Dayyan?”
Terkedu aku bila tiba-tiba nama aku dipetik. Nasib baik tak tersembur keluar bubur kacang yang sudah masuk ke dalam mulut aku. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Mana pula si Dayyan Waiz tu, kalau boleh biarlah dia yang menjawab. Tak reti aku nak bagi jawapan.
Kalau diikutkan memang aku suka sahaja kalau hendak bercuti. Tapi, tak pernahlah pula terfikir hendak bercuti bersama-sama dengan Dayyan Waiz. Haish, hidup dengan dia pun masih lagi dalam keadaan kucar-kacir, inikan pula hendak keluar bercuti bersama-sama.
“Tunggu Dayyan cuti lah tu,” sampuk Kak Nia.
“Haah.” Aku mengangguk mengiyakan sahaja kata-kata Kak Nia.
“Yelah, eloklah pergi berbulan madu, mana tahu ibu boleh dapat cucu-cucu baru serentak.” Mak si Dayyan sudah tersenyum lebar. Sedang membayangkan kemeriahan dikelilingi cucu-cucu agaknya.
Erk! Aku teguk air liur mendengar. Kelat. Kak Nia cuma tergelak-gelak sambil terus menjamah bubur kacang yang masih penuh di dalam mangkuk. Isk! Suka pula kakak aku tu. Sakit hati aku memandang.
Mak Mertua kembali ke meja selepas menyiang ayam mentah. Dibawa bersama beberapa ulas bawang merah dan bawang putih. Pisau kecil dan papan pemotong bawang memang telah berada di atas meja.


“Ibu, biar Unna tolong ibu potong bawang.” Sengaja aku menukar topik, tidak mahu mereka terus bercerita tentang hal bulan madu itu.
“Tak mengapa Unna, sikit je ni. Unna habiskanlah bubur tu dulu.”
Cepat-cepat aku menyuap bubur masuk ke dalam mulut. Namun, belum sempat aku menghabiskan bubur, bawang sudah habis dikupas kulitnya, malah sudah siap dihiris. Laju betul tangan Mak Mertua aku bekerja.
“Ibu nak masak apa tu?”
“Gulai ayam je.”
“Biar Unna tolong.” Aku tawarkan diri. Bubur yang aku makan sudah hampir nak habis.
“Tak apalah Unna, senang je ni, dah nak siap dah ni.”
“Nia, bila nak ke Pulau Perhentian tu?” tanya Mak Mertua lalu bangun menuju kabinet dapur. Hendak mengambil rempah-rempah untuk memasak agaknya,
“Hujung minggu ni ibu.”
“Unna tak nak ikut sekali ke? Boleh pergi dengan Dayyan,” cadang Mak Mertua.
Erkk! Aku meneguk air liur. Pusing-pusing balik semula kepada hal cuti-cuti tadi. Cepat-cepat aku menyuap bubur yang masih bersisa. Selagi aku berada di sini, selagi itulah perkara itu akan terus jadi bahan bualan.
“Unna naik dululah, nak mandi,” bagitahu aku sebelum bangun mengangkat mangkuk bubur kacang yang sudah kosong ke sinki berdekatan.
“Dah sudah ke tu Unna?” tanya Mak Mertua yang sedang menghidupkan api dapur.
“Haah.”
“Makanlah lebih sedikit, jangan kurus sangat macam kakak kamu ni.”
“Unna dah kenyang dah ibu, badan melekit-lekit ni. Kalau lepas mandi Unna lapar lagi, Unna turun sambung makan ye.”  
Baik aku cepat-cepat melarikan diri sebelum diasak dengan macam-macam pertanyaan. Biarlah Kak Nia seorang layan bersembang, lagipun Kak Nia ‘kan hendak pergi bercuti lagi selepas ni. Jadi, layan mak Dayyan lama sikit tak apa, tak adalah orang tua tu rasa rindu sangat nanti.



AKU terjaga bila bahu aku digoyang beberapa kali. Terpisat-pisat aku. Mata yang separuh terbuka, aku gosok-gosok perlahan. Ada wajah yang datang mendekat. Siapakah gerangan yang mengganggu lena aku? Kacak pula orangnya. Kelopak mata yang masih terasa berat aku paksa buka. Lama aku tenung wajah tersebut. Cehh! Dayyan Waiz, rupanya. Kenapa segak sangat?
“Ibu ajak makan,” beritahu dia bila melihat aku sudah betul-betul terjaga.
Spontan mata aku beralih melihat jam dinding. Sudah mencecah pukul 9.00 malam rupanya. Awal pula dia balik hari ini. Malah baju dia pun sudah bertukar daripada baju kerja kepada baju santai. Dah siap mandilah agaknya, semasa aku terlelap tadi.
“Dah solat ke?”


Aku angguk lalu bangun menegakkan badan. Aku engsotkan tubuh supaya rapat ke kepala katil. Sejenak kemudian aku berkalih duduk di birai katil sambil menjuntaikan kaki.
“Jangan tidur masa Maghrib. Tak elok,” pesan dia.
Aku angguk lagi. Mesti dia tegur kerana ketika ini aku masih lagi lengkap bertelekung. Aku terlelap usai solat Maghrib tadi. Ingatkan nak tunggu sampai azan Isyak. Sudah aku tahan-tahan kelopak mata yang semakin memberat tapi gagal. Aku terlelap juga. Degil mata ni.
“Unna dah makan tadi,” bagitahu aku. Seganlah pula nak turun lagi sekali.
“Ibu kata Unna makan sikit sangat.”
“Unna dah kenyang.” Aku memang makan sedikit sahaja tadi. Rasa lapar tu masih ada lagi tapi sekarang dah kenyang. Kenyang melihat Dayyan Waiz.
“Temankan Dayyan makan. Dayyan seorang je tak makan lagi.”
Eh! Dah pandai ajak orang temankan dia. Perkembangan baru ni. Wajah Dayyan Waiz yang kelihatan segar selepas mandi itu aku tenung lagi. Tiba-tiba rasa seperti sedang melihat sebuah pemandangan yang indah. Bak flora dan fauna, serta hijau-hijauan yang menyegarkan mata. Badan aku berkalih sedikit tapi pandangan mata aku masih kekal di situ, melekat pada wajah Encik Suami.
Dayyan Waiz angkat kening. Aku angkat kening sama, membalas.
“Mata tu kenapa?”
Aku buat blur dengan soalan dia. Sengaja aku kebil-kebilkan mata kononnya tak faham. Dia merengus tak puas hati. Bukankah aku dah kata mata aku ni degil. Sejenak kemudian, dia beredar ke pintu bilik, aku cuma gelak-gelak dalam hati. Seganlah tu bila ditenung sedemikian rupa. Pemalu juga rupanya suami aku ni.
“Cepatlah,” ujarnya menoleh sambil memulas tombol pintu.
Okay… okay… dah siaplah ni. Cepat-cepat aku tanggalkan telekung lalu membuntuti langkahnya.
“Tak nak basuh muka dulu ke?”
Tak nak, mana tahu aku sedang bermimpi sekarang ni. Aku bimbang, kalau aku membasuh muka nanti, aku terus terjaga dari tidur. Aku tak mahu kehilangan rasa indah-indah yang sedang bergayut di ruang mata dan minda ketika ini. Biarlah perasaan itu terus mengulit diri buat sementara waktu.
“Tak nak?” soal Dayyan bila aku buat tak tahu sahaja.
Dia melepaskan keluhan kecil sambil menggelengkan kepala. Pelik agaknya melihat aku yang masih mamai. Bertambah pelik bila aku melakar senyum manis tahap diabetes. Nak tergelak aku melihat reaksi dia.   
Ketika kami turun ke dapur, Kak Nia dengan Abang Naufal tidak kelihatan di meja makan. Menurut Mak Mertua, mereka sudah menjamu selera terlebih dahulu dan sudah pun keluar rumah. Rupanya mereka sudah ada rancangan lain, ke panggung wayang melayan filem terbaru yang sedang ditayangkan.
Aku melirik Dayyan Waiz. Hurm… Kalau aku ajak dia ke panggung wayang, dia nak tak? Aku teringin juga sebenarnya tapi tak ada yang sudi mengajak. Semua filem yang aku teringin nak tonton, aku muat turun dan simpan dalam hard disk.
Orang lain kalau tak puas menonton sekali, kena membeli tiket lagi, tapi aku boleh menonton berkali-kali. Itulah kelebihan. Nak sound system yang kebabom berdentum tu? Tak payah. Beli je headphone yang bombastik tu, layanlah sorang-sorang.


“Ayah mana, ibu?” tanya Dayyan Waiz.
“Ayah masih lagi di surau. Kejap lagi dia baliklah tu.”
Ketika kami sedang leka menjamah makan malam, tiba-tiba Mak Mertua membuka bicara.
“Unna dengan Dayyan, tak ada perancangan nak duduk rumah sendiri?”
Tadi cuti-cuti honeymoon, sekarang beralih fasal duduk rumah sendiri pula. Aku pandang Dayyan Waiz. Encik Suami mendiamkan diri sahaja. Mak Mertua pula pandang aku.
Aku berdehem, sengaja memberi isyarat kepada Dayyan Waiz supaya dia bersuara bagi pihak kami berdua. Tapi dia buat-buat tak fahamlah pula. Memang aku yang nak kena jawab ke? Hurm …
“Unna ikut kata Dayyan, kalau dia nak duduk rumah sendiri, Unna tak ada masalah,” kataku menyelamatkan diri. Mahu tak mahu si Dayyan tu kenalah menjawab bila ditanya.
“Alhamdulillah, kalau begitu. Ibu sudah dapatkan rumah sewa. Selang tiga buah rumah ni, ada rumah kosong. Owner kata, nak repair rumah tu sikit. Lagi sebulan dua bolehlah duduk.”
Aku teguk air liur. Ayat selamat yang aku fikir boleh menyelamatkan aku itu rupanya tidak selamat. Aku kerling Dayyan Waiz sambil menggigit bibir. Kemudian, aku tarik nafas dalam-dalam.  
“Ibu dah tanya Dayyan dia kata tanya Unna. Kalau dua-dua dah begitu, saling menolak, biar ibu sahajalah yang putuskan.” Mak Mertua bersuara.
Erghh. Aku teguk air liur. Rupanya Mak Mertua perasan akan tingkah laku aku sebentar tadi. Aku kerling lagi Dayyan Waiz, dia masih begitu. Enak-enak menyuap makanan. Isk! Sakit hati aku. Hilang terus rasa indah-indah tadi.

Take care, stay safe
Love xoxo



0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p