Selasa, 10 Mac 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 5



DUA MINGGU selepas majlis resepsi, Kak Nia muncul di hadapan rumah dengan tunangannya. Bermakna sebulan jugalah Abang Naufal berusaha memujuk Kak Nia supaya kembali ke rumah. Lama gila, sampai aku ingat kakak dah lupa kami sekeluarga.
Aku geram betul tengok kakak. Kemain lagi dia, selamba macam tak ada apa yang berlaku. Dia ingat kitorang tengah main kahwin pondok-pondok ke apa? Kalau aku jadi emak, aku dah lempang Kak Nia sampai tersungkur ke lantai.
Tapi, aku tengok emak macam tak marah pun bila Kak Nia balik. Tak tahulah kalau emak sembunyikan kemarahan itu sebab Abang Naufal ada sekali dengan kakak. Sabar betul emak ye. Hurm …     
“Tahniah Unna,” ucap kakak sambil peluk aku.
Eh! Suka-suka dia balik lepas tu ucap tahniah bagai. Aku buat muka cemberut. Cepat-cepat aku leraikan pelukan kakak. Tahniah apa bendanya. Kemudian aku melarikan diri ke bilik. Malas aku nak layan. Berbuku lagi hati aku ni.   
Kata emak, kakak membawa diri sebab Abang Naufal tidak prihatin dengan emosi kakak. Bakal abang ipar aku sibuklah mengejar hingga ke Langkawi sebab hendak memujuk tunang tersayang. Lama juga makan masa, sebulan. Tak faham aku, merajuk sebab hal yang sedikit sahaja kot.  
Tidaklah aku tahu sejauh mana kebenarannya. Setahu aku, kakak tu memanglah perangai dia begitu. Sikit-sikit emo, sikit-sikit emo. Tapi, dah tahu dah bakal menjadi isteri orang, kurang-kurangkanlah sikap yang sebegitu.    
Di mata aku, Abang Naufal sangat-sangatlah prihatin orangnya. Walaupun aku tak kenal sangat tapi, aku perasan setiap hari Kak Nia akan menerima panggilan dan mesej daripada Abang Naufal.
Aku perhati sahaja gelagat Kak Nia yang sengih dan ceria lain macam bila menerima panggilan dan mesej tersebut. Hendak perhatian macam mana lagi agaknya?  
Heh. Tapi, kalau merajuk tu, tak perlulah lari sampai ke Langkawi, bagaimana kalau terus lari hingga ke bulan? Susah sikit nak jejak. Setakat Langkawi, baik berkhemah depan rumah sahaja macam kisah Nopal anaknya si Bahenol tu.
Tahu merajuk dia je, sekarang biar aku pula yang merajuk. Aku nak merajuk dengan seisi rumah. Tunggulah esok-esok, bila aku merajuk aku pun nak lari juga. Lari sampai penat. Lari sampai letih. Huh! Badan kuhempas ke atas tilam sambil menghembus nafas berat.


Pintu bilik diketuk beberapa kali, aku biarkan sahaja.
“Unna, kakak ni.”
Aku pekakkan telinga.
“Kakak masuk ye.”
Sebaik sahaja daun pintu dikuakkan, aku palingkan badan membelakangkan kakak yang baru masuk ke dalam bilik. Tak ada mood nak layan kakak. Berasap-asap hati aku mengenangkan status diri yang sudah bertukar menjadi isteri orang.
“Unna marahkan kakak?” Kakak melabuhkan punggung ke atas tilam. Duduk di samping aku.
“Taklah, Unna marahkan langit dan bumi.”  
Memanglah aku marah dan terasa hati. Bukan dengan kakak sahaja, malah dengan semua orang yang terlibat. Termasuklah Dayyan Waiz walaupun situasi dia mungkin sama seperti aku.
Hurm … Aku sendiri tak pasti sebab lelaki itu belum menjelaskan sepenuhnya kepada aku tentang situasi dirinya yang sebenar. Tapi anggap sahajalah situasi dia sama seperti aku.
“ Kakak minta maaf, kakak tahu ni semua salah kakak.”
Aku julingkan mata ke langit. Minta maaf seribu kalipun takkan boleh mengembalikan status bujang aku. Walaupun selepas ini ditakdirkan aku berpisah dengan Dayyan Waiz, status tersebut akan bertukar menjadi janda bukan kembali menjadi bujang. Mahal tau status bujang tu. Bagi akulah, yang belum puas menikmati zaman bujang.
“Maafkanlah kakak,” ucap kakak sambil buat muka sepuluh sen.
Kakak memang suka buat macam tu, lepas buat salah tahu je buat muka innocent. Buat semua orang tak sampai hati nak marah. Tapi, perkara ini agak besar bagi aku, bukan kecil-kecil anak dan bukan semudah itu untuk aku melupakan dan memaafkan. Kening aku bertaut.   
“Sebenarnya Unna, suami Unna tu baik sangat, akak bersyukur sangat Unna berkahwin dengan dia.”
“Kalau begitu, kenapa akak tak kahwin je dengan dia?” tempelak aku. Aku yang sedang mengiring, mengubah posisi ke menelentang memandang siling.
“Sebab akak ada Naufal. Tapi, serius akak cakap, Dayyan Waiz memang sesuai dengan Unna. Dia memang baik, sangat-sangat baik orangnya.” Tangan Kak Nia sudah menyentuh bahu aku.
Eh! Baiklah sangat, seminggu kitorang nikah seminggu itulah dia tak bercakap dengan aku. Ini dah nak masuk sebulan dah kitorang menikah, masih seperti dua orang asing yang duduk sebilik. Bibir aku mencebik.
Ye, adalah dia bersuara dan berbual dengan aku, sedikit. Bukan tak ada langsung. Tapi, seingat aku tak pernah melebihi dua ayat. Tak sesuai dikatakan berbual atau berborak bila ayat dia setakat …
Nak guna bilik air?
Nak solat ke tu?
Dah makan ke belum?
Nak tidur dah ke?
Semua dengan nada mendatar tanpa perasan. Dan yang paling azab, belum sempat aku menjawab, dia sudah berlalu pergi. Aku pun tak faham pe’el dia, dia bertanya sebagai syarat ke apa? Nasib baiklah, masih duduk menumpang di rumah mak ayah. Kalau duduk serumah, berdua sahaja dengan dia?
Krik… Krik… Krik… Umpama duduk bertemankan halimunan. Tak lalu aku. Mati kutu. Rasa seperti pasangan suami isteri yang sedang berperang dingin pun ada. Eh, aku ‘kan memang isteri dia dan dia itu suami aku. Tapi, kenapa perasaan itu tak seperti pasangan suami isteri yang normal? Urgh, memang kami bukan pasangan normal pun ‘kan? Bolehkah aku menganggap begitu?
“Unna maafkan kakak tau.”
Aku diam lagi. Benda dah jadi. Hidup mesti diteruskan tapi hati ini masih berbekas. Lambat lagilah nak pulih. Aku belum move on lagi daripada insiden tersebut dan juga kehilangan Atif Lutfi.
“Kakak tahu Unna tentu sukar mahu menerima … tapi percayalah, perancangan Allah itu adalah yang sebaiknya. Bersangka-baiklah, Insya Allah semuanya akan berjalan baik dengan izinNya. ”
Urgh! Aku kerdipkan mata. Hati dan jiwa ini masih terasa perit. Kakak senang-senanglah cakap seperti itu, bukan dia yang dipaksa berkahwin dengan orang yang baru jumpa sekali. Kenalpun tidak. Nama penuh pun tahu sehari sebelum akad nikah.
“Kakak dengan Naufal akan menikah minggu depan. Doakan majlis kakak berjalan lancar.”
Alhamdulillah, ucapku dalam hati. Tak sampai hati hendak menempelak kakak. Aku doakan tiada insiden merajuk dan melarikan diri, sudah tidak ada orang hendak menggantikan tempat mereka. Takkanlah ayah pula yang kena mengambil tempat kakak jika hal yang sama berlaku sekali lagi? Cari nahas tu namanya.
Kalau terjadi juga, aku pasti bukan aku seorang sahaja yang akan ketuk kepala kakak, emak dan yang lain akan turut sama berjemaah membeduk kakak. Lagipun, tak mungkin ayah hendak akad nikah sekali lagi dengan emak bila emak masih lagi menjadi isteri yang sah kepada ayah?  Haa … nanti ayah pula yang dibeduk oleh emak.  



0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p