AKU baru hendak ke pantry bila telefon bimbit milik aku berdering tidak berhenti. Belum sempat aku hendak menekan butang hijau, deringan berhenti tiba-tiba. Aku perhatikan nombor yang tertera pada senarai panggilan tidak berjawab. Nombor emak.
Belum sempat aku menekan butang dail semula, telefon di atas meja pula berdering. Oleh kerana telefon tersebut mempunyai skrin pengimbas nombor, aku boleh lihat nombor telefon emak tertera padanya. Segera aku mengangkat gagang.
“Kenapa mak?” Aku bertanya terus tanpa mukadimah.
“Unna pergi mana, banyak kali mak call, tak berangkat?” Cemas sahaja suara emak aku, ada apa hal agaknya.
Tak pernah-pernah lagi emak menghubungi aku seawal ini. Kalau adapun, bila aku balik agak lewat daripada kebiasaan. Tapi, kali ini lagi sejam sebelum tamat waktu bekerja, emak sudah menghubungi aku. Tentu ada sesuatu sedang berlaku.
“Unna kena balik cepat, ada hal penting. Kalau boleh, Unna balik sekarang juga.”
“Ada apa Mak?” Aku ikut jadi cemas. Macam-macam perkara buruk terlintas di fikiran aku. Rumah dimasuki perompak ke? Ayah jatuh sakit ke? Abang aku yang jauh nun di luar negara menghadapi masalah ke? Atau Kak Nia?
“Kakak Nia lari. Lari dari rumah.”
Hah? Biar betul. Sehari sebelum, aku tengok ada je kakak di rumah. Elok je. Tak tahulah kalau kelmarin dia ada, tapi semalam dia menghilang? Kebetulan semalam aku lewat sampai ke rumah, jadi tak perasan. Yelah, mana nak perasan. Seminggu ni rumah aku penuh dengan barang-barang untuk majlis perkahwinan.
Memang tidak pernah terlintas di fikiran aku yang kakak akan buat perkara seperti lari dari rumah. Lagipun, aku perhatikan kakak aku semenjak dua menjak ni agak teruja menyiapkan urusan majlis perkahwinan dia. Cuma dalam seminggu ni, Kak Nia memang sibuk sangat sampai hendak menegur akupun tak sempat.
Selang sehari ada sahaja orang datang bertandang. Di setiap sudut rumah ada sahaja benda yang berlonggok dan dilonggokkan. Bunga telur, bunga manggar, kain lace, kain backdrop, goodies bagai. Balang-balang kerepek, bekas-bekas hantaran dan macam-macam lagi, malas aku hendak senaraikan.
“Bila? Bila Kak Nia lari?” Berkerut-kerut dahi aku.
“Semalam. Emak pun tak pasti, tapi pagi ni mak nak kejutkan dia sebab Naufal cari. Bila mak ketuk bilik, mak masuk, mak tengok bilik berselerak, lepas itu Kak Nia tak ada dalam bilik.” Kelam kabut emak menceritakan keadaan itu semula.
Buat hal betullah kakak aku ni! Malam esok kot malam akad nikah. Minggu depan majlis resepsi. Dah kenapa dengan kakak? Apa yang difikirkan sampai begitu sekali kesudahannya?
“Dah cuba call kakak?”
“Dah.”
“Habis tu?”
“Nia tak angkat pun.”
“Tunang kakak dah tahu?”
“Dah.”
“Habis tu?”
“Naufal kata, dia dah dapat tahu Kak Nia di mana, Kakak Nia sekarang berada di Langkawi. Naufal pula baru sahaja menempah tiket penerbangan ke sana, dia akan cuba memujuk Kak Nia,” terang emak kepada aku.
Maksudnya, Kak Nia tak hilang ke mana. Jalan penyelesaian pun sudah ada. Aduhai. Merajuk kenapa Kak Nia sampai lari ke Langkawi? Mengada betul! Umur sudah menjejak 30-an pun nak merajuk bagai.
Bakal menjadi isteri orang dalam sehari dua pun masih lagi berperangai sedemekian rupa. Makin kuat merajuk lagi ada. Kak Nia, Kak Nia. Tapi, syukurlah kalau Abang Naufal dah tahu Kak Nia di mana.
“Alhamdulillah. Okaylah tu mak, kalau abang Naufal dah tahu Kak Nia kat mana. Kak Nia merajuk sekejap je tu.”
Itu merajuk yang minta dipujuk namanya. Mengada-ngada merajuk. Kalau tidak macam mana Abang Naufal boleh tahu Kak Nia berada di Langkawi. Mahal betul harga merajuk Kak Nia. Pandai-pandailah Abang Naufal menjaga hati Kak Nia bila mereka sudah bergelar suami-isteri kelak.
Sebenarnya, aku tak pernah lagi bersua muka dengan tunang kakak. Tahu nama dia Dayyan Naufal sahaja, itupun sebab terbaca kad walimah yang ditempah untuk majlis tersebut. Sudah beberapa kali dia datang bertandang ke rumah tapi biasanya waktu-waktu itu aku tidak berada di rumah.
Semasa Kak Nia dan Abang Naufal bertunang tahun lepas pun aku tidak berada di Malaysia. Bercuti sakan dengan rakan-rakan sekepala di Bali. Akupun tidak tahu menahu tentang pertunangan tersebut secara terperinci. Aku cuma tahu Kak Nia hendak bertunang tapi tidak dikhabarkan butir-butirnya dengan jelas.
Bukan mengelak dan memang bukan salah akupun, dah mereka memilih tarikh tanpa berbincang dengan aku. Sepakat sesama mereka sahaja. Lagipun, aku sudah lama merancang percutian tersebut dengan kawan-kawan. Tak apalah, aku tak kisah pun. Asalkan mereka bahagia, lagipun yang hendak hidup bersama itu mereka bukan aku. Lainlah kalau aku yang hendak bertunang atau bernikah, aku memang paksa adik-beradik aku datang ke majlis aku.
“Tapi Unna kena balik sekarang juga.”
“Ye Mak, Unna balik.”
Mak ni pun. Memang hari-hari aku balik rumah, aku nak ke mana lagi? Bukankah aku tinggal sebumbung dengan mereka? Lainlah kalau aku duduk beribu batu jauhnya. Sekarang juga aku berlepas daripada pejabat.
AKU mengucap salam ketika melangkah masuk ke dalam rumah. Eh! Ada tetamu rupanya, sepasang suami isteri yang wajah mereka kelihatan sugul dan risau. Besar kemungkinan kedua-dua mereka adalah bakal besan mak atau bakal besan tak jadi mak ayah. Heh. Tak baik sungguh aku.
Mak dan ayah juga ada bersama mereka, sedang berbincang rasanya. Nampak seolah-olah sedang menunggu aku balik pun ada. Serba-salah pula aku jadinya, ye, aku terlambat balik. Bukan disengajakan.
Tiba-tiba saja, tika minit terakhir itu, aku dipanggil oleh majikan untuk menyediakan satu dokumen. Urgent katanya, tidak boleh tunggu esok atau lusa, nak sekarang juga. Untuk projek usahasama dengan Kumpulan Sri Bina.
Macamlah tak ada pekerja lain selain aku. Belum sempat aku menyuarakan ketidak-puasan hati, majikan terlebih dahulu memberikan penjelasan. Terpaksa minta bantuan aku sebab P.A dia sedang bercuti. Dan selain P.A dia, hanya aku seorang sahaja yang tahu serba sedikit tentang projek tersebut.
“Maaf, Unna terlewat,” jelas aku serba salah. Kenapa mak tak bagitahu lebih awal yang ada tetamu sedang menunggu di rumah?
“Mak Cik.” Cepat-cepat aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita sebaya mak aku. Pastinya bakal ibu mertua kepada Kak Nia.
“Pak Cik.” Aku cuma menganggukkan kepala kepada suami mak cik tadi. Ketika itu muncul seorang lelaki dari arah dapur. Mungkin dari bilik air. Mata aku berkerdip ketika memandang dia.
Eh! Kenapa wajah dia kelihatan seperti lelaki yang menegur aku di lobi tempoh hari? Dia orangnya yang menjadi bakal suami Kakak Nia? Atau adik beradik dia? Kalau itu bakal suami Kak Nia, kenapa dia berada di sini? Bukankah sepatutnya dia ke Langkawi menjejak Kak Nia?
Berkerut-kerut dahi aku memandang dia. Tapi, lelaki itu buat selamba. Seolah-olah tak pernah bertemu dengan aku. Tak mungkinlah aku salah orang, memang serupa sangatlah dengan lelaki tempoh hari. Ketika dia berlalu di hadapan aku, aku disapa dengan haruman yang sama.
“Duduklah Unna,” suruh mak.
“Dayyan pun duduklah sekali.”
Dayyan? Jadi, betullah telahan aku lelaki itu tunang Kak Nia. Tapi, kenapa panggil Dayyan pula? Bukankah mak aku bahasakan dia dengan nama Naufal. Lelaki itu melabuhkan punggung di sebelah ayahnya. Aku pula melabuhkan punggung bersebelahan dengan mak aku. Mata aku masih ralit memandang dia.
“Saya rasa kita tak perlulah melengah-lengahkan masa lagi. Lebih baik kita terangkan situasi dan jalan penyelesaian yang telah kita bincangkan tadi.” Bakal ayah mertua Kak Nia bersuara.
“Macam ni Unna. Kami dah berbincang awal tadi, dengan mak dan ayah Unna. Andai kata Nia tak balik malam ni, majlis akad nikah tetap akan diteruskan esok. Majlis yang sepatutnya berlangsung minggu depan juga akan tetap dilangsungkan.” Bakal mak mertua Kak Nia terus menyambung.
Aku angguk. Walaupun aku tak faham sebenarnya kenapa perkara tersebut perlu diberitahu kepada aku. Bincang dengan mak ayah cukuplah kot. Aku menurut sahaja, bukan majlis kahwin aku pun. Apa yang terbaik untuk Kak Nia, terbaiklah juga untuk kami sekeluarga.
Eh, kenapa semua mata pandang aku? Nak aku berkata sesuatu ke?
“Okay, Unna tak ada masalah pun.”
Teruskan sahajalah. Mak ayah serta keluarga sebelah tunang kakak mesti sudah banyak berhabis tenaga dan wang ringgit untuk majlis tersebut. Kalau hendak dibatalkan, kad walimatul-urus sudah diedarkan. Tok kadi dan ahli jemaah masjid juga sudah ditempah.
“Semua pun sudah bersetuju dan sepakat.” Tangan aku dicapai bakal emak mertua kepada Kak Nia.
Tersentak aku bila dia mengelus perlahan jemari aku namun aku biarkan sahaja..
“Cuma, kami perlukan persetujuan daripada Unna sahaja.”
Bersetuju? Persetujuan daripada aku. Aku jadi pelik. Bersetuju dan persetujuan tentang apa sebenarnya? Aku tak faham. Aku toleh mak dan ayah, mereka mengangguk-anggukkan kepala. Apa ni? Aku kalihkan pandangan semula kepada tamu bertiga itu. Dahi aku sudah berkerut, seribu.
“Jadi, Pak Cik dan Mak Cik nak tanya ni. Unna bersetujulah menggantikan tempat Kak Nia esok?” Jemari aku digenggam oleh bakal besan mak itu sambil memandang wajah aku.
“Hah?” Membuntang terus mata aku.
Spontan mata aku mendarat ke wajah lelaki tersebut, yang memang sedang memandang aku. Aku teguk air liur. Betulkah dia bersetuju hendak menikah dengan aku? Tunang Kak Nia kot? Dah kenapa aku hendak bernikah dengan tunang Kak Nia?
Eeeh, tak nak ah! Menempah bala namanya tu. Mahu Kak Nia merajuk tak balik-balik sampai ke sudah!
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p