Sabtu, 7 Mac 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 3


“EH, tak naklah Unna menikah dengan kepunyaan orang lain. Tunang Kak Nia pula tu. Tak naklah! Mengamuk Kak Nia nanti.”

Kecil besar kecil besar mata aku ketika menyuarakan yang terbuku di hati. Seriuslah aku kena menikah dengan bakal suami kakak sendiri? Mereka sudah tidak boleh memikirkan apa kesudahannya kelak? Haish!

Memanglah lelaki itu belum menjadi suami orang lagi tapi bukankah dia tunangan Kak Nia, kakak aku sendiri. Jahat-jahat aku tak adalah sampai hendak mencaras bakal suami kakak sendiri.

Walau sekacak mata, sebaik mana, sehebat manapun lelaki tersebut. Ramai lagi lelaki lain yang boleh menjadi calon suami aku. Tak mungkinlah aku memilih cinta hati kakak sendiri.

Statistik di Malaysia pada tahun ini pun sudah menunjukkan lelaki lebih ramai daripada wanita dengan nisbah 107 orang lelaki bagi setiap 100 orang wanita. Dengan statistik sebegitu, tak perlulah kot berebut-rebut seorang lelaki.  

Pecah tawa para tetamu siap dengan mak ayah aku sekali tergelak sama. Berdekah-dekah. Kecuali lelaki yang seorang itu. Dia masih kelihatan serius. Haish! Aku perhatikan mereka yang masih gelak berdekah. Sudah kenapa gelak seperti itu? Tak lawak okay.

Terkebil-kebil mata aku memandang mereka. Dalam keadaan macam ni pun mereka ada hati hendak bersuka-suka. Masalah serius ni. Tak cukup dengan kakak yang menghilang, ni nak paksa aku pula menggantikan tempat kakak. Zaman ni mana relevan dah nak paksa-paksa orang kahwin.

Aku pandang wajah mereka satu-persatu, sampailah ke wajah lelaki muda yang kononnya bakal dijodohkan dengan aku. Wajah dia nampak serius. Agaknya dia pun sama seperti aku tidak bersetuju dengan hala tuju mesyuarat ini. Baguslah kalau begitu, satu kapal.

“Awak bersetuju ke?” Aku pandang dia, mengharapkan jawapan yang diberi serupa dengan jawapan aku.

Terjongket kening lelaki itu namun tiada sepatah kata perkataan yang keluar dari dua ulas bibir dia. Aku tarik dan hembus nafas tak puas hati. Dia buat endah tak endah ye dengan soalan aku. Siaplah engkau kalau kita ditakdirkan menikah, huh!   

“Siapa kata Unna kena menikah dengan tunang Kak Nia?” Mak aku berkata.
Aku berpaling memandang mak dengan dahi berkerut seribu. Maksudnya apa? Lelaki ini bukan tunang Kak Nia atau orang yang bakal menikahi aku tiada di sini ketika ini?

“Habis tu, dia siapa, kalau bukan bakal suami Kak Nia?”
Aku merujuk kepada lelaki yang sejak dari tadi senyap sahaja. Tak berbunyi langsung. Mungkin risau dengan situasi yang sedang berlaku sekarang. Tapi, memang tak boleh hendak menyalahkan dia juga.

Namun, kalau benarlah lelaki itu merupakan bakal suami kakak, tak dapat aku hendak bayangkan bagaimana nanti hidup mereka berdua sebagai suami isteri. Seorang senyap, seorang lagi mulut becok.

Mulut Kak Nia boleh tahan juga becoknya berbanding mulut aku. Aku tidaklah seramah dan sebecok Kak Nia. Sesuailah tu, complete and complement each other. Kalau dua-dua becok pun susah juga. Hari-hari berbalas kicau. Kalau larat, okaylah, boleh jadi pasangan deejay, saling sambut menyambut perbualan. Sampai ke sudah tak ada noktah, melainkan ada iklan dan selingan. Kalau tak larat, itu yang jadi masalah tu. Argh! Jauh betul aku menyimpang.  

“Dia inilah jodoh Unna. Bukan tunang kepada siapa-siapa. Bukan juga suami kepada siapa-siapa.” Senyuman mak jelas menunjukkan yang mak senang sangat bermenantukan lelaki tersebut.
Aku kerling lelaki itu dengan ekor mata. Bibir aku terherot ke tepi. Dada aku berombak lagi. Aku kembali memandang mak yang masih tersenyum. Entahlah, aku tak nampak pun senyuman mak seperti palsu. Ikhlas dan tenang sahaja.

Namun senyuman mak masih belum mampu meyakinkan aku. Aduhai. Aku pandang pula wajah-wajah yang lain. Satu persatu kemudian terhenti pada wajah si lelaki. Wajah kering dia yang buat aku berfikir. Jodoh?

Jodoh ekspress maksud mak? Jodoh tanpa nama. Jodoh yang tidak diundang. Jodoh misteri. Jodoh yang macam mana ni mak? Terkedu aku hendak berkata apa-apa.

“Dayyan Waiz ni, belum berpunya. Single mingle, memang sedang mencari jodoh, ” beritahu bakal emak mertua Kak Nia sambil tersenyum. Entah esok, sudah menjadi emak mertua aku juga.

Kenapa tiba-tiba aku rasa seperti berada di dalam rancangan mencari jodoh. Mulut aku terus terkunci. Mataku secara automatik terarah kembali kepada lelaki tersebut. Dayyan Waiz. Kami saling berbalas pandang. Hurm… Kilas mata yang tampak dingin. Macam ni nak jadi jodoh aku? Habislah aku.
Aku tarik nafas dalam-dalam, menenangkan diri. Baiklah, lelaki itu tidak kelihatan seperti hendak berkahwin dengan aku sangat. Sekurang-kurangnya, kalau dia tunjukkan rasa berminat, bolehlah aku lembut-lembutkan hati aku untuk menerima.

Ini tidak, rasa seperti dirinya terpaksa menerima keputusan itu tapi tidak mampu hendak berbalah. Baiklah kalau begitu, aku rasa aku juga berhak memilih jodoh aku sendiri. Aku memutuskan akan menentang habis-habisan. Yes! Jangan putus asa Unna, Unna boleh!

“Habis tu mana tunang Kak Nia?”

Bibir kugigit. Mata masih kekal meraut wajah lelaki yang sedang membisu itu. Berkerut-kerut dahi aku menahan rasa. Kalau boleh bertempik, aku akan bertempik sekuat hati tika itu. Namun, setiap kali perasaan itu hendak menjengah keluar, aku tarik nafas aku sedalam-dalamnya. Bertenang, bertenang Unna.     

Dayyan Naufal. Nun jauh di Langkawi, seperti yang dikhabarkan oleh bakal besan mak. Baru sahaja berangkat ke sana dan misi memujuk Kak Nia belum lagi diketahui kesudahannya. Aku angguk-angguk. Aku rasa aku masih ada peluang untuk melepaskan diri sehingga esok malam.

“Dayyan Naufal. Langkawi,” sebut aku satu persatu. Jari telunjuk menyentuh bibir.  

Kalau Dayyan Naufal tunang Kak Nia. Ini bermakna Dayyan Waiz …  kalau bukan adik, mungkin abang kepada Dayyan Naufal? Aku gelengkan kepala sekali. Apa-apapun, mereka tidak boleh melakukan hal ini kepada aku. Aku pun ada kehidupan sendiri. Mana boleh paksa-paksa aku berkahwin dengan orang yang aku tak kenal. Aku tak setuju!

“Boleh ‘kan Unna?” Lembut sahaja suara emak kepada Dayyan Waiz dan Dayyan Naufal itu menerjah pendengaran.

Wajah penuh mengharap itu aku tatap. Wajah penuh belas. Wajah keibuan yang terserlah. Aku pasti dia seorang wanita yang lemah lembut dan baik hati. Bertuahnya adik-beradik Dayyan ini mendapat kasih-sayang seorang emak seperti dia, yang bersabar melayan kerenah bakal menantu seperti Kak Nia.

 Kak Nia. Kak Nia. Geleng kepala aku mengenangkan sikap kakak aku yang agak kurang matang itu. Aku pandang pula wajah mak dan ayah. Wajah belas dan simpati juga terpapar jelas pada wajah mereka. Seolah-olah memohon pengertian daripada aku. Seolah-olah semuanya kini jatuh ke atas bahu aku.

“Tak boleh ke …” Semua mata-mata memandang ke arah aku menyebabkan ayat aku tergantung begitu sahaja.

Aku panggung kelapa. Tiba-tiba sahaja aku menjadi orang penting. Nafas berat kuhela dan kulepaskan. Tolonglah jangan letak aku dalam situasi sebegini. Berat. Amat berat untuk aku memikirkan dalam keadaan dan tempoh yang sesingkat ini.

Aku kalihkan pandangan ke arah lelaki bernama Dayyan Waiz itu. Tiada reaksi, tiada ekspresi, mata dia saja yang terjegil menatap aku. Atau aku yang gagal menterjemah apa yang tersirat di dalam hati dia. Dia mahu meneruskan atau tidak apa yang dirancang oleh kedua orang tua kami?

“Tak boleh ke kita tundakan majlis kakak ni ke hari lain?” Aku ucapkan dengan penuh berhati-hati. Takkan tak boleh? Bukannya boleh mati pun kalau majlis tersebut ditundakan ke hari lain.

Makin terjegil aku lihat mata si Dayyan itu menatap wajah aku. Eh! Apa masalah dia? Pergilah cari pengantin lain kalau hendak bernikah sangat. Aku balas balik dengan muka toya.

Engkau yang tak nak bersuara sepatah haram pun ‘kan? Kalau tak nak bercakap untuk diri sendiri, duduk senyap-senyap sudah. Jangan ganggu aku yang hendak mempertahankan hak aku.

“Sekurang-kurangnya sampai kakak Nia balik. Rasanya, esok Kak Nia dah balik kot,” sambung aku. Mudah-mudahan ada, Insya Allah. Jangan Kak Nia tak balik, sudah! Aku kerat rambut Kak Nia yang lawa dan panjang itu nanti.

“Tak boleh, tak boleh! Perkara macam ni tak boleh main rasa-rasa.” Ayah bakal pengantin lelaki menggelengkan kepala tidak bersetuju.

Berkali-kali dia menggelengkan kepala. Kalaulah kepala kita ni boleh berputar 360 darjah, mahu kepala dia berputar tak berhenti untuk menunjukkan keengganan dia terhadap cadangan aku. Haish! Ngeri pula bila membayangkan keadaan tersebut.

“Kalau mereka tak balik, macam mana?” sambung dia lagi.

Aku angkat kedua-dua bahu. Hendak macam mana, macam mana lagi? Kalau sudah begitu kesudahannya. Anggap sahaja tiada rezeki mereka. Kenapa hendak memusnahkan hidup orang lain untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh orang lain?

Malangnya, semua idea dan cadangan aku ditolak mentah-mentah. Macam-macam usul aku utarakan, tiada seorang pun yang menyokong. Buat-buat tak dengar lagi ada. Habis tu, buat apa tanya aku kalau sudah berpakat-pakat hendak kahwinkan aku dengan si Dayyan tu?

Bengang je muka mak ayah si Dayyan bila aku kata teruskan sahaja majlis tanpa perlu ada pengantin. Yelah, dah korang tak nak batalkan majlis ‘kan? Takut sangat duit hangus. Biarlah duit tu hangus, bukan tak boleh cari, yang nak hanguskan aku sama sudah kenapa? Geram pula aku. Bukan nak tunjuk biadap tapi … entahlah. Haruskah aku berputus asa?

“Mak, ayah,” seru aku memohon perhatian dan pengertian.
Takkanlah mak dan ayah tega membiarkan aku menikah dengan lelaki itu. Tega membiarkan hidup anak mereka ini diatur oleh orang lain. Tapi, mak dan ayah buat muka sedih pula. Takkanlah aku yang kena menanggung kesalahan Kak Nia. Aku ni anak angkat ke apa? Atau aku tersilap masuk rumah? Kalau tak kenapa semua orang buat macam ni kat aku? Hee … makin geram aku. Ini semua salah kakak. Geram aku jadi bertingkat-tingkat.

Bila mak dan ayah tidak memberi respon yang memberangsangkan, aku berpaling ke arah Dayyan Waiz, mengharap pengertian. Pelik aku, yang si Dayyan mengikut cadangan mak ayah dia kenapa? Dah tak ada mulut nak bersuara? Tak boleh nak back-up diri sendiri? Aku mengetapkan bibir sambil memandang dia. Harus aku buli kalau jadi suami aku kelak. Nak sangat nikah dengan aku kan’? Baru padan dengan muka. Heh!

“Mak,” seru aku perlahan.
Mak angkat kening. Nafas kuhela sambil memandang yang lain. Aku rapatkan diri kepada mak, cuba bersuara sehalus mungkin.
“Ini semua bukan prank ‘kan?”
“Unna!” terjerit mak.
Semua mata-mata melotot memandang aku seiring dengan jeritan mak. Haish! Mereka dengar ke soalan yang aku tujukan kepada mak tadi?  


0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p