Sabtu, 7 Mac 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 4






TAMAT sahaja mesyuarat tergempar semalam, aku terus menghubungi Kak Nia, berkali-kali sehinggalah ke hari ini. Pagi, petang, siang dan malam. Sampai lenguh jari-jemari aku menekan butang hubungi semula. Tiada langsung nada dail kedengaran.
Aku pasti beratus-ratus panggilan tidak berjawab daripada aku akan tertera pada skrin telefon bimbit kakak sebaik sahaja dia menghidupkan talian. Belum termasuk panggilan daripada emak, ayah dan tunangan dia.

Termenung aku sambil bersila di atas katil pelamin. Begitu mudah hidup ini ditentukan oleh orang lain. Siapalah aku yang haknya ditidakkan? Aku tidak layak untuk membuat pilihan sendirikah? Dibenarkan bersuara tapi kesudahannya tetap sama. Kenapa emak dan ayah tega membiarkan aku, anak mereka sendiri dinafikan hak?
Apa salah aku sampai terpaksa menanggung kesilapan orang lain? Tidak adakah jalan lain yang mereka boleh fikirkan? Sampai hati mak ayah. Sampai hati betul kakak, lebam-lebam mata aku berjaga malam.
Ini bukan majlis bersejarah yang aku impikan. Kasihan aku. Biasanya bakal raja sehari, wajahnya akan nampak berseri-seri, yang aku haa … dapat mata panda di hari pernikahan, engkau ada?
“Kenapa mata ni kak?” tegur mak andam yang baru tiba.
Aku tidak sedar bila dia berada dalam bilik ini. Bilik pengantin yang disediakan dan dihias cantik oleh kakak, mengikut citarasa kakak yang sukakan deko ala-ala romantik.   
Kepala kudongakkan, menatap wajah bersih mak andam. Tak nampak seperti mak andam tipikal zaman mak-mak aku, mak andam yang ini kelihatan muda sangat. Macam budak baru habis sekolah sahaja aku rasa jika hendak dibandingkan dengan aku.
“Tak cukup tidur ke kak?”
Aku angguk-angguk. Mata aku layu-layu dah, tapi masih gigih hendak menatap telefon bimbit. Manalah tahu kakak menghubungi aku semula, tapi hampa belaka. Aku menguap sekali dua. Kalau berterusan begini, mahu terlelap aku semasa akad nikah berlangsung nanti.
Tiba-tiba aku terdengar suara seseorang memberi salam. Terdetik di hati, kakak dengan tunang dia dah balik? Alhamdulillah. Baru nak segar mata ni, tapi sebaik sahaja daun pintu bilik terbuka, wajah si Dayyan yang muncul, terjengul di muka pintu. Terus memuncung mulut aku. Hee… kenapa dia yang datang?
Alangkah baiknya kalau dia tak datang, yelah, rukun nikah ‘kan ada lima. Salah satunya, pengantin lelaki aka calon suami kena ada. Kalau dia tak ada, tak sahlah pernikahan tersebut. Kenapa aku tak terfikir hendak mengupah orang untuk menculik dia untuk sehari ini?
Mata kami berselisih. Aku sepetkan mata. Geram pula aku. Pelik juga aku bila dia bersetuju dengan cadangan mak ayah dia untuk berkahwin dengan aku. Bukannya dia kenal aku pun, tak pernah jumpa aku pun kecuali sekali semasa dia ke bangunan tempat aku bekerja tempoh hari. Entah dia ingat entahkan tidak. Eh, betulkah dia nak berkahwin dengan aku?
Dayyan ni tak punya kekasih atau buah hatikah? Muka boleh tahan segak. Takkan tak ada. Tapi, aku perasan juga wajah dia seperti wajah orang yang sedang patah hati atau mungkin baru patah hati. Hurm … Jangan-jangan dia hendak menjadikan aku rebound wife.   
Haish! Sebab itukah dia bersetuju disatukan dengan aku? Mata aku spontan mengerling ke arah dia. Mata kami berselisih lagi. Dia ni memang dok pandang aku dari tadikah? Aku angkat kening. Ada benda nak bagitahu akukah pandang-pandang aku macam tu?
Tapi, dia kalihkan pandangan ke tempat lain sebelum mencapai baju pengantin lelaki yang tersedia. Persalinan berwarna peach. Sebenarnya ada dua pasang pakaian pengantin tergantung dekat tepi almari, sepasang untuk akad nikah, lagi sepasang untuk majlis resepsi.


“Cantik bilik pengantin ni ye,” puji mak andam yang sedang sibuk mengoles sesuatu pada muka aku. “Tapi, ni kenapa muka pengantin monyok je, macam kena paksa kahwin je.”
Aku senyum kelat. Terpaksa dan dipaksa dik oi. Semua kerana hendak menyelamatkan sebuah maruah dan harga diri. Kalau tak, tak adalah muka macam ni. Hee… tak relevan langsung bila mengenangkan. Zaman inipun masih ada perkahwinan yang diatur. Hurmmm …. tak sangka terkena batang hidung sendiri.
Termenung panjang aku sebaik sahaja aku ditinggalkan bersendirian setelah siap disolek. Mak andam terpaksa pergi sebelum majlis akad nikah, menurutnya ada seorang lagi pelanggan yang menempah perkhidmatannya pada hari ini. Aku tak kisah pun sebenarnya, disolek atau tak disolek sama sahaja. Hati aku ni, masih akan terguris luka.
Aku bernasib baik sebab terlupa memberikan kad walimah kakak yang sudah siap dicetak itu kepada rakan-rakan aku, yang jauh dan yang dekat. Bekas rakan kolej aku mahupun rakan sepejabat. Boleh aku letak dalam laci meja pejabat dan terperuk di situ dah sebulan lamanya. Inilah hikmah yang tersembunyi, agaknya.
Bagaimanalah agaknya ya reaksi mereka tatkala mendapati yang berbaju pengantin bukan pengantin sebenar tapi adik pengantin. Huh, sedihnya aku, bilamana segala yang disediakan, daripada persalinan pengantin, solekan, pelamin, hingga ke menu dan hidangan, bukanlah impian aku. I’m wearing my sister’s dream. Kasihannya Kak Nia. Tidak dapat menikmati apa yang telah diusahakan selama berbulan ini.  
Dayyan Waiz yang tadi keluar dengan sepasang pakaian pengantin, masuk semula ke dalam bilik. Sudah siap mengenakan pakaian untuk majlis akad nikah. Sama saiz agaknya dia dengan Abang Naufal. Pakaian tersebut elok sahaja duduk letaknya berbanding aku. Sempit sikit baju yang aku pakai ni, Kak Nia tu kurus keding orangnya. Aku, agak berisi.  
Aku pandang dia dengan rasa tak puas hati. Sebenarnya sejak dari kali pertama aku bertemu dengan dia di lobi bangunan tempat aku bekerja tempoh hari, aku sudah merasa begitu. Patutlah rasa macam pernah bersua, pasti aku teringat akan tunang kak Nia. Adalah iras sedikit.
“Dayyan ‘kan?”
Lelaki itu menoleh.
“Dayyan memang nak menikah dengan Unna ke?” Tak perlulah aku berkias-kias. Straight to the point. Senang.
“Haah, ye.”
“Dah fikir habis-habis ke?”
“Kalau tak, Dayyan tak akan berada di sini,” balas dia.
“Kenapa?”
Tiada jawapan. Aku agak kecewa bila dia senyap sahaja. Tiba-tiba terdetik di hati nak buat gila semasa majlis akad nikah berlangsung nanti. Manalah tahu aksi-aksi gila aku itu boleh menjadi asbab majlis dibatalkan.
“Kenapa?” Aku ulang lagi sekali.
Dayyan Waiz menatap wajah aku sejenak sebelum bersuara.
“Sebab Dayyan rasa itu yang terbaik untuk semua pihak. Dan, mungkin Unnalah jawapan kepada semua istikharah dan mimpi-mimpi Dayyan.”
Dahi aku berkerut-kerut. Mimpi?
“Mimpi?”
Lelaki itu tidak mendengar, rupanya dia sudah keluar dan menghilang di sebalik daun pintu. Meninggalkan aku dalam keadaan tertanya-tanya.




PERKARA yang aku bimbangkan akhirnya berlaku juga. Kak Nia dan Abang Naufal tak muncul hingga ke saat yang terakhir. Aku meraup wajah aku bila semua para jemputan sudah tiba.
“Inikah pengantin lelaki?” tanya Tok Kadi.
Dayyan Waiz yang sedang duduk bersila di atas kusyen yang disediakan segera mengangguk.
“Pengantin perempuan mana?”


Semua mata tertumpu ke arah aku. Aku membekukan diri. Hendak menangis rasanya. Nak buat gila ke tak? Aku kerling mak yang duduk di sisi aku. Aku pandang wajah bakal mertua aku. Nafas aku bergerak laju. Segera aku tundukkan kepala, menahan air mata yang hendak menitis.
Seperti yang sudah ditetapkan majlis akad nikah akan diteruskan. Para hadirin dan semua yang berkenaan sudahpun tiba. Aku toleh-toleh juga ke muka pintu manalah tahu ada yang muncul dan menjerit.
‘Tungguuuu! Majlis ini tidak boleh diteruskan!’ Tapi, sayangnya itu semua hanya bermain di minda aku sahaja.
“Sah?” tanya tok kadi memandang ke arah dua orang saksi yang duduk bersebelahan dengan pengantin lelaki.
“Sah,” jawab saksi pertama.
“Sah,” jawab saksi kedua pula sambil mengangguk.
Air mata aku jatuh berlinangan juga akhirnya. Cepat-cepat aku seka dengan hujung jari. Sebak bila wajah crush melambai lalu di ruang mata. Atif Lutfi . jerit aku dalam hati.
Atif Lutfi, selamat tinggal. Kita tidak sempat memadu kasih. Pedihnya. Apakan daya, aku tidak mampu mempertahankan diri. Aku tidak berjaya mengotakan janji aku kepada diri sendiri untuk terus menanti. Walaupun ia merupakan satu penantian yang belum pasti.
Argh! Lelaki yang tak pernah sedar akan kewujudan aku itu. Malas dah nak promote diri sendiri walaupun aku tak pernah buat secara terang-terangan. Mungkin dia bukan jodoh aku. Dan, jodoh di depan mata aku sekarang inilah yang terbaik buat aku. Begitu aku memujuk hati sendiri.
Nafas kuhembus perlahan. Wajah aku angkat. Aku pandang wajah-wajah di hadapan sebelum mata jatuh ke arah pengantin lelaki. Berderau darah aku bila mata dia memang menuju ke arah aku.
Dan… tika ini mata aku masih berkaca-kaca ketika berselisih pandang dengan dia. Entah apa yang dia fikirkan. Aku tidak mampu menebak. Emosi begitu berat mengulit jiwa aku.
Usai doa dibacakan, khutbah pendek mengambil tempat. Semakin sebak hati ini mendengar khutbah yang disampaikan.
“Hadirin rahimakumullah,
Akad nikah hakikatnya merupakan janji agung di hadapan Yang Maha Agung, yang harus dipertanggungjawabkan. Maka hendaknya janji agung ini kita pegang dengan teguh. Allah telah mengingatkan dalam Al-Quran Surah Al-Isra’: 34,
Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya.”
Janji. Amanat. Kini, aku sudah menjadi satu amanah kepada Dayyan Waiz. Mata aku dan Dayyan Waiz bertentangan lagi. Sedetik. Dua detik. Dan … hatiku terus berkata-kata. Aku cuma mampu sampaikan melalui pandangan mata, tidak akan mampu terzahir di bibir.  
Dayyan Waiz, aku sudah selamat menjadi isteri awak. Pegang janji awak dengan Allah dan keluarga aku. Jangan sia-siakan aku kerana aku sudah menjadi satu amanah.
Kalaulah dia mendengar isi hatiku, kalaulah dia faham apa yang cuba aku terjemahkan.  
Ya Allah, apa yang harus aku lakukan selepas ini? Apa yang akan berlaku kepada aku setelah tamat semua acara ini? Hidup bersama dengan lelaki bernama Dayyan Waiz itu, mampukah aku? Mampukah dia? Bolehkah aku? Sanggupkah aku? Sanggupkah dia?
Ah, Unna Mikayla, apa yang sedang engkau merepekkan ini? Tidak sedarkan engkau, bahawasanya engkau sudahpun menerima kehadiran lelaki yang bernama Dayyan Waiz itu di dalam hidupmu sebaik sahaja dia melafazkan akad itu.
“Aku terima nikahnya Unna Mikayla Binti Ahmad Tajuddin dengan mas kahwinnya RM300.00 tunai.”
Akad yang aku biarkan terlafaz dengan relaku. Aku pejamkan mataku, aku biarkan air mata terus menitis. Relakah namanya bila aku belum redha sepenuhnya? Hati aku tersayat pedih.    
  


0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p