Jumaat, 20 Mac 2020

My Adorable Ms Wifey - Bab 7




“UNNA…” Senyum simpul mak mertua ketika menyambut kehadiran aku dan Dayyan Waiz. Dipeluk, diciumnya aku, maklumlah menantu sulung. Sengih-sengih aku dilayan sedemikian rupa. Lega betul rasanya.
Lega bila mak mertua jenis yang mudah mesra, jenis yang tidak berkira, jenis yang merendah diri yang buat kita rasa selesa. Jadi, kuranglah sedikit perasaan janggal. Susah nak jumpa mertua macam tu.  
“Sampai juga menantu sulung ke rumah mertua ye. Ingatkan lepas menikah nak simpan suami jadi pekasam. Buat jadi hak milik sendiri. Kedekut. Tak nak bagi suami datang melawat rumah keluarga sendiri.”
Tiba-tiba ada suara lain menerjah pendengaran. Berderau darah aku. Tersentap sedikit mendengarnya. Baru hari pertama menjejak ke rumah mertua, sudah ada yang mempersoalkan kehadiran aku. Milik siapa agaknya mulut yang berbisa itu?
Tika itu juga, lengan aku dipaut seseorang membuatkan aku berpaling ke arah tuan empunya badan. Aipp! Apa ni? Tangan sasa Dayyan Waiz sudah melingkar di pinggang. Senyuman yang menghias bibir dia automatik menjadi tersangat manis. Hangat terus jiwa aku, sehangat senyuman Encik Suami. Hangat-hangat manis yang mampu membuat bongkah ais menjadi cair.
Aku pandang Dayyan Waiz, sedikit pelik. Mahu tak pelik, bila dia tiba-tiba mesra semacam dengan aku. Namun, disebabkan mak dan ayah dia berada di hadapan kami, aku biarkan sahaja kelakuan dia. Takkanlah aku nak tolak-tolak lengan dia, aku masih tahu menjaga air muka Encik Suami walaupun ketika itu aku rasa macam nak bagi backhand je kat dia sebab berani-berani menggedik dengan aku.
“Terima kasih,” bisiknya perlahan di telinga aku.
Eh, reti berbahasa rupanya. I am impressed. Oleh yang demikian, aku pun behave lah sekejap. Berkepit pun berkepitlah. Bukan luak pun. Teringin juga hendak melihat drama yang selanjutnya.  
Dayyan Waiz segera berdehem sebelum bersuara.
“Bukan Unna yang simpan Dayyan lama-lama, Dayyan yang sengaja sorokkan Unna, bimbang dikebas orang. Maklumlah, Unna ni manis orangnya, ramai pula tu yang berkenan. Kalau tidak dijaga mahu dipetik dibawa lari dek orang. Bukan senang nak dapatkan bunga yang rare macam Unna ni.”  
Bunga yang rare macam Unna. Eh, lain macam pula bunyi tu. Kedengaran melampau pun ada. Tapi, malas aku hendak bersuara. Biarlah, drama panas ini pun baru hendak bermula. Tak seronoklah kalau enter frame awal-awal.
Aku pandang orang yang dituju. Seorang perempuan muda. Adik perempuan Dayyan Waiz ke? Boleh tahan lawa orangnya. Penampilan pun not bad. Mulut pun tidak kurang cabainya. Perempuan ni lah yang kata aku buat Dayyan Waiz jadi pekasam ye. Tunggulah, sampai masanya aku kenakan engkau cukup-cukup. Aku sepetkan mata sambil melakar senyum.   
Mak mertua aku tergelak mendengar ayat yang dimuntahkan oleh anaknya. Mesti dia ingat anak dia sudah boleh menerima aku sebagai isteri. Isk! Isk! Isk! Kasihan mak mertua aku. Tapi, aku lebih kasihankan diri aku. Hurmm… Sampai bila aku sanggup bertahan? Aku belum move on lagi dengan hal kahwin paksa tu, tiba-tiba kena menghadap perempuan bermulut laser ni pula.
“Untunglah ada orang sayang.” Perempuan muda tadi kembali bersuara sambil mengerling ke arah aku yang sedang cuba memahami keadaan sebenar.
“Tak bawa baju ke Unna? Bermalam rumah ibu, kan?” potong Mak Mertua.
Memang mesra alam betul mak si Dayyan Waiz ni. Ditepuk-tepuk manja bahu aku, tersengguk-sengguk aku sebab tak boleh hendak melarikan diri. Ye, senak pinggang aku dikepit Encik Suami. Biasa orang lain senak perut, yang aku pula senak ke lain.
“Mestilah ibu, mana boleh Unna tinggalkan Dayyan. Hilang sekejap sudah merindu, Dayyan baru hilang ke bilik air tak sampai lima minit, Unna dah menangis  mencari Dayyan,” sampuk Dayyan Waiz.
Amboi, bukan main lagi kalau berlakon. Huh! Dia ingat aku dan dia siapa? Fattah Amin dan Fazura? Hurm… Dayyan, Dayyan. Engkau dah kenapa? Siap jeling-jeling manja dengan aku. Kononnya, nak bagi nampak bersemut sangatlah tu. Dia tak tahu aku sedang menahan rasa mual.  
Aku memalingkan muka sebelum menjongket kening. Namun, sebaik sahaja aku terpandangkan senyuman meluat yang terpamer di bibir perempuan tadi, terus aku sengih-sengih gedik. Akupun tak tahu kenapa aku buat macam tu. Lengan Dayyan yang sasa tu aku cubit mesra. Terjerit kecil Encik Suami. Manja aw aw gitu. Makin meluat perempuan itu melihat gelagat kami.
Kah kah kah kah. Aku sendiri geli-geleman bila teringatkan reaksi yang aku lakukan sebentar tadi. Aku pasti mak mertua aku pun berfikiran yang sama. Sebab itu, dia sengaja terbatuk-batuk kecil, menghalang agar tiada adegan menyakitkan mata menyusul kemudian.  
“Masuklah dulu, sembang-sembang dengan Wasa. Wasa belum nak balik lagi ‘kan?” Pandangan emak Dayyan dijatuhkan kepada perempuan yang dipanggil Wasa itu.
Wasa? Belum nak balik? Maksudnya perempuan itu bukan penghuni rumah keluarga Dayyan Waiz? Belum sempat aku menghadam maklumat itu sekali lagi suara perempuan itu menerjah pendengaran. Sinis.
“Belum ibu, Wasa nak juga berkenalan dengan menantu sulung ibu ni, di mana dia bertemu dengan Dayyan, dah lama ke bercinta dengan Dayyan, ” balas perempuan tersebut sambil mengerling ke arah aku.   
Eh! Tak payahlah nak berkenalan sangat dengan aku. Aku bukannya siapa-siapa. Dahi aku sudah berkerut mendengarnya. Tapi, aku rasa perempuan itu bukan nak sangat berkenalan dengan aku. Dari tadi aku perhati. Mata dia sekejap-sekejap meneleng Dayyan Waiz. Sekejap-sekejap mengusha lelaki itu. Menurut firasat aku, ada benda yang dia tak berpuas hati dengan si Dayyan ni.
“Jom masuk, ibu hendak ke dapur sekejap.”
Lengan aku masih dikepit Dayyan Waiz ketika emak mertua menghilangkan diri ke dapur. Aku terpaksa menurut langkah Encik Suami hingga ke ruang tamu. Beberapa kali aku cuba mengalihkan lengan aku dengan meronta-ronta kecil tapi Encik Suami menjegilkan mata. Malah makin kuat lengan aku dikepit. Haish!
“Awak buat apa dekat sini?” tanya Dayyan Waiz sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke atas sofa. Aku terduduk sama. Lengan dia terus memaut pinggang aku. Makin kejap pula aku rasa pautan itu. Geram ke apa? Aku cubit kuat sangat ke tadi?
“Ikut Dayyan lah buat apa lagi?” balas aku separuh berbisik sambil membetulkan duduk aku. Sudahlah dikepit, tersepit pula bila dipaksa duduk bersama dengan Dayyan di atas sofa yang sempit itu. Tak adalah sempit mana tapi bila Dayyan mengambil ruang lebih, aku terhimpit ke tepi.  
“Bukan Unna yang Dayyan maksudkan,” bisik dia perlahan.
Owh!
“Saja melawat mak mertua tak jadi,” balas perempuan tadi, dengan mata masih menuju aku.
Kening aku terjongket. Terus terdetik di hati, bekas kekasih Dayyan Waiz atau Dayyan Naufal? Adakah itu ayat memperkenalkan diri? Tak malu ke dok lepak rumah keluarga bekas kekasih? Bukan bekas tunang pun, kalau bekas tunang pun, lalu ke nak datang melepak di rumah keluarga bekas tunang?
Atau dia hendak kembali berhubungan dengan Dayyan Waiz? Itukah tujuan dia datang ke rumah ni? Kalau benar begitu, kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan. Aku sendiri akan kembalikan si Dayyan ni kepada dia.
Tapi … bagaimana dengan status aku kelak? Lupa pula tentang hal tersebut. Bakal menjadi janda atau kekal menjadi isteri pertama? Haish! Dua-dua pun aku tak nak! Hurmmm… parah betul rasanya bila berhadapan dengan situasi seperti ini. Sesak jiwa hendak menanggung.  






AKU dah tahu nama sebenar perempuan yang datang berkunjung tadi. Siti Awasah. Emak si Dayyan yang bagitahu. Tapi aku cuma tahu setakat nama sahaja. Apa hubungan dia dengan keluarga Dayyan Waiz atau Dayyan Waiz sendiri, aku tak habis selidik lagi.
Aku perhatikan juga, dia kelihatan tak kekok dan nampak mesra dengan ahli keluarga Dayyan. Mungkin ada kaitan dengan apa yang dikatakan tadi. Tentang mertua tak jadi.
Kalau betul telahan aku, kenapa agaknya mereka tidak jadi bertunang dan seterusnya berkahwin? Adakah disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh Kakak Nia dengan Abang Naufal ketika itu? Jika begitu, kiranya, masalah dia sama dengan akulah.  
Nampaknya, tindakan Kakak Nia yang merajuk tak tentu fasal tempoh hari telah menyebabkan banyak hati yang terluka. Aduhai, Kak Nia. Kalau ada Kak Nia depan aku sekarang, nak aku tunjal-tunjal kepala dia. Lain kali berfikir dulu sebelum buat onar. Sekarang siapa yang susah? Siapa yang terluka? Bukan seorang.
Tapi, kalau betul kenapa bukan Siti Awasah dengan Dayyan Waiz sahaja yang menggantikan tempat kakak dengan tunangannya tempoh hari? Ada sebab lain? Hendak sahaja aku bertanya kepada emak si Dayyan, tapi tunggulah. Apa pula akan dikatakan oleh emak si Dayyan tu kalau aku bertanya sekarang? Baru hari pertama bermalam, sudah tak sabar hendak ‘membawang’.
“Itukah orangnya?” Ketika itu, tinggal kami berdua sahaja di ruang tamu. Siti Awasah sudah lama pulang. Ayah mertua ke surau berdekatan manakala mak mertua baru sahaja berlalu menuju ke bilik.
“Huh?” Kening Dayyan Waiz terjongket. Dua-dua kening.
“Yang membuat awak patah hati?” Aku saja tembak. Mana tahu betul?
“Hurmmm…” Dayyan Waiz membetulkan posisi tubuhnya.
Itu sahaja jawapan yang mampu diberi kepada aku?
“Dayyan tak nak menjalinkan hubungan dengan dia semula?” Kotlah betul dia ada niat hendak buat macam itu, bolehlah aku bersedia lebih awal. Senang hendak merancang apa-apa.
“Unna nak Dayyan kembali menjalinkan hubungan dengan dia?”
Eh! Silakan… Silakan… Aku tak akan menghalang. Walaupun aku agak risau dengan status janda yang bakal aku terima. Namun, aku rasa lebih baik begitu daripada menjadi sebahagian hidup orang yang tak redha dengan kehadiran aku.  
“Unna nak dia jadi yang kedua? Bermadu dengan Unna?” Sinis dia berkata.
Hey! Ternganga mulut aku. Dia ni dah kenapa? Kalau marah pun janganlah tuju kepada aku. Bukan aku yang menjadi punca kepada semua perkara yang sedang berlaku ketika ini. Dahi aku berkerut seribu. Bibir sudah terherot ke tepi. Aku hembus nafas berat. Geram tau.
“Kalau betul, kalau betul Unna suka dia menjadi madu kepada Unna, Unna pinangkanlah dia untuk Dayyan. Dayyan tak ada masalah.” Selamba dia sahaja, buat usul sebegitu.
Aku mengetap bibir. Pantang betul bila sebut fasal madu-madu ni. Lelaki suka sangatlah kalau bab menambah-nambah cawangan ni. Tak mampu pun sanggup. Eh, malaslah aku nak mengulas.
“Manalah tahu teringin merasa kemanisan hidup bermadu,” tambah Dayyan lagi.
“Apahal Unna yang kena pula?” tukas aku.  
Madu memang manis serta banyak khasiat dan kelebihannya. Tapi, madu yang macam ni, jarang-jaranglah aku dengar akan kemanisan dan kelebihannya kepada hal-ehwal rumah-tangga.   
“Kalau tak suka, senyap. Jangan berangan lebih-lebih ya, jangan bercakap lebih-lebih dan jangan meminta yang lebih-lebih sebab Dayyan tak akan lepaskan Unna. Selagi hayat Dayyan masih dikandung badan.”
Argh, sudah! Ugut ke apa tu? Lelaki ini memang hendak menjadikan aku rebound wife ke apa? Tiba-tiba perut aku jadi sebu, sekali pakej dengan hati dan jiwa aku. Merana betul rasanya. Isk!


Notes: hope uolls like this entry, please stay at home during this restriction movement period
take care and stay healthy, love xoxo





0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p