ALHAMDULILLAH. Majlis Kakak Nia dengan Abang Naufal akhirnya berlangsung juga dan berjalan dengan lancar. Diadakan secara sederhana, tiada majlis resepsi atau kenduri besar-besaran. Cuma akad nikah dan majlis kecil-kecilan untuk ahli keluarga yang terdekat.
Semua wang sudah dihabiskan untuk majlis yang sebelumnya, bukan? Majlis untuk pengantin ekspress itu, ya, akulah pengantin itu. Ikutkan hati, aku memang teringin hendak padankan muka Kak Nia, kalau dia bising-bising. Siapa suruh merajuki, sekarang siapa yang rugi? Tapi, Kak Nia senyap sahaja. Jadi, aku tidaklah mengungkit perkara tersebut.
Persiapan majlis yang sebelum ini yang sepatutnya diadakan untuk meraikan Kak Nia dan Naufal itu, Kak Nia sendiri yang sediakan sepenuhnya. Semuanya hasil kudrat dan idea kreatif kakak. Dan… semua itu telah digunakan untuk meraikan aku dan Dayyan Waiz.
Kalau aku yang berada di tempat kakak, aku pasti aku akan merasa kecewa. Semua persiapan telah disediakan mengikut perancangan, tapi akhirnya orang lain yang menikmati hasilnya. Walaupun bukan seperti majlis yang aku impikan, tapi itulah hakikatnya. Huhu…
Sebenarnya segala impian aku tentang perkahwinan dan bagaimana aku hendak meraikan sudah hilang. Tidak sempat pun dirangka lagi. Lenyap begitu saja. Sekelip mata. Tiada wedding of the year. Tiada majlis berinai. Tiada majlis shower bride. Tiada Atif Lutfi. Gone. Ya, aku belum move on lagi. Tak habis lagi meroyan walaupun cuma sekadar berlegar-legar dalam hati.
Apa yang ada? Apa yang tinggal? Cuma ada Dayyan Waiz dan hati aku yang sedang hancur lebur. Nasib baik belum jadi debu lagi. Kalau terlanjur jadi debu, tak tahulah hati aku tu masih bersisa lagi atau tidak. Masih berbentuk lagi atau sudah tiada berupa lagi. Hurm …
Kisah cinta aku yang tidak seindah kisah cinta abang aku mahupun kisah cinta Kak Nia. Kalau diikutkan belum wujud pun lagi kisah cinta aku dengan Dayyan Waiz, yang ada cuma kisah cinta aku dengan Atif Lutfi yang tidak kesampaian.
“Mak, betulkah abang long nak balik?”
Aku yang duduk termangu di dapur bertanya sambil memandang emak yang sedang mengemaskan dapur serta menyimpan juadah yang berlebihan ke dalam peti sejuk. Juadah yang dihidangkan sempena meraikan Kak Nia dan Abang Naufal siang tadi.
“Haah, lagi sebulan dua katanya,” jelas emak.
Sebenarnya, kalau mengikut status terkini, emak dan ayah sudah mempunyai dua orang menantu lelaki dan seorang menantu perempuan. Ya, kami ada tiga beradik. Kami, aku dan Kak Nia sebenarnya mempunyai seorang abang yang bernama Haiqal Adam. Jadi anak-anak emak itu, aturannya Haiqal Adam, Nia Amanda dan yang terakhir aku, Unna Mikayla.
Abang dan isterinya sekarang berada di luar negara. Kakak ipar aku sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di New Zealand. Abang aku sudah tentulah menetap dan bekerja di sana juga. Mereka sudahpun dikurniakan tiga orang zuriat, dua orang lelaki dan seorang perempuan.
Baiklah, masalahnya sekarang terdapat dua pasangan pengantin baru. Bilik pengantin cuma ada satu sahaja. Faham-fahamlah ‘kan? Aku malas hendak bertekak-tekak dengan kakak, makanya bilik pengantin yang aku dan Dayyan Waiz sedang gunakan sekarang ini, aku kembalikan semula kepada kakak. Memang bilik pengantin kakak pun sepatutnya.
Jadi, aku dan Dayyan Waiz akan tidur di bilik aku yang kecil comel itu. Bilik yang cuma ada sebuah katil bujang dan tidaklah dihias indah seperti bilik kelamin. Nama pun bilik bujang memang sesuai untuk orang bujang je. Yelah, mana nak tahu tiba-tiba bersuami pula, ‘kan?
Kalau ikut perancangan, lagi tiga empat tahun baru aku hendak ‘fikir’ tentang hal rumah-tangga. Itupun, kalau ada seseorang yang boleh digelar teman hidup. Crush aku tu? Atif Lutfi? Hurm, dia belum layak dipanggil sebagai calon pun lagi. Jauh lagi sebenarnya. Jauh. Sepanjang pengetahuan aku, dia tak tahupun kewujudan aku. Ermm … haruskah aku melupakan kewujudan dia juga?
Sejak semalam lagi, emak sudah meminta agar aku memindahkan barang-barang milik Dayyan Waiz ke bilik aku. Tak banyak pun, tapi menyemak jugalah kalau hendak diletakkan ke dalam bilik aku yang sempit itu.
Aku dan Dayyan Waiz ‘kan pasangan pengantin terjun, masing-masing masih belum mempunyai rumah sendiri, jadi buat masa ini kami menumpang rumah mak ayah. Seminggu bermalam di rumah keluarga aku dan minggu yang berikutnya bermalam di rumah keluarga Dayyan Waiz. Sepatutnya begitu jadualnya.
Tapi, aku tak buat macam tu. Minggu giliran kami sepatutnya bermalam di rumah keluarga Dayyan Waiz, aku buat-buat tak sihat. Aku tak bersedia lagi hendak menghadap mak dan ayah mertua walaupun pada pandangan aku mereka kelihatan seperti mak dan ayah mentua yang baik.
Dayyan Waiz pun tak gaduh-gaduh hendak balik ke sana, jadi akupun senyap dengan gembiranya. Berdiam itu ‘kan lebih baik. Aku senyap, dia turut sama senyap, jadi aku ingatkan dia tak kisah. Lelaki ‘kan biasanya macam tu, tak kisah walau dicampak ke mana hatta ke dalam hutan macam lagu Hattan dengan Waris tu …
Ughang luar salah tafsir koba gadih kito bahayo
Lopeh coghai semua ghato jadi milik dio
Jangan salah anggap, napo lobihkan pompuan
Sobab laki boleh hidup kalau campak dalam hutan
“Dayyan, malam ni Dayyan tidur kat bawah ye. Nanti Unna bentangkan toto.” Nampak tak aku cuba berbaik-baik dengan dia.
“Kenapa Dayyan tak boleh tidur di atas katil?”
Eh! Terkedu aku sekejap. Bunyi macam nak cari gaduh dengan aku.
Tak gentleman langsung. Tahulah aku bukan isteri yang diimpikan, tapi … takkanlah sanggup membiarkan seorang perempuan tidur di atas lantai sementara dia enak-enak tidur di atas tilam yang empuk.
“Habis tu, Unna nak Dayyan tidur atas Unna?” Ayat yang dia lontarkan dengan wajah dingin.
Urgh! Terkedu lagi aku. Bibir aku terus terherot ke tepi. Bertenang Unna, bertenang.
“Takpelah, Dayyan tidurlah atas katil. Biar Unna yang tidur dekat bawah.” Cepat-cepat aku mengalah. Seriau juga sebenarnya bila melihat wajah Dayyan Waiz yang tak ada perasaan itu. Lebih seriau membayangkan ayat yang dilontarkan sebentar tadi.
“Kenapa? Katil ni tak muat untuk kita berdua? Kat bilik pengantin elok je.”
Ffftt! Terkumat-kamit mulut aku. Memanglah tak. Bilik pengantin tu, lain ceritanya, luas, katil pelamin yang disediakan juga bersaiz besar. Lagipun, masa tidur, ada bantal peluk besar duduk antara aku dengan dia, jadi pembahagi ruang.
Aku jegilkan mata ketika ini, memandang dia tepat sambil bermonolog sendirian. Aku boleh rasa dada aku berombak turun naik menahan geram. Rasanya itu lebih baik daripada meluahkannya dengan kata-kata.
“Takut kenapa? Selama ini, Dayyan tidur sebelah Unna, Dayyan ada ganggu Unna ke?”
Banyak bunyi pula dia ni. Selalu yang keluar dari mulut dia tu sepatah-sepatah sahaja. Hari ini macam peluru. Berhamburan. Lepas satu, satu. Lama sangatlah tu memendam rasa tak puas hati.
“Kalau Unna tak nak Dayyan tidur atas katil sekali dengan Unna, minggu depan kita balik rumah mak ayah Dayyan.”
Owh, itu sebenarnya yang dipendam, yang terjeruk rasa sangat. Salah aku juga. Kalau aku yang berada di tempat dia, aku mungkin dah mengamuk besar. Lebih sebulan tak berjumpa mak dan ayah sendiri. Rindulah ni.
“Tapi …” Boleh je singgah rumah mak ayah dia selepas balik kerja atau pada hujung minggu.
“Tak ada tapi-tapi, Dayyan akan tidur atas lantai, Unna pula tidur atas katil. Sabtu ni, balik rumah keluarga Dayyan dan tinggal di sana seminggu. End of conversation.”
Aku ketap bibir. Aku tak cakap pun lagi yang aku boleh sahaja tidur di atas lantai. Tak ada masalah. Aduh. Seram sejuk aku memikirkan yang aku kena bermalam di rumah keluarga dia. Beginilah agaknya rasa pasangan yang baru bernikah bila terpaksa tidur di rumah keluarga mertua.
Kalau sehari semalam, rasanya aku boleh tahan lagi. Seminggu? Bagaimana kalau Dayyan membalas dendam, daripada bermalam selama seminggu, dia bertukar fikiran menjadikannya sebulan? Bagaimana kalau dia kata kena terus tinggal menetap bersama keluarga dia? Argh! Masak aku!
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p