Rabu, 8 April 2020

My Adorable Ms Wifey Bab 9


TADI emak maklumkan yang anak-anak buah aku dari luar negara bakal tiba dalam seminggu dua lagi. Abang Long putuskan agar anak-anaknya itu tinggal di rumah emak dan ayah untuk beberapa hari sementara dia menguruskan beberapa perkara lain.
Cuti sekolah di sana berlangsung lebih awal berbanding sekolah yang ada di Malaysia. Sebaik sahaja mendapat tahu cucu-cucunya akan bermalam di rumah, emak telah memaksa aku merancang percutian bersama Dayyan Waiz, disertai anak-anak buah aku yang tiga orang itu.
Sebenarnya aku okay je kalau hendak membawa anak-anak buah aku itu bercuti ke mana-mana. Banyak je taman tema yang ada di Malaysia ni yang boleh dikunjungi. Kalau tak nak ke taman tema, boleh bercuti-cuti di tepi pantai 'kan. Tapi, sebab emak nak aku selitkan si Dayyan Waiz itu sekali aku terus jadi blur dan mati akal.
Disebabkan aku buat endah tak endah, dan malas hendak melayan permintaan emak, dibukanya cadangan itu kepada Dayyan Waiz semasa makan malam. Terbantut selera makan aku bila Dayyan Waiz terus bersetuju.
Hendak menjadi menantu mithali agaknya di Dayyan Waiz itu. Mulut aku mengherot ke tepi. Dengan dahi berkerut-kerut, aku jeling-jeling dia, tapi dia buat-buat tak faham dengan isyarat yang aku berikan. Haih!
"Dayyan dah ada tempat kalau hendak bercuti. Tak jauh, dalam area Kuala Lumpur. Bolehlah kalau nak bercuti sehari-dua. Mak dan ayah boleh turut serta sekali." Begitu Dayyan Waiz mengkhabarkan, membuat emak kelihatan teruja.




Namun emak menolak, katanya dia dengan ayah tak boleh turut serta sebab mereka sudah berjanji dengan sahabat-sahabat zaman sekolah untuk ke majlis reunion

Namun emak menolak, katanya dia dengan ayah tak boleh turut serta sebab mereka sudah berjanji dengan sahabat-sahabat zaman sekolah untuk ke majlis reunion. Majlis tersebut telah berbulan dirancang dan emak pula memang teringin sangat hendak bertemu semula dengan rakan-rakan yang terputus hubungan.
Hebat orang tua zaman ini. Aku yang belum begitu lama menamatkan pengajian pun belum sempat merasa menghadiri mana-mana majlis reunion dengan rakan-rakan sekolah. Baik sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pusat pengajian tinggi.
"Tak sabar hendak bersua muka dengan kawan-kawan mak."
"Ada tema ke majlis tu, mak?"
"Tema? Pengerusi majlis kata, temanya balik ke sekolah."
Aku sengih. Terbayang-bayang di mata emak dan ayah menghadiri majlis reunion tersebut dengan memakai pakaian seragam sekolah. Biasa dah pihak yang menganjurkan majlis perjumpaan semula mengenakan tema kembali ke sekolah. Dah tak rare dah.
Teringin juga hendak melihat emak dan ayah mengenakan pakaian sekolah. Bagaimanalah agaknya penampilan mereka. Haih, tiba-tiba terasa rindu hendak kembali ke zaman persekolahan.
"Tak apalah, emak dan ayah teruskanlah dengan majlis tersebut. Biar Dayyan dengan Unna sahaja melayan anak-anak Abang Long," ujar Encik Suami sambil mengenyitkan mata kepada aku.
"Err ..." Aku tidak sempat mahu berkata apa-apa, Dayyan Waiz sudah menyambung.
"Bila lagi hendak berkenalan dengan anak-anak buah. Lagipun, dalam keluarga Dayyan, belum ada lagi adik-beradik yang ada anak sendiri."
Aipp! Aipp! Aipp! Heh! Bibir aku ketap, mata aku jegil-jegilkan kepada dia. Nasib baiklah aku tak jumpa kaki dia, kalau tak, aku pijak-pijak juga nak bagi dia faham maksud mata aku yang bagai hendak terjojol memandang dia.
Aku mati-mati hendak mengelak daripada bercuti dengan dia, nak-nak bercuti dengan anak-anak buah aku. Dia belum tahu lagi bagaimana rasanya menjaga tiga orang anak buah yang nakal-nakal belaka itu. Siaplah dia nanti, kalau bukan aku yang mengajar dia, anak-anak buah aku tu yang akan mengajar. Masa tu, baru dia tahu langit tinggi rendah.
"Sambil-sambil tu, bolehlah Dayyan belajar menjadi seorang ayah sementara menunggu anak sendiri. Betul tak Unna?" Matanya mengerling aku.
Apa petik-petik nama aku? Sengaja aku sepetkan mata aku.
"Eloklah tu Dayyan, ajar sikit Unna ni macam mana hendak menjadi seorang ibu. Mak ni, kalau boleh nak juga cucu yang berada di depan mata. Yang ada, nun jauh di luar negara. Bukannya boleh balik selalu. " Emak menyampuk. Pakat sama hendak mengenakan aku.
Aku mencebik sebelum cepat-cepat menukar topik.
"Kenapa Kak Long tak ikut balik sekali, Mak?"
"Kena siapkan tesis katanya, dan ada pembentangan kertas kerja dalam minggu yang sama. Nanti selepas selesai semua, Kak Long akan balik ke sini," jelas emak.
"Kenapa Abang Long tak tunggu je Kak Long, boleh balik sama-sama. Bukankah lebih mudah?"
"Rancangan asalnya memang begitu, tapi, penyewa rumah Abang Long hendak keluar dari rumah sewa secepat yang mungkin. Sebab itu Abang Long mengambil keputusan untuk turun ke Malaysia dengan anak-anak terlebih dahulu."
Sebenarnya abang sulung aku itu sudah mempunyai sebuah rumah sendiri tapi disewakan kepada orang lain sementara mereka menetap di luar negara sehingga isterinya menamatkan pengajian.
Seperti yang disampaikan oleh emak, penyewa rumah tersebut ditukarkan tempat kerja ke selatan tanah air dan bercadang hendak menamatkan kontrak sewaan dalam bulan ini. Rumah abang itu nanti akan diduduki oleh Kak Nia dan Abang Naufal sehingga mereka mempunyai rumah sendiri.
Kata emak lagi, Abang Long balikpun sebab hendak menguruskan hal rumah sewa tersebut. Kebetulan pula cuti sekolah bakal bermula di sana, sebab itu dibawa anak-anaknya balik ke tanah air bersama-sama, sambil menziarahi nenek dan atuk tersayang.
Yelah emak. Aku anggukkan sahaja kepala aku, bukankah aku anak bongsu yang menurut kata. Memang nasib anak bongsu selalu macam ni agaknya, kena patuh segala kata-kata dan perintah emak dan ayah, termasuklah kakak dan abang. Sekarang kena dengar cakap suami pula. Hurm ...



 Hurm


Aku terus mengunyah nasi dan lauk makan malam tanpa perasaan, sambil membayangkan hari-hari percutian yang membosankan bersama Dayyan Waiz. Hidup dengan lelaki itu sekarang pun sudah terasa seperti sedang berperang dengan diet.
Diet yang sanggup tak sanggup kau hadap je. Hidup yang dihidangkan dengan makanan tanpa garam dan perisa. Air kosong tanpa gula. Tawar. Bagaimana agaknya hidup aku dengan dia pada masa akan datang?
Aku pandang pinggan aku yang masih penuh dengan nasi dan lauk. Haih, aku dah kenapa? Dayyan Waiz tu mana boleh disamakan dengan makanan. Aku kuis-kuis nasi dengan sudu yang berada dalam genggaman. Meluah rasa tidak puas hati.
Ketika aku mengangkat wajah, Dayyan Waiz sedang ralit memerhatikan tingkah laku aku. Kening dia menjongket.
"Mak. Unna memang macam ni ye dari dulu?"
Spontan tangan aku berhenti menguis. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Mata terus melotot memandang dia.
"Macam mana tu?" tanya emak yang ketika itu sudah berada di tepi sinki. Emak menoleh memandang Dayyan Waiz sebelum mengalihkan pandangan ke arah aku.
"Comel."
Emak tergelak besar mendengar perkataan yang terlontar keluar daripada dua ulas bibir Dayyan Waiz.
Grrr ...



0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p