Rabu, 8 April 2020

My Adorable Ms Wifey Bab 10

ABANG Long dan anak-anak beliau bakal tiba di Lapangan Terbang KLIA, Sepang dalam masa beberapa jam lagi. Aku dan Dayyan Waiz diminta menjemput mereka. Emak dan ayah tidak dapat turut serta. Emak ada jemputan membaca Yassin di rumah jiran manakala ayah pula terbabit dalam mesyuarat Persatuan Penduduk taman. Orang kuat persatuanlah katakan.
Kami, akan pergi menjemput mereka dengan menggunakan kereta aku. Dayyan memang ada menawarkan kereta milik dia namun aku bertegas hendak menggunakan kereta aku. Malas, aku tak nak dia mengungkit-ungkit walaupun aku tahu dia mungkin bukan begitu orangnya.
“Unna, sudah berapa lama Unna tak servis kereta?” tanya Dayyan Waiz setelah memeriksa enjin, air radiator, minyak hitam dan beberapa benda berkaitan dengan kereta aku.
“Tak adalah lama sangat, baru lagi.” Sebenarnya aku sendiri tak ingat kali terakhir kereta tersebut diselenggarakan. Agak lama juga, sebelum insiden Kak Nia melarikan diri ke Langkawi lagi. Berbulan-bulan sebelum itu, erkk, rasanya.
“Hurm … kena servis lagi ni dalam masa terdekat. Minyak hitam tu dah tinggal sedikit,” bagitahu Dayyan Waiz sebelum memeriksa keadaan tayar.
“Tahu ke tak tahu macam mana nak periksa ni?”
Aku diam. Takkanlah aku hendak mengaku yang aku tahu bila hakikatnya aku memang tak tahu. Aku teguk air liur, kemudian pura-pura tidak mendengar.
“Jangan tahu bawa je.” Dia memerli.
Pedih telinga. Mata aku julingkan ke langit sebelum mencebik. Benci tau, kena perli-perli macam ni. Aku lepas nafas sedas.
“Tayar ni kurang angin. Kena isi, lambat-lambat nanti habis dia makan tayar,” jelas Dayyan Waiz sambil menendang-nendang sisi tayar.





“Siapa makan tayar?” Entah kenapa soalan kurang cerdik itu boleh keluar daripada mulut aku.
“Dayyanlah yang makan tayar,” ujar dia dengan muka tanpa perasaan dia tu.
Isk! Orang tanya betul-betul, dikenakannya aku pula. Mulut aku sudah terkumat-kamit memerhatikan dia yang sudah bergerak memeriksa tayar bahagian hadapan pula.
“Unna ke sini sekejap,” panggil Dayyan Waiz.
Aku segera mendapatkan dia. Dia membongkok ke arah tayar kereta. Aku turut membongkokkan badan aku di sisi dia.
“Nampak tak bunga di sebelah luar kedua-dua sisi tayar ni? Dah rosak ‘kan?”
Aku anggukkan kepala sambil memeriksa keadaan tayar yang ditunjukkan oleh Encik Suami.
“Semua ni berpunca daripada tayar yang tidak cukup tekanan angin.” Dayyan Waiz menegakkan badan lalu menyambung.
“Kereta, yang sudah lama digunakan, memang tayar dia akan kekurangan tekanan angin. Kadang tu mungkin disebabkan kebocoran kecil pada tayar yang kita tak sedar. Sebab tu kita kena periksa selalu. Sebulan sekali pun tak apa, janji periksa. Tayar spare pun silalah periksa sekali.”
Baiklah, Encik Pomen. Angguk aku. Bab-bab yang aku memang kurang mahir baiklah aku mengangguk dan mendengar saja. Sejenak kemudian dia masuk ke dalam perut kereta lalu menghidupkan enjin.
“Cepat masuk.” Cermin kereta diturunkan.
Segera aku menurut kata Encik Suami. Sebenarnya aku tak berani hendak memandu jauh-jauh sebab itu aku serahkan kunci kepada dia. Biar dia yang memandu.
“Unna ni, mesti jenis yang tak periksa kereta langsung, tahu, bila sampai masa, terus hantar ke tempat servis. Betul tak cakap Dayyan?”
Bibir aku terherot ke tepi. Malas aku hendak mengiyakan kata-kata Encik Suami. Kalau aku tahu kena bebel macam ni, baik aku bersetuju bila dia menawarkan diri ke KLIA dengan menaiki kereta dia.
“Jangan macam tu Unna, lebih baik tahu serba-sedikit, bila tahu sikit-sikit, orang pun berfikir dua tiga kali kalau nak tipu Unna.” Kereta dipandu keluar dari perkarangan rumah menuju ke jalan utama. Butang radio ditekan, siaran radio terus berkumandang di udara.
“Dayyan nak tanya Unna ni. Apa yang Unna tahu tentang kereta?”
“Adalah sikit-sikit.” Malu aku hendak mengaku yang aku memang tak tahu banyak sangat tentang kereta. Yelah, apa sahaja yang aku tahu? Kalau ditanya tentang apa yang aku belajar semasa aku mengambil lesen bertahun yang sudah, aku memang tak ingat langsung.
Rasanya ada juga diajar tentang anatomi kereta. Tapi? Apa yang aku ingat cuma diajar cara pemanduan serta undang-undang jalan raya sahaja. Perkara asas tentang kenderaan dan bagaimana hendak menjaganya tidak pula terlintas dalam memori aku.
“Baik, yang sikit-sikit tu apa?”
Hurmm … ada soalan pop kuiz ke apa lepas ni? Risau aku.
“Macam ni lah. Katakanlah kereta Unna tiba-tiba rosak di tengah jalan, apa yang Unna kena buat?”
“Call Dayyan?” Spontan aku menjawab.
Dia ketawa berdekah-dekah mendengar jawapan yang aku berikan. Berkerut-kerut dahi aku. Jawapan aku tu tak betul ke? Aku pandang dia dengan mata terkebil-kebil.
“Salah ke?” tanya aku.
Dia jeling aku sekilas sebelum memandang semula ke depan. Senyum tersungging di bibirnya. “Tak, tak salah.”
Kalau tak salah, kenapa gelak?
“Tak perlu fikir sangatlah fasal tu. Dayyan share sedikit perkara asas yang perlu Unna tahu dan buat terutama bila hendak memandu jauh.”
Kena tulis nota ke ni? Cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit. Aku nak taip satu persatu maklumat penting yang diberikan oleh Dayyan. Aku ni jenis yang suka mencatat, lebih mudah bagi aku hendak mengingat sesuatu berbanding dengan hanya mendengar.
“Unna nak buat apa tu?” Dia perasan aku mengambil keluar telefon bimbit dari dalam beg.





“Tak ada apa,” balas aku. “Dayyan cakap je, Unna dengar.”
“Nak buat notes ye?”
Aku cuma mengangguk.
“Baiklah kalau begitu. Dengar baik-baik. Pertama, seperti yang Dayyan terangkan tadi. Tekanan angin pada tayar. Dayyan tak perlu ulang semula, Unna masih ingat ‘kan?”
“Haah ye,” balasku.
“Kedua, brek. Bila brek sudah mula mengeluarkan bunyi bising, periksa. Bila Unna tekan brek tapi terpaksa tekan sampai jauh ke lantai, periksa. Bila terasa gegaran lain macam semasa menekan brek, periksa.”
“Baik, perkara satu, tekanan angin pada tayar. Perkara dua, brek.” Aku pandang dia dan dia menganggukkan kepala. Ketika ini kami sudah melepasi tol dan sedang menggunakan lebuhraya untuk ke Sepang.
“Lain?”
“Maksud Dayyan?”
“Yang Unna tahu.”
“Minyak hitam?” Biasanya, selepas tamat sesi penyelenggaraan, pusat servis yang menyediakan perkhidmatan tersebut akan menyerahkan semula baki minyak hitam yang tidak habis digunakan. Sebab tu, aku ingat minyak hitam ni.
“Kenapa dengan minyak hitam?”
Aku jongket bahu.
“Minyak hitam atau minyak enjin, itulah nadi kenderaan kita dan ia wajib ditukar mengikut tempoh masa pengunaan atau jumlah jarak perjalanan.”
“Lain, apa lagi yang Unna rasa penting untuk diperiksa?”
Aku geleng kepala.
“Okay, cukuplah tiga tu, yang lain Unna carilah sendiri. Google dua perkara ni, selain yang Dayyan sebut tadi. Bateri dan radiator.”
Aku ternganga. Macam tu je?
“Dayyan boleh bagitahu yang selebihnya kalau nak, tapi kenalah ada pengerasnya. Rugilah Dayyan buang air liur tapi tak dapat apa.”
“Siapa kata Dayyan tak dapat apa?” tukasku.
“Dayyan dapat apa?”
“Dayyan dapat pahala.”
Dia tergelak.
“Unna, Unna. Dayyan tahulah berkongsi ilmu yang baik dan bermanfaat, insya Allah akan diberi pahala, tapi Dayyan nak sesuatu daripada Unna.”
Opps! Maafkan aku, aku memang terlupa hendak mengucapkannya.
“Baik, terima kasih Dayyan.”
“Tak cukup,” balas Encik Suami sambil tergelak.
“Nak Unna belanja ke?” tanya aku. Hee, berkongsi ilmu pun hendak berkira. Aku bukannya orang lain pun, isteri dia kot.
“Nak, Unna belanjalah sesuatu yang tidak memerlukan wang ringgit.”
“Apa tu?” Dahi aku berkerut. Masalahnya ada ke, benda seperti yang dikatakan oleh dia?
Dayyan Waiz sudah tersengih. Kebetulan di hadapan ada simpang dan lampu trafik pula sudah bertukar merah. Dia memperlahankan kereta dan berhenti menanti lampu isyarat bertukar warna.





“Unna, ke sini, rapat dengan Dayyan. Biar Dayyan bagitahu.”
“Kenapa kena dekat-dekat?” Aku jarakkan tubuh aku.
“Dayyan bisikkan kat Unna jawapannya.”
“Memang kena berbisik ke?” Bibir aku segera terherot. Pelik betul dia ni.
“Iye, cepatlah. Sebelum lampu merah bertukar hijau.”
Aku ketap bibir sebelum merapatkan telinga ke arah Dayyan Waiz. Spontan bibir dia mendarat di pipi aku. Akibat tergamam, aku palingkan kepala memandang dia, bibir dia terus mendarat ke atas bibir aku. Jantung aku berdegup tidak tentu arah jadinya.
Dan … kedengaran hon dibunyikan bertalu-talu, daripada kenderaan yang berada di belakang. Haih!  




0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p