BIBIR dia melakar senyum. Suka membaca apa yang tercoret
pada sticky note itu agaknya? Aku
turut sama tersenyum. Alahai, rasa yang datang ini buat aku mahu menjadi
pujangga kepada Cik Tantrum sayang. Kalau boleh hari-hari aku mahu mengukir
namanya di dalam baris puisi-puisi yang datang menggebu-gebu menyesak minda.
Uik, senyuman yang terlakar pada bibir Cik Tantrum
tiba-tiba menghilang. Hadir untuk beberapa saat cuma? Sungguhlah dia ni. Terus
senyumku mati. Tak cukup menusuk hati kot, ayat yang tertera pada sticky note itu?
Aku lihat dia berpusing 180 darjah dengan sticky note di hujung jari, cari apa ya?
Tong sampah? Ada sahaja sedang elok terletak di tepi kubikel dia. Takkan dia tak
perasankannya? Atau mungkin, bukan itu yang dicari. Dia mahu campak ke mana ya,
sticky note yang aku tulis itu?
“Turn saya ke?”
Suara dia kedengaran bertanya kepada Raqib yang berhenti seketika di hadapan
dia. Pantas saja jemarinya menarik laci meja, menghantar sticky notes tadi ke ruang persembunyian?
Segera aku mengangkat muka, memandang wajah Raqib yang
sedang menghantar isyarat kepada aku. Sejurus kemudian mata ini terus mengekor
dia yang sedang bergerak menuju ke mesin pendua yang terletak di penghujung
koridor bersama dengan sebeban dokumen. Terkial-kial dia mengimbang dokumen itu
menggunakan kudrat lengan yang tidak sebesar mana. Kasihan, mahu saja aku
bangun membantu tapi dia lebih lincah dan pantas bergerak mengusaikan kerja.
Terbiasa barangkali.
Lima belas minit kemudian, dia bergerak kembali ke tempat
duduk. Derapan kaki yang seperti dipaksa melangkah itu membuatkan mata ini
menoleh segera ke empunya badan. Kenapalah mahu mencempung dokumen sebegitu
rupa? Senget separuh badan aku tengok.
Namun saat itulah. Mata dia menyapa mata aku. Aku terkedu
seribu bahasa. Hati bagai dipalu beribu-ribu kali. Aku terpukau. Terpesona.
Sungguhlah bak kata orang, dari mata terus ke hati. Bergetar seluruh jiwa
dibuatnya. Anehnya, dia sedikit pun tidak mengalihkan mata dia. Malah terus
berbalas pandang hinggalah akhirnya dia tiba di hadapan meja milik dia. Tidak
berkelip hatta sekali pun.
Tak boleh jadi ni. Aku harus berbuat sesuatu. Berbekalkan
itu, aku cuba siapkan sepantas yang boleh komputer milik Kak Sarah, kalau boleh
sebelum hari ini berakhir. Kalau tidak misi aku yang berakhir, dan punahlah
peluang yang ingin aku ciptakan itu.
“Terima kasih, dik,” ucap Kak Sarah sebaik sahaja aku
melangsaikan tugasan dan menunjukkan kepadanya cara membuka beberapa buah fail
dan aplikasi baru.
Kotak-kotak yang berselerakan di laluan antara dua
kubikel itu aku alihkan dan letakkannya di salah satu sudut ruang pejabat itu.
Di mana letaknya segala komputer lama yang telah digantikan baru dihimpun
sebelum dihantar ke stor. Mungkin untuk dimusnahkan atau dikitar semula, hanya
pihak syarikat sahaja yang tahu. Tidak termasuk dalam deskripsi tugasan aku.
Tanpa berlengah aku segera menuju ke arah meja Cik
Tantrum.
“Okey, turn
awak,” kataku sedikit teruja, memerhatikan raut wajah dia yang merona merah
disapa begitu. Terkejut barangkali dengan kemunculan aku yang tiba-tiba.
“Oh,” balas dia dengan mata terkebil-kebil.
Mungkin tidak menjangka aku yang akan mengendalikan
proses penukaran komputer lama milik dia kepada yang baru. Perlahan dia menolak
kerusi yang didudukinya ketika itu ke belakang lantas mengemas serba sedikit
ruang di atas meja, sebelum berpindah sementara ke belakang dengan membawa
beberapa buah fail untuk dia selesaikan. Mungkin kes-kes yang harus disegerakan.
“Lama ke?” Dia bertanya sebaik sahaja punggung dilabuhkan
ke atas kerusi. Fail yang dibawa disusun kemas-kemas di atas meja.
“Taklah,” balas aku sambil menyapu bersih wajah milik dia,
cuba mencari sesuatu di sebalik sinar mata bundar miliknya itu. Hampir sahaja
suara aku tidak kedengaran ketika membalas pertanyaan yang diajukan.
“Saya kena tunggu
ke?” Dia mengerling jam dinding. Wajah dia tampak resah, mungkin ada janji
dengan rakan sekerja untuk makan tengah hari.
Namun, aku tidak akan membiarkan itu yang berlaku. Aku akan mengikat dia cukup-cukup. Ini sahaja
masa yang aku ada, jika aku mahu bertindak pantas mencipta peluang untuk aku
dan dia beramah mesra.
“Bila saya dah selesai, awak kena ada. Ada few things yang saya kena terangkan.”
Aku cuba menjelaskan keperluan dia berada di sini bersama aku.
“Ada changes
ke?” Resah terpamer pada wajahnya yang merah-merah. Tampak seperti sedang
membahang atau mungkin sedang melawan rasa malu yang bertandang. Adakah sebab
cara aku merenung dia, melampau sangat? Atau memang hati dia juga sedang dipalu
ketika ini?
“Sikitlah.” Aku guna ibu jari dengan telunjuk untuk menunjukkan
berapa banyak perubahan yang bakal lahir akibat daripada penukaran komputer.
“Tak susah mana. Tapi, still awak kena ada, kalau tak awak mungkin a bit lost,” sambung aku bila dia tidak memberi sebarang tindak
balas. Kemudian, aku hadiahkan dia dengan secebis senyuman.
“Ok,” balas dia lambat-lambat, kepalanya terangguk
sekali. Sejurus kemudian dia beredar dengan membawa beberapa buah fail klien
lalu duduk di meja bahagian belakang.
Hati aku sedikit kecewa, kenapa pilih untuk duduk di
bahagian belakang? Bukankah meja bersebelahan itu juga kosong? Huh, aku dengan
fantasi aku. Tidak mengapa, biar aku uruskan dahulu penukaran komputer milik dia.
Sedang aku leka menyelenggara, tiba-tiba aku terasa ada
sekujur tubuh berdiri di samping. Terasa rapat sehingga wangian tubuh itu
menjengah deria. Berderau sedikit darah bila menyedari tubuh itu milik Cik
Tantrum.
“Maaf,” ucap dia membuatkan aku berkalih sedikit.
Berdegup jantung meneroka susuk tubuh milik dia. Cepat-cepat aku kalihkan mata
memandang jemarinya yang sedang menarik laci meja sisi.
Rupa-rupanya dia mahu mengambil telefon bimbit miliknya
dari dalam laci meja. Ketika itulah aku terpandangkan sticky notes yang aku tulis. Disematkan pada dinding bahagian dalam
laci tersebut. Hati aku kembali berbunga-bunga harapan. Argh! Sayang juga
rupanya dia pada sticky notes
tersebut. Aku mahu andaikan begitu, kalau tidak dia tidak akan menyimpannya. Betul
tak?
“Awak save dulu
dokumen-dokumen yang awak nak.” Aku berpaling menghadap dia, membuatkan dia
berpatah balik semula kepadaku.
Segera aku mengalihkan jemari dari papan kekunci sebelum
beranjak sedikit memberi ruang kepada dia. Dia menarik papan kekunci tersebut lalu
menekan aksara tertentu sebelum menekan butang sebelah kanan tetikus.
“Dah,” beritahu dia sambil menjeling ke arahku sekilas
membuatkan darah aku berderau menyerbu ke muka untuk yang kali ke berapa entah.
Kerlingan yang meruntuh jiwa, menangkap nurani aku hingga terperangkap di dalam
rasa galau.
Senyuman aku lemparkan, mengharap balasan.
“Adik, nak buah limau tak?” Tiba-tiba Kak Sarah yang aku
tukarkan komputernya tadi muncul berdiri di sebelah Cik Tantrum lalu
menghulurkan kepada aku dua biji limau.
Aku menerima dengan senang hati. Orang memberi kita
merasa, orang berbudi kita pun berbahasalah.
“Adik, dia ni terer fasal sistem dan komputer. Kalau akak
nak tanya apa-apa, mesti akak cari dia,” beritahu Kak Sarah membuatkan wajah
Cik Tantrum bertukar rona. Membahang merah, nampak comel di mata aku.
“Jangan percaya sangat cakap Kak Sarah ni, dia saja buat
cerita.” Cepat-cepat Cik Tantrum menidakkan. Nampak sangat orangnya itu pemalu
dan tidak suka dipuji melangit. Baguslah, memang kena dengan selera aku. Baru
usik sedikit, muka dah merah-merah macam biji saga.
“Betul dik.” Beria-ia Kak Sarah ketawa mengenakan Cik
Tantrum sebelum berlalu pergi.
“Kak Sarah cuma bergurau,” kata Cik Tantrum sambil
menggelengkan kepala. Wajahnya jelas kelihatan sedang menyembunyikan rasa malu.
Apa yang hendak dimalukan, tidaklah aku pasti tapi aku
senang hati melihat dia begitu. Dalam keadaan tersipu-sipu. Dia kemudiannya bergerak
menuju ke meja bersebelahan, melabuhkan punggung di atas kerusi milik Kak
Sarah.
“Naurah, ‘kan?” Aku menyeru nama dia membuatkan dia
berpaling menatap wajah aku. Sedap sekali sebaris nama itu. Naurah. “Password?”
Dia segera bangun mampir. Buat kali ke berapa entah, aku
berganjak sedikit memberi laluan kepadanya, memerhatikan susuk tubuh yang
sesedap mata memandang itu.
Selepas mengisi ruang kosong yang tertera pada skrin
komputer, dia kembali menjadi penghuni meja bersebelahan. Aku perasan matanya
yang sekejap-sekejap ditala pada jam berbentuk segiempat tepat yang tersergam
indah menghias dinding pejabat. Mungkin sedang membilang waktu yang sudah
dihabiskan menunggu aku. Maaflah, kalau aku mendera kamu Cik Tantrum.
“Awak memang tak ada access
internet ye?” Aku bertanya memecah suasana sepi. Tidak ramai pekerja
syarikat yang ada ketika itu. Mungkin sebab ramai yang sudah keluar mahu
mengisi perut, maklumlah waktu makan tengah hari.
“Haah, company
tak bagi.” Lembut suara Cik Tantrum menjengah pendengaran. Tidak ada pun
tanda-tanda wild cat seperti yang
digembur-gemburkan oleh Raqib. Elok sahaja berbicara dengan aku. Mungkin mood
dia agak baik hari ini.
“Ada orang boleh ada orang tak boleh ye ...”
Dia mengangguk sebelum tiba-tiba menarik rapat kerusi
yang beroda itu ke arah aku. Tersentak aku bila dia berbuat begitu, sungguh aku
tidak menjangkakannya. Nampak seperti selesa dan mesra.
“Tapi, kan…” Jeda. “Awak boleh buat kan? Bagi saya laluan
untuk access internet?” Mata
bersinar-sinar mengiringi pertanyaan yang lebih kepada permintaan itu menerpa
gegendang telinga.
Aku tertawa lucu melihat reaksi spontan itu. Buat aku tergoda.
Dia mencebir lalu mengengsotkan kerusi semula ke tempat asal. Argh, Cik Naurah.
Awak tahu tak awak sungguh menawan?
“Kalau main server
dia dah block, memang tak bolehlah,” beritahu
aku kemudian tidak mahu dia terasa hati. Tidak mahu dia salah sangka.
“Tapi, actually
… ada cara lain kan?” Mata dia berkerdipan semula.
Aku cuma mampu tersenyum sambil angkat bahu. Tubuh aku
sandarkan pada dinding kubikel, memerhatikan dia sambil memikirkan bagaimana
mahu menawan hati dia. Sudahnya aku tersengih tidak sudah-sudah.
“Company tak bagi cuti sekerat hari ke?”
“Hari ni balik macam biasa kecuali yang celebrate CNY,”
jawab dia.
“Saya, lepas habis
awak punya dah boleh balik,” beritahu aku walaupun dia tidak bertanya. Cubaan
untuk melakukan sesuatu, mencetuskan sesuatu sebenarnya.
“Oh, seronoklah … balik kampung ke?”
“Taklah. Kalau saya balik pun bukannya ada apa kat
kampung.” Sengaja aku tekankan sedikit perkataan bukannya ada apa.
“Iye lah, lainlah kalau raya awak ‘kan? Mesti awak cuti
sakan, kan?” Dia tertawa. Tawa yang mempesona. Tawa yang buat aku tergoda.
“Bukan jauh pun kampung saya. Naik motor tiga jam dah
boleh sampai.” Aku sudah membuka hikayat tentang diri sendiri.
“Kampung awak letaknya di mana?” Itulah reaksi balas yang
aku hendak.
“Batu Pahat. Kalau naik kereta, waktu perayaan macam ni,
masaklah. Traffic teruk.” Aku jongket
kening.
“Memanglah,” balas dia bersetuju dengan usul yang aku
berikan.
“Lagipun, kalau saya balik. Tak ada apa pun untuk saya
kat sana.” Aku ulang sekali lagi menanti reaksi daripada Cik Tantrum namun dia
diam sahaja.
Mata dia berkelip dan riak yang sukar aku tafsirkan
terlukis pada wajah. Sama ada dia tidak faham apa yang aku maksudkan atau
sebaliknya. Sekurang-kurangnya kalau dia bertanya kenapa aku berkata begitu,
mungkin boleh aku andaikan dia berminat ingin tahu lebih. Kalau begini reaksi
dia, aku pun hilang jalan. Patutkah aku berundur sekarang?
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p