RINDU itu datang bertamu, memalu jiwa menekan resah
hingga ke puncak. Aku juga yang hilang arah menanti si pencuri hati memunculkan
diri, meleraikan galau yang berputik di sanubari.
Aduhai, ke mana menghilang Cik Tantrum yang dirindu itu?
Semalam dia tak datang ke pejabat. Hari ini pun sama jugakah? Hendak bertanya
kepada rakan sepejabat dia, malu bertepek pula. Dia tak tahukah yang aku sedang
menunggu bagai nak rak di sini? Aku meraup wajah sendiri, terbayangkan wajah
dia yang seolah-olah muncul pada skrin komputer. Haish! Dah separuh angau dah
kot aku ni?
Tiba-tiba muncul seseorang melintasi deretan kubikel di
mana aku sedang berada sekarang ini. Aku toleh lagi sekali. Eh, itu macam
kelibat Cik Tantrum. Dahi aku berkerut sebelum mata aku kerdipkan beberapa
kali. Manalah tahu aku tersalah pandang. Dia melayangkan senyuman. Untuk
akukah? Kelu lidah aku tiba-tiba bila dia duduk selang dua meja berhampiran.
Apa yang harus aku lakukan?
Tapi, dia nampak seolah-olah sedang stress sahaja. Lupakah aku, nama pun Cik Tantrum ‘kan? Seriau juga
tengok muka yang garang ala-ala comel tu. Kalau aku mulakan langkah, harus kena
sedas ni. Masa berlalu. Tik Tok Tik Tok. Hurm...
Ketika hati aku sedang libang libu memikirkan jalan untuk
berhubung dengan Cik Tantrum, tiba-tiba aku dipanggil balik ke pejabat utama
untuk urusan yang lebih penting. Sudah. Inikah kesudahannya? Beginikah
pengakhirannya kisah kita, wahai Cik Tantrum? Aduhai.
Aku melangkah pergi dengan hati yang berat, membawa hati
yang sarat, membawa cinta yang tidak kesampaian. Mahu berkata sesuatu kepada
dia tapi bibir seolah-olah terkunci, sebaik sahaja terpandang wajah miliknya. Sebelum
beredar, aku putuskan untuk menulis satu lagi nota. Nota terakhir itu aku
titipkan, dengan iringan doa. Mudah-mudahan pesan rindu itu sampai ke hati dia
dengan izin Allah.
Rindu ini akan bertamu, lebih lama dari yang terjangka, kutitip doa satukan
kita, andai engkaulah tulang rusuk itu, moga cinta ini utuh dan mekar hingga
kita bertemu semula
LAMA juga aku tidak melayari laman muka buku. Selama
beberapa bulan ini, aku tiada keinginan mahu berbuat begitu. Lagipun, aku
bukannya ada momen yang luar biasa mahu dikongsi dengan mereka yang lain. Hidup
aku biasa-biasa saja. Tapi, entah kenapa hari ini hati aku tergerak mahu
membuka laman muka buku milik aku yang sudah bersawang ini. Hee...
Ketika
aku melayan post dan momen rakan-rakan di laman sosial facebook ini, aku perasan ikon mesej ditandakan dengan nombor. Eh,
terasa pelik pula. Aku pun ada mendapat pesanan. Pesanan? Pesanan daripada
siapa?
Aku klik butang pesanan tersebut. Bila ni? Hah? Dua bulan
yang lepas? Macam mana boleh terlepas pandang ni? Dup dap dup dap.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku turut jejak rindu itu,
mencari penawarnya
Hati sudah berdebar-debar. Jantung dipalu tidak berhenti.
Siapa yang menghantarnya? Dia kah? Naurah Abdullah? Eh, eh! Cik Tantrum? Biar
betul? Aku tekan butang profail mahu memastikan yang si pengirimnya itu betul
Cik Tantrum.
Ya Allah, Tuhan, Kau makbulkan doa aku. Ya Allah, kalau
awak ada kat sini Cik Tantrum, rasa macam nak bawa awak jumpa mak kita sekarang
juga.
Sekali hati ini disentuh, tidak pernah akan berubah pemiliknya, selain
dikau yang menjadi dambaan, terima kasih Cik Tantrum kerana menjawab paluan
rindu itu.
Malam itu juga, aku hantar pesanan ringkas kepada mak
dengan hati berbunga-bunga. Ye lah, selama ini mak asyik bising sahaja. Bila
nak bawa balik menantu? Bila nak kenalkan kepada mak orang tersayang? Kalau tak
ada, nanti mak rekomenkan. Aduh, pening juga hendak menjawab semua itu.
Sekarang dah tak payah pening-pening dah. Bawa sahaja Cik Tantrum ni jumpa mak.
“Mak, ingat tak perempuan yang adik cerita tempoh hari?”
bibir aku tersenyum-senyum ketika mengungkapkannya. Kalau mak nampak keadaan
aku ketika ini, mesti mak cop aku serupa perempuan gedik. Walaupun aku lelaki.
Sesaat kemudian aku hantarkan gambar Cik Tantrum yang
kuculik dari laman muka buku milik dia. Maaflah Cik Naurah, aku teruja sangat sehingga
tak terfikir mahu meminta kebenaran daripada awak. Halalkan sahaja ya.
“Mak inilah, perempuan yang adik cakap hari tu. Mak, adik
nak pinang dia boleh mak?” Aku gelak sendiri membaca pesanan yang aku hantar
kepada mak. Kalau berjaya, raya ini aku bakal membawa balik bakal menantu mak.
“Bawa jumpa mak dulu,” balas mak dengan emotikon
tersenyum di penghujung pesanan.
“Insya Allah mak, raya ni adik bawa dia balik jumpa mak.”
Dan, berbekalkan lampu hijau yang mak bagi, juga doa yang
aku pohon kepadaNya, membawa aku kepada hari ini. Hari aku mendapatkan cinta
aku yang tertangguh. Lalu kumulakan dengan Bismillah, kemudian aku melangkah membawa
sejambak bunga di genggaman, sekeping kad raya juga sekeping nota pelekat.
Aku cekalkan diri membawa harapan, ia masih belum
terlewat untuk aku menggapai cinta pandang pertama aku. Senyum semakin melebar.
Aku akan pastikan awak, Cik Tantrum tidak hilang dari genggaman. Akan aku
pastikan awak menjadi yang halal di sisi aku. Aamiin.
TAMAT
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p