BULAN pertama selepas dia menghilang dari mata. Minda
masih terbayangkan wajah dan senyuman manis yang dia lemparkan. Suara lemak
merdu milik dia bagai terngiang-ngiang di cuping telinga. Ada kalanya aku
tertanya-tanya kenapa, mengapa? Hendak bercerita dengan kawan-kawan, rasa malu
menerjah. Maklumlah terpikat dengan orang yang kita tak kenal. Hanya tahu nama
dan tempat kerja sahaja. Okey kot, ada tu terpikay dengan insan yang nama pun
tak tahu langsung.
Terlintas
juga mahu menghubungi dia di tempat kerja, kalau tidak silap ada sahaja nombor
telefon pejabat tertera di dalam borang penilaian tempoh hari. Tapi, aku belum
bersedia melakukan sesuatu yang sedrastik itu. Tunggulah, bila mood gila-gila
itu datang. Mungkin sahaja aku mampu mengambil gagang dan menekan nombor yang
ada. Bukannya susah pun, kan?
Anehnya, sebaik sahaja petugas-petugas dari syarikat yang
mengendalikan penukaran komputer di jabatan aku itu selesai dengan tugasan
mereka, si pengirim sticky notes
turut sama menghilangkan diri. Mungkinkah, dia merupakan salah seorang daripada
mereka? Bagaimana kalau pengirim nota itu Almi? Atau mungkin mamat berkaca mata
yang hingga sekarang aku tidak tahu namanya itu? Haish, entahlah. Biar sahaja,
perkara dah lepas pun. Cukuplah jadi kenang-kenangan.
Rindu ini datang bertamu, lebih lama dari yang terjangka,
kutitip doa satukan kita, andai engkaulah pemilik tulang rusuk itu, moga cinta ini
utuh dan mekar hingga kita bertemu semula
Nota terakhir yang aku terima adalah pada hari terakhir
mereka berada di tempat kerja aku. Benci aku memikirkannya. Ditinggalkan dalam
teka-teki. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Tiada niat mahu mencari si
pengirim misteri. Mungkin juga kerana petunjuk itu tidak ada, jadi menyukarkan
aku mahu menjejaknya. Hurm. Minda aku segera beralih kepada Almi, entah kenapa
kuat sungguh aura dia menyentuh jiwa aku.
Rasa-rasa aku tiga hari mengenali pemuda bernama Almi itu
tidak cukup untuk aku terangaukan dia sampai menjadi stalker. Rupa-rupanya aku tersilap menilai diri sendiri, jari-jemari
ini gatal juga mahu menaip nama penuh itu di ruangan yang disediakan oleh Encik
Google. Argh! Kelakar pun ada, dari carian web ke carian imej. Tak popular
rupanya si pencuri hati ini. Jadi, kecewalah aku kerana pencarian melalui Encik
Google tidak berjaya. Itu baru bulan pertama, geleng kepala aku memikirkan
betapa gigihnya aku mencari maklumat hampir setiap malam.
Tak cukup carian di Google. Aku luaskan pencarian ke laman
Facebook pula. Huhu, ramai rupanya
manusia yang memiliki sebaris nama yang sama dengan si pencuri hati. Masak aku
kalau nak klik satu per satu. Banyak gila kot namun siapa sangka aku punya
kegigihan yang jitu. Cari punya cari sampai lenguh jari, tapi apakan daya semangat
aku lebih kuat jika hendak dibandingkan dengan rasa lenguh tersebut. Tergelak
aku sendirian. Sehingga akhirnya, pencarian itu berakhir. Yes! Usaha membuahkan hasil. Masa itulah fikir berpuluh-puluh kali,
nak hantar friend request atau tidak?
Dua tiga hari juga aku berfikir sama ada mahu meneruskan
hasrat menjadikan dia rakan laman muka buku. Buatnya dia tidak ada respons? Aku
juga yang kecewa, kan? Tapi dari tidak tahu, baiklah dapat tahu kesudahannya,
‘kan? Lagi cepat, lagi bagus. Atau sebenarnya, lagi cepat ditolak, lagi cepat untuk
aku mencari yang lain. Huhu.
Sebelum aku menekan butang add, aku berkira-kira mahu menitipkan pesanan terlebih dahulu
kepada dia. Penat aku memerah otak mengarang ayat puitis yang tidak berapa
hendak puitis di telingaku. Berbunyi lebih kurang;
Kuketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Kuturut
jejak rindu itu, mencari penawar yang menghilang, Apa betul ini laluannya?
Dalam teragak-agak mahu menghantar atau tidak, aku
tertekan butang send. Argh! Sudah.
Boleh tarik balik ke? Aisey.... Apa nak jadi, jadilah. Begitu aku putuskan.
Malangnya, tunggu punya tunggu. Tiada balasan untuk
pesanan yang aku hantar, boleh? Hari-hari aku buka laman facebook milik aku. Hari-hari aku skodeng momen dia. Yang paling last update pun tiga empat bulan lepas.
Dia ni tak aktif ke, apa? Geram pun ada. Annoying
tahu tak? Hendak sahaja aku hantar pesanan beribu-ribu kepada dia, biar penuh
kotak mesej dia dengan pesanan daripada aku. Tapi, nampak macam tak masuk akal
pula. Memang tak masuk akal pun bukan?
Tiba-tiba terasa bodoh pula melakukan semua benda-benda
tak berfaedah itu. Tidak berfaedah bukan? Heh! Tapi, kalau tak buat macam tu,
aku tak akan tahu kesudahannya ‘kan? Anehnya cinta itu, membuatkan jiwa dan
hati memberontak tidak keruan. Anehnya cinta itu, hadirnya bisa membuat kita
melakukan perkara yang kadang-kadang tidak terjangkau dek akal dan fikiran.
Akhirnya, selepas berminggu-minggu jadi pemerhati senyap.
Selepas berminggu-minggu melayan hati yang rawan. Hati sudah redha dan boleh
menerima. Aku lepaskan dia. Aku lepaskan hati yang menginginkan dia. Aku didik
hati dan jiwa aku agar tidak mengejar dia mahupun bayang-bayang dia. Sukar? Mungkin,
sedikit.
Minggu sudah bertukar bulan. Tika aku sudah berhenti
membilang hari. Tika aku sudah lupa resah hati yang minta disembuhkan. Tika aku
sudah puas mengikis rindu yang menggunung menjadi dataran lembah. Tika harapan
itu tidak lagi menjadi satu obsesi. Rasa itu muncul kembali, bersama kejutan
yang tidak terjangka.
Sejambak bunga muncul di atas meja. Dengan sekeping kad
ucapan hari raya diselitkan di celah-celah bunga itu. Aku ambil dan aku baca,
ada sekeping nota pelekat di dalam kad tersebut.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku
turut jejak rindu itu, mencari penawarnya, laluan terbentang di hadapan, teruskan
langkahmu
Eh? Ini? Tersentap jiwa seketika. Lebih tersentap bila
membaca apa yang tertulis di dalam kad tersebut. Jatuh rahang.
Kalau pesanan ini daripada awak, Cik Naurah. Sila angkat
telefon di sisi awak yang bakal berdering dalam seminit dua lagi. Almi.
Beberapa saat kemudian, telefon di atas meja berdering.
Hati mula dup dap dup dap. Gagang aku angkat.
“Assalam, Cik Naurah...” Suara lunak merdu itu. Luruh
jantung aku. Rasa seperti jatuh cinta sekali lagi. Rasa wajah diserbu bahang yang
hangat. Diri pula seperti mencair bak ais yang disentuh api yang membara.
Aduhai Cik Naurah. Bibir menguntum senyum tak sudah. Saat
itu terlintas di fikiran, bila harapan diserap ke dalam doa. Bila harapan
diserahkan pada yang maha Esa. Inikah jawapannya? Sungguh aku bersyukur, Amin
Ya Rabb Alamin. Kuserahkan kepadaMu ya Allah, semoga ini permulaan langkah aku
dan dia ke Jannah.
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p