Sabtu, 21 Januari 2017

P.A Encik Hafizz Elsad: 2nd Chapter


Salam & Morning peeps
Dah baca episod pengenalan? Kalau dah baca, ini episod seterusnya. Kalau ada yang terkurang mohon maaf ye, semoga terhibur. love xoxo. ;p

“ADUH!” jerit seorang pelajar lelaki yang terjatuh akibat terseradung dek kaki kecil comel molek milik Zulaikha Aaliya. Jatuh berdebuk dan berguling di depan mata Zulaikha Aaliya, memang sadis terjatuh dalam keadaan begitu.
Padan mu... Belum sempat Zulaikha Aaliya mengutuk dalam hati, diri sendiri gagal mengimbangi badan. Puas Zulaikha Aaliya acah-acah agar kaki yang melunjur itu kuat bertahan. Malang tidak berbau, akibatnya Zulaikha Aaliya turut sama terjatuh. Tubuh berpaling dan dia jatuh terduduk. Aduh, sakitnya punggung!  
Air mata meleleh menahan perit. Padan dengan muka sendiri, inilah balasannya kalau berniat tidak baik. Omel Zulaikha Aaliya dalam hati sambil mencuri pandang pelajar lelaki yang menjadi mangsa kakinya.
Berkerut-kerut wajah pemuda itu. Betapa sakitnya punggung Zulaikha Aaliya ketika itu sudah tentu tidak setanding dengan kesakitan yang dirasai oleh pelajar lelaki itu. Jatuh tersembam ke atas muka tanah. Mesti lebih menyakitkan! Nasib baik ada rumput permaidani yang menghiasi permukaan tanah tersebut. Kalau tidak, mesti muka tu dah lebam-lebam, kan?


Padan muka, berani menghendap aku lagi, sumpah Zulaikha Aaliya dalam hati. Hilang sedikit rasa sakit akibat terjatuh sama sebentar tadi. Zulaikha Aaliya terseringai menahan sakit. Terpejam-pejam mata dia mengawal rasa agar tidak terpamer pada wajah.
Terkial-kial pelajar lelaki itu cuba bangun dan berdiri namun jatuh terduduk semula. Kelihatan dia mengaduh kesakitan. Zulaikha Aaliya pula tanpa menunggu lebih lama, pantas berdiri membetulkan duduk pakaiannya kemudian mengatur langkah menuju ke arah pelajar lelaki tersebut.
Sambil menghela nafas sedas Zulaikha Aaliya bertanya, “Engkau siapa haa? Kenapa engkau ikut aku?”
Beraninya dia? Pelajar lelaki yang masih belum berganjak daripada kedudukannya ketika itu kelihatan terpinga-pinga. Wajah Zulaikha Aaliya dipandang penuh tanda-tanya. Berkerut-kerut dahi, dengan mata menyepet terarah kepada gadis tersebut. Tidak tahulah sebab menahan kesakitan atau sebab lain.
Biar betul mamat ni, buat muka tak bersalah pula, getus Zulaikha Aaliya memandang dengan sedikit rasa keliru. Matanya berkerdipan buat seketika.
“Bila pula aku buat macam tu?” Pelajar lelaki itu mengajukan pertanyaan tanpa menjawab soalan Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya angkat kening. Buat-buat tak faham ye. Bibir diherotkan ke kanan.
Pelajar lelaki itu masih menunjukkan wajah naif dengan kedua-dua keningnya terjongket.
Kecik-kecik mata Zulaikha Aaliya merenung pelajar lelaki tersebut walaupun hati dia mulai was-was. Bagaimana kalau pelajar lelaki itu tiada niat mahu mengekori dirinya? Bagaimana kalau pelajar tersebut juga dikejar sesuatu seperti dirinya? Melarikan diri dari sesuatu. Urgh!  
Isk! Tapi, bila difikir-fikirkan malas pula dia hendak melayan. Tak kuasa dia hendak mencari fasal dengan sesiapapun setelah hatinya disakiti dengan komen-komen Nazri semasa perbincangan kumpulan tadi. Lagipun, pelajar tersebut kelihatan seperti pelajar baru. Tidak pernah kelihatan sebelum ini.
“Tak apalah,” ujar Zulaikha Aaliya segera berubah fikiran lalu memusingkan tubuh badannya. Lebih baik kalau dia pergi sahaja daripada tempat itu, bergerak menuju destinasi sebenar.
Tatkala melihat Zulaikha Aaliya mengorak langkah ingin meninggalkan tempat kejadian, pelajar lelaki itu cuba bangun dengan payah.
“Aduh!” Pemuda itu terduduk semula membuatkan Zulaikha Aaliya berpaling serta merta.
Sakit sangat ke? Kasihan pula Zulaikha Aaliya melihatnya. Dia jenis yang bertimbang rasa juga. Manalah tahu kut-kut ada yang terkehel, tergeliat, tercedera bahagian dalaman pula. Parah tu beb! Lagipun, dia yang membuatkan pelajar tersebut jatuh. Sekurang-kurangnya dia patut memohon maaf.
Zulaikha Aaliya menelek wajah pelajar lelaki yang sedang terkerut-kerut itu. Timbul rasa belas. Mungkin pelajar lelaki itu tiada niat langsung untuk mengekori dirinya seperti yang disangkakan. Dia yang tersalah faham agaknya.
Perlahan dia melangkah semula mendekati pemuda yang masih belum diketahui namanya itu.
“Awak okey?
Pelajar lelaki itu mendongak memandang Zulaikha Aaliya yang sedang mengajukan pertanyaan. Kening dikerutkan. Mata juga dikecilkan. Wajahnya seperti ingin menyatakan sesuatu.
Engkau yang buat aku macam ni, boleh pula bertanyakan soalan sebegitu. Agaknya, detik hati Zulaikha Aaliya. Ralat pula Zulaikha Aaliya memikirkannya, berubah sedikit riak wajahnya. Air liur diteguk. Walaupun pemuda itu tidak memberikan apa-apa respons tapi riak wajahnya membuatkan Zulaikha Aaliya rasa bersalah yang teramat.
“Maaf, biar saya tolong awak.” Sekurang-kurangnya itu yang termampu dia lakukan setelah insiden tersebut.
Ketika Zulaikha Aaliya menghulurkan tangan untuk membantu, pelajar lelaki itu segera mengukirkan secebis tersenyum. Senyuman bermakna yang gagal dilihat oleh Zulaikha Aaliya.
Mari kita lihat siapa yang kena! Desis pelajar lelaki itu di dalam hati. Umpan sudah termakan jerat. Menunggu masa untuk masuk ke dalam perangkap sahaja.
Dia tidak menyambut huluran tangan Zulaikha Aaliya sebaliknya menggenggam erat pergelangan tangan Zulaikha Aaliya yang dibaluti kemeja lengan panjang berwarna maroon itu.
Zulaikha Aaliya tersentap sebentar tapi pantas dia menghapuskan perasaan syak wasangkanya itu dan cuba sedaya upaya menahan tubuhnya dari berganjak agar dia boleh membantu pelajar lelaki itu bangun dan berdiri dengan betul.
Apa yang sedang kau fikirkan Zulaikha Aaliya? Dalam situasi yang agak membingungkan itu, Zulaikha Aaliya mengeluh. Kenapa terasa payah benar hendak menegakkan pelajar lelaki ini? Kalau dilihat fizikalnya tidak adalah sebesar manapun.
Tanpa dia menduga, dengan tak semena-mena dia pula yang terdorong ke hadapan lalu jatuh menimpa pelajar lelaki tersebut. Jatuh mendarat ke atas tubuh pelajar lelaki itu. Spontan juga badan pelajar lelaki itu rebah semula ke atas permukaan tanah. Nasib baik kedua belah telapak tangan Zulaikha Aaliya melekap ke atas dada pelajar lelaki itu, kalau tidak jarak antara wajah mereka berdua mungkin kurang seinci!
Ya Allah! Macam mana pula boleh jadi begini? Tulah agaknya!  
“Adoi!” Jerit pemuda itu, lebih kuat dari yang tadi.
“Beratnya engkau. Macam dihempap dengan batu, rasa badan aku.” Nampak saja kurus, tapi beratnya boleh tahan. Pelajar lelaki itu menggelengkan kepala. Mungkin terselit rasa menyesal membuatkan Zulaikha Aaliya terjatuh.
Malu, malunya tak terkata. Alahai! Cepat-cepat Zulaikha Aaliya bangun dari situasi yang agak mengaibkan itu. Terasa menyirap darah ke muka bagai disimbah air sirap. Nasib baik malam agak kelam, jadinya wajah putih Zulaikha Aaliya yang sudah bertukar rona merah menyala itu tidak kelihatan sangat.
Apa daa. Isk! Tapi, kenapa pula jantung aku berdetak tak ikut rentak ni? Soal Zulaikha Aaliya pada diri sendiri. Kepala ditoleh ke belakang dengan matanya terpejam sejenak menahan rasa malu.
“Kau nak tolong aku atau kau nak bunuh aku?” tanya pelajar lelaki itu sambil bangun separuh badan dari baringan dengan kedua-dua kaki masih menjulur di atas bumi.
“Sorry, tak sengaja,” jawab Zulaikha Aaliya mengangkat tangan tanda memohon maaf.
Pelajar lelaki itu ketawa kecil lantas perlahan-lahan dia bangun sambil mengibas punggung dan terus berdiri tegak. Kedua-dua belah tangan diangkat ke atas lalu menggeliat sebelum meletakkan tangannya itu ke belakang pinggang. Tidak ada niatpun mahu menyembunyikan lakonannya yang agak cemerlang sebentar tadi. Dia bermain mata pada Zulaikha Aaliya membuatkan gadis itu terkedu sebentar.
Bodohnya aku! Kurang asam! Berani dia mempermainkan aku. Bibir diketap rapat. Marah terasa meruap ke seluruh badan. Bulat mata Zulaikha Aaliya memandang.
Pelajar lelaki itu terseringai.
“Kau… Berani kau… Siaplah engkau!” Suara Zulaikha Aaliya kedengaran tersekat-sekat. Marah yang amatlah tu.
Pelajar lelaki itu tersenyum lagi. Mata menyapu bersih wajah Zulaikha Aaliya yang sedang merah-merah menahan amarah. Nampak sangat comel. Terpesona seketika dia dengan ciptaan Allah.
Zulaikha Aaliya kelihatan semakin panas hati melihat pelajar lelaki itu yang pada hematnya sedang memperkotak-katikkan dirinya.
Bahaya ni. Dah jadi macam harimau jadian pula. Baik aku buat sesuatu sebelum aku dibelasah. Bukan boleh dijangka gadis sekarang ni, nampak macam perempuan lembut tapi mana tahu ada black belt? Patah riuk aku dibuatnya. Think fast! Kerah pelajar lelaki itu kepada akal fikirannya.  
“Zulaikha... dengar sini.”
“Hah? Mana engkau tahu nama aku?” Mata Zulaikha Aaliya semakin membulat.
 “Maaf, Zulaikha, aku tak berniat apa-apa. Sungguh!” Kali ini dia memang berkata-kata dengan ikhlas, tiada niat tersembunyi.
Zulaikha Aaliya mengerutkan dahi tidak percaya. Dipandangnya muka pelajar lelaki yang sedang mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara. Kepalanya ligat memikirkan bagaimana pelajar baru itu boleh tahu nama dia. Popular sangat ke dia? Jangan, jangan ....
Zulaikha Aaliya maju selangkah.
“Zulaikha, betul aku…” Pelajar lelaki itu berundur setapak ke belakang.
Alamak! Zulaikha Aaliya memang dah hangin satu badan. Dia datang menerpa pelajar lelaki tersebut dengan buah tangan pulak tu.
Pergh!! Fuh!! Badan dikalih ke kiri. Penumbuk Zulaikha Aaliya terlepas ke udara kosong. Nasib baik sempat mengelak. Pelajar lelaki itu sapu wajah dengan telapak tangan.
Geram bukan main lagi Zulaikha Aaliya bila tumbukannya tidak mengena. Wargghh! Kenapa tak kena? Kenapa?? Pelajar lelaki itu nampak nampak tenang-tenang sahaja. Nak cuba lagi sekali ke tak?
“Zulaikha Aaliya, sebelum kau buat apa-apa, dengar dulu okey?” Pelajar lelaki itu bersuara, perlahan dan lembut seperti memujuk. Jangan buat hal. Boleh tahan baran juga Zulaikha Aaliya ni. Kalau tak mau lebam muka aku, walaupun tak seberapa tapi boleh tahan kacak juga aku ni.
“Macam mana kau tahu nama aku?” Zulaikha Aaliya bertanya sedikit kasar. Musykil juga.
“Hek-eleh, kat kolej kita yang cuma sebesar kangkang kera ni?”
“Apa yang engkau nak?” kendur sedikit suara kasar yang keluar daripada dua ulas bibir Zulaikha Aaliya.
“Engkau?”
“Hah?” Terbelalak mata Zulaikha Aaliya mendengarnya. Bibirnya berdecit halus. Budak ni nak kena jugak ni!
“Jangan marah, aku bergurau.”
Zulaikha Aaliya mengelipkan mata sekali mendengar kata-kata pelajar lelaki itu.
“Okey…okey. Sebenarnya. Sebenarnya dan yang benar, aku ada benda yang engkau nak.” Nakal kedengaran jawapan yang keluar daripada dua ulas bibir pelajar lelaki itu.
“Hah?” Buntang biji mata Zulaikha Aaliya. Mengarut sungguh dia ini, fikirnya.
“Betul. Tengok ni… Haa…sekarang siapa yang kena?” Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Sebuah dompet berukuran sederhana kecil dan berwarna cokelat gelap.


“Eh, itu dompet aku!” spontan Zulaikha Aaliya meraba kocek baju dan seluar. Laju sahaja tangannya ingin menjangkau dompet miliknya. Namun, pelajar lelaki itu segera melarikan dompet itu jauh-jauh.
“Mana kaudapat? Macam mana boleh ada kat kau?” tanya Zulaikha Aaliya bertalu-talu.
“Cuba engkau ingat?” Dompet tersebut digoyang-goyangkan. Mata Zulaikha Aaliya menari-nari mengikut gerakan dompet tersebut.
Aku tercicir ke? Itu sudah pasti. Tapi di mana? Kantin? Kelas? Atau semasa dalam perjalanan ke perpustakaan? Puas Zulaikha Aaliya cuba memikirkan dan mengingati tapi sia-sia belaka.
Pelajar lelaki itu masih menanti. Sesekali dia menilik kuku dan meniupnya.
Kat mana? Kat mana hah? Cuai sungguh. Zulaikha Aaliya menggelengkan kepala bila dia tidak berjaya menemukan jawapan yang dicari.
“Bak sini, bagi aku balik,” pinta Zulaikha Aaliya sedikit resah.
“Boleh, tapi… tak bolehlah bagi macam tu sahaja… adalah syaratnya.” Pelajar lelaki itu mengangkat kening dua kali. Mengejek.
“Syarat?” balas Zulaikha Aaliya pula. Bersyarat-syarat pula dia ni. Dia dah tengok ke isi kandungan dompet aku tu? Mestilah, iye tak? Kalau tak dia takkan tahu dompet itu milik aku.
Pelajar lelaki itu tersenyum simpul. Terasa seperti kemenangan itu berpihak kepada dirinya.
“Apa syaratnya?” Zulaikha Aaliya bertanya walaupun tahu sangat-sangat yang dia akan menyesal bertanyakan soalan itu. Sungguh!
“Sini…” Pelajar lelaki itu mengunjukkan pipinya sambil tersenyum nakal.
“Hah!” Zulaikha Aaliya melopong. Mata melotot geram. Penampar bolehlah!
“Tak-adalah. Aku bergurau. Apa kauingat aku jahat sangat?”
“Hmm… mana tahu.” Syukur, dia cuma bergurau rupanya. Zulaikha Aaliya mengurut dada. Tapi, kalau betul memang pipi itu akan dicium juga, dengan tapak kaki kasut. 
“Nah, aku kembalikan dengan syarat lepas ini kita jadi kawan. Boleh?” ujar pelajar lelaki itu sambil menghulurkan dompet tersebut kepada Zulaikha Aaliya.
“…” Mata Zulaikha Aaliya berkerdip. Tiada patah perkataan yang keluar, bisu sejenak. Blur pula Zulaikha Aaliya ni. Tapi tangannya tak segan pula menerima dompet yang memang miliknya daripada genggaman pelajar lelaki itu.
“Aik.... macam terlupakan sesuatu sahaja?” seloroh pelajar lelaki itu setelah dompet tersebut bertukar tangan.
Giliran Zulaikha Aaliya pula mengangkat kening.
“Hurmm… terima kasih banyak-banyak dan aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Lepas ni, kita jadi kawan.”
Senyuman dihadiahkan oleh pelajar lelaki tersebut.
“Terima kasih, tau.” Sedikit ralat tapi Zulaikha Aaliya merasakan yang dirinya memang wajar mengucapkan itu.
Tangan dihulur.
“Nak apa pulak ni?” Zulaikha Aaliya sedikit teragak-agak. Lebih kepada rasa serba-salah sebenarnya.
“Kawan?” kedengaran ikhlas. Pelajar lelaki itu menanti.
Nak hulur atau tak? Perlahan-lahan Zulaikha Aaliya menghulurkan tangan dan, pantas pula pelajar lelaki itu menarik semula tangannya.
“Tak boleh, bukan muhrim.”
Argh! Kata-kata pemuda itu membuatkan Zulaikha Aaliya termalu sendiri. Merah-merah muka dia kerana terlanjur. Benci! Memang saja dia hendak mengenakan aku, getus hati Zulikha sedikit geram.
“Kawan?” Kening pelajar lelaki itu terjongket dengan secebis senyuman.  
“Kawan,” balas Zulaikha Aaliya sejurus kemudian masih dalam keadaan tersipu.
“Hafizz, Hafizz Elsad.” Pelajar lelaki itu memperkenalkan diri sambil kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar.
“Zulaikha, Zulaikha Aaliya,” balas gadis itu pula sambil sebelah kaki menguis rumput.
“Aku tahu.” Bahu diangkat dengan senyuman masih tersungging di bibir. Nampak nakal dengan sepasang mata yang sengaja disepetkan selari dengan senyuman yang diberikan.
Jawapan yang selamba itu membuatkan mata Zulaikha Aaliya spontan mendarat kepada wajah penutur. Argh! Sekali lagi dia terkena. Rasa macam hendak dicekik-cekik sahaja mamat ni. Lebih-lebih lagi apabila melihat senyuman nakal yang bermain dibibir nipis milik pelajar lelaki itu. Geram yang berputik di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu ketika itu. Namun, yang dia mampu cuma tersenyum sahaja.

Lain kali sahaja aku balas, lain kali. Lain kali, Hafizz Elsad. Aku tak akan lupa sepotong nama milikmu itu. Dalam senyum, hati Zulaikha Aaliya berdetik. 



0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p