Jumaat, 27 Januari 2017

P. A Encik Hafizz Elsad: Chapter 3


OH! Jadi dialah pelajar lelaki yang dikecoh-kecohkan oleh ramai pelajar perempuan beberapa minggu kebelakangan ini. Dialah rupanya pelajar baru yang baru berpindah ke sini dan menjadi buah mulut warga kolej tempat Zulaikha Aaliya menuntut ketika itu. Termasuklah Ainin dan Muna, dua member yang tidak berapa hendak kamcing dengan Zulaikha Aaliya tapi selalu bersama dengan dia. Entah apa yang dikecohkan sangat, tidak kepingin Zulaikha Aaliya mengambil tahu.
Telinga Zulaikha Aaliya sempat menangkap perbualan antara Ainin dan Muna ketika mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke perpustakaan. Semuanya berkisar tentang pelajar baru itu, Hafizz Elsad, membuatkan dia malas hendak masuk campur. Tidak berkenaan, putusnya di dalam hati.
Kalaulah kedua-dua mereka itu tahu tentang insiden yang berlaku antara dia dengan Hafizz Elsad tempoh hari, tak tahulah apa yang bakal terjadi. Sebenarnya, sudah agak lama Hafizz Elsad mendaftar masuk ke kolej itu, hanya Zulaikha Aaliya sahaja yang tidak tahu. Atau langsung tidak mengambil tahu. Tidak ada keperluan bagi si empunya diri.         
Matanya terus terarah kepada sesusuk tubuh milik Nazri yang seolah-olah sedang menanti kedatangan mereka bertiga. Dari kejauhan, kelihatan Nazri sedang tersenyum simpul serupa pengantin atas pelamin yang malu-malu ketika diusik oleh para tetamu yang datang. Semakin hampir mereka bertiga kepadanya, semakin lebar senyuman yang menguntum.
Zulaikha Aaliya menoleh ke arah kanan, kiri dan belakang. Juga ke arah Ainin dan Muna yang seolah-olah tidak kisah. Masih leka berceloteh dengan hal sendiri. Seraya Zulaikha Aaliya membalas tanpa niat dan prasangka. Orang berbudi, kita berbahasa. Walaupun, dia memang tidak berkenan dengan lelaki yang seorang ini.
Nazri memandang Zulaikha Aaliya yang semakin menghampiri. Sesekali dia tunduk menguis lantai simen. Entah apa yang dikuisnya tidaklah Zulaikha Aaliya perasan sangat. Tapi tingkah Nazri yang seperti menunggu seseorang itu sedikit sebanyak mengganggu fikiran.
Tunggu aku ke? Takkanlah. Terdetik hati Zulaikha Aaliya tatkala melihat tingkah laku Nazri yang serba tak kena.  
“Assalamualaikum.” Nazri menyapa setibanya Zulaikha Aaliya di muka pintu perpustakaan. Di situlah dia menunggu.
“Waalaikumsalam,” jawab Zulaikha Aaliya ketika melewatinya dan tanpa pamit dia terus melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Dia bagi salam dengan semua orang yang masuk ke dalam perpustakaan agaknya.
“Zulaikha?” Panggilan Nazri membuatkan tubuh Zulaikha Aaliya berpaling.
“Ya?” balas Zulaikha Aaliya dengan kerut di dahi. Tanda-tanya berlegar-legar di dalam fikiran, membuat dia tidak jadi mahu meneruskan perjalanan. Langkah Ainin dan Muna yang bersama Zulaikha Aaliya ketika itu turut terhenti sama.
“Boleh kita bercakap sebentar?” Pandangan Nazri jatuh ke arah Zulaikha Aaliya sebelum beralih kepada Ainin dan Muna.
“Ika, kami pergi dahulu,” Ainin mewakili Muna bersuara, seolah-olah faham yang Nazri mungkin hanya mahu bercakap dengan Zulaikha Aaliya sahaja. Bersendirian, tidak mahu melibatkan dia dengan Muna.
Zulaikha Aaliya mengangguk dengan berat hati dan mereka meninggalkan dia bersama Nazri.   
Sedikit cuak Zulaikha Aaliya memandang Nazri. Ada kaitan dengan projek tempoh hari atau ada sebab lain yang hendak disampaikan oleh Nazri? Ketika itulah Zulaikha teringatkan perbualannya dengan Hainun dua-tiga hari yang lepas. Seram sejuk dia jadinya.
“Zulaikha, kawan Khairul hendak berkenalan.” Hainun memulakan bicara ketika singgah ke biliknya malam itu.
“Dengan siapa?” balas Zulaikha Aaliya tanpa menoleh. Sibuk menelaah komik, sementelah orang lain sibuk menelaah buku pelajaran dan nota kuliah.
“Kamulah, takkan dengan aku pula. Mana aku nak campak buah hati aku tu.” Sedikit berseloroh jawapan yang diberikan oleh Hainun. Dia melabuhkan separuh punggung ke atas katil lalu bersandar pada kepala katil.
Hey, Mak Enon ni, getus hati Zulaikha Aaliya sambil mengesotkan badan sedikit mahu memberi ruang kepada Hainun. Mamat mana pula yang berkehendakkan aku? Ni mesti kes nak matchingkan orang. Takde lain kerjanya, hari tu Suraya jadi mangsa. Dipasangkan Suraya itu dengan Irwandi. Katanya mereka berdua secocok sama tinggi sama rendah. Nasib baik menjadi. Tapi dengan aku, jangan haraplah.
Hainun membetulkan postur badan, sesekali cuba mengalihkan pandangan Zulaikha Aaliya agar memberi perhatian kepada topik perbualan. Tapi, Zulaikha Aaliya buat tidak tahu sahaja malah dengan selamba mengalihkan tangan Hainun yang melambai-lambai di hadapan mata mengganggu kelancaran pembacaannya ketika itu.
“Tak nak dan tak ada masa.” Pantas saja Zulaikha Aaliya menjawab. Mana ada masa hendak bercinta-cinta ketika ini. Lagipun fokusnya ketika itu lebih kepada mendapatkan sijil pelajaran terlebih dahulu, sebelum mendapatkan sijil nikah.
“Jual mahal pula,” ujar Hainun sambil mengambil menghenyak punggung beberapa kali. Sengaja. Berkeriut dan bergoyang-goyang katil kecil itu jadinya. Zulaikha Aaliya masih tidak peduli, matanya laju sahaja membaca komik yang berada di tangan.
“Aku belum bagitahupun siapa orangnya,” sambung Hainun lagi.
“Siapa-siapa pun orangnya, aku tidak berminat. Terima kasih sahaja.” Jangan bagi muka. Jangan bagi muka, begitu hati Zulaikha Aaliya mengingatkan. Bimbang termakan pujukan Hainun, mengetahui diri Hainun yang tahap dan daya memujuk boleh dikatakan yang terbaik dan cemerlang. Anugerah, dan sesuai kalau kelak dia menjadi seorang jurujual, mesti laku keras produk yang dijualnya.
“Orangnya memang sesuai… Baik, sopan-santun... sesuai sangat dengan engkau, Ika.” Hainun melobi.
Haah! Iyalah tu. Zulaikha Aaliya sudah membuat muka di sebalik komik yang dibacanya. “Tak nak. Noktah. End of conversation.
Hainun sudah bermain-main dengan hujung rambut Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya menggeleng kepala, meleraikan jemari Hainun yang sedang memintal rambutnya itu. Namun matanya masih melekat pada lembaran komik.
“Please, aku dah cakap yang kau dah setuju…”
“Apa?” Pantas Zulaikha Aaliya menoleh memandang Hainun. Matanya buntang dan terasa sendi-sendi badan menegang secara spontan. Bibir terherot ke tepi. Memang matanya berlari-lari membaca dialog yang tertera pada dada komik tapi  telinganya masih lagi menangkap setiap patah perkataan yang meluncur keluar dari bibir Hainun.
Hainun angkat kedua-dua kening, buat muka tidak bersalah. Bagi dia, Zulaikha Aaliya itu orangnya keras, dingin dan gadis seperti itu perlukan seseorang untuk membuatkan dia menjadi lebih lembut.
Wah! Wah! Wah! Buat keputusan tanpa pengetahuan aku dan yang paling penting tanpa persetujuan aku! Ini sudah lebih! Hati panas Zulaikha Aaliya bermonolog. Matanya dibesarkan tapi Hainun buat tak endah sahaja.
Bibir Hainun muncungkan dengan anak mata sengaja memandang siling. Badan dilenggok ke kiri ke kanan. Tahu Zulaikha Aaliya bila marah, marahnya cuma seketika. Tidak ke mana. Keras mana pun hati Zulaikha Aaliya, dia tidak akan melenting suka-suka. Itu sikap Zulaikha Aaliya yang dia suka.
“Hah? Setuju? Setuju apa? Aku tak kira, apa-apa yang kau dah cakap kat mamat tu baik kau tarik balik.”  Dengan muka cemberut Zulaikha Aaliya memberi amaran.
Hilang wajah Hainun menjelma pula wajah Nazri. Zulaikha Aaliya memandang Nazri. Setahu dia Nazri memang selalu bersama dengan Khairul. Huh! Diakah yang dimaksudkan oleh Hainun. Nazri orangnya? Lelaki yang selalu cari hal, cari fasal, cari masalah dengan dirinya, yang selalu tidak puas hati dengan kerja-kerja yang ditugaskan kepadanya? Lelaki itu?
“Aa? Ada apahal? Saya sibuk ni,” secara automatik intonasi suara Zulaikha Aaliya bertukar menjadi sedikit garang.
Nazri jadi salah tingkah. Kepala digaru-garu mencari kata-kata yang sesuai untuk dijadikan pembuka bicara bila Zulaikha Aaliya berkelakuan sedemikian rupa. Mungkin salah dia juga yang suka mencari hal dengan gadis itu sebelum ini. Dia sebenarnya cuma mahu menarik perhatian Zulaikha Aaliya. Mungkin cara dan pendekatan yang digunakan oleh dirinya itu tidak betul. Untuk seketika, dia jadi terkedu.
Zulaikha Aaliya berdehem. Hati baik dia sudah mula bersuara menjalankan tugas. Mungkin Nazri mahu meminta maaf atas sikapnya, mungkin dia tiada kaitan langsung dengan lelaki yang dimaksudkan oleh Hainun beberapa hari sebelumnya. Mungkin juga tiada apa-apa langsung. Tak baik bersalah-sangka. Jangan bertindak melulu. Lebih baik selidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.
 “Saya tak akan mengambil masa yang lama,” ujar Nazri bila dilihatnya Zulaikha Aaliya tidak bersuara.
Zulaikha Aaliya diam sejenak. Cuba mencari alasan agar diri tidak tersepit. Kalau boleh hendak mengelak sebenarnya. Tapi, bila difikir-fikirkan lebih lama dia mengelak lebih lama lagi masalah ini akan selesai. Lebih baik diselesaikan dalam kadar yang segera.
“Baiklah.” Macam nak tak nak Zulaikha Aaliya menjawab. Namun begitu, itu sudah cukup membuat Nazri merasa lega.
“Apakata kita berbincang di sana,” cadang Nazri merujuk ke arah sebuah bilik kuliah berdekatan.
Berbincang? Zulaikha Aaliya melepaskan keluhan kecil. Macam kes berat sahaja. Bibir Zulailkha terherot tanpa sedar ketika mengekor langkah Nazri menuju ke bilik kuliah yang dimaksudkan.
Dia meninjau ke dalam bilik kuliah tersebut, ada Sofian dan Pauldrik. Ada Rita dan seorang pelajar perempuan yang tidak dikenali. Perlahan dia mengangguk bersetuju bila Nazri memandang ke arahnya.
Zulaikha Aaliya melangkah menuju ke arah sebuah meja yang terletak berhampiran dengan pintu belakang bilik kuliah tersebut. Agak jauh daripada kedudukan pelajar yang sedang mengulang-kaji ketika itu. Nazri menurut sahaja langkah Zulaikha Aaliya.


Setelah meletakkan buku-buku yang dibawa ke atas meja, Zulaikha Aaliya melabuhkan punggung ke atas kerusi lalu memandang Nazri. Tanpa perasaan namun penuh dengan persoalan. Nazri yang masih lagi berdiri di hadapannya turut sama memandang ke arahnya. Wajah yang sarat dengan sesuatu yang belum mampu diluahkan. Itu yang terlintas di fikiran Zulaikha Aaliya ketika itu.   
Entah apa yang difikirkan oleh lelaki yang sedang berhadapan dengannya. Zulaikha tidak mampu hendak menebak. Selebihnya dia bimbang tersakiti oleh kata-kata yang bakal keluar dari bibir lelaki itu. Dia sudah serik menahan rasa.   
Sejenak kemudian, Nazri menarik sebuah kerusi lalu mengambil tempat di hadapan Zulaikha Aaliya. Sudah sampai masanya dia meluahkan segala yang tersimpan di hati. Dia tidak mahu menyimpan lagi, lebih baik dia berterus-terang. Selama ini Zulaikha Aaliya seolah-olah tidak faham apa yang ingin dia sampaikan. Malah gadis itu semakin lama semakin menjauh hingga sukar untuk dia mahu menggapai.
“Saya rasa kita patut berbincang.” Nazri menopang dagu sambil menatap wajah Zulaikha Aaliya.
Baik, sekali lagi dia mengulang perkataan bincang itu. Bibir Zulaikha Aaliya terherot lagi melihat reaksi Nazri.   
“Tentang apa?” Kerusi dianjakkan sedikit ke belakang. Kurang selesa bila Nazri menatap wajah dia begitu.
“Tentang kita.” Nazri menguntum senyum.
“Kita?” Terangkat kening Zulaikha Aaliya. Ligat kepalanya memikirkan. Sejak bila pula ada kita? Maksud Nazri, apa? Dia dan aku? Hurm ... Tidak syak lagi, sudah pasti kerja mereka berdua. Pasangan hot Khairul dan Hainun itu. 
“Ya, hubungan kita,” balas Nazri.
Zulaikha Aaliya terdiam sejenak sambil buat muka pelik. Rasa nak cubit diri sendiri sebab sakit hati. Seketika kemudian dipejamkan matanya sekilas sambil menggelengkan kepala. Beberapa kali.
Seperti biasa, Nazri tenung dia dengan riak tidak puas hati. Entahlah, tapi itulah yang terlintas di fikiran Zulaikha Aaliya setiap kali mata Nazri menyapu bersih wajah dia. Begitulah tingkah Nazri setiap kali ada perbincangan berkumpulan yang melibatkan dirinya sekali.
Zulaikha Aaliya menggaru kepala yang dibalut dengan tudung bawal berwarna biru. Seminit kemudian dia menutup mulut sambil memikirkan ayat-ayat yang terbaik untuk dipertuturkan kepada Nazri. Tidak lama lepas itu, jari-jemarinya mula mengetuk papan meja.
“Kalau boleh, saya nak letakkan beberapa peraturan dalam hubungan kita.”
Terjungkit kening Zulaikha Aaliya. Tiba-tiba kepalanya terasa pening. Belum pun hubungan mereka disahkan sudah ada peraturan pula? Terang terus mata Zulaikha Aaliya jadinya. Kalau sekarang dia tengah mengantuk, pasti dah celik bila mendengar patah-patah perkataan yang keluar dari kotak suara Nazri. Itu belum lagi mendengar ayat seterusnya, terus jatuh rahang Zulaikha Aaliya.  
“Pertama, kenalah bahasakan diri saya sebagai abang.” Mata Nazri tunak memandang wajah Zulaikha Aaliya yang kelihatan terkedu.
Apa? Silap pendengarankah aku ni? Zulaikha Aaliya meneguk air liur. Ingin membantah tapi suaranya bagai tersekat di kerongkong. Matanya berkelip-kelip dengan permintaan tidak munasabah Nazri.
“Kedua, pakaian kena jaga. Jangan pakai yang menjolok mata dan kalau boleh biarlah berciri-cirikan muslimah yang sejati.” Semakin lembut suara Nazri menerjah gegendang telinga Zulaikha Aaliya.
Baiklah, yang ini boleh diterima pakai tapi ada aku bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan dia? Lagipun, selama ini ada aku berpakaian tak sesuai? Jari-jemarinya semakin laju mengetuk lantai meja. Bosan. Lebih kepada menahan rasa marah sebenarnya.
“Ketiga, saya tidak benarkan awak pergi ke mana-mana atau berjumpa dengan sesiapa terutama lelaki tanpa pengetahuan dan kebenaran saya.”
Zulaikha Aaliya mengurut pelipis, terasa sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Sesedap mulut sahaja lelaki itu membuat peraturan untuk aku. In the first place, aku dengan kau tidak ada apa-apa hubungan. Berulang-ulang ayat itu bermain di mindanya minta dimuntahkan. Zulaikha Aaliya mengangkat tangan kanan, memberi isyarat supaya Nazri berhenti. Dia harus perbetulkan situasi.   
“Macam inilah. Er... Nazri. Awak dengar betul-betul.” Jeda.
Nazri tegakkan badan, wajahnya berubah riak menjadi tidak keruan.
“Pertama, saya tak tahu apa yang kawan saya dah bagitahu kepada awak. Tapi, percayalah saya tidak pernah ada niat mahu menjalinkan sebarang hubungan dengan awak. Saya minta maaf.”
“Kedua, tidak ada kita dan tidak ada istilah hubungan di antara kita berdua.” Zulaikha Aaliya memandang wajah Nazri, menikam anak mata lelaki itu tepat-tepat. Tanda yang dia serius sangat-sangat.
Err...” Nazri terdiam sejenak. Berfikir barangkali atau mungkin terkedu?
Tidak menduga akan menerima layanan sebegitu? Apa dia ingat aku akan menyediakan nyiru untuk menyatakan kesudian menerima dia? Lelaki ego harus ditundukkan begitu. Baru dia tahu aku siapa. Zulaikha Aaliya terangguk-angguk mendengar kata hati sendiri. 
“Tapi…” Belum sempat Nazri meneruskan kata-katanya, Zulaikha Aaliya terlebih dahulu memotong percakapannya.
“Saya harap awak faham, Nazri. Saya tidak tahu menahu tentang ini. Tentang apa yang Hainun dan Khairul telah sampaikan kepada awak.” Zulaikha Aaliya pasti sangat yang perkara ini bersangkut paut dengan mereka berdua.
Nazri mendiamkan diri. Agaknya sedang mencerna kebenaran yang baru sahaja diluahkan Zulaikha Aaliya. Lama juga baru dia bersuara.
“Zulaikha Aaliya, apa-apapun saya masih menaruh harapan agar hubungan antara kita masih boleh diteruskan. Saya menganggap awak masih dan akan memikirkannya. Kalaupun kawan awak memberi maklumat yang salah di awalnya, saya masih beranggapan yang kita boleh cuba memberi peluang untuk saling mengenali antara satu sama lain. Tidak salah, bukan?”
Zulaikha Aaliya menghela nafas pendek sebelum melepaskannya. Sedikit perlahan dan berat. Dia tidak mahu Nazri menaruh sebarang harapan. Tidak sekarang, tidak juga di masa yang terdekat ini.
“Sebagai kawan mungkin boleh.” Zulaikha Aaliya tekankan sedikit perkataan ‘mungkin’ itu kemudian menyambung.
“Tapi, sebagai pasangan? Minta maaf, Nazri.” Tidak mungkin sama sekali, hendak disambung ayatnya begitu tapi tidak tergamak pula. Ayat yang inipun, sudah sehabis lembut dia cuba berbahasa dengan harapan Nazri mampu menerima.
“Begitu saja? Fikirkanlah dulu Zulaikha Aaliya.” Sedikit kecewa kedengaran ketika Nazri bangun bersedia untuk pergi. Untuk apa dia berlama di situ kalau gadis yang sudah mencuit hatinya itu seperti menghalaunya pergi.
Lagipun, mungkin silap diri sendiri yang memikirkan bahawa gadis seperti Zulaikha Aaliya itu berperasaan sama seperti dirinya. Dia tersilap membuat perhitungan dengan mempercayai cadangan Khairul dan Hainun tanpa menyelidik terlebih dahulu. Bukan dia tidak perasan penerimaan Zulaikha Aaliya terhadap dirinya sebelum ini, cuma dia terlalu ego untuk tidak menafikannya.  
“Saya harap awak akan berubah fikiran. Saya akan menanti.” Sempat lagi Nazri menoleh sebelum meneruskan langkah.
Sedikit-sedikit wajah Nazri dan bayangnya menghilang. Zulaikha Aaliya menghembus nafas lagi. Kali ini lebih panjang. Sedikit lega, cukuplah buat hari ini. Dia tidak mahu ada masalah lain yang muncul.
Kenapa kaki aku melangkah ke perpustakaan hari ini? Aku harus menukar rutin, mana tahu esok lusa Nazri akan menunggu dia di situ lagi dan dia kena menghadap situasi seperti itu lagi? Dia tidak sanggup. Zulaikha Aaliya panggung kepala. Dia pandang keliling, cuma ada dia seorang sahaja ketika itu.
Mata berlari ke arah jam yang melekat di dinding bilik kuliah. Patutlah senyap sunyi, sudah senja rupanya. Pantas dia bangun meninggalkan bilik kuliah, mahu segera balik ke bilik asrama dan berdepan dengan Hainun. Hatinya panas memikirkan. Dia mahu Hainun betulkan keadaan. Walaupun dia sudah menjelaskan kepada Nazri tapi dia tetap inginkan Hainun memberitahu kepada lelaki itu perkara yang sebenarnya. 

p.s: love xoxo, andai ada terkurang terlebih, mohon dimaafkan, akan cuba perbaiki lagi.

0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p