Salam and morning readers
Lama gila menyepi, mengatur hidup yang agak kucar-kacir. Maaflah ya. And so, siapa yang pernah baca Gadisku Yang Blur, then uolls mesti notice that P.A Encik Hafizz Elsad is actually the same story, cuma saya perbaiki dan tukar tajuknya. So here you are .... chapter 1.
PENING Zulaikha Aaliya
memikirkan. Ada saja yang tidak kena. Ada saja yang tidak betul, entah apa yang
telah dia lakukan hingga membuatkan pemuda itu merasa sakit hati sangat dengan
dirinya. Itu ini, begitu begini. Serasa dia, dia sudah melakukan yang sehabis
baik. Yang terbaik. Semampu dia. Sehabis kudrat yang ada. Aduhai, terasa
seperti segala usaha dan penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.
Kalau
diikutkan kata hati, terasa seperti hendak ditukarkan saja ahli kumpulan yang
ada sekarang ini. Atau mungkin dia patut dengan rela hati mengeluarkan diri
sendiri daripada menjadi ahli kumpulan tersebut. Zulaikha Aaliya melepaskan sebuah keluhan. Peritnya walau sekadar memikir.
Namun,
bila difikir-fikirkan, tarikh pembentangan itu cuma tinggal sehari-dua sahaja
lagi, tidak mungkinlah dia mahu berbuat begitu. Masa yang ada agak singkat.
Bukan agak, memang singkat sangat. Sukar untuk dia hendak mendapatkan ahli
kumpulan baru mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan yang lain.
Tambahan pula projek tersebut sudah disiapkan hampir 80 peratus. Sebahagian
besar atas usaha dia.
Lagipun,
mampukah dia mendapatkan idea baru untuk dibentangkan? Segalanya sudah
dicurahkan untuk projek yang sekarang ini. Rugilah jika dia menurut kata hati
dek kerana sikap ahli yang seorang itu. Telan sahajalah buat masa ini, untuk
sekali ini, pohon Zulaikha
Aaliya kepada diri sendiri. Bertahan. Bertahan
selagi boleh.
“Leen,
aku rasa tak sedap badan,” beritahu Zulaikha Aaliya separuh berbisik
kepada Joleen, gadis yang berasal dari Sarawak itu. Hati yang sakit itu sudah
menjalar bisanya ke seluruh tubuh. Makan jiwa.
“Nanti, kau khabarkan kepada ketua kumpulan
kita, aku balik sebab aku tak sihat,” sambung Zulaikha Aaliya lagi bila mata dia pantas menangkap susuk tubuh Nazri yang sudah kembali
setelah meminta diri untuk ke bilik air sebentar tadi.
“Kau
bagitahulah s...” Belum sempat Joleen menghabiskan ayatnya Zulaikha Aaliya sudah bingkas berdiri. Joleen hanya mampu menganga bila rakan
sekumpulannya itu tidak menyempat, sudah mahu pergi.
“Aku
pergi dulu,” ujar Zulaikha
Aaliya cepat-cepat bila Nazri sudah
semakin mendekat. Bimbang lebih lama dia berada di situ lebih sakit lagi
hatinya mendengar komen-komen Nazri yang pada hematnya tidak membina langsung.
Hanya tahu mengutuk sahaja, mengarah itu dan ini. Bernanah telinga mendengar, pahit
hati menghadam.
Amir
dan Dina yang tadi rancak berbual memandang Zulaikha Aaliya serentak. Ada tanda tanya muncul di ruang mata. Untunglah pasangan
bercinta sekumpulan. Sambil-sambil membina masa hadapan, sambil-sambil
bercinta. Jangan tahu bercinta sahaja tapi tugasan masing-masing tidak
disiapkan. Kelak cinta ke mana, masa hadapan juga entah ke mana.
“See
you guys later,” ujar Zulaikha
Aaliya sambil mengangkat kening, pantas
dia mengambil fail, nota serta buku rujukan miliknya yang terletak di atas meja
lalu beredar secepat yang boleh.
“Dia
hendak ke mana?” tanya Nazri sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke atas
kerusi yang terletak bersebelahan Joleen. Ketika itu Zulaikha Aaliya sudah berada sepuluh langkah di hadapan.
Amir
angkat bahu. Dina tidak menjawab, sebaliknya berpaling ke arah Joleen.
Seolah-olah tahu Joleen mempunyai jawapan untuk soalan yang dikemukakan Nazri
sebentar tadi.
“Dia
tak sihat,” Joleen jongket kedua-dua kening ketika menjawab. Mata Nazri sudah
beralih ke arahnya.
“Tiba-tiba?”
Berkerut dahi Nazri dan matanya terus mengekor susuk tubuh Zulaikha Aaliya yang semakin cepat menghilang di balik batang tubuh pelajar yang semakin
ramai memenuhi ruang dewan tersebut. Sebuah keluhan dilepaskan. Terdetik juga
mahu mengejar tapi kakinya bagai terpaku ke lantai.
Zulaikha Aaliya menghembus nafas sedas sebaik sahaja keluar
daripada dewan. Langkahnya yang tadi laju bagai tak cukup tanah diperlahankan.
Niat di hati ingin meneruskan ulangkaji di perpustakaan.
Langit malam dipandang, cerah
sahaja. Kelihatan bulan sedang memancarkan sinarnya. Cantik, desis hati Zulaikha
Aaliya. Tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk. Baru dia perasan yang dia sedang
berjalan seorang diri menuju ke tempat kegemarannya.
Argh, Zulaikha Aaliya yang lone ranger.
Memang dia seorang lone ranger pun.
Sedang dia menyusun langkah yang
semakin tidak teratur menuju ke destinasi, terasa seperti ada sesuatu yang
sedang mengekorinya daripada belakang. Meremang bulu roma. Mata Zulaikha Aaliya
melingas, mulut berdecit kecil membaca ayat kursi yang terasa seperti
tunggang-langgang susunan ayatnya. Mau taknya, sudahlah berjalan seorang diri, lampu jalan pula malap
semacam dengan suasana kelam dan bunyi-bunyian yang membuatkan hatinya berdetak
seribu. Seram kot.
Bunyi ranting patah membuatkan
Zulaikha Aaliya terperanjat. Sebenarnya, kaki dia sendiri yang memijak ranting
tersebut. Panjang istighfar keluar dari bibir. Hampir saja dia melatah yang
bukan-bukan.
Bagaimana pula ranting kering
itu boleh berada di laluan? Rengus Zulaikha Aaliya sambil menolak ranting
tersebut ke tepi dengan menggunakan hujung kaki. Dia menyambung semula langkah
yang terhenti tadi.
Sekali lagi hati Zulaikha
Aaliya berdetik, ada sesuatu sedang mengekor dia. Setapak dia ke hadapan,
terasa dua tapak yang mengekori itu melangkah menurut jejak yang ditinggalkan.
Suku perjalanan dia masih mampu lagi bertahan.
Namun selepas separuh perjalanan, dia sudah mulai goyah.
Hatinya yang cuak memaksa dia
memberanikan diri untuk menoleh dengan serta-merta. Sekali toleh, tidak
kelihatan sesiapapun. Hanya gelap malam, dan hembusan angin yang mendinginkan.
Dua kali toleh, keputusannya tetap serupa. Tiada perbezaan, cuma bayang-bayang
sahaja yang kelihatan pada muka bumi. Argh, mungkin semua itu cuma mainan
perasaan sahaja.
Bagaimanapun, dek kerana perasaan seram sejuk itu semakin menguasai diri, Zulaikha
Aaliya mempercepatkan langkah kakinya dua kali lebih laju daripada yang tadi.
Tapi, yang peliknya derapan kaki yang sedang mengekorinya itu juga terasa
seperti bergerak sepantas dirinya. Berdetak-detak hati Zulaikha Aaliya
dibuatnya. Tiba-tiba bangunan yang menempatkan perpustakaan itu kelihatan terletak
jauh berbatu-batu.
Tiba-tiba juga laluan blok
yang menempatkan kelas dan bilik kuliah terasa sunyi. Mana pergi semua pelajar kolej
tersebut? Selalu riuh sahaja tapi malam ini sepi? Mungkinkah ini cuma mainan perasaan
sahaja? Zulaikha Aaliya cuba mengikis rasa cemas yang bertandang. Namun ketika
melewati blok yang menempatkan makmal sains, sekali lagi dia diserang seram
sejuk. Terasa seperti diekori dengan rapat. Rapat sekali.
Tak boleh jadi ni, detik Zulaikha
Aaliya lalu berhenti sejenak sebelum memecut dan berselindung di sebalik
selekoh bangunan bersebelahan. Dia mendiamkan diri seketika, menanti
kalau-kalau ada sesiapa yang muncul.
Terdengar derap kaki seseorang
atau mungkin sesuatu? Semakin lama semakin menghampiri tempat dia bersembunyi.
Bila derap kaki itu berhenti betul-betul di sebalik tempat dia bersembunyi,
sebelah kakinya dilunjurkan.
Apa nak jadi, jadilah! Detik
hatinya. Dan…Bedebuk!!
So, the rest, secoet, snippet, snack plate ke apa, refer dekat the following FB group (Melati Shafika -Unspoken Minds) ya:
https://www.facebook.com/groups/331573453707220/
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p