Jumaat, 27 Januari 2017

P. A Encik Hafizz Elsad: Chapter 3


OH! Jadi dialah pelajar lelaki yang dikecoh-kecohkan oleh ramai pelajar perempuan beberapa minggu kebelakangan ini. Dialah rupanya pelajar baru yang baru berpindah ke sini dan menjadi buah mulut warga kolej tempat Zulaikha Aaliya menuntut ketika itu. Termasuklah Ainin dan Muna, dua member yang tidak berapa hendak kamcing dengan Zulaikha Aaliya tapi selalu bersama dengan dia. Entah apa yang dikecohkan sangat, tidak kepingin Zulaikha Aaliya mengambil tahu.
Telinga Zulaikha Aaliya sempat menangkap perbualan antara Ainin dan Muna ketika mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke perpustakaan. Semuanya berkisar tentang pelajar baru itu, Hafizz Elsad, membuatkan dia malas hendak masuk campur. Tidak berkenaan, putusnya di dalam hati.
Kalaulah kedua-dua mereka itu tahu tentang insiden yang berlaku antara dia dengan Hafizz Elsad tempoh hari, tak tahulah apa yang bakal terjadi. Sebenarnya, sudah agak lama Hafizz Elsad mendaftar masuk ke kolej itu, hanya Zulaikha Aaliya sahaja yang tidak tahu. Atau langsung tidak mengambil tahu. Tidak ada keperluan bagi si empunya diri.         
Matanya terus terarah kepada sesusuk tubuh milik Nazri yang seolah-olah sedang menanti kedatangan mereka bertiga. Dari kejauhan, kelihatan Nazri sedang tersenyum simpul serupa pengantin atas pelamin yang malu-malu ketika diusik oleh para tetamu yang datang. Semakin hampir mereka bertiga kepadanya, semakin lebar senyuman yang menguntum.
Zulaikha Aaliya menoleh ke arah kanan, kiri dan belakang. Juga ke arah Ainin dan Muna yang seolah-olah tidak kisah. Masih leka berceloteh dengan hal sendiri. Seraya Zulaikha Aaliya membalas tanpa niat dan prasangka. Orang berbudi, kita berbahasa. Walaupun, dia memang tidak berkenan dengan lelaki yang seorang ini.
Nazri memandang Zulaikha Aaliya yang semakin menghampiri. Sesekali dia tunduk menguis lantai simen. Entah apa yang dikuisnya tidaklah Zulaikha Aaliya perasan sangat. Tapi tingkah Nazri yang seperti menunggu seseorang itu sedikit sebanyak mengganggu fikiran.
Tunggu aku ke? Takkanlah. Terdetik hati Zulaikha Aaliya tatkala melihat tingkah laku Nazri yang serba tak kena.  
“Assalamualaikum.” Nazri menyapa setibanya Zulaikha Aaliya di muka pintu perpustakaan. Di situlah dia menunggu.
“Waalaikumsalam,” jawab Zulaikha Aaliya ketika melewatinya dan tanpa pamit dia terus melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Dia bagi salam dengan semua orang yang masuk ke dalam perpustakaan agaknya.
“Zulaikha?” Panggilan Nazri membuatkan tubuh Zulaikha Aaliya berpaling.
“Ya?” balas Zulaikha Aaliya dengan kerut di dahi. Tanda-tanya berlegar-legar di dalam fikiran, membuat dia tidak jadi mahu meneruskan perjalanan. Langkah Ainin dan Muna yang bersama Zulaikha Aaliya ketika itu turut terhenti sama.
“Boleh kita bercakap sebentar?” Pandangan Nazri jatuh ke arah Zulaikha Aaliya sebelum beralih kepada Ainin dan Muna.
“Ika, kami pergi dahulu,” Ainin mewakili Muna bersuara, seolah-olah faham yang Nazri mungkin hanya mahu bercakap dengan Zulaikha Aaliya sahaja. Bersendirian, tidak mahu melibatkan dia dengan Muna.
Zulaikha Aaliya mengangguk dengan berat hati dan mereka meninggalkan dia bersama Nazri.   
Sedikit cuak Zulaikha Aaliya memandang Nazri. Ada kaitan dengan projek tempoh hari atau ada sebab lain yang hendak disampaikan oleh Nazri? Ketika itulah Zulaikha teringatkan perbualannya dengan Hainun dua-tiga hari yang lepas. Seram sejuk dia jadinya.
“Zulaikha, kawan Khairul hendak berkenalan.” Hainun memulakan bicara ketika singgah ke biliknya malam itu.
“Dengan siapa?” balas Zulaikha Aaliya tanpa menoleh. Sibuk menelaah komik, sementelah orang lain sibuk menelaah buku pelajaran dan nota kuliah.
“Kamulah, takkan dengan aku pula. Mana aku nak campak buah hati aku tu.” Sedikit berseloroh jawapan yang diberikan oleh Hainun. Dia melabuhkan separuh punggung ke atas katil lalu bersandar pada kepala katil.
Hey, Mak Enon ni, getus hati Zulaikha Aaliya sambil mengesotkan badan sedikit mahu memberi ruang kepada Hainun. Mamat mana pula yang berkehendakkan aku? Ni mesti kes nak matchingkan orang. Takde lain kerjanya, hari tu Suraya jadi mangsa. Dipasangkan Suraya itu dengan Irwandi. Katanya mereka berdua secocok sama tinggi sama rendah. Nasib baik menjadi. Tapi dengan aku, jangan haraplah.
Hainun membetulkan postur badan, sesekali cuba mengalihkan pandangan Zulaikha Aaliya agar memberi perhatian kepada topik perbualan. Tapi, Zulaikha Aaliya buat tidak tahu sahaja malah dengan selamba mengalihkan tangan Hainun yang melambai-lambai di hadapan mata mengganggu kelancaran pembacaannya ketika itu.
“Tak nak dan tak ada masa.” Pantas saja Zulaikha Aaliya menjawab. Mana ada masa hendak bercinta-cinta ketika ini. Lagipun fokusnya ketika itu lebih kepada mendapatkan sijil pelajaran terlebih dahulu, sebelum mendapatkan sijil nikah.
“Jual mahal pula,” ujar Hainun sambil mengambil menghenyak punggung beberapa kali. Sengaja. Berkeriut dan bergoyang-goyang katil kecil itu jadinya. Zulaikha Aaliya masih tidak peduli, matanya laju sahaja membaca komik yang berada di tangan.
“Aku belum bagitahupun siapa orangnya,” sambung Hainun lagi.
“Siapa-siapa pun orangnya, aku tidak berminat. Terima kasih sahaja.” Jangan bagi muka. Jangan bagi muka, begitu hati Zulaikha Aaliya mengingatkan. Bimbang termakan pujukan Hainun, mengetahui diri Hainun yang tahap dan daya memujuk boleh dikatakan yang terbaik dan cemerlang. Anugerah, dan sesuai kalau kelak dia menjadi seorang jurujual, mesti laku keras produk yang dijualnya.
“Orangnya memang sesuai… Baik, sopan-santun... sesuai sangat dengan engkau, Ika.” Hainun melobi.
Haah! Iyalah tu. Zulaikha Aaliya sudah membuat muka di sebalik komik yang dibacanya. “Tak nak. Noktah. End of conversation.
Hainun sudah bermain-main dengan hujung rambut Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya menggeleng kepala, meleraikan jemari Hainun yang sedang memintal rambutnya itu. Namun matanya masih melekat pada lembaran komik.
“Please, aku dah cakap yang kau dah setuju…”
“Apa?” Pantas Zulaikha Aaliya menoleh memandang Hainun. Matanya buntang dan terasa sendi-sendi badan menegang secara spontan. Bibir terherot ke tepi. Memang matanya berlari-lari membaca dialog yang tertera pada dada komik tapi  telinganya masih lagi menangkap setiap patah perkataan yang meluncur keluar dari bibir Hainun.
Hainun angkat kedua-dua kening, buat muka tidak bersalah. Bagi dia, Zulaikha Aaliya itu orangnya keras, dingin dan gadis seperti itu perlukan seseorang untuk membuatkan dia menjadi lebih lembut.
Wah! Wah! Wah! Buat keputusan tanpa pengetahuan aku dan yang paling penting tanpa persetujuan aku! Ini sudah lebih! Hati panas Zulaikha Aaliya bermonolog. Matanya dibesarkan tapi Hainun buat tak endah sahaja.
Bibir Hainun muncungkan dengan anak mata sengaja memandang siling. Badan dilenggok ke kiri ke kanan. Tahu Zulaikha Aaliya bila marah, marahnya cuma seketika. Tidak ke mana. Keras mana pun hati Zulaikha Aaliya, dia tidak akan melenting suka-suka. Itu sikap Zulaikha Aaliya yang dia suka.
“Hah? Setuju? Setuju apa? Aku tak kira, apa-apa yang kau dah cakap kat mamat tu baik kau tarik balik.”  Dengan muka cemberut Zulaikha Aaliya memberi amaran.
Hilang wajah Hainun menjelma pula wajah Nazri. Zulaikha Aaliya memandang Nazri. Setahu dia Nazri memang selalu bersama dengan Khairul. Huh! Diakah yang dimaksudkan oleh Hainun. Nazri orangnya? Lelaki yang selalu cari hal, cari fasal, cari masalah dengan dirinya, yang selalu tidak puas hati dengan kerja-kerja yang ditugaskan kepadanya? Lelaki itu?
“Aa? Ada apahal? Saya sibuk ni,” secara automatik intonasi suara Zulaikha Aaliya bertukar menjadi sedikit garang.
Nazri jadi salah tingkah. Kepala digaru-garu mencari kata-kata yang sesuai untuk dijadikan pembuka bicara bila Zulaikha Aaliya berkelakuan sedemikian rupa. Mungkin salah dia juga yang suka mencari hal dengan gadis itu sebelum ini. Dia sebenarnya cuma mahu menarik perhatian Zulaikha Aaliya. Mungkin cara dan pendekatan yang digunakan oleh dirinya itu tidak betul. Untuk seketika, dia jadi terkedu.
Zulaikha Aaliya berdehem. Hati baik dia sudah mula bersuara menjalankan tugas. Mungkin Nazri mahu meminta maaf atas sikapnya, mungkin dia tiada kaitan langsung dengan lelaki yang dimaksudkan oleh Hainun beberapa hari sebelumnya. Mungkin juga tiada apa-apa langsung. Tak baik bersalah-sangka. Jangan bertindak melulu. Lebih baik selidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.
 “Saya tak akan mengambil masa yang lama,” ujar Nazri bila dilihatnya Zulaikha Aaliya tidak bersuara.
Zulaikha Aaliya diam sejenak. Cuba mencari alasan agar diri tidak tersepit. Kalau boleh hendak mengelak sebenarnya. Tapi, bila difikir-fikirkan lebih lama dia mengelak lebih lama lagi masalah ini akan selesai. Lebih baik diselesaikan dalam kadar yang segera.
“Baiklah.” Macam nak tak nak Zulaikha Aaliya menjawab. Namun begitu, itu sudah cukup membuat Nazri merasa lega.
“Apakata kita berbincang di sana,” cadang Nazri merujuk ke arah sebuah bilik kuliah berdekatan.
Berbincang? Zulaikha Aaliya melepaskan keluhan kecil. Macam kes berat sahaja. Bibir Zulailkha terherot tanpa sedar ketika mengekor langkah Nazri menuju ke bilik kuliah yang dimaksudkan.
Dia meninjau ke dalam bilik kuliah tersebut, ada Sofian dan Pauldrik. Ada Rita dan seorang pelajar perempuan yang tidak dikenali. Perlahan dia mengangguk bersetuju bila Nazri memandang ke arahnya.
Zulaikha Aaliya melangkah menuju ke arah sebuah meja yang terletak berhampiran dengan pintu belakang bilik kuliah tersebut. Agak jauh daripada kedudukan pelajar yang sedang mengulang-kaji ketika itu. Nazri menurut sahaja langkah Zulaikha Aaliya.


Setelah meletakkan buku-buku yang dibawa ke atas meja, Zulaikha Aaliya melabuhkan punggung ke atas kerusi lalu memandang Nazri. Tanpa perasaan namun penuh dengan persoalan. Nazri yang masih lagi berdiri di hadapannya turut sama memandang ke arahnya. Wajah yang sarat dengan sesuatu yang belum mampu diluahkan. Itu yang terlintas di fikiran Zulaikha Aaliya ketika itu.   
Entah apa yang difikirkan oleh lelaki yang sedang berhadapan dengannya. Zulaikha tidak mampu hendak menebak. Selebihnya dia bimbang tersakiti oleh kata-kata yang bakal keluar dari bibir lelaki itu. Dia sudah serik menahan rasa.   
Sejenak kemudian, Nazri menarik sebuah kerusi lalu mengambil tempat di hadapan Zulaikha Aaliya. Sudah sampai masanya dia meluahkan segala yang tersimpan di hati. Dia tidak mahu menyimpan lagi, lebih baik dia berterus-terang. Selama ini Zulaikha Aaliya seolah-olah tidak faham apa yang ingin dia sampaikan. Malah gadis itu semakin lama semakin menjauh hingga sukar untuk dia mahu menggapai.
“Saya rasa kita patut berbincang.” Nazri menopang dagu sambil menatap wajah Zulaikha Aaliya.
Baik, sekali lagi dia mengulang perkataan bincang itu. Bibir Zulaikha Aaliya terherot lagi melihat reaksi Nazri.   
“Tentang apa?” Kerusi dianjakkan sedikit ke belakang. Kurang selesa bila Nazri menatap wajah dia begitu.
“Tentang kita.” Nazri menguntum senyum.
“Kita?” Terangkat kening Zulaikha Aaliya. Ligat kepalanya memikirkan. Sejak bila pula ada kita? Maksud Nazri, apa? Dia dan aku? Hurm ... Tidak syak lagi, sudah pasti kerja mereka berdua. Pasangan hot Khairul dan Hainun itu. 
“Ya, hubungan kita,” balas Nazri.
Zulaikha Aaliya terdiam sejenak sambil buat muka pelik. Rasa nak cubit diri sendiri sebab sakit hati. Seketika kemudian dipejamkan matanya sekilas sambil menggelengkan kepala. Beberapa kali.
Seperti biasa, Nazri tenung dia dengan riak tidak puas hati. Entahlah, tapi itulah yang terlintas di fikiran Zulaikha Aaliya setiap kali mata Nazri menyapu bersih wajah dia. Begitulah tingkah Nazri setiap kali ada perbincangan berkumpulan yang melibatkan dirinya sekali.
Zulaikha Aaliya menggaru kepala yang dibalut dengan tudung bawal berwarna biru. Seminit kemudian dia menutup mulut sambil memikirkan ayat-ayat yang terbaik untuk dipertuturkan kepada Nazri. Tidak lama lepas itu, jari-jemarinya mula mengetuk papan meja.
“Kalau boleh, saya nak letakkan beberapa peraturan dalam hubungan kita.”
Terjungkit kening Zulaikha Aaliya. Tiba-tiba kepalanya terasa pening. Belum pun hubungan mereka disahkan sudah ada peraturan pula? Terang terus mata Zulaikha Aaliya jadinya. Kalau sekarang dia tengah mengantuk, pasti dah celik bila mendengar patah-patah perkataan yang keluar dari kotak suara Nazri. Itu belum lagi mendengar ayat seterusnya, terus jatuh rahang Zulaikha Aaliya.  
“Pertama, kenalah bahasakan diri saya sebagai abang.” Mata Nazri tunak memandang wajah Zulaikha Aaliya yang kelihatan terkedu.
Apa? Silap pendengarankah aku ni? Zulaikha Aaliya meneguk air liur. Ingin membantah tapi suaranya bagai tersekat di kerongkong. Matanya berkelip-kelip dengan permintaan tidak munasabah Nazri.
“Kedua, pakaian kena jaga. Jangan pakai yang menjolok mata dan kalau boleh biarlah berciri-cirikan muslimah yang sejati.” Semakin lembut suara Nazri menerjah gegendang telinga Zulaikha Aaliya.
Baiklah, yang ini boleh diterima pakai tapi ada aku bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan dia? Lagipun, selama ini ada aku berpakaian tak sesuai? Jari-jemarinya semakin laju mengetuk lantai meja. Bosan. Lebih kepada menahan rasa marah sebenarnya.
“Ketiga, saya tidak benarkan awak pergi ke mana-mana atau berjumpa dengan sesiapa terutama lelaki tanpa pengetahuan dan kebenaran saya.”
Zulaikha Aaliya mengurut pelipis, terasa sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Sesedap mulut sahaja lelaki itu membuat peraturan untuk aku. In the first place, aku dengan kau tidak ada apa-apa hubungan. Berulang-ulang ayat itu bermain di mindanya minta dimuntahkan. Zulaikha Aaliya mengangkat tangan kanan, memberi isyarat supaya Nazri berhenti. Dia harus perbetulkan situasi.   
“Macam inilah. Er... Nazri. Awak dengar betul-betul.” Jeda.
Nazri tegakkan badan, wajahnya berubah riak menjadi tidak keruan.
“Pertama, saya tak tahu apa yang kawan saya dah bagitahu kepada awak. Tapi, percayalah saya tidak pernah ada niat mahu menjalinkan sebarang hubungan dengan awak. Saya minta maaf.”
“Kedua, tidak ada kita dan tidak ada istilah hubungan di antara kita berdua.” Zulaikha Aaliya memandang wajah Nazri, menikam anak mata lelaki itu tepat-tepat. Tanda yang dia serius sangat-sangat.
Err...” Nazri terdiam sejenak. Berfikir barangkali atau mungkin terkedu?
Tidak menduga akan menerima layanan sebegitu? Apa dia ingat aku akan menyediakan nyiru untuk menyatakan kesudian menerima dia? Lelaki ego harus ditundukkan begitu. Baru dia tahu aku siapa. Zulaikha Aaliya terangguk-angguk mendengar kata hati sendiri. 
“Tapi…” Belum sempat Nazri meneruskan kata-katanya, Zulaikha Aaliya terlebih dahulu memotong percakapannya.
“Saya harap awak faham, Nazri. Saya tidak tahu menahu tentang ini. Tentang apa yang Hainun dan Khairul telah sampaikan kepada awak.” Zulaikha Aaliya pasti sangat yang perkara ini bersangkut paut dengan mereka berdua.
Nazri mendiamkan diri. Agaknya sedang mencerna kebenaran yang baru sahaja diluahkan Zulaikha Aaliya. Lama juga baru dia bersuara.
“Zulaikha Aaliya, apa-apapun saya masih menaruh harapan agar hubungan antara kita masih boleh diteruskan. Saya menganggap awak masih dan akan memikirkannya. Kalaupun kawan awak memberi maklumat yang salah di awalnya, saya masih beranggapan yang kita boleh cuba memberi peluang untuk saling mengenali antara satu sama lain. Tidak salah, bukan?”
Zulaikha Aaliya menghela nafas pendek sebelum melepaskannya. Sedikit perlahan dan berat. Dia tidak mahu Nazri menaruh sebarang harapan. Tidak sekarang, tidak juga di masa yang terdekat ini.
“Sebagai kawan mungkin boleh.” Zulaikha Aaliya tekankan sedikit perkataan ‘mungkin’ itu kemudian menyambung.
“Tapi, sebagai pasangan? Minta maaf, Nazri.” Tidak mungkin sama sekali, hendak disambung ayatnya begitu tapi tidak tergamak pula. Ayat yang inipun, sudah sehabis lembut dia cuba berbahasa dengan harapan Nazri mampu menerima.
“Begitu saja? Fikirkanlah dulu Zulaikha Aaliya.” Sedikit kecewa kedengaran ketika Nazri bangun bersedia untuk pergi. Untuk apa dia berlama di situ kalau gadis yang sudah mencuit hatinya itu seperti menghalaunya pergi.
Lagipun, mungkin silap diri sendiri yang memikirkan bahawa gadis seperti Zulaikha Aaliya itu berperasaan sama seperti dirinya. Dia tersilap membuat perhitungan dengan mempercayai cadangan Khairul dan Hainun tanpa menyelidik terlebih dahulu. Bukan dia tidak perasan penerimaan Zulaikha Aaliya terhadap dirinya sebelum ini, cuma dia terlalu ego untuk tidak menafikannya.  
“Saya harap awak akan berubah fikiran. Saya akan menanti.” Sempat lagi Nazri menoleh sebelum meneruskan langkah.
Sedikit-sedikit wajah Nazri dan bayangnya menghilang. Zulaikha Aaliya menghembus nafas lagi. Kali ini lebih panjang. Sedikit lega, cukuplah buat hari ini. Dia tidak mahu ada masalah lain yang muncul.
Kenapa kaki aku melangkah ke perpustakaan hari ini? Aku harus menukar rutin, mana tahu esok lusa Nazri akan menunggu dia di situ lagi dan dia kena menghadap situasi seperti itu lagi? Dia tidak sanggup. Zulaikha Aaliya panggung kepala. Dia pandang keliling, cuma ada dia seorang sahaja ketika itu.
Mata berlari ke arah jam yang melekat di dinding bilik kuliah. Patutlah senyap sunyi, sudah senja rupanya. Pantas dia bangun meninggalkan bilik kuliah, mahu segera balik ke bilik asrama dan berdepan dengan Hainun. Hatinya panas memikirkan. Dia mahu Hainun betulkan keadaan. Walaupun dia sudah menjelaskan kepada Nazri tapi dia tetap inginkan Hainun memberitahu kepada lelaki itu perkara yang sebenarnya. 

p.s: love xoxo, andai ada terkurang terlebih, mohon dimaafkan, akan cuba perbaiki lagi.

Sabtu, 21 Januari 2017

P.A Encik Hafizz Elsad: 2nd Chapter


Salam & Morning peeps
Dah baca episod pengenalan? Kalau dah baca, ini episod seterusnya. Kalau ada yang terkurang mohon maaf ye, semoga terhibur. love xoxo. ;p

“ADUH!” jerit seorang pelajar lelaki yang terjatuh akibat terseradung dek kaki kecil comel molek milik Zulaikha Aaliya. Jatuh berdebuk dan berguling di depan mata Zulaikha Aaliya, memang sadis terjatuh dalam keadaan begitu.
Padan mu... Belum sempat Zulaikha Aaliya mengutuk dalam hati, diri sendiri gagal mengimbangi badan. Puas Zulaikha Aaliya acah-acah agar kaki yang melunjur itu kuat bertahan. Malang tidak berbau, akibatnya Zulaikha Aaliya turut sama terjatuh. Tubuh berpaling dan dia jatuh terduduk. Aduh, sakitnya punggung!  
Air mata meleleh menahan perit. Padan dengan muka sendiri, inilah balasannya kalau berniat tidak baik. Omel Zulaikha Aaliya dalam hati sambil mencuri pandang pelajar lelaki yang menjadi mangsa kakinya.
Berkerut-kerut wajah pemuda itu. Betapa sakitnya punggung Zulaikha Aaliya ketika itu sudah tentu tidak setanding dengan kesakitan yang dirasai oleh pelajar lelaki itu. Jatuh tersembam ke atas muka tanah. Mesti lebih menyakitkan! Nasib baik ada rumput permaidani yang menghiasi permukaan tanah tersebut. Kalau tidak, mesti muka tu dah lebam-lebam, kan?


Padan muka, berani menghendap aku lagi, sumpah Zulaikha Aaliya dalam hati. Hilang sedikit rasa sakit akibat terjatuh sama sebentar tadi. Zulaikha Aaliya terseringai menahan sakit. Terpejam-pejam mata dia mengawal rasa agar tidak terpamer pada wajah.
Terkial-kial pelajar lelaki itu cuba bangun dan berdiri namun jatuh terduduk semula. Kelihatan dia mengaduh kesakitan. Zulaikha Aaliya pula tanpa menunggu lebih lama, pantas berdiri membetulkan duduk pakaiannya kemudian mengatur langkah menuju ke arah pelajar lelaki tersebut.
Sambil menghela nafas sedas Zulaikha Aaliya bertanya, “Engkau siapa haa? Kenapa engkau ikut aku?”
Beraninya dia? Pelajar lelaki yang masih belum berganjak daripada kedudukannya ketika itu kelihatan terpinga-pinga. Wajah Zulaikha Aaliya dipandang penuh tanda-tanya. Berkerut-kerut dahi, dengan mata menyepet terarah kepada gadis tersebut. Tidak tahulah sebab menahan kesakitan atau sebab lain.
Biar betul mamat ni, buat muka tak bersalah pula, getus Zulaikha Aaliya memandang dengan sedikit rasa keliru. Matanya berkerdipan buat seketika.
“Bila pula aku buat macam tu?” Pelajar lelaki itu mengajukan pertanyaan tanpa menjawab soalan Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya angkat kening. Buat-buat tak faham ye. Bibir diherotkan ke kanan.
Pelajar lelaki itu masih menunjukkan wajah naif dengan kedua-dua keningnya terjongket.
Kecik-kecik mata Zulaikha Aaliya merenung pelajar lelaki tersebut walaupun hati dia mulai was-was. Bagaimana kalau pelajar lelaki itu tiada niat mahu mengekori dirinya? Bagaimana kalau pelajar tersebut juga dikejar sesuatu seperti dirinya? Melarikan diri dari sesuatu. Urgh!  
Isk! Tapi, bila difikir-fikirkan malas pula dia hendak melayan. Tak kuasa dia hendak mencari fasal dengan sesiapapun setelah hatinya disakiti dengan komen-komen Nazri semasa perbincangan kumpulan tadi. Lagipun, pelajar tersebut kelihatan seperti pelajar baru. Tidak pernah kelihatan sebelum ini.
“Tak apalah,” ujar Zulaikha Aaliya segera berubah fikiran lalu memusingkan tubuh badannya. Lebih baik kalau dia pergi sahaja daripada tempat itu, bergerak menuju destinasi sebenar.
Tatkala melihat Zulaikha Aaliya mengorak langkah ingin meninggalkan tempat kejadian, pelajar lelaki itu cuba bangun dengan payah.
“Aduh!” Pemuda itu terduduk semula membuatkan Zulaikha Aaliya berpaling serta merta.
Sakit sangat ke? Kasihan pula Zulaikha Aaliya melihatnya. Dia jenis yang bertimbang rasa juga. Manalah tahu kut-kut ada yang terkehel, tergeliat, tercedera bahagian dalaman pula. Parah tu beb! Lagipun, dia yang membuatkan pelajar tersebut jatuh. Sekurang-kurangnya dia patut memohon maaf.
Zulaikha Aaliya menelek wajah pelajar lelaki yang sedang terkerut-kerut itu. Timbul rasa belas. Mungkin pelajar lelaki itu tiada niat langsung untuk mengekori dirinya seperti yang disangkakan. Dia yang tersalah faham agaknya.
Perlahan dia melangkah semula mendekati pemuda yang masih belum diketahui namanya itu.
“Awak okey?
Pelajar lelaki itu mendongak memandang Zulaikha Aaliya yang sedang mengajukan pertanyaan. Kening dikerutkan. Mata juga dikecilkan. Wajahnya seperti ingin menyatakan sesuatu.
Engkau yang buat aku macam ni, boleh pula bertanyakan soalan sebegitu. Agaknya, detik hati Zulaikha Aaliya. Ralat pula Zulaikha Aaliya memikirkannya, berubah sedikit riak wajahnya. Air liur diteguk. Walaupun pemuda itu tidak memberikan apa-apa respons tapi riak wajahnya membuatkan Zulaikha Aaliya rasa bersalah yang teramat.
“Maaf, biar saya tolong awak.” Sekurang-kurangnya itu yang termampu dia lakukan setelah insiden tersebut.
Ketika Zulaikha Aaliya menghulurkan tangan untuk membantu, pelajar lelaki itu segera mengukirkan secebis tersenyum. Senyuman bermakna yang gagal dilihat oleh Zulaikha Aaliya.
Mari kita lihat siapa yang kena! Desis pelajar lelaki itu di dalam hati. Umpan sudah termakan jerat. Menunggu masa untuk masuk ke dalam perangkap sahaja.
Dia tidak menyambut huluran tangan Zulaikha Aaliya sebaliknya menggenggam erat pergelangan tangan Zulaikha Aaliya yang dibaluti kemeja lengan panjang berwarna maroon itu.
Zulaikha Aaliya tersentap sebentar tapi pantas dia menghapuskan perasaan syak wasangkanya itu dan cuba sedaya upaya menahan tubuhnya dari berganjak agar dia boleh membantu pelajar lelaki itu bangun dan berdiri dengan betul.
Apa yang sedang kau fikirkan Zulaikha Aaliya? Dalam situasi yang agak membingungkan itu, Zulaikha Aaliya mengeluh. Kenapa terasa payah benar hendak menegakkan pelajar lelaki ini? Kalau dilihat fizikalnya tidak adalah sebesar manapun.
Tanpa dia menduga, dengan tak semena-mena dia pula yang terdorong ke hadapan lalu jatuh menimpa pelajar lelaki tersebut. Jatuh mendarat ke atas tubuh pelajar lelaki itu. Spontan juga badan pelajar lelaki itu rebah semula ke atas permukaan tanah. Nasib baik kedua belah telapak tangan Zulaikha Aaliya melekap ke atas dada pelajar lelaki itu, kalau tidak jarak antara wajah mereka berdua mungkin kurang seinci!
Ya Allah! Macam mana pula boleh jadi begini? Tulah agaknya!  
“Adoi!” Jerit pemuda itu, lebih kuat dari yang tadi.
“Beratnya engkau. Macam dihempap dengan batu, rasa badan aku.” Nampak saja kurus, tapi beratnya boleh tahan. Pelajar lelaki itu menggelengkan kepala. Mungkin terselit rasa menyesal membuatkan Zulaikha Aaliya terjatuh.
Malu, malunya tak terkata. Alahai! Cepat-cepat Zulaikha Aaliya bangun dari situasi yang agak mengaibkan itu. Terasa menyirap darah ke muka bagai disimbah air sirap. Nasib baik malam agak kelam, jadinya wajah putih Zulaikha Aaliya yang sudah bertukar rona merah menyala itu tidak kelihatan sangat.
Apa daa. Isk! Tapi, kenapa pula jantung aku berdetak tak ikut rentak ni? Soal Zulaikha Aaliya pada diri sendiri. Kepala ditoleh ke belakang dengan matanya terpejam sejenak menahan rasa malu.
“Kau nak tolong aku atau kau nak bunuh aku?” tanya pelajar lelaki itu sambil bangun separuh badan dari baringan dengan kedua-dua kaki masih menjulur di atas bumi.
“Sorry, tak sengaja,” jawab Zulaikha Aaliya mengangkat tangan tanda memohon maaf.
Pelajar lelaki itu ketawa kecil lantas perlahan-lahan dia bangun sambil mengibas punggung dan terus berdiri tegak. Kedua-dua belah tangan diangkat ke atas lalu menggeliat sebelum meletakkan tangannya itu ke belakang pinggang. Tidak ada niatpun mahu menyembunyikan lakonannya yang agak cemerlang sebentar tadi. Dia bermain mata pada Zulaikha Aaliya membuatkan gadis itu terkedu sebentar.
Bodohnya aku! Kurang asam! Berani dia mempermainkan aku. Bibir diketap rapat. Marah terasa meruap ke seluruh badan. Bulat mata Zulaikha Aaliya memandang.
Pelajar lelaki itu terseringai.
“Kau… Berani kau… Siaplah engkau!” Suara Zulaikha Aaliya kedengaran tersekat-sekat. Marah yang amatlah tu.
Pelajar lelaki itu tersenyum lagi. Mata menyapu bersih wajah Zulaikha Aaliya yang sedang merah-merah menahan amarah. Nampak sangat comel. Terpesona seketika dia dengan ciptaan Allah.
Zulaikha Aaliya kelihatan semakin panas hati melihat pelajar lelaki itu yang pada hematnya sedang memperkotak-katikkan dirinya.
Bahaya ni. Dah jadi macam harimau jadian pula. Baik aku buat sesuatu sebelum aku dibelasah. Bukan boleh dijangka gadis sekarang ni, nampak macam perempuan lembut tapi mana tahu ada black belt? Patah riuk aku dibuatnya. Think fast! Kerah pelajar lelaki itu kepada akal fikirannya.  
“Zulaikha... dengar sini.”
“Hah? Mana engkau tahu nama aku?” Mata Zulaikha Aaliya semakin membulat.
 “Maaf, Zulaikha, aku tak berniat apa-apa. Sungguh!” Kali ini dia memang berkata-kata dengan ikhlas, tiada niat tersembunyi.
Zulaikha Aaliya mengerutkan dahi tidak percaya. Dipandangnya muka pelajar lelaki yang sedang mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara. Kepalanya ligat memikirkan bagaimana pelajar baru itu boleh tahu nama dia. Popular sangat ke dia? Jangan, jangan ....
Zulaikha Aaliya maju selangkah.
“Zulaikha, betul aku…” Pelajar lelaki itu berundur setapak ke belakang.
Alamak! Zulaikha Aaliya memang dah hangin satu badan. Dia datang menerpa pelajar lelaki tersebut dengan buah tangan pulak tu.
Pergh!! Fuh!! Badan dikalih ke kiri. Penumbuk Zulaikha Aaliya terlepas ke udara kosong. Nasib baik sempat mengelak. Pelajar lelaki itu sapu wajah dengan telapak tangan.
Geram bukan main lagi Zulaikha Aaliya bila tumbukannya tidak mengena. Wargghh! Kenapa tak kena? Kenapa?? Pelajar lelaki itu nampak nampak tenang-tenang sahaja. Nak cuba lagi sekali ke tak?
“Zulaikha Aaliya, sebelum kau buat apa-apa, dengar dulu okey?” Pelajar lelaki itu bersuara, perlahan dan lembut seperti memujuk. Jangan buat hal. Boleh tahan baran juga Zulaikha Aaliya ni. Kalau tak mau lebam muka aku, walaupun tak seberapa tapi boleh tahan kacak juga aku ni.
“Macam mana kau tahu nama aku?” Zulaikha Aaliya bertanya sedikit kasar. Musykil juga.
“Hek-eleh, kat kolej kita yang cuma sebesar kangkang kera ni?”
“Apa yang engkau nak?” kendur sedikit suara kasar yang keluar daripada dua ulas bibir Zulaikha Aaliya.
“Engkau?”
“Hah?” Terbelalak mata Zulaikha Aaliya mendengarnya. Bibirnya berdecit halus. Budak ni nak kena jugak ni!
“Jangan marah, aku bergurau.”
Zulaikha Aaliya mengelipkan mata sekali mendengar kata-kata pelajar lelaki itu.
“Okey…okey. Sebenarnya. Sebenarnya dan yang benar, aku ada benda yang engkau nak.” Nakal kedengaran jawapan yang keluar daripada dua ulas bibir pelajar lelaki itu.
“Hah?” Buntang biji mata Zulaikha Aaliya. Mengarut sungguh dia ini, fikirnya.
“Betul. Tengok ni… Haa…sekarang siapa yang kena?” Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Sebuah dompet berukuran sederhana kecil dan berwarna cokelat gelap.


“Eh, itu dompet aku!” spontan Zulaikha Aaliya meraba kocek baju dan seluar. Laju sahaja tangannya ingin menjangkau dompet miliknya. Namun, pelajar lelaki itu segera melarikan dompet itu jauh-jauh.
“Mana kaudapat? Macam mana boleh ada kat kau?” tanya Zulaikha Aaliya bertalu-talu.
“Cuba engkau ingat?” Dompet tersebut digoyang-goyangkan. Mata Zulaikha Aaliya menari-nari mengikut gerakan dompet tersebut.
Aku tercicir ke? Itu sudah pasti. Tapi di mana? Kantin? Kelas? Atau semasa dalam perjalanan ke perpustakaan? Puas Zulaikha Aaliya cuba memikirkan dan mengingati tapi sia-sia belaka.
Pelajar lelaki itu masih menanti. Sesekali dia menilik kuku dan meniupnya.
Kat mana? Kat mana hah? Cuai sungguh. Zulaikha Aaliya menggelengkan kepala bila dia tidak berjaya menemukan jawapan yang dicari.
“Bak sini, bagi aku balik,” pinta Zulaikha Aaliya sedikit resah.
“Boleh, tapi… tak bolehlah bagi macam tu sahaja… adalah syaratnya.” Pelajar lelaki itu mengangkat kening dua kali. Mengejek.
“Syarat?” balas Zulaikha Aaliya pula. Bersyarat-syarat pula dia ni. Dia dah tengok ke isi kandungan dompet aku tu? Mestilah, iye tak? Kalau tak dia takkan tahu dompet itu milik aku.
Pelajar lelaki itu tersenyum simpul. Terasa seperti kemenangan itu berpihak kepada dirinya.
“Apa syaratnya?” Zulaikha Aaliya bertanya walaupun tahu sangat-sangat yang dia akan menyesal bertanyakan soalan itu. Sungguh!
“Sini…” Pelajar lelaki itu mengunjukkan pipinya sambil tersenyum nakal.
“Hah!” Zulaikha Aaliya melopong. Mata melotot geram. Penampar bolehlah!
“Tak-adalah. Aku bergurau. Apa kauingat aku jahat sangat?”
“Hmm… mana tahu.” Syukur, dia cuma bergurau rupanya. Zulaikha Aaliya mengurut dada. Tapi, kalau betul memang pipi itu akan dicium juga, dengan tapak kaki kasut. 
“Nah, aku kembalikan dengan syarat lepas ini kita jadi kawan. Boleh?” ujar pelajar lelaki itu sambil menghulurkan dompet tersebut kepada Zulaikha Aaliya.
“…” Mata Zulaikha Aaliya berkerdip. Tiada patah perkataan yang keluar, bisu sejenak. Blur pula Zulaikha Aaliya ni. Tapi tangannya tak segan pula menerima dompet yang memang miliknya daripada genggaman pelajar lelaki itu.
“Aik.... macam terlupakan sesuatu sahaja?” seloroh pelajar lelaki itu setelah dompet tersebut bertukar tangan.
Giliran Zulaikha Aaliya pula mengangkat kening.
“Hurmm… terima kasih banyak-banyak dan aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Lepas ni, kita jadi kawan.”
Senyuman dihadiahkan oleh pelajar lelaki tersebut.
“Terima kasih, tau.” Sedikit ralat tapi Zulaikha Aaliya merasakan yang dirinya memang wajar mengucapkan itu.
Tangan dihulur.
“Nak apa pulak ni?” Zulaikha Aaliya sedikit teragak-agak. Lebih kepada rasa serba-salah sebenarnya.
“Kawan?” kedengaran ikhlas. Pelajar lelaki itu menanti.
Nak hulur atau tak? Perlahan-lahan Zulaikha Aaliya menghulurkan tangan dan, pantas pula pelajar lelaki itu menarik semula tangannya.
“Tak boleh, bukan muhrim.”
Argh! Kata-kata pemuda itu membuatkan Zulaikha Aaliya termalu sendiri. Merah-merah muka dia kerana terlanjur. Benci! Memang saja dia hendak mengenakan aku, getus hati Zulikha sedikit geram.
“Kawan?” Kening pelajar lelaki itu terjongket dengan secebis senyuman.  
“Kawan,” balas Zulaikha Aaliya sejurus kemudian masih dalam keadaan tersipu.
“Hafizz, Hafizz Elsad.” Pelajar lelaki itu memperkenalkan diri sambil kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar.
“Zulaikha, Zulaikha Aaliya,” balas gadis itu pula sambil sebelah kaki menguis rumput.
“Aku tahu.” Bahu diangkat dengan senyuman masih tersungging di bibir. Nampak nakal dengan sepasang mata yang sengaja disepetkan selari dengan senyuman yang diberikan.
Jawapan yang selamba itu membuatkan mata Zulaikha Aaliya spontan mendarat kepada wajah penutur. Argh! Sekali lagi dia terkena. Rasa macam hendak dicekik-cekik sahaja mamat ni. Lebih-lebih lagi apabila melihat senyuman nakal yang bermain dibibir nipis milik pelajar lelaki itu. Geram yang berputik di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu ketika itu. Namun, yang dia mampu cuma tersenyum sahaja.

Lain kali sahaja aku balas, lain kali. Lain kali, Hafizz Elsad. Aku tak akan lupa sepotong nama milikmu itu. Dalam senyum, hati Zulaikha Aaliya berdetik. 



Sabtu, 14 Januari 2017

Episod Pengenalan: P.A Encik Hafizz Elsad



Salam and morning readers
Lama gila menyepi, mengatur hidup yang agak kucar-kacir. Maaflah ya. And so, siapa yang pernah baca Gadisku Yang Blur, then uolls mesti notice that P.A Encik Hafizz Elsad is actually the same story, cuma saya perbaiki dan tukar tajuknya. So here you are .... chapter 1.


PENING Zulaikha Aaliya memikirkan. Ada saja yang tidak kena. Ada saja yang tidak betul, entah apa yang telah dia lakukan hingga membuatkan pemuda itu merasa sakit hati sangat dengan dirinya. Itu ini, begitu begini. Serasa dia, dia sudah melakukan yang sehabis baik. Yang terbaik. Semampu dia. Sehabis kudrat yang ada. Aduhai, terasa seperti segala usaha dan penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.
Kalau diikutkan kata hati, terasa seperti hendak ditukarkan saja ahli kumpulan yang ada sekarang ini. Atau mungkin dia patut dengan rela hati mengeluarkan diri sendiri daripada menjadi ahli kumpulan tersebut. Zulaikha Aaliya melepaskan sebuah keluhan. Peritnya walau sekadar memikir.
Namun, bila difikir-fikirkan, tarikh pembentangan itu cuma tinggal sehari-dua sahaja lagi, tidak mungkinlah dia mahu berbuat begitu. Masa yang ada agak singkat. Bukan agak, memang singkat sangat. Sukar untuk dia hendak mendapatkan ahli kumpulan baru mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan yang lain. Tambahan pula projek tersebut sudah disiapkan hampir 80 peratus. Sebahagian besar atas usaha dia.
Lagipun, mampukah dia mendapatkan idea baru untuk dibentangkan? Segalanya sudah dicurahkan untuk projek yang sekarang ini. Rugilah jika dia menurut kata hati dek kerana sikap ahli yang seorang itu. Telan sahajalah buat masa ini, untuk sekali ini, pohon Zulaikha Aaliya kepada diri sendiri. Bertahan. Bertahan selagi boleh.

“Leen, aku rasa tak sedap badan,” beritahu Zulaikha Aaliya separuh berbisik kepada Joleen, gadis yang berasal dari Sarawak itu. Hati yang sakit itu sudah menjalar bisanya ke seluruh tubuh. Makan jiwa.
 “Nanti, kau khabarkan kepada ketua kumpulan kita, aku balik sebab aku tak sihat,” sambung Zulaikha Aaliya lagi bila mata dia pantas menangkap susuk tubuh Nazri yang sudah kembali setelah meminta diri untuk ke bilik air sebentar tadi.
“Kau bagitahulah s...” Belum sempat Joleen menghabiskan ayatnya Zulaikha Aaliya sudah bingkas berdiri. Joleen hanya mampu menganga bila rakan sekumpulannya itu tidak menyempat, sudah mahu pergi.
“Aku pergi dulu,” ujar Zulaikha Aaliya cepat-cepat bila Nazri sudah semakin mendekat. Bimbang lebih lama dia berada di situ lebih sakit lagi hatinya mendengar komen-komen Nazri yang pada hematnya tidak membina langsung. Hanya tahu mengutuk sahaja, mengarah itu dan ini. Bernanah telinga mendengar, pahit hati menghadam.
Amir dan Dina yang tadi rancak berbual memandang Zulaikha Aaliya serentak. Ada tanda tanya muncul di ruang mata. Untunglah pasangan bercinta sekumpulan. Sambil-sambil membina masa hadapan, sambil-sambil bercinta. Jangan tahu bercinta sahaja tapi tugasan masing-masing tidak disiapkan. Kelak cinta ke mana, masa hadapan juga entah ke mana.
“See you guys later,” ujar Zulaikha Aaliya sambil mengangkat kening, pantas dia mengambil fail, nota serta buku rujukan miliknya yang terletak di atas meja lalu beredar secepat yang boleh.
“Dia hendak ke mana?” tanya Nazri sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke atas kerusi yang terletak bersebelahan Joleen. Ketika itu Zulaikha Aaliya sudah berada sepuluh langkah di hadapan.
Amir angkat bahu. Dina tidak menjawab, sebaliknya berpaling ke arah Joleen. Seolah-olah tahu Joleen mempunyai jawapan untuk soalan yang dikemukakan Nazri sebentar tadi.
“Dia tak sihat,” Joleen jongket kedua-dua kening ketika menjawab. Mata Nazri sudah beralih ke arahnya.
“Tiba-tiba?” Berkerut dahi Nazri dan matanya terus mengekor susuk tubuh Zulaikha Aaliya yang semakin cepat menghilang di balik batang tubuh pelajar yang semakin ramai memenuhi ruang dewan tersebut. Sebuah keluhan dilepaskan. Terdetik juga mahu mengejar tapi kakinya bagai terpaku ke lantai.



Zulaikha Aaliya menghembus nafas sedas sebaik sahaja keluar daripada dewan. Langkahnya yang tadi laju bagai tak cukup tanah diperlahankan. Niat di hati ingin meneruskan ulangkaji di perpustakaan.
Langit malam dipandang, cerah sahaja. Kelihatan bulan sedang memancarkan sinarnya. Cantik, desis hati Zulaikha Aaliya. Tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk. Baru dia perasan yang dia sedang berjalan seorang diri menuju ke tempat kegemarannya. Argh, Zulaikha Aaliya yang lone ranger. Memang dia seorang lone ranger pun.
Sedang dia menyusun langkah yang semakin tidak teratur menuju ke destinasi, terasa seperti ada sesuatu yang sedang mengekorinya daripada belakang. Meremang bulu roma. Mata Zulaikha Aaliya melingas, mulut berdecit kecil membaca ayat kursi yang terasa seperti tunggang-langgang susunan ayatnya. Mau taknya, sudahlah berjalan seorang diri, lampu jalan pula malap semacam dengan suasana kelam dan bunyi-bunyian yang membuatkan hatinya berdetak seribu. Seram kot.


Bunyi ranting patah membuatkan Zulaikha Aaliya terperanjat. Sebenarnya, kaki dia sendiri yang memijak ranting tersebut. Panjang istighfar keluar dari bibir. Hampir saja dia melatah yang bukan-bukan.
Bagaimana pula ranting kering itu boleh berada di laluan? Rengus Zulaikha Aaliya sambil menolak ranting tersebut ke tepi dengan menggunakan hujung kaki. Dia menyambung semula langkah yang terhenti tadi.
Sekali lagi hati Zulaikha Aaliya berdetik, ada sesuatu sedang mengekor dia. Setapak dia ke hadapan, terasa dua tapak yang mengekori itu melangkah menurut jejak yang ditinggalkan. Suku perjalanan dia masih mampu lagi bertahan. Namun selepas separuh perjalanan, dia sudah mulai goyah.
Hatinya yang cuak memaksa dia memberanikan diri untuk menoleh dengan serta-merta. Sekali toleh, tidak kelihatan sesiapapun. Hanya gelap malam, dan hembusan angin yang mendinginkan. Dua kali toleh, keputusannya tetap serupa. Tiada perbezaan, cuma bayang-bayang sahaja yang kelihatan pada muka bumi. Argh, mungkin semua itu cuma mainan perasaan sahaja.
 Bagaimanapun, dek kerana perasaan seram sejuk itu semakin menguasai diri, Zulaikha Aaliya mempercepatkan langkah kakinya dua kali lebih laju daripada yang tadi. Tapi, yang peliknya derapan kaki yang sedang mengekorinya itu juga terasa seperti bergerak sepantas dirinya. Berdetak-detak hati Zulaikha Aaliya dibuatnya. Tiba-tiba bangunan yang menempatkan perpustakaan itu kelihatan terletak jauh berbatu-batu.
Tiba-tiba juga laluan blok yang menempatkan kelas dan bilik kuliah terasa sunyi. Mana pergi semua pelajar kolej tersebut? Selalu riuh sahaja tapi malam ini sepi? Mungkinkah ini cuma mainan perasaan sahaja? Zulaikha Aaliya cuba mengikis rasa cemas yang bertandang. Namun ketika melewati blok yang menempatkan makmal sains, sekali lagi dia diserang seram sejuk. Terasa seperti diekori dengan rapat. Rapat sekali.
Tak boleh jadi ni, detik Zulaikha Aaliya lalu berhenti sejenak sebelum memecut dan berselindung di sebalik selekoh bangunan bersebelahan. Dia mendiamkan diri seketika, menanti kalau-kalau ada sesiapa yang muncul.
Terdengar derap kaki seseorang atau mungkin sesuatu? Semakin lama semakin menghampiri tempat dia bersembunyi. Bila derap kaki itu berhenti betul-betul di sebalik tempat dia bersembunyi, sebelah kakinya dilunjurkan.
Apa nak jadi, jadilah! Detik hatinya. Dan…Bedebuk!!


So, the rest, secoet, snippet, snack plate ke apa, refer dekat the following FB group (Melati Shafika -Unspoken Minds) ya: 
https://www.facebook.com/groups/331573453707220/