Assalam & Greetings,
Lama x update blog kan? Hendak memperkenalkan e-novel saya yang bertajuk 'Siluet Cinta', sebenarnya dah lama buat cuma tak berkesempatan hendak menyiapkan kisahnya hingga kini. Actually, masih lagi on going. Hopefully, berjaya menyiapkannya dalam kadar segera. Dengan izin Allah. So, here goes .... Thaqif Ariffin and Dhea Zalia. Semoga terhibur. Love xoxo. :)
DHEA menurut sahaja langkah kaki lelaki itu. Bila lelaki
itu melangkah ke kanan, Dhea turut melangkah ke kanan. Bila lelaki itu melangkah
ke kiri, diapun turut sama melangkah ke kiri. Sesekali lelaki itu menoleh ke
belakang. Bila itu berlaku, cepat-cepat Dhea tundukkan wajahnya. Tidak mahu
bertentang mata dengan lelaki itu.
Lelaki itu meneruskan langkah kakinya sebelum berhenti di
hadapan sebuah bilik. Dhea masih lagi berada beberapa tapak di belakang.
Menjinjing beg pakaian miliknya yang sederhana besar. Lelaki itu memandang Dhea
yang terjingkit-jingkit membawa beg tersebut. Dia merengus sedikit kasar. Mendengar
itu, Dhea cuba melangkah sepantas yang mungkin, tidak mahu lelaki itu menjadi bertambah
marah. Sampai sahaja Dhea di sisi, lelaki itu memulas tombol pintu bilik
tersebut.
“Mulai hari ini, awak akan tidur di dalam bilik ini.” Datar.
Tiada nada.
Dhea mengangguk tanpa memandang wajah lelaki itu.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” Tegas
lelaki tersebut.
Dhea meneguk air liur mendengar kata-kata yang lebih
kepada amaran itu. Hendak mengangkat muka, dia tidak berani.
“Saya akan bertolak ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi.
Setiap hari, Isnin sehingga Jumaat. Saya akan balik ke rumah sebelum waktu Isyak.”
Lelaki itu berjeda, mungkin sedang berfikir tentang apa lagi yang patut Dhea
tahu.
“Tugas awak dalam rumah ini, yang pertama dan paling
penting sekali adalah menjauhi diri saya! Apa pun yang awak nak buat, saya
tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, awak jaga maruah saya!
Faham?!”
Air liur tersekat di rengkung. Tersentap jiwa raga namun Dhea
hanya mampu mengangguk sahaja.
“Itu sahaja, awak boleh masuk, yang lain saya akan
beritahu kemudian,” ujar lelaki itu sebelum menapak pergi.
Dhea masih berdiri di tempat yang sama. Tidak mahu
berganjak sehinggalah kelibat lelaki itu menghilang dari pandangan. Matanya
memerhatikan laluan. Bila pasti lelaki itu sudah tiada, Dhea melangkah masuk ke
dalam bilik. Pintu ditutup rapat sebelum beg yang dijinjingnya tadi diletakkan
di tepi almari.
Matanya meliar memandang keliling, memang bilik itu
berbeza dengan keadaan biliknya sebelum ini. Berbeza sangat-sangat. Sesekali
dia terasa diri bagai berada di alam mimpi.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” suara
lelaki tadi bagai terngiang-ngiang di telinga Dhea. Dhea mengeluh sendirian.
Bukan niat dia pun mahu merumitkan keadaan.
Langkah kaki diatur menuju ke sebuah katil bersaiz Queen
yang memang disediakan di dalam bilik tersebut. Dhea melabuhkan punggung di
birai katil. Dia tidak tahu bagaimana dan apa yang hendak difikirkan. Mindanya
padat dan sesak. Akhirnya dia bangun lalu membuka pintu balkoni.
Dhea berdiri di koridor sambil memandang langit malam.
Bulan berbentuk sabit dan beberapa butir bintang berkerlipan menghiasnya.
Sesekali Dhea menguis helaian rambut yang mengganggu penglihatannya. Tiba-tiba
pandangannya jatuh pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya.
Cincin yang diperbuat daripada emas putih itu ditenung
lama. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati,
kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu
hati. Cantik. Dhea mengeluh. Keluhannya kedengaran lebih berat daripada yang
tadi. Kalau cantik pun, tiada gunanya jika orang yang menyarungkan cincin
tersebut ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap
dirinya. Sungguhpun itu bermaksud dia sudah menjadi yang sah dan halal kepada
insan tersebut.
Dhea pandang lagi langit malam. Dibiarkan sahaja angin
sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh
badan. Hatinya tiba-tiba terasa sebak dan pilu. Pakaian pengantin masih melekat
di tubuhnya. Tiada niat mahu menanggalkannya walaupun majlis sudah lama
berakhir. Biarlah pakaian itu tersarung hingga ke pagi, dia kepingin jadi
bidadari biarpun sebentar cuma. Biarpun tiada yang sudi menganggapnya begitu.
“Biar pun sedetik cuma,” bisik Dhea sendirian. Air mata
yang mengalir diseka perlahan.
Dhea menarik nafas. Memang hari itu hari yang amat
bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang
diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari
terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang
tidak berhati-perut. Bersyukur kerana dia masih lagi berpeluang untuk hidup di
atas bumi Tuhan. Sungguh!
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau
sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya
upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan
mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang termampu Dhea lakukan.
“Aku terhutang nyawa padanya. Biarlah kehadiran aku ini
tidak dihargai, aku rela. Aku reda,” tekadnya dalam hati.
Thaqif Arifin Bin Azad Kamarul. Nama lelaki yang kini
bergelar suami kepadanya. Dhea tidak
kenal lelaki itu. Dhea juga tidak tahu mengapa lelaki itu sanggup menikahi
dirinya. Dipaksa, terpaksa atau keadaan memaksa? Sungguh Dhea tidak tahu.
Mungkin lelaki itu tiada pilihan.
‘Hendak dipanggil apa ya, suami aku itu? Thaqif? Abang?
Abang Thaqif? Layakkah aku memanggilnya begitu? Sudikah dia, sedangkan
memandang aku pun dia tidak mahu.’ Dhea menggosok telapak tangan, sebelum
meletakkannya pada kedua belah pipi. Menghangatkan diri sendiri yang
kedinginan.
Dhea pandang bintang-bintang di angkasa. Adakah engkau
salah satu daripada bintang-bintang yang berkerlipan itu, penyelamat diriku?
Yang jatuh menyinari hidup aku? Atau akukah antara bintang-bintang itu yang
hadir mewarnai hidupmu?
Malam sudah semakin larut. Dhea menopang dagu, masih mahu
mengira bintang di langit. Badannya letih, mindanya juga letih. Mahu tidur tapi
mata tidak mahu lelap. Fikirannya masih melayang, cuba merakam wajah suami yang
belum sempat ditatap dengan jelas. Argh! Dhea, belum apa-apa sudah mula berangan.
Apapun, bagi Dhea dialah prince charming untuk dirinya. Seperti dalam cerita fairytales yang pernah dibaca dan
didengarnya. Cuma pengakhiran kisahnya sahaja yang masih menjadi tanda-tanya.
Apa mungkin hikayat hidupnya juga akan sama seperti kisah-kisah itu? Berakhir
dengan kebahagiaan untuk selamanya?
‘Mungkin prince
charming itu cuma satu fantasi. Biarlah kalau begitu. Sesungguhnya kerana
dia, maruah aku terselamat. Sesungguhnya kerana dia, aku bisa lari dari
kehidupan silam aku. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu
membalas jasanya.’ Air mata Dhea jatuh
berlinang lagi.
‘Thaqif Arifin. Biar apapun tanggapan kamu. Biar apapun
perasaan kamu terhadap aku. Aku berjanji akan cuba menjadi yang terbaik untuk
kamu. Itu janji Dhea.’
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea
menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.
1 comments:
suka baca ur storries. Tapi boleh tak cik melati buang those rose petals. Sbb mengganggu nak baca.
p/s: cadangan sahaja
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p