Sabtu, 19 Oktober 2013

Officially Yours - part 12

Salam ukhwah, salam Aidil Adha. Akhirnya OY dah masuk chapter 12. Maaflah kalau kisah Fariq Hatta dan Yasmin Hidayah dah jadi panjang berjela. Kalau ada kekurangan harap dapat diperbetulkan. ;) Agak-agak apa yang berlaku selepas ini? Just wait & see. Hahaha..thanks for visiting, love you all -till next entry -layan dulu this chapter k.


Sudah seminggu Fariq Hatta tidak masuk pejabat. Sibuklah kut menguruskan hal nikah kahwin dia dengan perempuan tempohari. Khairina namanya, aku dapat tahu dari Kak Su. Nampaknya, si kaki buli itu sudah boleh menerima hakikat yang Khairina itulah jodoh untuknya. Bukan kekasih lamanya yang menghilang itu.
Aku? Aku terpaksalah juga menerima hakikat yang Fariq Hatta itu bukanlah jodoh yang ditakdirkan untuk aku. Sedih wei. Orang kata cinta begini tak akan kekal lama. Cinta ala-ala cinta monyet. Tapi, ini cinta monyet akukah? Mana ada cinta monyet berlansung terus hingga tamat pengajian macam yang berlaku ke atas aku. Huhu, malas aku nak fikir. Buat semak minda aku sahaja.
Tadi, Kak Su ada menunjukkan padaku kad walimah yang diedarkan untuk warga syarikat. Aku juga ada mendapatnya. Ya, sengaja aku letak kat tepi monitor komputer. Kononnya aku tak ambil kisah sangat. Cantik sampulnya, berwarna ungu cair dengan corak bunga timbul di atasnya. Menarik. Warnanya itu yang memikat, ungu. Agaknya itulah tema perkahwinan mereka. Alangkah romantiknya.
Kad walimah itu aku capai dan belek-belek seketika. Tak berani aku nak buka dan baca depan Kak Su. Bimbang air mata ni tak malu untuk bercucuran jatuh. Tak pasal-pasal aku jadi bahan cerita pula. Isk! Sadisnya kalau itu yang berlaku.
“Tak sedih ker?” Tanya Kak Su macam tau-tau jer apa yang bergejolak dalam hati.
“Kenapa nak sedih Kak Su?” Tanya aku balik. Sebak pula terasa ketika menuturkannya. Oh! Air mata janganlah jadi murah sangat.
Kak Su pandang aku semacam.
“Mestilah saya tumpang gembira, bos kan nak kahwin. Nak bina masjid. Kita kena doakan yang terbaik, bukan begitu?” Bibir aku paksa senyum, walaupun terasa kelat yang amat.
Kak Su jungkit bahu. “Wajah Yaya tu…”
“Kenapa?”
“Akak tak nak sebut tapi, it shows everything.”
Gulp! Benarkah begitu? Argh! Kesedihan aku jelas tergambar? Isk! Aku kena belajar macam mana hendak sembunyikan emosi, lebih-lebih lagi depan Kak Su. Dia ni jenis yang pandai baca fikiran orang, bijak dalam serkap jarang juga.
“Yaya pergi tak majlis tu nanti?”
“Entahlah, rasanya Yaya ada hal lain masa tu.” Saja aku buat alasan. Aku? Nak pergi? Tidaklah. Memerangkap diri sendiri namanya kalau aku menghadirkan diri.

***


Kad walimah yang tadi aku biarkan tersadai di atas meja, aku kerling dengan ekor mata. Rindu pula aku dengan Fariq Hatta. Sudah terbiasa melihat wajah dia lima hari seminggu. Tiba-tiba hilang drastik begitu, mahu tak rindu.
Tiba-tiba terasa menyesal menolak tawaran yang dia berikan tempohari. Apa salahnya kan? Merasa hidup bersama dia walaupun sementara. Manalah tahu kut-kut memang jodoh aku dengan dia panjang. Yaya, Yaya… agak terlewat bukan? Majlis itu akan berlangsung dalam beberapa hari lagi. Menurut Kak Su, dipercepatkan atas permintaan keluarga pengantin perempuan. Atas permintaan? Wow, hangat betul si kaki buli itu kan?
Sejak aku menolak tawaran itu, Fariq Hatta jarang sekali berada di pejabat. Selang sehari dia akan keluar kawasan. Selama dua minggu yang lepas, dia cuma berada di pejabat untuk dua hari sahaja. Minggu ini langsung tak muncul. Mengelakkan diri dari aku? Takkanlah. Siapalah aku?
Sebenarnya, aku agak risau memikirkan keadaan Fariq Hatta. Sebabnya, dia langsung tak bertegur sapa dengan aku. Haish! Aku ni waras ke tidak memikirkan begitu? Entah-entah Fariq Hatta sedang bergembira meraikan zaman bujangnya yang akan berakhir tidak lama lagi.
Aku buka telefon bimbit mencari gambar kami bersama ketika berada di Terengganu tempohari. Gambar bersama menyaksikan matahari terbenam di tepi pantai. Fariq Hatta yang menangkap syot tersebut. Aku minta agar dia hantarkan padaku melalui aplikasi Whatsapp. Kenangan berharga tu. Alahai, Fariq Hatta…
“Yaya?”
“Hmm..”
“Yasmin Hidayah, berangan?” suara yang menerpa gegendang telinga buat aku mendongak memandang pemiliknya.
“Encik Fariq?!” tercengang aku sehingga terbangun dari duduk. Bila masa pula dia  muncul? Tiba-tiba sahaja ada di hadapan aku. “Apa Encik Fariq buat kat sini?”
“Saya kan bekerja di sini.”
Cepat-cepat aku padamkan skrin telefon bimbit. Buatnya dia ternampak aku sedang menatap gambar kami berdua tempohari? Habis aku, entah apa yang dia fikirkan nanti.
“Bukan Encik Fariq tengah cuti ke?” aku kerling jam dinding.
“Jom ikut saya?” Fariq Hatta turut melakukan yang sama.
“Ke mana?” cuak aku nak keluar dengan bakal pengantin.
“Ikut jer lah.” Fariq Hatta dengan kuasa vetonya.
“Tak naklah.” Aku menolak, lagipun waktu bekerja dah hampir tamat.
“Saya tak akan ambil masa awak. Sekejap jer.”
“Ke mana?”
“Adalah.”
“Tapi, saya dah nak balik.”
“Saya akan hantar awak balik.” Ada saja jawapan Fariq Hatta.

***

Fariq Hatta menghulurkan sebuah kotak kecil. Kotak kecil yang biasanya dibuat khas untuk meletakkan cincin. Adakah ianya seperti yang aku fikirkan? Hati aku berdebar-debar.
“Untuk awak.”
Aku teguk air liur ketika membuka kotak kecil berbaldu merah itu. Sebentuk cincin. Berpinar mata aku, terkesima seketika melihat betapa cantiknya cincin tersebut.


“Kenapa nak bagi kat saya?”
“Saja.”
“Bagilah kat bakal isteri Encik Fariq.”
“Memang pun awak tu bakal isteri saya,” bisiknya perlahan tapi masih sempat menjengah pendengaran.
“Hah?”
“Takde apa. Mari saya pakaikan kat awak.” Segera dia mengeluarkan cincin tersebut dari bekas lantas menyarungkannya ke jari manisku tanpa sempat aku mengelak.
“Apa ni?” Aku menarik jari aku lalu cuba menanggalkan cincin tersebut. “Saya tak boleh terima pemberian Encik Fariq ni.”
Dia tersenyum cuma bila melihat aku yang tidak berjaya menanggalkan cincin tersebut. Makin lama makin ketat pula cincin itu melekat di jari. Makin susah aku hendak tanggalkannya. Pantas dia mencapai jemari aku, lalu menggenggamnya kemas-kemas. Aku terhenti seketika lalu memandang tepat pada wajahnya.
“Jangan cuba-cuba tanggalkan cincin ini sehingga saya memintanya.”
Aku menarik jemari aku dari genggamannya. Entah apa-apa Fariq Hatta ni. Psiko ke apa? Bukankah aku sudah menolak tawarannya. Apa dia sudah lupa?
“Encik Fariq ni, diserang amnesia eh?”
Dia ketawa. Seriau aku jadinya. Dia betul ke tak betul ni? Rasa macam nak lari keluar dari restoran tersebut. Kalau nak melamar pun, agak-agaklah. Tak romantik sungguh. Eh-eh, aku ni.. kesitu pula perginya.
“Yasmin Hidayah, saya masih waraslah.”
Terkebil-kebil aku memandangnya, antara percaya dengan tidak.
“Dah, makanlah. Cuba jangan fikir yang bukan-bukan. Awak ni kuat berangan tau.” Dia berjeda seketika sebelum menyambung. “Anggaplah ini pemberian ikhlas dari saya untuk awak. Tiada maksud yang tersirat. Please.. let us enjoy our dinner without any argument what so ever.”
Pandangan matanya yang tulus buat aku terpana lagi. Entah untuk yang ke berapa kali. Akhirnya, aku mengangguk bersetuju dengan apa yang dipinta. Biarlah kami menikmati makan malam bersama ini dengan aman. Mana tahu ini momen bersama kami yang terakhir kali.
Kami makan penuh sopan hingga ke suapan terakhir. Boleh pun makan tanpa gaduh-gaduh.
“Memandangkan ini mungkin dinner kita yang terakhir, saya nak minta maaf dari Encik Fariq. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.”
“Awak tak buat salah apa pun dengan saya.” Dia mengelap bibir dengan tisu.
“Manalah tahu, Encik Fariq ada terasa hati dengan saya.” Mata aku masih ralit memerhatikan tingkahnya.
“Sebenarnya saya ada satu rahsia nak bagitahu pada Encik Fariq,” tiba-tiba apa yang terdetik di hati aku luahkan tanpa berfikir.
“Apa dia?”
Ketika itu terbit rasa menyesal kerana terlepas cakap. Patutkah aku memberitahu dia? Sesaat. Dua saat. Aku teguk air liur. Dia bakal menjadi suami orang dalam beberapa hari lagi. Jadi, pada fikiran aku dia tahu atau tidak akan perasaan aku sama sahaja. Tidak akan memberi impak kepadanya. Lagipun cinta aku ini cuma bertepuk sebelah tangan.
I have a crush on you back then.” Wajah aku terasa membahang selepas meluahkannya. Terasa lega juga setelah sekian lama menyimpan.
Really? Owh…” dia memandang tepat anak mataku buat aku jadi malu.
Long time ago, masa kat universiti,” beritahu aku jujur. Rahsia paling besar aku sudah selamat ke pengetahuannya. Tiada apa yang perlu aku sembunyikan lagi melainkan perasaan aku yang ada sekarang ini.
“Saya ingat awak bencikan saya selama ni.” Ada senyuman bermakna tersungging di bibir Fariq Hatta. Aku terlalu gementar dan malu untuk perasankannya.
“Okey tak cincin tu?”
Mataku segera beralih pada jari manisku. Mana ada orang bagi cincin secantik dan semahal ini sebagai tanda pernghargaan. “Erm.. Cantik sangat Encik Fariq. Saya masih rasa saya tak patut terima cincin ni. Bila saya dah berjaya keluarkan dari jari, saya pulangkan semula kepada Encik Fariq.”
Fariq Hatta menggeleng. “Please keep it. I insist.
Aku menyisip air yang masih bersisa dalam gelas.
“Yaya, do you still have that feeling?”
“Apa Encik Fariq?” Wajahku membahang lagi. Mana tahu dia akan bertanya. Cepat aku menggeleng seraya tersenyum. Takkan nak mengaku. Cari nahas tu.

***

Pagi tadi Kak Su menghubungi aku bertanya sama ada aku akan menghadiri majlis akad nikah Fariq Hatta atau tidak lepas Maghrib nanti. Aku yang sedang berbelah bagi tidak memberi sebarang kata putus. Memang ada niat untuk melihat Fariq Hatta dalam pakaian pengantin. Tapi, entahlah.
Sejak tengahari, aku sibuk mengeluarkan baju yang ada dalam almari. Memilih yang mana satu sesuai untuk dipakai jika aku berubah fikiran dan hadir ke majlis tersebut. Entah berapa pasang yang sudah aku cuba tapi tidak ada satu pun yang berkenan di hati. Rimas aku memikirkannya. Huwargh!
Aku tarik nafas panjang sebelum mengambil keputusan yang aku memang tidak patut hadir ke majlis tersebut. Noktah.
Seminit kemudian aku tinggalkan baju-baju yang aku cuba tadi tersadai di atas katil. Aku ke dapur buka pintu peti sejuk kemudian keluarkan aiskrim buatan sendiri hasil air tangan mak aku. Letakkan atas meja dapur, ambil sudu kemudian membawa bekas berisi aiskrim itu ke ruang tamu.
Televisyen aku pasang sambil mula menjamah aiskrim tersebut. Aku tekan punat alat kawalan mencari siaran yang menarik perhatian. Adus! Apahal rancangan perkahwinan pula yang keluar bersiaran sekarang ni? Aku tukar siaran, cerita pasal jodoh pula. Asyik tukar-tukar siaran sedar tak sedar aku dah makan aiskrim sampai licin bekas.
Lama aku bermenung di atas sofa. Kalau ikutkan masa, majlis akad nikah Fariq Hatta dijadualkan berlangsung dalam sejam dua dari sekarang. Sempat lagi kalau aku nak pergi. Isk! Tak payahlah Yasmin Hidayah, kau duduk sahaja kat rumah. Mana sempat nak bersiap, tak campur tolak bahagi masa bertolak dan menghadap sesak di jalan raya lagi. Lupakanlah hajat engkau tu.
Aku naik semula ke bilik setelah penat melayan rancangan televisyen. Lagipun Azan Maghrib sudah pun berkumandang tanda sudah masuk waktu untuk menunaikan solat. Mak dan ayah aku tidak ada di rumah, melawat kakak yang masih dalam pantang. Tinggallah aku seorang.
Usai mandi dan solat, aku baring santai sambil melayari internet menggunakan tablet. Telefon bimbit kedengaran berdering. Aku bangun dengan niat mahu menjawab panggilan yang masuk. Tapi, bila nama Kak Su yang muncul aku segera membatalkan niat. Mesti Kak Su mahu bercerita tentang majlis bos yang meriah itu.
Lima minit kemudian, pesanan ringkas masuk.
“Yaya, call akak balik.”
Argh! Malaslah, jadi aku biarkan mesej dari Kak Su itu tidak berjawab. Selang lima minit, telefon bimbit aku berdering lagi. Tak berhenti-henti sampai aku naik rimas.
“Kenapa Kak Su?” Soalku lepas menjawab salam.
“Ada berita hangat yang Kak Su nak sampaikan pada Yaya.”
“Esoklah Kak Su, Yaya ada benda nak buat ni.”
“Sekejap jer… Fariq Hatta..”
Fariq Hatta? Erm.. tak mahu dengarlah. “Takpe lah Kak Su..”
“Dengarlah Yaya.”
“Esoklah ek, Assalamualaikum.” Maafkan Yaya, Kak Su. Aku tekan butang merah kemudian aku matikan telefon bimbit.  Aku tak mahu diganggu. Aku nak tidur. Selamat malam Kak Su. Selamat malam Fariq Hatta. Selamat pengantin baru. Semoga kau bahagia di samping si dia. Itu doaku untuk Fariq Hatta.



8 comments:

Tanpa Nama berkata...

Cliffhanger betul...omai... Fariq Hatta tak jadi nikah, itulah message yg kak su nak beritahu...

Tanpa Nama berkata...

next n3 jgn la lama sgt ye..rindu la.. -eil-

Reader berkata...

Sambung lagi.. Farid x jadi nikah?

Unknown berkata...

Best la cerita ni,cpt2 update ye. Rasa tk sbr pla nk tau apa jd kat fariq tu.

Unknown berkata...

Cpt2 update.best.

Hana Norisa berkata...

wah..what happen to fariq hatta? nak tahu...tak sabar nk thu next entry..



jemput singgah kat blog Hana: http://terataknovellahananorisa.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

Aduhai... bila agknya story yg kak su nk bgitau yaya... agk2 lama lagi ke?

rahsia hatiku berkata...

yaya oii.. tlong la dengar apa kak su nak ckap 2.. ada kaitan ngan ko la 2... hehe

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p