Berubah seluruh
wajah Iyyad tatkala melihat foto yang diunjukkan oleh lelaki separuh abad yang
bergelar Datuk itu. Hatinya jadi gusar. Kenapa? Kenapa mesti dia?
“Kenapa?”
Suara
yang kedengaran separuh berbisik itu sampai juga ke telinga Datuk Kausar. Berkerut sedikit dahinya. “Itu engkau tak
perlu tahu, yang penting jalankan tugas kau dan tutup jejaknya sebaik mungkin.”
Iyyad meneguk air liur. Tidak
menyangka yang suara hatinya itu boleh terlepas keluar dari dua ulas bibirnya.
“Nah, ini pendahuluan. Bakinya
selepas tugas selesai.”
Sampul
yang berisi wang tunai itu bertukar tangan. Iyyad menyarungkan hud semula
sebelum bergegas meninggalkan tempat pertemuan. Datuk Kausar dan pemandunya
turut melakukan perkara yang sama.
***
Lama Iyyad
memerhatikan foto itu. Foto gadis yang amat dikenalinya. Gadis itulah yang
diselamatkannya dari sebuah kemalangan ngeri yang berlaku lima tahun lepas. Masih
teringat akan dia detik pertemuan pertamanya dengan gadis itu.
“Tolong, tolong selamatkan anak
saya,” suara lemah seorang lelaki tuan kedengaran memohon.
Iyyad
antara orang pertama tiba di tempat kejadian. Kenderaan pacuan empat roda yang
dinaiki tiga beranak itu bergesel dengan sebuah treler yang dipandu laju,
mengakibatkan kenderaan itu terbabas lalu terbalik.
Si ibu
yang duduk di sebelah pemandu meninggal serta-merta. Si ayah pula dalam keadaan
separuh nyawa sedangkan anak gadis mereka yang berada di bahagian belakang berada
dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Tolong..nak.”
Iyyad
segera menuju ke arah pemilik suara itu. Dia cuba membuka pintu bersebelahan
pemandu tetapi pintu itu remuk begitu teruk menyebabkan ia sukar untuk dibuka.
“Nak,
rasanya pakcik tidak sempat. Huk… huk.. huk..”
Iyyad
jadi serba salah. Pandangan mata seorang ayah begitu meruntun kalbunya.
“Tolong
sampaikan padanya..” matanya beralih pada sekujur tubuh yang berada di
belakang. “Kami sayang padanya. ” Pautan si ayah yang pada awalnya kuat pada
lengan Iyyad,semakin lama semakin lemah.
“Mengucap
pakcik, mengucap.” Itu sahaja yang mampu Iyyad katakan melihat keadaan orang
tua yang sedang nazak itu.
“Tolong
pakcik… tolong jaga anak pakcik.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan
sebelum orang tua itu menghembuskan nafas terakhir.
Bau
petrol dari tong minyak yang pecah agak kuat segera menyedarkan Iyyad.
Mengingatkan kebocoran seperti itu boleh mengakibatkan letupan, Iyyad pantas
cuba mengeluarkan anak gadis dari kenderaan tersebut.
Kebakaran
kecil tiba-tiba tercetus, disertai dengan satu letupan. Orang yang semakin ramai mula menjerit
melihat kejadian itu. Asap kelihatan berkepul-kepul di ruang udara. Nasib baik
Iyyad sempat menarik gadis itu supaya berada jauh dari kenderaan.
Iyyad
meraup wajahnya. Seakan baru semalam peristiwa itu berlaku, seakan baru semalam
orang tua itu meninggalkan pesan kepadanya.
Kini,
dia terpaksa melakukan sesuatu yang amat berat baginya. Walaupun ini mungkin bukan
yang pertama, tapi kerana mangsa itu adalah Azuratul Hana, dia jadi buntu.
***
“Siapa ni babah?”
Orang
yang dimaksudkan itu segera berpaling menyembunyikan wajah. Topi yang dipakai
diturunkan sedikit ke hadapan melitupi sebahagian besar dahinya. Kalau boleh
dia tidak mahu bertentang mata dengan gadis tersebut.
“Mulai
hari ini dia akan jadi pemandu kamu,” balas Datuk Kausar kepada anak saudaranya
itu. Setelah kematian kedua ibu-bapa Azuratul Hana, dia yang mengambil alih hak
penjagaan ke atas gadis tersebut.
“Pak
Rahman mana?”
“Dia
dah berhenti.”
Berkerut
dahi Hana mendengarnya. Pelik? Pak Rahman tak kata apa pun. Tak ada ucap
selamat tinggal pun? Namun tidak pula terniat di hati hendak bertanya lebih
lanjut.
“Okey,
babah. Hana nak ke kolej.” Segera Hana memeluk Datuk Kausar yang sudah dianggap
seperti ayahnya sendiri.
Datuk
Kausar membalas pelukan itu tanpa rasa bersalah. Dia mengerling ke arah Iyyad,
memberi isyarat mata. Seakan faham, Iyyad mengangguk walaupun hatinya masih berbelah
bahagi.
***
Hana berlari
sekuat hati. Semak samun itu diredah walaupun hanya dengan berkaki ayam. Dadanya
turun naik. Nafasnya laju. Degup jantungnya bagai terdengar-dengar di udara.
Sungguh dia terkejut mendengar pengakuan yang keluar dari mulut pemandu barunya
itu.
“Kenapa
kita berhenti di sini?” Hana pandang keliling. Sebuah kawasan hutan. Hatinya
sudah tidak sedap. Dipandangnya wajah pemandu baru itu yang pada masa yang sama
sedang menoleh ke arahnya yang duduk di belakang.
“Cik
Hana? Kamu masih ingat pada saya?”
Hana
menggeleng. Ketakutan yang mula bersarang di hati menghalang mindanya dari
berfikir seperti biasa. Badannya sudah seram sejuk.
“Cik
Hana, saya ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana
yang mendengar jadi menggeletar seluruh tubuh badan. Dia meneguk air liur
berkali-kali. Wajah Iyyad dipandang dengan rasa terkejut yang amat. Sepantas
itu juga dia membuka pintu kereta dan terus berlari sekuat hatinya.
Hana
berhenti seketika setelah pasti lelaki itu tidak mengejarnya. Dia masih
tercungap-cungap. Dia tunduk sambil memegang lutut. Penatnya belum hilang tapi
hatinya masih risau. Risau kalau tiba-tiba lelaki itu muncul dan berjaya …
argh! Kalau boleh dia tidak mahu memikirkan kemungkinan itu.
Hutan itu bukan
asing bagi Iyyad. Dia sudah arif akan selok-beloknya. Jadi dengan mudah sahaja dia
dapat menjejaki Hana. Tidak sampai sejam, dia sudah sampai di tempat gadis itu
berada.
Gadis
itu, yang baru berhajat mengambil nafas segera menoleh ketika derapan kaki
serta bunyi ranting patah yang kedengaran begitu hampir mengejutkannya. Tidak
sempat dia berehat dia terpaksa bangun semula meneruskan larian.
Aku
mesti lari, aku tidak mahu mati. Desis hatinya.
Setelah
berada agak jauh, Hana bersembunyi di sebalik sebuah pokok kayu yang besar.
Hampir tiga saiz pemeluk. Dia teringatkan kata-kata lelaki itu.
“Saya
ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana
memejamkan mata. Siapalah agaknya memberikan arahan tersebut. Seingat Hana, dia
tidak bermusuh dengan sesiapapun. Musuh ayahnya kah? Tapi semua ahli
keluarganya sudah meninggal. Cuma ada keluarga pakciknya sahaja, Datuk Kausar.
Prak!!
Bunyi ranting patah, mematikan ingatan Hana. Dia membatukan diri. Jantungnya
berdegup kencang. Sangat kencang, serasa ingin mati sahaja dia ketika itu.
Bila
keadaan jadi hening semula, Hana meninjau keadaan sekeliling. Cuba memastikan
keadaan selamat untuk dia melarikan diri. Namun, ketika dia berpaling, mulutnya
dicekup dan lengannya ditarik kasar. Tapi Hana tidak berputus asa. Digigitnya
telapak tangan yang menekup mulutnya itu sebelum dia memijak kaki lelaki itu
dengan sekuat hatinya. Dia terus memecut, berlari tanpa arah yang pasti.
Buat
seketika dia berjaya melepaskan diri tapi tidak lama. Lelaki itu sudah terlebih
dahulu membaca gerakannya. Hana jatuh tersungkur dan berjaya ditangkap. Aku
bukan lawan dia. Setitis air matanya jatuh ke bumi.
***
“You are such a fighter.” Begitu kata
lelaki itu ketika mengikat kedua belah tangan Hana.
Hana
meronta-ronta cuba melonggarkan ikatan. Lelaki itu menggeleng-geleng kepala
memerhatikan kelakuan Hana.
“Tolonglah,
tindakan kamu itu akan cuma membuatkan ikatan di tangan kamu itu semakin ketat.”
Hana
mengeluh. Dia sudah cuba berlari sekuat dan sejauh yang dia mampu tapi lelaki
itu lebih pakar dari dirinya. Dia sudah cuba tapi masih gagal. Akhirnya dia
mengalah. Adakah hidup aku berakhir begini? Hatinya sebak. Air matanya mengalir
lagi.
***
Wajah Iyyad
dipandang.
“Saya
sukakan kamu, you fight like a man. Till the end, I suppose.”
Hana
senyap. Pujiankah itu? Detik hatinya, tapi dia tidak ada sebab hendak melayan
kata-kata lelaki itu. Untuk apa?
Iyyad
menghela nafas berat lalu bergerak mendekati gadis itu. “Saya tidak akan
mengapa-apakan kamu tapi kamu harus patuh pada arahan saya.”
“Kenapa
saya harus percaya pada kamu?” Dingin sekali pandangan mata Hana.
Iyyad
tidak menjawab sebaliknya dia berkata. “Saya akan buka ikatan ini, tapi tolong
jangan cuba sesuatu yang bodoh… seperti
melarikan diri.”
Selepas
sahaja ikatan dibuka, Hana terus buka langkah seribu. Seperti sudah menjangka,
Iyyad pantas mengejar dan meraih gadis itu ke dalam pelukan. Hana meronta-ronta
sebelum menggigit lengan Iyyad. Iyyad membiarkan sahaja gadis itu menggigit
lengannya sehingga berbekas. Ditahan sahaja rasa sakit berbisa itu sambil
memeluk gadis itu dengan lebih kejap. Akhirnya Hana mengalah lalu menangis
teresak-esak dalam pelukan Iyyad.
“Shhh…percayalah
saya tidak mahu mengapa-apakan kamu.” Iyyad mengemaskan pelukannya, dia bimbang
gadis itu akan cuba melarikan diri lagi.
“Tolong
jangan cuba lari lagi. Saya bimbang Datuk Kausar dapat tahu dan dia akan
menghantar orang lain untuk melangsaikan tugas yang sepatutnya saya lakukan.”
Datuk
Kausar? Bagai dipanah halilintar, Hana terkesima. “Babah? Ini semua atas arahan
dia?”
“Saya
minta maaf.” Iyyad tahu sukar untuk Hana mempercayainya.
“Tapi
kenapa? Apa salah Hana?”
“Saya
tidak tahu, Cik Hana. Tapi, saya betul-betul minta maaf.”
Hati
Hana jadi hancur. Sampai hati babah buat begitu.
Iyyad
melonggarkan pelukan, dia tahu Hana tidak akan cuba melarikan diri. Dia tahu
Hana betul-betul terluka setelah mendapat tahu akan kebenaran itu.
Hana
menangis lalu jatuh terjelepok ke atas lantai.
Sungguh kebenaran itu amat sukar untuk ditelan kepahitannya. Dia tidak
mahu menerima tapi apa dayanya. Dia mahu berlari tapi ke mana lagi harus dituju
bila satu-satunya ahli keluarga yang tinggal turut mengkhianatinya.
“Kamu
letih. Sekarang tidurlah, esok kita fikirkan apa yang sepatutnya kita lakukan.”
***
Iyyad meninjau
keadaan di luar rumah papan yang kelihatan usang itu. Cuaca di luar panas
terik. Sudah lebih seminggu sejak Hana hilang tapi tiada sebarang laporan
dibuat. Tidak di media mahupun alam maya. Seolah-olah Hana memang tidak wujud.
“Kenapa
awak engkar arahan babah saya?” Hana bertanya. Akhbar yang dibawa Iyyad tadi
diletakkan di tepi serambi.
“Kamu
masih menganggap dia sebagai babah kamu?” Iyyad bertanya sinis.
“Dia
masih penjaga saya,” balas Hana sebelum menyambung. “Awak masih tidak menjawab
pertanyaan saya.”
Bagaimana
harus dia nyatakan. Iyyad menghembus nafas berat. “Entahlah, saya tidak ada
jawapan untuk soalan kamu itu.”
“Saya
nak jumpa babah saya. Saya nak tahu kenapa?”
“Isn’t it obvious? Kamu tahu kan, kamu
menempah maut kalau kamu buat begitu.”
“Saya
tahu,tapi...”
Iyyad
mengeluh.
***
Kring! Kring!
Datuk Kausar mengangkat gagang.
“Babah,
sampai hati babah buat Hana begini.”
Datuk
Kausar terkejut bila mendengar suara itu. Sudah lebih dua bulan berlalu. Sangkanya,
anak saudaranya itu sudah meninggal dunia. Hatinya sudah mula gusar. Nampaknya
orang yang diupahnya itu tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Patutlah dia
tidak pernah kembali mendapatkan baki upahnya.
“Hana?
Babah risau sangat. Hana kat mana, nak?”
“Anak?
Beginikah seorang babah melayan seorang anak.”
“Bukan
begitu Hana…babah..”
“Kenapa
babah? Kenapa? Kerana harta kah babah?”
“Hana…”
“Kalau
babah minta, Hana dengan rela beri semua harta dan saham peninggalan arwah ayah
pada babah. Babah tidak perlu buat semua ini.”
Datuk
Kausar memejamkan mata lalu melepaskan sebuah keluhan. Nampaknya Hana sudah
tahu segala-galanya. “Maafkan babah, Hana. Kembalilah semula nak.”
“Hana
sudah tidak percayakan babah.”
“Hana…”
“Hana
sudah letakkan surat pindahmilik kuasa pada pejabat peguam. Hana sudah pindahkan
semua harta dan saham milik Hana ke atas nama babah. Harap babah puas hati dan
Hana minta selepas ini hubungan kita diputuskan dan tolonglah jangan cari Hana
lagi. Itu sahaja permintaan Hana.”
“Babah
boleh ke pejabat peguam dan berjumpa dengan Encik Rahim, dia yang menguruskan
segalanya bagi pihak Hana. Maafkan Hana, halalkan segala yang termakan dan
terminum. Hana pergi dulu.”
Klik.
Talian dimatikan. Datuk Kausar bungkam seketika.
***
“Datuk Kausar,
selamat bertemu. Silakan duduk.”
“Saya
datang kerana surat pindah milik itu.”
“Saya
tahu, saya memang menantikan kedatangan Datuk.” En Rahim tersenyum sinis.
Kerana harta orang memang boleh jadi buta hati, fikirnya.
“Saya
akan bacakan bahagian yang penting sahaja. Bahagian yang lain, Datuk boleh baca
sendiri.”
Datuk
Kausar segera mengangguk.
“Segala
harta dan saham yang selama ini menjadi milik Azuratul Hana Binti Karim akan
diserahkan kepada pemilik baru Datuk Kausar Bin Akhbar berkuat kuasa
serta-merta. Tertakluk kepada syarat-syarat berikut. Sila dengar betul-betul.”
“Pertama,
tiada sebarang hubungan dalam apa jua cara sekalipun, dalam apa jua keadaan
berlaku di antara Cik Azuratul Hana Binti Karim dan Datuk Kausar Bin Akhbar.
Kedua, sebanyak 30 peratus hasil pendapatan yang diperolehi daripada milikan
harta yang diserahkan oleh Cik Azuratul Hana Binti Karim hendaklah disedekahkan
kepada pusat kebajikan dan rumah anak-anak yatim yang terpilih. Perkara ini
haruslah berterusan sehingga ke akhir hayat. Seandainya salah satu daripada
perkara tersebut tidak dipatuhi atau dilanggar, maka segala milikan secara
automatik disedekahkan kepada pusat kebajikan kanak-kanak dan rumah anak-anak
yatim.”
***
Angin
sepoi-sepoi bahasa bertiup membelai wajah Hana. Cahaya redup dari matahari yang
hampir terbenam membelah senja di pantai itu. Dia yang sedang menyusur pantai
berhenti seketika menikmati suasana. Alangkah indahnya! Lama dia berdiri.
Iyyad
yang sejak dari tadi memerhatikan Hana dari kejauhan tiba-tiba datang
menghampiri. Dia berdiri di samping Hana. Hana melemparkan secebis senyuman.
“Sudah
setahun lebih, kenapa awak masih mahu berada bersama saya? Babah saya tidak
akan mengganggu saya lagi.” Sandal yang tadi berada dalam pegangan dibiarkan
jatuh. Seketika kemudian dia tunduk sambil menguis pasir pantai.
“Betul,
tapi saya terasa seperti bertanggung jawab ke atas diri kamu.” Iyyad melepaskan
pandangan ke laut.
Hana
masih leka bermain pasir pantai.
“Saya
sudah berjanji.” Tiba-tiba Iyyad mencapai lengan Hana.
“Berjanji?” Hana pandang wajah Iyyad. Rasa
gerun dan takut pada Iyyad sudah lama hilang. Sejak dia mengenal hati budi dan
siapa diri Iyyad sebenar. Dia tahu Iyyad bukan seperti Iyyad yang ditonjolkan.
“Saya
tahu saya bukan lelaki pilihan, tapi saya berjanji saya akan menjaga kamu
sebaik-baiknya.”
Mata
bertentang mata. Ada getar meresap ke seluruh jiwa.
“Kalau
kamu izinkan, saya akan bertanggung-jawab sepenuhnya ke atas kamu. Dengan
seluruh nafas yang saya ada.”
Jantung
Hana berdegup kencang. Sungguh dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Hendak
ketawa, dia tidak fikir Iyyad sedang bergurau. Hendak menangis? Apa perlukah dia berbuat begitu? Hana mengeluh. Dia tidak bencikan Iyyad. Malah dia sedar, jauh di
sudut hatinya dia tidak pernah menolak kehadiran Iyyad di sisi.
Iyyad pandang wajah Hana yang seakan hilang
kata-kata. “Hana? Kamu marah?”
Hana
tersentak lalu menggeleng.
“Kalau
kamu tidak sudi, saya faham.” Pegangan dilepaskan dan Iyyad mula menapak pergi.
“Iyyad!”
panggil Hana membuatkan langkah Iyyad terhenti.
“Saya
sudi.” Ucap Hana dengan segaris senyuman.
Iyyad
terkaku sebentar, tidak percaya.
“Saya
sudi, dengan seluruh nafas yang saya ada, saya sudi jadi teman hidup kamu
hingga ke akhir hayat.”
Iyyad
memejamkan mata sejenak sebelum merangkul tubuh Hana dengan sekejap yang boleh.
“Terima
kasih Hana, saya cintakan kamu.” Bisiknya dengan penuh rasa terharu.
***
5 comments:
Jatuh cinta pada penamat riwayat.
syg..u ske wat cerpen ending tergantung..kadang2 its not ok to read ending like this..br nk feeling u dh sekat..cerpen u best2..
LOL...nanti kita cuba buat cerita yang endingnya tak berapa nak tergantung...
dah buat sedikit penambahan, so it won't just end like that..
Best...best...suke3... x kisah la tergantung ke janji best baca.... hehehe
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p