Sabtu, 13 Oktober 2012

Cerpen : Seluruh Nafasku






Berubah seluruh wajah Iyyad tatkala melihat foto yang diunjukkan oleh lelaki separuh abad yang bergelar Datuk itu. Hatinya jadi gusar. Kenapa? Kenapa mesti dia?
“Kenapa?”
Suara yang kedengaran separuh berbisik itu sampai juga ke telinga Datuk Kausar.  Berkerut sedikit dahinya. “Itu engkau tak perlu tahu, yang penting jalankan tugas kau dan tutup jejaknya sebaik mungkin.”
            Iyyad meneguk air liur. Tidak menyangka yang suara hatinya itu boleh terlepas keluar dari dua ulas bibirnya.
            “Nah, ini pendahuluan. Bakinya selepas tugas selesai.”
Sampul yang berisi wang tunai itu bertukar tangan. Iyyad menyarungkan hud semula sebelum bergegas meninggalkan tempat pertemuan. Datuk Kausar dan pemandunya turut melakukan perkara yang sama.

***

Lama Iyyad memerhatikan foto itu. Foto gadis yang amat dikenalinya. Gadis itulah yang diselamatkannya dari sebuah kemalangan ngeri yang berlaku lima tahun lepas. Masih teringat akan dia detik pertemuan pertamanya dengan gadis itu.
            “Tolong, tolong selamatkan anak saya,” suara lemah seorang lelaki tuan kedengaran memohon.
Iyyad antara orang pertama tiba di tempat kejadian. Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga beranak itu bergesel dengan sebuah treler yang dipandu laju, mengakibatkan kenderaan itu terbabas lalu terbalik.
Si ibu yang duduk di sebelah pemandu meninggal serta-merta. Si ayah pula dalam keadaan separuh nyawa sedangkan anak gadis mereka yang berada di bahagian belakang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Tolong..nak.”
Iyyad segera menuju ke arah pemilik suara itu. Dia cuba membuka pintu bersebelahan pemandu tetapi pintu itu remuk begitu teruk menyebabkan ia sukar untuk dibuka.
“Nak, rasanya pakcik tidak sempat. Huk… huk.. huk..”
Iyyad jadi serba salah. Pandangan mata seorang ayah begitu meruntun kalbunya.
“Tolong sampaikan padanya..” matanya beralih pada sekujur tubuh yang berada di belakang. “Kami sayang padanya. ” Pautan si ayah yang pada awalnya kuat pada lengan Iyyad,semakin lama semakin lemah.
“Mengucap pakcik, mengucap.” Itu sahaja yang mampu Iyyad katakan melihat keadaan orang tua yang sedang nazak itu.
“Tolong pakcik… tolong jaga anak pakcik.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan sebelum orang tua itu menghembuskan nafas terakhir.
Bau petrol dari tong minyak yang pecah agak kuat segera menyedarkan Iyyad. Mengingatkan kebocoran seperti itu boleh mengakibatkan letupan, Iyyad pantas cuba mengeluarkan anak gadis dari kenderaan tersebut.
Kebakaran kecil tiba-tiba tercetus, disertai dengan satu letupan.  Orang yang semakin ramai mula menjerit melihat kejadian itu. Asap kelihatan berkepul-kepul di ruang udara. Nasib baik Iyyad sempat menarik gadis itu supaya berada jauh dari kenderaan.   
Iyyad meraup wajahnya. Seakan baru semalam peristiwa itu berlaku, seakan baru semalam orang tua itu meninggalkan pesan kepadanya.
Kini, dia terpaksa melakukan sesuatu yang amat berat baginya. Walaupun ini mungkin bukan yang pertama, tapi kerana mangsa itu adalah Azuratul Hana, dia jadi buntu.  

***

“Siapa ni babah?”
Orang yang dimaksudkan itu segera berpaling menyembunyikan wajah. Topi yang dipakai diturunkan sedikit ke hadapan melitupi sebahagian besar dahinya. Kalau boleh dia tidak mahu bertentang mata dengan gadis tersebut.
“Mulai hari ini dia akan jadi pemandu kamu,” balas Datuk Kausar kepada anak saudaranya itu. Setelah kematian kedua ibu-bapa Azuratul Hana, dia yang mengambil alih hak penjagaan ke atas gadis tersebut.
“Pak Rahman mana?”
“Dia dah berhenti.”
Berkerut dahi Hana mendengarnya. Pelik? Pak Rahman tak kata apa pun. Tak ada ucap selamat tinggal pun? Namun tidak pula terniat di hati hendak bertanya lebih lanjut.
“Okey, babah. Hana nak ke kolej.” Segera Hana memeluk Datuk Kausar yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.
Datuk Kausar membalas pelukan itu tanpa rasa bersalah. Dia mengerling ke arah Iyyad, memberi isyarat mata. Seakan faham, Iyyad mengangguk walaupun hatinya masih berbelah bahagi.

***

Hana berlari sekuat hati. Semak samun itu diredah walaupun hanya dengan berkaki ayam. Dadanya turun naik. Nafasnya laju. Degup jantungnya bagai terdengar-dengar di udara. Sungguh dia terkejut mendengar pengakuan yang keluar dari mulut pemandu barunya itu.
“Kenapa kita berhenti di sini?” Hana pandang keliling. Sebuah kawasan hutan. Hatinya sudah tidak sedap. Dipandangnya wajah pemandu baru itu yang pada masa yang sama sedang menoleh ke arahnya yang duduk di belakang.
“Cik Hana? Kamu masih ingat pada saya?”
Hana menggeleng. Ketakutan yang mula bersarang di hati menghalang mindanya dari berfikir seperti biasa. Badannya sudah seram sejuk.
“Cik Hana, saya ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana yang mendengar jadi menggeletar seluruh tubuh badan. Dia meneguk air liur berkali-kali. Wajah Iyyad dipandang dengan rasa terkejut yang amat. Sepantas itu juga dia membuka pintu kereta dan terus berlari sekuat hatinya.
Hana berhenti seketika setelah pasti lelaki itu tidak mengejarnya. Dia masih tercungap-cungap. Dia tunduk sambil memegang lutut. Penatnya belum hilang tapi hatinya masih risau. Risau kalau tiba-tiba lelaki itu muncul dan berjaya … argh! Kalau boleh dia tidak mahu memikirkan kemungkinan itu.





Hutan itu bukan asing bagi Iyyad. Dia sudah arif akan selok-beloknya. Jadi dengan mudah sahaja dia dapat menjejaki Hana. Tidak sampai sejam, dia sudah sampai di tempat gadis itu berada.
Gadis itu, yang baru berhajat mengambil nafas segera menoleh ketika derapan kaki serta bunyi ranting patah yang kedengaran begitu hampir mengejutkannya. Tidak sempat dia berehat dia terpaksa bangun semula meneruskan larian.
Aku mesti lari, aku tidak mahu mati. Desis hatinya.
Setelah berada agak jauh, Hana bersembunyi di sebalik sebuah pokok kayu yang besar. Hampir tiga saiz pemeluk. Dia teringatkan kata-kata lelaki itu.
“Saya ditugaskan untuk menamatkan riwayat kamu.”
Hana memejamkan mata. Siapalah agaknya memberikan arahan tersebut. Seingat Hana, dia tidak bermusuh dengan sesiapapun. Musuh ayahnya kah? Tapi semua ahli keluarganya sudah meninggal. Cuma ada keluarga pakciknya sahaja, Datuk Kausar.
Prak!! Bunyi ranting patah, mematikan ingatan Hana. Dia membatukan diri. Jantungnya berdegup kencang. Sangat kencang, serasa ingin mati sahaja dia ketika itu.
Bila keadaan jadi hening semula, Hana meninjau keadaan sekeliling. Cuba memastikan keadaan selamat untuk dia melarikan diri. Namun, ketika dia berpaling, mulutnya dicekup dan lengannya ditarik kasar. Tapi Hana tidak berputus asa. Digigitnya telapak tangan yang menekup mulutnya itu sebelum dia memijak kaki lelaki itu dengan sekuat hatinya. Dia terus memecut, berlari tanpa arah yang pasti.
Buat seketika dia berjaya melepaskan diri tapi tidak lama. Lelaki itu sudah terlebih dahulu membaca gerakannya. Hana jatuh tersungkur dan berjaya ditangkap. Aku bukan lawan dia. Setitis air matanya jatuh ke bumi.

***

You are such a fighter.” Begitu kata lelaki itu ketika mengikat kedua belah tangan Hana.
Hana meronta-ronta cuba melonggarkan ikatan. Lelaki itu menggeleng-geleng kepala memerhatikan kelakuan Hana.
“Tolonglah, tindakan kamu itu akan cuma membuatkan ikatan di tangan kamu itu semakin ketat.”
Hana mengeluh. Dia sudah cuba berlari sekuat dan sejauh yang dia mampu tapi lelaki itu lebih pakar dari dirinya. Dia sudah cuba tapi masih gagal. Akhirnya dia mengalah. Adakah hidup aku berakhir begini? Hatinya sebak. Air matanya mengalir lagi.

***

Wajah Iyyad dipandang.
“Saya sukakan kamu, you fight like a man. Till the end, I suppose.
Hana senyap. Pujiankah itu? Detik hatinya, tapi dia tidak ada sebab hendak melayan kata-kata lelaki itu. Untuk apa?
Iyyad menghela nafas berat lalu bergerak mendekati gadis itu. “Saya tidak akan mengapa-apakan kamu tapi kamu harus patuh pada arahan saya.”
“Kenapa saya harus percaya pada kamu?” Dingin sekali pandangan mata Hana.
Iyyad tidak menjawab sebaliknya dia berkata. “Saya akan buka ikatan ini, tapi tolong jangan cuba sesuatu yang bodoh…  seperti melarikan diri.”
Selepas sahaja ikatan dibuka, Hana terus buka langkah seribu. Seperti sudah menjangka, Iyyad pantas mengejar dan meraih gadis itu ke dalam pelukan. Hana meronta-ronta sebelum menggigit lengan Iyyad. Iyyad membiarkan sahaja gadis itu menggigit lengannya sehingga berbekas. Ditahan sahaja rasa sakit berbisa itu sambil memeluk gadis itu dengan lebih kejap. Akhirnya Hana mengalah lalu menangis teresak-esak dalam pelukan Iyyad.
“Shhh…percayalah saya tidak mahu mengapa-apakan kamu.” Iyyad mengemaskan pelukannya, dia bimbang gadis itu akan cuba melarikan diri lagi.
“Tolong jangan cuba lari lagi. Saya bimbang Datuk Kausar dapat tahu dan dia akan menghantar orang lain untuk melangsaikan tugas yang sepatutnya saya lakukan.”
Datuk Kausar? Bagai dipanah halilintar, Hana terkesima. “Babah? Ini semua atas arahan dia?”
“Saya minta maaf.” Iyyad tahu sukar untuk Hana mempercayainya.
“Tapi kenapa? Apa salah Hana?”
“Saya tidak tahu, Cik Hana. Tapi, saya betul-betul minta maaf.”
Hati Hana jadi hancur. Sampai hati babah buat begitu.
Iyyad melonggarkan pelukan, dia tahu Hana tidak akan cuba melarikan diri. Dia tahu Hana betul-betul terluka setelah mendapat tahu akan kebenaran itu.
Hana menangis lalu jatuh terjelepok ke atas lantai.  Sungguh kebenaran itu amat sukar untuk ditelan kepahitannya. Dia tidak mahu menerima tapi apa dayanya. Dia mahu berlari tapi ke mana lagi harus dituju bila satu-satunya ahli keluarga yang tinggal turut mengkhianatinya.
“Kamu letih. Sekarang tidurlah, esok kita fikirkan apa yang sepatutnya kita lakukan.”

***

Iyyad meninjau keadaan di luar rumah papan yang kelihatan usang itu. Cuaca di luar panas terik. Sudah lebih seminggu sejak Hana hilang tapi tiada sebarang laporan dibuat. Tidak di media mahupun alam maya. Seolah-olah Hana memang tidak wujud.
“Kenapa awak engkar arahan babah saya?” Hana bertanya. Akhbar yang dibawa Iyyad tadi diletakkan di tepi serambi. 
“Kamu masih menganggap dia sebagai babah kamu?” Iyyad bertanya sinis.
“Dia masih penjaga saya,” balas Hana sebelum menyambung. “Awak masih tidak menjawab pertanyaan saya.”
Bagaimana harus dia nyatakan. Iyyad menghembus nafas berat. “Entahlah, saya tidak ada jawapan untuk soalan kamu itu.”
“Saya nak jumpa babah saya. Saya nak tahu kenapa?”
Isn’t it obvious? Kamu tahu kan, kamu menempah maut kalau kamu buat begitu.”
“Saya tahu,tapi...”
Iyyad mengeluh.

***

Kring! Kring! Datuk Kausar mengangkat gagang.
“Babah, sampai hati babah buat Hana begini.”
Datuk Kausar terkejut bila mendengar suara itu. Sudah lebih dua bulan berlalu. Sangkanya, anak saudaranya itu sudah meninggal dunia. Hatinya sudah mula gusar. Nampaknya orang yang diupahnya itu tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Patutlah dia tidak pernah kembali mendapatkan baki upahnya.
“Hana? Babah risau sangat. Hana kat mana, nak?”
“Anak? Beginikah seorang babah melayan seorang anak.”
“Bukan begitu Hana…babah..”
“Kenapa babah? Kenapa? Kerana harta kah babah?”
“Hana…”
“Kalau babah minta, Hana dengan rela beri semua harta dan saham peninggalan arwah ayah pada babah. Babah tidak perlu buat semua ini.”
Datuk Kausar memejamkan mata lalu melepaskan sebuah keluhan. Nampaknya Hana sudah tahu segala-galanya. “Maafkan babah, Hana. Kembalilah semula nak.”
“Hana sudah tidak percayakan babah.”
“Hana…”
“Hana sudah letakkan surat pindahmilik kuasa pada pejabat peguam. Hana sudah pindahkan semua harta dan saham milik Hana ke atas nama babah. Harap babah puas hati dan Hana minta selepas ini hubungan kita diputuskan dan tolonglah jangan cari Hana lagi. Itu sahaja permintaan Hana.”
“Babah boleh ke pejabat peguam dan berjumpa dengan Encik Rahim, dia yang menguruskan segalanya bagi pihak Hana. Maafkan Hana, halalkan segala yang termakan dan terminum. Hana pergi dulu.”
Klik. Talian dimatikan. Datuk Kausar bungkam seketika.

***

“Datuk Kausar, selamat bertemu. Silakan duduk.”
“Saya datang kerana surat pindah milik itu.”
“Saya tahu, saya memang menantikan kedatangan Datuk.” En Rahim tersenyum sinis. Kerana harta orang memang boleh jadi buta hati, fikirnya.
“Saya akan bacakan bahagian yang penting sahaja. Bahagian yang lain, Datuk boleh baca sendiri.”
Datuk Kausar segera mengangguk. 
“Segala harta dan saham yang selama ini menjadi milik Azuratul Hana Binti Karim akan diserahkan kepada pemilik baru Datuk Kausar Bin Akhbar berkuat kuasa serta-merta. Tertakluk kepada syarat-syarat berikut. Sila dengar betul-betul.”
“Pertama, tiada sebarang hubungan dalam apa jua cara sekalipun, dalam apa jua keadaan berlaku di antara Cik Azuratul Hana Binti Karim dan Datuk Kausar Bin Akhbar. Kedua, sebanyak 30 peratus hasil pendapatan yang diperolehi daripada milikan harta yang diserahkan oleh Cik Azuratul Hana Binti Karim hendaklah disedekahkan kepada pusat kebajikan dan rumah anak-anak yatim yang terpilih. Perkara ini haruslah berterusan sehingga ke akhir hayat. Seandainya salah satu daripada perkara tersebut tidak dipatuhi atau dilanggar, maka segala milikan secara automatik disedekahkan kepada pusat kebajikan kanak-kanak dan rumah anak-anak yatim.”

***

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup membelai wajah Hana. Cahaya redup dari matahari yang hampir terbenam membelah senja di pantai itu. Dia yang sedang menyusur pantai berhenti seketika menikmati suasana. Alangkah indahnya! Lama dia berdiri.
Iyyad yang sejak dari tadi memerhatikan Hana dari kejauhan tiba-tiba datang menghampiri. Dia berdiri di samping Hana. Hana melemparkan secebis senyuman.
“Sudah setahun lebih, kenapa awak masih mahu berada bersama saya? Babah saya tidak akan mengganggu saya lagi.” Sandal yang tadi berada dalam pegangan dibiarkan jatuh. Seketika kemudian dia tunduk sambil menguis pasir pantai.
“Betul, tapi saya terasa seperti bertanggung jawab ke atas diri kamu.” Iyyad melepaskan pandangan ke laut.
Hana masih leka bermain pasir pantai.
“Saya sudah berjanji.” Tiba-tiba Iyyad mencapai lengan Hana.
 “Berjanji?” Hana pandang wajah Iyyad. Rasa gerun dan takut pada Iyyad sudah lama hilang. Sejak dia mengenal hati budi dan siapa diri Iyyad sebenar. Dia tahu Iyyad bukan seperti Iyyad yang ditonjolkan.
“Saya tahu saya bukan lelaki pilihan, tapi saya berjanji saya akan menjaga kamu sebaik-baiknya.”
Mata bertentang mata. Ada getar meresap ke seluruh jiwa.
“Kalau kamu izinkan, saya akan bertanggung-jawab sepenuhnya ke atas kamu. Dengan seluruh nafas yang saya ada.”
Jantung Hana berdegup kencang. Sungguh dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Hendak ketawa, dia tidak fikir Iyyad sedang bergurau. Hendak menangis? Apa perlukah dia berbuat begitu? Hana mengeluh. Dia tidak bencikan Iyyad. Malah dia sedar, jauh di sudut hatinya dia tidak pernah menolak kehadiran Iyyad di sisi.
 Iyyad pandang wajah Hana yang seakan hilang kata-kata. “Hana? Kamu marah?”
Hana tersentak lalu menggeleng.
“Kalau kamu tidak sudi, saya faham.” Pegangan dilepaskan dan Iyyad mula menapak pergi.
“Iyyad!” panggil Hana membuatkan langkah Iyyad terhenti.
“Saya sudi.” Ucap Hana dengan segaris senyuman.
Iyyad terkaku sebentar, tidak percaya.
“Saya sudi, dengan seluruh nafas yang saya ada, saya sudi jadi teman hidup kamu hingga ke akhir hayat.”
Iyyad memejamkan mata sejenak sebelum merangkul tubuh Hana dengan sekejap yang boleh.
“Terima kasih Hana, saya cintakan kamu.” Bisiknya dengan penuh rasa terharu.



***


5 comments:

Yin Areesa berkata...

Jatuh cinta pada penamat riwayat.

Tanpa Nama berkata...

syg..u ske wat cerpen ending tergantung..kadang2 its not ok to read ending like this..br nk feeling u dh sekat..cerpen u best2..

melati shafika berkata...

LOL...nanti kita cuba buat cerita yang endingnya tak berapa nak tergantung...

melati shafika berkata...

dah buat sedikit penambahan, so it won't just end like that..

Rindu Lukisan berkata...

Best...best...suke3... x kisah la tergantung ke janji best baca.... hehehe

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p