Seperti hari-hari yang sebelumnya, Haya akan menaiki LRT dari stesen KL Sentral menuju Kelana Jaya untuk menghadiri kuliah. Setiap hari di tempat yang sama dia akan melihat seorang lelaki yang sama sedang menunggu tren tetapi pada laluan yang bertentangan. Lelaki itu akan duduk atau berdiri di salah satu sudut, menunggu tren di laluannya dengan sebuah buku digenggaman. Sepanjang masa itu, matanya seolah-olah terarah pada Haya. Tak banyak bergerak, seperti sedang memerhatikan dirinya. Gerak dan tingkah laku dirinya.
Sekali-sekala Haya akan mengerling ke arah lelaki itu. Cuba mengamat-amati apa sebenarnya yang sedang dilakukan oleh lelaki itu. Sedikit sebanyak dia tidak dapat lari dari menilai dan membuat tanggapan terhadap lelaki itu. Bagi Haya, perawakan lelaki itu agak menarik. Pakaian yang melekat pada tubuhnya menggambarkan yang dia mungkin masih sedang menuntut. Kasut jenis sportif jenama biasa anak-anak remaja sekarang tersarung pada kakinya dengan sebuah beg sandang berwarna hijau pudar berada di bahu.
Walau tidak memandang secara terus, Haya boleh rasa lelaki itu memang sedang memerhatikannya. Cuma Haya tidak berani berbalas pandang. Walaupun jarak sebenarnya di antara mereka dipisahkan oleh dua laluan tren. Satu laluan menuju ke arah Kelana Jaya dan laluan di sebelah lelaki tersebut pula menuju ke arah yang bertentangan.
Peliknya, kebetulan itu berlaku pada hari-hari yang sama, pada jam yang sama dan di tempat yang sama. Kebetulan itu menimbulkan tanda tanya di hati Haya.
Hendak ke mana lelaki itu? Sama seperti aku kah? Sedang dalam perjalanan menuju ke kolej, menghadiri kuliah? Kalau benar, dia ambik jurusan apa, di mana? Fikir Haya, setiap kali dia terlihat kelibat lelaki itu. Seperti magnet, dia berasa tarikan yang kuat di antara mereka.
Kadang-kadang, bila trennya sampai terlebih dahulu dia akan mencari ruang berhadapan dengan laluan di seberang sana. Dia ingin melihat wajah lelaki itu dengan lebih jelas. Dia juga perasan yang lelaki itu tidak akan menaiki tren yang tiba di laluannya sekiranya Haya masih ada di situ. Lelaki itu hanya akan menaiki tren selepas Haya menaikinya terlebih dahulu.
Akhirnya pada satu hari. Haya nekad untuk mengetahui apa benar lelaki itu sedang memerhatikannya atau dia sekadar berilusi. Haya sudah tidak betah menanggung persoalan yang bersarang di mindanya. Dia mahukan jawapan.
Ketika Haya tiba, lelaki itu sudah ada di laluan bertentangan. Haya perasan lelaki itu menyedari akan kehadirannya. Haya memandang lelaki itu sekilas lalu. Berkulit cerah dan berkumis tipis. Hari ini dia memakai jeans biru lusuh dengan kemeja-T berwarna biru gelap. Tampak bergaya. Nampaknya lelaki itu sedang melakukan rutinnya yang biasa. Memandangnya kemudian mencatat sesuatu pada buku yang berada di tangannya.
Haya memberanikan diri untuk menatap wajah lelaki tersebut. Hatinya berdebar-debar tatkala matanya bertembung dengan mata milik lelaki yang tidak diketahui namanya itu. Tapi, dia sudah nekad. Tajam pandangan lelaki itu menusuk jiwa. Hati Haya jadi cemas dan cuak. Kenapa lelaki itu memandang dirinya sedemikian rupa. Tapi, Haya meneruskan juga. Lama mereka berbalas pandang, masing-masing tidak mahu beralah.
Sebuah tren dari arah Kelana Jaya tiba dan berhenti, menghalang pandangan. Bila tren itu berlalu pergi. Lelaki itu sudah tidak ada, mungkin dia sudah menaiki tren yang berhenti sebentar tadi. Fikir Haya.
“Berani awak pandang saya?”
Terkejut Haya, bila suara itu kedengaran betul-betul hampir di telinga kirinya. Hembusan nafas yang menampar lembut tengkuknya membuatkan Haya terasa seram sejuk. Dia menoleh ke sisi. Lelaki yang tadi di seberang jalan sudah ada di samping.
“Siapa pandang awak?”
Lelaki itu tersenyum mengejek.
“Kenapa awak pandang saya?” lelaki itu bertanya sekali lagi.
Haya jadi teragak-agak. “Saya…?”
“Awak tertarik?” pantas lelaki itu mencelah membuatkan Haya terkedu. Lelaki itu kelihatannya tenang-tenang saja, seperti sudah bersedia.
“Habis tu, yang awak pandang saya pula kenapa?” tanya Haya pula.
“Saya memang tertarik pada awak,” balas lelaki itu sambil tangannya diseluk ke dalam saku seluar.
Berderau darah Haya membuatkannya terus hilang kata-kata.
“Malangnya semua ini sudah terlambat.”
“Maksud awak?” dahi Haya berkerut tidak faham.
“Saya tak akan berada lama di sini.”
“Hah?” Haya menggelengkan kepala.
“Sudah sampai masanya.”
“Hah?” sekali lagi Haya mengangkat kening tidak faham. Bercelaru sedikit fikirannya dengan kata-kata lelaki tersebut.
“Nama awak siapa?” Tanya lelaki itu, masih berdiri di sebelah Haya.
“Haya.”
“Cantik, saya suka awak,” kata pemuda itu tanpa memandang Haya.
Haya jadi terpinga-pinga.
“Tren awak dah sampai. Saya pergi dulu.”
Haya segera masuk ke dalam perut tren. “Awak? Nama awak siapa?” panggil Haya.
Lelaki tersebut menoleh dan tersenyum cuma. Sejurus kemudian pintu tren tertutup. Kelihatan lelaki itu melambaikan tangannya. Semakin tren itu bergerak jauh, semakin hilang lelaki itu dari pandangan mata.
Haya mengeluh.
***
Memang betul kata lelaki itu semalam. Hari ini, dia sudah tidak muncul di tempat biasa. Begitu juga keesokkan harinya. Tulat dan minggu yang berikutnya. Entah kenapa Haya jadi rindu tiba-tiba.
Mana awak pergi, lelaki misteri? Saya mahu tahu banyak lagi tentang awak. Tinggal Haya dengan pelbagai macam persoalan yang tidak terjawab.
***
Setelah berbulan-bulan lamanya.
“Hey, awak!” kedengaran jeritan seorang lelaki di tengah-tengah kumpulan orang ramai yang bersesak-sesak menuju destinasi masing-masing.
“Awak yang berbaju ungu,” jeritnya sekali lagi membuatkan Haya menoleh ke arah pemilik suara tersebut.
Wajah Haya bertukar ceria. Eh! Lelaki misteri yang dirindu. Dia dah balik ker? Tapi kenapa dia seolah-olah tak mengenali dirinya. Dia sudah lupa atau apa?
“Awak panggil saya?”
“Awak kenal abang saya?” lelaki itu bertanya.
“Abang awak?” soal Haya pula, tidak faham.
“Ini gambar awak, kan?” lelaki itu mengunjukkan sekeping kertas mengandungi lakaran wajahnya.
Haya mengambil kertas tersebut dari tangan lelaki itu. “Siapa yang melukisnya?”
“Mari..”
“Ke mana?” Haya teragak-agak.
“Kita ke cafĂ© berdekatan, dalam KL sentral ni aje. Awak tak mahu tahu?”
Haya masih teragak-agak. Apa maksudnya saya ingin tahu? Perlukah dia tahu siapa yang melakar potret tersebut?
“Sekejap jer. Saya perlu menyampaikannya kepada awak. Ini amanat orang.”
“Hah?” amanat orang? Untuk aku? Haya mengangguk lambat-lambat. Walaupun hatinya cuak, tapi dia percaya lelaki itu tidak menyimpan apa-apa niat yang tidak baik terhadap dirinya.
“Saya, Ahmad Faiq,” beritahu lelaki yang seiras dengan wajah lelaki misteri yang dirindu Haya. “Abang saya, Ahmad Dharwis yang melakar gambar awak,”sambungnya semula.
“Abang?”
“Dia lahir beberapa minit lebih awal daripada saya,” balas lelaki itu menjawab pertanyaan Haya.
“Beberapa bulan yang lepas, dia meninggal dunia selepas mengalami komplikasi setelah melakukan pemindahan sebahagian daripada hatinya kepada saya.”
Tergamam seketika Haya mendengar berita itu. Hampir saja dia menitiskan airmata, tapi ditahannya rasa sebak di dada. Walaupun dia tidak sempat mengenali Ahmad Dharwis tapi dia rasa seperti kehilangan sesuatu yang amat berharga.
“Saya minta maaf, saya tidak tahu.” Bergetar sedikit suara Haya mengucapkannya.
“Kami sekeluarga juga rasa begitu.” Ahmad Faiq tertunduk seketika. Mungkin menyimpan rasa duka yang tiba-tiba hadir.
“Saya didiagnoskan menghidap penyakit hati sejak setahun yang lalu. Setelah tidak berjaya mendapat perderma yang sesuai, abang dengan tiba-tiba menyatakan kesanggupannya untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya dalam usaha menyelamatkan saya.” Ahmad Faiq bercerita.
Mulia sungguh hati kamu, Ahmad Dharwis. Bisik Haya dalam diam. Dia masih lagi rasa terkilan.
“Saya tidak berharap awak akan percaya. Tapi, sejak kematian abang, wajah awak selalu hadir dalam mimpi saya. Pada mulanya, saya tidak faham mengapa tapi setelah menemui beberapa keping lukisan dan lakaran wajah awak, saya berfikir mungkin abang saya ingin menyampaikan sesuatu untuk awak tapi tidak berkesempatan. Saya rasa, saya perlu menunaikannya bagi pihak abang.”
Sejurus kemudian Ahmad Faiq mengeluarkan sebuah buku skrap dari dalam beg sandangnya dan menyerahkan kepada Haya. “Abang saya tentu ingin awak memilikinya.”
“Tapi..”
“Percayalah.”
Haya mengambil buku skrap tersebut dan mula menyelaknya sehelai demi sehelai. Penuh dengan lakaran wajahnya. Ada yang sedang duduk, sedang merenung jauh. Potretnya secara dekat, sedang senyum malah pandangan dari sisi pun ada.
“Saya?” Terkedu Haya dibuatnya. Dia menghela nafas panjang. Rasa sedih tiba-tiba menyelubungi diri.
“Kenapa saya?”
“Mungkin ada sesuatu dalam diri awak yang menarik hati abang saya.”
***
Beberapa bulan kemudian. Semenjak Ahmad Faiq berjaya menemui Haya, mereka sering bertukar-tukar khabar. Malah sekali-sekala keluar makan bersama.
“Haya, dah lama tunggu?”
“Tak.” Haya mengukirkan senyuman.
“Dah lama kita berkenalan, kan?”
“Hmm…” Haya mengangguk.
“Saya rasa saya dah tahu mengapa abang saya boleh tertarik pada awak pada pandangan pertama.”
Haya tersenyum mendengar kata-kata itu. “Kenapa awak cakap macam tu?”
“Entahlah, saya boleh rasa..”
Haya senyap menantikan patah-patah perkataan yang keluar dari bibir Ahmad Faiq.
“Saya boleh rasa.. awaklah orangnya.”
Hati Haya rasa bagai nak luruh mendengarnya.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya.”
“Faiq..” Haya terhenti di situ, tidak tahu ayat bagaimana yang harus dituturkan.
“Mungkin agak terlalu awal untuk meramalkannya tapi..” Mata Ahmad Faiq tertumpu sepenuhnya pada wajah Haya.
Haya melarikan wajahnya dari pandangan Ahmad Faiq. Dia agak kelu untuk berkata-kata.
“Haya..” lembut sahaja suara Ahmad Faiq memaksa Haya menatap kembali wajah itu. “ Saya rasa hati ini memang telah ditakdirkan untuk awak.”
Pandangan mereka bertaut. Ada rasa halus dan aneh hadir menyerang seluruh jiwa. Ada rasa gelora melanda, menggigit hati dan perasaan.
Aneh ya? Perjalanan hati itu. Kadang-kadang tanpa diduga kita bertemu dengan seseorang yang istimewa. Seperti Haya. Mengenali Ahmad Dharwis, baginya sesuatu yang istimewa. Melalui Ahmad Dharwis, dia bertemu dengan Ahmad Faiq dan mengenali Ahmad Faiq pula, sesuatu yang membahagiakan. Mungkin perjalanan hati itu masih jauh, tapi buat masa ini dia hanya mahu yang terbaik untuk hatinya. Dan yang terbaik untuknya buat masa ini adalah hati yang dihulurkan Ahmad Faiq, yang sebahagian hati itu pernah jadi milik Ahmad Dharwis.
0 comments:
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p