Isnin, 14 Mei 2012

Cerpen: Diari Cinta Athia-1




ADOI! Makhluk Tuhan manalah yang tidak tahu menggunakan deria yang telah dianugerahkan itu. Haish! Segera Athia memalingkan wajahnya mahu melihat siapakah gerangannya yang berani mencemar dirinya itu.
Dia yang baru hendak membuka mulut berhajat menghamburkan kata-kata amarahnya, tidak jadi berbuat begitu bila melihat wajah milik pemuda yang melanggar bahunya.
“Maaf, saya tidak sengaja.”ujar pemuda tersebut.
Bibir Athia terkatup rapat.
“Boleh tunjukkan saya pejabat di mana?” tanya pemuda itu bila dilihatnya Athia tidak berganjak.
“Awak?” tegur pemuda itu sekali lagi.
“Ha?” Athia bagaikan baru tersedar dari mimpi.
“Pejabat sekolah?”
“Oh! Aa..belok kiri nanti awak jumpa tangga. Awak naik je tangga tu. Pejabat sekolah kat tingkat dua.”
“Terima kasih, awak?” dia berjeda, dengan harapan Athia akan memperkenalkan dirinya.
“Saya? Hmm…sama-sama.”
Pemuda itu mengukir senyum melihat Athia yang tidak faham akan kehendaknya. Athia terpana. Adoi! Manisnya senyuman itu membuatkan Athia rasa macam melayang-layang di udara.

16 January
Salam diariku,
Hari ini aku jumpa seorang lelaki yang kacak amat. Sebenarnya bukan aku yang jumpa dia, dia yang jumpa aku. Hahaha..
Mata dia kuyu. Kulit dia putih. Senyuman dia manis sangat. Hmm… macam senyuman Syahid Kapoor. Tapi Syahid Kapoor tu handsome sangat.  Siapa ya lelaki itu? Kalau dapat dia jadi boyfriend kan best. Tapi, agak-agak dia pandang tak aku ni? Dia akan ingat aku tak kalau terjumpa lagi? 
Apapun, aku akan ingat senyuman itu sampai bila-bila.

****
Athia tiba di sekolah agak awal hari ini. Sememangnya setiap hari rabu, giliran dia bertugas membersihkan kelas. Kerusi diangkat dan diletakkan di atas meja. Cermin tingkap digilap, kemudian lantai disapu. Setelah selesai menjalankan tanggungjawabnya, dia melepaskan lelah dengan bersandar di pintu masuk kelas. Memerhatikan pelajar-pelajar sekolah yang sedang berkeliaran sementara menunggu loceng masuk berbunyi.
Mana ek, lelaki yang aku jumpa semalam? Wajah pemuda itu kembali menjelma. Terbayang-bayang di depan mata. Senyumannya yang manis dengan barisan giginya tersusun indah. Eh! Itu dialah. Panjang umur! Macam tahu-tahu saja ada orang menyebut. Athia memandang tanpa berkelip.
Urgh! Jangan pandang. Jangan pandang. Hati Athia berdebar-debar melihat susun atur langkah pemuda yang melanggarnya semalam. Sedang berjalan menghampirinya. Segera Athia menundukkan kepala. Pura-pura tidak perasan.
“Kelas 6 Anggerik ke?”
Athia mendongak.
“Awak? Nampaknya kita sekelas.” Pemuda itu terseringai.
Urgh? Athia diam, kelu untuk berkata-kata.
 “Nama awak Athia rupanya.”
Athia pandang wajah pemuda itu, sebelum matanya beralih ke tanda nama yang disematkan betul-betul di bahagian bawah lencana sekolah. Sekarang dia dah tahu nama pemuda itu.

19 January
Hasriq Hafizin namanya. Budak baru kelas aku. Nampaknya tak perlulah aku susah-susah mencari. Pucuk dicita ulam mendatang kata orang.

****
Menggigil-gigil tangan Athia cuba meyematkan cebisan kain yang tertera nombor ahli rumah sukan pada bahagian belakang baju milik Hasriq. Dia mengetap bibir cuba menghilangkan rasa cemas yang bersarang dalam hati.
Setelah mencuba dua tiga kali akhirnya dia berjaya. “Dah.” Athia menghembus nafas lega. Selamat!
“Awak punya?”
“Hah?” Terangkat kening Athia.
“Nombor awak?”
“Ada.”
“Mana?”
“Ni.” Athia mengeluarkan potongan kain yang saiznya sama dari saku seluar track yang dipakainya.
“Bak sini.”pinta Hasriq.
“Buat apa?” berkerut dahi Athia tidak faham.
Hasriq segera mencapai helaian kain yang berada dalam genggaman Athia. Terpinga-pinga Athia dibuatnya.
“Pusing.” Perintah Hasriq.
Eeh! Suka-suka mak nenek dia jer nak mengarah-arahkan aku. Getus hati Athia. Tapi diam-diam dia membantah, diturutkan juga arahan Hasriq. Nasib baik juga refleksnya tak sama. Tidak terasa pun bila kain tersebut disematkan pada t-shirt yang dipakainya. Tahu-tahu,Hasriq kata dah okey.
Malam itu Athia tidak boleh tidur lena. Sekejap-sekejap badannya dipusing ke kiri kemudian ke kanan semula. Tak lama kemudian dia menelentang. Fikirannya asyik melayarkan wajah Hasriq. Tak boleh jadi ni, bisik hati kecil Athia. Sebentar kemudian dia mengambil diari yang diletakkan di bawah bantal. Helaian diari diselak satu persatu hingga tiba ke salah satu muka surat yang kosong.Dia mula menulis.

Diariku
Hendak gugurlah nangka
Jangan menimpa si dahan kayu
Hendak tidur ridurlah mata
jangan dikenang orang jauh
Tapi, aku bukan mengenang orang yang jauh, aku mengenang orang yang dekat.
Kenapalah aku tak boleh lupa? Kenapalah dia datang kepada aku? Cheh! Perasan! Dah nama satu pasukan, mahu tak mahu kenalah turut sama menyokong ahli pasukan masing-masing. Jadi, dia bukan sengaja nak datang, dia memang kena datang.
****
Mac 7
Berita mengejutkan. Rasa macam nak luruh jantung aku mendengar. Adira kata ada abang nama Hasriq sedang beromen dengan kakak nama Elisa dalam bas semasa outing? Euww! Biar betul! Hasriq yang lain kut? Tapi, rasanya sekolah ni mana ada pelajar yang berkongsi nama dengan Hasriq.
Siapa pula Elisa tu? Nama Elisa, mesti cantik orangnya macam namanya. Hasriq dan Elisa. Sedap jer kan menyebutnya. Cuba, Hasriq dan Athia? Tak sedap ker?
Sebelum tu, tadi Adira kata beromen? Huh! Kalau macam itulah perangai Hasriq, confirm reject!! Mulai hari ini aku tak mahu pandang muka dia lagi.

****
Sepasang mata redup milik Hasriq sedang memandang penuh asyik. Hati Athia berkocakan hebat di dalam tapi dia sedaya upaya buat tidak tahu saja. Malas dia hendak melayan lelaki itu.
Mahu menggoda aku kah? Desis hatinya. Huh! Sudahlah! Lelaki seperti Hasriq usah dilayan. Lembut lidah dari tulang. Bila bercakap, semut yang dipijak pun tak mati. Mujurlah dia jenis yang tidak mudah termakan dengan kata-kata manis.
“Tidak sudikah awak menerima bunga ini?”
“Awak bercakap dengan saya?”
Hasriq tersenyum menggoda.
Athia mengalihkan pandangannya. Entah kenapa dia merasa senyuman yang dilemparkan oleh Hasriq kepadanya tidak ikhlas.
“Okeylah. Saya nak naik bas. Awak pun tak ada apa nak cakap dengan saya kan?” Athia segera angkat kaki. Terasa marah juga di hati bila orang yang dimaksudkan Sari tadi ialah Hasriq. Buru-buru dia turun dari bas bila dikhabarkan ada orang hendak berjumpa dengannya.
Agh! Kalau si kasanova ini, buang masa aku saja.
“Athia, tunggulah dulu.” Hasriq cuba berlengah.
“Sebentar lagi bas ni nak bertolak. Saya tak mahu tertinggal.” Lebih-lebih lagi dengan kau, sambung Athia dalam hati.
“Apa-salahnya kalau tertinggal bas, saya kan ada?”
“Awak? Huh!” Athia mencemik sebelum melangkah masuk ke dalam bas yang membawa rombongan pelajar ke majlis amal dan konsert yang dianjurkan sempena menyambut hari guru.
Hasriq membuntuti langkah Athia, menaiki bas yang sama.
Sariwati cepat-cepat memberi laluan ketika terpandangkan wajah Athia yang mencuka. Memberi ruang duduk bersebelahan tingkap kepadanya.
“Sari, saya nak duduk kat sini?” pinta Hasriq yang tiba-tiba muncul di belakang Athia.
Tanpa menolak, Sari segera bangun.
“Sari?” Athia jadi ralat bila Hasriq mengambil tempat Sari untuk duduk di sebelahnya.
Sari angkat tangan sambil berkata, “Maaf, aku tak nak masuk campur, korang settle sendiri.”
Athia menjeling Sari yang sedang menggaru kepala mencari tempat duduk yang rata-rata sudah dipenuhi. Hati Athia jadi panas, nak settle apanya? Tak ada apa yang hendak diselesaikan dengan mamat ni! Dia memandang wajah Hasriq sekilas sebelum mengeluh. Bosan!
“Kenapa marah-marah ni?”
“Boleh tak jangan ganggu saya?”
“Okey, okey. Saya tak akan ganggu awak, tapi dengarlah cakap saya dulu.”
“Hah, apa dia?”
“Bunga yang sekuntum ni untuk awak.” Bunga telur dari majlis hari guru tadi diunjukkan.
Terangkat kening Athia. “Terima kasih, tapi saya tak nak.” Bunga telur? Aduhai!
“Awak tak nak tak apa, tapi…”
“Tapi apa lagi?!”
“Boleh tak kalau awak tolong saya bagi bunga yang sejambak ni pada Siti Amirah?”
Apa?! Athia tersentak. Tiba-tiba dia jadi malu.
Dia meneguk air liur. Oh, begitu rupanya. Bukanlah dia bermaksud untuk menggoda aku. Aku rupa-rupanya yang perasan. Rasa macam nak ketuk kepala sendiri pun ada.
“Oh! Okey.” Suara Athia jadi perlahan. Lebih-lebih lagi tatkala memandang jambak bunga ros putih dan merah itu.
“Terima kasih, saya hargai bantuan awak.”
“Tapi kenapa tak hantar sendiri?”
Hasriq tersenyum.
“Takut bunga ni layu kalau tak bagi hari ni.”
“Kenapa saya?”
“Awak kan satu dorm dengan dia?”
Ya tak ya jugak, fikir Athia seraya dia mengangguk. Namun begitu, hatinya tiba-tiba jadi sebu. Entah kenapa.  

May 16
Bunga telur? Bunga telur free lah wei, aku pun boleh ambik sendiri. Huh!
Tapi, aku tak boleh tipu betapa sedihnya hati ini. Kenapa pilih aku? Aku tak nak buat semua tu. Aku tak nak!! Aku tak mahu jadi pengantara. Janganlah babitkan aku.  
Jadi engkau nak apa sebenarnya Athia?

****
“Athia?”
Athia menoleh.
“Kejap Athia.” Hasriq berlari-lari anak mendapatkan Athia.
“Ada apa?” Tanya Athia nak tak nak.
“Boleh tak…” kata-kata Hasriq terhenti setakat itu bila Elisa muncul tiba-tiba dari  selekoh dan sedang berjalan melepasi mereka.
“Elisa!” panggil Hasriq.
Athia jadi angin. Ni nak cakap dengan aku ker apa ni? Segera dia angkat kaki. Tidak betah rasanya dia berada di sana menyaksikan drama entah apa apa entah antara Hasriq dan Elisa.
“Athia?” panggil Hasriq semula.
Athia menoleh sejenak sebelum berkata sinis. “Bila awak ada masa baru awak cari saya okey? Saya pun busy juga.”
Hasriq mengeluh. Dia tidak faham kenapa Athia bersikap begitu.

Salam Diari
Aku benci dia. Aku benci lelaki yang bernama Hasriq Hafizin. Benci!!!!!

***
Athia pandang Sabaruddin tak percaya.
“Betul Athia, aku tak bohong.”
“Macamana aku nak percaya?”
“Aku dah lama kenal dia, dulu kat sekolah lama dia memang ada girlfriend. Tapi, dah lama putus. Dia lelaki yang paling setia pernah aku kenal.”
“Setia? Macam tu yang kau gelar setia?”
“Apa-apapun cerita yang kau dengar tentang dia, itu semuanya tidak benar, Athia.”
“Kau best friend dia, mestilah kau sokong dia kan?”
“Athia..”
“Kenapa dia tak cakap sendiri?”
Sabaruddin jadi hilang kata-kata.

Dear Diary
Mengada-ngada lah dia tu. Dah ada girlfriend tapi ada hati nak mengorat aku. Pigidah!
Tapi, betulkah? Dia suka kat aku? Habis tu, Elisa? Macamana dengan Siti Amirah pula? Entah-entah dia sedang buat koleksi. Tak naklah aku jadi sebahagian daripada koleksi itu.

***
Kelas Kimia, subjek terakhir untuk hari itu. Kelas Cikgu Norihan.
“Hari ini kita ada kerja berpasangan.”
“Cikgu, saya nak berpasangan dengan Athia!” jerit Hasriq dari belakang serta-merta membuatkan Athia ternganga.
“Cikgu, saya tak..” tak sempat Athia menghabiskan ayatnya, Cikgu Norihan sudah memotong.
“Okey, Athia dan Hasriq, kamu satu kumpulan. Athia awak pergi duduk di sebelah Hasriq.”
Perlahan Athia angkat punggung. Rasa macam nak baling jer balang-balang yang ada dalam makmal itu bila melihat senyuman lebar yang dilemparkan Hasriq.
“Cepat, kita tak banyak masa ni. Okey seterusnya, siapa? Awak?” Cikgu Norihan meneruskan pembentukan kumpulan pelajar-pelajar dalam kelas tersebut.
Athia pandang wajah Hasriq yang sedang tersengih-sengih memerhatikannya. Aduh! Apalah malang nasib aku ni.

Dear Diary
Kenapa dia suka buat aku sakit hati. Aku tak suka duduk sebelah dia. Dia buat hati aku tidak tentu arah. Kenapa dia buat aku macam tu? Dia sengaja ker?

***
Petikan gitar akustik, memecah suasana hening dewan acara. Lagu asal kumpulan Febians ‘Penantian’ kini sedang berkumandang di udara. Versi Hasriq Hafizin.

Penantian satu penyiksaan
Dalam kebuntuan sebuah kesampaian
Di ulit sepi yang mencengkam
Bagaikan pungguk merindukan bulan purnama
Indahnya nun jauh di sana

Cintamu meraja di hati
Tiada istilah tandus lagi
Hanya takdir yang akan merestui
Pertemuan perpisahan ini

“Macamana nyanyian saya? Okey tak?” turun-turun aje Hasriq dari pentas dia terus mendapatkan Athia dan Sariwati.
“Okey sangat-sangat.” Puji Sariwati.
“Biasa jer.” Kata Athia membuatkan air muka Hasriq berubah.
Sari segera menyigung siku Athia. Athia mengerutkan dahinya.
“Lagu itu saya tujukan untuk awak, Athia.”
Ha? Athia terkedu.
Sariwati memandang Athia.
Apa? Athia menjegilkan matanya.

Salam Diari
Sedapnya suara dia. Walaupun aku kata biasa saja, tapi serius suara dia memang sedap. Cuma aku tak mampu meluahkannya. Tak tahu kenapa aku buat begitu. Sengaja menyakitkan hati dia. Dan , aku memang rasa bersalah sangat-sangat. Tapi, nak minta maaf tu…hmmm…macam beratlah. Apa yang harus aku lakukan?

***

Salam Diari
Kenapa dia cakap macam tu dengan aku ek? Tak mungkinlah dia betul-betul maksudkan dengan apa yang dia katakan. Aku mahu percaya tapi aku tidak berani. Oh hati, bertahanlah. Jangan percaya dengan dia. Dia cuma mahu menguji sahaja.

Terbayang di fikirannya insiden petang tadi. Dia baru sahaja berhajat ingin keluar dari bilik perpustakaan bila tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan Hasriq.
“Athia, saya nak cakap sesuatu dengan awak.”
“Hah?! Awak? Awak buat apa kat dalam tu?” Nasib baik aku tak kunci pintu ni lagi. Ingatkan semua orang dah keluar.
“Awak selalu mengelak, jadi saya fikir ini sahaja caranya.”
Berkerut-kerut dahi Athia mendengarnya.
“Saya takut sekiranya saya tak beritahu awak sekarang, saya akan menyesal buat selama-lamanya.”
Athia meneguk air liur. Hatinya sudah mula berdebar-debar. Apa benar apa yang sedang aku fikirkan? Hasriq sedang meluahkan isi hatinya pada aku. Inikah yang aku tunggu-tunggu sebenarnya.
“Hasriq, jangan.”
“Athia, saya sudah penat menyimpan. Biar saya teruskan. Sebenarnya, saya sukakan awak. Sangat-sangat!” Selesai sahaja Hasriq menghabiskan ayat yang terakhir, dia menghembus nafas lega.
Athia memejamkan mata. Buat seketika dia tidak tahu untuk berkata apa. Dia tidak bagaimana mahu menerimanya atau apa yang patut dia lakukan. Dia memandang wajah Hasriq yang juga hilang kata-kata. Akhirnya …
“Entah-entah dengan orang lain pun awak cakap benda yang sama, kan?” Dan Athia berlari meninggalkan Hasriq dengan air mata yang berjuraian. Dia sendiri tidak faham kenapa dia harus menangis.

Sejujur-jujurnya, aku pun nak sangat bagitahu pada dia…
Saya pun sukakan awak, Hasriq Hafizin! Walaupun saya bencikan awak, saya masih tetap tak boleh lupakan awak. Mungkin untuk selama-lamanya.
Tapi, aku tidak mampu berkata begitu.

***
“Athia? Cari apa tu?” tegur Sariwati bila melihat Athia terbongkok-bongkok menyelongkar almari.
“Diari aku.”
“Kau letak kat mana?”
“Semalam ada. Aku letak tempat biasa.”
“Kau tersalah letak kut. Mungkin kau dah pack dalam beg. Cepatlah. Ayah kau dah lama tunggu.”
“Mana perginya?” Athia masih tidak berpuas hati.
“Engkau bukannya tulis apa pun kat dalam tu kan?”
“Tak adalah sangat, tapi...” Lemah sahaja suara Athia.
“Aku sayang sangat dengan diari tu. Diari tu dah macam kawan baik aku. Banyak yang telah aku luahkan dalam tu. Rahsia hati aku. Tentang…” tentang Hasriq terutamanya. Kiranya kalau ada yang membacanya, habislah rahsia aku dari A to Z.
“Beli ajelah yang baru.” Gesa Sariwati.
Athia mengeluh. Tak apalah, hilang diari tu maknanya hilanglah Hasriq dari hidup aku. Lepas ini, entah berjumpa lagi tak. Nampaknya, aku kenalah kuburkan semua kisah-kisah hati aku itu bersama diari yang tiba-tiba lesap itu.
“Alah…kau mesti dah letak dalam beg lain, kau dah lupa.” Sariwati cuba meyakinkan Athia yang masih resah.
Tidak. Mesti ada yang sudah mengambilnya. Tapi siapa? Huh! Keluh Athia lagi. Nampaknya zaman persekolahan Athia berakhir dengan misteri. Misteri kehilangan diari. Diari yang penuh bunga-bunga cinta. Diari cinta Athia.

Sneak peak (Diari Cinta Athia -2)
“Awak masih simpan hobi lama awak?”
“Hobi lama?”
“Menulis.. dalam diari?”

0 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p