Selasa, 29 Mei 2012

Hati yang ditakdirkan

Seperti hari-hari yang sebelumnya, Haya akan menaiki LRT dari stesen KL Sentral menuju Kelana Jaya untuk menghadiri kuliah. Setiap hari di tempat yang sama dia akan melihat seorang lelaki yang sama sedang menunggu tren tetapi pada laluan yang bertentangan. Lelaki itu akan duduk atau berdiri di salah satu sudut, menunggu tren di laluannya dengan sebuah buku digenggaman. Sepanjang masa itu, matanya seolah-olah terarah pada Haya. Tak banyak bergerak, seperti sedang memerhatikan dirinya. Gerak dan tingkah laku dirinya.
Sekali-sekala Haya akan mengerling ke arah lelaki itu. Cuba mengamat-amati apa sebenarnya yang sedang dilakukan oleh lelaki itu. Sedikit sebanyak dia tidak dapat lari dari menilai dan membuat tanggapan terhadap lelaki itu. Bagi Haya, perawakan lelaki itu agak menarik. Pakaian yang melekat pada tubuhnya menggambarkan yang dia mungkin masih sedang menuntut. Kasut jenis sportif jenama biasa anak-anak remaja sekarang tersarung pada kakinya dengan sebuah beg sandang berwarna hijau pudar berada di bahu.
Walau tidak memandang secara terus, Haya boleh rasa lelaki itu memang sedang memerhatikannya. Cuma Haya tidak berani berbalas pandang. Walaupun jarak sebenarnya di antara mereka dipisahkan oleh dua laluan tren. Satu laluan menuju ke arah Kelana Jaya dan laluan di sebelah lelaki tersebut pula menuju ke arah yang bertentangan.
Peliknya, kebetulan itu berlaku pada hari-hari yang sama, pada jam yang sama dan di tempat yang sama. Kebetulan itu menimbulkan tanda tanya di hati Haya.
Hendak ke mana lelaki itu? Sama seperti aku kah? Sedang dalam perjalanan menuju ke kolej, menghadiri kuliah? Kalau benar, dia ambik jurusan apa, di mana? Fikir Haya, setiap kali dia terlihat kelibat lelaki itu. Seperti magnet, dia berasa tarikan yang kuat di antara mereka.
Kadang-kadang, bila trennya sampai terlebih dahulu dia akan mencari ruang berhadapan dengan laluan di seberang sana. Dia ingin melihat wajah lelaki itu dengan lebih jelas. Dia juga perasan yang lelaki itu tidak akan menaiki tren yang tiba di laluannya sekiranya Haya masih ada di situ. Lelaki itu hanya akan menaiki tren selepas Haya menaikinya terlebih dahulu.
Akhirnya pada satu hari.  Haya nekad untuk mengetahui apa benar lelaki itu sedang memerhatikannya atau dia sekadar berilusi. Haya sudah tidak betah menanggung persoalan yang bersarang di mindanya. Dia mahukan jawapan.
Ketika Haya tiba, lelaki itu sudah ada di laluan bertentangan. Haya perasan lelaki itu menyedari akan kehadirannya. Haya memandang lelaki itu sekilas lalu. Berkulit cerah dan berkumis tipis. Hari ini dia memakai jeans biru lusuh dengan kemeja-T berwarna biru gelap. Tampak bergaya. Nampaknya lelaki itu sedang melakukan rutinnya yang biasa. Memandangnya kemudian mencatat sesuatu pada buku yang berada di tangannya.
Haya memberanikan diri untuk menatap wajah lelaki tersebut. Hatinya berdebar-debar tatkala matanya bertembung dengan mata milik lelaki yang tidak diketahui namanya itu. Tapi, dia sudah nekad. Tajam pandangan lelaki itu menusuk jiwa. Hati Haya jadi cemas dan cuak. Kenapa lelaki itu memandang dirinya sedemikian rupa. Tapi, Haya meneruskan juga. Lama mereka berbalas pandang, masing-masing tidak mahu beralah.
Sebuah tren dari arah Kelana Jaya tiba dan berhenti, menghalang pandangan. Bila tren itu berlalu pergi. Lelaki itu sudah tidak ada, mungkin dia sudah menaiki tren yang berhenti sebentar tadi. Fikir Haya.
“Berani awak pandang saya?”
Terkejut Haya, bila suara itu kedengaran betul-betul hampir di telinga kirinya. Hembusan nafas yang menampar lembut tengkuknya membuatkan Haya terasa seram sejuk. Dia menoleh ke sisi. Lelaki yang tadi di seberang jalan sudah ada di samping.
“Siapa pandang awak?”
Lelaki itu tersenyum mengejek.
“Kenapa awak pandang saya?” lelaki itu bertanya sekali lagi.
Haya jadi teragak-agak. “Saya…?”
“Awak tertarik?” pantas lelaki itu mencelah membuatkan Haya terkedu. Lelaki itu kelihatannya tenang-tenang saja, seperti sudah bersedia.
“Habis tu, yang awak pandang saya pula kenapa?” tanya Haya pula.
“Saya memang tertarik pada awak,” balas lelaki itu sambil tangannya diseluk ke dalam saku seluar.
Berderau darah Haya membuatkannya terus hilang kata-kata.
“Malangnya semua ini sudah terlambat.”
“Maksud awak?” dahi Haya berkerut tidak faham.
“Saya tak akan berada lama di sini.”
“Hah?” Haya menggelengkan kepala.
“Sudah sampai masanya.”
“Hah?” sekali lagi Haya mengangkat kening tidak faham. Bercelaru sedikit fikirannya dengan kata-kata lelaki tersebut.
“Nama awak siapa?” Tanya lelaki itu, masih berdiri di sebelah Haya.
“Haya.”
“Cantik, saya suka awak,” kata pemuda itu tanpa memandang Haya.
Haya jadi terpinga-pinga.
“Tren awak dah sampai. Saya pergi dulu.”
Haya segera masuk ke dalam perut tren. “Awak? Nama awak siapa?” panggil Haya.
Lelaki tersebut menoleh dan tersenyum cuma. Sejurus kemudian pintu tren tertutup. Kelihatan lelaki itu melambaikan tangannya. Semakin tren itu bergerak jauh, semakin hilang lelaki itu dari pandangan mata.
Haya mengeluh.
***
Memang betul kata lelaki itu semalam. Hari ini, dia sudah tidak muncul di tempat biasa. Begitu juga keesokkan harinya. Tulat dan minggu yang berikutnya. Entah kenapa Haya jadi rindu tiba-tiba.
Mana awak pergi, lelaki misteri? Saya mahu tahu banyak lagi tentang awak. Tinggal Haya dengan pelbagai macam persoalan yang tidak terjawab.
***
Setelah berbulan-bulan lamanya.
“Hey, awak!” kedengaran jeritan seorang lelaki di tengah-tengah kumpulan orang ramai yang bersesak-sesak menuju destinasi masing-masing.
“Awak yang berbaju ungu,” jeritnya sekali lagi membuatkan Haya menoleh ke arah pemilik suara tersebut.
Wajah Haya bertukar ceria. Eh! Lelaki misteri yang dirindu. Dia dah balik ker? Tapi kenapa dia seolah-olah tak mengenali dirinya. Dia sudah lupa atau apa?
“Awak panggil saya?”
“Awak kenal abang saya?” lelaki itu bertanya.
“Abang awak?” soal Haya pula, tidak faham.
“Ini gambar awak, kan?” lelaki itu mengunjukkan sekeping kertas mengandungi lakaran wajahnya.
Haya mengambil kertas tersebut dari tangan lelaki itu. “Siapa yang melukisnya?”
“Mari..”
“Ke mana?” Haya teragak-agak.
“Kita ke cafĂ© berdekatan, dalam KL sentral ni aje. Awak tak mahu tahu?”
Haya masih teragak-agak. Apa maksudnya saya ingin tahu? Perlukah dia tahu siapa yang melakar potret tersebut?  
“Sekejap jer. Saya perlu menyampaikannya kepada awak. Ini amanat orang.”
“Hah?” amanat orang? Untuk aku? Haya mengangguk lambat-lambat. Walaupun hatinya cuak, tapi dia percaya lelaki itu tidak menyimpan apa-apa niat yang tidak baik terhadap dirinya.
“Saya, Ahmad Faiq,” beritahu lelaki yang seiras dengan wajah lelaki misteri yang dirindu Haya. “Abang saya, Ahmad Dharwis yang melakar gambar awak,”sambungnya semula.
“Abang?”
“Dia lahir beberapa minit lebih awal daripada saya,” balas lelaki itu menjawab pertanyaan Haya.
“Beberapa bulan yang lepas, dia meninggal dunia selepas mengalami komplikasi setelah melakukan pemindahan sebahagian daripada hatinya kepada saya.”
Tergamam seketika Haya mendengar berita itu. Hampir saja dia menitiskan airmata, tapi ditahannya rasa sebak di dada. Walaupun dia tidak sempat mengenali Ahmad Dharwis tapi dia rasa seperti kehilangan sesuatu yang amat berharga.
“Saya minta maaf, saya tidak tahu.” Bergetar sedikit suara Haya mengucapkannya.
“Kami sekeluarga juga rasa begitu.” Ahmad Faiq tertunduk seketika. Mungkin menyimpan rasa duka yang tiba-tiba hadir.
“Saya didiagnoskan menghidap penyakit hati sejak setahun yang lalu. Setelah tidak berjaya mendapat perderma yang sesuai, abang dengan tiba-tiba menyatakan kesanggupannya untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya dalam usaha menyelamatkan saya.” Ahmad Faiq bercerita.
Mulia sungguh hati kamu, Ahmad Dharwis. Bisik Haya dalam diam. Dia masih lagi rasa terkilan.   
“Saya tidak berharap awak akan percaya. Tapi, sejak kematian abang, wajah awak selalu hadir dalam mimpi saya. Pada mulanya, saya tidak faham mengapa tapi setelah menemui beberapa keping lukisan dan lakaran wajah awak, saya berfikir mungkin abang saya ingin menyampaikan sesuatu untuk awak tapi tidak berkesempatan. Saya rasa, saya perlu menunaikannya bagi pihak abang.”
Sejurus kemudian Ahmad Faiq mengeluarkan sebuah buku skrap dari dalam beg sandangnya dan menyerahkan kepada Haya. “Abang saya tentu ingin awak memilikinya.”
“Tapi..”
“Percayalah.”
Haya mengambil buku skrap tersebut dan mula menyelaknya sehelai demi sehelai. Penuh dengan lakaran wajahnya. Ada yang sedang duduk, sedang merenung jauh. Potretnya secara dekat, sedang senyum malah pandangan dari sisi pun ada.
“Saya?”  Terkedu Haya dibuatnya. Dia menghela nafas panjang. Rasa sedih tiba-tiba menyelubungi diri.
“Kenapa saya?”
“Mungkin ada sesuatu dalam diri awak yang menarik hati abang saya.”
***
Beberapa bulan kemudian. Semenjak Ahmad Faiq berjaya menemui Haya, mereka sering bertukar-tukar khabar. Malah sekali-sekala keluar makan bersama.
“Haya, dah lama tunggu?”
“Tak.”  Haya mengukirkan senyuman.
“Dah lama kita berkenalan, kan?”
“Hmm…” Haya mengangguk.
“Saya rasa saya dah tahu mengapa abang saya boleh tertarik pada awak pada pandangan pertama.”
Haya tersenyum mendengar kata-kata itu. “Kenapa awak cakap macam tu?”
“Entahlah, saya boleh rasa..”
Haya senyap menantikan patah-patah perkataan yang keluar dari bibir Ahmad Faiq.
“Saya boleh rasa.. awaklah orangnya.”
Hati Haya rasa bagai nak luruh mendengarnya.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya.”
“Faiq..” Haya terhenti di situ, tidak tahu ayat bagaimana yang harus dituturkan.
“Mungkin agak terlalu awal untuk meramalkannya tapi..” Mata Ahmad Faiq tertumpu sepenuhnya pada wajah Haya.
Haya melarikan wajahnya dari pandangan Ahmad Faiq. Dia agak kelu untuk berkata-kata.
“Haya..” lembut sahaja suara Ahmad Faiq memaksa Haya menatap kembali wajah itu. “ Saya rasa hati ini memang telah ditakdirkan untuk awak.”
Pandangan mereka bertaut. Ada rasa halus dan aneh hadir menyerang seluruh jiwa. Ada rasa gelora melanda, menggigit hati dan perasaan.
Aneh ya? Perjalanan hati itu. Kadang-kadang tanpa diduga kita bertemu dengan seseorang yang istimewa. Seperti Haya. Mengenali Ahmad Dharwis, baginya sesuatu yang istimewa. Melalui Ahmad Dharwis, dia bertemu dengan Ahmad Faiq dan mengenali Ahmad Faiq pula, sesuatu yang membahagiakan. Mungkin perjalanan hati itu masih jauh, tapi buat masa ini dia hanya mahu yang terbaik untuk hatinya.  Dan yang terbaik untuknya buat masa ini adalah hati yang dihulurkan Ahmad Faiq, yang sebahagian hati itu pernah jadi milik Ahmad Dharwis.


Selasa, 22 Mei 2012

Cerpen - Diari Cinta Athia 2

HASRIQ Hafizin? Dia buat apa kat sini? Athia yang baru tiba di tempat kerja, agak terkejut dengan kehadiran bekas rakan sekolahnya itu.
            Jangan-jangan dia menggantikan tempat bos aku yang baru sahaja mengumumkan persaraan awal beliau. Biar betul? Kalau betul, parahlah aku. Desis hati Athia sambil meletakkan beg tangannya ke dalam laci.
            Tidak berapa lama kemudian, Suraya, setiausaha Encik Nizam, mengumumkan satu mesyuarat bakal dilangsungkan dalam beberapa minit lagi bertempat di ruang legar jabatan tersebut.   
            Athia tergesa-gesa meninggalkan mejanya. Dia tidak mahu jadi orang yang terakhir tiba dalam mesyuarat tersebut.
       “Sebagaimana yang kamu semua tahu, saya akan bersara lebih awal dari yang sepatutnya. Dan, ini saya kenalkan kepada kamu semua, pengurus yang akan menggantikan tempat saya bermula hari esok.” Encik Nizam memulakan bicaranya.
            “Beliau baru sahaja memperolehi ijazah setelah menamatkan pengajiannya di salah sebuah universiti luar negeri. Kini, beliau sudah tidak sabar ingin memulakan tugas beliau, Dipersilakan Encik Hasriq Hafizin.”
            Para pekerja pun bertepuk tangan. Terdengar beberapa orang pekerja perempuan berbisik sesama mereka. Agaknya mereka kagum melihat kekacakan pengurus baru itu, atau mungkin kerana dalam usia yang agak muda beliau boleh berjaya menjawat jawatan yang agak tinggi.
            “Saya berbangga dapat menjadi salah seorang daripada ahli keluarga syarikat ini. Semoga kalian semua dapat menerima saya dan berharap kita semua boleh bekerja-sama dengan baik dan lebih cemerlang demi kepentingan syarikat ini.” Hasriq berhenti seketika sambil memandang wajah para pekerja yang bakal berada di bawah jagaannya.
            “Mungkin saya akan mengambil masa untuk mengenali kamu semua. Dalam seminggu dua ini, saya akan mengadakan sesi pertemuan dengan anda semua. One to one. Tapi, jangan bimbang sesi tersebut tidak akan mengambil masa yang lama.” Matanya berhenti pada Athia yang sedari tadi tunduk tidak mengangkat muka. Hasriq berdehem sebelum meneruskan.
“Mungkin akan ada perubahan dalam struktur pengurusan dan kerja selepas ini, tapi saya jamin ianya tidak akan menjejaskan sesiapa. Semuanya adalah demi kemajuan syarikat. Okey, that’s all about it. Saya, bagi pihak syarikat ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas sumbangan dan jasa Encik Nizam selama dia bertugas untuk syarikat ini.”
Beberapa pekerja senior mula menghampiri Hasriq dan Encik Nizam. Kelihatan mereka berjabat tangan dan bertukar ucap selamat barangkali. Manakala pekerja lain sudah mula beredar kembali ke meja masing-masing. 
         Athia mengambil kesempatan itu mencuri pandang wajah milik bos barunya itu. Berderau darah Athia bila matanya bertembung dengan mata Hasriq Hafizin yang ketika itu sedang memandang tajam ke arahnya. Segera dia mengalihkan pandangan dan berlalu dari situ.
***
Bos nak jumpa aku? Lambat-lambat Athia mengatur langkah menuju bilik pengurus. Dia mengetuk pintu sebelum masuk. Kelihatan Hasriq sedang membaca fail peribadi miliknya.
            “Duduk.”
            Athia segera duduk di atas kerusi berhadapan Hasriq.
            “Awak dah kahwin?”
            Tersentak Athia mendengar pertanyaan yang dikemukakan Hasriq.
            “Ianya tidak dinyatakan dalam fail awak. Sebagai ketua awak, saya perlu tahu.” Hasriq kelihatan serius. Agak berbeza perwatakannya berbanding dahulu, semasa Athia mengenalinya di bangku sekolah.
            “Belum,” jawab Athia sepatah.
            “Okey, awak boleh pergi.”
        Athia jadi terpinga-pinga. Itu jer? Tapi, segera juga dia bangun. Dia sememangnya berasa agak kurang selesa bersemuka dengan Hasriq apatah lagi untuk berlama-lama dengannya.
Ketika dia menghampiri pintu keluar, Hasriq memanggilnya. “Athia, awak akan diberikan skop kerja yang baru. Jadi, saya harap awak bersedia.”
            Hah?! Athia agak terkejut dengan arahan secara tiba-tiba itu.
“Tapi…”
“Kenapa, awak ada masalah?”
Athia senyap sambil matanya terkejap-kejap.
“Ada apa-apa yang hendak awak suarakan?”
“Tidak ada, Encik Hasriq.”
“Baiklah, kalau begitu. Awak akan bertugas menggantikan tempat Suraya mulai esok.”
            Tapi, Suraya kan bekerja sebagai setiausaha? Apa Hasriq sedang menduga akukah? Athia jadi berkerusut memikirkannya. Bagaimana aku mampu menjadi seorang setiausaha bila bidang aku lebih berkait rapat dengan perakaunan?
***
Athia menyerahkan dua buah fail yang diminta juru audit bebas yang diupah memeriksa akaun syarikat tersebut. Dia masih terbayang-bayangkan wajah lelaki tersebut. Tidak pernah dia bertemu dengan lelaki yang kulitnya begitu halus dan bersih. Bangsa cina ker? Nama cina, tapi rupa paras tidak menunjukkan begitu. Matanya tidak sepet. Mungkin kacukan kut?
Athia membalas senyuman yang dilemparkan juru audit tersebut. Ketika dia berpaling, hampir saja dia berlaga dengan Hasriq yang betul-betul berada di belakangnya.
“Mana awak letak mata awak? Pantang jumpa lelaki kacak, berangan jer tahu,” marah Hasriq.
Beberapa pekerja yang berada berhampiran tersenyum-senyum mendengar kata-kata sinis yang keluar dari mulut Hasriq. Membuatkan Athia terasa sedikit malu.
Alah, yang dia berdiri kat belakang aku tu apahal? Gerutu Athia dalam hati.
“Nah, ambil fail-fail ni semula. Banyak sangat typo-error dan grammatical error. Sila betulkan dan beri kembali kepada saya sebelum jam 9 pagi esok.”
“Banyak ni, Encik Hasriq. Lagipun, sekarang dah pukul 5.30 petang.”
So? Apa tunggu lagi, siapkanlah sekarang,” balas Hasriq selamba sebelum berlalu pergi meninggalkan Athia yang sedikit geram.
***
Suraya dan Athia sedang menjamu selera di cafeteria berdekatan ketika Hasriq muncul.
“Boleh saya join korang makan?”
“Pick up line nombor berapalah agaknya?” Athia menggumam perlahan. Masih tidak berpuas hati dengan tugasan yang diberi Hasriq hingga memaksa dia untuk bekerja lebih masa hari itu.
“Excuse me?” Hasriq mengerutkan dahi.
“Duduklah bos, itupun kalau bos tidak segan makan dengan kami.” Suraya mempelawa Hasriq.
Hasriq segera menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Athia.
“Sudah berapa lama ya?” tanya Hasriq pada Athia.
Athia buat tidak tahu. Entah apa maksud Hasriq bertanya begitu.
“Awak semakin cantik Athia,” kata-kata Hasriq membuatkan Athia jadi tidak selesa.
“You know each other?” Suraya memintas.
“I have a crush on her back then.”
“Ouw!” Menarik ni fikir Suraya sambil mengerling Athia yang riak wajahnya sudah berubah.
“Awak masih lagi simpan hobi lama awak?”
“Hobi lama?” Suraya pula yang membuka mulut sementara Athia sudah mula hilang selera makannya.
“Menulis…dalam diari.”
Hati Athia berdetak. Macamana dia tahu tentang semua itu.
“Do you know hard it is? To forget you and move on?”
Kata-kata yang dilontarkan Hasriq membuatkan hati Athia bagai nak luruh Ingin lari dari situ tapi kakinya bagai dipaku.
***
Pagi-pagi lagi Hasriq sudah naik angin. Entah apa menyerang mood lelaki itu, tiada siapa dapat menelah.
“Athia! Athia mana?” terjerit-jerit dia ketika membuka pintu bilik yang menempatkannya sebagai pengurus.
“Dia belum masuk lagi bos,” beritahu salah seorang pekerja wanita dalam keadaan takut-takut.
Hasriq mendengus kasar. “Suraya, bila dia sampai nanti, suruh dia masuk jumpa saya.”  
Suraya mengangguk. Habislah kau Athia. Kebetulan pula Athia sampai tika itu. Tapi, Hasriq tidak perasan. Malah pintu biliknya dihempas kuat.
“Athia, bos nak jumpa engkau. Baik kau berhati-hati, mood dia macam tak baik jer hari ini,” pesan Suraya.
Athia mengeluh. Apa lagi yang aku dah buat ni?
Sebentar kemudian, pintu bilik pengurus terkuak lebar.
“Dia dah sampai ke bel..” tidak jadi Hasriq meneruskan pertanyaannya bila Athia dilihatnya sudah terpacak di muka pintu.
“Masuk!” perintahnya sebelum pintu dihempas kuat sekali lagi.
“Ini kerja macamana yang awak buat ni?” sembur Hasriq sebelum mencampakkan beberapa buah fail ke atas meja.
“Apa yang saya dah buat Encik Hasriq?”
“Cuba periksa betul-betul. Calculation salah. Tarikh tak betul. Ayat berterabur. Awak fikir apa sebenarnya?”
“Apa awak sengaja buat begitu supaya saya panggil awak selalu? Supaya awak boleh jumpa saya? Kenapa? Awak ada pasang niat untuk menggoda saya lagi?”
“Bila pula saya buat macam tu?” hati Athia sudah mula panas.
“Kalau bukan, apa semua ni?”
Athia terdiam.
“Boleh tak awak buat kerja dengan betul dan jangan muncul depan saya lagi? Awak buat saya…argh! Pergi! Saya tak boleh nak pandang muka awak!”
Athia mengetap bibir. Menahan airmatanya daripada tumpah. Sakit betul hatinya diperlakukan sebegitu.. Aku benci dia! Aku benci dia seribu kali!
***
Hampir setengah hari Athia memikirkan di mana silapnya dalam menyediakan fail-fail tersebut. Berulang kali dia memeriksa di mana sebenarnya kesalahan yang berlaku seperti yang dikatakan oleh Hasriq, tapi tidak menemuinya. Apa, Hasriq memang sengaja mahu mengenakan dirinya? Haish! Athia mengeluh sendirian. Akhirnya, dia mencetak semula  kesemua muka surat yang telah diconteng Hasriq dan menyerahkan kepada Suraya.
            “Su, aku ingat aku nak berhentilah. Tak sangguplah aku nak kerja kat sini bila asyik berdepan dengan dia. Kau tolong bagi fail-fail ni semula dengan surat ni.”
            “Surat apa ni?”
            “Surat perletakan jawatan aku. 24 hours.
            “Kau biar betul, Athia?”
            Athia angkat kening. Dia memang sudah nekad dengan keputusannya.
            “Aku blah dulu. Aku dah tak tahan berada kat sini. Barang-barang aku, esok jer aku ambil.”
***
“Athia mana?”
“Pagi tadi dia ada, bos.” Pekerja yang duduk berhampiran kubikel Athia memberitahu.
Memang pagi tadi Athia datang untuk mengambil barang-barang miliknya.
“Kenapa meja dia kosong jer?” Hasriq bertanya ketika dia menjengah tempat duduk Athia.
“Bukankah dia dah berhenti kerja? Semalam kan dia dah bagi surat perletakan jawatan. Notis 24 jam. Bos tak perasan ke?”
Terkejut Hasriq mendengar kata-kata Suraya. “Iye ker? Mana suratnya?”
“Saya dah letak kat atas meja bos.”
Pantas Hasriq masuk ke dalam biliknya. Selang beberapa minit kemudian dia menggamit Suraya.
“Suraya, masuk sekejap.”
Tanpa berlengah, Suraya segera masuk membuntuti Hasriq. Dia sudah menjangka yang perkara ini akan berlaku.
“Tolong call Athia untuk saya. Make her come. I want to talk to her.”
Suraya mengangguk faham akan keresahan Hasriq. Bukan dia tak tahu yang mata Hasriq tidak pernah lepas dari menjamah wajah Athia setiap kali dia melalui atau berpapasan dengan Athia. Mulut kata lain, hati kata lain.
***
Athia yang baru hendak melangkah ke cafeteria tersebut kerana ingin menemui Suraya cepat-cepat berpaling bila terlihat kelibat Hasriq bersama-sama dengan Suraya. Nasib baik Suraya perasan.
“Athia! Kat sini!”
Hasriq segera menoleh dan berdiri. Hatinya bergetaran bila melihat Athia yang sedang mengatur langkah menghampiri mereka. Dia tahu Athia berat hati melihat dia ada di situ.
Setelah Athia duduk, Suraya pun berdiri.
“Maaf Athia, aku kena pergi.”
“Ke mana?” Athia memegang lengan Suraya.
Suraya tersenyum sebelum berpaling ke arah Hasriq.
“Bos, saya serahkan pada bos. Jaga kawan saya ni baik-baik.”
Athia memandang Suraya yang berlalu pergi. Fahamlah dia kini yang ingin berjumpa dengannya itu bukan Suraya tapi Hasriq. Untuk apa ya? Takkanlah dia tak puas-puas lagi mendera hati aku.
Suasana hening seketika. Masing-masing menyepikan diri. Kedengaran Athia mengeluh kecil.
Hasriq dari tadi tidak berhenti memandang Athia, membuatkan Athia jadi serba tidak kena. Pandangan dan renungan Hasriq itu dirasakan berbeza dari yang biasa. Penuh dengan kerinduan, sarat dengan rasa cinta. Athia cuba membalas pandangan Hasriq, tapi dia tidak betah. Athia tunduk semula dengan hati yang bergetar.
“Kenapa Encik Hasriq cari saya?”
“Saya sudah lama mencari awak, Athia.”
Athia tersentak, takkan berdendam dengan aku sampai macam itu sekali.
“Sampai satu takat, saya berputus asa dan cuba melupakan awak. Bila saya hampir berjaya, awak pula muncul semula. Membuatkan hati saya sakit yang amat.”
“Saya, saya minta maaf.” Itu sahaja yang mampu terluah oleh Athia akibat tergamam dengan pengakuan Hasriq.
“Saya benci dan marah dengan sikap awak yang tenang-tenang saja bila berhadapan dengan saya. Sedangkan saya bagai nak rak di dalam.”
“Awak tahu tak Athia betapa …” Hasriq meraup wajahnya.
“Betapa saya tidak mampu melupakan awak. Betapa saya tidak mampu menghilangkan debar yang datang setiap kali memandang wajah awak. Betapa saya resah setiap saat, bila awak tiada. Awak tahu tak kenapa saya jadi begitu?”
Athia menggigit bibir. Seram-sejuk dia mendengar  luahan isi hati Hasriq itu.
“Awak curi hati saya, tapi tak pernah memulangkannya semula kepada saya,” ucap Hasriq perlahan.
Rasa macam hendak mengalir air mata Athia dibuatnya.
“Saya minta maaf kerana berkasar dengan awak beberapa ketika ini. Saya menyesal kerana membuat awak terluka. Mungkin saya agak keterlaluan dalam usaha saya cuba menyingkirkan awak dari hati saya. Saya minta maaf, tapi saya tidak pernah bermaksud begitu.”
Hati Athia terusik mendengarnya, terasa begitu ikhlas pada hematnya.
“Saya tahu, awak pun pernah ada sekelumit rasa itu dalam hati awak. Cuma saya tidak pasti, ia masih ada atau sudah lama tiada. Saya berharap, ia masih ada walaupun sedikit.” Mata Hasriq kelihatan bersinar-sinar ketika mengucapkannya.
“Saya, saya tak tahu nak cakap apa.”
Entah dari mana Hasriq mendapat keberanian untuk mencapai dan menggenggam jari-jemari Athia. “Mungkin awak patut meluahkannya dalam diari awak.”
“Kenapa awak kata begitu?”
“Sebabnya, mungkin awak lebih tahu.”
Sejurus kemudian dia menghulurkan sebuah diari berwarna pink yang pernah menjadi milik Athia.
“Diari saya, macamana boleh berada dalam tangan awak.”
“Kerana saya ingin menjadi sebahagian dari diri awak. Sebahagian dari kisah hidup awak.”
“Hasriq..”
“Saya masih ingin, kalau boleh kini dan selamanya.”
Tidak terkata Athia tapi dia kira, mungkin sudah tiba masanya untuk dia membuka hatinya. Memberi peluang kepada Hasriq untuk mencuri hatinya dengan sepenuhnya.

.


Isnin, 14 Mei 2012

Cerpen: Diari Cinta Athia-1




ADOI! Makhluk Tuhan manalah yang tidak tahu menggunakan deria yang telah dianugerahkan itu. Haish! Segera Athia memalingkan wajahnya mahu melihat siapakah gerangannya yang berani mencemar dirinya itu.
Dia yang baru hendak membuka mulut berhajat menghamburkan kata-kata amarahnya, tidak jadi berbuat begitu bila melihat wajah milik pemuda yang melanggar bahunya.
“Maaf, saya tidak sengaja.”ujar pemuda tersebut.
Bibir Athia terkatup rapat.
“Boleh tunjukkan saya pejabat di mana?” tanya pemuda itu bila dilihatnya Athia tidak berganjak.
“Awak?” tegur pemuda itu sekali lagi.
“Ha?” Athia bagaikan baru tersedar dari mimpi.
“Pejabat sekolah?”
“Oh! Aa..belok kiri nanti awak jumpa tangga. Awak naik je tangga tu. Pejabat sekolah kat tingkat dua.”
“Terima kasih, awak?” dia berjeda, dengan harapan Athia akan memperkenalkan dirinya.
“Saya? Hmm…sama-sama.”
Pemuda itu mengukir senyum melihat Athia yang tidak faham akan kehendaknya. Athia terpana. Adoi! Manisnya senyuman itu membuatkan Athia rasa macam melayang-layang di udara.

16 January
Salam diariku,
Hari ini aku jumpa seorang lelaki yang kacak amat. Sebenarnya bukan aku yang jumpa dia, dia yang jumpa aku. Hahaha..
Mata dia kuyu. Kulit dia putih. Senyuman dia manis sangat. Hmm… macam senyuman Syahid Kapoor. Tapi Syahid Kapoor tu handsome sangat.  Siapa ya lelaki itu? Kalau dapat dia jadi boyfriend kan best. Tapi, agak-agak dia pandang tak aku ni? Dia akan ingat aku tak kalau terjumpa lagi? 
Apapun, aku akan ingat senyuman itu sampai bila-bila.

****
Athia tiba di sekolah agak awal hari ini. Sememangnya setiap hari rabu, giliran dia bertugas membersihkan kelas. Kerusi diangkat dan diletakkan di atas meja. Cermin tingkap digilap, kemudian lantai disapu. Setelah selesai menjalankan tanggungjawabnya, dia melepaskan lelah dengan bersandar di pintu masuk kelas. Memerhatikan pelajar-pelajar sekolah yang sedang berkeliaran sementara menunggu loceng masuk berbunyi.
Mana ek, lelaki yang aku jumpa semalam? Wajah pemuda itu kembali menjelma. Terbayang-bayang di depan mata. Senyumannya yang manis dengan barisan giginya tersusun indah. Eh! Itu dialah. Panjang umur! Macam tahu-tahu saja ada orang menyebut. Athia memandang tanpa berkelip.
Urgh! Jangan pandang. Jangan pandang. Hati Athia berdebar-debar melihat susun atur langkah pemuda yang melanggarnya semalam. Sedang berjalan menghampirinya. Segera Athia menundukkan kepala. Pura-pura tidak perasan.
“Kelas 6 Anggerik ke?”
Athia mendongak.
“Awak? Nampaknya kita sekelas.” Pemuda itu terseringai.
Urgh? Athia diam, kelu untuk berkata-kata.
 “Nama awak Athia rupanya.”
Athia pandang wajah pemuda itu, sebelum matanya beralih ke tanda nama yang disematkan betul-betul di bahagian bawah lencana sekolah. Sekarang dia dah tahu nama pemuda itu.

19 January
Hasriq Hafizin namanya. Budak baru kelas aku. Nampaknya tak perlulah aku susah-susah mencari. Pucuk dicita ulam mendatang kata orang.

****
Menggigil-gigil tangan Athia cuba meyematkan cebisan kain yang tertera nombor ahli rumah sukan pada bahagian belakang baju milik Hasriq. Dia mengetap bibir cuba menghilangkan rasa cemas yang bersarang dalam hati.
Setelah mencuba dua tiga kali akhirnya dia berjaya. “Dah.” Athia menghembus nafas lega. Selamat!
“Awak punya?”
“Hah?” Terangkat kening Athia.
“Nombor awak?”
“Ada.”
“Mana?”
“Ni.” Athia mengeluarkan potongan kain yang saiznya sama dari saku seluar track yang dipakainya.
“Bak sini.”pinta Hasriq.
“Buat apa?” berkerut dahi Athia tidak faham.
Hasriq segera mencapai helaian kain yang berada dalam genggaman Athia. Terpinga-pinga Athia dibuatnya.
“Pusing.” Perintah Hasriq.
Eeh! Suka-suka mak nenek dia jer nak mengarah-arahkan aku. Getus hati Athia. Tapi diam-diam dia membantah, diturutkan juga arahan Hasriq. Nasib baik juga refleksnya tak sama. Tidak terasa pun bila kain tersebut disematkan pada t-shirt yang dipakainya. Tahu-tahu,Hasriq kata dah okey.
Malam itu Athia tidak boleh tidur lena. Sekejap-sekejap badannya dipusing ke kiri kemudian ke kanan semula. Tak lama kemudian dia menelentang. Fikirannya asyik melayarkan wajah Hasriq. Tak boleh jadi ni, bisik hati kecil Athia. Sebentar kemudian dia mengambil diari yang diletakkan di bawah bantal. Helaian diari diselak satu persatu hingga tiba ke salah satu muka surat yang kosong.Dia mula menulis.

Diariku
Hendak gugurlah nangka
Jangan menimpa si dahan kayu
Hendak tidur ridurlah mata
jangan dikenang orang jauh
Tapi, aku bukan mengenang orang yang jauh, aku mengenang orang yang dekat.
Kenapalah aku tak boleh lupa? Kenapalah dia datang kepada aku? Cheh! Perasan! Dah nama satu pasukan, mahu tak mahu kenalah turut sama menyokong ahli pasukan masing-masing. Jadi, dia bukan sengaja nak datang, dia memang kena datang.
****
Mac 7
Berita mengejutkan. Rasa macam nak luruh jantung aku mendengar. Adira kata ada abang nama Hasriq sedang beromen dengan kakak nama Elisa dalam bas semasa outing? Euww! Biar betul! Hasriq yang lain kut? Tapi, rasanya sekolah ni mana ada pelajar yang berkongsi nama dengan Hasriq.
Siapa pula Elisa tu? Nama Elisa, mesti cantik orangnya macam namanya. Hasriq dan Elisa. Sedap jer kan menyebutnya. Cuba, Hasriq dan Athia? Tak sedap ker?
Sebelum tu, tadi Adira kata beromen? Huh! Kalau macam itulah perangai Hasriq, confirm reject!! Mulai hari ini aku tak mahu pandang muka dia lagi.

****
Sepasang mata redup milik Hasriq sedang memandang penuh asyik. Hati Athia berkocakan hebat di dalam tapi dia sedaya upaya buat tidak tahu saja. Malas dia hendak melayan lelaki itu.
Mahu menggoda aku kah? Desis hatinya. Huh! Sudahlah! Lelaki seperti Hasriq usah dilayan. Lembut lidah dari tulang. Bila bercakap, semut yang dipijak pun tak mati. Mujurlah dia jenis yang tidak mudah termakan dengan kata-kata manis.
“Tidak sudikah awak menerima bunga ini?”
“Awak bercakap dengan saya?”
Hasriq tersenyum menggoda.
Athia mengalihkan pandangannya. Entah kenapa dia merasa senyuman yang dilemparkan oleh Hasriq kepadanya tidak ikhlas.
“Okeylah. Saya nak naik bas. Awak pun tak ada apa nak cakap dengan saya kan?” Athia segera angkat kaki. Terasa marah juga di hati bila orang yang dimaksudkan Sari tadi ialah Hasriq. Buru-buru dia turun dari bas bila dikhabarkan ada orang hendak berjumpa dengannya.
Agh! Kalau si kasanova ini, buang masa aku saja.
“Athia, tunggulah dulu.” Hasriq cuba berlengah.
“Sebentar lagi bas ni nak bertolak. Saya tak mahu tertinggal.” Lebih-lebih lagi dengan kau, sambung Athia dalam hati.
“Apa-salahnya kalau tertinggal bas, saya kan ada?”
“Awak? Huh!” Athia mencemik sebelum melangkah masuk ke dalam bas yang membawa rombongan pelajar ke majlis amal dan konsert yang dianjurkan sempena menyambut hari guru.
Hasriq membuntuti langkah Athia, menaiki bas yang sama.
Sariwati cepat-cepat memberi laluan ketika terpandangkan wajah Athia yang mencuka. Memberi ruang duduk bersebelahan tingkap kepadanya.
“Sari, saya nak duduk kat sini?” pinta Hasriq yang tiba-tiba muncul di belakang Athia.
Tanpa menolak, Sari segera bangun.
“Sari?” Athia jadi ralat bila Hasriq mengambil tempat Sari untuk duduk di sebelahnya.
Sari angkat tangan sambil berkata, “Maaf, aku tak nak masuk campur, korang settle sendiri.”
Athia menjeling Sari yang sedang menggaru kepala mencari tempat duduk yang rata-rata sudah dipenuhi. Hati Athia jadi panas, nak settle apanya? Tak ada apa yang hendak diselesaikan dengan mamat ni! Dia memandang wajah Hasriq sekilas sebelum mengeluh. Bosan!
“Kenapa marah-marah ni?”
“Boleh tak jangan ganggu saya?”
“Okey, okey. Saya tak akan ganggu awak, tapi dengarlah cakap saya dulu.”
“Hah, apa dia?”
“Bunga yang sekuntum ni untuk awak.” Bunga telur dari majlis hari guru tadi diunjukkan.
Terangkat kening Athia. “Terima kasih, tapi saya tak nak.” Bunga telur? Aduhai!
“Awak tak nak tak apa, tapi…”
“Tapi apa lagi?!”
“Boleh tak kalau awak tolong saya bagi bunga yang sejambak ni pada Siti Amirah?”
Apa?! Athia tersentak. Tiba-tiba dia jadi malu.
Dia meneguk air liur. Oh, begitu rupanya. Bukanlah dia bermaksud untuk menggoda aku. Aku rupa-rupanya yang perasan. Rasa macam nak ketuk kepala sendiri pun ada.
“Oh! Okey.” Suara Athia jadi perlahan. Lebih-lebih lagi tatkala memandang jambak bunga ros putih dan merah itu.
“Terima kasih, saya hargai bantuan awak.”
“Tapi kenapa tak hantar sendiri?”
Hasriq tersenyum.
“Takut bunga ni layu kalau tak bagi hari ni.”
“Kenapa saya?”
“Awak kan satu dorm dengan dia?”
Ya tak ya jugak, fikir Athia seraya dia mengangguk. Namun begitu, hatinya tiba-tiba jadi sebu. Entah kenapa.  

May 16
Bunga telur? Bunga telur free lah wei, aku pun boleh ambik sendiri. Huh!
Tapi, aku tak boleh tipu betapa sedihnya hati ini. Kenapa pilih aku? Aku tak nak buat semua tu. Aku tak nak!! Aku tak mahu jadi pengantara. Janganlah babitkan aku.  
Jadi engkau nak apa sebenarnya Athia?

****
“Athia?”
Athia menoleh.
“Kejap Athia.” Hasriq berlari-lari anak mendapatkan Athia.
“Ada apa?” Tanya Athia nak tak nak.
“Boleh tak…” kata-kata Hasriq terhenti setakat itu bila Elisa muncul tiba-tiba dari  selekoh dan sedang berjalan melepasi mereka.
“Elisa!” panggil Hasriq.
Athia jadi angin. Ni nak cakap dengan aku ker apa ni? Segera dia angkat kaki. Tidak betah rasanya dia berada di sana menyaksikan drama entah apa apa entah antara Hasriq dan Elisa.
“Athia?” panggil Hasriq semula.
Athia menoleh sejenak sebelum berkata sinis. “Bila awak ada masa baru awak cari saya okey? Saya pun busy juga.”
Hasriq mengeluh. Dia tidak faham kenapa Athia bersikap begitu.

Salam Diari
Aku benci dia. Aku benci lelaki yang bernama Hasriq Hafizin. Benci!!!!!

***
Athia pandang Sabaruddin tak percaya.
“Betul Athia, aku tak bohong.”
“Macamana aku nak percaya?”
“Aku dah lama kenal dia, dulu kat sekolah lama dia memang ada girlfriend. Tapi, dah lama putus. Dia lelaki yang paling setia pernah aku kenal.”
“Setia? Macam tu yang kau gelar setia?”
“Apa-apapun cerita yang kau dengar tentang dia, itu semuanya tidak benar, Athia.”
“Kau best friend dia, mestilah kau sokong dia kan?”
“Athia..”
“Kenapa dia tak cakap sendiri?”
Sabaruddin jadi hilang kata-kata.

Dear Diary
Mengada-ngada lah dia tu. Dah ada girlfriend tapi ada hati nak mengorat aku. Pigidah!
Tapi, betulkah? Dia suka kat aku? Habis tu, Elisa? Macamana dengan Siti Amirah pula? Entah-entah dia sedang buat koleksi. Tak naklah aku jadi sebahagian daripada koleksi itu.

***
Kelas Kimia, subjek terakhir untuk hari itu. Kelas Cikgu Norihan.
“Hari ini kita ada kerja berpasangan.”
“Cikgu, saya nak berpasangan dengan Athia!” jerit Hasriq dari belakang serta-merta membuatkan Athia ternganga.
“Cikgu, saya tak..” tak sempat Athia menghabiskan ayatnya, Cikgu Norihan sudah memotong.
“Okey, Athia dan Hasriq, kamu satu kumpulan. Athia awak pergi duduk di sebelah Hasriq.”
Perlahan Athia angkat punggung. Rasa macam nak baling jer balang-balang yang ada dalam makmal itu bila melihat senyuman lebar yang dilemparkan Hasriq.
“Cepat, kita tak banyak masa ni. Okey seterusnya, siapa? Awak?” Cikgu Norihan meneruskan pembentukan kumpulan pelajar-pelajar dalam kelas tersebut.
Athia pandang wajah Hasriq yang sedang tersengih-sengih memerhatikannya. Aduh! Apalah malang nasib aku ni.

Dear Diary
Kenapa dia suka buat aku sakit hati. Aku tak suka duduk sebelah dia. Dia buat hati aku tidak tentu arah. Kenapa dia buat aku macam tu? Dia sengaja ker?

***
Petikan gitar akustik, memecah suasana hening dewan acara. Lagu asal kumpulan Febians ‘Penantian’ kini sedang berkumandang di udara. Versi Hasriq Hafizin.

Penantian satu penyiksaan
Dalam kebuntuan sebuah kesampaian
Di ulit sepi yang mencengkam
Bagaikan pungguk merindukan bulan purnama
Indahnya nun jauh di sana

Cintamu meraja di hati
Tiada istilah tandus lagi
Hanya takdir yang akan merestui
Pertemuan perpisahan ini

“Macamana nyanyian saya? Okey tak?” turun-turun aje Hasriq dari pentas dia terus mendapatkan Athia dan Sariwati.
“Okey sangat-sangat.” Puji Sariwati.
“Biasa jer.” Kata Athia membuatkan air muka Hasriq berubah.
Sari segera menyigung siku Athia. Athia mengerutkan dahinya.
“Lagu itu saya tujukan untuk awak, Athia.”
Ha? Athia terkedu.
Sariwati memandang Athia.
Apa? Athia menjegilkan matanya.

Salam Diari
Sedapnya suara dia. Walaupun aku kata biasa saja, tapi serius suara dia memang sedap. Cuma aku tak mampu meluahkannya. Tak tahu kenapa aku buat begitu. Sengaja menyakitkan hati dia. Dan , aku memang rasa bersalah sangat-sangat. Tapi, nak minta maaf tu…hmmm…macam beratlah. Apa yang harus aku lakukan?

***

Salam Diari
Kenapa dia cakap macam tu dengan aku ek? Tak mungkinlah dia betul-betul maksudkan dengan apa yang dia katakan. Aku mahu percaya tapi aku tidak berani. Oh hati, bertahanlah. Jangan percaya dengan dia. Dia cuma mahu menguji sahaja.

Terbayang di fikirannya insiden petang tadi. Dia baru sahaja berhajat ingin keluar dari bilik perpustakaan bila tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan Hasriq.
“Athia, saya nak cakap sesuatu dengan awak.”
“Hah?! Awak? Awak buat apa kat dalam tu?” Nasib baik aku tak kunci pintu ni lagi. Ingatkan semua orang dah keluar.
“Awak selalu mengelak, jadi saya fikir ini sahaja caranya.”
Berkerut-kerut dahi Athia mendengarnya.
“Saya takut sekiranya saya tak beritahu awak sekarang, saya akan menyesal buat selama-lamanya.”
Athia meneguk air liur. Hatinya sudah mula berdebar-debar. Apa benar apa yang sedang aku fikirkan? Hasriq sedang meluahkan isi hatinya pada aku. Inikah yang aku tunggu-tunggu sebenarnya.
“Hasriq, jangan.”
“Athia, saya sudah penat menyimpan. Biar saya teruskan. Sebenarnya, saya sukakan awak. Sangat-sangat!” Selesai sahaja Hasriq menghabiskan ayat yang terakhir, dia menghembus nafas lega.
Athia memejamkan mata. Buat seketika dia tidak tahu untuk berkata apa. Dia tidak bagaimana mahu menerimanya atau apa yang patut dia lakukan. Dia memandang wajah Hasriq yang juga hilang kata-kata. Akhirnya …
“Entah-entah dengan orang lain pun awak cakap benda yang sama, kan?” Dan Athia berlari meninggalkan Hasriq dengan air mata yang berjuraian. Dia sendiri tidak faham kenapa dia harus menangis.

Sejujur-jujurnya, aku pun nak sangat bagitahu pada dia…
Saya pun sukakan awak, Hasriq Hafizin! Walaupun saya bencikan awak, saya masih tetap tak boleh lupakan awak. Mungkin untuk selama-lamanya.
Tapi, aku tidak mampu berkata begitu.

***
“Athia? Cari apa tu?” tegur Sariwati bila melihat Athia terbongkok-bongkok menyelongkar almari.
“Diari aku.”
“Kau letak kat mana?”
“Semalam ada. Aku letak tempat biasa.”
“Kau tersalah letak kut. Mungkin kau dah pack dalam beg. Cepatlah. Ayah kau dah lama tunggu.”
“Mana perginya?” Athia masih tidak berpuas hati.
“Engkau bukannya tulis apa pun kat dalam tu kan?”
“Tak adalah sangat, tapi...” Lemah sahaja suara Athia.
“Aku sayang sangat dengan diari tu. Diari tu dah macam kawan baik aku. Banyak yang telah aku luahkan dalam tu. Rahsia hati aku. Tentang…” tentang Hasriq terutamanya. Kiranya kalau ada yang membacanya, habislah rahsia aku dari A to Z.
“Beli ajelah yang baru.” Gesa Sariwati.
Athia mengeluh. Tak apalah, hilang diari tu maknanya hilanglah Hasriq dari hidup aku. Lepas ini, entah berjumpa lagi tak. Nampaknya, aku kenalah kuburkan semua kisah-kisah hati aku itu bersama diari yang tiba-tiba lesap itu.
“Alah…kau mesti dah letak dalam beg lain, kau dah lupa.” Sariwati cuba meyakinkan Athia yang masih resah.
Tidak. Mesti ada yang sudah mengambilnya. Tapi siapa? Huh! Keluh Athia lagi. Nampaknya zaman persekolahan Athia berakhir dengan misteri. Misteri kehilangan diari. Diari yang penuh bunga-bunga cinta. Diari cinta Athia.

Sneak peak (Diari Cinta Athia -2)
“Awak masih simpan hobi lama awak?”
“Hobi lama?”
“Menulis.. dalam diari?”