AKU pandang Dayyan Waiz. Ini pertama kali aku menaiki kereta dia. Hari ini kami akan bercuti bersama-sama. Tapi, tak bolehlah hendak digelar cuti berbulan madu kerana anak-anak buah aku ada sekali. Lagipun, ini bukan percutian pilihan aku jadi aku merasa sedikit reluctant.
Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, aku angkat kedua-dua belah tapak tangan sambil membetulkan postur badan. Anak-anak buah aku turut melakukan benda yang sama. Aku kerling Dayyan Waiz dengan ekor mata. Dia sedang membetulkan tali pinggang keledar.
Hurmm ... aku baru hendak meminta Akmal membacakan doa naik kenderaan bila Dayyan Waiz berdehem dan memulakan bacaan.
"Subhana-alladhi sakh-khara la-na hadha wa ma kunna la-hu muqrinin. Wa inna ila Rabbi-na la munqolibuun."
"Segala puji bagi Allah, Maha suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya, dan hanya kepadaMu lah kami akan kembali." Bacaan diteruskan dengan terjemahan ayat.
Lelaki itu membalas kerlingan aku sambil mengenyitkan mata. Aku telan air liur sebelum memghela nafas, ingatkan dia tak perasan. Tentu dia fikir aku sedang menguji dia which is actually true. Banggalah tu sebab dia berjaya mematahkan salah sangka aku. Huh. Aku pula yang terasa malu.
D'Art More. Itulah nama penginapan yang ditempah Encik Suami. Setelah hampir sejam masa perjalanan, akhirnya kami tiba di hadapan sebuah bangunan apartment setinggi 50 tingkat. Bangunan berwarna merah kesumba tersebut kelihatan masih baru. Terdapat beberapa buah bangunan berhampiran yang masih dalam pembinaan.
Menurut Dayyan Waiz apartment yang disewanya itu berada di tingkat 13. Aku menyebut semula dalam hati. Tiga belas? Satu tiga? Kenapa tingkat 13? Aku agak fobia dengan nombor tersebut. Teringat kisah-kisah seram berkaitan dengan nombor 13. Contoh filem seperti Friday The 13th dan Thirteen Ghost. Eh, macam-macamlah.
Banyak sangat kalau hendak disenaraikan. Meremang bulu roma aku tiba-tiba. Nasib baiklah semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa tiga beradik yang nakal itu. Jadi aku tiada alasan hendak menolak.
Aku difahamkan sebahagian besar apartment yang terdapat di bangunan tersebut dijadikan homestay/staycation oleh pemilik mereka. Apartment-apartment ini sebenarnya lebih kepada service suite. Terdapat kemudahan kolam mandi, gym dan sebagainya. Sebab itulah, tempat tersebut dan jalan-jalan disekitarnya agak sesak lebih-lebih lagi pada hujung minggu.
Berdasarkan ulasan yang aku cari di talian internet, rata-rata mereka yang pernah menginap di tempat tersebut memberi komen yang baik. Owh ya. Aku cuma berkesempatan melakukan carian pada hari yang sama kami akan ke apartment tersebut. Itupun setelah aku memaksa Dayyan Waiz agar memberitahu aku nama tempat yang ditempahnya itu. Kalau tidak aku tidak akan turut serta dalam percutian ini.
"Mak Su, nak tengok..." Aidi merengek-rengek meminta kepada aku.
Anak buah aku ni, memang tak sempat-sempat membiarkan aku melakukan carian dengan sempurna. Laju sahaja tangan mereka menjulur mahu mencapai telefon bimbit yang berada dalam genggaman aku.
"Mak Su ... Mak Su..." Kerusi digoyang-goyangkan. Tak senang duduk aku.
Dayyan Waiz yang memandu di sebelah aku tak terkata apa melihat aku yang yang tidak menang tangan hendak melayan anak-anak buah. Peliknya, di hadapan aku sahaja mereka buat perangai yang sedemikian rupa, bila berada depan mak ayah mereka bukan main lagi behave.
"Biarlah Mak Su tengok dulu."
Tak sempat tangan aku menepis tangan-tangan kecil yang berebut-rebut mahu mendapatkan telefon bimbit milik aku. Harta tak seberapa milik aku sepantas kilat selamat berada dalam tangan Aidi.
Aku perasan Dayyan Waiz tersengih, lucu agaknya melihat kerenah anak-anak buah. Itu baru sedikit, tunggulah bila tiba giliran dia menjaga kanak-kanak riang yang tak reti duduk diam ni. Boleh menangis dibuatnya.
"Cantiknya."
Berlaga-laga kepala mereka menatap skrin telefon yang kecil itu. Teruja sungguh tatkala melihat gambar-gambar menarik yang dikongsikan oleh para penyewa apartmen berkenaan di media sosial. Dicuit-cuitnya bahu aku.
"Mak Su, Mak Su. Ada kolamlah ... bolehlah mandi." Aidi tunjukkan kepada aku gambar kolam mandi yang dimaksudkan. Ada dua buah kolam renang, satu tertutup dan yang satu lagi terbuka.
"Boleh 'kan, Mak Su?"
"Hurmmm..." balasku sambil mengangkat kening. Malas haih nak ke kolam renang tu. Tertutup atau yang terbuka, bukannya aku mandi pun, dok perhati dorang mandi je. Daripada duduk melangu memandang mereka mandi-manda, baiklah aku berenang di atas tilam.
"Mak Su ...u...u... malam nanti nak pergi taman ni tau." Giliran Aireen pula meminta hajat. Berlagu-lagu dia bersuara siap menghadiahkan aku senyuman semanis gula. Ingat aku boleh dikalahkan dengan hanya sebuah senyuman? No no no.
"Hurmmmmm ..." Satu harakat aku bagi. Tengoklah macam mana mood Mak Su korang ni. Kalau bagus, sedang elok, tak adalah Mak Su korang ni beralasan bagai. Tapi kalau mood ke laut, ke lautan mimpi sahajalah jawabnya.
"Korang tunggu dalam kereta kejap ye. Pak Su nak settle urusan dengan owner apartment." Kereta berhenti di salah satu kawasan parkir yang disediakan oleh pihak pengurusan.
Usai sahaja urusan Dayyan Waiz dengan pemilik apartment, kami bergegas menuju ke arah lif yang berdekatan. Aku menjangkakan tidak ramai orang yang menyewa pada waktu begini, bukan musim cuti sekolah dan bukan juga waktu-waktu peak.
Namun, ternyata jangkaan aku meleset sama sekali. Tempat ini rupa-rupanya amat popular dan menerima ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara. Tapi, kenapa aku tidak pernah mendengar nama tempat percutian ini di mana-mana laman sosial sebelum ini?
Hampir sejam lebih kami menunggu lif yang setiap kali tiba asyik penuh sahaja. Bayangkan lif itu cuma ada beberapa buah sahaja, dan yang menunggu giliran pula berpuluh-puluh orang dalam satu-satu masa. Kehadiran pula bukannya semakin berkurang tapi semakin bertambah. Penuh ruang legar berhadapan lif tersebut.
Ada sahaja pelancong baru yang datang. Yang menambah keperitan itu bila bangunan ini adalah bangunan 50 tingkat. Bayangkan bila lif itu berhenti di setiap tingkat, kau rasa? Seksanya aku dengan penantian ini. Itu sahaja yang termampu aku luahkan, namun di dalam hati cuma.
Setelah berjam kami menunggu. Setelah baju aku basah dek peluh yang menitis, setelah pening menyerang kepala dek bahang dan ruang yang semakin sempit, dan setelah sabarku hampir menipis di setiap detik yang berlalu. Lif tiba juga.
"Akhirnya," ucapku sepatah.
"Mak Su cepat masuk," seru anak-anak buah sebaik sahaja pintu lif terbuka. Sudah lama kami duduk menanti, berdiri betul-betul di hadapan pintu lif. Kalau tidak berjaya masuk ke dalamnya, tak tahulah aku hendak bereaksi bagaimana.
"Mak Su!" jerit Aidi seraya menarik lengan aku.
Lega terasa bila akhirnya kami berjaya menyusup masuk ke dalam lif. Aku sebenarnya sudah seperti cacing kepanasan menunggu di kalangan orang ramai yang berpusu-pusu keluar dan masuk ke ruangan sempit di hadapan lif tersebut.
Walaupun terdapat tiga buah lif yang tersedia namun hanya sebuah lif sahaja yang boleh membawa kami ke apartment yang ditempah. Nasib baiklah semua lif tersebut berfungsi dengan baik. Kalau salah satu daripadanya bermasalah, teruk juga kesudahannya. Siapa yang larat hendak menapak hingga ke tingkat yang paling atas?
"Unna." Dayyan Waiz menarik aku supaya rapat ke tubuhnya bila ruang di dalam lif semakin sesak. Aku menahan nafas sebaik sahaja lengannya melingkar tubuh aku. Hangat. Tiba-tiba teringat ciuman yang diberikan semasa dalam perjalanan ke KLIA tempoh hari. Isk!
Lif berhenti dan terbuka. Beberapa orang penghuni apartment melangkah masuk membuatkan kami yang berada di dalam terpaksa berundur ke belakang dan merapatkan diri sesama sendiri. Terasa seperti sardin dalam tin. Aku tak perasan di tingkat mana lif berhenti ketika itu tapi sesaknya sungguh terasa.
Anehnya, walaupun nafas aku sesak dengan ruang yang semakin sempit itu tapi aku terasa selamat bila berada di dalam pelukan Dayyan Waiz. Hurm... Memang aneh-aneh sahaja perasaan aku kebelakangan ini.
Tidak lama kemudian, kami tiba di tingkat 13. Bersesak lagi hendak keluar, dah kitorang macam melekat kat dinding sebelah dalam.
"Excuse me." Bodyguard kitorang bersuara sebaik sahaja pintu lif terbuka. Tangan dia mendepang seolah-olah membuka laluan untuk kami. Aku suka sangat bila Dayyan Waiz buat macam tu. Entah kenapa.
Berlari-lari anak buah aku keluar daripada perut lif.
"Nombor berapa Pak Su?" Akmal bertanya.
"1237," balas Dayyan Waiz lalu menyerahkan kad kunci kepada anak sulung Abang Long itu.
"Sini!" Jerit Aidi yang terlebih dahulu menjejak apartment berkenaan. Aireen turut berada di sisi.
Maka berlarilah Akmal mendapatkan adik-adiknya itu. Aku dan Dayyan Waiz ditinggalkan dengan beg-beg yang dibawa bersama tadi. Kami menapak tanpa bersuara hingga ke depan pintu apartment.
"Akhirnya," ucapku sekali lagi.
Sebaik sahaja kami masuk ke dalam apartment yang mempunyai dua buah bilik itu, aku terus melabuhkan diri ke atas sofa. Lenguh sendi-sendi kaki aku. Dayyan Waiz meletakkan barangan yang di bawa berhampiran dengan sofa.
Anak-anak buah pula terus meninjau kedua-dua bilik yang ada. Aku biarkan sahaja mereka memilih bilik yang mereka berkenan.
"Mak Su, Pak Su ... nak bilik ni tau."
Aku angguk. Bilik yang tinggal tu biar aku yang duduk seorang, Dayyan Waiz pula sila tidur di ruang tamu. Hehehe... Jangan terfikir hendak berebut-rebut dengan aku. Takut aku yang menang. Hik hik hik.
Lama juga aku perhatikan hiasan dalaman apartment tersebut. Cantik. Berseni. Aku suka. Apartment itu sudah dilengkapi dengan perabot. Mesin basuh dan peralatan memasak juga disediakan. Kiranya berbaloi dengan harga sewa.
Aku bangun lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Niat di hati hendak menunaikan solat Asar sebelum menyediakan makan malam. Puas aku mencari penunjuk arah kiblat. Biasanya di mana-mana hotel ada ditampalkan pelekat tersebut. Kalau tak dilekatkan pada siling, ia dilekatkan di dalam laci meja atau almari baju.
Aku keluar dari bilik, kelihatan Dayyan Waiz dan anak-anak buah duduk santai di ruang tamu, berkongsi makan 'jajan' sambil menonton rancangan yang disiarkan di kaca televisyen. Ewah ewah, kemain manja dan rapat lagi mereka dengan Encik Suami.
"Nampak tak?" Aku bertanya kepada Dayyan Waiz.
"Tak nampak," balas dia sebelum sempat aku memberitahu apa yang aku cari.
"Dayyan cuma nampak Unna je," sambung dia lagi.
Eh! Spontan mata aku mengecil. Pick-up line ke apa tu? Bibir aku terherot. Kalau betul pick-up line, mana senyuman manis dan sengih-sengih gatal yang biasa ditunjukkan sekali bila ayat-ayat tersebut dilontarkan?
"Penunjuk arah kiblat," balasku.
"Download je apps tu ..." Senang betul dia memberikan jawapan.
Aku tersentap. Akupun tahulah ... kalau setakat memuat-turun aplikasi yang dimaksudkan. Tapi, manalah aku terfikir tentang aplikasi tersebut ... tadi. Lagipun, bukankah pemilik apartment ini sepatutnya menyediakan kemudahan itu sekali.
"Buatnya orang tua yang datang menyewa, mana nak reti download semua tu. Bukannya susah pun nak lekatkan penunjuk tu, kan?" kataku tak puas hati, dan yang sebenarnya tak mahu mengalah. Memang patut apa, pemilik rumah memudahkan mereka yang menyewa kediaman.
"Unna dah tua ke?" perli Dayyan Waiz.
Anak-anak buah aku sudah terkekek-kekek. Haih!
"Mak Su tak nak masak untuk korang," ugut aku kepada anak-anak buah sambil menjegilkan mata. Itu sahajalah modal yang aku ada untuk menang ketika ini. Tapi, semakin galak mereka menggelakkan aku.
"Pak Su ada ... Pak Su pandai masak. Betul tak Pak Su?"
Dayyan Waiz sudah tersengih-sengih. Anak-anak buah siap memeluk lengan dia sambil merapatkan jarak antara mereka walaupun terpaksa duduk berhimpit di atas sofa yang sempit itu.
Huh! Pergilah korang dekat dia. Bukan main anak-anak buah aku ni, boleh pula mereka menangkan Dayyan Waiz berbanding aku. Bukankah aku ni Mak Su mereka yang original? Aku julingkan mata ke langit sebelum melangkah masuk ke dalam bilik semula. Geram.
"Unna," panggil Dayyan Waiz.
Rupanya tanpa aku sedar, dia mengekor aku daripada belakang. Namun, aku biarkan saja panggilan itu tidak bersahut. Aku tiada mood hendak bergurau-gurau sekarang. Ada juga yang aku debik sekali nanti.
"Unna," seru Dayyan Waiz lagi. Kali ini dia menarik lengan baju aku menyebabkan aku berpaling menghadap dia.
"Kiblat menghala ke sana," ujar dia memandang aku tunak. Jemari mengunjuk ke salah satu sudut bilik tersebut.
Aku menunggu patah bicara yang seterusnya.
"Tak perlu download aplikasi tu, Dayyan punya ada."
Telefon bimbit milik dia segera diunjukkan kepada aku. Tapi, aku ... hurm ... Beginilah, macam acuh tak acuh hendak menerima.
"Tak apalah, biar Dayyan bentangkan tikar sejadah untuk Unna." Tanpa menunggu jawapan aku, dia mengambil sejadah lalu membentangkannya berpandukan arah yang diberi oleh aplikasi yang berkenaan.
Ermmm ... Aku terdiam, terkedu sejenak. Perasaan aneh itu datang lagi, menjalar ke seluruh tubuh membuatkan aku merasa seram sejuk. Rasa terharukah itu? Patutkah aku merasa begitu? Dan kenapa, aku tiba-tiba rasa dia begitu sweet sangat.
"Jangan lupa doakan Dayyan sekali," pesan dia sebelum merapatkan daun pintu bilik.
Senyuman yang dilemparkan membuatkan hati aku spontan membalas, Dayyan Waiz, nama awak akan sentiasa ada di dalam setiap doa-doa aku. Eh! Aku dah kenapa?