Isnin, 21 September 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Bhg 1



SATU kerja pun tak boleh hendak dilangsaikan. Mataku membuntang mengadap paparan skrin komputer yang tidak bergerak, pegun sejak dari mula aku memasukkan kata laluan hinggalah ke saat ini. Kecil besar kecil besar anak mata aku. Macamlah komputer itu faham kalau aku jegil-jegilkan mata aku sampai tersembur keluar sekalipun.
Tiba-tiba aku terpandang wajah sendiri pada cermin kecil yang sesekali aku guna untuk menilik penampilan diri. Woit, mata buntang aku! Aduhai, bulatnya mata. Baru perasan, patutlah tak ada siapa pun berani tegur aku pagi-pagi ini.
Aku urut pelipis yang sudah mula berdenyut-denyut, stress. Macam-macam sumpah seranah bersusun dalam minda menunggu giliran untuk dimuntahkan. Geram betul memikirkan makluman yang diberi oleh unit IT yang memberitahu bahawa email server akan down sepanjang hari. Sudahlah kerja aku yang memang sebahagian besarnya memerlukan emel untuk berkomunikasi. Habis terbengkalai semuanya.
Argh! Keluhan aku lepaskan sedas. Teringatkan kata-kata anak buah aku, si cilik Adi yang berusia 6 tahun.
“Acik Naurah, kenapa nak marah-marah ni? Sabar itu ‘kan separuh daripada iman.” Terbayang wajah dia yang menuturkan ayat tersebut dengan muka yang tak bersalah, selepas aku membebel melihat permainan yang bersepah menghias empat penjuru ruang tamu.
Nasib baiklah hari ini aku sedang berpuasa. Niat menggantikan puasa yang harus dibayar, memandangkan bulan puasa akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Jadi darjah kemarahan itu masih berupaya untuk aku kawal dari terus meledak. Kalau tidak, entah siapa-siapa entah jadi mangsa hambur aku.


Lama aku menopang dagu memandang skrin bila aku perasan kelibat seorang pemuda yang tidak aku kenali berulang alik melewati kubikelku.  Intern? Dua tiga bulan ini, ramai sahaja muka baru muncul silih berganti. Musim intern menjalankan latihan praktikal mereka.
Pemuda berkaca mata yang berambut gaya-gaya urban itu mengenakan kemeja berwarna biru laut dengan slack hitam. Tiba-tiba dia berhenti sejenak di hadapan kubikel aku, jari telunjuk menguis kening memikirkan sesuatu agaknya. Seketika kemudian dia meneruskan langkah ke arah meja milik Kak Sarah. 
Aku lihat dia memeriksa CPU milik Kak Sarah. Mungkin pemuda itu merupakan salah seorang daripada pekerja vendor yang diupah untuk menukar komputer milik pekerja syarikat. Itupun, aku lihat ada beberapa orang lain yang sibuk mengendalikan pemasangan komputer dari unit ke unit.
Siapapun mereka, tidaklah aku pedulikan sangat sebab hati sedang mendongkol marah memikirkan laporan yang perlu aku hantar menjelang petang nanti. Padan muka aku! Buatlah kerja last minute lagi, hah bukankah dah menggelabah sekarang? Minta-minta alasan server down ni cukup untuk menyelamatkan aku dari disembur oleh setiausaha Encik Akil yang sejak dari semalam sibuk mengejar aku.
Laporan yang hampir 90% siap itu sepatutnya sudah boleh dihantar tengah hari nanti kalau tidak kerana sistem baru yang tiba-tiba buat hal. Sistem baru yang kononnya mampu mempercepatkan proses. Cepatlah sangat! Melambatkan lagi adalah. Kalau dahulu tanpa menggunakan sistem baru ini, sepuluh kes mampu disiapkan dalam tempoh kurang sehari. Kini, dengan sistem baru ini, lima kes berjaya disiapkan pun sudah kira bagus.
Sudahnya aku cuma mampu buat filing dan kerja-kerja tidak berapa penting untuk mengisi baki waktu bekerja hari ini. Tak kisahlah, rezeki akulah kot. Boleh cepat balik dan berbuka puasa di rumah. Tiba-tiba terbayangkan sayur pucuk rebung masak lemak dan ikan pekasam dimakan dengan nasi panas-panas. Urgh! Kecur air liur bila mengingatkan itu.
“Kak.” Tiba-tiba aku ditegur pemuda berkemeja biru dan bercermin mata yang tadi lalu lalang di hadapan aku.
Aku angkat muka, bola mata seakan mahu tersembul keluar dari sarungnya. Hilang terus bayangan ikan pekasam dan nasi putih yang berlegar-legar di ruang mata tadi.
“Perasan tak komputer baru yang kawan saya letak dekat sini?” Dia mengunjuk ruang kosong berhampiran.
Wajah cuak si pemuda yang penuh tanda tanya itu mengisi ruang mata. Mulut sudah senget sebelah. Bukankah ramai sahaja pekerja syarikat yang ada ketika ini? Kenapa memilih aku untuk bertanya? Apa, ada tertulis kaunter pertanyaan pada dahi aku?
Mata dia sudah terkebil-kebil. Sungguh menguji kesabaran aku. Tiba-tiba hati jadi sakit semula. Datang menderu tanpa dipinta.
“Tak ada,” jawabku pendek tanpa nada lalu menundukkan kepala.
Dia pandang keliling sambil meninjau beberapa buah kotak berisi komputer baru yang ada. Aku perhatikan sahaja tingkahnya melalui ekor mata. Tidak puas hati barangkali mendengar jawapan yang aku berikan tadi.
“Sepatutnya ada satu lagi, untuk akak.” Matanya menyapu wajah aku sekilas sebelum tertancap pada badan komputer aku yang bertanda. Ditanda sebab komputer aku juga termasuk dalam senarai perkakasan yang perlu diganti atau ditukar baru.
Untuk aku? Giliran mata aku pula yang jadi terkebil-kebil. Huh, sungguhlah bukan rezeki aku. Tiada jodoh agaknya aku dengan komputer baru. Terasa seperti dejavu pun ada. Selepas beberapa kali terkena, rasa teruja itu semakin berkurangan malah mungkin sudah hilang langsung.
Mana tidaknya bos sudah beberapa kali berjanji hendak menukar komputer milik aku dengan yang baru. Pertama kali dijanjikan, bukan main lagi aku teruja melihat kotak-kotak berisi komputer baru model terkini. Alih-alih dapat CPU sahaja. Itupun, cuma ditambahkan memori sahaja, ekstra 1GB. Okeylah, daripada tidak ada. Tidaklah kelajuan sistem komputer aku itu bergerak macam siput. Kadang-kadang tu jari aku lagi laju daripada komputer itu sendiri. 
Kali kedua, janji yang sama. Aku bakal mendapat komputer baru model yang paling terkini, baru muncul di pasaran. Kira macam batch pertama. Alih-alih dapat monitor sahaja, itu pun monitor dari model keluaran tahun lepas. Komputer baru yang sepatutnya jadi milik aku sudah jatuh ke tangan orang lain. Pekerja seksi kesayangan bos, setiap tahun komputer dia tidak pernah tidak bertukar. Huh, nak cemburu pun tak boleh, dah memang kesayangan bos. Untunglah, ada orang sayang.
Okeylah, abaikan saja yang itu. Alkisahnya, dulu monitor saiz televisyen lama berbonggol itulah yang menghias megah meja aku. Kini ditukar dengan monitor bersaiz nipis, syukurlah walaupun bukan dari versi yang terkini. Bolehlah join member lain yang lebih dahulu dapat monitor spesis yang sama. Hah, kalau tidak janggal jugalah. Terasa macam dianak tirikan pun ada. Mentang-mentanglah aku tak kisah, yalah dengan komputer cabuk tu pun aku boleh siapkan kerja secepat mereka yang menggunakan komputer baru. Apa ada hal? Berlagak pula aku ni…heh! Turun, turunkan ego tu. Jangan riak.
“Betulkah, kak?” tanya pemuda itu lagi.
Terencat lamunan. Mata saling bertentangan. Dahi aku sudah berlapis. Aku nampak macam menipukah? Aku diam sejenak, berfikir mahu menjawab secara sarkastik. Kalau memilih begitu, nampak sangat aku jenis yang tidak bijak mengawal emosi. Tapi, rasanya kalau melihat wajah dan reaksi aku sekarang, kucing yang jinak pun boleh berdesup lari.
Kepala aku geleng sambil meneruskan kerja tidak berapa penting yang sedang aku buat sekarang ini. Pemuda itu melepaskan keluhan. Entah sebab sikap endah tidak endah aku atau memang sebab kotak komputer baru yang dicari itu sudah hilang entah ke mana.
Malangnya, aku tidak ada masa mahu memikirkan semua itu. Sebab minda sarat dengan laporan yang bila entah akan berjaya aku hantar, juga memikirkan alasan sewajarnya atas keterlewatan untuk menghantar laporan tersebut sebelum tarikh akhir.
Telefon milik aku berdering sekali, tanda ada pesanan masuk.
“Jom, makan tengah hari,” ajak kawan-kawan aku. Pesanan yang dihantar melalui grup whatsapp.
Eloklah pun dari melayan hati yang resah. Lebih baik melayan perut yang lapar ‘kan? Akhirnya, aku pergi meninggalkan meja dan tugasan yang terbengkalai sejak pagi.


Raut wajah yang indah,
kenapa dibiar masam mencuka

Uik! Siapa punya kerja ni? Aku tarik sticky note yang sengaja dilekatkan pada badan tetikus. Banyak-banyak tempat, badan tetikus itulah tempat dia nak tepek. Huh. Berkerut dahi aku ketika membaca semula nota itu. Aku tak kenal tulisan itu milik siapa.
Aku toleh kiri dan kanan, cuba meneka siapa gerangan punya kerja. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Mata aku tiba-tiba tertancap pada tubuh seorang pemuda yang tidak kukenal berada di meja Kak Sarah. Sungguh aku tak kenal. Tak mungkinlah dia, nampak macam tekun menyiapkan tugasan saja. Lagipun, kenapa dia nak suka-suka bagi nota kepada aku?
Kebetulan pula pemuda berkaca mata itu sedang menghala ke arah aku. Mungkinkah dia?
“Awak,” tegur aku.
“Ya?” Dia berhenti serta-merta di hadapan aku, menunggu kata-kata selanjutnya keluar dari bibir aku.
“Err.. tak ada apa-apa.” Niat aku terbantut sebaik sahaja melihat wajah dia. Sticky note yang kupegang aku sumbatkan ke dalam laci. Aku simpan dululah misteri si pengirim nota itu. Sekarang ini, aku ada misi lain. Menyiapkan tugasan yang dikejar waktu. Benci wei, kerja yang terkejar-kejar ni. 

1 comments:

nazira azwa berkata...

Intro yg menarik..
T'tnya2 sapa peminat misteri Naurah n..!!

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p