SATU kerja pun tak boleh hendak dilangsaikan. Mataku
membuntang mengadap paparan skrin komputer yang tidak bergerak, pegun sejak dari
mula aku memasukkan kata laluan hinggalah ke saat ini. Kecil besar kecil besar
anak mata aku. Macamlah komputer itu faham kalau aku jegil-jegilkan mata aku
sampai tersembur keluar sekalipun.
Tiba-tiba aku terpandang wajah sendiri pada cermin kecil
yang sesekali aku guna untuk menilik penampilan diri. Woit, mata buntang aku!
Aduhai, bulatnya mata. Baru perasan, patutlah tak ada siapa pun berani tegur
aku pagi-pagi ini.
Aku urut pelipis yang sudah mula berdenyut-denyut, stress. Macam-macam sumpah seranah
bersusun dalam minda menunggu giliran untuk dimuntahkan. Geram betul memikirkan
makluman yang diberi oleh unit IT yang memberitahu bahawa email server akan down
sepanjang hari. Sudahlah kerja aku yang memang sebahagian besarnya memerlukan
emel untuk berkomunikasi. Habis terbengkalai semuanya.
Argh! Keluhan aku lepaskan sedas. Teringatkan kata-kata
anak buah aku, si cilik Adi yang berusia 6 tahun.
“Acik Naurah, kenapa nak marah-marah ni? Sabar itu ‘kan
separuh daripada iman.” Terbayang wajah dia yang menuturkan ayat tersebut
dengan muka yang tak bersalah, selepas aku membebel melihat permainan yang
bersepah menghias empat penjuru ruang tamu.
Nasib baiklah hari ini aku sedang berpuasa. Niat
menggantikan puasa yang harus dibayar, memandangkan bulan puasa akan menjelang
tiba tidak berapa lama lagi. Jadi darjah kemarahan itu masih berupaya untuk aku
kawal dari terus meledak. Kalau tidak, entah siapa-siapa entah jadi mangsa
hambur aku.
Lama aku menopang dagu memandang skrin bila aku perasan
kelibat seorang pemuda yang tidak aku kenali berulang alik melewati
kubikelku. Intern? Dua tiga bulan ini, ramai sahaja muka baru muncul silih
berganti. Musim intern menjalankan
latihan praktikal mereka.
Pemuda berkaca mata yang berambut gaya-gaya urban itu
mengenakan kemeja berwarna biru laut dengan slack hitam. Tiba-tiba dia berhenti
sejenak di hadapan kubikel aku, jari telunjuk menguis kening memikirkan sesuatu
agaknya. Seketika kemudian dia meneruskan langkah ke arah meja milik Kak
Sarah.
Aku lihat dia memeriksa CPU milik Kak Sarah. Mungkin pemuda
itu merupakan salah seorang daripada pekerja vendor yang diupah untuk menukar komputer milik pekerja syarikat.
Itupun, aku lihat ada beberapa orang lain yang sibuk mengendalikan pemasangan
komputer dari unit ke unit.
Siapapun mereka, tidaklah aku pedulikan sangat sebab hati
sedang mendongkol marah memikirkan laporan yang perlu aku hantar menjelang
petang nanti. Padan muka aku! Buatlah kerja last
minute lagi, hah bukankah dah menggelabah sekarang? Minta-minta alasan server down ni cukup untuk menyelamatkan
aku dari disembur oleh setiausaha Encik Akil yang sejak dari semalam sibuk
mengejar aku.
Laporan yang hampir 90% siap itu sepatutnya sudah boleh
dihantar tengah hari nanti kalau tidak kerana sistem baru yang tiba-tiba buat
hal. Sistem baru yang kononnya mampu mempercepatkan proses. Cepatlah sangat!
Melambatkan lagi adalah. Kalau dahulu tanpa menggunakan sistem baru ini,
sepuluh kes mampu disiapkan dalam tempoh kurang sehari. Kini, dengan sistem
baru ini, lima kes berjaya disiapkan pun sudah kira bagus.
Sudahnya aku cuma mampu buat filing dan kerja-kerja tidak berapa penting untuk mengisi baki
waktu bekerja hari ini. Tak kisahlah, rezeki akulah kot. Boleh cepat balik dan
berbuka puasa di rumah. Tiba-tiba terbayangkan sayur pucuk rebung masak lemak
dan ikan pekasam dimakan dengan nasi panas-panas. Urgh! Kecur air liur bila
mengingatkan itu.
“Kak.” Tiba-tiba aku ditegur pemuda berkemeja biru dan bercermin
mata yang tadi lalu lalang di hadapan aku.
Aku angkat muka, bola mata seakan mahu tersembul keluar
dari sarungnya. Hilang terus bayangan ikan pekasam dan nasi putih yang
berlegar-legar di ruang mata tadi.
“Perasan tak komputer baru yang kawan saya letak dekat
sini?” Dia mengunjuk ruang kosong berhampiran.
Wajah cuak si pemuda yang penuh tanda tanya itu mengisi
ruang mata. Mulut sudah senget sebelah. Bukankah ramai sahaja pekerja syarikat
yang ada ketika ini? Kenapa memilih aku untuk bertanya? Apa, ada tertulis
kaunter pertanyaan pada dahi aku?
Mata dia sudah terkebil-kebil. Sungguh menguji kesabaran
aku. Tiba-tiba hati jadi sakit semula. Datang menderu tanpa dipinta.
“Tak ada,” jawabku pendek tanpa nada lalu menundukkan
kepala.
Dia pandang keliling sambil meninjau beberapa buah kotak
berisi komputer baru yang ada. Aku perhatikan sahaja tingkahnya melalui ekor
mata. Tidak puas hati barangkali mendengar jawapan yang aku berikan tadi.
“Sepatutnya ada satu lagi, untuk akak.” Matanya menyapu
wajah aku sekilas sebelum tertancap pada badan komputer aku yang bertanda.
Ditanda sebab komputer aku juga termasuk dalam senarai perkakasan yang perlu
diganti atau ditukar baru.
Untuk aku? Giliran mata aku pula yang jadi terkebil-kebil. Huh, sungguhlah bukan rezeki aku. Tiada jodoh
agaknya aku dengan komputer baru. Terasa seperti dejavu pun ada. Selepas
beberapa kali terkena, rasa teruja itu semakin berkurangan malah mungkin sudah hilang
langsung.
Mana tidaknya bos sudah beberapa kali berjanji hendak menukar
komputer milik aku dengan yang baru. Pertama kali dijanjikan, bukan main lagi
aku teruja melihat kotak-kotak berisi komputer baru model terkini. Alih-alih
dapat CPU sahaja. Itupun, cuma ditambahkan memori sahaja, ekstra 1GB. Okeylah,
daripada tidak ada. Tidaklah kelajuan sistem komputer aku itu bergerak macam
siput. Kadang-kadang tu jari aku lagi laju daripada komputer itu sendiri.
Kali kedua, janji yang sama. Aku bakal mendapat komputer
baru model yang paling terkini, baru muncul di pasaran. Kira macam batch pertama. Alih-alih dapat monitor
sahaja, itu pun monitor dari model keluaran tahun lepas. Komputer baru yang
sepatutnya jadi milik aku sudah jatuh ke tangan orang lain. Pekerja seksi
kesayangan bos, setiap tahun komputer dia tidak pernah tidak bertukar. Huh, nak
cemburu pun tak boleh, dah memang kesayangan bos. Untunglah, ada orang sayang.
Okeylah, abaikan saja yang itu. Alkisahnya, dulu monitor
saiz televisyen lama berbonggol itulah yang menghias megah meja aku. Kini ditukar
dengan monitor bersaiz nipis, syukurlah walaupun bukan dari versi yang terkini.
Bolehlah join member lain yang lebih
dahulu dapat monitor spesis yang sama. Hah, kalau tidak janggal jugalah. Terasa
macam dianak tirikan pun ada. Mentang-mentanglah aku tak kisah, yalah dengan komputer
cabuk tu pun aku boleh siapkan kerja secepat mereka yang menggunakan komputer
baru. Apa ada hal? Berlagak pula aku ni…heh! Turun, turunkan ego tu. Jangan
riak.
“Betulkah, kak?” tanya pemuda itu lagi.
Terencat lamunan. Mata saling bertentangan. Dahi aku
sudah berlapis. Aku nampak macam menipukah? Aku diam sejenak, berfikir mahu
menjawab secara sarkastik. Kalau memilih begitu, nampak sangat aku jenis yang
tidak bijak mengawal emosi. Tapi, rasanya kalau melihat wajah dan reaksi aku
sekarang, kucing yang jinak pun boleh berdesup lari.
Kepala aku geleng sambil meneruskan kerja tidak berapa
penting yang sedang aku buat sekarang ini. Pemuda itu melepaskan keluhan. Entah
sebab sikap endah tidak endah aku atau memang sebab kotak komputer baru yang
dicari itu sudah hilang entah ke mana.
Malangnya, aku tidak ada masa mahu memikirkan semua itu.
Sebab minda sarat dengan laporan yang bila entah akan berjaya aku hantar, juga memikirkan
alasan sewajarnya atas keterlewatan untuk menghantar laporan tersebut sebelum
tarikh akhir.
Telefon milik aku berdering sekali, tanda ada pesanan
masuk.
“Jom, makan tengah hari,” ajak kawan-kawan aku. Pesanan
yang dihantar melalui grup whatsapp.
Eloklah pun dari melayan hati yang resah. Lebih baik
melayan perut yang lapar ‘kan? Akhirnya, aku pergi meninggalkan meja dan
tugasan yang terbengkalai sejak pagi.
Raut wajah yang indah,
kenapa dibiar masam
mencuka
Uik! Siapa punya kerja ni? Aku tarik sticky note yang sengaja dilekatkan pada badan tetikus.
Banyak-banyak tempat, badan tetikus itulah tempat dia nak tepek. Huh. Berkerut
dahi aku ketika membaca semula nota itu. Aku tak kenal tulisan itu milik siapa.
Aku toleh kiri dan kanan, cuba meneka siapa gerangan
punya kerja. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Mata aku tiba-tiba
tertancap pada tubuh seorang pemuda yang tidak kukenal berada di meja Kak
Sarah. Sungguh aku tak kenal. Tak mungkinlah dia, nampak macam tekun menyiapkan
tugasan saja. Lagipun, kenapa dia nak suka-suka bagi nota kepada aku?
Kebetulan pula pemuda berkaca mata itu sedang menghala ke
arah aku. Mungkinkah dia?
“Awak,” tegur aku.
“Ya?” Dia berhenti serta-merta di hadapan aku, menunggu
kata-kata selanjutnya keluar dari bibir aku.
“Err.. tak ada apa-apa.” Niat aku terbantut sebaik sahaja
melihat wajah dia. Sticky note yang
kupegang aku sumbatkan ke dalam laci. Aku simpan dululah misteri si pengirim nota
itu. Sekarang ini, aku ada misi lain. Menyiapkan tugasan yang dikejar waktu.
Benci wei, kerja yang terkejar-kejar ni.
1 comments:
Intro yg menarik..
T'tnya2 sapa peminat misteri Naurah n..!!
Catat Ulasan
Komen pembaca yg comel...;p