Khamis, 23 Mei 2013

Cerpen: Selepas Hujan





ELLIZA pandang keadaan di luar kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam itu. Hujan lebat sedang turun mencurah-curah bagai tidak mahu berhenti. Malam pula semakin larut. Dia mengeluh. Selepas melunaskan harga barang yang dibeli, dia melangkah keluar. Angin dengan pantas menampar pipi sebaik sahaja dia membuka pintu kaca. Loceng yang tersangkut pada daun pintu berdenting dua tiga kali.
Jam di lengan dicuri pandang. Hampir menjejak 10 malam. Rasa sejuk dan dingin segera mengulit tubuh.  Lama juga dia berdiri di kaki lima menanti kalau-kalau hujan itu reda. Tapi sebaliknya berlaku, makin lama makin lebat pula hujan itu. ‘Nampaknya aku harus meredah hujan. Kalau nak tunggu hujan itu berhenti, entah bila-bila. Lagipun jarak kereta yang aku parkir dengan tempat aku berada tidaklah jauh mana. Cumanya, dengan keadaan cuaca yang begini, aku masih akan basah lenjun bila aku selamat tiba di kereta aku.’
Elliza membuka payung yang dibawa dan cuba melangkah dengan seberapa pantas yang boleh. Angin yang berhembus kuat dan jalan yang becak menyukarkan pergerakannya. Baru separuh jalan, tiba-tiba tubuhnya dilanggar dengan kuat oleh seseorang. Payung yang  berada dalam genggaman hampir terlepas kalau tidak dihalang oleh orang yang melanggar itu. Elliza terdorong ke tepi sedikit.
Belum pun sempat  dia menghilangkan rasa terkejut yang hadir, dia terpempan pula bila tangan sasa milik orang yang melanggarnya itu tiba-tiba menggengam pergelangan tangannya yang sedang memegang kaki payung. Payung direndahkan, mungkin mahu mengelak dari dilihat. Sebelah tangan lelaki itu pula menutup mulut Elliza.
“Senyap kalau tidak mahu diapa-apakan. Ikut sahaja arahan aku.” Lelaki itu bersuara begitu hampir di telinga Elliza. Separuh berbisik tapi kedengaran seperti satu ancaman pada gadis itu.
Elliza terpaku.  Lelaki itu memeluknya kejap sekali sebelum beralih ke kawasan terlindung. Di bawah sepohon kayu yang letaknya tidak jauh dari tempat Elliza memarkir kereta. Sejurus kemudian kelihatan dua-tiga orang lelaki tiba-tiba muncul dari sebuah lorong berdekatan. Berlari pantas seperti sedang mengejar seseorang. Ada yang sedang memegang batang besi, yang lain pula dengan kayu besbol. Diakah yang dikejar mereka?
“Shhh…” Lelaki itu memberi amaran. Tangannya masih melekap pada mulut Elliza.
Elliza cuba mencuri pandang wajah lelaki itu tapi agak sukar.
“Kereta awak mana? Bak kunci.”
Gopoh-gapah Elliza mencapai kunci dari poket seluar. Belum sempat dia menghulurkan pada lelaki itu, dia terlebih dahulu merampas kunci tersebut dari genggaman.
Twit. Twit. Punat alat penggera ditekan.  Lampu kereta menyala dan pantas lelaki itu mengheret Elliza.
“Cepat masuk dan jangan cuba bertindak bodoh.” Elliza ditolak masuk ke bahagian duduk pemandu.
‘Haruskah aku melarikan diri sekarang?’ Dalam Ellliza berfikir-fikir itu lelaki tersebut sudah pun  masuk lalu duduk di sebelahnya.
“Awak pandu. Amaran sekali lagi. Jangan cuba melakukan sesuatu yang bodoh, aku bukannya orang yang baik!” Suaranya kedengaran serak-serak kasar seperti sedang menahan sakit.
Ketika lelaki itu menyerahkan kunci kereta, Elliza perasan akan darah yang melekat pada jari-jemarinya. Elliza pandang wajah lelaki itu sekilas. Serta-merta wajahnya bertukar pucat. ‘Aku kenal dia!’

***
Imbas kembali ….tujuh tahun yang lalu.
“PERGI. Jangan usik dia.”
Elliza menoleh. Zaid dan dua orang rakan subahatnya turut sama menoleh ke arah suara yang menerjah. Suara Firdaus yang datang bersama dengan sebatang kayu.
“Hai, Fir! Kau ada hati dengan dia?” Zaid menarik Elliza rapat sebelum mencium rambut gadis itu. Firdaus dikerling. Sengaja.
Elliza meronta cuba melepaskan diri dari genggaman Zaid.
“Lepaskan dia.” Suara Firdaus kedengaran tenang-tenang saja.
“Ala… kau boleh je makan dengan kami sama-sama. Apa salahnya kongsi-kongsi.” Zaid masih berdegil. Dua orang rakan subahatnya itu cuma memerhatikan saja sambil tergelak-gelak.
“Jangan kata aku tak bagi amaran.” Ujar Firdaus lagi semakin menghampiri.
Zaid mengheret Elliza ke belakang. Dua orang konconya menapak ke depan. Firdaus menghayun kayu yang dibawanya bersama pada salah seorang konco Zaid sebelum menghadiahkan tendangan padu pada bahagian dada yang seorang lagi. Kedua-duanya jatuh rebah ke bumi menahan kesakitan.
“Eliza, kau pergi sekarang.” Pandangan tajam dilontarkan pada Zaid.
Elliza merenggut kasar lengannya hingga terlepas dari genggaman Zaid. Wajah Firdaus dipandang. “Fir..”
“Sekarang!”
“Tapi..”
“Pergi sekarang! Sekarang aku kata!” jerit Firdaus buat hati Elliza berdetak.
Come on Fir. Takkanlah pasal perempuan ni kau nak …” Zaid cuba berlembut.
Belum sempat ayat itu dihabiskan sebiji penumbuk singgah pada muka si penuturnya.

***
HUJAN masih belum reda. Basikal yang ditunggangnya tadi ditinggalkan di bawah pohon kelapa berdekatan. Beberapa biji buah kelapa tua kelihatan terbiar di sekitarnya.
“Mak aku sedang sakit, El. Aku tak mahu melakukan semua ini. Ayah aku tidak pernah ambil tahu tentang kami sekeluarga. Kalau bukan aku siapa lagi yang harus menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.”
“El tahu. Tapi tidak ada cara lain kah?” Elliza membetulkan duduknya di atas pangkin. Makanan yang dibawanya tadi diletakkan di atas sebuah meja kecil berhampiran.
“Selepas mak aku sihat, aku akan tinggalkan semua ini. Aku akan menyambung semula pelajaran aku yang terkandas.”
“Tapi, kerja ni..”
“Aku tahu.” Pantas Firdaus memotong.
Elliza terdiam. Dia bangun lalu masuk ke dalam rumah bersama makanan yang dibawa tadi. Firdaus masih lagi duduk termangu. Sawah bendang yang terbentang luas di hadapan rumahnya itu dipandang kosong.
Hujan yang turun semakin reda, yang tinggal cuma gerimis.
“Aku nak beransur. Jangan lupa bagi mak dan adik-adik engkau makan. Lauk-pauk yang aku bawa tadi, aku dah letak kat dapur,” kata Elliza selepas menjenguk ibu Firdaus.
“Terima kasih El. Jasa baik kau sekeluarga tak akan mampu aku balas.”
Elliza tersenyum lirih. Sambil menaikkan tongkat basikal dia memandang wajah Firdaus. “Fir, kalau boleh carilah kerja lain.” Kerja buruh kontrak bukanlah kerja yang sesuai untuk remaja seperti Firdaus.
Firdaus mengangguk lemah. ‘Apa dayaku?’
“Eh eh! Pelangi.” Ujar Elliza ketika hendak meninggalkan rumah usang di tepi sawah itu. Indah sekali pemandangan di kala itu.
“Fir, kau tahu kenapa ada pelangi selepas hujan?”

***
Hari ini..
“FIRDAUS?”
Lelaki itu kelihatan terkejut bila nama itu terpacul dari dua ulas bibir Elliza. “Siapa?”
Elliza mengerlipkan matanya beberapa kali. Lelaki itu memandangnya tajam.
“Cepat pandu!” Suaranya agak kasar tapi kedengaran semakin lemah. Tangannya melekap pada bahagian perut.
Dahi Elliza berkerut, dia luka? Kenapa? Dia diserang? Kalau ya, mengapa?
“Cepat!” gesanya lagi dan sejurus itu Elliza menghidupkan enjin kereta.
“Awak? Nak ke mana?” Elliza bertanya dalam takut-takut bila kenderaan sudah mula bergerak.  Tapi lelaki itu tidak bersuara.
“Fir?”
“Kau panggil aku siapa?”
Elliza meneguk air liur. “Nak ke hospital ker?”
“Kau tinggal dengan siapa?”
Elliza senyap.
“Kau tinggal dengan siapa?!” jerkahnya.
“Seorang.”
“Bawa aku ke rumah kau.”
Hati Elliza berdebar. ‘Haruskah aku patuh saja pada arahan itu? Atau aku terus ke balai polis? Mungkin masa ini masa yang sesuai kerana dia kelihatan seperti tidak berdaya. Agak parah juga kalau dilihat pada keadaannya.’
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Aku bukan seperti yang kau fikirkan.”
‘Argh! Dia boleh membaca fikiran aku.’ Elliza meneguk air liur buat kesekian kalinya.
“Aku tidak akan apa-apakan kau. Ikut sahaja arahan aku.”
Elliza kerling lelaki itu. ‘Aku tidak salah. Dia memang Firdaus. Tidak mungkin mata aku tersilap. Aku kenal Firdaus. Kenal sangat-sangat.’
***

PINTU pagar ditutup rapat. Hujan masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Pintu di sebelah duduk penumpang dibuka.
“Fir, dah sampai.”
Matanya yang terpejam itu dibuka sedikit.
“Hati-hati.” Pesan Elliza bila lelaki itu melangkah keluar dari perut kereta.
Lelaki itu terbongkok menahan sakit. Elliza cuba memapahnya. Dibiarkan sahaja lelaki itu berpaut pada bahu. Langkah diatur satu-satu.  Juga semakin lemah.
Elliza membaringkan lelaki itu di atas sofa. Lelaki itu hampir tidak boleh mengangkat sebelah tangan akibat luka yang agak dalam pada perutnya. Dia cuba membuka kemeja yang dipakai. Melihat dia yang terkial-kial, Elliza pantas membantu. Kelihatan luka akibat tusukan di bahagian perut. Darah pekat masih kelihatan pada luka itu. Bulat mata Elliza melihatnya.

“Luka awak ini agak dalam. Awak sepatutnya ke hospital.”
Dia menekap luka itu dengan kemeja yang dibuka tadi. Cuba menghentikan pendarahan barangkali. “Kau jahitkan untuk aku.”
Elliza agak terkesima dengan permintaan itu. “Saya bukan doktor atau jururawat.” Bantahnya terang-terang. Sebenarnya dia agak ngeri melihat keadaan luka itu, apatah lagi untuk menjahitnya.
“Kau tahu menjahit bukan?”
Itu tidak mungkin boleh jadi pre-requisite untuk kebolehan menjahit luka seperti itu. “Saya call kawan saya. Dia lebih tahu daripada saya.”
“Jangan! Tak perlu!” Dia cuba bangun dalam keadaan payah.
“Jangan risau. Awak kenal dia. Dia kawan sekelas kita. Dia dah jadi jururawat.”
“Bahaya!”
Elliza mengerutkan dahi. ‘Bahaya? Untuk siapa? Untuk aku atau dia? Kalau hendak dikira, aku pun dalam keadaan berbahaya sekarang.’
“Saya akan call dan tanya bagaimana untuk melakukannya. Saya tak mahu luka awak terkena jangkitan.” Elliza masih berdegil. Sungguh. Lukanya itu bukan luka kecil-kecil.
“Jangan!” Kali ini dia menarik pergelangan tangan Elliza. “Luka ini tidak apa-apa. Tidak terkena pada organ penting aku. Aku masih boleh bertahan.”
Pandangan matanya yang jernih itu membuat Elliza akur. Argh! Elliza mengeluh kecil. Hati ini.

***

SUDAH dua malam lelaki itu bermalam di rumah Elliza. Cuaca masih mendung seperti pada hari pertama dia bertemu dengannya.
“Terima kasih El. Kau jaga aku dengan baik.”
Elliza diam. Kalau hari pertama dia masih ragu, kini dia pasti lelaki itu adalah Firdaus yang pernah dia kenal suatu masa dahulu. Firdaus yang dicintai dalam diam.
“Aku memang tahu kau baik dari dulu. Kau berbeza dari yang lain.” Dia menyentuh pipi Elliza. Ada sesuatu yang ingin dia katakan tapi dia kelihatan teragak-agak.
“Kau tahu perasaan aku kan, Fir?” Mata Elliza masih lagi melekat pada wajahnya. “Masih sama seperti dulu.”
Lelaki itu mengeluh. Perlahan dia mengalihkan jemarinya. “Aku akan pergi petang ini. Itu yang sebaiknya. Lagipun, luka aku sudah semakin sembuh.”
“Macam mana dengan ibu Fir?”
“Dia sudah lama tak ada.”
“Oh! Innalillah.. Maaf aku tak tahu.” Sudah agak lama dia meninggalkan kampung. Kalau boleh bukan ini berita yang dia mahu dengar.
“Luka ini… orang yang mengejar..” Elliza mahu tahu apa yang berlaku tapi tidak tahu bagaimana hendak bertanya.
“Musuh lama.” Jawab Firdaus pendek.
Elliza terdiam tidak mahu bertanya lanjut. Mereka berpandangan seketika.
“Aku masih cintakan kau Fir.” Kata Elliza tiba-tiba.
“Terima kasih El. Kau tahu kan, orang seperti aku tidak layak menerima cinta dari sesiapa.”
“Kenapa?” Ada nada kecewa pada suara Elliza.
Dia tidak menjawab soalan itu. “Aku harap bila kita bertemu lagi suasananya akan lebih baik dan bukan dalam situasi sebegini.”
Wajah mendung Elliza ditatap sayu. “Bila masa itu tiba, aku pasti akan lebih bersedia.”

***
DUA tahun kemudian…
Pandangan Elliza tertancap pada sebatang tubuh yang sedang bergegas masuk ke dalam tren. Dia bagai terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya. Pantas dia cuba mengekori jejak lelaki itu dalam tren yang sesak dengan manusia. “Firdaus?”
Diakah? Elliza cuit bahu lelaki yang segak berkemeja dan berseluar slack itu. Lelaki itu menoleh. Mereka saling berbalas pandang. ‘Macam Firdaus tapi kenapa dia seolah-olah tidak mengenali aku. Dan.. dia kelihatan sungguh berbeza dari kali terakhir kami bertemu.’
“Maafkan saya. Saya tersilap orang.” Kata Elliza dalam keadaan serba salah sebelum turun di stesen yang berikutnya.
Dia melangkah longlai. Hujan sudah reda. Entah kenapa tiba-tiba hatinya teringatkan Firdaus. Teringatkan kata-kata yang pernah dia lontarkan pada lelaki itu.

Imbas kembali…

“Fir, kau tahu kenapa ada pelangi selepas hujan?”
Lelaki itu menjungkit bahu.
“Setiap kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Paling tidak sedikit. Tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Sebenarnya, kemanisan itu akan jadi lebih berharga. Macam pelangi yang muncul. Selepas Dia turunkan hujan, dia hadirkan pelangi yang indah.”
“El, kau memang suka dengan benda-benda macam ni kan?” wajah gadis itu ditenung lembut.
“Aku harap dugaan dan ujian yang menimpa tidak menewaskan semangat kau.”
Dia tersenyum tapi matanya tampak sangat sedih.
“Jangan sekali-kali merasa terpinggir dan hilang pertimbangan. Kau faham maksud aku, kan?”
Dia senyap saja dan mereka membisu seketika.
“Kau tahu kenapa pelangi itu hadir dalam tujuh warna?”
Pandangannya pada sawah sebendang itu dikalihkan semula pada wajah Elliza. Rambutnya berbuai-buai ditiup angin.
“Setiap satu warna itu membawa maksudnya tersendiri.”
“Aku mendengar.” Balas Firdaus.
“Merah, lambang positif dan keberanian.”
“Ok.”
“Jingga mewakili kreativiti, penuh pertimbangan dan keriangan.”
“Kuning pula?”
“Untuk kebijaksanaan, keyakinan dan kewajaran.” Sambung Elliza.
“Rasanya kuning sesuai untuk kau, El.”
Elliza tergelak. “Nak aku sambung tak?”
Dia mengangguk. Mungkin sahaja mau melayan kerenah gadis itu.
“Hijau bermakna baru, baik hati dan praktikal.”
“Aku paling suka warna biru.” Firdaus menyampuk.
Well, biru untuk keamanan, kejujuran dan tanggung jawab.”
“Warna yang kedua terakhir itu warna apa ya?”
“Indigo.”
“Indigo?”
Elliza mengangguk. “ Ia lambang untuk relaks, kesetiaan dan pengetahuan.”
“Ungu?”
“Ungu? Ungu mewakili semangat dan sifat idealistik.”

Hati Elliza jadi sayu bila terkenangkan semua itu. Dia menapak ke arah sebuah bangku lalu duduk di atasnya. Sengaja dia memilih bangku yang letaknya berhampiran dengan tasik buatan yang terdapat di taman tersebut. Argh! Tiba-tiba pelangi muncul dengan cahaya petang. Memang indah.


‘Kenapa kau muncul lagi duhai pelangi?’ hatinya berbisik. Dia lupakah? Bukankah dia yang selalu mengingatkan Firdaus. Tentang kehadiran sang pelangi selepas hujan.
“Cantikkan?”
Elliza menoleh dan siapa sangka lelaki yang disangkanya Firdaus tadi rupanya. ‘Dia mengekori akukah atau pertemuan ini suatu kebetulan? Jauh aku berjalan, tidak mungkin ini satu kebetulan.’
Dia mengambil tempat di sebelah Elliza.
Elliza kalihkan pandangannya semula pada jaluran pelangi yang menghias langit. Perlahan juga dia mengangguk mengiyakan kata-kata lelaki itu.
“Satu ketika dulu, ada orang memberitahu aku kenapa Yang Esa hadirkan pelangi selepas hujan.”
Hati Elliza kembali berdetak. Untuk berpaling sekali lagi dia rasa dia tidak mampu. Benarkah dia? Entah kenapa hatinya jadi ragu-ragu. Mungkin juga bimbang kemunculan lelaki itu kali ini juga untuk seketika sahaja. Adakah dia cuma muncul sekali-sekala seperti sang pelangi?
“El?”
Elliza terdiam. Sukar dia menelan kebetulan itu.
“Aku rasa masa ini tidak sesuai, tapi…  Ingat tak kali terakhir pertemuan kita?” Lelaki itu berjeda seketika. “Aku ada menyebut, kalau kita bertemu lagi dalam situasi yang berbeza… aku akan pastikan yang aku lebih bersedia.”
“Kalau masih ada ruang di hatimu..  aku nakkan peluang itu. Peluang untuk mengisi ruang kosong itu.”
Elliza masih lagi diam, dia masih lagi tidak tahu mahu bereaksi yang bagaimana. Gembira? Suka? Sedih? Entahlah. Atau hatinya sudah beku.
“El?”
“Benarkah begitu?” Dia tidak mahu membina harapan palsu. Dia sudah lama menunggu. Menunggu sesuatu yang belum tentu ada kepastiannya. Tapi pertemuan yang singkat ini? Pengakuan Firdaus yang secepat itu? Bukankah itu yang dipintanya selama ini. Haruskah dia menerima dan membuat keputusan saat itu juga?  
“Aku tidak akan lari lagi.”
“Aku juga berharap begitu.”
“El?”
Elliza pandang Firdaus. Firdaus pandang Elliza. Pandangan mereka bertaut.
“El, percayalah. Aku sudah bersedia. Lebih dari segalanya.”
Di bawah sinar pelangi. Selepas hujan. Dia berjanji untuk mencintai Elliza. Elliza tahu kali ini lelaki itu sungguh-sungguh. Tapi dia perlukan masa.
“Aku akan terima. Aku akan tunggu walaupun itu bermakna aku harus menunggu 100 kali kemunculan pelangi, aku akan tunggu. Kalau itu yang diperlukan untuk memenangi hati kau semula El.” Ujar Firdaus faham akan keresahan hati Elliza.
“Hati aku sentiasa jadi milik kau, Fir. Tidak pernah berubah.”
“Terima kasih El, aku tahu. Maafkan aku kerana membuat kau menunggu.”
Mata Elliza bergenang dengan air. Cepat-cepat Firdaus menyekanya. Hatinya tak tahan melihat kesedihan Elliza. Hati perempuan itu terlalu baik untuk dilukai, lagi.
Elliza terus menangis, berjurai-jurai airmatanya tumpah. Tidak tertanggung rasanya menahan rindu yang sarat. Semuanya dilepaskan saat itu juga. Entah kenapa dia begitu beremosi.
“Shh… El?” Firdaus memejamkan matanya sebak dengan perlakuan Elliza. Dia menarik rapat Elliza ke dalam dakapannya. Belakang Elliza digosok lembut.
“El.. kenapa ni?” tanya Firdaus bila tangisan Elliza tidak mahu reda.
“Shhss…minggu depan aku hantar makcik aku meminang kau. Lepas itu kita bertunang dan bernikah pada hari yang sama. Okey?”
Serta-merta Elliza merenggangkan pelukan Firdaus. Airmatanya masih lagi bersisa di pelupuk mata.
“Okey, El?”
“Kau serius?”
“Memang itulah niat aku sekiranya aku berpeluang untuk bertemu semula dengan kau.” Firdaus menyeka lagi airmata Elliza.
“Aku akan jaga kau El. Janganlah menangis lagi.”
Elliza mengangguk. Entah kenapa hatinya terasa lega sangat. Mungkin beban di hatinya sudah terlepas. Mungkin juga kemunculan semula Firdaus menjanjikan kebahagiaan yang ditunggu-tunggunya sejak lama dulu. Ya Tuhan, terima kasih atas rahmat yang Kau berikan.
Di lubuk hati Firdaus, dia berdoa yang sama. Dia tahu perjalanan hidupnya dengan Elliza masih jauh untuk diterokai tapi dia mahu penantian Elliza itu berbaloi. Dia sudah berhutang sepanjang hidup dengan Elliza. Dia mahu melunaskan hutang itu. Ya Tuhan, semoga hubungan ini berkekalan dan diberkatiMu. Aamiin. 



2 comments:

IzZ berkata...

saya sangat suke!!awesome!!! ^_^

Unknown berkata...

Sayu bca cerita ni..best sngat.

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p