Rabu, 31 Oktober 2012

Kasih Yang Pulang




Ahmad Hardi duduk menghadap meja makan sambil memerhatikan isterinya menyediakan hidangan lewat malam itu. Anak-anak mereka sudah lama tidur. Cuma dia yang lewat balik.
“Ami, duduklah sebentar. Abang ada benda nak cakap dengan Ami.”
“Ye, abang. Kejap ek, biar Ami bancuh air panas ni dulu,”
Hati Ahmad Hardi sudah tidak keruan. Lagi lama dia menyimpan rahsia itu, lebih bersalah dia rasa untuk berhadapan dengan isterinya.
“Ami, abang nak kahwin lain.”
Naziffa Amira terdiam. Tangannya yang tadi lincah terhenti seketika. Nafasnya turun naik. Dia cuba mengatakan apa yang didengarnya itu tidak benar.
Ahmad Hardi masih menunggu reaksi isterinya. Rambutnya dikuak perlahan. Dia terbayangkan wajah Farah Adrianna. Wanita yang baru-baru ini muncul mencuri hatinya.
“Betulkah abang?” Naziffa Amira cuba bersuara seperti biasa walaupun hakikatnya hatinya ketika itu bagai ditusuk sembilu.
Ahmad Hardi tersentak. Wajah kekasih hatinya segera hilang dari ingatan. Dia menatap pula wajah isterinya yang jelas kelihatan cuba menyembunyikan rasa sedihnya.
“Abang nak kahwin lain?” tanya Amira semula sayu. Teh suam yang dibancuh untuk suaminya tadi diletakkan di atas meja.
Suaminya mengangguk mengiyakan.
Amira diam lagi, tidak tahu apa yang harus dikatakan pada suaminya. Dia meneguk air liur. Sesungguhnya dia hilang kata-kata. Berita itu agak sukar untuk dicernakan ke dalam mindanya.
“Nanti Amira fikirkan.” Akhirnya itu yang keluar dari dua ulas bibirnya.
“Ami..”
“Abang minumlah dulu, Ami nak tidur.” Segera Amira bangun menuju kamar tidur anaknya yang paling bongsu.
Amira baring di sebelah anaknya. Dia menghela nafas panjang. Tubuh kecil anaknya yang baru menjangkau dua tahun itu dipeluk. Rasa sebak tiba-tiba hadir menghuni seluruh jiwa. Tanpa disedari, air matanya mengalir laju. Dia menangis. Hatinya pilu. Hatinya sudah terhiris, tersayat dan hancur. Kenapa ini yang berlaku? Kenapa harus aku yang melalui semua ini? Selama ini aku cuma mendengar cerita-cerita sebegini. Kini, aku pula… Ya Allah, hebat betul ujian yang terpaksa aku tempuh ini. Kau tabahkanlah aku untuk menghadapi dugaan ini. Amira menghela nafas. Berat. Ya Allah, aku mohon padaMu berikanlah aku kekuatan agar aku mampu menempuh kesukaran ini.    

***

Ahmad Hardi sedang bersiap- siap untuk ke tempat kerja bila isterinya muncul dari dapur.
“Kenapa Ami tak siap lagi? Ami tak kerja hari ini?”
“Abang dah lupa? Bukan Ami dah bagitahu abang minggu lepas, Ami cuti. Eimran kan ada appointment dekat klinik hari ni?”
“Oh! Abang lupa.”
Macam manalah nak ingat, kalau tengah hangat bercinta. Ingin sahaja Naziffa Amira berkata begitu tapi dibiarkan sahaja kata-kata itu terngiang-ngiang di kotak mindanya.
“Ami boleh pergi seorang?”
Naziffa Amira mengangguk sebelum mencium tangan suaminya.
“Abang pergi dulu,” ujar Ahmad Hardi ketika mahu bertolak ke tempat kerja.
Naziffa Amira memandang sahaja suaminya yang kelihatan bersemangat. Mungkin kerana dia akan bertemu dengan kekasih hatinya hari ini. Naziffa Amira mengeluh dan air matanya menitis lagi.



***

Lama Naziffa Amira bermenung. Memikirkan kalau-kalau ada kekurangan dalam hubungan dia dan Ahmad Hardi. Hubungan yang bersatu atas dasar cinta dan restu kedua belah keluarga.
Bermasalahkah rumah tangga aku? Rasa macam tidak ada cacat-celanya hubungan mereka selama ini. Jarang ada pertelingkahan. Jadi di manakah silapnya?
Apa aku sudah tidak cukup menarikkah di mata suami aku? Di pandang wajah dan tubuh badannya di hadapan cermin. Teringat akan kata-kata teman sepejabatnya.
“Engkau dah ada anak dua. Umur dah masuk 35 tahun tapi masih macam anak dara. Aku yang sebaya dengan kau ni pula dah nampak macam makcik-makcik.”
Dia tertawa mendengar bicara Harlina itu. “Ada-ada je kau ni.”
“Betul..apa rahsia engkau? Petua ker? Kongsi-kongsilah.”
“Mana ada apa-apa rahsia pun.”
Naziffa Amira mengeluh. Hendak dikatakan zuriat puncanya, anaknya yang sulung kini sudah berumur 10 tahun. Perempuan. Yang kedua pula lelaki. Sepasang. Kalau Ahmad Hardi nak menambah lagi keturunannya, dia juga tidak pernah membantah. Tidak pernah pula suaminya itu mewar-warkan yang dia kepingin untuk menimang cahaya mata lagi.
Selama ini aku terlalu memintakah? Sehingga dia tidak mampu memenuhi segala permintaan aku. Seingat-ingat aku, jarang sekali aku meminta dibelikan harta benda. Perhiasan wanita mahupun aksesori. Barang kemas yang dipakai selama ini, adalah hadiah perkahwinannya. Tidak pernah dia menggantikannya. Tidak terlintas di hati.
Atau independent sangatkah aku sehingga dia merasa dirinya tidak diperlukan dalam hidup aku? Mungkinkah begitu? Independent sangatkah aku?
Ya, aku bekerja, aku ada duit gaji aku sendiri dan jarang mengharap hasil titik peluhnya. Aku bersyukur kalau dia memberi tapi selama ini dia tidak pernah menghulur duit gajinya pada aku melainkan kalau aku meminta. Malangnya, aku jarang sekali meminta. Tapi itu tidak bermakna aku mengetepikan dia. Tidak, cuma aku merasakan dia sebagai ketua keluarga, dia tahu tanggung-jawabnya. Aku tidak perlu mengingatkan dia.
Semuanya aku berkongsi dengan dia. Aku dengar pendapat dia. Aku pertimbangkan baik dan buruk sebelum membuat sebarang keputusan. Jadi di mana silapnya aku?
Sebelas tahun usia perkahwinan mereka. Sebelas tahun dia setia di sisi suami, di kala duka di kala suka. Ini yang dia dapat? Tidak cukupkah segala pengorbanan yang telah dia lakukan? Naziffa Amira sebak.
Argh! Mungkin sudah takdir dia jatuh cinta lagi. Masalahnya sanggupkah aku bermadu? Kalau tidak, sanggupkah aku berpisah? Bagaimana pula dengan anak-anak nanti? Akan mengikut aku atau mengikut ayah mereka. Kalau aku memilih untuk bermadu pula, relakah aku?
Tamakkah aku kalau aku menginginkan suami aku untuk diri aku sendiri. Ya Allah, kalau benar begitu jauhkanlah aku dari sikap yang sebegitu. Aku tidak pernah mahu berniat seperti itu.
Begitu banyak persoalan bermain di mindanya ketika itu. Naziffa Amira memicit dahinya.
Mungkin benar suami bukan hak mutlak isteri. Tapi, isteri hak mutlak suami? Tidak, aku tidak fikir begitu. Haish!
Mungkin aku yang tidak cukup sempurna. Mungkin aku yang gagal memberi kebahagiaan yang sepenuhnya kepadanya sehingga dia sanggup mencari kebahagian itu dari perempuan lain?
Kalau benar kenapa tidak berbincang sahaja? Bukannya sukar pun untuk berbincang dengan aku. Aku sedia sahaja untuk memperbaiki segala kekurangan aku.
Atau memang mungkin dia benar-benar sudah jatuh hati pada perempuan lain. Kalau sudah begitu, mungkin cintanya pada aku sudah pudar. Mungkin masanya bersama aku setakat ini sahaja. Masa dia untuk bahagia bersama aku sudah berakhir. Atau mungkin juga masa aku untuk dia sudah tamat tempohnya. Mungkin aku juga perlu mencari kebahagiaan lain?
Ya Allah, tunjukkanlah jalan kepadaku. Mudah-mudahan ada hikmah di sebalik semua ini. Naziffa Amira meraup wajahnya. Dia tidak mahu berfikir lagi. Kepalanya sakit, hatinya masih terluka. Hendak mengadu, suaminya sudah berpaling pada yang lain.  

***

“Sabar betul engkau ni Amira. Kalau aku, dah lama aku melenting,” terangkat-angkat kening Harlina menyuarakannya.
“Apapun aku bersyukur, dia memberitahu terlebih dahulu. Sia tidak menyembunyikan kebenaran itu dari aku,” Naziffa Amira tersenyum pahit.
Harlina pandang sahabatnya itu semacam. Boleh tersenyum lagi, fikirnya. Dia menggelengkan kepala. “Habis tu kau setuju dia kahwin lagi?”
“Entahlah aku tak tahu.Kalau aku tak setuju pun, mungkin dia akan cari jalan lain. Kahwin kat sempadan maybe?”
“Kau macam tak kisah je.”
“Dah kering air mata aku Lina. Kalau aku menangis air mata darah sekalipun, ianya mungkin tidak akan mengubah apa-apa.”
“Erkk…”
“Daripada aku meratapi nasib aku, lebih baik aku fikirkan yang terbaik untuk keluarga aku.”
“Amira, aku tak tahu nak kata apa tapi aku sungguh-sungguh bersimpati dengan engkau.”
Me too..” balas Amira perlahan.
“Aku tak tahu macam mana nak bantu engkau.”
“Kau sudah cukup membantu aku, Lina. You lend me your ears. You are a good listener and I am very grateful to have you as a friend.”
Harlina memeluk bahu Naziffa Amira. Kalau aku berada di tempat kau, tidak mungkin aku boleh jadi setabah engkau. Bisiknya dalam hati.

***

“Ami tak membantah.”
Terbata-bata Ahmad Hardi mendengar, mungkin kerana tidak percaya yang isterinya itu akan berkata begitu.
“Kalau abang nak kahwin lagi, Ami tidak ada halangan.”
“Betulkah ni? Betulkah sayang?”
Sayang? Naziffa Amira tersenyum lirih, masih ada lagikah rasa sayang itu? Kalau masih ada, kenapa mahu menikah lagi satu? Tapi kata-kata itu bagai tersekat di kerongkong. Ditahan air mata yang ingin tumpah.


“Sayang tak nak tanya kenapa?” Mata Ahmad Hardi tepat pada isterinya itu. Masih agak terkejut dengan kata-kata isterinya.
Naziffa Amira membalas pandangan itu begitu saja.
“Sayang tak nak bagi abang syarat?” tanya suaminya lagi.
Untuk apa  bersyarat-syarat lagi kalau dalam hati sudah ada orang lain bertakhta di hati. Naziffa Amira menggeleng-gelengkan kepala. Dia ingin berlalu dari situ secepat yang boleh. Dia takut dia tidak mampu menghadapinya. Dalam keadaan teragak-agak dia bersuara.
“Terlanjur abang bertanya, Ami tiada sebarang syarat, Cuma kalau sudah tidak ada rasa kasih abang pada Ami, lepaskan Ami secara baik.” Dia tahu permintaan itu sesuatu yang dimurkai yang maha Esa tapi rasanya dia tidak rela menanggung hati yang mungkin terdera dengan rasa terseksa kelak.
“Ami…” hanya itu yang keluar dari dua ulas bibir Ahmad Hardi. Agak terkedu dengan permintaan isterinya.
Pantas Naziffa Amira berlalu pergi, hatinya sedih. Sedih yang amat. Dia mahu menangis tapi bukan di hadapan orang yang sudah tidak mencintainya lagi.

***

Hari-hari yang berlalu dijalani seperti biasa. Ahmad Hardi pandang isterinya yang sedang tekun menyediakan makan malam. Isterinya masih melayannya seperti biasa.
Aku sepatutnya gembira kerana dia sudah bagi green light tapi kenapa aku tidak rasa begitu?
“Abang, Ami nak balik kampung. Seminggu.”
Ahmad Hardi tersentak. “Ok. Bila?”
“Esok. Ami dah ambil cuti.”
“Esok? Abang ikut sekali?”
“Tak apa, Ami nak balik seorang. Abang tolong jaga anak-anak.”
“Betul ni? Sayang okey tak?”
Naziffa Amira tergelak. Apa yang suaminya sedang fikirkan? “Takkanlah abang tak kenal Ami. Ami tak akan buat perkara-perkara yang macam itulah.”
Ahmad Hardi tersenyum malu.
“Abang?”
“Hmm?”
“Siapa nama dia?”
“Siapa?”
“Nama perempuan yang menggantikan tempat Ami di hati abang?”
Ahmad Hardi teguk air liur. Serba-salah. “Err..”
“Tak apalah, kalau abang tak mahu bagitahu. Saja Ami bertanya.”
“Farah. Farah Adrianna.”
Naziffa Amira diam sejenak. “Cantik namanya. Ami pasti orangnya juga secantik namanya.”
Ahmad Hardi tersenyum pahit. Agak kelu untuk bersuara.
“Dia tahu abang sudah berkahwin?”
Ahmad Hardi mengangguk. Memang dia ada memberitahu Farah Adrianna yang dia sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak.
“Patutkah Ami bertemu dengan dia?”
Wajah Ahmad Hardi bertukar riak. Ingin sahaja dia bertanya, apa perlunya? Tapi Amira terlebih dahulu bersuara.
“Ami fikir, tidak perlulah. Lagipun, kita akan berpisah jua akhirnya. Sebaiknya abang jagalah dia lebih baik dari abang jaga Ami.”
Ahmad Hardi senyap dan hatinya mula gusar. Berpisah?

***

Wajah isterinya yang sedang tidur nyenyak ditatap. Wajah itu masih kelihatan manis seperti dulu. Dia tersenyum bila teringatkan detik pertama perkenalan mereka. Betapa susahnya dia hendak memiliki Naziffa Amira. Kini dengan mudahnya dia ingin melepaskan.
“Ami tak minta apa pun, cukuplah abang jaga hati Ami dengan sebaiknya. Ami tak nak harta kekayaan itu semua. Ami bersyukur kalau abang sudi menerima Ami seadanya.”
Teringat dia akan janjinya pada Naziffa Amira. “Abang tak ada harta nak offer kat Ami, cuma kasih sayang sahaja yang mampu abang berikan.”
“Ami..” bisiknya perlahan.
Naziffa Amira yang bagai terdengar suaminya menyebut namanya membuka kelopak mata. Dalam keadaan yang masih mamai dia bersuara. “Kenapa ni bang? Abang tak tidur lagi?”
“Maafkan abang, sayang.” Dahi isterinya dikucup.
“Abang?”
“Abang cintakan sayang. Cuma abang terleka seketika. Sayang maafkan abang kan?”
Naziffa Amira tersenyum dalam keadaan separuh sedar. Apalah suami aku merepek ni? “Abang tak ada salah pada Ami pun. Tidurlah..”
Ahmad Hardi melepaskan sebuah keluhan. Dia baring di sebelah isterinya. Dipeluknya tubuh isterinya itu. Hatinya masih gusar. Wajarkah dia melepaskan isterinya itu sedangkan dia masih lagi mencintainya? Bagaimana pula dengan Farah Adrianna?



***

Seorang wanita melangkah masuk ke pejabat Naziffa Amira diriingi oleh penyambut tetamu.
“Awak siapa?” tanya Naziffa Amira.
“Saya Farah Adrianna.”
Dahi Naziffa Amira berkerut bila mendengar nama itu. Inilah perempuan itu. Perempuan yang berada di sisi suamiku.
“Silakan duduk Cik Farah.”
Lama mereka terdiam.
“Kenapa awak nak bertemu dengan saya?” Akhirnya Naziffa Amira membuka mulut terlebih dahulu.
Just out of curious,” balas Farah Adrianna sambil memandang Naziffa Amira yang kelihatan tenang-tenang sahaja.
Curious?” Bukan sepatutnya aku yang berfikiran begitu?
“Awak tak pernah terfikir nak bertemu dengan saya ke?” soal Farah Adrianna.
“Bohonglah kalau saya katakan tidak terdetik di hati saya untuk mengetahui siapa perempuan itu, yang bakal hidup di samping suami saya.” Hendak dikatakan perempuan perampas, tidak sampai pula hati Naziffa Amira. Mungkin sahaja perempuan itu tidak bermaksud untuk merampas suaminya.
“Kenapa awak benarkan suami awak berkahwin lagi?”
“Kalau suami saya bakal beroleh kebahagiaan dengan berkahwin dengan awak, kenapa saya harus menghalang? Lagipun, apa kesudahannya kalau saya menghalang? Mungkinkah ia akan jadi lebih baik untuk saya?” Naziffa Amira pandang wajah perempuan itu. Nampak macam orang baik-baik sahaja. Mungkin dia boleh jaga suami aku lebih baik daripada aku.
“Tapi, awak tidak ingin bersama dengan dia lagi lepas dia menikah dengan saya.”
Naziffa Amira tersenyum. “Saya tidak mahu dia berbelah bagi. Saya tidak mahu kelak saya bakal menjadikan dia seorang suami yang tidak berlaku adil, seandainya saya masih lagi menjadi isterinya ketika itu.”
“Awak meragui dia?”
“Bukan begitu. Saya meragui diri sendiri. Saya tidak fikir saya mampu.menghadapi kehidupan begitu. Saya mungkin tidak kuat melawan rasa cemburu yang lahir. Saya mungkin akan jatuh berdosa kalau kelak saya tidak mampu menerima kenyataan yang suami saya mempunyai seorang lagi isteri yang harus dijaga makan-minumnya. Yang harus ditunaikan hak nafkah zahir dan batinnya. Saya tidak juga mahu kelak saya jadi madu yang menyekat kebahagiaan dan kenikmatan hidup berkeluarga suami dan isterinya yang baru.”
Naziffa Amira berhenti sejenak sebelum meneruskan. “Saya tidak berharap awak faham. Tapi, sepertimana saya menghormati keinginannya untuk mendirikan rumah tangga dengan awak, seperti itu jugalah saya mohon agar dia menghormati pilihan saya untuk tidak terus bersama dengan dia. Mungkin itulah jalan yang terbaik untuk kita semua.”
Farah Adrianna tertunduk. Hatinya terusik mendengar penjelasan Naziffa Amira. Wajah Naziffa Amira dipandang. Memang dia ingin bertemu dengan wanita itu. Dia mahu tahu kenapa Ahmad Hardi membatalkan hasrat untuk meneruskan pernikahan mereka. Dia mahu tahu apa hebatnya wanita itu berbanding dirinya.
“Awak hebat.”
“Apa maksud awak?”
Just to let you know, we are not getting married. Me and your husband, is not going to happen.” Ada air mata bergenang kelihatan.
“Maafkan saya,” balas Naziffa Amira agak terkejut dengan perkembangan itu. Di kala dia betul-betul pasrah dengan ketentuan itu, di kala dia sudah bersedia menerima suratan yang tertulis akhirnya kejutan itu yang diperolehinya.
No, maafkan saya. I have should know better than to mess with other people life. Specially, the one that already married.” Farah Adrianna tersenyum pahit.
Naziffa Amira tidak terkata. Ada rasa sedih yang lahir buat Farah Adrianna, mungkin perempuan itu benar-benar ikhlas mencintai suaminya. Tapi pada yang masa jauh di sudut hati dia rasa bersyukur kerana perkahwinannya masih mampu diselamatkan.
I learnt my lesson.” Ucap Farah Adrianna sebelum melangkah pergi.
Me too, jawab Naziffa Amira dalam hati.
Mungkin dugaan yang hadir itu bukan bertujuan untuk melumpuhkan diri tapi untuk menguji tahap kesabaran dan cara terbaik menanganinya. Mungkin ia perlu untuk mengingatkan diri supaya sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang terburuk dan bersyukur dengan apa yang kita ada selagi masih ada waktu. Renung Naziffa Amira ketika mengimbas kembali apa yang telah berlaku.   

***

Sejambak bunga dihulurkan pada Naziffa Amira. Tidak pernah-pernah suaminya itu memberi bunga kepadanya selama mereka berkahwin.


“Untuk Ami?”
“Untuk Ami. Tanda abang minta maaf.”
“Abang? Kenapalah membazir beli semua ini.”
“Abang tahu tapi untuk Ami, abang rasa ini sangat sedikit kalau dibandingkan dengan apa yang telah Ami lakukan untuk abang, untuk keluarga. Sepatutnya abang buat lebih.”
Naziffa Amira sedikit tersentuh.
“Abang hampir kehilangan Ami. Sepatutnya abang lebih tahu yang cinta Ami tidak berbaloi untuk dikorbankan untuk apa-apa pun di dunia ini. Abang buta menilainya.”
Ahmad Hardi memeluk isterinya seperti tidak mahu dilepaskan apatah lagi bila isterinya membalas pelukan itu. Terasa seperti sudah lama tidak merasa kehangatan itu. “Terima kasih kerana masih mahu menerima abang. Abang akan cuba jadi yang terbaik untuk Ami dan anak-anak kita.”


2 comments:

Zehan berkata...

best...amat menginsafkan. kadang-kadang apabila kita merasa sudah selesa dgn keadaan skrg adakalanya kita terlepas pandang perasaan pasangan kita huhu...

rahsia hatiku berkata...

best dan sangat2 menyentuh hati sampai xtahu nak komen apa dah... good job..

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p