Selasa, 15 Mac 2016

Novel: Siluet Cinta - Bab 1


Assalam & Greetings, 
Lama x update blog kan? Hendak memperkenalkan e-novel saya yang bertajuk 'Siluet Cinta', sebenarnya dah lama buat cuma tak berkesempatan hendak menyiapkan kisahnya hingga kini. Actually, masih lagi on going. Hopefully, berjaya menyiapkannya dalam kadar segera. Dengan izin Allah. So, here goes .... Thaqif Ariffin and Dhea Zalia. Semoga terhibur. Love xoxo. :)  


BAB 1

DHEA menurut sahaja langkah kaki lelaki itu. Bila lelaki itu melangkah ke kanan, Dhea turut melangkah ke kanan. Bila lelaki itu melangkah ke kiri, diapun turut sama melangkah ke kiri. Sesekali lelaki itu menoleh ke belakang. Bila itu berlaku, cepat-cepat Dhea tundukkan wajahnya. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
Lelaki itu meneruskan langkah kakinya sebelum berhenti di hadapan sebuah bilik. Dhea masih lagi berada beberapa tapak di belakang. Menjinjing beg pakaian miliknya yang sederhana besar. Lelaki itu memandang Dhea yang terjingkit-jingkit membawa beg tersebut. Dia merengus sedikit kasar. Mendengar itu, Dhea cuba melangkah sepantas yang mungkin, tidak mahu lelaki itu menjadi bertambah marah. Sampai sahaja Dhea di sisi, lelaki itu memulas tombol pintu bilik tersebut.
“Mulai hari ini, awak akan tidur di dalam bilik ini.” Datar. Tiada nada.
Dhea mengangguk tanpa memandang wajah lelaki itu.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” Tegas lelaki tersebut.
Dhea meneguk air liur mendengar kata-kata yang lebih kepada amaran itu. Hendak mengangkat muka, dia tidak berani.
“Saya akan bertolak ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi. Setiap hari, Isnin sehingga Jumaat. Saya akan balik ke rumah sebelum waktu Isyak.” Lelaki itu berjeda, mungkin sedang berfikir tentang apa lagi yang patut Dhea tahu.
“Tugas awak dalam rumah ini, yang pertama dan paling penting sekali adalah menjauhi diri saya! Apa pun yang awak nak buat, saya tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, awak jaga maruah saya! Faham?!”
Air liur tersekat di rengkung. Tersentap jiwa raga namun Dhea hanya mampu mengangguk sahaja.
“Itu sahaja, awak boleh masuk, yang lain saya akan beritahu kemudian,” ujar lelaki itu sebelum menapak pergi.
Dhea masih berdiri di tempat yang sama. Tidak mahu berganjak sehinggalah kelibat lelaki itu menghilang dari pandangan. Matanya memerhatikan laluan. Bila pasti lelaki itu sudah tiada, Dhea melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat sebelum beg yang dijinjingnya tadi diletakkan di tepi almari.
Matanya meliar memandang keliling, memang bilik itu berbeza dengan keadaan biliknya sebelum ini. Berbeza sangat-sangat. Sesekali dia terasa diri bagai berada di alam mimpi.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” suara lelaki tadi bagai terngiang-ngiang di telinga Dhea. Dhea mengeluh sendirian. Bukan niat dia pun mahu merumitkan keadaan.



Langkah kaki diatur menuju ke sebuah katil bersaiz Queen yang memang disediakan di dalam bilik tersebut. Dhea melabuhkan punggung di birai katil. Dia tidak tahu bagaimana dan apa yang hendak difikirkan. Mindanya padat dan sesak. Akhirnya dia bangun lalu membuka pintu balkoni.
Dhea berdiri di koridor sambil memandang langit malam. Bulan berbentuk sabit dan beberapa butir bintang berkerlipan menghiasnya. Sesekali Dhea menguis helaian rambut yang mengganggu penglihatannya. Tiba-tiba pandangannya jatuh pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya.



Cincin yang diperbuat daripada emas putih itu ditenung lama. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati, kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu hati. Cantik. Dhea mengeluh. Keluhannya kedengaran lebih berat daripada yang tadi. Kalau cantik pun, tiada gunanya jika orang yang menyarungkan cincin tersebut ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap dirinya. Sungguhpun itu bermaksud dia sudah menjadi yang sah dan halal kepada insan tersebut.
Dhea pandang lagi langit malam. Dibiarkan sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh badan. Hatinya tiba-tiba terasa sebak dan pilu. Pakaian pengantin masih melekat di tubuhnya. Tiada niat mahu menanggalkannya walaupun majlis sudah lama berakhir. Biarlah pakaian itu tersarung hingga ke pagi, dia kepingin jadi bidadari biarpun sebentar cuma. Biarpun tiada yang sudi menganggapnya begitu.
“Biar pun sedetik cuma,” bisik Dhea sendirian. Air mata yang mengalir diseka perlahan.  
Dhea menarik nafas. Memang hari itu hari yang amat bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang tidak berhati-perut. Bersyukur kerana dia masih lagi berpeluang untuk hidup di atas bumi Tuhan. Sungguh!  
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang termampu Dhea lakukan.
“Aku terhutang nyawa padanya. Biarlah kehadiran aku ini tidak dihargai, aku rela. Aku reda,” tekadnya dalam hati.   
Thaqif Arifin Bin Azad Kamarul. Nama lelaki yang kini bergelar suami kepadanya.  Dhea tidak kenal lelaki itu. Dhea juga tidak tahu mengapa lelaki itu sanggup menikahi dirinya. Dipaksa, terpaksa atau keadaan memaksa? Sungguh Dhea tidak tahu. Mungkin lelaki itu tiada pilihan.
‘Hendak dipanggil apa ya, suami aku itu? Thaqif? Abang? Abang Thaqif? Layakkah aku memanggilnya begitu? Sudikah dia, sedangkan memandang aku pun dia tidak mahu.’ Dhea menggosok telapak tangan, sebelum meletakkannya pada kedua belah pipi. Menghangatkan diri sendiri yang kedinginan.
Dhea pandang bintang-bintang di angkasa. Adakah engkau salah satu daripada bintang-bintang yang berkerlipan itu, penyelamat diriku? Yang jatuh menyinari hidup aku? Atau akukah antara bintang-bintang itu yang hadir mewarnai hidupmu?





Malam sudah semakin larut. Dhea menopang dagu, masih mahu mengira bintang di langit. Badannya letih, mindanya juga letih. Mahu tidur tapi mata tidak mahu lelap. Fikirannya masih melayang, cuba merakam wajah suami yang belum sempat ditatap dengan jelas. Argh! Dhea, belum apa-apa sudah mula berangan.
Apapun, bagi Dhea dialah prince charming untuk dirinya. Seperti dalam cerita fairytales yang pernah dibaca dan didengarnya. Cuma pengakhiran kisahnya sahaja yang masih menjadi tanda-tanya. Apa mungkin hikayat hidupnya juga akan sama seperti kisah-kisah itu? Berakhir dengan kebahagiaan untuk selamanya?  
‘Mungkin prince charming itu cuma satu fantasi. Biarlah kalau begitu. Sesungguhnya kerana dia, maruah aku terselamat. Sesungguhnya kerana dia, aku bisa lari dari kehidupan silam aku. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu membalas jasanya.’  Air mata Dhea jatuh berlinang lagi. 
‘Thaqif Arifin. Biar apapun tanggapan kamu. Biar apapun perasaan kamu terhadap aku. Aku berjanji akan cuba menjadi yang terbaik untuk kamu. Itu janji Dhea.’
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.





Isnin, 22 Februari 2016

Cerpen : Crush 3 Hari - Finale (Almi)



RINDU itu datang bertamu, memalu jiwa menekan resah hingga ke puncak. Aku juga yang hilang arah menanti si pencuri hati memunculkan diri, meleraikan galau yang berputik di sanubari.
Aduhai, ke mana menghilang Cik Tantrum yang dirindu itu? Semalam dia tak datang ke pejabat. Hari ini pun sama jugakah? Hendak bertanya kepada rakan sepejabat dia, malu bertepek pula. Dia tak tahukah yang aku sedang menunggu bagai nak rak di sini? Aku meraup wajah sendiri, terbayangkan wajah dia yang seolah-olah muncul pada skrin komputer. Haish! Dah separuh angau dah kot aku ni?
Tiba-tiba muncul seseorang melintasi deretan kubikel di mana aku sedang berada sekarang ini. Aku toleh lagi sekali. Eh, itu macam kelibat Cik Tantrum. Dahi aku berkerut sebelum mata aku kerdipkan beberapa kali. Manalah tahu aku tersalah pandang. Dia melayangkan senyuman. Untuk akukah? Kelu lidah aku tiba-tiba bila dia duduk selang dua meja berhampiran. Apa yang harus aku lakukan?
Tapi, dia nampak seolah-olah sedang stress sahaja. Lupakah aku, nama pun Cik Tantrum ‘kan? Seriau juga tengok muka yang garang ala-ala comel tu. Kalau aku mulakan langkah, harus kena sedas ni. Masa berlalu. Tik Tok Tik Tok. Hurm... 
Ketika hati aku sedang libang libu memikirkan jalan untuk berhubung dengan Cik Tantrum, tiba-tiba aku dipanggil balik ke pejabat utama untuk urusan yang lebih penting. Sudah. Inikah kesudahannya? Beginikah pengakhirannya kisah kita, wahai Cik Tantrum? Aduhai.
Aku melangkah pergi dengan hati yang berat, membawa hati yang sarat, membawa cinta yang tidak kesampaian. Mahu berkata sesuatu kepada dia tapi bibir seolah-olah terkunci, sebaik sahaja terpandang wajah miliknya. Sebelum beredar, aku putuskan untuk menulis satu lagi nota. Nota terakhir itu aku titipkan, dengan iringan doa. Mudah-mudahan pesan rindu itu sampai ke hati dia dengan izin Allah.
Rindu ini akan bertamu, lebih lama dari yang terjangka, kutitip doa satukan kita, andai engkaulah tulang rusuk itu, moga cinta ini utuh dan mekar hingga kita bertemu semula   





LAMA juga aku tidak melayari laman muka buku. Selama beberapa bulan ini, aku tiada keinginan mahu berbuat begitu. Lagipun, aku bukannya ada momen yang luar biasa mahu dikongsi dengan mereka yang lain. Hidup aku biasa-biasa saja. Tapi, entah kenapa hari ini hati aku tergerak mahu membuka laman muka buku milik aku yang sudah bersawang ini. Hee...



            Ketika aku melayan post dan momen rakan-rakan di laman sosial facebook ini, aku perasan ikon mesej ditandakan dengan nombor. Eh, terasa pelik pula. Aku pun ada mendapat pesanan. Pesanan? Pesanan daripada siapa?
Aku klik butang pesanan tersebut. Bila ni? Hah? Dua bulan yang lepas? Macam mana boleh terlepas pandang ni? Dup dap dup dap.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku turut jejak rindu itu, mencari penawarnya 
Hati sudah berdebar-debar. Jantung dipalu tidak berhenti. Siapa yang menghantarnya? Dia kah? Naurah Abdullah? Eh, eh! Cik Tantrum? Biar betul? Aku tekan butang profail mahu memastikan yang si pengirimnya itu betul Cik Tantrum.
Ya Allah, Tuhan, Kau makbulkan doa aku. Ya Allah, kalau awak ada kat sini Cik Tantrum, rasa macam nak bawa awak jumpa mak kita sekarang juga.
Sekali hati ini disentuh, tidak pernah akan berubah pemiliknya, selain dikau yang menjadi dambaan, terima kasih Cik Tantrum kerana menjawab paluan rindu itu.
Malam itu juga, aku hantar pesanan ringkas kepada mak dengan hati berbunga-bunga. Ye lah, selama ini mak asyik bising sahaja. Bila nak bawa balik menantu? Bila nak kenalkan kepada mak orang tersayang? Kalau tak ada, nanti mak rekomenkan. Aduh, pening juga hendak menjawab semua itu. Sekarang dah tak payah pening-pening dah. Bawa sahaja Cik Tantrum ni jumpa mak.
“Mak, ingat tak perempuan yang adik cerita tempoh hari?” bibir aku tersenyum-senyum ketika mengungkapkannya. Kalau mak nampak keadaan aku ketika ini, mesti mak cop aku serupa perempuan gedik. Walaupun aku lelaki.
Sesaat kemudian aku hantarkan gambar Cik Tantrum yang kuculik dari laman muka buku milik dia. Maaflah Cik Naurah, aku teruja sangat sehingga tak terfikir mahu meminta kebenaran daripada awak. Halalkan sahaja ya.
“Mak inilah, perempuan yang adik cakap hari tu. Mak, adik nak pinang dia boleh mak?” Aku gelak sendiri membaca pesanan yang aku hantar kepada mak. Kalau berjaya, raya ini aku bakal membawa balik bakal menantu mak.
“Bawa jumpa mak dulu,” balas mak dengan emotikon tersenyum di penghujung pesanan.
“Insya Allah mak, raya ni adik bawa dia balik jumpa mak.”


Dan, berbekalkan lampu hijau yang mak bagi, juga doa yang aku pohon kepadaNya, membawa aku kepada hari ini. Hari aku mendapatkan cinta aku yang tertangguh. Lalu kumulakan dengan Bismillah, kemudian aku melangkah membawa sejambak bunga di genggaman, sekeping kad raya juga sekeping nota pelekat.
Aku cekalkan diri membawa harapan, ia masih belum terlewat untuk aku menggapai cinta pandang pertama aku. Senyum semakin melebar. Aku akan pastikan awak, Cik Tantrum tidak hilang dari genggaman. Akan aku pastikan awak menjadi yang halal di sisi aku. Aamiin.



TAMAT