PAGI-PAGI lagi aku sudah nampak sebuah kotak komputer
diletakkan di tepi kubikel. Ada tercatat namaku pada helaian kertas yang
dilekatkan di atasnya. Ok. Jadi, akhirnya tiba juga giliran aku mendapat
komputer baru ye? Tapi, kenapa rasa teruja itu tidak ada? Tidak hadir
menggembur-gembur? Whatever. Paling
penting sekarang ialah laporan aku, sejak semalam belum lagi mampu aku siapkan.
Tak lalu aku hendak menadah telinga menerima hamburan daripada setiausaha bos
ketiga besar syarikat.
Aku berpesan pada suria,
Agar sinarnya menghangatkan kamu,
Biar senyum itu mekar di bibirmu,
Biar berseri wajahmu,
Biar sejuk mata memandang
Sticky note lagi? Bibir
aku automatik tersenyum bila membacanya namun buat sesaat dua sahaja. Huh,
malas nak layan benda-benda misteri macam ni. Ada perkara lain harus aku
langsaikan. Aku ambil sticky note
itu, lalu aku campakkan masuk ke dalam laci. Hendak dibuang, terasa sayang
sebab ayat-ayat tu ... entahlah. Makan jiwa, makan dalam. Seronok kot dapat
nota-nota macam tu.
Aku hidupkan suis komputer seperti biasa sambil mengemas
kertas dan fail yang berselerak di atas meja. Punggung aku labuhkan bila aku
perasan kelibat seorang pemuda berkemeja kotak-kotak, berambut ketak-ketak dan
berseluar jeans lalu melewati aku. Dia duduk di meja bersebelahan. Meja Kak
Sarah.
Bukan pemuda berkaca mata semalam, sebab yang semalam
hampir sama tinggi dengan aku. Pemuda yang ini berisi sedikit berbanding pemuda
yang berkaca mata itu dan agak tinggi juga. Pemuda yang sama yang duduk di meja
Kak Sarah semalam ke? Iya kot, aku tak ingat sangat.
Tidak lama kemudian pemuda yang berkaca mata tiba di
hadapan aku dengan membawa sebuah kotak berisi komputer. Aku yang sedang duduk segera
mendongakkan kepala. Kening sedikit terjongket, panjang umur dia.
“Turn saya ke?”
Aku melontarkan soalan seraya berdiri mahu memanjangkan kaki ke mesin pencetak dan
pendua yang berada di penghujung laluan koridor. Aku perasan pemuda yang duduk
di meja Kak Sarah mengerling ke arah aku atau mungkin ke arah rakan sekerja dia
yang terpacak di hadapan aku.
“Belum lagi, nak tanya meja Encik Sugu yang mana satu?”
Kotak yang dibawa bersama diletakkan di atas meja kecil
yang berada di depan kubikel milik aku, melepaskan lelah. Badan kecil bawa kotak
sebeban, lenguhlah tu.
“Oh, meja bos? Meja yang paling belakang tu meja dia.”
Unjukku pada meja yang berkenaan. Selang dua meja di bahagian belakang
kubikelku. “Tapi, bos hari ini tak ada. Bercuti.”
“Tak apa, bukan nak buat hari ni,” balas pemuda berkaca
mata itu, kemudian dengan segera membawa kotak tersebut ke tempat yang
sepatutnya sementara aku beransur bersama sebeban dokumen yang perlu dibuat salinan.
Usai sahaja tugas aku di mesin pendua aku mengatur
langkah semula ke meja. Mata menghala ke arah meja Kak Sarah tanpa sebab. Entah
kenapa mata ini gatal mahu mengusya pemuda yang sedang mengerjakan komputer
milik Kak Sarah itu. Boleh pula masa mata ini dok mengintai, si pemilik tubuh
berkalih dan memandang ke arah aku. Tepat-tepat mengena anak mata aku. Buat
beberapa saat, kami saling berbalas pandang. Pelik, sebab aku tak mampu hendak menafsirkan
maksud disebalik pandangan yang ditujukan kepada aku.
Dingin? Entah, sort
of. I guess.
Marah? Dekat aku? Why?
Obviously not, aku tak ada buat apa-apa kesalahan pun terhadap dia. Oh, mungkin
dengan Kak Sarah kot? Sebab seperti kata Kak Sarah, pengetahuan dia tentang komputer,
zero. Pengetahuan asas pun mungkin yang paling minima. Kalau tidak masakan
setiap kali ada masalah mencari aku. Hendak menukar kata kunci sahaja pun. Ye
lah, kata Kak Sarah semasa zaman dia semua tugasan dilakukan secara manual, masa
itu penggunaan komputer sangatlah terhad.
Tapi, aku lihat telefon bimbit milik Kak Sarah bukan calang-calang.
Iphone 6 kot! Itu gajet yang terkini. Aku pun tak termampu nak beli. Bila aku bertanya,
jawapan yang Kak Sarah berikan, “Anak beli baru, yang lama dia bagi kat mama
dia.”
Oh, untungnya jadi Kak Sarah.
Mata aku terus menilik pemuda itu, gerak tubuh dan riak
wajah dia. Tidak kelihatan seperti orang yang sedang stress. Sekali lagi mata kami bertentangan, wajah ‘blank’ dia berikan. Mungkin proses menukar
komputer itu mengambil masa yang agak lama. Kalau sehari ditugaskan menukar komputer
untuk 20 orang sekaligus, mahu tidak berpinar biji mata jadinya. Aku andaikan
itulah sebabnya dia menatap wajah aku sedemikian rupa.
Nafas kuhela. Aku mahu senyum dan memaniskan muka tapi
tidak mampu. Semua gara-gara laporan dan emel aku yang bermasalah itu. Oleh
kerana mata kami masih tidak beralih, masih lagi saling berpandangan walaupun
aku sudah sampai ke meja, aku angkat kening sebelum berpusing dan duduk di atas
kerusi dengan jiwa berbaur rasa.
Pelbagai perisa muncul tiba-tiba. Macam gula-gula. Macam
pelangi. Macam rama-rama dalam perut? Uik? Wajah terasa hangat tiba-tiba.
“Adik tak marah ‘kan?” Suara Kak Sarah menjengah
telinga. Bila entah dia muncul,
alih-alih sudah berada di depan kubikel milik dia. Tak ada siren tak ada apa.
Muncul macam begitu sahaja.
Aku berpaling seketika, kelihatan Kak Sarah sudah beralih
dan kini sedang berdiri di sisi kubikel melihat pemuda itu sedang berbuat
sesuatu dengan komputer baru miliknya. Memuat naik aplikasi dan menyimpan
semula harta benda milik Kak Sarah ke dalam ruang memori komputer itu, agaknya.
Aku betulkan postur badan, menyambung semula kerja remeh yang sedang aku
lakukan.
“Eh, taklah,” balas pemuda itu.
Aku angkat kening dan menoleh semula ke arah mereka. Sedap
sungguh suara dia berbicara. Really.
Terus aku pasang telinga.
“No hard feelings
ya.” Kak Sarah bersuara lagi dan pemuda itu hanya menggeleng. Mata dia sekali
lagi menyapa mata aku.
Aku teguk air liur kemudian berpaling semula ke hadapan,
mengemas barang-barang di atas meja aku yang tiba-tiba kembali berselerak.
Menara dokumen yang sudah siap aku buat salinan tadi runtuh. Hish!
“Dah siap, sekarang akak masukkan password akak dalam ruang yang disediakan ni, ye,” beritahu pemuda
itu selepas Kak Sarah mengambil alih tempat duduk. Telinga lintah milik aku
ini, cepat sahaja menangkap perbualan orang.
“Lepas tu, akak periksa
semula kalau semua dokumen dan fail-fail yang akak guna sebelum ini masih ada,”
sambung pemuda itu sebelum mengalihkan kotak-kotak kosong yang menghalang
laluan di ruang tengah antara meja Kak Sarah dan meja aku.
“Okey, turn
awak.” Pop! Dia muncul di hadapan aku dengan seraut wajah yang ekspresinya masih
menjadi tanda tanya di mata aku, membuatkan aku yang sedang leka menyusun
semula dokumen terperanjat sejenak.
“Oh.” Hanya itu yang terluah di bibir. Aku ingatkan
pemuda semalam yang ditugaskan menukar komputer lama aku kepada yang baru.
Terkebil-kebil aku bangun, mahu memberi laluan kepada pemuda itu agar dia boleh
menjalankan tugas dia.
“Lama ke?” tanya aku bila dia sudah selamat melabuhkan
punggung ke atas kerusi aku. Jemari dia sudah lincah bermain dengan tetikus dan
papan kekunci.
“Taklah.” Pandangan yang singgah menyapu wajah aku itu
terasa menusuk meninggalkan kesan degup yang tiba-tiba melaju.
Aku teguk air liur lagi untuk yang ke berapa kali entah. Rasa
pelik itu sekali lagi datang bertandang.
Mata dia masih lagi belum mahu beralih buat aku terasa mahu hilang saat itu juga.
“Saya kena tunggu ke?” Aku mengerling jam dinding yang
menjejak waktu makan tengahari, menghilangkan resah yang berputik tidak
semena-mena. Wajah masih lagi terasa hangat membahang.
“Bila saya dah selesai, awak kena ada. Ada few things yang saya kena terangkan.” Ayat
yang ditutur terasa lembut. Bibir dia mengukir senyum mempesona ketika
menjelaskan kepadaku.
Opps! Terpanar sekejap melihat senyuman yang terzahir di
bibir dia. Hati sudah libang libu. Mata terkebil-kebil sebelum melanjutkan
pertanyaan.
“Ada changes ke?”
Soalan yang sudah aku tahu jawapannya.
“Sikitlah.” Dia guna ibu jari dengan telunjuk untuk
tunjuk berapa banyak perubahan. Mata dia turut sama menyepet. “Tak susah mana.
Tapi, still awak kena ada, kalau tak
awak mungkin a bit lost.”
“Ok.” Aku hela nafas tanda tiada bantahan. Kalau proses itu
cuma mengambil masa dalam setengah jam, sempat kot nak makan tengahari dengan
geng sekepala pukul 12 tengah hari nanti.
Aku mengangguk sebelum beredar dengan membawa beberapa
buah fail klien lalu duduk di meja bahagian belakang. Meja milik rakan sekerja
aku Rainie yang ketika ini sedang bercuti meraikan perayaan tahun baru Cina.
Eh! Aku terlupa sesuatu. Segera aku bangun lalu bergerak
dan membuka laci meja milik aku. Berniat mahu mengambil telefon bimbit, manalah
tahu ada panggilan penting masuk. Whatsapp, atau sistem pesanan ringkas. Mana
nak dengar kalau dah bersembunyi dalam laci ‘kan? Terpandang akan sticky notes yang melekat pada badan
telefon bimbit. Segera aku alihkan dan lekatkan nota yang sudah ada dua itu
pada dinding bahagian dalam laci meja.
“Maaf,” ucapku bimbang mengganggu tugas pemuda itu. Dia
beralih sedikit, ada reaksi terkejut. Agaknya tidak menjangka kedudukan aku akan
jadi sebegitu rapat dengan tubuhnya ketika itu yang mungkin menyebabkan dia
merasa sedikit terganggu. Aku kembali semula ke meja bahagian belakang.
“Awak save dulu
dokumen-dokumen yang awak nak,” pinta dia ketika berpaling menghadap aku.
Aku yang baru hendak melabuhkan punggung tidak jadi
berbuat demikian. Kaki melangkah semula mendapatkan pemuda tersebut.
Sebenarnya, seminggu sebelum itu, selepas diwar-warkan
tentang penukaran komputer aku sudah terlebih dahulu menyimpan dokumen yang aku
nak dalam beberapa buah fail yang aku namakan Naurah 1, Naurah 2 dan Naurah 3.
Semuanya aku telah simpan dan tandaan dengan perkataan ‘RETAINED’ di penghujung nama fail yang berkenaan.
Dia mengalihkan jemari dari papan kekunci sebelum
beranjak sedikit memberi ruang kepada aku. Aku tarik papan kekunci tersebut
agar menghala ke arah aku sebelum jemari lincah menekan aksara tertentu kemudian
menekan butang sebelah kanan tetikus.
“Dah,” beritahu aku sambil menjeling dia sekilas.
Dia lemparkan senyuman. Manis di mata aku, kalau boleh
rasa agaknya rasa dia macam gula-gula, macam madu, macam coklat, macam kuih
koci. Aku angkat kening sebelum membalas dengan sedikit terpinga. Rasa macam
tak jejak tanah pun ada, melampaunya statement
ni.
“Adik, nak buah limau tak?” Kak Sarah yang sudah bersiap
mahu keluar makan tengahari itu bersuara. Amboi Kak Sarah ni, nak buat jadi
menantu ke?
“Boleh juga,” balas pemuda itu.
Kak Sarah sudah berdiri di sebelah aku yang belum sempat
beredar sementara buah limau tadi sudahpun bertukar tangan.
“Adik, dia ni terer fasal sistem dan komputer. Kalau akak
nak tanya apa-apa, mesti akak cari dia.” Alamak! Kak Sarah sudah mula membuat hikayat
tentang aku.
“Jangan percaya sangat cakap Kak Sarah ni, dia saja buat
cerita.” Cepat-cepat aku memangkas sebelum Kak Sarah menokok tambah yang
bukan-bukan. Buat malu aku sahaja, menunjuk pengetahuan yang sekerat kepada
orang yang sudah tentu lebih pakar dan arif tentang bidang yang berkenaan.
“Betul dik.” Kak Sarah tertawa sambil berlalu pergi. Aku
cuma mampu geleng kepala.
“Kak Sarah cuma bergurau,” kataku kemudian, bimbang diuji
akan kebijaksanaan yang sejengkal ini.
Pemuda itu tidak berkata apa hanya menzahirkannya dengan
segarit senyuman. Aku yang jadi tersipu-sipu. Kemudian aku bergerak menuju ke
meja bersebelahan, melabuhkan punggung di atas kerusi milik Kak Sarah. Tidak
jadi meneruskan kerja yang aku tinggalkan di meja belakang.
“Naurah, kan?” Pemuda itu menaip nama aku pada papan
kekunci sebelum menekan butang enter.
“Password?”
Dia berganjak sedikit memberi laluan kepadaku.
Selepas mengisi ruang kosong yang tertera pada skrin komputer,
aku kembali menjadi penghuni meja bersebelahan. Mata mengerling jam dinding yang
jarumnya menunjukkan angka 12 dan yang pendek ke arah 6. Sudah melepasi waktu
makan aku. Cepat-cepat aku menghantar pesanan Whatsapp kepada rakan-rakan aku,
memberitahu mereka yang kemungkinan besar tidak dapat bersama dengan mereka
untuk makan tengahari.
“Awak memang tak ada access
internet ye?”
“Haah, company
tak bagi,” jelas aku jujur. Entah kenapa pihak syarikat kedekut sangat dengan
aku, macamlah aku ini kaki surf internet.
“Ada orang boleh ada orang tak boleh ye...” sambung dia
lagi tanpa memandang aku.
Aku angguk walaupun dia tidak melihat.
“Tapi, kan…” Aku menarik kerusi rapat sedikit kepada dia.
“Awak boleh buat kan? Bagi saya laluan untuk access internet?”
Dia terseringai sebelum tertawa lucu. Buat aku tertawan
seketika. Aku mengengsotkan kerusi semula ke tempat asal melihatkan reaksi yang
dia berikan. Tak bolehlah tu…
“Kalau main server
dia dah block, memang tak bolehlah,”
balas dia kemudian bila tawa dia mereda.
“Tapi, actually
… ada cara lain kan?” Aku cuba lagi, tak mahu mengalah. Kening sudah terjongket
dengan kepala sedikit aku telengkan.
Dia tersenyum cuma, mendengar soalan yang aku lontarkan. Bimbang
agaknya mahu memenuhi permintaan aku, bimbang etika kerja dia dipertikaikan.
Aku faham, aku bukannya paksa pun. Saja mencuba nasib. Gediknya!
“Tak apa, access
usb untuk pc baru ni boleh guna ‘kan? Sebab pc lama saya tak boleh nak guna thumb drive dengan external driver,” ujarku kemudian bila dia tidak menjawab.
Dia mengangguk sebelum bertanya.“Company tak bagi cuti sekerat hari ke?”
“Hari ni balik macam biasa kecuali yang celebrate CNY,” jawab
aku sambil menggeleng kepala. Kalau boleh, sudah lama aku bersorak riang
gembira.
“Saya lepas habis yang ni dah boleh balik,” beritahu dia.
Berseri-seri sahaja riak wajah dia buat aku merasa sedikit cemburu.
“Oh, seronoklah … balik kampung ke?” Untunglah orang ada
kampung.
“Taklah. Kalau saya balik pun bukannya ada apa kat kampung.”
Bibir dia menguntum senyum bermakna.
“Iye lah, lainlah kalau raya awak ‘kan? Mesti awak cuti
sakan, kan?” Aku tergelak mendengar ayat yang keluar dari mulut sendiri.
Haruslah cuti sakan bila menyambut perayaan sendiri. Kalau sebulan boleh cuti,
sebulan jugalah rasanya nak ambil cuti meraikannya.
“Bukan jauh pun kampung saya. Naik motor tiga jam dah boleh
sampai.” Dia bercerita sendiri tanpa dipinta. Bosan agaknya sepanjang hari
berhadapan dengan komputer yang tidak reti membalas perbualan.
“Kampung awak letaknya di mana?” Aku meregangkan badan.
Lemau rasanya duduk tanpa melakukan sebarang kerja. Sudahnya, aku cuma duduk
memahat wajah dia di minda.
“Batu Pahat.” Tubuh disandarkan pada dinding kubikel.
Matanya terus meraut wajah aku tanpa segan silu.
Dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat, naik motor? Tak kematu
punggung? Fikir aku dalam hati.
“Kalau naik kereta, waktu perayaan macam ni, masaklah. Traffic teruk.”
“Memanglah,” balasku bersetuju. Kalau jalanraya tidak
sesak, bukan menyambut hari perayaanlah namanya itu. Heh, layan pula berborak
dengan pemuda yang belum aku ketahui namanya itu.
“Lagipun, kalau saya balik. Tak ada apa pun untuk saya
kat sana.” Matanya berlabuh lama pada wajahku membuat mata aku berkelip-kelip
tak tentu hala.
Lagi sekali dia ulang benda yang sama dan aku tidak dapat
menangkap maksud ayat tersebut. Hint
untuk akukah? Dahi aku berkerut, tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi. Jadi, aku buat tak tahu sahaja. Terlintas juga
mahu bertanya, kenapa dia berkata begitu tapi tidak terluah pula di bibir.
Akhirnya kami membisu buat beberapa ketika. Sesekali dia
membetulkan postur badan menyemak progres pemindahan serta pengstoran fail dari
server sementara ke dalam kad memori
yang baru.
“Memang kerja awak begini ek?” Tiba-tiba itu yang
tercetus di bibir.
Dia kembali duduk bersandar, santai menghadap aku.
Membuat mata aku berkerdip tatkala merakam wajah dia yang seolah-olah sangat selesa
berbicara dengan aku.
Sepanjang perbualan, dia banyak bercerita tentang diri
dia. Tidak ada satu pun soalan tentang diri aku. So, maybe we are not meant to be. Walaupun, bahasa tubuh yang dia
tunjukkan seolah-olah memberitahu yang dia tertarik kepada aku. Hahaha, jauh
sangat fikiran aku menerawang.
If he is, he would make a move or should…
Takkanlah aku pula yang mahu memulakan? Aku tak ada kudrat seberani itu sebab
sepanjang hidup aku, aku pernah melakukan dua perkara yang tidak berakhir
seperti yang aku mahu. Perkara yang aku mulakan dahulu. Berani sangat.
Pertama, menulis sepucuk surat mengaku jatuh cinta kepada
seorang rakan sekolah yang berakhir begitu sahaja. Surat yang tidak bernama,
tapi akhirnya identiti aku terbongkar juga setelah orang tengah membocorkan
rahsia. Malu? Haruslah, berbakul-bakul rasa itu terbit setiap kali terserempak
dengan dia. Dan nyata sekali, cinta itu bertepuk sebelah tangan.
Kedua, melakukan perbuatan tidak masuk akal dengan menghubungi
seorang kawan lelaki lalu mengaku yang aku sudah jatuh cinta kepada dia. Aku
masih merahsiakan identiti, kerana aku pasti hubungan aku dengan dia andai ada
tidak akan berjaya. Sebab itu, aku menelefon dia saban hari selama dua minggu
memohon pertolongan dia agar aku mampu melupakan dia. Sungguh, tidak masuk akal
tapi ada juga orang yang mahu melakukannya.
Aku tidak menyesal berbuat begitu sebab aku meluahkan apa
yang aku mahu. Cuma keputusannya tidak pernah menyebelahi aku. Yakni, aku
kecundang dengan semua kisah cinta yang aku mulakan terlebih dahulu. Jadi,
sekarang aku nekad tidak mahu memulakan sesuatu yang akan berakhir sama seperti
dua kisah terdahulu.
“Okey, dah siap. Mari saya tunjukkan kepada awak apa-apa
yang patut awak tahu.” Suara pemuda itu segera mematikan anganan.
Aku yang mendengar agak terpesona dengan kelunakan suara
dia. Mata ralit memerhatikan dia yang sedang sibuk mengemaskan peralatan dan
kabel yang bersepah-sepah di atas lantai, nampak seksi pula di mata aku.
“Kalau awak puas hati, awak tanda-tangan dekat sini.” Dia
mengunjukkan borang penilaian.
Aku pandang sekilas sebelum mata singgah pada bahagian
bawah borang tersebut. Tertera nama dia. Almi. Senyuman segera terlukis di
bibir. Almi Ahmad. Ulang aku dalam hati.