CINCIN
yang tersarung di jari manisnya itu ditenung. Cincin itu direka sepasang.
Masing-masing dengan bentuk sebelah hati, kalau cincin itu bertemu dengan
pasangannya ia akan bercantum menjadi satu hati. Cantik. Dhea mengeluh. Kalau
cantik pun, tak guna juga kalau orang yang menyarungkan cincin ke jari manisnya
itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadapnya.
Dhea
pandang langit malam. Dibiarkan sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa
wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh badan. Hatinya rasa sebak dan pilu.
Pakaian pengantin masih melekat ditubuhnya. Tiada niat untuk menanggalkannya
walaupun majlis sudah lama berakhir.
Memang
hari itu hari yang amat bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak
semeriah seperti yang diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana
dia diselamatkan dari terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba
manusia-manusia kejam yang tidak berhati-perut.
Kalaupun
orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau sekelumit pun rasa sayang dan
cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya upaya menjaga makan-pakai lelaki
itu. Sedaya upaya menurut perintah dan mematuhi segala arahan kerana itu sahaja
yang Dhea mampu.
Sesungguhnya
kerana dia, maruah aku terselamat. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak
akan mampu membalas jasanya. Air mata Dhea jatuh berlinang.
Nun
di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea menyedari sepasang mata sedang
memerhatikan tingkah lakunya.
***
Hujan
lebat turun mencurah-curah sejak tengahari. Duduk Dhea tidak senang. Sudah lama
dia tidak bermain air. Hatinya melonjak-lonjak ingin menikmati air hujan yang
mencurah-curah laju membasahi bumi. Dia memerhatikan rintik-rintik hujan yang
kelihatan pada dinding kaca. Dia rindukan saat-saat itu, saat di mana dia masih
bebas melakukan apa yang dia suka.
Nak
pergi ke tak nak pergi? Dhea masih berkira-kira. Dia menggosok kedua belah
lengan kedinginan.
Mata
Dhea menatap bebunga dan dedaun yang berada di dalam taman kecil yang letaknya
betul-betul di bahagian tengah rumah. Taman yang dibina di dalam rumah tersebut
tidak berbumbung. Sengaja disiapkan begitu bagi membolehkan cahaya matahari
terus menyimbahkan sinarnya ke dalam. Samalah keadaannya bila hujan turun.
Dhea
memang suka sekali dengan taman mini tersebut. Di situlah tempat dia
menghabiskan masanya sejak berkahwin dengan lelaki itu. Setiap kali bila ada
kelapangan.
Jarinya
menyentuh dinding kaca, mengikut aliran air hujan yang sedang menuruninya.
Sambil duduk bersila di atas kerusi rotan, matanya terus dihalakan pada dinding
kaca yang menampakkan sebahagian besar taman mini itu. Hatinya yang sunyi,
sudah bermain lagu hujan.
Argh!
Bukannya ada sesiapapun kalau aku ingin berlari keliling taman itu. Tanpa
menunggu lebih lama dia terus membuka pintu lalu masuk ke dalam taman itu. Dhea
mendepangkan tangan. Dibiarkan titis hujan itu menimpa dirinya. Dia tidak
peduli dengan rasa dingin yang meresap ke dalam tubuh, yang penting dia ingin menikmati
saat itu.
Thaqif
yang baru balik dari kerja memerhatikan saja gadis itu menari-nari di dalam
hujan. Langkah kaki yang tadinya sedang menapak menuju kamar tidurnya terhenti
seketika. Terleka dia sejenak melihat wajah Dhea yang ceria. Semenjak gadis itu
bergelar isteri kepadanya, dia tidak pernah melihat gadis itu seceria itu.
T-shirt
yang basah melekap menampakkan susuk tubuh Dhea membuatkan naluri lelakinya
tergugat sebentar. Pantas dia beristighafar. Pantas juga dia angkat kaki
berlalu pergi. Bimbang untuk berlama-lama di situ. Bimbang hatinya akan jadi
lemah. Dia tidak mahu perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi bila gadis itu
bukannya pilihan hatinya. Sesungguhnya dia tidak rela hatinya dimiliki gadis
itu. Biarlah hubungan itu sah di sisi undang-undang sahaja.
***
Tiba-tiba
sahaja seluruh rumah itu berada dalam keadaan gelap-gelita. Rupa-rupanya,
bekalan elektrik terputus. Thaqif merengus kasar. Habis tergendala kerjanya. Dia
bangun meninggalkan meja lalu berdiri di hadapan balkoni meregangkan badan.
Seketika
kemudian dia bergerak menyingkap langsir lalu membuka pintu balkoni. Membiarkan
angin malam masuk ke dalam biliknya. Lama dia berdiri di balkoni memerhatikan
langit malam. Tiba-tiba dia teringatkan Dhea yang tidur di bilik bersebelahan.
Dia menghela nafas panjang. Sudah tidurkah gadis itu? Bolehkah dia tidur dalam
keadaan gelap-gelita dan berbahang? Huh? Kenapa aku boleh terfikirkan tentang
gadis itu? Pandailah dia menjaga dirinya sendiri.
Thaqif
mengerling jam tangan yang melingkar pergelangan tangan kirinya. Sudah menjejak
jam 3 pagi. Hendak menyambung kerja yang tergendala sebentar tadi, bekalan
elektrik masih terputus. Lantas dia mengambil keputusan untuk ke dapur
mengambil air dan mencari lilin.
“Aduh!”
Thaqif mengaduh kecil bila dia kakinya terlanggar sesuatu ketika membuka pintu
bilik. Alangkah terkejutnya dia melihat sekujur tubuh terbaring di hadapan
pintu biliknya.
“Dhea?”
panggil Thaqif tapi gadis itu kelihatan tidak sedar. Pengsan ker?
Beberapa
kali dia mencuit Dhea tapi gadis itu langsung tidak menunjukkan tindak balas.
Thaqif menyapu bersih wajah Dhea dalam samar-samar. Ada bunyi dengkur halus
kedengaran. Keletihan barangkali.
Tapi
kenapa dia berada di sini? Fikir Thaqif.
Bila
Dhea masih tidak mahu bangun, Thaqif mengambil keputusan untuk mengangkat dan
meletakkan gadis itu di dalam biliknya. Setelah membaringkan Dhea ke atas
katil, dia ke dapur. Hatinya masih tertanya-tanya. Apa gadis itu ketakutan
hingga sanggup tidur di hadapan biliknya? Beberapa ketika kemudian dia kembali
semula dengan sebatang lilin.
Dia
kembali ke mejanya cuba menyambung semula kerjanya tapi kehadiran Dhea
mengganggu konsentrasi. Beberapa kali dia seperti terdengar Dhea sedang
meracau-racau dalam tidur. Sedang diganggu mimpi ngeri barangkali?
Thaqif
bangun lalu mendapatkan Dhea. Apa sebenarnya yang telah berlaku pada gadis itu?
Dia mahu tahu.
Dalam
remang cahaya, wajah Dhea ditatap. Dhea bukan tidak cantik. Wajahnya lembut dan
ayu. Thaqif menguis helaian rambut yang melitupi wajah Dhea. Hatinya sedikit
bergetar bila terpandangkan bibir merah milik Dhea. Dia memejamkan mata.
“Dhea?
Bangun Dhea. Awak sedang bermimpi.” Thaqif
menggoyang-goyangkan tubuh Dhea.
Bagai
terkena renjatan, Dhea bangun dari tidur sedikit terkejut. Apatah lagi bila melihat
Thaqif berada di hadapannya. Dia memandang sekeliling dan matanya terhenti pada
wajah Thaqif yang penuh persoalan. Dhea segera bangun berdiri. Terlukis
perasaan serba-salah pada wajahnya.
“Maafkan
saya, tuan.” Mohon Dhea tanpa memandang
Thaqif. Ada rasa malu menyelinap di hati. Sepantas itu juga dia meninggalkan
lelaki yang bergelar suami kepadanya itu.
***
Thaqif
pandang Dhea yang sedang menyediakan sarapan pagi. Sejak mereka berkahwin, jarang
sekali mereka untuk bertegur sapa. Apatah lagi untuk berbual. Boleh dibilang
dengan jari. Sekali, semasa hari pernikahan mereka. Ketika itu Thaqif
menunjukkan bilik di mana Dhea akan tidur serta memberitahu Dhea akan
peraturan-peraturan rumah tersebut. Yang lain, bila Thaqif rasa perlu sahaja.
Dhea
tidak pernah membuka mulut untuk memulakan bicara apatah lagi untuk meminta
sesuatu. Bagi Dhea, hak itu tidak ada buat dirinya. Dia tahu di mana duduk dirinya,
dia tahu dan faham. Dia sekadar menumpang.
“Dhea,
duduk. Saya hendak bertanyakan sesuatu.”
Dhea
yang kelihatan takut-takut mengambil tempat di hadapan Thaqif. Dia memandang
Thaqif sekilas sebelum dia menundukkan wajahnya. Rasa bimbang kelihatan pada
riak wajahnya. Bimbang jika dia ada melakukan sebarang kesalahan.
“Macamana
awak boleh kenal dengan abang saya?”
“Dhea
tak kenal abang tuan,” jawab Dhea perlahan.
“Habis
tu, macam mana awak boleh berada di dalam bilik hotel bersama dengan dia?”
“Dhea
dikurung di dalamnya.”
“Abang
saya mengurung awak?”
“Tidak,
abang tuan pengsan ketika cuba menyelamatkan Dhea. Bilik itu diserbu oleh pihak
hotel dan pihak Jabatan Agama Islam ketika kami cuba melarikan diri.”
“Kenapa
awak tak bercerita hal sebenar sebelum ini?”
“Bukan
Dhea tak mahu bercerita, orang yang tak mahu percaya.”
Thaqif
terdiam.
“Awak
ada keluarga?” Thaqif bertanya bila teringatkan ketika majlis akad nikah
tempohari, tiada ahli keluarga Dhea yang hadir.
Dhea
menggeleng. Wajahnya kelihatan sugul, dia sendiri tidak tahu siapa ahli
keluarganya yang sebenar. Selama ini dia dijaga oleh keluarga angkat.
Thaqif
meraup wajahnya. Betullah seperti apa yang diceritakan abangnya. Cuma abangnya
tidak sanggup berkahwin dengan gadis yang tidak diketahui asal-usulnya itu.
Lagipun, abangnya sudah mempunyai kekasih hati. Atas alasan itu, abangnya
melarikan diri ketika majlis akad nikah menyebabkan Thaqif dipaksa dan terpaksa
menggantikan tempat abangnya. Hati Thaqif masih lagi sakit memikirkan hal itu.
***
Wajah
sendu Dhea terbayang-bayang di mata Thaqif. Dia teringat bagaimana dia mencuri
pandang wajah mulus Dhea setiap kali Dhea menyediakan makanan untuknya. Dhea
yang jarang mengangkat muka, Dhea yang selalu mengelak dari menatap matanya.
Dhea yang mahal suaranya. Dhea yang kadang-kadang membuatkan dia mati kutu bila
berhadapan dengan gadis itu.
Terngiang
di telinganya gelak tawa kecil milik Dhea tatkala gadis itu kelucuan membaca
sesuatu yang kelakar. Secara tidak sengaja Thaqif terdengar ketika gadis itu membaca
seorang diri di dalam taman. Sedikit sebanyak Thaqif sudah boleh membaca
peribadi gadis yang bernama Dhea itu.
Thaqif
meraup wajahnya. Kenapa ya? Kenapa aku tidak mampu mengelak dari memikirkan
tentang gadis itu. Dia sudah cuba untuk bangun seawal yang mungkin agar dia
tidak perlu bersemuka dengan Dhea. Malangnya, Dhea bangun lebih awal dari
dirinya. Dhea bangun menyiapkan sarapan pagi untuknya. Selama ini dia
bersarapan di luar. Kadang-kadang tidak bersarapan langsung. Bukan itu sahaja,
malah Dhea sempat mengilatkan kasut kerjanya. Bukan sepasang, semua kasut yang ada
dalam simpanannya, semua Dhea kilatkan.
Dia
juga sudah mencuba untuk balik lewat dengan harapan bila dia tiba di rumah,
Dhea sudah pun melelapkan mata. Tapi sebaliknya, gadis itu setia menunggunya.
Bukan untuk buat apapun, cuma untuk memberikannya segelas air dan menjamu dia
makan. Dhea juga sudah menyiapkan pakaiannya untuk bekerja keesokkan harinya. Bukan
sepasang tapi semua pakaian yang Thaqif ada semua Dhea seterikakan.
Semakin
dia cuba meluputkan Dhea dari ingatan, semakin kuat perasaan dia terikat pada
Dhea. Thaqif buntu.
***
Thaqif
mencari-cari kelibat Dhea ketika dia kembali dari pejabat. Selalunya Dhea akan
menyambutnya di muka pintu. Dia ke dapur, tapi Dhea tidak ada di sana. Makan
malam juga masih belum disediakan.
Mana
dia? Melarikan dirikah? Kalau benar gadis itu berniat begitu, sudah lama dia
akan berbuat demikian. Thaqif kembali semula ke ruang tamu. Mungkin Dhea berada
di dalam bilik air, fikirnya.
Beg
bimbit yang berisikan kertas-kertas kerja yang dibawa diletakkan di atas meja.
Kemudian punggung dilabuhkan ke atas sofa. Remote
control yang berada berhampiran diambil dan TV dipasangkan. Thaqif
melelapkan matanya sejenak melepaskan lelah.
Hampir
saja dia terlelap kalau tidak terdengar azan yang sedang berkumandang di kaca TV. Matanya digosok-gosok. Dhea masih
tidak muncul-muncul. Thaqif jadi sedikit geram. Dia bangun lalu menapak menuju
ke biliknya.
Dia
berhenti seketika di hadapan bilik Dhea.
Berfikir sama ada patut dia mengetuk pintu bilik itu atau sebaliknya.
Mungkin Dhea sedang menunaikan solat, fikir Thaqif lalu masuk ke dalam
biliknya.
Usai
mandi dan solat Maghrib, Thaqif turun semula ke dapur. Melihat kalau-kalau Dhea
sudah keluar dari bilik dan menyediakan makan malam. Malangnya, Dhea tidak ada
di situ. Thaqif mula risau.
“Dhea?”
Thaqif naik semula, kali ini kakinya pantas menuju ke bilik Dhea. Pintu diketuk
berulangkali. “Dhea? Buka pintu, Dhea!”
Thaqif
yang tidak sabar, terus memusingkan tombol lalu menolak daun pintu.Kelihatan
Dhea terbaring di atas lantai, mengerang dengan buku lali yang kelihatan
membengkak.
“Dhea?!”cepat-cepat
Thaqif memapah Dhea.
Dhea
mengaduh kesakitan. “Maaf tuan, makan malam Dhea belum sempat sediakan.”
“Macam
mana boleh jadi macam ni?”
“Dhea
jatuh tergelincir.”
“Kenapa
tak bagitahu saya?” soal Thaqif sambil memeriksa keadaan buku lali Dhea.
Dhea
mengalihkan kakinya dari terus disentuh Thaqif. “Dhea tak mahu susahkan tuan.”
“Bila
jadi macam ni, masih menyusahkan saya bukan?” marah Thaqif.
“Maafkan
Dhea, tuan.” Air mata Dhea jatuh berjuraian.
Thaqif
tidak jadi meneruskan marahnya. “Mari saya hantar awak ke klinik.”
“Dhea
tak sakit, tuan.” Dhea kelihatan berat hati.
“Tidak
sakit apa, kalau bengkak-bengkak begini?”
“Sungguh,
tuan. Dhea masih mampu buat kerja. Sekejap lagi Dhea turun masak.” Air mata
Dhea semakin lebat.
Thaqif
jadi semakin pelik dengan kelakuan Dhea. Apa yang cuba gadis itu sembunyikan
dari dirinya?
“Sini
kaki awak, biar saya lihat.”
“Sikit
saja tuan, tidak perlu sampai ke klinik.” Dhea cuba menyembunyikan kakinya.
Tapi
tangan Thaqif lebih gagah memegang kaki Dhea, dan ketika itu juga kain batik
yang dipakai Dhea terselak menampakkan betisnya. Mata Thaqif terbuka luas
dengan rasa terperanjat yang amat.
“Ya
Allah! Dhea?!” Thaqif mengucap. Sepantas itu juga dia menyelak T-Shirt yang
dipakai Dhea.
“Siapa
buat awak macam ni Dhea?” Pedih hati Thaqif melihat keadaan tubuh Dhea yang
penuh dengan kesan lebam dan parut luka lama.
Diperhatikannya kesan luka pada bahagian
lengan Dhea. Kesan cucuhan puntung rokok pada belakang badan Dhea. Kesan
berbirat bekas disebat dengan rotan memenuhi bahagian belakang tubuh gadis itu.
Ya Allah, Dhea? Kasihannya gadis itu. Tergamaknya orang melakukan ini pada awak,
Dhea?
Patutlah
selama ini Dhea selalu memakai seluar track dan berbaju lengan panjang.
Rupa-rupanya dia menyembunyikan kesan-kesan itu. Patutlah Dhea tidak pernah
melawan. Seumur hidup gadis itu mungkin dibayangi ketakutan. Hati Thaqif jadi
luluh seluluhnya. Air matanya sendiri mengalir melihat betapa tidak
berperi-kemanusiaannya insan yang melakukan penderaan itu terhadap seorang manusia
yang lain.
“Siapa
yang sanggup melakukan semua ini?” suara Thaqif sedikit bergetar. Ada rasa
marah terbit melihat kesan penderaan itu.
Dhea
tidak menjawab, dia hanya mampu menangis.
“Kenapa
Dhea biarkan mereka melakukan Dhea begini?”
Dhea
masih menangis. Makin lama makin menjadi-jadi. Mungkin teringat akan kisah
silam. Melihatkan keadaan Dhea, rasa simpati yang berputik serta rasa
tanggungjawab mengambil alih sebahagian besar ego Thaqif. Dia memeluk gadis itu
cuba mententeramkannya.
“Ssh..
Dhea berhenti menangis. Saya ada di sini.” Bahu Dhea digosok-gosok Thaqif.
Tangisan
Dhea mulai reda.
Thaqif
mengesat sisa airmata di pipi Dhea. Dia mencapai jemari Dhea lalu
menggenggamnya erat. “Mulai hari ini saya akan jaga awak. Awak tak perlu
risau.”
Dhea
mengangguk. Buat pertama kali dalam
hidup Dhea, Dhea merasa dirinya disayangi. Buat pertama kali juga dalam hidup
Thaqif, dia merasakan yang Dhea memang hadir untuk menyempurnakan hidupnya.
***TAMAT***
***Nantikan
Siluet Cinta dalam bentuk Novel bersiri (sikit masa lagi)***