HATI sebenarnya melonjak-lonjak mahu ke tempat kerja hari
ini. Sejak mendapat tahu yang Almi cuma ada masa selama tiga hari sahaja untuk
melunaskan tugasan di tempat aku bekerja. Dua hari sudah berlalu, tinggal
sehari sahaja untuk aku mewujudkan sesuatu antara kami berdua. Yup, aku kena
buat satu Master Plan yang pasti dan
mesti berjaya. Amboi! Hehehe...
Namun, alangkah malangnya nasib aku, boleh pula aku jatuh
sakit hari ni. Hari terakhir Almi dan rakan sekerjanya bertugas untuk pihak
syarikat. Aduh, dalam banyak-banyak hari, kenapa pilih hari ini? Nanarlah aku.
Takkan nak paksa tubuh aku yang longlai ini melangkah ke pejabat hanya kerana
menurut kata hati. Orang kata ikut hati, mati.
Aku pandang jam dinding yang berdenting dengan mata
terkebil-kebil sambil mengesat peluh yang merenik di dahi. Tubuh badan terasa
hangat, wajah membahang. Demamlah katakan. Hendak bermanja lebih-lebih, tidak
tahu kepada siapa. Keluarga berada di kampung, aku jauh di perantauan.
Nasib baiklah rakan serumah aku baik hati orangnya,
dialah yang bersusah payah menjaga aku, memaksa aku agar menelan ubat demam,
memaksa aku agar memakan bubur nasi buat mengalas perut. Bersyukur aku mendapat
rakan serumah seperti dia.
“Nak aku call
pejabat tak?” Suria, rakan serumah aku itu bertanya. Pagi-pagi, ketika dia
hendak beransur keluar.
Aku menggeleng. Aku masih larat lagi kalau sekadar
mendail nombor telefon pejabat dan memberitahu yang aku tidak dapat hadir untuk
bekerja hari ini.
“Kenapa nak baring kat sofa? Bukankah lebih selesa baring
dalam bilik, atas katil?” Dia mempersoalkan tindakan aku yang mahu merehatkan
diri di ruang tamu berbanding di dalam bilik.
“Malaslah, kalau kat sini, aku boleh layan tv.” Alasan
yang aku berikan, walhal aku tahu sebaik sahaja televisyen terpasang suisnya,
kurang sepuluh minit sahaja aku pasti sudah terlelap. Lebih-lebih lagi dalam
keadaan begini.
Aku lihat Suria menggelengkan kepala buat aku tersengih
lemah.
“Kau okey tak ni, tinggal sorang-sorang?” Dahi Suria
berkerut, agaknya serba salah mahu meninggalkan aku.
“Okey, pergilah. Nanti lambat.”
“Aku gerak dulu tau, kalau ada apa-apa jangan lupa call
aku.” Begitu pesan Suria dan aku hanya mengangguk sambil menghadiahkan dia
secebis senyuman.
Sebaik sahaja Suria berlalu, aku mencapai alat kawalan
jauh dengan niat mahu menonton rancangan di kaca televisyen. Wajah Almi
tiba-tiba menjengah fikiran. Hurm... Puaslah sudah aku merancang semalaman.
Situasi yang perlu dicipta agar boleh mencetuskan sesuatu dan menjadi
kesinambungan yang berterusan. Aduhai! Alih-alih, aku terlantar di atas sofa
dengan wajah mengadap kipas siling. Maka, punahlah harapan aku yang menggunung hendak
menatap wajah dia buat kali terakhir.
Namun dalam keadaan aku begitu sempat lagi aku berdoa
dalam hati. Andai dialah orangnya, andai dialah pemilik tulang rusuk ini, make it happen between the two of us. Amin
ya rabbal alamin.
Aku membelek alat kawalan jauh dan mula menekan butang
yang ada. Mencari siaran yang berkenan, mengisi kebosanan yang mula melanda.
Juga mahu melayan mata yang terasa semakin layu. Badan yang makin terasa lesu.
Aduhai, cepatlah kebah demam ini. Mana tahu esok Almi masih ada di pejabat, dan
aku masih berkesempatan bertemu dengan dia. Mudah-mudahan tugasan mereka
dilanjutkan untuk beberapa hari lagi.
Ketika aku masih lagi berada dalam keadaan mamai,
terdengar ketukan bertalu-talu pada daun pintu. Alahai, siapalah agaknya?
Pantang aku ada kat rumah, ada sahaja gangguan yang datang. Dalam keadaan
payah, aku gagahkan juga untuk bangun. Menggeletar lutut aku setiap kali aku
melangkah. Lemah terasa seluruh anggota, penangan ubat demam yang membuatkan
aku rasa mengantuk dan mahu tidur sahaja.
Salam diberi beberapa kali, aku menjawab tapi mungkin
suara aku terlalu perlahan untuk sampai ke telinga si pemberi salam.
“Naurah, awak okey ke?” Sayup-sayup kedengaran di sebalik
daun pintu.
Nama aku yang diseru, buat aku terpinga seketika sebab
suara itu seperti milik seseorang yang aku kenal. Siapa? Terdetik di hati
aku.
“Awak?” Buntang mata aku sebaik sahaja daun pintu terbuka.
Almi di muka pintu dengan sejambak bunga di tangan. Biar
betul? Saat itu juga aku terjelepok jatuh.
Aduh! Sakitnya dahi yang menyembam lantai. Aku bangun
sambil menggosok dahi dan siku. Isk! Aku mendongak ke atas tapi tiada wajah
Almi di situ. Aku pandang keliling pula. Okey, aku bukan berada di depan pintu.
Dahi yang sakit ni terkena bucu meja kopi yang terletak berhampiran dengan
sofa. Baru aku sedar yang aku sebenarnya jatuh tergolek dari atas sofa. Haish,
jadi aku bermimpi sebenarnya?
SENYUM awak
merangsang hati,
menawan jiwa
datang mendekat,
resah menggagau
mencari dikau,
ke mana
menghilang duhai kasih?
Ho ho. Pagi-pagi aku disambut dengan sticky note berwarna merah jambu, sekembalinya aku bekerja pada keesokkan
harinya. Masih dilekatkan di tempat yang sama. Pada badan tetikus. Bukan satu
tapi ada dua sticky notes.
Rindu, hadirnya tanpa diundang.
Menuntun hati ini kepadamu.
Jiwangnya. Luruh jantung aku membacanya. Tiba-tiba terasa
hangat menyerbu ke wajah. Hish! Siapalah punya kerja ni? Namun, ketika itu
tiada siapa yang berada di sekeliling. Rakan sekerja aku yang lain belum tiba
lagi kalau mahu bertanya. Tapi, setahu aku tiada rakan sekerja lelaki aku yang masih
bujang. Kalau ada pun, sudah berpunya.
Malaslah mahu memikirkan. Siapa gerangan yang bermain
sorok-sorok dengan aku ni? Jadi secret
admirer sangat? Kalau nak kat aku, cakap sahajalah terus terang. Aku tiada
masa mahu bermain teka-teki. Sudahnya, sticky
note itu jadi penghias dinding bahagian dalam laci aku. Sekali lagi.
Ketika aku membetulkan postur badan, mata pantas
menangkap kelibat seseorang. Tak silap lagi. Aku mendapati pemuda yang berkaca
mata itu masih lagi ada menyelenggara komputer di pejabat aku. Bermaknanya,
Almi itu juga sudah tentu masih lagi berada di sini. Hati kembali bersorak
riang. Untuk kepastian, aku merisik daripada rakan sekerja yang lain, rupa-rupanya
tugasan mereka itu dilanjutkan lagi sehari-dua? Bijak tak aku.
Kaki melangkah laju-laju. Sengaja tawaf jabatan, mencari
dia. Dah rupa guru besar melawat kawasan sekolah. Mata melilau sana sini, macam
bodoh pun ada. Tapi, aku pandai cover
misi-misi mengarut macam ni. Haruslah, kalau tidak? Buat malu sahaja. Huh, sewel
dah aku ini, agaknya.
Oh, okey dah jumpa. Langkah kaki automatik jadi perlahan.
Dia sedang menyelenggara sebuah komputer milik salah seorang staf di bahagian proses
entri. Nasib baik, sebab kadang-kadang kerja aku memang ada kena-mengena dengan
unit tersebut. Jadi, minda aku sudah ligat memasang rancangan. Sebenarnya, sedang
mencari jalan bagaimana mahu memberi dia peluang untuk mengenali aku. Cheh! Kalau
dia tak faham dan tidak ada tindak balas. That’s
it. Gone. Good bye to my mission. Peluang
begini ‘kan hanya datang sekali?
Setelah tahu mana duduknya target, aku kembali semula ke meja aku. Hendak menyiapkan rangka
rancangan memikat dia. Aku tergelak sendiri memikirkan kepala yang serabut.
Mahu tidak jadi serabut bila dia perasan kehadiran aku tadi. Siap angkat mata
dan menghadiahkan aku sebuah senyuman meruntun jiwa. Memang runtuh jiwa aku,
lemah lutut, nasib baik tak jatuh terjelepok menyembah lantai tadi. Tapi, elok
juga kalau terpengsan, untung-untung dia yang jadi penyelamat aku. Cheh! Gedik
sungguh engkau ni Naurah.
Mata aku beralih setiap kali ada kelibat yang muncul.
Tapi, bukan pemuda yang aku harapkan. Sebaliknya, mamat berkaca mata itu yang
muncul. Dua tiga kali. Aku tidak tahu sebabnya. Sekejap ke depan sekejap ke
belakang melewati kubikelku. Mungkin ada kaitan dengan komputer bos, tidaklah
aku ambil kisah sangat sebab aku mengharapkan kemunculan Almi. Namun, sampai
saat ini dia masih tidak juga muncul-muncul, membuatkan aku mengambil keputusan
untuk melaksanakan misi yang aku rancang. Misi desperate. Eee, benci aku nak sebut.
“Kak Sarah, ada entry
tak nak post kat depan?” Aku sudah
berdiri dengan membawa beberapa fail dan entri untuk diserahkan kepada staf
yang berkenaan. Sengaja aku bertanyakan Kak Sarah jika dia mahu menumpangkan
sebahagian tugasnya kepadaku. Jika ada, bolehlah aku berlama-lama di sana.
“Ada, tolong akak buat 3 entri ni ye...” Kak Sarah
menyerahkan beberapa buah fail serta entri yang dimaksudkan dan aku menerima
dengan senang hati. Sengih sampai ke telinga, terlebih baik aku hari ini.
Segera aku bergegas ke bahagian tersebut, mahu
menyelesaikan tugasan juga mahu mencipta peluang. Kening aku terangkat melihat dia
ada di sana, selang satu tempat duduk. Matanya memaku wajah aku ketika aku
mengambil tempat di salah sebuah kerusi yang ada. Senyum yang menguntum buat
hati berdetak suka. Aku membalas senyuman yang diberi. Semanis yang boleh.
Kalau semut boleh rasa bibir aku ini, semut pun boleh mati agaknya. Control Naurah, control.
Setelah beberapa
ketika berada di sana, nampaknya, tiada apa yang lebih bermakna berlaku.
Setakat berbalas senyum. Berbalas pandang. It
will not bring anything. Jadi, begitulah kesudahannya. There goes my crush.
Kecewa? Mungkin sedikit. Memang dia bukan untuk aku. Aku
bukan untuk dia. Tapi, kenapa hingga saat aku menulis ini. Wajah dia masih
terpahat di minda? Passing fancy,
mungkin?
Aku harus mengakui, it
takes a minute to have a crush on someone, an hour to like someone, a day to
love someone but a lifetime to forget someone. Namun sebab aku berpegang
pada teori itu yang pernah aku terbaca. Based
on psychologic study, a crush only last for a maximum of 4 months. So this is could
only be temporary. So, I just let it be…
Namun, aku tidak lupa juga untuk menitipkan doa. Manalah
tahu, kan?
Ya Allah Yang Maha Pemurah
Terima kasih, Engkau telah menciptakan dia dan
mempertemukan aku dengannya
Terima kasih, untuk saat-saat indah yang telah kami
nikmati bersama
Terima kasih, setiap pertemuan yang kami lalui bersama
Terima kasih, setiap saat-saat yang lalu
Aku datang bersujud pada-Mu
Sucikanlah hatiku ya Allah, agar dapat melaksanakan
kehendak dan rencanaMu dalam hidupku
Ya Allah, jika dia bukan pemilik tulang rusuk ini,
janganlah biarkan aku merindukan kehadirannya
Janganlah biarkan aku melabuhkan hatiku di hatinya
Kikislah pesonanya dari setiap pelusuk mataku
Dan usirlah dia dari relung hatiku
Gantilah damba kerinduan dan cinta yang bersemayam di
dada ini dengan kasih dari dan kepada Mu yang tulus dan murni
Bantulah aku agar mengasihinya hanya sebagai seorang
sahabat
Tetapi jika Engkau ciptakan dia untukku ya Allah,
Jika aku pun tercipta untuk dia
Dekatkanlah kami
Satukanlah hati kami
Tanamkanlah cinta dan kasih yang tulus dalam hati kami
Bantulah kami untuk saling mencintai, mengerti dan
menerima seadanya
Amin