Khamis, 3 November 2011

CERPEN: BUKAN UNTUKMU


Alifuddin Rafiq sedang berjalan menuju ke bilik guru bersama-sama Hakimi dan Zul Izzi ketika bertembung dengan Aqilah Hani.
“Aqilah.” Tegurnya. Aqilah Hani terhenti seketika di hadapan Rafiq dan rakan-rakannya itu. Dia menunggu patah-patah bicara seterusnya tapi Rafiq cuma tercegat dan membisu di hadapannya. Seolah-olah terpukau dengan kehadiran Aqilah Hani di situ.
Apahal dengan Rafiq? Aqilah Hani jadi pelik tapi dia tidak mahu bertanya. Dipandangnya wajah Rafiq yang kehilangan kata-kata. Oleh kerana Rafiq tidak mengucapkan sesuatu, Aqilah meneruskan semula langkah kakinya menuju ke kelas Lima Anggerik. Hendak menunggu lebih lama, dia ada tugasan lain hendak diselesaikan.
Hakimi menepuk bahu Rafiq setelah Aqilah Hani berlalu pergi.
“Aqilah?” Nama itu juga yang terpacul di bibir Rafiq.
“Dia dah pergi.” Kata Zul Izzi.
“Kau lambat sangatlah.” Hakimi menyambung sebelum mengorak langkah membuntuti Zul Izzi yang sudah bergerak terlebih dahulu. Tinggal Rafiq di situ termangu-mangu keseorangan.
****
Aqilah Hani. Dia cinta hati Alifuddin Rafiq yang pertama. Sejak kali pertama dia melihat Aqilah Hani dia sudah jatuh hati dengan perawakan gadis itu. Lemah lembut, sopan santun dengan wajahnya yang manis. Sesuai sangat dengan peribadinya.
Sejak mengenali Aqilah Hani, dia sudah tahu apa itu rindu. Kalau boleh tiap-tiap hari dia ingin melihat wajah Aqilah. Kalau boleh tiap-tiap hari juga dia ingin menyebut nama gadis itu. Hebatnya penangan Aqilah Hani pada Alifuddin Rafiq.
Memang Aqilah Hani indah di matanya, walhal ada saja gadis lain yang sepuluh kali lebih cantik dari Aqilah Hani. Entahlah, bagi Rafiq bila matanya sudah mendarat pada wajah Aqilah dan hatinya sudah dimiliki Aqilah, memang tiada yang lain selain Aqilah Hani.
Hampir setiap hari nama Aqilah disebut-sebut bila berbicara. Adakalanya Hakimi dan Zul Izzi menjadi bosan mendengar ceritera Rafiq tentang Aqilah. Bila saat itu tiba, mereka akan mula menyakat Rafiq. 
“Jangan cakap saja, pergilah jumpa dia.”
“Aku nak cakap apa dengan dia?” Memang lidahnya jadi kelu setiap kali bertembung dengan Aqilah. Dia sendiri tidak tahu mengapa, walhal sebelum itu dia sudah merangka-rangka ayat yang sesuai dan difikirkan wajar untuk memulakan salam perkenalan. Rafiq mengeluh.
“Kalau kau macam ni, sampai bila pun kau tak akan dapat Aqilah Hani tu.”
Memang benar seperti kata teman-temannya itu, sampai tamat alam persekolahan pun hajatnya untuk berbual dengan Aqilah Hani tidak pernah kesampaian.
****
Hari itu sesi pendaftaran untuk pelajar baru institusi pengajian tinggi sedang berlangsung di universiti tersebut.
“Aqilah Hani?”
“Hi? Alif? Alifuddin Rafiq?”
“Awak ada di sini?”
Aqilah Hani tersenyum cuma. Cair Rafiq melihatnya. Membuatkan dia jatuh cinta sekali lagi pada Aqilah Hani.
Semenjak bertembung semula dengan Aqilah di kampus tersebut, Rafiq jadi amat teruja. Dia merasakan pertemuan itu seperti telah ditakdirkan dan bukan hanya satu kebetulan. Fikirnya memang sudah jodoh mereka. Dia bersyukur sungguh-sungguh ke hadrat Ilahi.
 Selama ini dia memang tidak pernah melupakan Aqilah. Mana mungkin dia mampu berbuat sedemikian bila dia sudah memahat tegar sepotong nama itu di sanubari. Memang dia akui gGadis itu sangat-sangat istimewa di hatinya.
Maka bermula saat itu juga, Rafiq tekad mengambil tahu jadual kuliah dan aktiviti harian Aqilah Hani. Seboleh-bolehnya dia ingin turut serta dalam semua kegiatan yang dilakukan Aqilah dan mengambil peluang tersebut untuk mendekati  gadis yang dipuja secara senyap itu. Dia tidak mahu terlepas peluang dan menyesalinya di kemudian hari.
****
Kini seperti yang diharapkan Rafiq, hubungannya dengan Aqilah yang dulu cuma setakat kenalan zaman persekolahan sudah naik taraf satu langkah ke hadapan menjadi teman satu kuliah dan sahabat baik.
“Qila?” Tegur Rafiq ketika mereka dalam perjalanan ke kafeteria selepas usai kuliah Ekonomi.
“Ya?”
“ Pergi tak rombongan ke Genting Highland tu?”
“Tak.” Aqilah menjawab pendek.
“Kenapa?” Kecewa sedikit Rafiq mendengar jawapan yang diberikan Aqilah. Dia memang berharap sangat Aqilah akan turut serta dalam program anjuran persatuan mahasiswa dan mahasiswi universiti tersebut.
“Qila dah ada program lain masa tu.”
“Kalau Rafiq tahu Qila tak pergi, Rafiq tak akan mendaftar diri untuk turut sekali.”
“Laa…orang lain kan ada.”
“Tapi, lagi seronok kalau Qila ada sekali.”
“Aku kan ada?” Tiba-tiba satu suara menyampuk dari belakang. Aqilah dan Rafiq segera menoleh ke arah pemilik suara tersebut.
“Betul tu, Fatin kan ada. Rafiq genglah dengan dia.”
Fatin Nazira segera menyaingi mereka berdua sambil matanya melirik ke arah Rafiq. Hatinya sudah terpaut pada jejaka tersebut. Senyuman dilemparkan. Mahu tak mahu Rafiq terpaksa membalas senyuman yang terukir di bibir teman sebilik Aqilah Hani itu.
****
Perkara pertama yang dilakukan Rafiq ketika selamat tiba di Genting Highland ialah mendail nombor telefon bimbit milik Aqilah. Sememangnya jasadnya sahaja yang berada di sana tapi hatinya ditinggalkan bersama Aqilah Hani.
“Sejuknya kat Genting ni .”
“Korang mesti seronok kat sana kan?”
“Kalau Qila ada sama, tentu lagi seronok.”
“Fatin mana?”
“Hello, Qila? Kau jangan dengar cakap Rafiq ni. Dia suka aje bersama dengan aku kat sini.” Secara tiba-tiba Fatin Nazira merampas telefon bimbit milik Rafiq itu.
“Hahaha…aku tahu.” Tergelak Aqilah mendengar senda Fatin Nazira yang suka bergurau itu.
“Fatin, kembalikan semula handphone aku tu.” Terdengar suara Rafiq merayu pada Fatin.
“Qila, okeylah aku blah dulu. Aku akan jaga baik-baik si Rafiq ni. Hehehe…”
“Hahaha…” Aqilah tergelak sama.
“Fatin, aku nak sembang dengan Qila lagi.”
“Bila balik dari Genting nanti, kau sembanglah dengan dia puas-puas.” Balas Fatin terseringai sebelum menyimpan telefon bimbit milik Rafiq itu ke dalam saku seluar jeans yang dipakainya. ‘Buat masa ini, kau lepak dengan aku dulu. Aku akan cuba buat kau lupa pada Aqilah Hani.’desis hati Fatin Nazira.
****
Jari-jemari halus milik Aqilah Hani yang terletak kemas di atas meja perpustakaan itu dipandang Rafiq. Dia meletakkan buku-buku yang dibawanya bersama tadi. Wajah mulus Aqilah Hani itu ditatap lembut tanpa disedari oleh yang empunya badan. Matanya beralih semula pada jari-jari runcing itu. Dekat sangat dengan jari-jari miliknya. Argh! Hatinya bagai digaru-garu. Terasa ingin menyentuh dan menggenggam jari-jemari tersebut tapi hasrat itu dipendamkan.
 “Qila tahu tak, dulu semasa Rafiq bekerja sementara kat sebuah syarikat. Ada seorang kakak tu, dia suka sangat dengan Rafiq.”
“Berapa umur kakak tu?” Terhenti seketika Aqilah dari pembacaannya.
“Tak adalah tua sangat, dalam awal 30an.”
“Muda lagi. Cun tak kakak tu?”
“Cun, memang cun tapi Qila lagi cun.” Rafiq tersenyum ketika mengungkapkannya.
“Habis tu apa yang terjadi?” Soal Aqilah seolah-olah tidak mendengar pujian Rafiq tadi.
“Kakak tu kata dia suka kat Rafiq. Suka sangat.”
“Okeylah tu. Sekarang ni, dah biasa dah kalau perempuan tu lebih tua dari pasangannya.”
“Tak okey.”
“Kenapa pula?”
“Perempuan tu isteri orang.”
“Ooh… Kalau macam tu memang tak okey.”
“Lagipun…”
“Lagipun, apa?”
“Rafiq sukakan orang lain.”
“Siapa orang lain tu?” Fatin Nazira yang baru tiba dan mengambil tempat di sebelah Aqilah mengajukan pertanyaan membuatkan Rafiq terkedu.
‘Tergendala lagi rancangan aku,’ Rafiq mengeluh. Hajat di hati ingin meluahkan segalanya pada Aqilah Hani tapi kehadiran Fatin Nazira telah memusnahkan hasrat yang sudah agak lama terpendam itu.
****
Senja itu Rafiq mengambil keputusan untuk menghubungi Aqilah melalui talian telefon. Sudah agak lama dia memendam rasa dan dia tidak mampu menanggungnya lagi.
“Rafiq, Qila bukan tak sudi tapi Qila dah ada orang lain. Qila kalau boleh nak jaga hati dia. Qila kalau boleh nak jadi seorang yang setia.” Aqilah berterus terang. Dia sudah jadi tunangan orang, mana mungkin dia menerima cinta orang lain bila sudah terikat begitu.
“Huk…” Rafiq mengeluh. Matanya dipejamkan dan kepalanya dipanggung. Seksanya luka ini.
“Qila tahu di luar sana ada lebih ramai perempuan yang lebih baik dari Qila.” Rasa serba salah menyerang diri Aqilah. Dia tidak tahu yang selama ini Rafiq menyimpan perasaan terhadap dirinya.
“Tapi tak sama macam Qila.”
“Rafiq, Qila minta maaf kalau selama ini Qila secara tidak sengaja memberikan harapan buat Rafiq. Qila tidak bermaksud begitu. Selama ini Qila anggap Rafiq tidak lebih dari seorang sahabat.”
Senyap.
“Rafiq?” Panggil Aqilah, bimbang jika Rafiq akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
“…” Hati Rafiq hancur luluh umpama kaca yang jatuh berderai. Air matanya  jatuh berlinang di pipi. Impian yang tercipta selama ini musnah dalam sekelip mata. Seakan tidak mahu menerima kebenaran dan kenyataan itu.
“Qila tahu Rafiq sedang mendengar, Qila harap bila Rafiq menghubungi Qila semula, Rafiq sudah bersedia menerima Qila sebagai sahabat Rafiq bukan sebaliknya.”
‘Rafiq, maafkan Qila. Kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Qila bukan jodoh Rafiq.’ Detik hati Aqilah sebelum mematikan telefon bimbitnya.
Argh! Rafiq mengeluh sedih. Rupa-rupanya Aqilah Hani hadir untuk mengajarnya erti cinta, rasa rindu dan kecewa dalam satu pakej. Memang Aqilah Hani istimewa tapi dia bukan untukmu, Alifuddin Rafiq. Akan ada orang lain yang lebih baik untukmu. Mungkin tidak seistimewa Aqilah Hani atau mungkin lebih istimewa darinya. Mungkin jodohnya hadir selepas itu untuk merawat lukanya.Siapa tahu?
****
Aqilah Hani menyematkan pin pada tudung berwarna kuning cair yang disarungkan di kepalanya. Farish Daniel yang baru berusia setahun itu sedang merengek-rengek dalam pangkuan suaminya. Memanggil-manggil sang ibu yang sedang bersiap.
“Dah siap?” Tanya si suami sudah bersedia untuk menghidupkan enjin. Aqilah Hani mengangguk mengambil si kecil dari pangkuan ayahnya.
 Kad Walimah yang diterima Aqilah Hani sebulan lalu dicapai dari dashboard kenderaan tersebut. Dia tersenyum melihat nama yang tertera pada kad tersebut.
Alifuddin Rafiq Bin Ahmad bersama jodohnya Fatin Nazira Binti Khairil.