Khamis, 15 November 2018
Jumaat, 27 Januari 2017
P. A Encik Hafizz Elsad: Chapter 3
OH! Jadi dialah pelajar
lelaki yang dikecoh-kecohkan oleh ramai pelajar perempuan beberapa minggu
kebelakangan ini. Dialah rupanya pelajar baru yang baru berpindah ke sini dan
menjadi buah mulut warga kolej tempat Zulaikha Aaliya menuntut ketika
itu. Termasuklah Ainin dan Muna, dua member yang tidak berapa hendak kamcing
dengan Zulaikha Aaliya tapi selalu bersama dengan dia. Entah apa yang dikecohkan sangat, tidak
kepingin Zulaikha Aaliya
mengambil tahu.
Telinga Zulaikha Aaliya sempat
menangkap perbualan antara Ainin dan Muna ketika mereka bertiga berjalan
beriringan menuju ke perpustakaan. Semuanya berkisar tentang pelajar baru itu, Hafizz
Elsad, membuatkan dia malas hendak masuk campur. Tidak berkenaan, putusnya di
dalam hati.
Kalaulah
kedua-dua mereka itu tahu tentang insiden yang berlaku antara dia dengan Hafizz Elsad tempoh hari, tak tahulah apa yang bakal terjadi. Sebenarnya, sudah agak
lama Hafizz Elsad mendaftar
masuk ke kolej itu, hanya Zulaikha Aaliya sahaja yang tidak tahu. Atau langsung tidak mengambil tahu. Tidak
ada keperluan bagi si empunya diri.
Matanya terus terarah kepada
sesusuk tubuh milik Nazri yang seolah-olah sedang menanti kedatangan mereka
bertiga. Dari kejauhan, kelihatan Nazri sedang tersenyum simpul serupa
pengantin atas pelamin yang malu-malu ketika diusik oleh para tetamu yang
datang. Semakin hampir mereka bertiga kepadanya, semakin lebar senyuman yang
menguntum.
Zulaikha Aaliya menoleh ke
arah kanan, kiri dan belakang. Juga ke arah Ainin dan Muna yang seolah-olah
tidak kisah. Masih leka berceloteh dengan hal sendiri. Seraya Zulaikha Aaliya
membalas tanpa niat dan prasangka. Orang berbudi, kita berbahasa. Walaupun, dia
memang tidak berkenan dengan lelaki yang seorang ini.
Nazri memandang Zulaikha
Aaliya yang semakin menghampiri. Sesekali dia tunduk menguis lantai simen.
Entah apa yang dikuisnya tidaklah Zulaikha Aaliya perasan sangat. Tapi tingkah
Nazri yang seperti menunggu seseorang itu sedikit sebanyak mengganggu fikiran.
Tunggu aku ke? Takkanlah. Terdetik
hati Zulaikha Aaliya tatkala melihat tingkah laku Nazri yang serba tak kena.
“Assalamualaikum.” Nazri
menyapa setibanya Zulaikha Aaliya di muka pintu perpustakaan. Di situlah dia
menunggu.
“Waalaikumsalam,” jawab Zulaikha
Aaliya ketika melewatinya dan tanpa pamit dia terus melangkah masuk ke dalam perpustakaan.
Dia bagi salam dengan semua orang yang masuk ke dalam perpustakaan agaknya.
“Zulaikha?” Panggilan Nazri
membuatkan tubuh Zulaikha Aaliya berpaling.
“Ya?” balas Zulaikha Aaliya
dengan kerut di dahi. Tanda-tanya berlegar-legar di dalam fikiran, membuat dia
tidak jadi mahu meneruskan perjalanan. Langkah Ainin dan Muna yang bersama Zulaikha
Aaliya ketika itu turut terhenti sama.
“Boleh kita bercakap
sebentar?” Pandangan Nazri jatuh ke arah Zulaikha Aaliya sebelum beralih kepada
Ainin dan Muna.
“Ika, kami pergi dahulu,”
Ainin mewakili Muna bersuara, seolah-olah faham yang Nazri mungkin hanya mahu
bercakap dengan Zulaikha Aaliya sahaja. Bersendirian, tidak mahu melibatkan dia
dengan Muna.
Zulaikha Aaliya mengangguk
dengan berat hati dan mereka meninggalkan dia bersama Nazri.
Sedikit cuak Zulaikha Aaliya
memandang Nazri. Ada kaitan dengan projek tempoh hari atau ada sebab lain yang
hendak disampaikan oleh Nazri? Ketika itulah Zulaikha teringatkan perbualannya
dengan Hainun dua-tiga hari yang lepas. Seram sejuk dia jadinya.
“Zulaikha, kawan Khairul hendak
berkenalan.” Hainun memulakan bicara ketika singgah ke biliknya malam itu.
“Dengan siapa?” balas Zulaikha
Aaliya tanpa menoleh. Sibuk menelaah komik, sementelah orang lain sibuk
menelaah buku pelajaran dan nota kuliah.
“Kamulah, takkan dengan aku
pula. Mana aku nak campak buah hati aku tu.” Sedikit berseloroh jawapan yang
diberikan oleh Hainun. Dia melabuhkan separuh punggung ke atas katil lalu
bersandar pada kepala katil.
Hey, Mak Enon ni, getus hati Zulaikha
Aaliya sambil mengesotkan badan sedikit mahu memberi ruang kepada Hainun. Mamat
mana pula yang berkehendakkan aku? Ni mesti kes nak matchingkan orang. Takde
lain kerjanya, hari tu Suraya jadi mangsa. Dipasangkan Suraya itu dengan
Irwandi. Katanya mereka berdua secocok sama tinggi sama rendah. Nasib baik
menjadi. Tapi dengan aku, jangan haraplah.
Hainun membetulkan postur
badan, sesekali cuba mengalihkan pandangan Zulaikha Aaliya agar memberi
perhatian kepada topik perbualan. Tapi, Zulaikha Aaliya buat tidak tahu sahaja
malah dengan selamba mengalihkan tangan Hainun yang melambai-lambai di hadapan
mata mengganggu kelancaran pembacaannya ketika itu.
“Tak nak dan tak ada masa.”
Pantas saja Zulaikha Aaliya menjawab. Mana ada masa hendak bercinta-cinta
ketika ini. Lagipun fokusnya ketika itu lebih kepada mendapatkan sijil
pelajaran terlebih dahulu, sebelum mendapatkan sijil nikah.
“Jual mahal pula,” ujar Hainun
sambil mengambil menghenyak punggung beberapa kali. Sengaja. Berkeriut dan
bergoyang-goyang katil kecil itu jadinya. Zulaikha Aaliya masih tidak peduli,
matanya laju sahaja membaca komik yang berada di tangan.
“Aku belum bagitahupun siapa
orangnya,” sambung Hainun lagi.
“Siapa-siapa pun orangnya, aku
tidak berminat. Terima kasih sahaja.” Jangan bagi muka. Jangan bagi muka,
begitu hati Zulaikha Aaliya mengingatkan. Bimbang termakan pujukan Hainun, mengetahui
diri Hainun yang tahap dan daya memujuk boleh dikatakan yang terbaik dan cemerlang.
Anugerah, dan sesuai kalau kelak dia menjadi seorang jurujual, mesti laku keras
produk yang dijualnya.
“Orangnya memang sesuai… Baik,
sopan-santun... sesuai sangat dengan engkau, Ika.” Hainun melobi.
Haah!
Iyalah tu. Zulaikha Aaliya sudah membuat muka di sebalik komik yang
dibacanya. “Tak nak. Noktah. End of conversation.”
Hainun sudah bermain-main
dengan hujung rambut Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya menggeleng
kepala, meleraikan jemari Hainun yang sedang memintal rambutnya itu. Namun
matanya masih melekat pada lembaran komik.
“Please, aku dah cakap yang kau dah setuju…”
“Apa?” Pantas Zulaikha Aaliya
menoleh memandang Hainun. Matanya buntang dan terasa sendi-sendi badan menegang
secara spontan. Bibir terherot ke tepi. Memang matanya berlari-lari membaca
dialog yang tertera pada dada komik tapi
telinganya masih lagi menangkap setiap patah perkataan yang meluncur
keluar dari bibir Hainun.
Hainun angkat kedua-dua
kening, buat muka tidak bersalah. Bagi dia, Zulaikha Aaliya itu orangnya keras,
dingin dan gadis seperti itu perlukan seseorang untuk membuatkan dia menjadi
lebih lembut.
Wah!
Wah! Wah! Buat keputusan
tanpa pengetahuan aku dan yang paling penting tanpa persetujuan aku! Ini sudah
lebih! Hati panas Zulaikha Aaliya bermonolog. Matanya dibesarkan tapi Hainun
buat tak endah sahaja.
Bibir Hainun muncungkan dengan
anak mata sengaja memandang siling. Badan dilenggok ke kiri ke kanan. Tahu Zulaikha
Aaliya bila marah, marahnya cuma seketika. Tidak ke mana. Keras mana pun hati Zulaikha
Aaliya, dia tidak akan melenting suka-suka. Itu sikap Zulaikha Aaliya yang dia
suka.
“Hah? Setuju? Setuju apa? Aku tak kira, apa-apa yang kau dah
cakap kat mamat tu baik kau tarik balik.”
Dengan muka cemberut Zulaikha Aaliya memberi amaran.
Hilang wajah Hainun menjelma
pula wajah Nazri. Zulaikha Aaliya memandang Nazri. Setahu dia Nazri memang
selalu bersama dengan Khairul. Huh! Diakah yang dimaksudkan oleh Hainun. Nazri
orangnya? Lelaki yang selalu cari hal, cari fasal, cari masalah dengan dirinya,
yang selalu tidak puas hati dengan kerja-kerja yang ditugaskan kepadanya?
Lelaki itu?
“Aa? Ada apahal? Saya sibuk
ni,” secara automatik intonasi suara Zulaikha Aaliya bertukar menjadi sedikit
garang.
Nazri jadi salah tingkah.
Kepala digaru-garu mencari kata-kata yang sesuai untuk dijadikan pembuka bicara
bila Zulaikha Aaliya berkelakuan sedemikian rupa. Mungkin salah dia juga yang
suka mencari hal dengan gadis itu sebelum ini. Dia sebenarnya cuma mahu menarik
perhatian Zulaikha Aaliya. Mungkin cara dan pendekatan yang digunakan oleh
dirinya itu tidak betul. Untuk seketika, dia jadi terkedu.
Zulaikha Aaliya berdehem. Hati
baik dia sudah mula bersuara menjalankan tugas. Mungkin Nazri mahu meminta maaf
atas sikapnya, mungkin dia tiada kaitan langsung dengan lelaki yang dimaksudkan
oleh Hainun beberapa hari sebelumnya. Mungkin juga tiada apa-apa langsung. Tak
baik bersalah-sangka. Jangan bertindak melulu. Lebih baik selidik terlebih
dahulu sebelum membuat sebarang andaian.
“Saya tak akan mengambil masa yang lama,” ujar
Nazri bila dilihatnya Zulaikha Aaliya tidak bersuara.
Zulaikha Aaliya diam sejenak.
Cuba mencari alasan agar diri tidak tersepit. Kalau boleh hendak mengelak
sebenarnya. Tapi, bila difikir-fikirkan lebih lama dia mengelak lebih lama lagi
masalah ini akan selesai. Lebih baik diselesaikan dalam kadar yang segera.
“Baiklah.” Macam nak tak nak Zulaikha
Aaliya menjawab. Namun begitu, itu sudah cukup membuat Nazri merasa lega.
“Apakata kita berbincang di sana,”
cadang Nazri merujuk ke arah sebuah bilik kuliah berdekatan.
Berbincang? Zulaikha Aaliya
melepaskan keluhan kecil. Macam kes berat sahaja. Bibir Zulailkha terherot tanpa sedar ketika mengekor
langkah Nazri menuju ke bilik kuliah yang dimaksudkan.
Dia meninjau ke dalam bilik
kuliah tersebut, ada Sofian dan Pauldrik. Ada Rita dan seorang pelajar perempuan
yang tidak dikenali. Perlahan dia mengangguk bersetuju bila Nazri memandang ke
arahnya.
Zulaikha Aaliya melangkah
menuju ke arah sebuah meja yang terletak berhampiran dengan pintu belakang bilik
kuliah tersebut. Agak jauh daripada kedudukan pelajar yang sedang
mengulang-kaji ketika itu. Nazri menurut sahaja langkah Zulaikha Aaliya.
Setelah meletakkan buku-buku yang
dibawa ke atas meja, Zulaikha Aaliya melabuhkan punggung ke atas kerusi lalu
memandang Nazri. Tanpa perasaan namun penuh dengan persoalan. Nazri yang masih lagi
berdiri di hadapannya turut sama memandang ke arahnya. Wajah yang sarat dengan
sesuatu yang belum mampu diluahkan. Itu yang terlintas di fikiran Zulaikha
Aaliya ketika itu.
Entah apa yang difikirkan oleh
lelaki yang sedang berhadapan dengannya. Zulaikha tidak mampu hendak menebak. Selebihnya
dia bimbang tersakiti oleh kata-kata yang bakal keluar dari bibir lelaki itu.
Dia sudah serik menahan rasa.
Sejenak kemudian, Nazri
menarik sebuah kerusi lalu mengambil tempat di hadapan Zulaikha Aaliya. Sudah
sampai masanya dia meluahkan segala yang tersimpan di hati. Dia tidak mahu
menyimpan lagi, lebih baik dia berterus-terang. Selama ini Zulaikha Aaliya
seolah-olah tidak faham apa yang ingin dia sampaikan. Malah gadis itu semakin
lama semakin menjauh hingga sukar untuk dia mahu menggapai.
“Saya rasa kita patut
berbincang.” Nazri menopang dagu sambil menatap wajah Zulaikha Aaliya.
Baik, sekali lagi dia
mengulang perkataan bincang itu. Bibir Zulaikha Aaliya terherot lagi melihat
reaksi Nazri.
“Tentang apa?” Kerusi
dianjakkan sedikit ke belakang. Kurang selesa bila Nazri menatap wajah dia
begitu.
“Tentang kita.” Nazri
menguntum senyum.
“Kita?” Terangkat kening Zulaikha
Aaliya. Ligat kepalanya memikirkan. Sejak bila pula ada kita? Maksud Nazri,
apa? Dia dan aku? Hurm ... Tidak syak lagi, sudah pasti kerja mereka berdua.
Pasangan hot Khairul dan Hainun itu.
“Ya, hubungan kita,” balas
Nazri.
Zulaikha Aaliya terdiam
sejenak sambil buat muka pelik. Rasa nak cubit diri sendiri sebab sakit hati.
Seketika kemudian dipejamkan matanya sekilas sambil menggelengkan kepala.
Beberapa kali.
Seperti biasa, Nazri tenung
dia dengan riak tidak puas hati. Entahlah, tapi itulah yang terlintas di
fikiran Zulaikha Aaliya setiap kali mata Nazri menyapu bersih wajah dia. Begitulah
tingkah Nazri setiap kali ada perbincangan berkumpulan yang melibatkan dirinya
sekali.
Zulaikha Aaliya menggaru
kepala yang dibalut dengan tudung bawal berwarna biru. Seminit kemudian dia
menutup mulut sambil memikirkan ayat-ayat yang terbaik untuk dipertuturkan kepada
Nazri. Tidak lama lepas itu, jari-jemarinya mula mengetuk papan meja.
“Kalau boleh, saya nak
letakkan beberapa peraturan dalam hubungan kita.”
Terjungkit kening Zulaikha
Aaliya. Tiba-tiba kepalanya terasa pening. Belum pun hubungan mereka disahkan
sudah ada peraturan pula? Terang terus mata Zulaikha Aaliya jadinya. Kalau
sekarang dia tengah mengantuk, pasti dah celik bila mendengar patah-patah
perkataan yang keluar dari kotak suara Nazri. Itu belum lagi mendengar ayat
seterusnya, terus jatuh rahang Zulaikha Aaliya.
“Pertama, kenalah bahasakan
diri saya sebagai abang.” Mata Nazri tunak memandang wajah Zulaikha Aaliya yang
kelihatan terkedu.
Apa? Silap pendengarankah aku
ni? Zulaikha Aaliya meneguk air liur. Ingin membantah tapi suaranya bagai
tersekat di kerongkong. Matanya berkelip-kelip dengan permintaan tidak
munasabah Nazri.
“Kedua, pakaian kena jaga.
Jangan pakai yang menjolok mata dan kalau boleh biarlah berciri-cirikan
muslimah yang sejati.” Semakin lembut suara Nazri menerjah gegendang telinga Zulaikha
Aaliya.
Baiklah, yang ini boleh diterima pakai tapi ada
aku bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan dia? Lagipun, selama ini ada
aku berpakaian tak sesuai? Jari-jemarinya semakin laju mengetuk lantai meja.
Bosan. Lebih kepada menahan rasa marah sebenarnya.
“Ketiga, saya tidak benarkan
awak pergi ke mana-mana atau berjumpa dengan sesiapa terutama lelaki tanpa
pengetahuan dan kebenaran saya.”
Zulaikha Aaliya mengurut
pelipis, terasa sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Sesedap mulut sahaja lelaki itu membuat peraturan
untuk aku. In the first place, aku dengan kau tidak ada apa-apa
hubungan. Berulang-ulang ayat itu bermain di mindanya minta dimuntahkan. Zulaikha
Aaliya mengangkat tangan kanan, memberi isyarat supaya Nazri berhenti. Dia
harus perbetulkan situasi.
“Macam inilah. Er...
Nazri. Awak dengar betul-betul.” Jeda.
Nazri tegakkan badan, wajahnya
berubah riak menjadi tidak keruan.
“Pertama, saya tak tahu apa
yang kawan saya dah bagitahu kepada awak. Tapi, percayalah saya tidak pernah
ada niat mahu menjalinkan sebarang hubungan dengan awak. Saya minta maaf.”
“Kedua, tidak ada kita dan
tidak ada istilah hubungan di antara kita berdua.” Zulaikha Aaliya memandang
wajah Nazri, menikam anak mata lelaki itu tepat-tepat. Tanda yang dia serius
sangat-sangat.
“Err...” Nazri terdiam
sejenak. Berfikir barangkali atau mungkin terkedu?
Tidak menduga akan menerima
layanan sebegitu? Apa dia ingat aku akan menyediakan nyiru untuk menyatakan
kesudian menerima dia? Lelaki ego harus ditundukkan begitu. Baru dia tahu aku
siapa. Zulaikha Aaliya terangguk-angguk mendengar kata hati sendiri.
“Tapi…” Belum sempat Nazri meneruskan
kata-katanya, Zulaikha Aaliya terlebih dahulu memotong percakapannya.
“Saya harap awak faham, Nazri.
Saya tidak tahu menahu tentang ini. Tentang apa yang Hainun dan Khairul telah
sampaikan kepada awak.” Zulaikha Aaliya pasti sangat yang perkara ini
bersangkut paut dengan mereka berdua.
Nazri mendiamkan diri. Agaknya
sedang mencerna kebenaran yang baru sahaja diluahkan Zulaikha Aaliya. Lama juga
baru dia bersuara.
“Zulaikha Aaliya, apa-apapun
saya masih menaruh harapan agar hubungan antara kita masih boleh diteruskan.
Saya menganggap awak masih dan akan memikirkannya. Kalaupun kawan awak memberi
maklumat yang salah di awalnya, saya masih beranggapan yang kita boleh cuba
memberi peluang untuk saling mengenali antara satu sama lain. Tidak salah,
bukan?”
Zulaikha Aaliya menghela nafas
pendek sebelum melepaskannya. Sedikit perlahan dan berat. Dia tidak mahu Nazri
menaruh sebarang harapan. Tidak sekarang, tidak juga di masa yang terdekat ini.
“Sebagai kawan mungkin boleh.”
Zulaikha Aaliya tekankan sedikit perkataan ‘mungkin’ itu kemudian menyambung.
“Tapi, sebagai pasangan? Minta
maaf, Nazri.” Tidak mungkin sama sekali, hendak disambung ayatnya begitu tapi
tidak tergamak pula. Ayat yang inipun, sudah sehabis lembut dia cuba berbahasa
dengan harapan Nazri mampu menerima.
“Begitu saja? Fikirkanlah dulu
Zulaikha Aaliya.” Sedikit kecewa kedengaran ketika Nazri bangun bersedia untuk
pergi. Untuk apa dia berlama di situ kalau gadis yang sudah mencuit hatinya itu
seperti menghalaunya pergi.
Lagipun, mungkin silap diri
sendiri yang memikirkan bahawa gadis seperti Zulaikha Aaliya itu berperasaan
sama seperti dirinya. Dia tersilap membuat perhitungan dengan mempercayai
cadangan Khairul dan Hainun tanpa menyelidik terlebih dahulu. Bukan dia tidak
perasan penerimaan Zulaikha Aaliya terhadap dirinya sebelum ini, cuma dia
terlalu ego untuk tidak menafikannya.
“Saya harap awak akan berubah
fikiran. Saya akan menanti.” Sempat lagi Nazri menoleh sebelum meneruskan
langkah.
Sedikit-sedikit wajah Nazri
dan bayangnya menghilang. Zulaikha Aaliya menghembus nafas lagi. Kali ini lebih
panjang. Sedikit lega, cukuplah buat hari ini. Dia tidak mahu ada masalah lain
yang muncul.
Kenapa
kaki aku melangkah ke perpustakaan hari ini? Aku harus menukar rutin, mana tahu
esok lusa Nazri akan menunggu dia di situ lagi dan dia kena menghadap situasi
seperti itu lagi? Dia tidak sanggup. Zulaikha Aaliya panggung kepala.
Dia pandang keliling, cuma ada dia seorang sahaja ketika itu.
Mata berlari ke arah jam yang
melekat di dinding bilik kuliah. Patutlah senyap sunyi, sudah senja rupanya.
Pantas dia bangun meninggalkan bilik kuliah, mahu segera balik ke bilik asrama
dan berdepan dengan Hainun. Hatinya panas memikirkan. Dia mahu Hainun betulkan
keadaan. Walaupun dia sudah menjelaskan kepada Nazri tapi dia tetap inginkan
Hainun memberitahu kepada lelaki itu perkara yang sebenarnya.
p.s: love xoxo, andai ada terkurang terlebih, mohon dimaafkan, akan cuba perbaiki lagi.
Sabtu, 21 Januari 2017
P.A Encik Hafizz Elsad: 2nd Chapter
Salam & Morning peeps
Dah baca episod pengenalan? Kalau dah baca, ini episod seterusnya. Kalau ada yang terkurang mohon maaf ye, semoga terhibur. love xoxo. ;p
“ADUH!” jerit seorang pelajar lelaki yang terjatuh
akibat terseradung dek kaki
kecil comel molek milik Zulaikha Aaliya. Jatuh berdebuk dan berguling di depan
mata Zulaikha Aaliya, memang sadis terjatuh dalam keadaan begitu.
Padan mu... Belum sempat Zulaikha
Aaliya mengutuk dalam hati, diri sendiri gagal mengimbangi badan. Puas Zulaikha
Aaliya acah-acah agar kaki yang melunjur itu kuat bertahan. Malang tidak berbau,
akibatnya Zulaikha Aaliya turut sama terjatuh. Tubuh berpaling dan dia jatuh
terduduk. Aduh, sakitnya punggung!
Air mata meleleh menahan perit.
Padan dengan muka sendiri, inilah balasannya kalau berniat tidak baik. Omel Zulaikha
Aaliya dalam hati sambil mencuri pandang pelajar lelaki yang menjadi mangsa
kakinya.
Berkerut-kerut wajah pemuda
itu. Betapa sakitnya punggung Zulaikha Aaliya ketika itu sudah tentu tidak
setanding dengan kesakitan yang dirasai oleh pelajar lelaki itu. Jatuh
tersembam ke atas muka tanah. Mesti lebih menyakitkan! Nasib baik ada rumput permaidani yang menghiasi permukaan
tanah tersebut. Kalau tidak, mesti muka tu dah lebam-lebam, kan?
Padan muka, berani menghendap
aku lagi, sumpah Zulaikha Aaliya dalam hati. Hilang sedikit rasa sakit akibat
terjatuh sama sebentar tadi. Zulaikha Aaliya terseringai menahan sakit.
Terpejam-pejam mata dia mengawal rasa agar tidak terpamer pada wajah.
Terkial-kial pelajar lelaki
itu cuba bangun dan berdiri namun jatuh terduduk semula. Kelihatan dia mengaduh
kesakitan. Zulaikha Aaliya pula tanpa menunggu lebih lama, pantas berdiri
membetulkan duduk pakaiannya kemudian mengatur langkah menuju ke arah pelajar
lelaki tersebut.
Sambil menghela nafas sedas Zulaikha
Aaliya bertanya, “Engkau siapa haa?
Kenapa engkau ikut aku?”
Beraninya dia? Pelajar lelaki yang
masih belum berganjak daripada kedudukannya ketika itu kelihatan
terpinga-pinga. Wajah Zulaikha Aaliya dipandang penuh tanda-tanya.
Berkerut-kerut dahi, dengan mata menyepet terarah kepada gadis tersebut. Tidak
tahulah sebab menahan kesakitan atau sebab lain.
Biar betul mamat ni, buat muka
tak bersalah pula, getus Zulaikha Aaliya memandang dengan sedikit rasa keliru.
Matanya berkerdipan buat seketika.
“Bila pula aku buat macam tu?”
Pelajar lelaki itu mengajukan pertanyaan tanpa menjawab soalan Zulaikha Aaliya.
Zulaikha Aaliya angkat kening.
Buat-buat tak faham ye. Bibir
diherotkan ke kanan.
Pelajar
lelaki itu masih menunjukkan wajah naif dengan kedua-dua keningnya terjongket.
Kecik-kecik mata Zulaikha Aaliya merenung pelajar
lelaki tersebut walaupun hati dia mulai was-was. Bagaimana kalau pelajar lelaki
itu tiada niat mahu mengekori dirinya? Bagaimana kalau pelajar tersebut juga
dikejar sesuatu seperti dirinya? Melarikan diri dari sesuatu. Urgh!
Isk! Tapi, bila difikir-fikirkan
malas pula dia hendak melayan. Tak kuasa dia hendak mencari fasal dengan sesiapapun
setelah hatinya disakiti dengan komen-komen Nazri semasa perbincangan kumpulan
tadi. Lagipun, pelajar tersebut kelihatan seperti pelajar baru. Tidak pernah
kelihatan sebelum ini.
“Tak apalah,” ujar Zulaikha
Aaliya segera berubah fikiran lalu memusingkan tubuh badannya. Lebih baik kalau
dia pergi sahaja daripada tempat itu, bergerak menuju destinasi sebenar.
Tatkala melihat Zulaikha
Aaliya mengorak langkah ingin meninggalkan tempat kejadian, pelajar lelaki itu
cuba bangun dengan payah.
“Aduh!” Pemuda itu terduduk
semula membuatkan Zulaikha Aaliya berpaling serta merta.
Sakit sangat ke? Kasihan pula Zulaikha
Aaliya melihatnya. Dia jenis yang bertimbang rasa juga. Manalah tahu kut-kut ada yang terkehel, tergeliat,
tercedera bahagian dalaman pula. Parah tu beb! Lagipun, dia yang membuatkan pelajar tersebut jatuh.
Sekurang-kurangnya dia patut memohon maaf.
Zulaikha Aaliya menelek wajah pelajar lelaki yang sedang terkerut-kerut
itu. Timbul rasa belas. Mungkin pelajar lelaki itu tiada niat langsung
untuk mengekori dirinya seperti yang disangkakan. Dia yang tersalah faham
agaknya.
Perlahan dia melangkah semula
mendekati pemuda yang masih belum diketahui namanya itu.
“Awak okey?”
Pelajar lelaki itu mendongak
memandang Zulaikha Aaliya yang sedang mengajukan pertanyaan. Kening dikerutkan.
Mata juga dikecilkan. Wajahnya seperti ingin menyatakan sesuatu.
Engkau yang buat aku macam ni,
boleh pula bertanyakan soalan sebegitu. Agaknya, detik hati Zulaikha Aaliya. Ralat
pula Zulaikha Aaliya memikirkannya, berubah sedikit riak wajahnya. Air liur
diteguk. Walaupun pemuda itu tidak memberikan apa-apa respons tapi riak
wajahnya membuatkan Zulaikha Aaliya rasa bersalah yang teramat.
“Maaf, biar saya tolong awak.”
Sekurang-kurangnya itu yang termampu dia lakukan setelah insiden tersebut.
Ketika Zulaikha Aaliya
menghulurkan tangan untuk membantu, pelajar lelaki itu segera mengukirkan
secebis tersenyum. Senyuman bermakna yang gagal dilihat oleh Zulaikha Aaliya.
Mari kita lihat siapa yang
kena! Desis pelajar lelaki itu di dalam hati. Umpan sudah termakan jerat.
Menunggu masa untuk masuk ke dalam perangkap sahaja.
Dia tidak menyambut huluran
tangan Zulaikha Aaliya sebaliknya menggenggam erat pergelangan tangan Zulaikha
Aaliya yang dibaluti kemeja lengan panjang berwarna maroon itu.
Zulaikha Aaliya tersentap
sebentar tapi pantas dia menghapuskan perasaan syak wasangkanya itu dan cuba
sedaya upaya menahan tubuhnya dari berganjak agar dia boleh membantu pelajar
lelaki itu bangun dan berdiri dengan betul.
Apa yang sedang kau fikirkan Zulaikha
Aaliya? Dalam situasi yang agak membingungkan itu, Zulaikha Aaliya mengeluh. Kenapa
terasa payah benar hendak menegakkan pelajar lelaki ini? Kalau dilihat
fizikalnya tidak adalah sebesar manapun.
Tanpa dia menduga, dengan tak
semena-mena dia pula yang terdorong ke hadapan lalu jatuh menimpa pelajar lelaki
tersebut. Jatuh mendarat ke atas tubuh pelajar lelaki itu. Spontan juga badan
pelajar lelaki itu rebah semula ke atas permukaan tanah. Nasib baik kedua belah
telapak tangan Zulaikha Aaliya melekap ke atas dada pelajar lelaki itu, kalau
tidak jarak antara wajah mereka berdua mungkin kurang seinci!
Ya Allah! Macam mana pula
boleh jadi begini? Tulah agaknya!
“Adoi!” Jerit pemuda itu,
lebih kuat dari yang tadi.
“Beratnya engkau. Macam
dihempap dengan batu, rasa badan aku.” Nampak saja kurus, tapi beratnya boleh
tahan. Pelajar lelaki itu menggelengkan kepala. Mungkin terselit rasa menyesal
membuatkan Zulaikha Aaliya terjatuh.
Malu, malunya tak terkata. Alahai! Cepat-cepat Zulaikha Aaliya
bangun dari situasi yang agak mengaibkan itu. Terasa menyirap darah ke muka bagai
disimbah air sirap. Nasib baik malam agak kelam, jadinya wajah putih Zulaikha
Aaliya yang sudah bertukar rona merah menyala itu tidak kelihatan sangat.
Apa
daa. Isk! Tapi, kenapa pula
jantung aku berdetak tak ikut rentak ni? Soal Zulaikha Aaliya pada diri
sendiri. Kepala ditoleh ke belakang dengan matanya terpejam sejenak menahan rasa
malu.
“Kau nak tolong aku atau kau nak bunuh aku?” tanya pelajar
lelaki itu sambil bangun separuh badan dari baringan dengan kedua-dua kaki
masih menjulur di atas bumi.
“Sorry, tak sengaja,” jawab Zulaikha
Aaliya mengangkat tangan tanda memohon maaf.
Pelajar lelaki itu ketawa
kecil lantas perlahan-lahan dia bangun sambil mengibas punggung dan terus
berdiri tegak. Kedua-dua belah tangan diangkat ke atas lalu menggeliat sebelum
meletakkan tangannya itu ke belakang pinggang. Tidak ada niatpun mahu
menyembunyikan lakonannya yang agak cemerlang sebentar tadi. Dia bermain mata
pada Zulaikha Aaliya membuatkan gadis itu terkedu sebentar.
Bodohnya aku! Kurang asam!
Berani dia mempermainkan aku. Bibir diketap rapat. Marah terasa meruap ke
seluruh badan. Bulat mata Zulaikha Aaliya memandang.
Pelajar lelaki itu
terseringai.
“Kau… Berani kau… Siaplah
engkau!” Suara Zulaikha Aaliya kedengaran tersekat-sekat. Marah yang amatlah
tu.
Pelajar
lelaki itu tersenyum lagi.
Mata menyapu bersih wajah Zulaikha Aaliya yang sedang merah-merah menahan
amarah. Nampak sangat comel. Terpesona seketika dia dengan ciptaan Allah.
Zulaikha Aaliya kelihatan
semakin panas hati melihat pelajar lelaki itu yang pada hematnya sedang
memperkotak-katikkan dirinya.
Bahaya ni. Dah jadi macam
harimau jadian pula. Baik aku buat sesuatu sebelum aku dibelasah. Bukan boleh
dijangka gadis sekarang ni, nampak macam perempuan lembut tapi mana tahu ada black
belt? Patah riuk aku dibuatnya. Think fast! Kerah pelajar lelaki itu kepada akal fikirannya.
“Zulaikha... dengar sini.”
“Hah?
Mana engkau tahu nama aku?” Mata Zulaikha Aaliya semakin membulat.
“Maaf, Zulaikha, aku tak berniat apa-apa. Sungguh!”
Kali ini dia memang berkata-kata dengan ikhlas, tiada niat tersembunyi.
Zulaikha Aaliya mengerutkan
dahi tidak percaya. Dipandangnya muka pelajar lelaki yang sedang mengangkat
kedua-dua belah tangan ke udara. Kepalanya ligat memikirkan bagaimana pelajar
baru itu boleh tahu nama dia. Popular sangat ke dia? Jangan, jangan ....
Zulaikha Aaliya maju
selangkah.
“Zulaikha, betul aku…” Pelajar
lelaki itu berundur setapak ke belakang.
Alamak! Zulaikha Aaliya memang
dah hangin satu badan. Dia datang menerpa pelajar lelaki tersebut dengan buah
tangan pulak tu.
Pergh!!
Fuh!! Badan dikalih ke kiri.
Penumbuk Zulaikha Aaliya terlepas ke udara kosong. Nasib baik sempat mengelak.
Pelajar lelaki itu sapu wajah dengan telapak tangan.
Geram bukan main lagi Zulaikha
Aaliya bila tumbukannya tidak mengena. Wargghh!
Kenapa tak kena? Kenapa?? Pelajar lelaki itu nampak nampak tenang-tenang sahaja. Nak cuba lagi sekali ke tak?
“Zulaikha Aaliya, sebelum kau
buat apa-apa, dengar dulu okey?”
Pelajar lelaki itu bersuara, perlahan dan lembut seperti memujuk. Jangan buat
hal. Boleh tahan baran juga Zulaikha Aaliya ni. Kalau tak mau lebam muka aku,
walaupun tak seberapa tapi boleh tahan kacak
juga aku ni.
“Macam mana kau tahu nama
aku?” Zulaikha Aaliya bertanya sedikit kasar. Musykil juga.
“Hek-eleh, kat kolej kita yang cuma sebesar kangkang kera ni?”
“Apa yang engkau nak?” kendur
sedikit suara kasar yang keluar daripada dua ulas bibir Zulaikha Aaliya.
“Engkau?”
“Hah?” Terbelalak mata Zulaikha Aaliya mendengarnya. Bibirnya
berdecit halus. Budak ni nak kena jugak ni!
“Jangan marah, aku bergurau.”
Zulaikha Aaliya mengelipkan
mata sekali mendengar kata-kata pelajar lelaki itu.
“Okey…okey. Sebenarnya.
Sebenarnya dan yang benar, aku ada benda yang engkau nak.” Nakal kedengaran jawapan
yang keluar daripada dua ulas bibir pelajar lelaki itu.
“Hah?” Buntang biji mata Zulaikha Aaliya. Mengarut sungguh dia ini,
fikirnya.
“Betul. Tengok ni… Haa…sekarang siapa yang kena?” Dia
mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Sebuah dompet berukuran
sederhana kecil dan berwarna cokelat gelap.
“Eh, itu dompet aku!” spontan Zulaikha
Aaliya meraba kocek baju dan seluar. Laju sahaja tangannya ingin menjangkau
dompet miliknya. Namun, pelajar lelaki itu segera melarikan dompet itu
jauh-jauh.
“Mana kaudapat? Macam mana
boleh ada kat kau?” tanya Zulaikha Aaliya bertalu-talu.
“Cuba engkau ingat?” Dompet
tersebut digoyang-goyangkan. Mata Zulaikha Aaliya menari-nari mengikut gerakan
dompet tersebut.
Aku tercicir ke? Itu sudah
pasti. Tapi di mana? Kantin? Kelas? Atau semasa dalam perjalanan ke
perpustakaan? Puas Zulaikha Aaliya cuba memikirkan dan mengingati tapi sia-sia
belaka.
Pelajar lelaki itu masih menanti.
Sesekali dia menilik kuku dan meniupnya.
Kat mana? Kat mana hah?
Cuai sungguh. Zulaikha Aaliya menggelengkan kepala bila dia tidak berjaya
menemukan jawapan yang dicari.
“Bak sini, bagi aku balik,”
pinta Zulaikha Aaliya sedikit resah.
“Boleh, tapi… tak bolehlah
bagi macam tu sahaja… adalah syaratnya.” Pelajar lelaki itu mengangkat kening
dua kali. Mengejek.
“Syarat?” balas Zulaikha
Aaliya pula. Bersyarat-syarat pula dia ni. Dia dah tengok ke isi kandungan
dompet aku tu? Mestilah, iye tak? Kalau tak dia takkan tahu dompet itu milik
aku.
Pelajar lelaki itu tersenyum
simpul. Terasa seperti kemenangan itu berpihak kepada dirinya.
“Apa syaratnya?” Zulaikha
Aaliya bertanya walaupun tahu sangat-sangat yang dia akan menyesal bertanyakan
soalan itu. Sungguh!
“Sini…” Pelajar lelaki itu
mengunjukkan pipinya sambil tersenyum nakal.
“Hah!” Zulaikha Aaliya melopong. Mata melotot geram. Penampar
bolehlah!
“Tak-adalah. Aku bergurau. Apa
kauingat aku jahat sangat?”
“Hmm… mana tahu.” Syukur, dia cuma bergurau rupanya. Zulaikha
Aaliya mengurut dada. Tapi, kalau betul memang pipi itu akan dicium juga,
dengan tapak kaki kasut.
“Nah, aku kembalikan dengan
syarat lepas ini kita jadi kawan. Boleh?”
ujar pelajar lelaki itu sambil menghulurkan dompet tersebut kepada Zulaikha Aaliya.
“…” Mata Zulaikha Aaliya
berkerdip. Tiada patah perkataan yang keluar, bisu sejenak. Blur pula Zulaikha
Aaliya ni. Tapi tangannya tak segan pula menerima dompet yang memang miliknya
daripada genggaman pelajar lelaki itu.
“Aik.... macam terlupakan sesuatu sahaja?” seloroh pelajar lelaki
itu setelah dompet tersebut bertukar tangan.
Giliran Zulaikha Aaliya pula
mengangkat kening.
“Hurmm… terima kasih banyak-banyak dan aku minta maaf. Aku tahu
aku salah. Lepas ni, kita jadi kawan.”
Senyuman dihadiahkan oleh
pelajar lelaki tersebut.
“Terima kasih, tau.” Sedikit
ralat tapi Zulaikha Aaliya merasakan yang dirinya memang wajar mengucapkan itu.
Tangan dihulur.
“Nak apa pulak ni?” Zulaikha Aaliya sedikit
teragak-agak. Lebih kepada rasa serba-salah sebenarnya.
“Kawan?” kedengaran ikhlas. Pelajar
lelaki itu menanti.
Nak hulur atau tak?
Perlahan-lahan Zulaikha Aaliya menghulurkan tangan dan, pantas pula pelajar
lelaki itu menarik semula tangannya.
“Tak boleh, bukan muhrim.”
Argh! Kata-kata pemuda itu
membuatkan Zulaikha Aaliya termalu sendiri. Merah-merah muka dia kerana
terlanjur. Benci! Memang saja dia hendak mengenakan aku, getus hati Zulikha
sedikit geram.
“Kawan?” Kening pelajar lelaki
itu terjongket dengan secebis senyuman.
“Kawan,” balas Zulaikha Aaliya
sejurus kemudian masih dalam keadaan tersipu.
“Hafizz, Hafizz Elsad.” Pelajar
lelaki itu memperkenalkan diri sambil kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar.
“Zulaikha, Zulaikha Aaliya,”
balas gadis itu pula sambil sebelah kaki menguis rumput.
“Aku tahu.” Bahu diangkat
dengan senyuman masih tersungging di bibir. Nampak nakal dengan sepasang mata
yang sengaja disepetkan selari dengan senyuman yang diberikan.
Jawapan yang selamba itu
membuatkan mata Zulaikha Aaliya spontan mendarat kepada wajah penutur. Argh!
Sekali lagi dia terkena. Rasa macam hendak dicekik-cekik sahaja mamat ni. Lebih-lebih lagi apabila
melihat senyuman nakal yang bermain dibibir nipis milik pelajar lelaki itu. Geram yang berputik di hatinya hanya Tuhan
saja yang tahu ketika itu. Namun, yang dia mampu cuma tersenyum sahaja.
Lain
kali sahaja aku balas, lain kali. Lain kali, Hafizz Elsad.
Aku tak akan lupa sepotong nama milikmu itu. Dalam senyum, hati Zulaikha
Aaliya berdetik.
Sabtu, 14 Januari 2017
Episod Pengenalan: P.A Encik Hafizz Elsad
Salam and morning readers
Lama gila menyepi, mengatur hidup yang agak kucar-kacir. Maaflah ya. And so, siapa yang pernah baca Gadisku Yang Blur, then uolls mesti notice that P.A Encik Hafizz Elsad is actually the same story, cuma saya perbaiki dan tukar tajuknya. So here you are .... chapter 1.
PENING Zulaikha Aaliya
memikirkan. Ada saja yang tidak kena. Ada saja yang tidak betul, entah apa yang
telah dia lakukan hingga membuatkan pemuda itu merasa sakit hati sangat dengan
dirinya. Itu ini, begitu begini. Serasa dia, dia sudah melakukan yang sehabis
baik. Yang terbaik. Semampu dia. Sehabis kudrat yang ada. Aduhai, terasa
seperti segala usaha dan penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.
Kalau
diikutkan kata hati, terasa seperti hendak ditukarkan saja ahli kumpulan yang
ada sekarang ini. Atau mungkin dia patut dengan rela hati mengeluarkan diri
sendiri daripada menjadi ahli kumpulan tersebut. Zulaikha Aaliya melepaskan sebuah keluhan. Peritnya walau sekadar memikir.
Namun,
bila difikir-fikirkan, tarikh pembentangan itu cuma tinggal sehari-dua sahaja
lagi, tidak mungkinlah dia mahu berbuat begitu. Masa yang ada agak singkat.
Bukan agak, memang singkat sangat. Sukar untuk dia hendak mendapatkan ahli
kumpulan baru mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan yang lain.
Tambahan pula projek tersebut sudah disiapkan hampir 80 peratus. Sebahagian
besar atas usaha dia.
Lagipun,
mampukah dia mendapatkan idea baru untuk dibentangkan? Segalanya sudah
dicurahkan untuk projek yang sekarang ini. Rugilah jika dia menurut kata hati
dek kerana sikap ahli yang seorang itu. Telan sahajalah buat masa ini, untuk
sekali ini, pohon Zulaikha
Aaliya kepada diri sendiri. Bertahan. Bertahan
selagi boleh.
“Leen,
aku rasa tak sedap badan,” beritahu Zulaikha Aaliya separuh berbisik
kepada Joleen, gadis yang berasal dari Sarawak itu. Hati yang sakit itu sudah
menjalar bisanya ke seluruh tubuh. Makan jiwa.
“Nanti, kau khabarkan kepada ketua kumpulan
kita, aku balik sebab aku tak sihat,” sambung Zulaikha Aaliya lagi bila mata dia pantas menangkap susuk tubuh Nazri yang sudah kembali
setelah meminta diri untuk ke bilik air sebentar tadi.
“Kau
bagitahulah s...” Belum sempat Joleen menghabiskan ayatnya Zulaikha Aaliya sudah bingkas berdiri. Joleen hanya mampu menganga bila rakan
sekumpulannya itu tidak menyempat, sudah mahu pergi.
“Aku
pergi dulu,” ujar Zulaikha
Aaliya cepat-cepat bila Nazri sudah
semakin mendekat. Bimbang lebih lama dia berada di situ lebih sakit lagi
hatinya mendengar komen-komen Nazri yang pada hematnya tidak membina langsung.
Hanya tahu mengutuk sahaja, mengarah itu dan ini. Bernanah telinga mendengar, pahit
hati menghadam.
Amir
dan Dina yang tadi rancak berbual memandang Zulaikha Aaliya serentak. Ada tanda tanya muncul di ruang mata. Untunglah pasangan
bercinta sekumpulan. Sambil-sambil membina masa hadapan, sambil-sambil
bercinta. Jangan tahu bercinta sahaja tapi tugasan masing-masing tidak
disiapkan. Kelak cinta ke mana, masa hadapan juga entah ke mana.
“See
you guys later,” ujar Zulaikha
Aaliya sambil mengangkat kening, pantas
dia mengambil fail, nota serta buku rujukan miliknya yang terletak di atas meja
lalu beredar secepat yang boleh.
“Dia
hendak ke mana?” tanya Nazri sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke atas
kerusi yang terletak bersebelahan Joleen. Ketika itu Zulaikha Aaliya sudah berada sepuluh langkah di hadapan.
Amir
angkat bahu. Dina tidak menjawab, sebaliknya berpaling ke arah Joleen.
Seolah-olah tahu Joleen mempunyai jawapan untuk soalan yang dikemukakan Nazri
sebentar tadi.
“Dia
tak sihat,” Joleen jongket kedua-dua kening ketika menjawab. Mata Nazri sudah
beralih ke arahnya.
“Tiba-tiba?”
Berkerut dahi Nazri dan matanya terus mengekor susuk tubuh Zulaikha Aaliya yang semakin cepat menghilang di balik batang tubuh pelajar yang semakin
ramai memenuhi ruang dewan tersebut. Sebuah keluhan dilepaskan. Terdetik juga
mahu mengejar tapi kakinya bagai terpaku ke lantai.
Zulaikha Aaliya menghembus nafas sedas sebaik sahaja keluar
daripada dewan. Langkahnya yang tadi laju bagai tak cukup tanah diperlahankan.
Niat di hati ingin meneruskan ulangkaji di perpustakaan.
Langit malam dipandang, cerah
sahaja. Kelihatan bulan sedang memancarkan sinarnya. Cantik, desis hati Zulaikha
Aaliya. Tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk. Baru dia perasan yang dia sedang
berjalan seorang diri menuju ke tempat kegemarannya.
Argh, Zulaikha Aaliya yang lone ranger.
Memang dia seorang lone ranger pun.
Sedang dia menyusun langkah yang
semakin tidak teratur menuju ke destinasi, terasa seperti ada sesuatu yang
sedang mengekorinya daripada belakang. Meremang bulu roma. Mata Zulaikha Aaliya
melingas, mulut berdecit kecil membaca ayat kursi yang terasa seperti
tunggang-langgang susunan ayatnya. Mau taknya, sudahlah berjalan seorang diri, lampu jalan pula malap
semacam dengan suasana kelam dan bunyi-bunyian yang membuatkan hatinya berdetak
seribu. Seram kot.
Bunyi ranting patah membuatkan
Zulaikha Aaliya terperanjat. Sebenarnya, kaki dia sendiri yang memijak ranting
tersebut. Panjang istighfar keluar dari bibir. Hampir saja dia melatah yang
bukan-bukan.
Bagaimana pula ranting kering
itu boleh berada di laluan? Rengus Zulaikha Aaliya sambil menolak ranting
tersebut ke tepi dengan menggunakan hujung kaki. Dia menyambung semula langkah
yang terhenti tadi.
Sekali lagi hati Zulaikha
Aaliya berdetik, ada sesuatu sedang mengekor dia. Setapak dia ke hadapan,
terasa dua tapak yang mengekori itu melangkah menurut jejak yang ditinggalkan.
Suku perjalanan dia masih mampu lagi bertahan.
Namun selepas separuh perjalanan, dia sudah mulai goyah.
Hatinya yang cuak memaksa dia
memberanikan diri untuk menoleh dengan serta-merta. Sekali toleh, tidak
kelihatan sesiapapun. Hanya gelap malam, dan hembusan angin yang mendinginkan.
Dua kali toleh, keputusannya tetap serupa. Tiada perbezaan, cuma bayang-bayang
sahaja yang kelihatan pada muka bumi. Argh, mungkin semua itu cuma mainan
perasaan sahaja.
Bagaimanapun, dek kerana perasaan seram sejuk itu semakin menguasai diri, Zulaikha
Aaliya mempercepatkan langkah kakinya dua kali lebih laju daripada yang tadi.
Tapi, yang peliknya derapan kaki yang sedang mengekorinya itu juga terasa
seperti bergerak sepantas dirinya. Berdetak-detak hati Zulaikha Aaliya
dibuatnya. Tiba-tiba bangunan yang menempatkan perpustakaan itu kelihatan terletak
jauh berbatu-batu.
Tiba-tiba juga laluan blok
yang menempatkan kelas dan bilik kuliah terasa sunyi. Mana pergi semua pelajar kolej
tersebut? Selalu riuh sahaja tapi malam ini sepi? Mungkinkah ini cuma mainan perasaan
sahaja? Zulaikha Aaliya cuba mengikis rasa cemas yang bertandang. Namun ketika
melewati blok yang menempatkan makmal sains, sekali lagi dia diserang seram
sejuk. Terasa seperti diekori dengan rapat. Rapat sekali.
Tak boleh jadi ni, detik Zulaikha
Aaliya lalu berhenti sejenak sebelum memecut dan berselindung di sebalik
selekoh bangunan bersebelahan. Dia mendiamkan diri seketika, menanti
kalau-kalau ada sesiapa yang muncul.
Terdengar derap kaki seseorang
atau mungkin sesuatu? Semakin lama semakin menghampiri tempat dia bersembunyi.
Bila derap kaki itu berhenti betul-betul di sebalik tempat dia bersembunyi,
sebelah kakinya dilunjurkan.
Apa nak jadi, jadilah! Detik
hatinya. Dan…Bedebuk!!
So, the rest, secoet, snippet, snack plate ke apa, refer dekat the following FB group (Melati Shafika -Unspoken Minds) ya:
https://www.facebook.com/groups/331573453707220/
Selasa, 15 Mac 2016
Novel: Siluet Cinta - Bab 1
Assalam & Greetings,
Lama x update blog kan? Hendak memperkenalkan e-novel saya yang bertajuk 'Siluet Cinta', sebenarnya dah lama buat cuma tak berkesempatan hendak menyiapkan kisahnya hingga kini. Actually, masih lagi on going. Hopefully, berjaya menyiapkannya dalam kadar segera. Dengan izin Allah. So, here goes .... Thaqif Ariffin and Dhea Zalia. Semoga terhibur. Love xoxo. :)
DHEA menurut sahaja langkah kaki lelaki itu. Bila lelaki
itu melangkah ke kanan, Dhea turut melangkah ke kanan. Bila lelaki itu melangkah
ke kiri, diapun turut sama melangkah ke kiri. Sesekali lelaki itu menoleh ke
belakang. Bila itu berlaku, cepat-cepat Dhea tundukkan wajahnya. Tidak mahu
bertentang mata dengan lelaki itu.
Lelaki itu meneruskan langkah kakinya sebelum berhenti di
hadapan sebuah bilik. Dhea masih lagi berada beberapa tapak di belakang.
Menjinjing beg pakaian miliknya yang sederhana besar. Lelaki itu memandang Dhea
yang terjingkit-jingkit membawa beg tersebut. Dia merengus sedikit kasar. Mendengar
itu, Dhea cuba melangkah sepantas yang mungkin, tidak mahu lelaki itu menjadi bertambah
marah. Sampai sahaja Dhea di sisi, lelaki itu memulas tombol pintu bilik
tersebut.
“Mulai hari ini, awak akan tidur di dalam bilik ini.” Datar.
Tiada nada.
Dhea mengangguk tanpa memandang wajah lelaki itu.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” Tegas
lelaki tersebut.
Dhea meneguk air liur mendengar kata-kata yang lebih
kepada amaran itu. Hendak mengangkat muka, dia tidak berani.
“Saya akan bertolak ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi.
Setiap hari, Isnin sehingga Jumaat. Saya akan balik ke rumah sebelum waktu Isyak.”
Lelaki itu berjeda, mungkin sedang berfikir tentang apa lagi yang patut Dhea
tahu.
“Tugas awak dalam rumah ini, yang pertama dan paling
penting sekali adalah menjauhi diri saya! Apa pun yang awak nak buat, saya
tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, awak jaga maruah saya!
Faham?!”
Air liur tersekat di rengkung. Tersentap jiwa raga namun Dhea
hanya mampu mengangguk sahaja.
“Itu sahaja, awak boleh masuk, yang lain saya akan
beritahu kemudian,” ujar lelaki itu sebelum menapak pergi.
Dhea masih berdiri di tempat yang sama. Tidak mahu
berganjak sehinggalah kelibat lelaki itu menghilang dari pandangan. Matanya
memerhatikan laluan. Bila pasti lelaki itu sudah tiada, Dhea melangkah masuk ke
dalam bilik. Pintu ditutup rapat sebelum beg yang dijinjingnya tadi diletakkan
di tepi almari.
Matanya meliar memandang keliling, memang bilik itu
berbeza dengan keadaan biliknya sebelum ini. Berbeza sangat-sangat. Sesekali
dia terasa diri bagai berada di alam mimpi.
“Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!” suara
lelaki tadi bagai terngiang-ngiang di telinga Dhea. Dhea mengeluh sendirian.
Bukan niat dia pun mahu merumitkan keadaan.
Langkah kaki diatur menuju ke sebuah katil bersaiz Queen
yang memang disediakan di dalam bilik tersebut. Dhea melabuhkan punggung di
birai katil. Dia tidak tahu bagaimana dan apa yang hendak difikirkan. Mindanya
padat dan sesak. Akhirnya dia bangun lalu membuka pintu balkoni.
Dhea berdiri di koridor sambil memandang langit malam.
Bulan berbentuk sabit dan beberapa butir bintang berkerlipan menghiasnya.
Sesekali Dhea menguis helaian rambut yang mengganggu penglihatannya. Tiba-tiba
pandangannya jatuh pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya.
Cincin yang diperbuat daripada emas putih itu ditenung
lama. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati,
kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu
hati. Cantik. Dhea mengeluh. Keluhannya kedengaran lebih berat daripada yang
tadi. Kalau cantik pun, tiada gunanya jika orang yang menyarungkan cincin
tersebut ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap
dirinya. Sungguhpun itu bermaksud dia sudah menjadi yang sah dan halal kepada
insan tersebut.
Dhea pandang lagi langit malam. Dibiarkan sahaja angin
sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh
badan. Hatinya tiba-tiba terasa sebak dan pilu. Pakaian pengantin masih melekat
di tubuhnya. Tiada niat mahu menanggalkannya walaupun majlis sudah lama
berakhir. Biarlah pakaian itu tersarung hingga ke pagi, dia kepingin jadi
bidadari biarpun sebentar cuma. Biarpun tiada yang sudi menganggapnya begitu.
“Biar pun sedetik cuma,” bisik Dhea sendirian. Air mata
yang mengalir diseka perlahan.
Dhea menarik nafas. Memang hari itu hari yang amat
bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang
diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari
terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang
tidak berhati-perut. Bersyukur kerana dia masih lagi berpeluang untuk hidup di
atas bumi Tuhan. Sungguh!
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau
sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya
upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan
mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang termampu Dhea lakukan.
“Aku terhutang nyawa padanya. Biarlah kehadiran aku ini
tidak dihargai, aku rela. Aku reda,” tekadnya dalam hati.
Thaqif Arifin Bin Azad Kamarul. Nama lelaki yang kini
bergelar suami kepadanya. Dhea tidak
kenal lelaki itu. Dhea juga tidak tahu mengapa lelaki itu sanggup menikahi
dirinya. Dipaksa, terpaksa atau keadaan memaksa? Sungguh Dhea tidak tahu.
Mungkin lelaki itu tiada pilihan.
‘Hendak dipanggil apa ya, suami aku itu? Thaqif? Abang?
Abang Thaqif? Layakkah aku memanggilnya begitu? Sudikah dia, sedangkan
memandang aku pun dia tidak mahu.’ Dhea menggosok telapak tangan, sebelum
meletakkannya pada kedua belah pipi. Menghangatkan diri sendiri yang
kedinginan.
Dhea pandang bintang-bintang di angkasa. Adakah engkau
salah satu daripada bintang-bintang yang berkerlipan itu, penyelamat diriku?
Yang jatuh menyinari hidup aku? Atau akukah antara bintang-bintang itu yang
hadir mewarnai hidupmu?
Malam sudah semakin larut. Dhea menopang dagu, masih mahu
mengira bintang di langit. Badannya letih, mindanya juga letih. Mahu tidur tapi
mata tidak mahu lelap. Fikirannya masih melayang, cuba merakam wajah suami yang
belum sempat ditatap dengan jelas. Argh! Dhea, belum apa-apa sudah mula berangan.
Apapun, bagi Dhea dialah prince charming untuk dirinya. Seperti dalam cerita fairytales yang pernah dibaca dan
didengarnya. Cuma pengakhiran kisahnya sahaja yang masih menjadi tanda-tanya.
Apa mungkin hikayat hidupnya juga akan sama seperti kisah-kisah itu? Berakhir
dengan kebahagiaan untuk selamanya?
‘Mungkin prince
charming itu cuma satu fantasi. Biarlah kalau begitu. Sesungguhnya kerana
dia, maruah aku terselamat. Sesungguhnya kerana dia, aku bisa lari dari
kehidupan silam aku. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu
membalas jasanya.’ Air mata Dhea jatuh
berlinang lagi.
‘Thaqif Arifin. Biar apapun tanggapan kamu. Biar apapun
perasaan kamu terhadap aku. Aku berjanji akan cuba menjadi yang terbaik untuk
kamu. Itu janji Dhea.’
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea
menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.
Langgan:
Catatan (Atom)












