Selasa, 22 September 2015

Cerpen : Crush 3 hari - Bhg 2


PAGI-PAGI lagi aku sudah nampak sebuah kotak komputer diletakkan di tepi kubikel. Ada tercatat namaku pada helaian kertas yang dilekatkan di atasnya. Ok. Jadi, akhirnya tiba juga giliran aku mendapat komputer baru ye? Tapi, kenapa rasa teruja itu tidak ada? Tidak hadir menggembur-gembur? Whatever. Paling penting sekarang ialah laporan aku, sejak semalam belum lagi mampu aku siapkan. Tak lalu aku hendak menadah telinga menerima hamburan daripada setiausaha bos ketiga besar syarikat.
Aku berpesan pada suria,
Agar sinarnya menghangatkan kamu,
Biar senyum itu mekar di bibirmu,
Biar berseri wajahmu,
Biar sejuk mata memandang

Sticky note lagi? Bibir aku automatik tersenyum bila membacanya namun buat sesaat dua sahaja. Huh, malas nak layan benda-benda misteri macam ni. Ada perkara lain harus aku langsaikan. Aku ambil sticky note itu, lalu aku campakkan masuk ke dalam laci. Hendak dibuang, terasa sayang sebab ayat-ayat tu ... entahlah. Makan jiwa, makan dalam. Seronok kot dapat nota-nota macam tu.
Aku hidupkan suis komputer seperti biasa sambil mengemas kertas dan fail yang berselerak di atas meja. Punggung aku labuhkan bila aku perasan kelibat seorang pemuda berkemeja kotak-kotak, berambut ketak-ketak dan berseluar jeans lalu melewati aku. Dia duduk di meja bersebelahan. Meja Kak Sarah.
Bukan pemuda berkaca mata semalam, sebab yang semalam hampir sama tinggi dengan aku. Pemuda yang ini berisi sedikit berbanding pemuda yang berkaca mata itu dan agak tinggi juga. Pemuda yang sama yang duduk di meja Kak Sarah semalam ke? Iya kot, aku tak ingat sangat.
Tidak lama kemudian pemuda yang berkaca mata tiba di hadapan aku dengan membawa sebuah kotak berisi komputer. Aku yang sedang duduk segera mendongakkan kepala. Kening sedikit terjongket, panjang umur dia.
Turn saya ke?” Aku melontarkan soalan seraya berdiri mahu memanjangkan kaki ke mesin pencetak dan pendua yang berada di penghujung laluan koridor. Aku perasan pemuda yang duduk di meja Kak Sarah mengerling ke arah aku atau mungkin ke arah rakan sekerja dia yang terpacak di hadapan aku.
“Belum lagi, nak tanya meja Encik Sugu yang mana satu?”
Kotak yang dibawa bersama diletakkan di atas meja kecil yang berada di depan kubikel milik aku, melepaskan lelah. Badan kecil bawa kotak sebeban, lenguhlah tu.
“Oh, meja bos? Meja yang paling belakang tu meja dia.” Unjukku pada meja yang berkenaan. Selang dua meja di bahagian belakang kubikelku. “Tapi, bos hari ini tak ada. Bercuti.”
“Tak apa, bukan nak buat hari ni,” balas pemuda berkaca mata itu, kemudian dengan segera membawa kotak tersebut ke tempat yang sepatutnya sementara aku beransur bersama sebeban dokumen yang perlu dibuat salinan.  


Usai sahaja tugas aku di mesin pendua aku mengatur langkah semula ke meja. Mata menghala ke arah meja Kak Sarah tanpa sebab. Entah kenapa mata ini gatal mahu mengusya pemuda yang sedang mengerjakan komputer milik Kak Sarah itu. Boleh pula masa mata ini dok mengintai, si pemilik tubuh berkalih dan memandang ke arah aku. Tepat-tepat mengena anak mata aku. Buat beberapa saat, kami saling berbalas pandang. Pelik, sebab aku tak mampu hendak menafsirkan maksud disebalik pandangan yang ditujukan kepada aku.
Dingin? Entah, sort of. I guess.
Marah? Dekat aku? Why? Obviously not, aku tak ada buat apa-apa kesalahan pun terhadap dia. Oh, mungkin dengan Kak Sarah kot? Sebab seperti kata Kak Sarah, pengetahuan dia tentang komputer, zero. Pengetahuan asas pun mungkin yang paling minima. Kalau tidak masakan setiap kali ada masalah mencari aku. Hendak menukar kata kunci sahaja pun. Ye lah, kata Kak Sarah semasa zaman dia semua tugasan dilakukan secara manual, masa itu penggunaan komputer sangatlah terhad.
Tapi, aku lihat telefon bimbit milik Kak Sarah bukan calang-calang. Iphone 6 kot! Itu gajet yang terkini. Aku pun tak termampu nak beli. Bila aku bertanya, jawapan yang Kak Sarah berikan, “Anak beli baru, yang lama dia bagi kat mama dia.”
Oh, untungnya jadi Kak Sarah. 
Mata aku terus menilik pemuda itu, gerak tubuh dan riak wajah dia. Tidak kelihatan seperti orang yang sedang stress. Sekali lagi mata kami bertentangan, wajah ‘blank’ dia berikan. Mungkin proses menukar komputer itu mengambil masa yang agak lama. Kalau sehari ditugaskan menukar komputer untuk 20 orang sekaligus, mahu tidak berpinar biji mata jadinya. Aku andaikan itulah sebabnya dia menatap wajah aku sedemikian rupa.
Nafas kuhela. Aku mahu senyum dan memaniskan muka tapi tidak mampu. Semua gara-gara laporan dan emel aku yang bermasalah itu. Oleh kerana mata kami masih tidak beralih, masih lagi saling berpandangan walaupun aku sudah sampai ke meja, aku angkat kening sebelum berpusing dan duduk di atas kerusi dengan jiwa berbaur rasa.
Pelbagai perisa muncul tiba-tiba. Macam gula-gula. Macam pelangi. Macam rama-rama dalam perut? Uik? Wajah terasa hangat tiba-tiba.
“Adik tak marah ‘kan?” Suara Kak Sarah menjengah telinga.  Bila entah dia muncul, alih-alih sudah berada di depan kubikel milik dia. Tak ada siren tak ada apa. Muncul macam begitu sahaja.
Aku berpaling seketika, kelihatan Kak Sarah sudah beralih dan kini sedang berdiri di sisi kubikel melihat pemuda itu sedang berbuat sesuatu dengan komputer baru miliknya. Memuat naik aplikasi dan menyimpan semula harta benda milik Kak Sarah ke dalam ruang memori komputer itu, agaknya. Aku betulkan postur badan, menyambung semula kerja remeh yang sedang aku lakukan.
“Eh, taklah,” balas pemuda itu.
Aku angkat kening dan menoleh semula ke arah mereka. Sedap sungguh suara dia berbicara. Really. Terus aku pasang telinga.
No hard feelings ya.” Kak Sarah bersuara lagi dan pemuda itu hanya menggeleng. Mata dia sekali lagi menyapa mata aku.
Aku teguk air liur kemudian berpaling semula ke hadapan, mengemas barang-barang di atas meja aku yang tiba-tiba kembali berselerak. Menara dokumen yang sudah siap aku buat salinan tadi runtuh. Hish!
“Dah siap, sekarang akak masukkan password akak dalam ruang yang disediakan ni, ye,” beritahu pemuda itu selepas Kak Sarah mengambil alih tempat duduk. Telinga lintah milik aku ini, cepat sahaja menangkap perbualan orang.
 “Lepas tu, akak periksa semula kalau semua dokumen dan fail-fail yang akak guna sebelum ini masih ada,” sambung pemuda itu sebelum mengalihkan kotak-kotak kosong yang menghalang laluan di ruang tengah antara meja Kak Sarah dan meja aku.
“Okey, turn awak.” Pop! Dia muncul di hadapan aku dengan seraut wajah yang ekspresinya masih menjadi tanda tanya di mata aku, membuatkan aku yang sedang leka menyusun semula dokumen terperanjat sejenak.
“Oh.” Hanya itu yang terluah di bibir. Aku ingatkan pemuda semalam yang ditugaskan menukar komputer lama aku kepada yang baru. Terkebil-kebil aku bangun, mahu memberi laluan kepada pemuda itu agar dia boleh menjalankan tugas dia.
“Lama ke?” tanya aku bila dia sudah selamat melabuhkan punggung ke atas kerusi aku. Jemari dia sudah lincah bermain dengan tetikus dan papan kekunci.
“Taklah.” Pandangan yang singgah menyapu wajah aku itu terasa menusuk meninggalkan kesan degup yang tiba-tiba melaju.
Aku teguk air liur lagi untuk yang ke berapa kali entah. Rasa pelik itu sekali lagi datang bertandang. Mata dia masih lagi belum mahu beralih buat aku terasa mahu hilang saat itu juga.
“Saya kena tunggu ke?” Aku mengerling jam dinding yang menjejak waktu makan tengahari, menghilangkan resah yang berputik tidak semena-mena. Wajah masih lagi terasa hangat membahang.
“Bila saya dah selesai, awak kena ada. Ada few things yang saya kena terangkan.” Ayat yang ditutur terasa lembut. Bibir dia mengukir senyum mempesona ketika menjelaskan kepadaku.
Opps! Terpanar sekejap melihat senyuman yang terzahir di bibir dia. Hati sudah libang libu. Mata terkebil-kebil sebelum melanjutkan pertanyaan.
“Ada changes ke?” Soalan yang sudah aku tahu jawapannya.
“Sikitlah.” Dia guna ibu jari dengan telunjuk untuk tunjuk berapa banyak perubahan. Mata dia turut sama menyepet. “Tak susah mana. Tapi, still awak kena ada, kalau tak awak mungkin a bit lost.”
“Ok.” Aku hela nafas tanda tiada bantahan. Kalau proses itu cuma mengambil masa dalam setengah jam, sempat kot nak makan tengahari dengan geng sekepala pukul 12 tengah hari nanti.
Aku mengangguk sebelum beredar dengan membawa beberapa buah fail klien lalu duduk di meja bahagian belakang. Meja milik rakan sekerja aku Rainie yang ketika ini sedang bercuti meraikan perayaan tahun baru Cina.
Eh! Aku terlupa sesuatu. Segera aku bangun lalu bergerak dan membuka laci meja milik aku. Berniat mahu mengambil telefon bimbit, manalah tahu ada panggilan penting masuk. Whatsapp, atau sistem pesanan ringkas. Mana nak dengar kalau dah bersembunyi dalam laci ‘kan? Terpandang akan sticky notes yang melekat pada badan telefon bimbit. Segera aku alihkan dan lekatkan nota yang sudah ada dua itu pada dinding bahagian dalam laci meja.
“Maaf,” ucapku bimbang mengganggu tugas pemuda itu. Dia beralih sedikit, ada reaksi terkejut. Agaknya tidak menjangka kedudukan aku akan jadi sebegitu rapat dengan tubuhnya ketika itu yang mungkin menyebabkan dia merasa sedikit terganggu. Aku kembali semula ke meja bahagian belakang.
“Awak save dulu dokumen-dokumen yang awak nak,” pinta dia ketika berpaling menghadap aku.
Aku yang baru hendak melabuhkan punggung tidak jadi berbuat demikian. Kaki melangkah semula mendapatkan pemuda tersebut.
Sebenarnya, seminggu sebelum itu, selepas diwar-warkan tentang penukaran komputer aku sudah terlebih dahulu menyimpan dokumen yang aku nak dalam beberapa buah fail yang aku namakan Naurah 1, Naurah 2 dan Naurah 3. Semuanya aku telah simpan dan tandaan dengan perkataan ‘RETAINED’ di penghujung nama fail yang berkenaan.
Dia mengalihkan jemari dari papan kekunci sebelum beranjak sedikit memberi ruang kepada aku. Aku tarik papan kekunci tersebut agar menghala ke arah aku sebelum jemari lincah menekan aksara tertentu kemudian menekan butang sebelah kanan tetikus.
“Dah,” beritahu aku sambil menjeling dia sekilas.
Dia lemparkan senyuman. Manis di mata aku, kalau boleh rasa agaknya rasa dia macam gula-gula, macam madu, macam coklat, macam kuih koci. Aku angkat kening sebelum membalas dengan sedikit terpinga. Rasa macam tak jejak tanah pun ada, melampaunya statement ni.
“Adik, nak buah limau tak?” Kak Sarah yang sudah bersiap mahu keluar makan tengahari itu bersuara. Amboi Kak Sarah ni, nak buat jadi menantu ke?
“Boleh juga,” balas pemuda itu.
Kak Sarah sudah berdiri di sebelah aku yang belum sempat beredar sementara buah limau tadi sudahpun bertukar tangan.


“Adik, dia ni terer fasal sistem dan komputer. Kalau akak nak tanya apa-apa, mesti akak cari dia.” Alamak! Kak Sarah sudah mula membuat hikayat tentang aku.
“Jangan percaya sangat cakap Kak Sarah ni, dia saja buat cerita.” Cepat-cepat aku memangkas sebelum Kak Sarah menokok tambah yang bukan-bukan. Buat malu aku sahaja, menunjuk pengetahuan yang sekerat kepada orang yang sudah tentu lebih pakar dan arif tentang bidang yang berkenaan.
“Betul dik.” Kak Sarah tertawa sambil berlalu pergi. Aku cuma mampu geleng kepala.
“Kak Sarah cuma bergurau,” kataku kemudian, bimbang diuji akan kebijaksanaan yang sejengkal ini.
Pemuda itu tidak berkata apa hanya menzahirkannya dengan segarit senyuman. Aku yang jadi tersipu-sipu. Kemudian aku bergerak menuju ke meja bersebelahan, melabuhkan punggung di atas kerusi milik Kak Sarah. Tidak jadi meneruskan kerja yang aku tinggalkan di meja belakang.
“Naurah, kan?” Pemuda itu menaip nama aku pada papan kekunci sebelum menekan butang enter. “Password?
Dia berganjak sedikit memberi laluan kepadaku.
Selepas mengisi ruang kosong yang tertera pada skrin komputer, aku kembali menjadi penghuni meja bersebelahan. Mata mengerling jam dinding yang jarumnya menunjukkan angka 12 dan yang pendek ke arah 6. Sudah melepasi waktu makan aku. Cepat-cepat aku menghantar pesanan Whatsapp kepada rakan-rakan aku, memberitahu mereka yang kemungkinan besar tidak dapat bersama dengan mereka untuk makan tengahari. 
“Awak memang tak ada access internet ye?”
“Haah, company tak bagi,” jelas aku jujur. Entah kenapa pihak syarikat kedekut sangat dengan aku, macamlah aku ini kaki surf internet.
“Ada orang boleh ada orang tak boleh ye...” sambung dia lagi tanpa memandang aku.
Aku angguk walaupun dia tidak melihat.
“Tapi, kan…” Aku menarik kerusi rapat sedikit kepada dia. “Awak boleh buat kan? Bagi saya laluan untuk access internet?”
Dia terseringai sebelum tertawa lucu. Buat aku tertawan seketika. Aku mengengsotkan kerusi semula ke tempat asal melihatkan reaksi yang dia berikan. Tak bolehlah tu…
“Kalau main server dia dah block, memang tak bolehlah,” balas dia kemudian bila tawa dia mereda.
“Tapi, actually … ada cara lain kan?” Aku cuba lagi, tak mahu mengalah. Kening sudah terjongket dengan kepala sedikit aku telengkan.
Dia tersenyum cuma, mendengar soalan yang aku lontarkan. Bimbang agaknya mahu memenuhi permintaan aku, bimbang etika kerja dia dipertikaikan. Aku faham, aku bukannya paksa pun. Saja mencuba nasib. Gediknya! 
“Tak apa, access usb untuk pc baru ni boleh guna ‘kan? Sebab pc lama saya tak boleh nak guna thumb drive dengan external driver,” ujarku kemudian bila dia tidak menjawab.
Dia mengangguk sebelum bertanya.“Company tak bagi cuti sekerat hari ke?”
“Hari ni balik macam biasa kecuali yang celebrate CNY,” jawab aku sambil menggeleng kepala. Kalau boleh, sudah lama aku bersorak riang gembira.   
“Saya lepas habis yang ni dah boleh balik,” beritahu dia. Berseri-seri sahaja riak wajah dia buat aku merasa sedikit cemburu.
“Oh, seronoklah … balik kampung ke?” Untunglah orang ada kampung.
“Taklah. Kalau saya balik pun bukannya ada apa kat kampung.” Bibir dia menguntum senyum bermakna.
“Iye lah, lainlah kalau raya awak ‘kan? Mesti awak cuti sakan, kan?” Aku tergelak mendengar ayat yang keluar dari mulut sendiri. Haruslah cuti sakan bila menyambut perayaan sendiri. Kalau sebulan boleh cuti, sebulan jugalah rasanya nak ambil cuti meraikannya.
“Bukan jauh pun kampung saya. Naik motor tiga jam dah boleh sampai.” Dia bercerita sendiri tanpa dipinta. Bosan agaknya sepanjang hari berhadapan dengan komputer yang tidak reti membalas perbualan.
“Kampung awak letaknya di mana?” Aku meregangkan badan. Lemau rasanya duduk tanpa melakukan sebarang kerja. Sudahnya, aku cuma duduk memahat wajah dia di minda.
“Batu Pahat.” Tubuh disandarkan pada dinding kubikel. Matanya terus meraut wajah aku tanpa segan silu.
Dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat, naik motor? Tak kematu punggung? Fikir aku dalam hati.
“Kalau naik kereta, waktu perayaan macam ni, masaklah. Traffic teruk.”
“Memanglah,” balasku bersetuju. Kalau jalanraya tidak sesak, bukan menyambut hari perayaanlah namanya itu. Heh, layan pula berborak dengan pemuda yang belum aku ketahui namanya itu.
“Lagipun, kalau saya balik. Tak ada apa pun untuk saya kat sana.” Matanya berlabuh lama pada wajahku membuat mata aku berkelip-kelip tak tentu hala.
Lagi sekali dia ulang benda yang sama dan aku tidak dapat menangkap maksud ayat tersebut. Hint untuk akukah? Dahi aku berkerut, tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.  Jadi, aku buat tak tahu sahaja. Terlintas juga mahu bertanya, kenapa dia berkata begitu tapi tidak terluah pula di bibir.
Akhirnya kami membisu buat beberapa ketika. Sesekali dia membetulkan postur badan menyemak progres pemindahan serta pengstoran fail dari server sementara ke dalam kad memori yang baru.
“Memang kerja awak begini ek?” Tiba-tiba itu yang tercetus di bibir.
Dia kembali duduk bersandar, santai menghadap aku. Membuat mata aku berkerdip tatkala merakam wajah dia yang seolah-olah sangat selesa berbicara dengan aku.
Sepanjang perbualan, dia banyak bercerita tentang diri dia. Tidak ada satu pun soalan tentang diri aku. So, maybe we are not meant to be. Walaupun, bahasa tubuh yang dia tunjukkan seolah-olah memberitahu yang dia tertarik kepada aku. Hahaha, jauh sangat fikiran aku menerawang.
 If he is, he would make a move or should… Takkanlah aku pula yang mahu memulakan? Aku tak ada kudrat seberani itu sebab sepanjang hidup aku, aku pernah melakukan dua perkara yang tidak berakhir seperti yang aku mahu. Perkara yang aku mulakan dahulu. Berani sangat.
Pertama, menulis sepucuk surat mengaku jatuh cinta kepada seorang rakan sekolah yang berakhir begitu sahaja. Surat yang tidak bernama, tapi akhirnya identiti aku terbongkar juga setelah orang tengah membocorkan rahsia. Malu? Haruslah, berbakul-bakul rasa itu terbit setiap kali terserempak dengan dia. Dan nyata sekali, cinta itu bertepuk sebelah tangan.
Kedua, melakukan perbuatan tidak masuk akal dengan menghubungi seorang kawan lelaki lalu mengaku yang aku sudah jatuh cinta kepada dia. Aku masih merahsiakan identiti, kerana aku pasti hubungan aku dengan dia andai ada tidak akan berjaya. Sebab itu, aku menelefon dia saban hari selama dua minggu memohon pertolongan dia agar aku mampu melupakan dia. Sungguh, tidak masuk akal tapi ada juga orang yang mahu melakukannya.
Aku tidak menyesal berbuat begitu sebab aku meluahkan apa yang aku mahu. Cuma keputusannya tidak pernah menyebelahi aku. Yakni, aku kecundang dengan semua kisah cinta yang aku mulakan terlebih dahulu. Jadi, sekarang aku nekad tidak mahu memulakan sesuatu yang akan berakhir sama seperti dua kisah terdahulu.
“Okey, dah siap. Mari saya tunjukkan kepada awak apa-apa yang patut awak tahu.” Suara pemuda itu segera mematikan anganan.
Aku yang mendengar agak terpesona dengan kelunakan suara dia. Mata ralit memerhatikan dia yang sedang sibuk mengemaskan peralatan dan kabel yang bersepah-sepah di atas lantai, nampak seksi pula di mata aku.
“Kalau awak puas hati, awak tanda-tangan dekat sini.” Dia mengunjukkan borang penilaian.

Aku pandang sekilas sebelum mata singgah pada bahagian bawah borang tersebut. Tertera nama dia. Almi. Senyuman segera terlukis di bibir. Almi Ahmad. Ulang aku dalam hati.

Isnin, 21 September 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Bhg 1



SATU kerja pun tak boleh hendak dilangsaikan. Mataku membuntang mengadap paparan skrin komputer yang tidak bergerak, pegun sejak dari mula aku memasukkan kata laluan hinggalah ke saat ini. Kecil besar kecil besar anak mata aku. Macamlah komputer itu faham kalau aku jegil-jegilkan mata aku sampai tersembur keluar sekalipun.
Tiba-tiba aku terpandang wajah sendiri pada cermin kecil yang sesekali aku guna untuk menilik penampilan diri. Woit, mata buntang aku! Aduhai, bulatnya mata. Baru perasan, patutlah tak ada siapa pun berani tegur aku pagi-pagi ini.
Aku urut pelipis yang sudah mula berdenyut-denyut, stress. Macam-macam sumpah seranah bersusun dalam minda menunggu giliran untuk dimuntahkan. Geram betul memikirkan makluman yang diberi oleh unit IT yang memberitahu bahawa email server akan down sepanjang hari. Sudahlah kerja aku yang memang sebahagian besarnya memerlukan emel untuk berkomunikasi. Habis terbengkalai semuanya.
Argh! Keluhan aku lepaskan sedas. Teringatkan kata-kata anak buah aku, si cilik Adi yang berusia 6 tahun.
“Acik Naurah, kenapa nak marah-marah ni? Sabar itu ‘kan separuh daripada iman.” Terbayang wajah dia yang menuturkan ayat tersebut dengan muka yang tak bersalah, selepas aku membebel melihat permainan yang bersepah menghias empat penjuru ruang tamu.
Nasib baiklah hari ini aku sedang berpuasa. Niat menggantikan puasa yang harus dibayar, memandangkan bulan puasa akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Jadi darjah kemarahan itu masih berupaya untuk aku kawal dari terus meledak. Kalau tidak, entah siapa-siapa entah jadi mangsa hambur aku.


Lama aku menopang dagu memandang skrin bila aku perasan kelibat seorang pemuda yang tidak aku kenali berulang alik melewati kubikelku.  Intern? Dua tiga bulan ini, ramai sahaja muka baru muncul silih berganti. Musim intern menjalankan latihan praktikal mereka.
Pemuda berkaca mata yang berambut gaya-gaya urban itu mengenakan kemeja berwarna biru laut dengan slack hitam. Tiba-tiba dia berhenti sejenak di hadapan kubikel aku, jari telunjuk menguis kening memikirkan sesuatu agaknya. Seketika kemudian dia meneruskan langkah ke arah meja milik Kak Sarah. 
Aku lihat dia memeriksa CPU milik Kak Sarah. Mungkin pemuda itu merupakan salah seorang daripada pekerja vendor yang diupah untuk menukar komputer milik pekerja syarikat. Itupun, aku lihat ada beberapa orang lain yang sibuk mengendalikan pemasangan komputer dari unit ke unit.
Siapapun mereka, tidaklah aku pedulikan sangat sebab hati sedang mendongkol marah memikirkan laporan yang perlu aku hantar menjelang petang nanti. Padan muka aku! Buatlah kerja last minute lagi, hah bukankah dah menggelabah sekarang? Minta-minta alasan server down ni cukup untuk menyelamatkan aku dari disembur oleh setiausaha Encik Akil yang sejak dari semalam sibuk mengejar aku.
Laporan yang hampir 90% siap itu sepatutnya sudah boleh dihantar tengah hari nanti kalau tidak kerana sistem baru yang tiba-tiba buat hal. Sistem baru yang kononnya mampu mempercepatkan proses. Cepatlah sangat! Melambatkan lagi adalah. Kalau dahulu tanpa menggunakan sistem baru ini, sepuluh kes mampu disiapkan dalam tempoh kurang sehari. Kini, dengan sistem baru ini, lima kes berjaya disiapkan pun sudah kira bagus.
Sudahnya aku cuma mampu buat filing dan kerja-kerja tidak berapa penting untuk mengisi baki waktu bekerja hari ini. Tak kisahlah, rezeki akulah kot. Boleh cepat balik dan berbuka puasa di rumah. Tiba-tiba terbayangkan sayur pucuk rebung masak lemak dan ikan pekasam dimakan dengan nasi panas-panas. Urgh! Kecur air liur bila mengingatkan itu.
“Kak.” Tiba-tiba aku ditegur pemuda berkemeja biru dan bercermin mata yang tadi lalu lalang di hadapan aku.
Aku angkat muka, bola mata seakan mahu tersembul keluar dari sarungnya. Hilang terus bayangan ikan pekasam dan nasi putih yang berlegar-legar di ruang mata tadi.
“Perasan tak komputer baru yang kawan saya letak dekat sini?” Dia mengunjuk ruang kosong berhampiran.
Wajah cuak si pemuda yang penuh tanda tanya itu mengisi ruang mata. Mulut sudah senget sebelah. Bukankah ramai sahaja pekerja syarikat yang ada ketika ini? Kenapa memilih aku untuk bertanya? Apa, ada tertulis kaunter pertanyaan pada dahi aku?
Mata dia sudah terkebil-kebil. Sungguh menguji kesabaran aku. Tiba-tiba hati jadi sakit semula. Datang menderu tanpa dipinta.
“Tak ada,” jawabku pendek tanpa nada lalu menundukkan kepala.
Dia pandang keliling sambil meninjau beberapa buah kotak berisi komputer baru yang ada. Aku perhatikan sahaja tingkahnya melalui ekor mata. Tidak puas hati barangkali mendengar jawapan yang aku berikan tadi.
“Sepatutnya ada satu lagi, untuk akak.” Matanya menyapu wajah aku sekilas sebelum tertancap pada badan komputer aku yang bertanda. Ditanda sebab komputer aku juga termasuk dalam senarai perkakasan yang perlu diganti atau ditukar baru.
Untuk aku? Giliran mata aku pula yang jadi terkebil-kebil. Huh, sungguhlah bukan rezeki aku. Tiada jodoh agaknya aku dengan komputer baru. Terasa seperti dejavu pun ada. Selepas beberapa kali terkena, rasa teruja itu semakin berkurangan malah mungkin sudah hilang langsung.
Mana tidaknya bos sudah beberapa kali berjanji hendak menukar komputer milik aku dengan yang baru. Pertama kali dijanjikan, bukan main lagi aku teruja melihat kotak-kotak berisi komputer baru model terkini. Alih-alih dapat CPU sahaja. Itupun, cuma ditambahkan memori sahaja, ekstra 1GB. Okeylah, daripada tidak ada. Tidaklah kelajuan sistem komputer aku itu bergerak macam siput. Kadang-kadang tu jari aku lagi laju daripada komputer itu sendiri. 
Kali kedua, janji yang sama. Aku bakal mendapat komputer baru model yang paling terkini, baru muncul di pasaran. Kira macam batch pertama. Alih-alih dapat monitor sahaja, itu pun monitor dari model keluaran tahun lepas. Komputer baru yang sepatutnya jadi milik aku sudah jatuh ke tangan orang lain. Pekerja seksi kesayangan bos, setiap tahun komputer dia tidak pernah tidak bertukar. Huh, nak cemburu pun tak boleh, dah memang kesayangan bos. Untunglah, ada orang sayang.
Okeylah, abaikan saja yang itu. Alkisahnya, dulu monitor saiz televisyen lama berbonggol itulah yang menghias megah meja aku. Kini ditukar dengan monitor bersaiz nipis, syukurlah walaupun bukan dari versi yang terkini. Bolehlah join member lain yang lebih dahulu dapat monitor spesis yang sama. Hah, kalau tidak janggal jugalah. Terasa macam dianak tirikan pun ada. Mentang-mentanglah aku tak kisah, yalah dengan komputer cabuk tu pun aku boleh siapkan kerja secepat mereka yang menggunakan komputer baru. Apa ada hal? Berlagak pula aku ni…heh! Turun, turunkan ego tu. Jangan riak.
“Betulkah, kak?” tanya pemuda itu lagi.
Terencat lamunan. Mata saling bertentangan. Dahi aku sudah berlapis. Aku nampak macam menipukah? Aku diam sejenak, berfikir mahu menjawab secara sarkastik. Kalau memilih begitu, nampak sangat aku jenis yang tidak bijak mengawal emosi. Tapi, rasanya kalau melihat wajah dan reaksi aku sekarang, kucing yang jinak pun boleh berdesup lari.
Kepala aku geleng sambil meneruskan kerja tidak berapa penting yang sedang aku buat sekarang ini. Pemuda itu melepaskan keluhan. Entah sebab sikap endah tidak endah aku atau memang sebab kotak komputer baru yang dicari itu sudah hilang entah ke mana.
Malangnya, aku tidak ada masa mahu memikirkan semua itu. Sebab minda sarat dengan laporan yang bila entah akan berjaya aku hantar, juga memikirkan alasan sewajarnya atas keterlewatan untuk menghantar laporan tersebut sebelum tarikh akhir.
Telefon milik aku berdering sekali, tanda ada pesanan masuk.
“Jom, makan tengah hari,” ajak kawan-kawan aku. Pesanan yang dihantar melalui grup whatsapp.
Eloklah pun dari melayan hati yang resah. Lebih baik melayan perut yang lapar ‘kan? Akhirnya, aku pergi meninggalkan meja dan tugasan yang terbengkalai sejak pagi.


Raut wajah yang indah,
kenapa dibiar masam mencuka

Uik! Siapa punya kerja ni? Aku tarik sticky note yang sengaja dilekatkan pada badan tetikus. Banyak-banyak tempat, badan tetikus itulah tempat dia nak tepek. Huh. Berkerut dahi aku ketika membaca semula nota itu. Aku tak kenal tulisan itu milik siapa.
Aku toleh kiri dan kanan, cuba meneka siapa gerangan punya kerja. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Mata aku tiba-tiba tertancap pada tubuh seorang pemuda yang tidak kukenal berada di meja Kak Sarah. Sungguh aku tak kenal. Tak mungkinlah dia, nampak macam tekun menyiapkan tugasan saja. Lagipun, kenapa dia nak suka-suka bagi nota kepada aku?
Kebetulan pula pemuda berkaca mata itu sedang menghala ke arah aku. Mungkinkah dia?
“Awak,” tegur aku.
“Ya?” Dia berhenti serta-merta di hadapan aku, menunggu kata-kata selanjutnya keluar dari bibir aku.
“Err.. tak ada apa-apa.” Niat aku terbantut sebaik sahaja melihat wajah dia. Sticky note yang kupegang aku sumbatkan ke dalam laci. Aku simpan dululah misteri si pengirim nota itu. Sekarang ini, aku ada misi lain. Menyiapkan tugasan yang dikejar waktu. Benci wei, kerja yang terkejar-kejar ni. 

Khamis, 22 Januari 2015

Melati Shafika - Unspoken Minds

Assalam semua
And so, I created a group - care to join me? For a snippet or two of my fairy tales. :)
Boleh dapatkan entries & post about 'Officially Yours' yang currently unavailable here.

https://www.facebook.com/groups/331573453707220/requests/?notif_t=group_r2j



Sabtu, 15 Februari 2014

Virus oh Virus

Assalam semua
Lama x update n3. My blog diserang malware. Maaf pada pengunjung yang terkena tempias sekali, saya sendiri tidak tahu puncanya. Probably some coding error but I am unable to locate and remove it.
   
Setelah sehari suntuk cuba membuangnya dari blog tapi tidak berjaya, saya akhirnya terpaksa akur dan menukar blog template & design. So, this is my blog new look. :)

Buat yang bertanyakan kisah Yaya dan Fariq Hatta. Saya sedang menyiapkan manuskrip penuh untuk penilaian sebuah syarikat penerbitan yang sudah mengintai kisah tersebut. Harap bersabar, In Sha Allah kalau ada rezeki dan atas doa kalian semua mudah-mudahan ia berjaya ke versi cetak.

Love xoxo

Isnin, 28 Oktober 2013

Officially Yours - part 13

Assalam semua. Monday blues? Me too... ;) Jom layan bab seterusnya OY. Semoga anda terhibur. Kalau ada terkurang, mohon maaf terlebih dahulu. Tak sempat nak edit banyak2. Love you all, c u in the next entry.  


Jam belum menjejak pukul lapan pagi, aku sudah pun berada di pejabat. Bukannya ada hati hendak menyiapkan tugasan yang tak pernah berkurangan. Tapi pagi-pagi datang menopang dagu di atas meja, terkenangkan Fariq Hatta yang kini sudah jadi milik orang.
Apalah yang nak jadi dengan aku ni? Mood sedih yang melanda membawa aku mengimbau semula peristiwa yang membuatkan aku jatuh cinta pandang pertama pada Fariq Hatta. Lama dulu, sewaktu aku masih bergelar siswazah.
Ketika itu aku sedang melewati padang rekreasi untuk kembali ke kolej selepas sesi diskusi bersama beberapa orang penuntut lain. Fariq Hatta pula sedang bermain ragbi bersama rakan sepasukannya di padang yang sama. Entah bagaimana bola ragbi yang menjadi rebutan ahli pasukan ragbi itu boleh melayang dan terkena kepala aku. Aku yang sedang berjalan di tepi padang, tersungkur menyembah bumi.
Sakit? Gila, tak sakit? Memang sakit yang teramat hingga aku jatuh berguling di atas padang. Hendak meraung, suara bagaikan tersekat tak terkeluar. Sudahlah bergelumang dengan daun rumput yang baru dimesin, tudung pula berserabut akibat digosok-gosok tatkala cuba menghilangkan kesakitan yang datang.


“Okey tak?” tanya pemuda yang mula-mula datang mendapatkan aku.
Rasa nak pelangkung jer pemuda itu. Boleh pula dia bertanyakan soalan sebegitu? Tak nampak ke orang bagai nak pengsan kat atas tanah ni. Kalau dah terlantar atas tanah dan tak mampu nak bangun tu, tak okeylah tu.
“Fariq, engkau yang buat kan? Engkau hantar dia ke klinik,” salah seorang senior bersuara. Mereka semua sudah berkumpul mengelilingi aku. Buat malu aku sahaja. Tapi, nak buat macam mana? Aku hendak bangun pun tak larat, apatah lagi hendak berdiri.
“Aku tak sengaja,” balas Fariq Hatta dalam keadaan serba salah.  
“Sengaja tak sengaja, kau kena hantar dia ke klinik juga,” tegas kakak yang tinggal satu kolej dengan aku.
Mahu tak mahu Fariq Hatta terpaksa mencempung dan membawa aku mendapatkan rawatan. Itulah detik pertama aku mengenali Fariq Hatta. Insiden sebegitu, mana mungkin aku bisa lupakan tapi lelaki itu langsung tidak mengingatinya. Atau mungkinkah kesan bola ragbi itu membuatkan ingatan aku pada Fariq Hatta tidak pernah pudar? Sebab itu jugakah wajah Fariq Hatta terus melekat di minda?
Derap kaki yang seperti sengaja dihentak ke lantai membuatkan pekerja syarikat yang ada pagi itu menoleh ke arah si pemiliknya. Juga menyedarkan aku dari terus menyulam kisah silam.
“Siapa Yasmin Hidayah?” perempuan itu bersuara.
Terangkat kepala aku mendengar nama aku disebut-sebut. Mata pekerja yang lain sudah pun jatuh ke wajah aku yang terpinga-pinga.
“Saya,” ujarku seketika kemudian. Alangkah terkejutnya aku melihat siapa yang hadir. Perempuan cantik yang agak biasa kulihat. Apahal bakal isteri Fariq Hatta cari aku? Bakal? Opps! Sudah jadi isteri yang sah sebenarnya sejak semalam.
Dia melangkah menghampiri aku. Penuh gaya. “Yasmin Hidayah?”
Aku mengangguk mengiyakan.
Pangg! Pipi aku dilempang. Aku terkesima lalu memegang pipi yang memerah. Pedih! Tangannya naik lagi sekali. Tidak mahu pipi aku yang sebelah menerima habuan yang sama, aku pegang pergelangan tangannya.
“Awak kenapa? Serang saya membabi buta?” Walaupun aku dapat merasa kehadirannya itu ada kena-mengena dengan Fariq Hatta, tapi aku mahu dia sendiri memberitahu apa sebenarnya yang merasionalkan tindakannya sebentar tadi.
“Awak siapa dengan Fariq Hatta?” matanya tajam menikam wajahku.
Huh? Aku tergamam mendengar soalan yang diajukan. Siapa, siapa?
“Awak jangan buat-buat tak tahu. Fariq Hatta dah ceritakan segalanya pada saya.” Wajah garang milik Khairina bertukar jadi sendu tiba-tiba.
“Hah?” Aku pula menjadi semakin tidak faham. Ceritakan apa? Lagi, kalau dah tahu semua buat apa bertanya pada aku? Untuk mengesahkan cerita Fariq Hatta? Dan, cerita Fariq Hatta itu pula, apa butir-butirnya?
Aku masih tercegat memegang pergelangan tangannya. Masih cuba memahami perkara yang sedang berlaku.
Khairina menarik kasar tangannya hingga terlepas dari genggaman aku. Dia kemudiannya menuding jari tepat pada wajah aku. “Kau.. kau…” 
Ketika kekalutan itulah Fariq Hatta muncul. Jadi penyelamat aku, isteri dia atau penyelamat keadaan? Apa-apapun, sekurang-kurangnya dia ada untuk menjawab persoalan yang kini sedang memenuhi kotak minda aku. Atau mungkin tidak?
Khairina sudah mengongoi sedih dan sedang dipimpin keluar oleh Fariq Hatta. Dramanya. Agak-agak kalau aku buat drama macam tu, ada tak yang bersimpati? Hik! Tersedu pula aku. Aku pandang mereka berdua yang sedang beredar meninggalkan pejabat. Juga meninggalkan aku yang sedang termangu.
Eloklah pun Fariq Hatta itu muncul. Bagaimana hendak jadi suami yang baik kalau gagal memujuk isteri sendiri? Nampaklah juga ciri-ciri suami yang prihatin. Apapun, harus diberi peringatan kat bos aku ni, masalah rumahtangga silalah selesaikan di luar pejabat. Aku gelengkan kepala sambil hati menahan rasa. Yalah, yang kena tampar itu aku. Pedih masih terasa kat pipi ni ha!
“Kenapa tu?” tanya Kak Su yang baru tiba.
“Entah.” Aku jungkit bahu sambil memegang pipi. Nasib baik Kak Su tak nampak adegan tadi.
“Yaya, apasal tak balas mesej akak?”
“Bila pula akak hantar mesej kat Yaya?” Opps! Aku terlupa hendak menghidupkan semula telefon bimbit aku. Sejak semalam aku biar begitu sahaja selepas dimatikan.
“Yaya, you missed something big!” Mata Kak Su sudah bersinar-sinar dengan riak muka yang teruja.
Tatkala melihat wajah Kak Su, aku sudah dapat membaca yang mak buyung seorang ni sedang menunggu masa mahu menyampaikan cerita sensasi yang aku terlepas semalam. What did I miss last night? Yaa.. majlis akad nikah Fariq Hatta tentunya.

***

Sedikit pertengkaran kecil di antara Fariq Hatta dan Khairina berlaku ketika majlis baru hendak bermula. “Saya tak boleh lakukan ini. Saya tak boleh berkahwin lagi satu.”
Suara Fariq Hatta yang agak tinggi membuatkan para hadirin yang ada ketika itu memberi perhatian. Lebih-lebih lagi apabila mendengar kenyataan Fariq Hatta yang seperti mahu membatalkan majlis akad nikah tersebut.  Kebetulan pula tok kadi masih belum tiba. Kalau tok kadi ada, mau jadi panjang isu tersebut.
Darling? Jangan main-main,” suara Khairina kedengaran bergetar. Bibirnya diketapkan. “This is just a joke, right?
No! Sorry Rin, but I am not joking.” Suara Fariq Hatta agak tegang.
Khairina menarik lengan Fariq Hatta membawanya ke bilik pelamin yang sudah dihias indah untuk meraikan mereka sebagai bakal pengantin. Ibu kedua-dua mempelai yang mahu turut serta segera dihalang oleh pasangan masing-masing. Manakala, para tetamu sudah mula sok sek sok sek membuat pelbagai andaian. Melihat keadaan yang semakin riuh, tuan rumah yakni ayah pengantin perempuan pun bersuara.
 “Minta maaf hadirin sekalian, nampaknya ada sedikit masalah teknikal. Dijemput menjamu selera terlebih dahulu.”
Sementara itu di bilik pelamin.


“Apa ni Fariq?” airmata Khairina sudah bergenang. Sepatutnya hari ini hari bahagia untuk dirinya tapi sebaliknya pula yang berlaku.
I am sorry. I really am.” Fariq Hatta menghulurkan selembar kertas. Khairina menyambutnya dan sesaat kemudian tangisannya pecah.
You can’t be doing this to me.
Fariq Hatta tidak menjawab. Dia membiarkan sahaja Khairina menangis. Hendak memujuk, dia rasa dia tak patut dan lebih dari itu dia tak sanggup. Bimbang tangis Khairina semakin menjadi-jadi, bimbang jika  itu berlaku ianya akan menjerat dirinya pula.
“Mana family I nak letak muka,” sambung Khairina lagi. “Please tell me, you are just making this up.
Fariq Hatta terus-terusan mendiamkan diri. Bukan dia tidak merasa belas pada Khairina tapi dia tidak sanggup melukakan Khairina di kemudian hari. Tapi, yang paling penting dia mahu berlaku adil pada Khairina juga dirinya.
“Fariq, please..”
Selepas melepaskan sebuah keluhan yang berat Fariq Hatta berkata, “Someday, you will understand the reason behind all of this.
Kedua ibu-bapa Fariq Hatta dan Khairina sudah pun menunggu di luar pintu bilik ketika Fariq Hatta meninggalkan Khairina seorang diri.
“Kenapa ni Fariq?” pantas ibunya mengajukan soalan. Marah juga dia dengan anak lelakinya yang membuat keputusan mendadak dan di saat-saat terakhir. Dia yang beria-ia mahu menjodohkan anaknya dengan anak Puan Rahimah itu, alih-alih anaknya membatalkan perkahwinan. Rasa malu bertandang kerana majlis itu berakhir dalam keadaan sedemikian rupa. Mana mahu diletak muka?  
“Maafkan Fariq, mama, ayah.” Satu-satu wajah mereka Fariq pandang. Dia meneguk air liur, dia tahu mereka semua sedang mengalami keadaan yang sukar ketika itu. Tidak dapat dinafikan yang rasa bersalah itu menguliti diri tapi nasi sudah menjadi bubur. Hendak berpaling kembali itu sudah tidak mungkin.
So, you have made up your mind?” ayahnya pula bersuara.
Fariq mengangguk. “Fariq betul-betul minta maaf, tapi Fariq …”
“Pakcik faham,” balas ayah Khairina, Encik Sabri yang juga sahabat baik ayah Fariq Hatta. Kalau anak teruna itu tidak boleh menerima anaknya, hendak dipaksa-paksa pun tak ada gunanya.
“Imah pergi tengok-tengokkan anak kita tu,” ujar Encik Sabri.
“Makcik maafkan Fariq.”
Ibu Khairina tidak terkata apa. Kalau ikutkan hati, ringan sahaja tangannya ingin mendarat ke wajah anak muda itu. Tapi, dia lebih memikirkan keadaan anak perempuannya saat itu.
“Begitukah ceritanya Kak Su?” Aku yang mendengar cerita Kak Su, melopong dari mula hingga akhir. Khusyuk!
Jadi, Fariq Hatta tak jadi berkahwin dengan Khairina. Hmm.. berita gembira untuk aku. Yeay! Tapi, kalau ikut cerita Kak Su… Fariq Hatta sudah menjadi suami orang lain sebab itu dia tidak mahu menikahi Khairina. Sungguh aku tak sangka rupa-rupanya Fariq Hatta itu sudah berumah-tangga. Tapi, kenapa pula Khairina itu datang mencari aku? Jangan-jangan?

***

Fariq Hatta menghulurkan sekeping kertas yang pada pandangan aku nampak seperti dokumen perkahwinan.
“Apa ni?” aku bertanya.
“Sijil nikah kita.”
Hah? Aku ternganga. Aku perhatikan salinan sijil nikah yang ditulis dalam huruf jawi. Terketar-ketar aku memegang lembaran itu. Bila pula aku berkahwin dengan Fariq Hatta? Aku perhatikan cop yang tertera pada lembaran kertas tersebut. Dekat sempadan pula tu. Isk!
This is not true, right?
Fariq Hatta menyedut air sambil menatap wajahku tanpa sebarang reaksi.
“Fariq Hatta, you know forgery is wrong, and it is a crime. Right?” suara aku tekankan kononnya mahu memberitahu Fariq Hatta yang dia sudah melakukan satu kesalahan yang serius.
I know.” Selamba dia menuturkan tanpa rasa bersalah.
So? What are you doing?” marah aku. Aku tidak mahu terlibat dalam jenayah yang sudah dan sedang dia lakukan. Juga, yang paling penting aku tidak mahu meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang bukan aku lakukan. Hidup aku masih panjang untuk dibazirkan begitu sahaja.
Yaya, cuba baca betul-betul.” Dia menyorong lembaran kertas itu semula kepadaku.
Aku teguk air liur dan dalam keadaan teragak-agak mula membaca. “Syed Hakimi… Rosmaliza..”
“Siapa mereka berdua ni?” sedikit kendur suara aku setelah mendapati dokumen tersebut sebenarnya salinan sijil nikah milik orang lain.
My friends, I borrowed this from them.
Mataku melotot. Takkanlah Khairina tak perasan. Atau..
“Dia tak tahu baca jawi.” Fariq Hatta menjawab persoalan yang bermain di minda aku.
Owh! Aku rasa nak tergelak tapi dalam masa yang sama simpati kerana perempuan itu dengan mudah diperdaya Fariq Hatta.
“Encik Fariq tak patut berbuat begitu.”
“Awak juga yang kata kalau Plan A tak jalan, Plan B ada.”
“Fariq Hatta. You know I don’t mean it like that.”Aku pejamkan mata. Sanggup dia gunakan  kata-kata aku itu untuk putar-belitkan kenyataan.
 “I am just being fair to her.
But, you are not being fair to me. Ingin sahaja aku jeritkan apa yang tersirat di hati aku. “You know…  A lie, will leads to another lie.


Fariq Hatta menghela nafas panjang dan berat. “Yeah, you are right.”
Setuju pun dengan kata-kata aku yang lebih kepada peringatan untuk dia.
That is why you are here.
Apa? Aku silap dengar? Berkerut dahi aku jadinya.
You are my next plan.” Sambungnya lagi.
Hah?! Apa maksud Fariq Hatta? Aku rasa macam nak simbah sahaja muka dia dengan air yang berada di depan aku. Dia ni tak belajar dari kesilapan ker?
No argument. Ready or not, you are going to meet my parents tomorrow.” Belum sempat aku membuka mulut dia sudah terlebih dahulu bersuara. Kali ini dengan kejutan yang agak menakutkan bagi aku. 

Aku pandang wajah Fariq Hatta. Dia nampak tenang-tenang sahaja sedang kepala aku sudah berdenyut-denyut. Apa ni Fariq Hatta? Aku geleng kepala, rasa macam hendak menangis sahaja ketika itu. Oh, tidak!