Ahad, 22 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 3


KETIKA memberhentikan motor Kawasaki ER6 600cc berwarna kuning dan hitam di tempat meletakkan kenderaan yang disediakan, Kay dihampiri sekumpulan tiga orang lelaki yang wajah mereka masing-masing kelihatan seperti ahli kumpulan gangster.
Kay buat endah tidak endah. Setelah mengunci motor dia berjalan sambil lewa dengan membawa topi keledar yang dipakainya tadi menggunakan tangan sebelah kirinya.
“Awak Ahmad Khairul Zariq?”
Langkah Kay terhenti apabila salah seorang daripada mereka bersuara. Dia memandang wajah-wajah yang tidak dikenali itu silih berganti sambil mengerutkan dahi.
“Saya bagi amaran kepada awak, sila jauhkan diri awak daripada Azryn Zafira!” Salah seorang daripada mereka bersuara agak lantang dan melengking.
“Huh?” Kening Kay terjongket, dia mengusap dagunya lalu menyambung. “Kenapa? Ada masalah ke?”
“Awaklah masalahnya!” Salah seorang daripada mereka sudah mula mengepalkan penumbuk dan bersedia untuk melangkah dan menyerang Kay.
Terlebih dahulu membaca gerakan pihak lawan, Kay pantas menepis serangan demi serangan tanpa gagal. Cubaan demi cubaan yang dilakukan penyerang pertama tidak berjaya lansung menyentuh walau seinci tubuh Kay menyebabkan si penyerang menjadi bertambah berang. Topi keledar yang dibawa bersama tadi dijadikan Kay sebagai alat untuk mempertahankan diri.
Melihat kelesuan yang mula menguasai penyerang pertama yang berkulit agak gelap itu, penyerang kedua pun mengambil alih selepas mendapat isyarat daripada orang ketiga yang cuma menjadi pemerhati.

Ketika penyerang kedua baru hendak memulakan serangan, Kay dengan pantas membaling topi keledar tepat pada badan si penyerang sebelum mengenggam kedua-dua belah tangan dengan sekuat hati lalu menumbuk bertubi-tubi pada muka penyerang tersebut. Pergerakan lawan kedua itu dengan mudah dapat dipintas oleh Kay dan akhirnya terkulai layu, rebah jatuh ke bumi. Samseng konon! Nah! Rasakan kau!
Tatkala melihat rakannya jatuh menyembah bumi, penyerang pertama yang sudah kehilangan tenaga itu bangkit cuba menyerang melulu Kay yang ternyata lebih bersedia. Tumbukan lawan ditepis serentak dengan serangan pada perut menyebabkan si penyerang mengaduh kesakitan. Dia yang tidak mahu mengalah bangun semula cuba mengintai sasaran yang lebih tepat. Malangnya, bukaan kaki pihak lawan yang luas dengan mudah memberi peluang kepada Kay untuk menyepak dan menjatuhkannya semula.
Sudah lama dia buka langkah seribu kalau benar ilmu di dadanya itu kosong. Inilah masa untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya. Ternyata penyerang-penyerang itu tersilap menilai kemampuan dirinya. Kay melepaskan nafas sedas sambil menggelengkan kepala. Nampaknya cik puan Azryn Zafira itu amat berharga sehingga ada orang sanggup mengupah kaki pukul agar dia menjauhkan diri daripada gadis tersebut. Huh!
Malang tidak berbau! Tanpa tidak disangka-sangka orang ketiga yang sejak dari awal cuma jadi pemerhati tiba-tiba menerpa Kay sambil menghunus sebilah pisau lalu menikam Kay di bahagian perut.
“Apa yang kau buat ini?” Agak terkejut penyerang kedua itu bila melihat perbuatan si pemerhati ke atas Kay.
“Tuan Izuddin tak mengupah kita untuk membunuh …” Penyerang pertama pula bersuara cemas melihat Kay yang sedang memegang perutnya yang sedang berlumuran darah.
“Senyaplah kau berdua! Mari kita pergi sebelum orang datang,” balas si pemerhati sebelum menarik semula pisau yang melekat pada perut Kay dan bersedia untuk melarikan diri.
Kay memegang perutnya sambil mengerang kesakitan sebelum akhirnya jatuh rebah  dengan badan yang berlumuran darah.
“Hoi! Apa yang korang buat tu hah?” Tiba-tiba ada suara yang datang menyergah. Kelihatan sekumpulan lelaki yang muncul entah dari arah mana sedang menuju ke kawasan meletakkan kenderaan tersebut.
“Cepat! Cepat lari, ada orang datang!” Kelam kabut penyerang-penyerang tersebut melarikan diri meninggalkan Kay yang sudah tersadai lemah dan tidak mampu bergerak.
“Ada orang cedera!” Dua tiga daripada mereka yang datang segera bergegas menghampiri Kay, cuba membantunya.
“Cepat telefon ambulan,” gesa lelaki yang terlebih dahulu tiba di tempat Kay sebelum salah seorang daripada rakannya mengeluarkan telefon bimbit dan mendail pihak ambulan.
Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi siren menandakan ketibaan ambulan di tempat kejadian lalu bergegas membawa Kay pergi untuk mendapatkan rawatan kecemasan di salah sebuah hospital berhampiran.   

****

“Maafkan saya Kay. Saya tidak sangka yang mereka sanggup melakukan semua ini.” Suara Azryn Zafira kedengaran sayu. Apatah lagi melihat keadaan Kay yang lemah dengan bahagian perutnya dibaluti kain kasa serta terdapat beberapa kesan lebam pada lengan dan tubuh badan akibat daripada tindakan mempertahankan diri.   
Azryn Zafira tidak dapat menyangkal yang Tengku Izuddin sebenarnya ada kaitan dengan serangan itu apatah lagi bila Kay memberitahu yang dia telah diberi amaran untuk menjauhkan diri daripadanya. Siapa lagi yang sanggup melakukan perkara di luar batasan seperti itu dan yang bermain di kotak fikiran cuma sebaris nama itu.
Azryn Zafira merasa sungguh-sungguh kesal dengan kejadian yang menimpa Kay. Semua ini berpunca daripada dirinya. Bertambah-tambah rasa bersalah dia terhadap Kay kerana terpaksa menanggung kesakitan yang sepatutnya tidak berlaku kalau dia tidak melibatkan Kay. Dia tidak akan mampu memaafkan dirinya seandainya Kay tidak terselamat dalam serangan tersebut.
“Saya betul-betul minta maaf, Kay.” Setitis airmatanya tumpah. Kalau boleh dia tidak mahu menyakiti sesiapapun.
Kay sedikit tersentak melihat Azryn Zafira yang tidak semena-mena mengalirkan airmata. Seumur hidupnya, tidak pernah ada sesiapapun yang menitiskan airmata untuk dirinya melainkan mak dia seorang sahaja. 
“Tak apa! Tak apa! Bukannya sakit sangat pun.” Sekadar menyedapkan hati Azryn Zafira walhal untuk bergerak sedikit pun rasa tidak mampu. Risau dia menyaksikan wajah sedih yang terpancar pada Azryn Zafira. Tidak pula dia menyangka Azryn Zafira yang kelihatan tegas itu punya hati yang sensitif. Terkelu lidahnya. Hendak memujuk dia tidak tahu bagaimana. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
Fesol yang memerhatikan mereka berdua sejak dari tadi, cuma mampu berdiam diri tak faham apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku. Bila pula member aku ni couple dengan minah cun ni?
Ketika dia mengangkat telefon bimbit milik Kay yang tidak berhenti-henti berbunyi sejak pagi, suara Azryn Zafira yang menyapa pendengaran. 
“Kay? Kenapa tak jawab telefon saya?” Cemas sahaja bunyinya.
“Aa…err…saya bukan Kay.”
Azryn Zafira tersentak.
“Ini bukan handphone Kay ke?” Dia bertanya cuba mendapatkan kepastian.
“Betul…”
“Habis tu, dia di mana?”
“Dia di hospital.”
Hospital? Kemalangan atau melawat orang sakit? Berdebar-debar hatinya. Kalau sekadar melawat orang sakit tak mungkinlah telefon bimbit tersebut berada dalam tangan orang lain. “Hah? Kenapa?”
“Dia cedera.”
“Cedera?” Bertambah-tambah cemas suara Azryn Zafira jadinya. Akhirnya, dia tiba di hospital setelah mendapat maklumat selanjutnya daripada Fesol.
Ketika Azryn Zafira tiba tadi, Kay sudah pun bangun dari tidur. Nasib baiklah luka akibat tusukan pisau itu tidak terlalu dalam atau terkena pada mana-mana organ penting Kay. Kalau tidak mahu jadi arwah dia malam itu.

Memandangkan Kay sedang terlantar di hospital, Azryn Zafira faham sekiranya Kay ingin menarik diri daripada meneruskan rancangan yang ditawarkan olehnya. Siapa yang mahu melibatkan diri kalau sudah menerima ugutan sebegitu rupa? Walaupun ratusan ribu menjadi habuan, tidak berbaloi untuk menggadai nyawa yang tiada galang-gantinya.
“Cik Zafira tak perlu susah hati, saya bersetuju untuk meneruskan rancangan yang berikutnya.”
“Hah?” Terkejut Azryn Zafira mendengarnya. Benarkah begitu? Dia tak serik? Liur diteguk. Wajah Kay ditatap memohon kepastian.
Kay yang sedang bersandar pada kepala katil membalas pandangan itu. Kening dijongketkan.
Are you sure?” ulang Azryn Zafira ragu-ragu dan Kay mengangguk seraya tersenyum.
Rancangan? Rancangan apa? Fesol yang menjadi pemerhati tertanya-tanya. Dia jadi makin tak faham dan keliru. Kay cuma memberi isyarat mata kepadanya, mungkin cuba memberitahu Fesol yang dia akan bercerita lanjut padanya kemudian.
Kenapa harus melepaskan sesuatu yang berharga setelah sanggup bergadai nyawa begini? Tidak, tidak mungkin aku akan menarik diri. Makin berkobar dia untuk turut serta dalam permainan anak-anak orang kaya itu. Begitu desis hati Kay ketika memberi persetujuan kepada Azryn Zafira tadi.
Perlahan dia membetulkan badan dan membaringkan diri. Bisa tusukan itu masih dirasainya tapi dia sudah berazam dan bertekad dalam hati untuk menang dalam permainan itu walau dalam apa jua cara sekalipun.
   


Sabtu, 14 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 2


TATKALA mendengar ura-ura dia hendak disatukan dengan Tengku Izuddin semalam, Azryn Zafira diserbu rasa marah. Bukanlah dia hendak mengenepikan hak kedua-dua orang tuanya tapi kenapa Tengku Izuddin? Mendengar nama itu pun sudah cukup untuk membuahkan rasa benci apatah lagi untuk hidup sebumbung dengannya?
Dia bukan tidak kenal siapa Tengku Izuddin yang pernah suatu ketika dulu bertakhta dihatinya. Tapi itu sejarah silam, sejarah yang dia tidak ingin mengulangi walau diberi peluang seribu kali. Cukuplah hanya sekali itu, kalau boleh dia mahu kisah itu terus berkubur begitu saja.
Bagaimanapun untuk mengelak dan membuang Tengku Izuddin terus dari hidupnya, mungkin bukan sesuatu yang mustahil cuma agak sukar. Memandangkan ayahnya Datuk Ma’asud dan ayahnya Tengku Izuddin, Tengku Iksham itu sudah lama bersahabat baik. Jadi, mahu tidak mahu dia terpaksa berhadapan juga dengan lelaki yang terkenal dengan sikap womanizer - nya itu.
Semalaman dia berfikir, berusaha mencari ikhtiar dan jalan agar usul jodoh itu dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya dapat dihalang daripada terus menjadi kenyataan. Peluang yang dicari-cari akhirnya tiba ketika sesusuk tubuh yang menarik perhatiannya pagi itu, mengingatkan dia pada jalan keluar untuk masalah jodoh yang mengganggu benaknya dari semalam. Tiba-tiba idea drastik yang logiknya tidak ada menerpa menguasai akal fikiran.
Mungkin dia orang yang sesuai untuk peranan tersebut. Tubuh badan agak sasa dengan ketinggian yang sesuai serta rupa paras yang agak menarik. Cuma perlu memperbaiki penampilannya sedikit. Ah! Masa sudah suntuk untuk dia mencari idea yang lebih bernas, buat masa ini itu sahaja yang terbaik boleh difikirkannya. Tawaran RM2 ribu itu untuk ujian pertama.
Pada mulanya dia agak cuak jika lelaki tersebut menolak tawaran tersebut. Jika lelaki itu menolak hancur punahlah segala rancangan yang dibina. Dia bernasib baik kerana lelaki itu bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sekaligus melegakan hatinya yang gundah sejak semalam lagi. Dia ingin dan perlu bertindak lebih pantas mendahului rancangan orang tuanya dan keluarga Tengku Izuddin.
Seandainya lelaki itu berjaya melepasi ujian tersebut, dia sudah berkira-kira untuk menawarkan kontrak dengan upah yang lebih lumayan. Menurut firasatnya, kisah itu tidak mungkin akan berakhir di bilik conference sahaja dan dia mahu bersedia untuk segala kemungkinan yang bakal berlaku.
“Maaf, cik Zafira… Saya ingatkan setakat ini saja urusan kita. Bukankah ini cuma one time offer sahaja?” Kay jadi sedikit bimbang setelah mengetahui perempuan itu sebenarnya merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan agak terkenal di kota metropolitan itu. Bukannya bimbang akan status perempuan tersebut tapi bimbangkan penglibatannya itu bakal mendedahkan dirinya kepada umum yang secara tidak langsung membawanya kepada perkara yang selama ini cuba dielakkan.
Terkejut juga Kay ketika diperkenalkan kepada lelaki yang digelar Babah oleh Azryn Zafira tadi. Rupa-rupanya ayah Azryn Zafira merupakan seseorang yang amat dikenali dalam bidang perniagaan.
Sangka Kay, Azryn Zafira cuma ingin menggunakannya untuk mengusir lelaki hidung belang yang mengganggu hidup cik puan yang bertubuh kurus melidi persis model itu cuma ketinggiannya agak terbatas berbanding dengan model-model yang sedia ada. Kalau dari segi rupa-paras, Azryn Zafira boleh dikategorikan seorang yang berwajah menarik, manis dan memikat.
“Kontrak?” Terangkat kening Kay ketika ditujukan tawaran kedua sebaik sahaja mendapat imbuhan untuk tawaran yang pertama.
“Enam bulan sebagai kekasih awak?” Dari sehari dipanjangkan menjadi enam bulan pula. Masalah apalah yang sedang kau jebakkan diri kau, Kay?
“Awak percaya dengan kontrak ini, awak boleh selesaikan masalah awak?” Dia bertanya kepada Azryn Zafira yang sedang menyisip air mineral setelah menuangkannya ke dalam gelas kaca.
“Sekurang-kurangnya saya mencuba,” balas Azryn Zafira bersahaja.
“Sebelum saya bersetuju, saya rasa saya berhak untuk mengetahui sebab dan puncanya awak perlu melakukan semua ini. Selain daripada jawapan yang ini semua ada kaitan dengan hidup dan mati awak.”
Pelbagai soalan yang perlukan penjelasan sedang berlumba-lumba mencari tempat di mindanya. Pada hemat Kay, sekiranya dia mahu turut serta dalam permainan yang dicipta Azryn Zafira itu sekurang-kurangnya sedikit info perlu untuk dia mendapat sedikit gambaran akan hala tuju dan arah permainan tersebut. 
“Sekiranya saya membuka rahsia itu, adakah awak akan bersetuju?”
“Hmm, saya akan fikirkan itu kemudian.” Kay menarik nafas perlahan.
Akhirnya Azryn Zafira menceritakan segala kemushykilan yang bermain di minda secara ringkas. Dia tidak mahu terlalu transparent kepada Kay yang baru dikenali tidak sampai sehari itu.
“Kenapa tidak awak berterus terang kepada ayah awak, bukankah itu lebih mudah?”
Azryn Zafira menggeleng-gelengkan kepala. Kalaulah semudah itu.
“Awak belum kenal ayah saya lagi. Dia seorang yang amat komited dengan perniagaannya dan sangat mementingkan tali persahabatan. Lagipun ayah tak tahu yang saya sudah terlebih dahulu mengesan rancangan mereka untuk menjodohkan saya dengan Izuddin.”
“Apa masalah awak dengan Tengku Izuddin sebenarnya?” Terbayangkan kembali wajah berang Tengku Izuddin ketika dia diperkenalkan kepada mereka tadi.
Bagi Kay, Tengku Izuddin tidak ada apa yang kurang. Segak, ada rupa ada gaya, berkedudukan dan berharta. Mungkin sikap dan attitude yang agak menjengkelkan itulah kelemahan utamanya.
Azryn Zafira terdiam seketika, agak keberatan untuk membicarakan isu tersebut kepada Kay. “Cukuplah kalau saya katakan yang dia adalah manusia yang paling jijik yang pernah saya kenal selama hidup saya.”
Kay segera melirik ke arah Azryn Zafira.
“Saya tidak mahu dia jadi jodoh saya walaupun dalam dunia ini sudah tidak ada lelaki lain selain dari dia. Tidak dalam sejuta tahun pun.”
Huh?! Nampaknya ada sejarah di antara mereka berdua, fikir Kay.
“Baiklah, tapi bagi saya masa sehari untuk memikirkan tawaran awak,” ujar Kay sambil melurut rambutnya ke belakang. Segera dia bangun dari duduk. Sudah tiba masa untuk dia beredar.
“Saya hantar awak balik.”
“Tak apalah cik Zafira, saya datang naik motor.”
“Ooh!”
“Kalau ada apa-apa, cik Zafira boleh hubungi saya. Ini nombor telefon saya.” Kay menulis nombor telefon bimbitnya pada sehelai kertas kecil sebelum menyerahkannya kepada Azryn Zafira.


“Kalau tidak apa-apa lagi, biarlah saya beransur dulu.” Kay sudah bangun dari duduk.
Azryn Zafira terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Kay.
Nice knowing you, saya harap lepas ini hubungan kita tidak akan terputus begitu sahaja.” Azryn Zafira berkata sambil mengukir senyuman manis.
“Walaupun, saya mungkin menolak tawaran awak?”
“Ya, tapi awak belum lagi memberikan keputusan yang muktamad tentangnya ‘kan?”
Kay diam sejenak sebelum mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata Azryn Zafira.
“Lagi satu saya nak tanya awak.”
 Tombol pintu tidak jadi dipulas Kay. Dia menanti.
“Awak memang bekerja dengan syarikat penghantaran express ke?”


   

Sabtu, 7 Januari 2012

Demi Cinta Juita - Bab 1


AZRYN Zafira mengetuk pintu bilik mesyuarat sebelum memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalamnya. Kelihatan ayahnya sedang leka membincangkan sesuatu bersama beberapa ahli korporat yang lain. Mungkin tentang projek baru atau strategi terkini pemasaran.


Bila mereka kelihatan seperti tidak sedar akan kehadirannya, Azryn Zafira sengaja berdehem dan batuk-batuk kecil. Cuba untuk menarik perhatian.
“Assalamualaikum, Babah.” Azryn Zafira senyap seketika sebelum menyambung. ”Kenalkan ini teman lelaki Azryn, Ahmad Khairul Zariq.”
Datuk Ma’asud yang sedang bersembang segera berpaling ke arah suara lunak milik Azryn Zafira anak tunggal perempuannya. Rakan-rakan sembangnya juga turut menoleh sama. Pandangan masing-masing tertumpu pada lelaki yang sedang berdiri di samping Azryn Zafira. Lelaki yang memakai kacamata hitam, berkemeja-t putih serta berseluar jeans dengan fesyen rambut ala-ala pelakon korea Jung Ji-Hoon (Rain) dalam drama bersiri ‘A Love to Kill’.
“Mana you dapat mamat sengkek ni?” Tengku Izuddin seraya berpaling memandang sinis lelaki yang hadir bersama Azryn Zafira. “Berapa dia bayar awak untuk menyamar jadi teman lelaki dia?”
Azryn Zafira menjeling dingin Tengku Izuddin, seolah-olah tahu yang lelaki tersebut akan melontarkan kata-kata sarkastik itu.
Hey, bro! Watch your mouth, you could end up bleeding with broken ribs all over.” Tenang saja suara lelaki yang ditujukan soalan itu menjawab.
Azryn segera memaut lengan lelaki itu, tanpa segan silu. Hati Tengku Izuddin yang memandang seakan membengkak dengan adegan itu. Baru sahaja dia ingin bangun dari sofa, cepat-cepat Tengku Ikhsham menghalang sambil memandang tajam ke arahnya.
“Iz, behave.” Tengku Ikhsham, ayah kepada Tengku Izuddin segera mengawal situasi. Dia tidak mahu suasana di bilik conference milik syarikat Datuk Ma’asud itu bertukar menjadi keruh. Dia faham sangat dengan kerenah anaknya yang cepat baran itu.
“Babah, Azryn beredar dulu. Nampaknya Azryn tersilap memilih hari untuk memperkenalkan ‘buah hati’ Azryn pada Babah.” Azryn sengaja menekan perkataan buah hati sambil matanya melirik ke arah Tengku Izuddin yang sedang menahan rasa amarah. 
Tengku Izzudin bukan tidak tahu yang Azryn Zafira memang sengaja mengundang kemarahannya, sengaja membakar dan mengapi-api tapi dia tidak mampu mengawal perasaannya.
“Baiklah, nanti kita bincang di rumah. Hmm, siapa nama awak tadi?”  Datuk Ma’asud mengalihkan perhatian kepada lelaki yang berada di sisi anaknya itu.
“Ahmad Khairul Zariq.” Belum sempat lelaki itu menjawab, Azryn sudah mendahuluinya.
Datuk Ma’asud sekadar mengangguk.
“Selamat berkenalan, Datuk.” Lelaki itu segera menghulurkan tangan bersalaman dengan pemilik syarikat Ma’asud Holdings itu tanda hormat.
Kemudian dia menghampiri Tengku Iksham dan anaknya Tengku Izuddin pula. Tengku Izuddin segera memalingkan muka, cuma ayahnya saja yang sudi menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
“Okeylah, Kay mari kita pergi.” Azryn segera menarik lengan Kay sebelum beredar keluar dari bilik tersebut. Suara dan lenggoknya sengaja dimanjakan. Kay menurut saja langkah Azryn.

*****

Kay membuntuti Azryn Zafira yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Bahang drama yang berlaku dalam bilik conference tadi masih terasa.
Azryn Zafira menarik kerusi mempersilakan Kay menyelesakan diri sebelum dia sendiri duduk berhadapan dengan lelaki tersebut. Dia menghembus nafas panjang sebelum menarik laci meja sisi untuk mengambil sesuatu. Kay sekadar memerhati.
“Awak memang macam ni ke?” tanya Azryn Zafira.
“Macam ni?” Apa maksudnya? Pelik sedikit Kay mendengar soalan tersebut.
Azryn Zafira pandang wajah Kay. Orangnya agak senyap, tak banyak cakap. Agak berbeza dengan penampilan. Ingin sahaja dia meluahkan begitu tapi didiamkan sahaja. Terlalu awal untuk aku menilai, fikir Azryn Zafira.
“Nah! Ini upah awak.” Azryn Zafira menyerahkan sampul berisi not RM100.00 sebanyak 20 keping kepada Kay.
“Kiralah, mana tahu terkurang terlebih?” Azryn Zafira duduk santai di atas kerusi pejabat yang berwarna biru gelap itu.

Ruang pejabat yang sederhana besarnya itu dihiasi dengan cat kuning cair dengan blind warna senada pada tingkap cermin sebesar dinding di sebelah kiri mejanya. Sebuah pasu dengan pokok hiasan diletakkan di salah satu sudut agar ruang tidak kelihatan kosong.
“Tak perlu, saya percayakan Cik Zafira.” Kay membetulkan duduknya sambil menatap wajah Azryn Zafira..
Bila Azryn Zafira senyap, Kay segera menyimpan sampul tersebut di dalam beg sandang yang dibawanya bersama. Mungkin sudah tiba masanya untuk beredar. Dia tidak faham mengapa anak kepada tuan punya bangunan itu memilih dirinya untuk berlakon jadi kekasih. Tapi apa sekali pun tujuannya, dia tidak mahu ambil tahu. Biar orang yang memberikan imbuhan yang agak lumayan itu simpan ceritanya.
Ketika menghantar bungkusan yang dialamatkan kepada Azryn Zafira pagi tadi, Kay tidak menyangka akan ditawarkan dengan upah yang sebegitu banyak untuk lakonan yang mengambil masa kurang dari setengah jam dengan dialog yang tidak banyak. Mungkin inilah yang dikatakan ‘rezeki terpijak’.
Tujuan Kay ke bangunan tersebut pun sekadar ingin menolong Fesol, rakan serumahnya yang tiba-tiba diserang sakit ketika ingin melunaskan penghantaran yang terakhir. Tugas rakan serumahnya itu yang membawanya ke bangunan tersebut. Dia sebenarnya tidak ada kena mengena pun dengan syarikat penghantaran express yang bertanggung jawab ke atas bungkusan yang dibawanya tadi.
Terbayang kembali peristiwa sebelum babak-babak lakonan terancang yang berlaku di bilik conference sebentar tadi.
“Azryn Zafira Binti Ma’asud?” Dia bertanya pada seorang gadis yang berada di meja yang terletak berhadapan dengan pejabat milik orang yang dimaksudkan.
Sudah menjadi tugas gadis tersebut sebagai P.A untuk mengambil sebarang surat-menyurat, bungkusan, kurier dan sebagainya bagi pihak Azryn Zafira tapi kebetulan ketika itu majikannya itu sedang melangkah menuju ke arahnya dari sebuah pejabat milik salah seorang kakitangan syarikat yang sama. Dia memandang lelaki itu dari jauh dan bila tiba di meja Suhana, dia bertanya.
“Kenapa?”
“Tak ada apa cik puan, dia cuma nak hantar bungkusan.”
“Tak apa, biar dia masuk ke pejabat saya. Saya ada hal nak cakap dengan dia.”
“Mari, ikut saya. Awak minum kopi?”
Lelaki itu mengangguk, dengan hati yang cuak.
“Suhana, awak bawakan secawan kopi untuk lelaki ini dan air mineral untuk saya. Nanti hantar ke pejabat saya,” arah Azryn Zafira kepada pembantunya itu.
Suhana yang sedang berdiri segera mengangguk sebelum berlalu pergi.
“Silakan duduk.”
“Terima kasih.” Lelaki itu mengibas seluar yang dipakai sebelum duduk berhadapan dengan Azryn Zafira.
“Siapa nama awak?”
“Nama penuh, Ahmad Khairul Zariq bin Ahmad Shah. Kawan-kawan panggil Kay.” Pelik juga dia bila cik puan ini bertanya.
Kay memandang wanita yang pada firasatnya berumur lebih muda darinya, mungkin dalam lingkungan 25 – 26 tahun. Apa yang dihendakkannya daripada aku siap kena masuk ke dalam pejabatnya?
Azryn Zafira bermain-main dengan pena yang dipegangnya. Nafas dihela dan dilepas perlahan sementara matanya masih menilik lelaki di hadapan.


Kay pandang keliling, sebelum matanya jatuh pada seraut wajah milik Azryn Zafira. Mesti awek ni berpangkat besar, kalau tidak masakan dia disediakan sebuah ruang pejabat oleh pihak syarikat. “Kenapa cik nak jumpa saya?”
“Kalau saya tawarkan RM2 ribu untuk berlakon jadi kekasih saya untuk sehari ini, awak terima?”
Hah?! Jatuh rahang Kay mendengar tawaran yang tidak disangka itu. Pelik? Dia sebenarnya tak hairan pun dengan wang sebanyak RM2 ribu itu. Tapi daripada dia duduk merewang sahaja, bagus juga terima tawaran tersebut lepas itu layan drama sebabak yang bakal pecah panggung realiti. Kay tergelak dalam hati.
Bukankah tindakan aku ini seperti menempah bala sahaja, buatnya aku terjebak masalah yang sukar untuk diselesaikan bagaimana? Fikir Kay semula dalam keadaan berbelah bagi tapi sedetik cuma. Hmm, bukankah hidup aku memang hidup yang penuh dengan risiko? Akulah risiko, risiko itulah aku. Jadi, apa salahnya menambahkan satu lagi risiko ke dalam hidup aku?
Azryn Zafira batuk-batuk kecil membuatkan Kay tersedar semula dari lamunan. Dia meneliti empunya diri yang diberi nama Azryn Zafira itu. Hendak digelar wanita, nampak muda sangat, hendak digelar gadis, tak sesuai dengan usia pula. Perempuan, dara, si genit, perawan, si jelita, si manis? Hmm…
“Kay?”
“Juita…” Itu yang terpacul keluar dari bibir Kay membuatkan Azryn Zafira terpinga-pinga.
Juita ‘kan itu maksudnya buah hati? Kekasih? Sesuai ke? Tapi juita juga maksudnya cantik ‘kan? Lupa pulak. dia ‘kan pegang watak sebagai kekasih aku dalam drama sebabak tadi. Mungkin heroin lebih sesuai kut?
“Kay?” Sekali lagi Azryn Zafira bersuara membuatkan Kay tersentak.
Segera dia meraup wajahnya.
“Maaf, saya beredar dulu Cik Zafira. Terima kasih.” Pantas dia bangun dari duduk sebelum melangkah pergi.
“Kay?”
Kay yang sedang memulas tombol pintu menoleh. Secebis senyuman dilemparkan kepadanya. Nampak ikhlas.
“Tunggu dulu,” pinta Azryn Zafira.
Ada lagi? Berkerut dahi Kay.    
     

Khamis, 3 November 2011

CERPEN: BUKAN UNTUKMU


Alifuddin Rafiq sedang berjalan menuju ke bilik guru bersama-sama Hakimi dan Zul Izzi ketika bertembung dengan Aqilah Hani.
“Aqilah.” Tegurnya. Aqilah Hani terhenti seketika di hadapan Rafiq dan rakan-rakannya itu. Dia menunggu patah-patah bicara seterusnya tapi Rafiq cuma tercegat dan membisu di hadapannya. Seolah-olah terpukau dengan kehadiran Aqilah Hani di situ.
Apahal dengan Rafiq? Aqilah Hani jadi pelik tapi dia tidak mahu bertanya. Dipandangnya wajah Rafiq yang kehilangan kata-kata. Oleh kerana Rafiq tidak mengucapkan sesuatu, Aqilah meneruskan semula langkah kakinya menuju ke kelas Lima Anggerik. Hendak menunggu lebih lama, dia ada tugasan lain hendak diselesaikan.
Hakimi menepuk bahu Rafiq setelah Aqilah Hani berlalu pergi.
“Aqilah?” Nama itu juga yang terpacul di bibir Rafiq.
“Dia dah pergi.” Kata Zul Izzi.
“Kau lambat sangatlah.” Hakimi menyambung sebelum mengorak langkah membuntuti Zul Izzi yang sudah bergerak terlebih dahulu. Tinggal Rafiq di situ termangu-mangu keseorangan.
****
Aqilah Hani. Dia cinta hati Alifuddin Rafiq yang pertama. Sejak kali pertama dia melihat Aqilah Hani dia sudah jatuh hati dengan perawakan gadis itu. Lemah lembut, sopan santun dengan wajahnya yang manis. Sesuai sangat dengan peribadinya.
Sejak mengenali Aqilah Hani, dia sudah tahu apa itu rindu. Kalau boleh tiap-tiap hari dia ingin melihat wajah Aqilah. Kalau boleh tiap-tiap hari juga dia ingin menyebut nama gadis itu. Hebatnya penangan Aqilah Hani pada Alifuddin Rafiq.
Memang Aqilah Hani indah di matanya, walhal ada saja gadis lain yang sepuluh kali lebih cantik dari Aqilah Hani. Entahlah, bagi Rafiq bila matanya sudah mendarat pada wajah Aqilah dan hatinya sudah dimiliki Aqilah, memang tiada yang lain selain Aqilah Hani.
Hampir setiap hari nama Aqilah disebut-sebut bila berbicara. Adakalanya Hakimi dan Zul Izzi menjadi bosan mendengar ceritera Rafiq tentang Aqilah. Bila saat itu tiba, mereka akan mula menyakat Rafiq. 
“Jangan cakap saja, pergilah jumpa dia.”
“Aku nak cakap apa dengan dia?” Memang lidahnya jadi kelu setiap kali bertembung dengan Aqilah. Dia sendiri tidak tahu mengapa, walhal sebelum itu dia sudah merangka-rangka ayat yang sesuai dan difikirkan wajar untuk memulakan salam perkenalan. Rafiq mengeluh.
“Kalau kau macam ni, sampai bila pun kau tak akan dapat Aqilah Hani tu.”
Memang benar seperti kata teman-temannya itu, sampai tamat alam persekolahan pun hajatnya untuk berbual dengan Aqilah Hani tidak pernah kesampaian.
****
Hari itu sesi pendaftaran untuk pelajar baru institusi pengajian tinggi sedang berlangsung di universiti tersebut.
“Aqilah Hani?”
“Hi? Alif? Alifuddin Rafiq?”
“Awak ada di sini?”
Aqilah Hani tersenyum cuma. Cair Rafiq melihatnya. Membuatkan dia jatuh cinta sekali lagi pada Aqilah Hani.
Semenjak bertembung semula dengan Aqilah di kampus tersebut, Rafiq jadi amat teruja. Dia merasakan pertemuan itu seperti telah ditakdirkan dan bukan hanya satu kebetulan. Fikirnya memang sudah jodoh mereka. Dia bersyukur sungguh-sungguh ke hadrat Ilahi.
 Selama ini dia memang tidak pernah melupakan Aqilah. Mana mungkin dia mampu berbuat sedemikian bila dia sudah memahat tegar sepotong nama itu di sanubari. Memang dia akui gGadis itu sangat-sangat istimewa di hatinya.
Maka bermula saat itu juga, Rafiq tekad mengambil tahu jadual kuliah dan aktiviti harian Aqilah Hani. Seboleh-bolehnya dia ingin turut serta dalam semua kegiatan yang dilakukan Aqilah dan mengambil peluang tersebut untuk mendekati  gadis yang dipuja secara senyap itu. Dia tidak mahu terlepas peluang dan menyesalinya di kemudian hari.
****
Kini seperti yang diharapkan Rafiq, hubungannya dengan Aqilah yang dulu cuma setakat kenalan zaman persekolahan sudah naik taraf satu langkah ke hadapan menjadi teman satu kuliah dan sahabat baik.
“Qila?” Tegur Rafiq ketika mereka dalam perjalanan ke kafeteria selepas usai kuliah Ekonomi.
“Ya?”
“ Pergi tak rombongan ke Genting Highland tu?”
“Tak.” Aqilah menjawab pendek.
“Kenapa?” Kecewa sedikit Rafiq mendengar jawapan yang diberikan Aqilah. Dia memang berharap sangat Aqilah akan turut serta dalam program anjuran persatuan mahasiswa dan mahasiswi universiti tersebut.
“Qila dah ada program lain masa tu.”
“Kalau Rafiq tahu Qila tak pergi, Rafiq tak akan mendaftar diri untuk turut sekali.”
“Laa…orang lain kan ada.”
“Tapi, lagi seronok kalau Qila ada sekali.”
“Aku kan ada?” Tiba-tiba satu suara menyampuk dari belakang. Aqilah dan Rafiq segera menoleh ke arah pemilik suara tersebut.
“Betul tu, Fatin kan ada. Rafiq genglah dengan dia.”
Fatin Nazira segera menyaingi mereka berdua sambil matanya melirik ke arah Rafiq. Hatinya sudah terpaut pada jejaka tersebut. Senyuman dilemparkan. Mahu tak mahu Rafiq terpaksa membalas senyuman yang terukir di bibir teman sebilik Aqilah Hani itu.
****
Perkara pertama yang dilakukan Rafiq ketika selamat tiba di Genting Highland ialah mendail nombor telefon bimbit milik Aqilah. Sememangnya jasadnya sahaja yang berada di sana tapi hatinya ditinggalkan bersama Aqilah Hani.
“Sejuknya kat Genting ni .”
“Korang mesti seronok kat sana kan?”
“Kalau Qila ada sama, tentu lagi seronok.”
“Fatin mana?”
“Hello, Qila? Kau jangan dengar cakap Rafiq ni. Dia suka aje bersama dengan aku kat sini.” Secara tiba-tiba Fatin Nazira merampas telefon bimbit milik Rafiq itu.
“Hahaha…aku tahu.” Tergelak Aqilah mendengar senda Fatin Nazira yang suka bergurau itu.
“Fatin, kembalikan semula handphone aku tu.” Terdengar suara Rafiq merayu pada Fatin.
“Qila, okeylah aku blah dulu. Aku akan jaga baik-baik si Rafiq ni. Hehehe…”
“Hahaha…” Aqilah tergelak sama.
“Fatin, aku nak sembang dengan Qila lagi.”
“Bila balik dari Genting nanti, kau sembanglah dengan dia puas-puas.” Balas Fatin terseringai sebelum menyimpan telefon bimbit milik Rafiq itu ke dalam saku seluar jeans yang dipakainya. ‘Buat masa ini, kau lepak dengan aku dulu. Aku akan cuba buat kau lupa pada Aqilah Hani.’desis hati Fatin Nazira.
****
Jari-jemari halus milik Aqilah Hani yang terletak kemas di atas meja perpustakaan itu dipandang Rafiq. Dia meletakkan buku-buku yang dibawanya bersama tadi. Wajah mulus Aqilah Hani itu ditatap lembut tanpa disedari oleh yang empunya badan. Matanya beralih semula pada jari-jari runcing itu. Dekat sangat dengan jari-jari miliknya. Argh! Hatinya bagai digaru-garu. Terasa ingin menyentuh dan menggenggam jari-jemari tersebut tapi hasrat itu dipendamkan.
 “Qila tahu tak, dulu semasa Rafiq bekerja sementara kat sebuah syarikat. Ada seorang kakak tu, dia suka sangat dengan Rafiq.”
“Berapa umur kakak tu?” Terhenti seketika Aqilah dari pembacaannya.
“Tak adalah tua sangat, dalam awal 30an.”
“Muda lagi. Cun tak kakak tu?”
“Cun, memang cun tapi Qila lagi cun.” Rafiq tersenyum ketika mengungkapkannya.
“Habis tu apa yang terjadi?” Soal Aqilah seolah-olah tidak mendengar pujian Rafiq tadi.
“Kakak tu kata dia suka kat Rafiq. Suka sangat.”
“Okeylah tu. Sekarang ni, dah biasa dah kalau perempuan tu lebih tua dari pasangannya.”
“Tak okey.”
“Kenapa pula?”
“Perempuan tu isteri orang.”
“Ooh… Kalau macam tu memang tak okey.”
“Lagipun…”
“Lagipun, apa?”
“Rafiq sukakan orang lain.”
“Siapa orang lain tu?” Fatin Nazira yang baru tiba dan mengambil tempat di sebelah Aqilah mengajukan pertanyaan membuatkan Rafiq terkedu.
‘Tergendala lagi rancangan aku,’ Rafiq mengeluh. Hajat di hati ingin meluahkan segalanya pada Aqilah Hani tapi kehadiran Fatin Nazira telah memusnahkan hasrat yang sudah agak lama terpendam itu.
****
Senja itu Rafiq mengambil keputusan untuk menghubungi Aqilah melalui talian telefon. Sudah agak lama dia memendam rasa dan dia tidak mampu menanggungnya lagi.
“Rafiq, Qila bukan tak sudi tapi Qila dah ada orang lain. Qila kalau boleh nak jaga hati dia. Qila kalau boleh nak jadi seorang yang setia.” Aqilah berterus terang. Dia sudah jadi tunangan orang, mana mungkin dia menerima cinta orang lain bila sudah terikat begitu.
“Huk…” Rafiq mengeluh. Matanya dipejamkan dan kepalanya dipanggung. Seksanya luka ini.
“Qila tahu di luar sana ada lebih ramai perempuan yang lebih baik dari Qila.” Rasa serba salah menyerang diri Aqilah. Dia tidak tahu yang selama ini Rafiq menyimpan perasaan terhadap dirinya.
“Tapi tak sama macam Qila.”
“Rafiq, Qila minta maaf kalau selama ini Qila secara tidak sengaja memberikan harapan buat Rafiq. Qila tidak bermaksud begitu. Selama ini Qila anggap Rafiq tidak lebih dari seorang sahabat.”
Senyap.
“Rafiq?” Panggil Aqilah, bimbang jika Rafiq akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
“…” Hati Rafiq hancur luluh umpama kaca yang jatuh berderai. Air matanya  jatuh berlinang di pipi. Impian yang tercipta selama ini musnah dalam sekelip mata. Seakan tidak mahu menerima kebenaran dan kenyataan itu.
“Qila tahu Rafiq sedang mendengar, Qila harap bila Rafiq menghubungi Qila semula, Rafiq sudah bersedia menerima Qila sebagai sahabat Rafiq bukan sebaliknya.”
‘Rafiq, maafkan Qila. Kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Qila bukan jodoh Rafiq.’ Detik hati Aqilah sebelum mematikan telefon bimbitnya.
Argh! Rafiq mengeluh sedih. Rupa-rupanya Aqilah Hani hadir untuk mengajarnya erti cinta, rasa rindu dan kecewa dalam satu pakej. Memang Aqilah Hani istimewa tapi dia bukan untukmu, Alifuddin Rafiq. Akan ada orang lain yang lebih baik untukmu. Mungkin tidak seistimewa Aqilah Hani atau mungkin lebih istimewa darinya. Mungkin jodohnya hadir selepas itu untuk merawat lukanya.Siapa tahu?
****
Aqilah Hani menyematkan pin pada tudung berwarna kuning cair yang disarungkan di kepalanya. Farish Daniel yang baru berusia setahun itu sedang merengek-rengek dalam pangkuan suaminya. Memanggil-manggil sang ibu yang sedang bersiap.
“Dah siap?” Tanya si suami sudah bersedia untuk menghidupkan enjin. Aqilah Hani mengangguk mengambil si kecil dari pangkuan ayahnya.
 Kad Walimah yang diterima Aqilah Hani sebulan lalu dicapai dari dashboard kenderaan tersebut. Dia tersenyum melihat nama yang tertera pada kad tersebut.
Alifuddin Rafiq Bin Ahmad bersama jodohnya Fatin Nazira Binti Khairil.

Isnin, 10 Oktober 2011

Salam Selasa

Sudah beberapa hari tidak menulis. Sibuk dengan event dan tugasan. Minda pula sedang sarat dengan pelbagai cerita minta dimuntahkan. Hehehe...