Rabu, 25 November 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Part 2 (Almi)



BIBIR dia melakar senyum. Suka membaca apa yang tercoret pada sticky note itu agaknya? Aku turut sama tersenyum. Alahai, rasa yang datang ini buat aku mahu menjadi pujangga kepada Cik Tantrum sayang. Kalau boleh hari-hari aku mahu mengukir namanya di dalam baris puisi-puisi yang datang menggebu-gebu menyesak minda.
Uik, senyuman yang terlakar pada bibir Cik Tantrum tiba-tiba menghilang. Hadir untuk beberapa saat cuma? Sungguhlah dia ni. Terus senyumku mati. Tak cukup menusuk hati kot, ayat yang tertera pada sticky note itu?
Aku lihat dia berpusing 180 darjah dengan sticky note di hujung jari, cari apa ya? Tong sampah? Ada sahaja sedang elok terletak di tepi kubikel dia. Takkan dia tak perasankannya? Atau mungkin, bukan itu yang dicari. Dia mahu campak ke mana ya, sticky note yang aku tulis itu?
Turn saya ke?” Suara dia kedengaran bertanya kepada Raqib yang berhenti seketika di hadapan dia. Pantas saja jemarinya menarik laci meja, menghantar sticky notes tadi ke ruang persembunyian?
Segera aku mengangkat muka, memandang wajah Raqib yang sedang menghantar isyarat kepada aku. Sejurus kemudian mata ini terus mengekor dia yang sedang bergerak menuju ke mesin pendua yang terletak di penghujung koridor bersama dengan sebeban dokumen. Terkial-kial dia mengimbang dokumen itu menggunakan kudrat lengan yang tidak sebesar mana. Kasihan, mahu saja aku bangun membantu tapi dia lebih lincah dan pantas bergerak mengusaikan kerja. Terbiasa barangkali.
Lima belas minit kemudian, dia bergerak kembali ke tempat duduk. Derapan kaki yang seperti dipaksa melangkah itu membuatkan mata ini menoleh segera ke empunya badan. Kenapalah mahu mencempung dokumen sebegitu rupa? Senget separuh badan aku tengok.  
Namun saat itulah. Mata dia menyapa mata aku. Aku terkedu seribu bahasa. Hati bagai dipalu beribu-ribu kali. Aku terpukau. Terpesona. Sungguhlah bak kata orang, dari mata terus ke hati. Bergetar seluruh jiwa dibuatnya. Anehnya, dia sedikit pun tidak mengalihkan mata dia. Malah terus berbalas pandang hinggalah akhirnya dia tiba di hadapan meja milik dia. Tidak berkelip hatta sekali pun.
Tak boleh jadi ni. Aku harus berbuat sesuatu. Berbekalkan itu, aku cuba siapkan sepantas yang boleh komputer milik Kak Sarah, kalau boleh sebelum hari ini berakhir. Kalau tidak misi aku yang berakhir, dan punahlah peluang yang ingin aku ciptakan itu.
“Terima kasih, dik,” ucap Kak Sarah sebaik sahaja aku melangsaikan tugasan dan menunjukkan kepadanya cara membuka beberapa buah fail dan aplikasi baru.
Kotak-kotak yang berselerakan di laluan antara dua kubikel itu aku alihkan dan letakkannya di salah satu sudut ruang pejabat itu. Di mana letaknya segala komputer lama yang telah digantikan baru dihimpun sebelum dihantar ke stor. Mungkin untuk dimusnahkan atau dikitar semula, hanya pihak syarikat sahaja yang tahu. Tidak termasuk dalam deskripsi tugasan aku.


Tanpa berlengah aku segera menuju ke arah meja Cik Tantrum.
“Okey, turn awak,” kataku sedikit teruja, memerhatikan raut wajah dia yang merona merah disapa begitu. Terkejut barangkali dengan kemunculan aku yang tiba-tiba.
“Oh,” balas dia dengan mata terkebil-kebil.
Mungkin tidak menjangka aku yang akan mengendalikan proses penukaran komputer lama milik dia kepada yang baru. Perlahan dia menolak kerusi yang didudukinya ketika itu ke belakang lantas mengemas serba sedikit ruang di atas meja, sebelum berpindah sementara ke belakang dengan membawa beberapa buah fail untuk dia selesaikan. Mungkin kes-kes yang harus disegerakan.
“Lama ke?” Dia bertanya sebaik sahaja punggung dilabuhkan ke atas kerusi. Fail yang dibawa disusun kemas-kemas di atas meja.
“Taklah,” balas aku sambil menyapu bersih wajah milik dia, cuba mencari sesuatu di sebalik sinar mata bundar miliknya itu. Hampir sahaja suara aku tidak kedengaran ketika membalas pertanyaan yang diajukan.
 “Saya kena tunggu ke?” Dia mengerling jam dinding. Wajah dia tampak resah, mungkin ada janji dengan rakan sekerja untuk makan tengah hari.
Namun, aku tidak akan membiarkan itu yang berlaku.  Aku akan mengikat dia cukup-cukup. Ini sahaja masa yang aku ada, jika aku mahu bertindak pantas mencipta peluang untuk aku dan dia beramah mesra. 
“Bila saya dah selesai, awak kena ada. Ada few things yang saya kena terangkan.” Aku cuba menjelaskan keperluan dia berada di sini bersama aku.
“Ada changes ke?” Resah terpamer pada wajahnya yang merah-merah. Tampak seperti sedang membahang atau mungkin sedang melawan rasa malu yang bertandang. Adakah sebab cara aku merenung dia, melampau sangat? Atau memang hati dia juga sedang dipalu ketika ini?   
“Sikitlah.” Aku guna ibu jari dengan telunjuk untuk menunjukkan berapa banyak perubahan yang bakal lahir akibat daripada penukaran komputer.
“Tak susah mana. Tapi, still awak kena ada, kalau tak awak mungkin a bit lost,” sambung aku bila dia tidak memberi sebarang tindak balas. Kemudian, aku hadiahkan dia dengan secebis senyuman.
“Ok,” balas dia lambat-lambat, kepalanya terangguk sekali. Sejurus kemudian dia beredar dengan membawa beberapa buah fail klien lalu duduk di meja bahagian belakang.
Hati aku sedikit kecewa, kenapa pilih untuk duduk di bahagian belakang? Bukankah meja bersebelahan itu juga kosong? Huh, aku dengan fantasi aku. Tidak mengapa, biar aku uruskan dahulu penukaran komputer milik dia.
Sedang aku leka menyelenggara, tiba-tiba aku terasa ada sekujur tubuh berdiri di samping. Terasa rapat sehingga wangian tubuh itu menjengah deria. Berderau sedikit darah bila menyedari tubuh itu milik Cik Tantrum.
“Maaf,” ucap dia membuatkan aku berkalih sedikit. Berdegup jantung meneroka susuk tubuh milik dia. Cepat-cepat aku kalihkan mata memandang jemarinya yang sedang menarik laci meja sisi.
Rupa-rupanya dia mahu mengambil telefon bimbit miliknya dari dalam laci meja. Ketika itulah aku terpandangkan sticky notes yang aku tulis. Disematkan pada dinding bahagian dalam laci tersebut. Hati aku kembali berbunga-bunga harapan. Argh! Sayang juga rupanya dia pada sticky notes tersebut. Aku mahu andaikan begitu, kalau tidak dia tidak akan menyimpannya. Betul tak?
“Awak save dulu dokumen-dokumen yang awak nak.” Aku berpaling menghadap dia, membuatkan dia berpatah balik semula kepadaku.
Segera aku mengalihkan jemari dari papan kekunci sebelum beranjak sedikit memberi ruang kepada dia. Dia menarik papan kekunci tersebut lalu menekan aksara tertentu sebelum menekan butang sebelah kanan tetikus.
“Dah,” beritahu dia sambil menjeling ke arahku sekilas membuatkan darah aku berderau menyerbu ke muka untuk yang kali ke berapa entah. Kerlingan yang meruntuh jiwa, menangkap nurani aku hingga terperangkap di dalam rasa galau.
Senyuman aku lemparkan, mengharap balasan.
“Adik, nak buah limau tak?” Tiba-tiba Kak Sarah yang aku tukarkan komputernya tadi muncul berdiri di sebelah Cik Tantrum lalu menghulurkan kepada aku dua biji limau.
Aku menerima dengan senang hati. Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita pun berbahasalah.
“Adik, dia ni terer fasal sistem dan komputer. Kalau akak nak tanya apa-apa, mesti akak cari dia,” beritahu Kak Sarah membuatkan wajah Cik Tantrum bertukar rona. Membahang merah, nampak comel di mata aku.
“Jangan percaya sangat cakap Kak Sarah ni, dia saja buat cerita.” Cepat-cepat Cik Tantrum menidakkan. Nampak sangat orangnya itu pemalu dan tidak suka dipuji melangit. Baguslah, memang kena dengan selera aku. Baru usik sedikit, muka dah merah-merah macam biji saga.
“Betul dik.” Beria-ia Kak Sarah ketawa mengenakan Cik Tantrum sebelum berlalu pergi.
“Kak Sarah cuma bergurau,” kata Cik Tantrum sambil menggelengkan kepala. Wajahnya jelas kelihatan sedang menyembunyikan rasa malu.
Apa yang hendak dimalukan, tidaklah aku pasti tapi aku senang hati melihat dia begitu. Dalam keadaan tersipu-sipu. Dia kemudiannya bergerak menuju ke meja bersebelahan, melabuhkan punggung di atas kerusi milik Kak Sarah.
“Naurah, ‘kan?” Aku menyeru nama dia membuatkan dia berpaling menatap wajah aku. Sedap sekali sebaris nama itu. Naurah. “Password?
Dia segera bangun mampir. Buat kali ke berapa entah, aku berganjak sedikit memberi laluan kepadanya, memerhatikan susuk tubuh yang sesedap mata memandang itu.
Selepas mengisi ruang kosong yang tertera pada skrin komputer, dia kembali menjadi penghuni meja bersebelahan. Aku perasan matanya yang sekejap-sekejap ditala pada jam berbentuk segiempat tepat yang tersergam indah menghias dinding pejabat. Mungkin sedang membilang waktu yang sudah dihabiskan menunggu aku. Maaflah, kalau aku mendera kamu Cik Tantrum.   
“Awak memang tak ada access internet ye?” Aku bertanya memecah suasana sepi. Tidak ramai pekerja syarikat yang ada ketika itu. Mungkin sebab ramai yang sudah keluar mahu mengisi perut, maklumlah waktu makan tengah hari.
“Haah, company tak bagi.” Lembut suara Cik Tantrum menjengah pendengaran. Tidak ada pun tanda-tanda wild cat seperti yang digembur-gemburkan oleh Raqib. Elok sahaja berbicara dengan aku. Mungkin mood dia agak baik hari ini.
“Ada orang boleh ada orang tak boleh ye ...”
Dia mengangguk sebelum tiba-tiba menarik rapat kerusi yang beroda itu ke arah aku. Tersentak aku bila dia berbuat begitu, sungguh aku tidak menjangkakannya. Nampak seperti selesa dan mesra.
“Tapi, kan…” Jeda. “Awak boleh buat kan? Bagi saya laluan untuk access internet?” Mata bersinar-sinar mengiringi pertanyaan yang lebih kepada permintaan itu menerpa gegendang telinga.
Aku tertawa lucu melihat reaksi spontan itu. Buat aku tergoda. Dia mencebir lalu mengengsotkan kerusi semula ke tempat asal. Argh, Cik Naurah. Awak tahu tak awak sungguh menawan?
“Kalau main server dia dah block, memang tak bolehlah,” beritahu aku kemudian tidak mahu dia terasa hati. Tidak mahu dia salah sangka.
“Tapi, actually … ada cara lain kan?” Mata dia berkerdipan semula.
Aku cuma mampu tersenyum sambil angkat bahu. Tubuh aku sandarkan pada dinding kubikel, memerhatikan dia sambil memikirkan bagaimana mahu menawan hati dia. Sudahnya aku tersengih tidak sudah-sudah. 
 “Company tak bagi cuti sekerat hari ke?”
“Hari ni balik macam biasa kecuali yang celebrate CNY,” jawab dia.
 “Saya, lepas habis awak punya dah boleh balik,” beritahu aku walaupun dia tidak bertanya. Cubaan untuk melakukan sesuatu, mencetuskan sesuatu sebenarnya. 
“Oh, seronoklah … balik kampung ke?”
“Taklah. Kalau saya balik pun bukannya ada apa kat kampung.” Sengaja aku tekankan sedikit perkataan bukannya ada apa.
“Iye lah, lainlah kalau raya awak ‘kan? Mesti awak cuti sakan, kan?” Dia tertawa. Tawa yang mempesona. Tawa yang buat aku tergoda.
“Bukan jauh pun kampung saya. Naik motor tiga jam dah boleh sampai.” Aku sudah membuka hikayat tentang diri sendiri.
“Kampung awak letaknya di mana?” Itulah reaksi balas yang aku hendak.
“Batu Pahat. Kalau naik kereta, waktu perayaan macam ni, masaklah. Traffic teruk.” Aku jongket kening.
“Memanglah,” balas dia bersetuju dengan usul yang aku berikan.
“Lagipun, kalau saya balik. Tak ada apa pun untuk saya kat sana.” Aku ulang sekali lagi menanti reaksi daripada Cik Tantrum namun dia diam sahaja.

Mata dia berkelip dan riak yang sukar aku tafsirkan terlukis pada wajah. Sama ada dia tidak faham apa yang aku maksudkan atau sebaliknya. Sekurang-kurangnya kalau dia bertanya kenapa aku berkata begitu, mungkin boleh aku andaikan dia berminat ingin tahu lebih. Kalau begini reaksi dia, aku pun hilang jalan. Patutkah aku berundur sekarang?


Jumaat, 20 November 2015

Cerpen: Crush 3 Hari - Part 1 (Almi)



Almi aka si pengirim Sticky Notes

PANDANGAN aku labuhkan kepada seraut wajah milik perempuan yang sedang mencuka itu. Bibir mungil itu kelihatan berdecit-decit memecah hening pagi. Walaupun tidak kedengaran butir-butirnya dengan jelas tapi aku sudah boleh mengagak yang dia sedang meroyan tentang hal kerja.
Pagi Isnin, siapa yang tidak? Kecuali mereka yang benar-benar workaholic. Hinggakan masa cuti pun masih mahu meluangkan masa di pejabat. Tapi siapalah aku untuk menghakimi, mungkin sahaja mereka lebih suka menghabiskan masa di tempat kerja berbanding merewang tidak tentu hala.
Perempuan berkemeja biru gelap dan berlengan panjang itu memakai selendang berwarna senada cuma tonanya lebih lembut. Dia sedang merenung skrin komputer umpama hendak ditelannya monitor itu kalau mampu. Sesekali kedengaran merengus geram. Dia langsung tidak sedar yang aku sedang ralit memerhatikan tingkah laku dia. Comel saja melihat tingkah dia sejak semalam. Buat tangan aku gatal melekatkan sticky notes itu pada badan tetikus yang terdampar di atas meja milik dia.

Aku kerling sekilas Cik Tantrum yang sedang membaca nota yang aku tinggalkan. Dahinya kelihatan berkerut-kerut. Serius nampak comel. Aku tersenyum sedikit bila dia menoleh ke arah kiri dan kanan. Agaknya tertanya-tanya siapa punya onar. Sengaja aku buat-buat sibuk, menelaah komputer milik kakak yang sedang aku kendalikan sekarang ini.
Cinta pandang pertama ke? Entahlah. Tapi, sungguh. Ada sesuatu yang menarik tentang dia yang sukar untuk dijelaskan. Terasa seperti jiwa diseru mendekati dia. Kenapa ya? Mungkinkah dia yang aku cari selama ini? Yang Tuhan ciptakan untuk aku, yang bakal sempurnakan hidup aku? Yang tulang rusuknya milik aku?
“Siapa nama dia?” bicara terlepas dari bibir. Singgah pula di telinga rakan aku, Raqib yang berkaca mata itu. Kebetulan sedang melewati aku selepas menghantar sebuah kotak komputer ke sebuah meja yang terletak di bahagian belakang.
Who?” Spontan Raqib bertanya. Langkah dia terhenti lalu berdiri di belakang aku yang sedang duduk sambil memerhati skrin komputer yang sedang melayarkan laporan terkini proses muatnaik aplikasi dan sistem baru.
The girl yang ada tantrum pagi-pagi tu?” Aku perlahankan suara, bimbang perbualan ini sampai ke telinga perempuan itu. Maklumlah jarak antara kami cuma dipisahkan oleh sebuah laluan yang tidak sebesar mana.
“Dia?” Bibir Raqib memuncung mengunjuk ke arah perempuan yang tidak perasan dirinya sedang menjadi bahan bualan. “Hahaha, kenapa berminat ke?”
“Kau yang handle pc dia kan?” soalku inginkan kepastian, sebab aku pasti nama dia tidak termasuk dalam senarai tugasan yang diserahkan kepada aku.
Raqib mengangguk dengan kening terjongket.
“Kita tukar. Biar aku yang handle pc dia.” Mata terus ralit memandang dia, entah kenapa sukar untuk dilepaskan.

She’s all yours. Hati-hati, you are facing with a wild cat. Nanti kena cakar.” Entah kenapa Raqib berkata begitu, itu mesti dah kena dengan perempuan tu. Kalau tak, tak adalah menceceh seperti begitu. Aku angkat kening.
I’ll take my chances,” ujarku kemudian. Wild cat? Lagi aku suka, ada challenge.
“Bila jadual dia?” sambungku kemudian. Peluang harus dicipta, selagi ada ruang dan waktu.
Tomorrow morning, good luck.” balas Raqib dengan senyuman penuh bermakna. Terasa seperti senyuman mengejek pun ada. Mungkin dia fikir aku tidak mampu menundukkan seorang perempuan seperti dia.

Luck is all I need. Macam tak sabar pula, kalau komputer milik kakak yang sedang aku siapkan ini sudah selesai, bolehlah aku segerakan peluang itu. Namun, kalau dilihat pada hasil tugasan ketika ini, lambat lagi kot nak usainya. Tak apalah, kita jumpa esok sahaja Cik Tantrum. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Kalau sudah jodoh juga, raya ini aku pinang kamu. Aku tergelak dalam hati dengan angan-angan yang satu itu.



Sabtu, 7 November 2015

Cerpen : Crush 3 Hari - Bhg 4


BULAN pertama selepas dia menghilang dari mata. Minda masih terbayangkan wajah dan senyuman manis yang dia lemparkan. Suara lemak merdu milik dia bagai terngiang-ngiang di cuping telinga. Ada kalanya aku tertanya-tanya kenapa, mengapa? Hendak bercerita dengan kawan-kawan, rasa malu menerjah. Maklumlah terpikat dengan orang yang kita tak kenal. Hanya tahu nama dan tempat kerja sahaja. Okey kot, ada tu terpikay dengan insan yang nama pun tak tahu langsung.
            Terlintas juga mahu menghubungi dia di tempat kerja, kalau tidak silap ada sahaja nombor telefon pejabat tertera di dalam borang penilaian tempoh hari. Tapi, aku belum bersedia melakukan sesuatu yang sedrastik itu. Tunggulah, bila mood gila-gila itu datang. Mungkin sahaja aku mampu mengambil gagang dan menekan nombor yang ada. Bukannya susah pun, kan?
Anehnya, sebaik sahaja petugas-petugas dari syarikat yang mengendalikan penukaran komputer di jabatan aku itu selesai dengan tugasan mereka, si pengirim sticky notes turut sama menghilangkan diri. Mungkinkah, dia merupakan salah seorang daripada mereka? Bagaimana kalau pengirim nota itu Almi? Atau mungkin mamat berkaca mata yang hingga sekarang aku tidak tahu namanya itu? Haish, entahlah. Biar sahaja, perkara dah lepas pun. Cukuplah jadi kenang-kenangan.

Rindu ini datang bertamu, lebih lama dari yang terjangka, kutitip doa satukan kita, andai engkaulah pemilik tulang rusuk itu, moga cinta ini utuh dan mekar hingga kita bertemu semula   

Nota terakhir yang aku terima adalah pada hari terakhir mereka berada di tempat kerja aku. Benci aku memikirkannya. Ditinggalkan dalam teka-teki. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Tiada niat mahu mencari si pengirim misteri. Mungkin juga kerana petunjuk itu tidak ada, jadi menyukarkan aku mahu menjejaknya. Hurm. Minda aku segera beralih kepada Almi, entah kenapa kuat sungguh aura dia menyentuh jiwa aku.
Rasa-rasa aku tiga hari mengenali pemuda bernama Almi itu tidak cukup untuk aku terangaukan dia sampai menjadi stalker. Rupa-rupanya aku tersilap menilai diri sendiri, jari-jemari ini gatal juga mahu menaip nama penuh itu di ruangan yang disediakan oleh Encik Google. Argh! Kelakar pun ada, dari carian web ke carian imej. Tak popular rupanya si pencuri hati ini. Jadi, kecewalah aku kerana pencarian melalui Encik Google tidak berjaya. Itu baru bulan pertama, geleng kepala aku memikirkan betapa gigihnya aku mencari maklumat hampir setiap malam.


Tak cukup carian di Google. Aku luaskan pencarian ke laman Facebook pula. Huhu, ramai rupanya manusia yang memiliki sebaris nama yang sama dengan si pencuri hati. Masak aku kalau nak klik satu per satu. Banyak gila kot namun siapa sangka aku punya kegigihan yang jitu. Cari punya cari sampai lenguh jari, tapi apakan daya semangat aku lebih kuat jika hendak dibandingkan dengan rasa lenguh tersebut. Tergelak aku sendirian. Sehingga akhirnya, pencarian itu berakhir. Yes! Usaha membuahkan hasil. Masa itulah fikir berpuluh-puluh kali, nak hantar friend request atau tidak?
Dua tiga hari juga aku berfikir sama ada mahu meneruskan hasrat menjadikan dia rakan laman muka buku. Buatnya dia tidak ada respons? Aku juga yang kecewa, kan? Tapi dari tidak tahu, baiklah dapat tahu kesudahannya, ‘kan? Lagi cepat, lagi bagus. Atau sebenarnya, lagi cepat ditolak, lagi cepat untuk aku mencari yang lain. Huhu.
Sebelum aku menekan butang add, aku berkira-kira mahu menitipkan pesanan terlebih dahulu kepada dia. Penat aku memerah otak mengarang ayat puitis yang tidak berapa hendak puitis di telingaku. Berbunyi lebih kurang;

Kuketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Kuturut jejak rindu itu, mencari penawar yang menghilang, Apa betul ini laluannya? 

Dalam teragak-agak mahu menghantar atau tidak, aku tertekan butang send. Argh! Sudah. Boleh tarik balik ke? Aisey.... Apa nak jadi, jadilah. Begitu aku putuskan.
Malangnya, tunggu punya tunggu. Tiada balasan untuk pesanan yang aku hantar, boleh? Hari-hari aku buka laman facebook milik aku. Hari-hari aku skodeng momen dia. Yang paling last update pun tiga empat bulan lepas. Dia ni tak aktif ke, apa? Geram pun ada. Annoying tahu tak? Hendak sahaja aku hantar pesanan beribu-ribu kepada dia, biar penuh kotak mesej dia dengan pesanan daripada aku. Tapi, nampak macam tak masuk akal pula. Memang tak masuk akal pun bukan?
Tiba-tiba terasa bodoh pula melakukan semua benda-benda tak berfaedah itu. Tidak berfaedah bukan? Heh! Tapi, kalau tak buat macam tu, aku tak akan tahu kesudahannya ‘kan? Anehnya cinta itu, membuatkan jiwa dan hati memberontak tidak keruan. Anehnya cinta itu, hadirnya bisa membuat kita melakukan perkara yang kadang-kadang tidak terjangkau dek akal dan fikiran.
Akhirnya, selepas berminggu-minggu jadi pemerhati senyap. Selepas berminggu-minggu melayan hati yang rawan. Hati sudah redha dan boleh menerima. Aku lepaskan dia. Aku lepaskan hati yang menginginkan dia. Aku didik hati dan jiwa aku agar tidak mengejar dia mahupun bayang-bayang dia. Sukar? Mungkin, sedikit.   
Minggu sudah bertukar bulan. Tika aku sudah berhenti membilang hari. Tika aku sudah lupa resah hati yang minta disembuhkan. Tika aku sudah puas mengikis rindu yang menggunung menjadi dataran lembah. Tika harapan itu tidak lagi menjadi satu obsesi. Rasa itu muncul kembali, bersama kejutan yang tidak terjangka.


Sejambak bunga muncul di atas meja. Dengan sekeping kad ucapan hari raya diselitkan di celah-celah bunga itu. Aku ambil dan aku baca, ada sekeping nota pelekat di dalam kad tersebut.
Ku ketuk pintu lamanmu, lewat kehendak kata hati, Ku turut jejak rindu itu, mencari penawarnya, laluan terbentang di hadapan, teruskan langkahmu
Eh? Ini? Tersentap jiwa seketika. Lebih tersentap bila membaca apa yang tertulis di dalam kad tersebut. Jatuh rahang.
Kalau pesanan ini daripada awak, Cik Naurah. Sila angkat telefon di sisi awak yang bakal berdering dalam seminit dua lagi. Almi.
Beberapa saat kemudian, telefon di atas meja berdering. Hati mula dup dap dup dap. Gagang aku angkat.
“Assalam, Cik Naurah...” Suara lunak merdu itu. Luruh jantung aku. Rasa seperti jatuh cinta sekali lagi. Rasa wajah diserbu bahang yang hangat. Diri pula seperti mencair bak ais yang disentuh api yang membara.

Aduhai Cik Naurah. Bibir menguntum senyum tak sudah. Saat itu terlintas di fikiran, bila harapan diserap ke dalam doa. Bila harapan diserahkan pada yang maha Esa. Inikah jawapannya? Sungguh aku bersyukur, Amin Ya Rabb Alamin. Kuserahkan kepadaMu ya Allah, semoga ini permulaan langkah aku dan dia ke Jannah.