Sabtu, 20 April 2013

Cerpen: Biar Aku Bahagiakan Kamu







LANGKAH kaki Siti Amirah terhenti di hadapan Daniel Hakim. Pemuda yang memakai T-Shirt berwarna ungu cair dan berseluar jeans hijau lumut itu cuma terpaku menghadang perjalanan Siti Amirah. Sorotan matanya agak nakal menjamah wajah si gadis.
Melihat Daniel Hakim yang masih tidak berganjak, Siti Amirah pun mengorak langkah ke kiri dengan niat mahu meneruskan perjalanan, Daniel Hakim turut sama melangkah ke kiri, sengaja. Bila Siti Amirah ke kanan dia turut ke kanan.
Siti Amirah menjegilkan mata, kau nak apa? Bentaknya dalam hati. Daniel Hakim tersengih melihat kening Siti Amirah yang bagai hendak bertaut memendam rasa geram yang membuak-buak.
“Anak kucing di dalam kotak,
Boleh tolong blah tak?”
Terjungkit kening Daniel Hakim bila Siti Amirah mengeluarkan pantun dua kerat. Hah! This is going to be interesting, desisnya dalam hati.
Takde respon? Siti Amirah pula yang angkat kening. Namun ketika hendak melangkah pergi, Daniel Hakim membuka mulut.
“Anak Pak Husin jual mahal,
Kau apahal?”
Anak Pak Husin? Anak mata Siti Amirah membesar. Pantang kalau nama ayahnya disebut-sebut.
“Kertas kajang bersepah-sepah,
Muka kau buat aku menyampah.”
Daniel Hakim tergelak besar mendengarnya.
Suasana jadi hingar tiba-tiba. Perlakuan mereka berdua itu rupanya mengundang kehadiran pelajar kolej yang lain. Mereka berkerumun mengelilingi sang teruna dan dara yang sedang giat berbalas pantun.
“Cikgu Hanisah berkanta lekap,
Terkemut-kemut bila berlari,
Cakap jangan sebarang cakap,
Sudahnya kau yang gigit jari.”
Siti Amirah teguk air liur. Pantun empat kerat? Patutkah aku meneruskan ini. Argh! Menyesal aku datang kolej hari ini. Sepatutnya aku duduk sahaja kat rumah menjaga adik aku. Tapi, kalau aku tidak menghadirkan diri hari ini bermakna sudah tiga minggu aku ketinggalan.
“Bawa paip bawa tembakau,
Aku malas nak layan kau.”
Mereka yang melihat sudah mula bersorak-sorak teruja. Lagi! Lagi!
Pak Abu memasang jerat
Dari pagi hingga ke senja
Berikan aku pantun empat kerat
Kalau tak mengaku kalah sahaja”
Siti Amirah diam sejenak, cuba mencari idea sepantas yang boleh.
“Mengaku kalah?” Daniel Hakim sudah tersenyum sumbing. Sudah lama dia mengejar gadis itu. Dalam mimpi, dalam realiti juga. Tapi gadis itu kerap menghilang. Sekejap ada, sekejap tak ada. Buat dia rasa nanar. Entah apa yang menarik tentang gadis itu, dia tidak tahu tapi yang pasti dia kepingin sekali mendekati gadis itu.
“Tidak sekali-kali,” balas Siti Amirah. Mana mungkin dia mahu. Mengaku kalah bermakna dia terpaksa tunduk pada pemuda itu.
“Nak teruskan? Atau satu temu janji dengan aku?”
Siti Amirah menghela nafas. Satu temu janji? Lagi-lagi itu yang diungkit. Setiap kali bertembung dengan Daniel Hakim, setiap kali itu juga Daniel Hakim memancingnya dengan satu temu janji.
“Okey, next. Kita lawan mata.” Daniel Hakim menggosok telapak tangan. Tidak sabar mahu mengakhiri permainan itu. Dia sudah tidak mampu bermain tarik tali dengan gadis itu. Ia harus dimuktamadkan hari itu juga. It’s now or never!
“Lawan mata?”
“Hmm.. ya. Kita berbalas tenung, siapa yang terlebih dahulu mengelipkan mata, dia dikira kalah dan harus menunaikan permintaan si pemenang.
Permainan apa ni? desis Siti Amirah. “Itu zina mata namanya.”
“Zina mata, bila kau pandang aku dengan rasa berahi,” ujar Daniel Hakim nakal.
“Huh?” Siti Amirah tarik muka. Tidak bersetuju dengan pendapat itu. Sungguh! Kalau dia ada masa, dia akan berceramah panjang-panjang dengan pemuda itu.
“Kenapa? Takut? Mengalah?” Daniel Hakim dengan provokasinya.
No way!” dada Siti Amirah sudah berombak-ombak.
So what’s the wait, let gets started.”
Masing-masing menuju ke sebuah meja berhampiran. Pelajar-pelajar yang masih teruja mahu tahu akan kesudahan kisah pasangan teruna-dara tidak sebulu itu turut membuntuti.
Setelah mendapatkan tempat masing-masing. Mata mula bertentang mata. Si dara pandang penuh rasa geram. Si teruna pandang penuh rasa cinta.
Papp!!!
Mata si dara berkelip.
“Kalah!!!”
“Kau main tipu!” marah Siti Amirah bila Daniel Hakim dengan sengaja menepuk meja dengan kuat.
Nope! You fall for it. Some more, tak ada undang-undang. You can do anything to be the winner.
Panas hati Siti Amirah mendengarnya. Mulutnya ternganga tidak puas hati.
Everyone, agreed?” Daniel Hakim bertanya, dan rata-rata yang melihat menganggukkan kepala.
Apa ni?! Wajah Siti Amirah membahang. Ini tidak adil! Mereka yang ada mesti telah berpakat dengan Daniel Hakim. Tapi, untuk mempertahankan haknya dalam permainan seperti itu agak tidak berbaloi baginya.
So, kau hutang aku satu temujanji.”
Haish! Hati Siti Amirah jadi sebu.
“Ingat, satu temujanji.” Daniel Hakim berlalu dengan senyuman kemenangan. Dia pasti Siti Amirah akan mengotakannya. Kalau tidak, dia akan menuntut janji itu setiap kali bertembung dengan Siti Amirah.
Argh! Menyesal aku datang kolej hari ini! Jerit Siti Amirah dalam hati.

***

Siti Amirah melangkah longlai. Kini dia hadir ke kolej dengan rasa fobia. Bimbang sungguh dia, kalau-kalau dia terserempak dengan Daniel Hakim. Bimbang pemuda itu akan menuntut janji. Bimbang dengan hakikat yang dia terpaksa mengotakan janji.
“Bila kau nak tunaikan janji?”
Siti Amirah tersentap. Panjang betul umur dia ni. Senang dan mudah betul dia menemui aku walhal aku sudah merancang penuh hati-hati pergerakan aku agar tidak dapat dikesan. Kesal betul Siti Amirah dengan kecuaian dan kealpaannya.
“Bila?” Daniel Hakim tampak serius.
“Err..” Bukan niat Siti Amirah nak memungkiri janji tapi ada ketakutan yang lebih menghantui dirinya.
“Kau rahsiakan sesuatu dari aku?”
“Bukan macam tu.”
“Dahlah aku cuma dapat jumpa kau sekali jer seminggu. Kau tahu tak, betapa sakitnya hati aku menunggu selama enam hari sebelum dapat bertemu dengan kau semula. Itupun, kira bernasib baik kalau engkau tak ponteng. Kalau tak nanar aku jadinya.”
“Erk.” Apa lagi yang mampu hendak dia katakan. Kata-kata yang dilontarkan Daniel Hakim buat mata Siti Amirah terkelip-kelip.
“Okey, no more excuse. Bagi aku nombor telefon kau.”
Mahu tak mahu Siti Amirah terpaksa memberikan apa yang diminta kepada Daniel Hakim. Dia tidak mahu berlama-lama dengan pemuda itu. Lepas kelas dia kena bergegas ke tempat kerja. Sememangnya dia tidak mahu terperangkap di situ dan berdolak-dalik lebih lama dengan pemuda itu. Buang masanya namanya.
Thanks. Dah lunch?”
Siti Amirah menggeleng.
“Jom. Kat cafĂ© jer. Lepas ni, ada kelas kan?” wajah Daniel Hakim yang tadi agak tegang sudah jadi lembut.
Siti Amirah sekadar mengangguk.
“Janganlah jadi bisu. Aku lebih suka dengan anak pak Husin yang daring dan play hard to get.”
Play hard to get? Itukah tanggapan dia terhadap aku? Berkerut dahi Siti Amirah mendengarnya.
“Atau kau nak aku berpantun dulu?”
Siti Amirah tidak dapat mengelak dari tersenyum. Lucu mengingatkan detik itu.

***

Mata Siti Amirah terkebil-kebil bila Daniel Hakim muncul di hadapannya. Di tempat dia bekerja separuh masa. Pemuda itu pasang spy ker?
“Assalamualaikum.” Daniel Hakim menyapa.
“Kau buat apa kat sini?” Hati Siti Amirah berdebar-debar. Tidak pasti kehadiran pemuda itu atau tindak tanduk pemuda itu yang jadi penyebabnya.
“Kalau iyapun, jawablah salam aku dulu.”
Kata-kata Daniel Hakim membuatkan Siti Aminah jadi terkedu. Dia diam tidak terkata. Matanya masih bulat memandang Daniel Hakim.
This is a shopping mall. You can’t prevent me from coming to a public place like this.” Ujar Daniel Hakim.
“Okey, whatever. Kalau kau datang nak tuntut janji, ini bukan masa yang sesuai.”
I know. I just want to make sure..”
“Daniel,”
“Amirah,”
“Daniel, stop it.” Kening Siti Amirah bertaut lagi.
“Amirah, make me.” Senyuman nakal Daniel Hakim menghias bibir.
“Haish! Daniel!”marah Siti Amirah.
Yes, my dear Amirah.”
“Okey, Sabtu depan. 11 pagi. Food Court.”
Yes!!” Daniel Hakim melonjak kegirangan.
“Sekarang, pergi sebelum supervisor aku nampak.”
“Amirah.”
“Apa lagi?”
For your info, aku tak pasang spy.
Dahi Siti Amirah berkerut dengan statement itu. Yalah, what-ever.

***

Sudah setengah jam Siti Amirah menunggu di food court seperti yang dijanjikan. Temu janji di food court. Haha! Lawak sungguh bila difikirkan. Dia sendiri yang meminta sebab baginya itulah tempat yang paling mudah. Untuk ke tempat lain, agak sukar bagi dirinya.
Seminit, dua minit kini lebih sepuluh minit dari setengah jam yang lepas. Sudah hampir menjejak waktu makan tengahari. Mungkin Daniel Hakim tak jadi datang menuntut temu janjinya. Mungkin pemuda itu juga sudah mengetahui tentang adiknya yang istimewa itu. Haish!
Siti Amirah tunduk menekur lantai. Ada secebis rasa kesal hadir. Tak apalah, sekurang-kurangnya dia tahu Daniel Hakim sama seperti pemuda lain. Lagipun, bukan sekali dia mengalami peristiwa seperti itu. Acap kali.
Rengekan Farizal mengejutkan Siti Amirah. Dipandang wajah adiknya dengan penuh rasa kasih. Sepasang suami isteri bersama dua orang kanak-kanak berada di meja bersebelahan. Si isteri sekejap-sekejap melirik ke arah adiknya yang dari tadi tidak berhenti merengek. Siti Amirah buat-buat tak perasan walhal hatinya sudah tersentuh dengan pandangan dan jelingan wanita yang sudah boleh digelar makcik itu.
Aku tahulah adik aku ni lain dari yang lain. Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak yang seusia dengannya. Kanak-kanak istimewa macam adik aku ni mana reti nak duduk diam, ada jer kerenahnya. Detik hati Siti Amirah melihat sikap segelintir daripada masyarakat sekeliling. Dikerlingnya makcik tadi dengan ekor mata.
Hai, makcik yang duduk sebelah ni tak berhenti lagi dari tadi asyik pandang-pandang macamlah adik aku tu ada rupa alien. Sebab tak tahan Siti Amirah pandang balik makcik tu. Dia buat-buat tak tahu pulak. Pelik sangat ker? Hati Siti Amirah bagai dicarik-carik. Air mata yang mahu merembes keluar ditahan-tahan. Geram sangat.
Mana Daniel Hakim tak sampai-sampai lagi? Hati Siti Amirah sudah menjerit marah. Melampiaskan rasa geramnya yang terkumpul.
“A..kak. Akak.” Adik lelakinya itu cuba mencapai tangan Siti Amirah. Umur sudah mencecah 11 tahun tapi fizikal seperti kanak-kanak yang baru berusia 7 tahun.
Siti Amirah menoleh ke arahnya. Ada rasa sayu hadir. Tak apalah, dik. Sekurang-kurangnya kau boleh keluar menikmati udara luar. Segera dia mengalihkan pandangan bila air mata tiba-tiba menitis di pipi. Dia tidak mahu adiknya melihat itu, takut nanti adiknya itu bertanya.
Seketika kemudian dipandangnya semula si adik yang ketika itu sedang duduk di atas wheelchair merengek-rengek dengan lengan tergapai-gapai di udara. Ada air liur meleleh di tepi bibir. Siti Amirah mencari tisu di dalam beg sandang yang dibawa. Baru sahaja dia ingin mengelap air liur itu, ada orang lain mendahuluinya.

“Terima kasih,” ucap Siti Amirah dan agak tergamam melihat wajah pemuda yang prihatin itu.
“Sama-sama,” balas pemuda itu seraya duduk berhadapan dengan Siti Amirah. “Maaf, lewat sedikit.”
Lewat sedikit? Hampir sejam dia kata lewat sedikit.
“Ada masalah dengan kereta tadi.” Daniel Hakim melakar senyuman sebelum menyambung. “Maaf, buat kau menunggu.”
Lembut hati Siti Amirah jadinya. Apalah hendak dibandingkan sejam dengan masa yang dihabiskan Daniel Hakim mengejarnya. Berhari-hari menunggu agar dia menunaikan janji. Mengingatkan itu dia sedar.
“Ingatkan tak jadi datang tadi.” Selama ini Siti Amirah berfikir yang pemuda itu mungkin akan merasa jijik melihat adiknya. Bukan tidak ada pemuda lain yang pernah keluar dengan dia, tapi paling lama bertahan pun setakat dua kali temujanji sahaja. Tapi untuk menilai Daniel Hakim, mungkin agak terlalu awal.
Daniel Hakim masih lagi leka melayan Farizal ketika Siti Amirah mencuri pandang wajahnya. Entah kenapa dia terasa dirinya sudah mula menyukai pemuda itu. Dia teringat akan temujanji terakhirnya dengan Hasif.
“Apasal kau bawa adik engkau ni? Kenapa tak tinggalkan sahaja dia di rumah?”
“Semua orang tengok tau. Malulah aku.”
Kata-kata itu sedikit sebanyak menghiris perasaan Siti Amirah. Kalau adik aku itu tahu dan faham, mungkin dia yang lebih tersentuh perasaannya. Sejak hari itu, dia nekad untuk tidak keluar dengan mana-mana lelaki lagi. Dia takut untuk jatuh cinta lagi. Takut mereka tidak boleh menerima keadaan adiknya yang istimewa itu.
Ayahnya sudah lama meninggal dunia dan ibunya baru sahaja bersara dan sering pula sakit-sakit. Siti Amirah pula bekerja separuh masa dan belajar juga separuh masa di salah sebuah kolej swasta. Dia masih mahu melanjutkan pelajaran. Sebab itu setiap hujung minggu, dia peruntukkan sedikit masa dengan adiknya. Menjaga dan mengajar setakat yang termampu agar adiknya itu tidak jauh ketinggalan berbanding kanak-kanak seusianya.
Mereka cuma mampu mengupah orang menjaga adik pada hari bekerja sahaja. Hmm, dengan gaji yang diterima serta pencen ibu yang tak seberapa, itulah yang termampu oleh mereka setakat ini.
“Kau pandang rendah pada aku bukan?” tiba-tiba Daniel Hakim bertanya.
Siti Amirah tak tahu nak berkata apa. “Maksud kau?”
“Prejudis? Kau takut aku jijik melihat adik engkau?”
Siti Amirah terdiam lagi.
“Tidak semua orang begitu.”
Siti Amirah diam lagi.
“Kenapa tak hantar sahaja adik engkau ke sekolah khas?”
 Dahi Siti Amirah sudah berkerut-kerut. Sakit juga hati mendengar saranan itu. Dia baru memikirkan yang Daniel Hakim mungkin berbeza dari yang lain. Argh!  Mungkin saja Daniel Hakim tidak bermaksud begitu.
Melihat Siti Amirah yang senyap, Daniel Hakim tidak meneruskan kata-katanya.
“Jom, biar saya bawa kamu berdua ke tempat lain.”
Adik Siti Amirah bising lagi. Tangannya disuakan pada Daniel Hakim. Rupa-rupanya dia mahu didukung. Daniel Hakim tersenyum. Pantas sahaja dia mengangkat si adik lalu mendukungnya di belakang. Tergelak-gelak adik Siti Amirah. Seronok barangkali.
Sekali lagi Siti Amirah terkesima dengan tingkah laku Daniel Hakim yang tidak bosan melayan kerenah adiknya itu. Sedikit sebanyak mengubat hati Siti Amirah yang sakit dan terluka tadi. Ya, dan hatinya pun berbisik menyeru nama pemuda itu. Daniel Hakim, mungkin dia lain dari yang lain.

***

Petang itu Daniel Hakim bertemu dengan Siti Amirah. Dia ingin membantu kalau Siti Amirah sekeluarga sudi menerimanya.
“Farizal ada belajar kat mana-mana ke?”
“Memang kami ada mengupah orang untuk menjaga dan mengajar tapi selalunya tidak bertahan lama. Beberapa kali bertukar sehinggalah ibu bersara.”
“Tahu tak ada sekolah khas untuk kanak-kanak istimewa seperti Farizal?”
Siti Amirah diam. “Aku tahu ada tapi…”
“Satu hari nanti aku akan bawa kau ke sana.” Daniel Hakim menggenggam jemari Siti Amirah seperti berjanji.
Siti Amirah terkesima dengan tindakan Daniel Hakim. Dibiarkan saja jemarinya berada dalam genggaman Daniel Hakim. Mungkinkah hatinya sudah terpaut? Argh! Sukar untuk dia menterjemahkan perasaannya sendiri ketika itu.

***

Mula-mula Farizal agak kekok tapi setelah dua tiga jam berada bersama mereka yang senasib dengannya, dia sudah boleh menyesuaikan diri. Tenaga pengajar yang ada bijak mengendalikan kanak-kanak istimewa yang ada.
Siti Amirah mencuri pandang Daniel Hakim yang sedang asyik melayan keletah salah seorang daripada pelajar istimewa itu. Siti Amirah tersenyum sendiri. Rupa-rupanya Daniel Hakim merupakan salah seorang sukarelawan untuk sekolah khas tersebut. Siapa sangka?
“Bukankah dia patut belajar berdikari. Please think about it, ini bukan tentang engkau atau aku. Ini tentang kehidupan adik engkau. Engkau tidak boleh menjaga dia selama-lamanya.” Kata-kata Daniel Hakim kembali terngiang di telinganya dalam usahanya memujuk Siti Amirah supaya setuju dengan cadangan membawa Farizal ke sekolah khas tersebut.
“Aku tahu tujuan engkau murni. Engkau nak lihat dia bahagia, somehow or rather you forget that you also need the same. To love and to be loved.”
Argh? Benarkah aku melupakan kebahagiaan aku sendiri? Keluh Siti Amirah.
Tiba-tiba mata mereka bertembung bila Daniel Hakim tanpa sengaja memandang ke arahnya. Siti Amirah segera mengalihkan pandangan, tersipu malu sebab tertangkap memerhatikan Daniel Hakim.
Perlahan Daniel Hakim menghampiri Siti Amirah. “Jom lepak kat luar.”
Siti Amirah mengangguk saja. Wajahnya masih membahang.

***

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut. Pepohon renek berbuai perlahan mengikut rentak. Dedaun dan dahan dari pohon rimbun yang mengelilingi perkarangan sekolah tersebut turut menari-nari. Petang yang indah.
Daniel Hakim dan Siti Amirah melabuhkan punggung di atas bangku yang terletak di bawah sebatang pohon. Masing-masing membisu. Sehelai daun gugur melayang lalu melekat di atas tudung yang dipakai Siti Amirah. Cepat-cepat Daniel Hakim menepisnya.
Thanks,” ucap Siti Amirah sambil mengukir senyuman.
Daniel Hakim mengangguk. Suasana kembali sepi. Tiba-tiba ada rasa kekok hadir membelenggu mereka. Hati masing-masing jadi berdebar tidak keruan.
“Nak dengar pantun dari aku?” tanya Daniel Hakim tiba-tiba.
“Hmm..” Siti Amirah pandang wajah Daniel Hakim. Mata mereka bertembung lagi. Getar yang aneh itu datang lagi.
“Pantun?”
Siti Amirah menjungkitkan bahu.
Daniel Hakim menarik nafas. Ditenung wajah Siti Amirah sejenak. Wajah mulus itu kelihatan berseri-seri di matanya.
Bunga mawar di atas peti
Menghias cantik bilik tetamu
Duhai suri bertakhta di hati
Biar aku bahagiakan kamu.
Daniel Hakim menatap wajah Siti Amirah dalam-dalam. Hatinya hangat. Dia mencapai jemari Siti Amirah cuba meluahkan hasrat yang terpendam. “Untuk sekali ini, Siti Amirah. Biar aku bahagiakan kamu.”
Sungguh hati Siti Amirah jadi cair. Renungan lembut Daniel Hakim menggugat jiwanya. Genggaman jemari Daniel Hakim dibalas erat dengan harapan si pemuda faham apa yang tersirat di hati. Senyuman yang paling manis terlakar buat si pemuda. Cuma doanya, janganlah dia terluka lagi.
Daniel Hakim menghembus nafas lega. Mata mereka bertaut lagi sebelum Siti Amirah tertunduk malu. Terima kasih Siti Amirah. Bisik Daniel Hakim. Aku tidak akan sia-siakan kepercayaan dan peluang ini. Akan aku cuba bahagiakan kamu sehingga akhir hayatku. 


  



3 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p